Categories
AGENSI SELANGOR

Langsai bil utiliti, tambah nilai kad prabayar guna CEPaT 2.0

SHAH ALAM, 2 DIS: Pengguna boleh memuat turun aplikasi tanpa tunai ‘Citizen E-Payment Platform’ (CEPaT) versi 2.0 yang menyediakan pelbagai pekhidmatan mulai bulan ini.

Pengarah urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) berkata versi baharu meliputi permohonan lesen, bayaran bil utiliti serta tambah nilai kad prabayar.

Dr Fahmi Ngah menjelaskan perkhidmatan tersebut turut dilengkapi ‘Scan to Ride’ untuk memudahkan warga asing membuat bayaran ketika menaiki Bas Smart Selangor.

“Usaha menambah baik aplikasi seiring sasaran memastikan perkhidmatan berbayar Kerajaan Negeri dibuat dalam platform ini menjelang 2022,” katanya memaklumkan aplikasi itu digunakan lapan pihak berkuasa tempatan (PBT).

CEpat yang diperkenal pada 21 Ogos 2019 menggunakan teknologi awanan berasaskan ‘cloud’ bagi memastikan ia selamat diakses pengguna.

Aplikasi yang boleh dimuat turun melalui Google Playstore dan App Store bermula 1 Oktober 2019 turut menawarkan kemudahan bayaran cukai taksiran, kompaun, dan parkir.

Categories
AGENSI SELANGOR

Warga asing bayar caj Bas Smart Selangor guna ‘Tap to Ride’

SHAH ALAM, 23 OKT: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) bakal memperkenal sistem “Tap to Ride” sebelum akhir tahun bagi warga asing yang menggunakan perkhidmatan Bas Smart Selangor.

Pengarah urusannya berkata sistem pintar tersebut membolehkan pengguna membuat bayaran tambang melalui kad atau mengimbas kod QR yang disediakan sebelum menaiki bas.

“Penggunaan sistem ini membolehkan bayaran dibuat dengan lebih senang dan pantas, manakala warganegara hanya perlu menunjukkan kad pengenalan untuk menaiki bas secara percuma.

“Usaha SSDU selaras hasrat untuk mewujudkan masyarakat Selangor tanpa tunai serta ke arah Negeri Pintar menjelang 2025,” kata Dr Fahmi Ngah ketika dihubungi hari ini.

Pada 1 November tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata caj RM1 dikenakan kepada warga asing yang menggunakan bas percuma itu bagi menyelenggara dan menambah laluan bas.

Sebanyak 130 buah Bas Smart Selangor beroperasi setakat ini di 41 laluan seluruh negeri.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

SSDU diiktiraf Agensi Urus Tadbir Bandar Pintar Terbaik Asia Tenggara 2020

SHAH ALAM, 7 OKT: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) diiktiraf sebagai Agensi Urus Tadbir Bandar Pintar Terbaik Asia Tenggara 2020 oleh perunding terkenal Global, Frost & Sullivan.

Pengurus Kanan dan Ketua Wilayah Frost & Sullivan, Subbu Bettadapura berkata pemilihan itu dibuat berdasarkan enam kriteria ditetapkan.

“Ia termasuk wawasan untuk menjadi Bandar Pintar menjelang 2025, menangani keperluan yang belum berjaya dipenuhi, strategi lautan biru (amalan kelestarian), pelaksanaan amalan terbaik, pengalaman penduduk dan ekuiti jenama.

“Berdasarkan prestasi keseluruhannya yang kukuh, SSDU berjaya diiktiraf Agensi Pentadbiran Bandar Raya Terbaik Asia Tenggara 2020,” katanya menerusi surat pada 5 Oktober kepada Pengarah Urusan SSDU Dr Fahmi Ngah.

Subbu berkata Frost & Sullivan turut menyedari kejayaan itu diperoleh hasil kerjasama semua pihak termasuk pekerja, pelanggan dan pelabur.

“Sekali lagi tahniah dan kami mengharapkan supaya SSDU lebih berjaya pada masa hadapan,” katanya.

Tahun lalu SSDU turut memenangi Anugerah Amalan Terbaik bagi kategori Agensi Tadbir Urus Bandar Pintar Membangun di Asia Tenggara 2019 daripada Frost & Sullivan.

SSDU adalah anak syarikat milik penuh Menteri Besar Selangor (Incorporated) (MBI) yang diberikan mandat untuk menerajui pembangunan program Smart Selangor, sekali gus menjadikan negeri itu sebagai “The Premier Regional Smart State” di rantau ASEAN menjelang 2025.

Program Smart Selangor bermatlamat menjadikan Selangor sebagai negeri serantau yang lebih produktif dan berdayahuni selain memastikan kemampanan serta pemuliharaan alam sekitar seiring dengan pembangunan dicapai.

Categories
AGENSI SELANGOR

Aplikasi CEPat rekod nilai transaksi RM420,000

BANGI, 2 OKT: Aplikasi tanpa tunai ‘Citizen E-Payment Platform’ atau CEPat merekodkan nilai transaksi berjumlah RM420,000 dalam tempoh setahun penggunaannya.

Kaedah dibangunkan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) itu digunakan oleh Majlis Daerah Hulu Selangor, Majlis Daerah Kuala Selangor dan Majlis Perbandaran Kajang.

Pengarah Urusan SSDU Dr Mohamad Fahmi Ngah menyifatkan pencapaian tersebut bukti masyarakat semakin menerima penggunaan aplikasi moden.

“SSDU sedang menambah baik perkhidmatan yang boleh digunakan CEPat sebelum diperluaskan kepada semua pihak berkuasa tempatan di Selangor pada Disember tahun ini.

“Langkah tersebut seiring sasaran memastikan perkhidmatan berbayar Kerajaan Negeri dibuat dalam platform ini menjelang 2022,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Kempen MyDebit Bersama Smart Selangor di sini hari ini.

Aplikasi CEPat yang dilancarkan pada 1 Ogos 2019 menggunakan teknologi awanan berasaskan ‘cloud’ untuk semua perkhidmatan berbayar kerajaan di pelbagai peringkat meliputi khidmat permohonan lesen, kompaun dan cukai taksiran.

CEPat boleh dimuat turun menerusi Playstore bagi pengguna Android dan AppStore bagi IOS.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

SSDU tekad realisasikan Negeri Pintar

SHAH ALAM, 5 NOV: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) terus komited dalam memastikan perancangan Smart Selangor direalisasi selaras hasrat Kerajaan Negeri.

Pengarah Urusannya, Dr Fahmi Ngah berkata usaha itu disokong melalui peruntukan RM50 juta dalam
Belanjawan #Selangor2020 yang dibentangkan pada 1 November lalu.

“Sebanyak 13 inisiatif melalui program Smart Selangor akan diperkenal tahun hadapan bagi memastikan negeri ini lebih produktif dan berdaya huni.

“Dato’ Menteri Besar juga berhasrat untuk membawa beberapa penciptaan terkini di bawah SSDU ke beberapa bandar ASEAN lain pada tahun hadapan,” katanya kepada SelangorKini.

Dalam pembentangan belanjawan lalu, sejumlah RM50 juta diperuntuk bagi merealisasikan hasrat Negeri Pintar dengan sasaran kemajuan projek 46 peratus menjelang akhir tahun 2020.

Pada masa sama, Dr Fahmi berkata belanjawan negeri membuktikan tekad Kerajaan Selangor untuk mengurangkan defisit tahunan dan terus menumpukan perbelanjaan pembangunan rakyat.

“Program pembangunan ekonomi seperti Smart Selangor dan beberapa inisiatif berkaitan dalam pelancongan serta pertanian juga tidak dipinggirkan.

“Di samping itu, agenda utama di bawah Inisiatif Peduli Rakyat juga masih diteruskan untuk keperluan berpendapatan rendah (B40),” katanya.

SSDU adalah anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri yang diberi mandat untuk menerajui pembangunan program Smart Selangor, sekali gus menjadikan Selangor negeri serantau menjelang 2025.

Sejumlah 60 inisiatif dibangunkan di bawah 12 domain Smart Selangor, antaranya Tadbir Urus Pintar, Pengurusan Sisa Pintar, Pengurusan Lalu Lintas Pintar, Insfrastruktur Digital Pintar dan Pendidikan Pintar.

Categories
AGENSI SELANGOR

SSDU menang Anugerah Amalan Terbaik dari Frost & Sullivan

SHAH ALAM, 16 OKT: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) memenangi Anugerah Amalan Terbaik bagi kategori Agensi Tadbir Urus Bandar Pintar Membangun di Asia Tenggara 2019 (2019 Emerging Southest Asia Smart City Governance Agency Of The Year Award) oleh Perunding Global Frost & Sullivan.

Pengarah Urusannya, Dr Fahmi Ngah berkata, anugerah berprestij itu mengiktiraf amalan terbaik dan prestasi cemerlang yang ditonjolkan SSDU dalam implementasi program Smart Selangor.

“Kemenangan ini tidak dijangka. Cuma saya berpendapat memang tepat diberikan kepada kita di Selangor kerana amalan struktur tadbir urus program Smart Selangor yang dilaksanakan selama ini.

“Pastinya di peringkat Kerajaan Negeri perbelanjaan untuk program ini adalah sangat berhemah, di mana setiap sen yang dibelanjakan itu harus menepati penunjuk prestasi utama dan terkesan kepada rakyat,” katanya kepada Media Selangor.

Dr Fahmi turut menyifatkan pencapaian terbaik di peringkat ASEAN itu membuktikan prosedur dan pematuhan yang diamalkan di Selangor selaras piawaian antarabangsa.

Selangor sejak 2008 katanya, tidak mempunyai masalah tadbir urus atau ketirisan yang membarah serta wajib dipatuhi semua agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan negeri.

Pada masa sama, Dr Fahmi mencadangkan budaya “agile culture” daripada sudut metodologi dan praktis diterapkan ke dalam struktur tadbir urus kerajaan dalam tempoh enam tahun ini.

Jika berjaya dilaksanakan, katanya, ia akan membuka Selangor kepada potensi pelaburan dan perniagaan luar yang lebih besar.

“Banyak kolaborasi bersama pihak swasta perlu dibentuk. Jika konsep dan budaya “agile” berjaya diterapkan, pihak swasta terutama dari industri berasaskan inovasi dan teknoloji akan lebih gemar melabur dan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri kerana dilihat lebih terbuka kepada keperluan industri.

“Kita perlu maju ke hadapan dengan lebih cepat tanpa melanggar pematuhan undang-undang, namun sebarang proses birokrasi yang keterlaluan perlulah dikaji semula supaya ia lebih mesra pelabur,” katanya.

SSDU adalah anak syarikat milik penuh Kerajaan Selangor yang diberikan mandat untuk menerajui pembangunan program Smart Selangor, sekali gus menjadikan negeri itu sebagai “The Premier Regional Smart State” di rantau ASEAN menjelang 2025.

Program Smart Selangor bermatlamat menjadikan Selangor sebagai negeri serantau yang lebih produktif dan berdayahuni selain memastikan kemampanan serta pemuliharaan alam sekitar seiring dengan pembangunan dicapai.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

3.5 juta manfaat ‘Boost’, belanja tanpa tunai

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BESAR, 16 MAC: Kerajaan Negeri berusaha menjadikan rakyat Selangor sebagai masyarakat pintar meliputi semua aspek kehidupan termasuk membabitkan kemudahan berbelanja.

Pengurus Projek Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Azemah Hassan berkata, bagi tujuan itu, SSDU memperkenalkan applikasi e-wallet, Boost.

Beliau berkata, applikasi itu mendapat sambutan memberangsangkan khasnya masyarakat di Selangor.

“Sehingga kini applikasi itu sudah dimuat turun oleh 3.5 juta pengguna dengan 60 peratus daripadanya adalah pengguna di Selangor.

“E-wallet ini boleh digunakan di pasar raya, restoran, kedai pakaian Jackel, pasar malam dan pasar pagi yang memaparkan QR code kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor pada program Jelajah 360 Smart Selangor “Alami Smart Selangor”, di Stadium Sungai Besar di sini, hari ini.

Katanya, langkah itu sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri menjadikan Selangor sebagai ‘Smart State’ menjelang 2025.

Azemah berkata, applikasi itu boleh dimuat naik di ‘Play Store’ dengan menawarkan kemudahan e-wallet bersama deposit maksimum RM250 dan RM1,500.

“Kategori wallet biasa maksimum RM250 dengan perbelanjaan maksimum sebulan RM1,500 dan Wallet Premium pula maksimum RM1,500 dan penggunaan maksimum RM4,500 sebulan,” katanya.

Bagaimanapun tiada hak minima dikenakan untuk pengguna memasukkan nilai wang di dalam e-wallet ini.

Sebelum itu, pada program Jelajah 360 Smart Selangor, segmen Smart Selangor Ke Arah Masyarakat Tanpa Tunai turut diadakan bagi mempromosi gaya hidup pintar kepada masyarakat di Sungai Besar.

Categories
SELANGOR

Kumpulan Prasarana Rakyat Johor puji inisiatif Smart Selangor

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 28 FEB: Smart Selangor Command Centre (SSCC) semalam menerima kunjungan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor bagi memberi penerangan berhubung inisiatif Smart Selangor, di negeri ini.

Kunjungan julung kali yang disertai delegasi seramai 19 orang dengan diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Noorazam Dato’ Osman itu menerima penerangan daripada Pengarah Urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Fahmi Ngah.

Turut serta adalah Pengarah Projek dan Pembangunan Perniagaan SSDU, Mazlan Mahadi dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor, Raja Shahreen Raja Othman.

Mohd Noorazam berkata, pihaknya tertarik melihat pasukan analitik data SSDU membuat pemantauan dan analisis yang boleh dijadikan panduan.

Katanya, Selangor disifatkan sebagai negeri yang terus ke hadapan dengan agenda Smart State, di Malaysia tanpa melihat contoh luar.

“Pelbagai perkara boleh dipelajari melalui inisiatif Smart Selangor yang dibentangkan seperti Smart Waste Management yang berjaya mengurangkan kos operasi urusan secara keseluruhan,” katanya.

SSCC diwujudkan bagi memantau pengurusan bencana secara menyeluruh, efisien dan pantas di kawasan berkaitan.

Ia termasuk pemantauan kaji cuaca, paras air laut, indeks pencemaran udara, banjir, satelit dan radar cuaca.

 

Categories
SELANGOR

SSCC terima kunjungan delegasi Madinah

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 16 JAN: Sekumpulan delegasi dari Madinah ‘Knowledge Economic City (Madinah KEC) berkunjung ke Unit Pengurusan Bencana Selangor, Smart Selangor Command Centre (SSCC), baru-baru ini.

Smart Selangor dalam kenyataan berkata, kunjungan itu bagi membincangkan pelan pembangunan negeri pintar (smart state) antara Selagor dan Madinah.

Katanya, delegasi Madinah diketuai Pengarah Bandar Pintar dan Teknologi Malumatnya, Mohammed Shah turut mengadakan mesyuarat khas bersama Pengarah Urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Fahmi Ngah.

“Turut dibincangkan ialah kepentingan membangunkan internet berkelajuan tinggi dengan kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama menjalankan program berkembar pada masa depan,” katanya.

Madinah KEC dilancarkan Raja Abdullah Abdul Aziz, pada Jun 2006 dan ia adalah bandar ketiga dari enam bandar ekonomi terpenting seperti diumumkan Gabenor Pelaburan Am Arab Saudi, Amr Dabbagh.

Projek bernilai USD 7 bilion itu terletak di Madinah yang juga menjadi tumpuan umat Islam seluruh dunia.

 

Categories
SELANGOR

Kerjasama SSDU-GRAB realisasi Trafik Pintar Smart Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 9 DIS: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) menjalinkan kerjasama dengan syarikat e-hailing nombor satu negara, GRAB bagi mencari penyelesaian berhubung peningkatan kualiti pengangkutan, di negeri ini.

Pengarah Urusan SSDU, Dr Fahmi Ngah berkata, tumpuan kerjasama berkenaan juga untuk merealisasikan objektif Inisiatif Trafik Pintar Smart Selangor dan Mobiliti Pintar Selangor.

Katanya, ia bertujuan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam, menaik taraf laluan pejalan kaki serta mengurangkan aliran trafik di pusat bandar utama.

“Jalinan kerjasama ini menandakan satu kejayaan penting bagi memastikan penyelesaian lebih berkesan untuk digunakan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan dan Kerajaan Negeri.

“Beberapa inisiatif baru juga akan dibangunkan bersama yang akan menambah baik lagi pengalaman orang awam berkaitan perkhidmatan bas Smart Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama GRAB yang turut dihadiri Ketua Pembangunan Perniagaan GRAB Malaysia, JJ Tan.

Sementara itu, Tan berkata, GRAB percaya setiap rakyat Malaysia harus mendapat manfaat daripada ekonomi digital, sekali gus menerima akses mudah pengangkutan selamat dan berpatutan.

“Matlamat GRAB adalah untuk mengintegrasikan perkhidmatan disediakan dengan pengangkutan awam, membolehkan pelanggan kami bergerak lancar, juga mengurangkan kesesakan semasa mendapatkan perjalanan lebih murah,” katanya.

Categories
SELANGOR

SSDU hargai PBT jaya inisiatif Smart Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 18 SEPT: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) menghargai kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang memainkan peranan penting menjayakan inisiatif Smart Selangor.

Pengarah Projek dan Pembagunan Perniagaan SSDU, Mazlan Mahadi berkata, jalinan kerjasama antara kedua pihak banyak menbantu ke arah pelaksanaan inisiatif itu  melalui pendekatan ‘co-creation’.

“Sejak ditubuhkan pada April 2016, SSDU bekerjasama erat dengan pihak berkepentingan di Selangor terutama PBT bagi mengenal pasti permasalahan rakyat, merancang penyelesaian terbaik dan seterusnya melaksana inisiatif yang mampu menambah baik kualiti kehidupan sejagat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, satu sesi penghargaan kepada PBT di ruang pameran Smart Selangor bersempena Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor 2018 diadakan, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur disampaikan Timbalan Pengarah (Seksyen PBT), Ahmad Zaki Yusof dan Penasihat Smart Selangor, John Davies.

Katanya, pengahrgaan untuk pelaksanaan Smart Selangor Delivery Platform (SSDP) diberikan kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Daerah Kuala Selangor dan Majlis Daerah Sabak Bernam.

“SSDU juga menganugerahkan Majlis Daerah Hulu Selangor atas iltizam dan kerjasama menjayakan agenda Cashless Society, salah satu daripada inisiatif pintar Smart Selangor manakala Majlis Perbandaran Klang menerima penghargaan untuk pelaksanaan inisiatif Smart Pasar.

“Di samping itu, enam pegawai masing-masing daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Sepang, MPK, MPKj dan MPAJ diberi penghargaan atas kerjasama serta dedikasi untuk pelaksanaan inisiatif pelaporan jalan berlubang menerusi aplikasi Intelligent Response Selangor (i-RS),” katanya.

Pada masa sama, Mazlan turut berharap penghargaan itu dapat menyemarakkan lagi pembabitan PBT dalam usaha merelalisasikan inisatif berimpak tinggi kepada pembangunan ekonomi negeri dan menjamin kesejahteraan rakyat terutama bagi menjadikan Selangor sebagai “Smart State” di ASEAN, pada 2025.

Categories
SELANGOR

Smart Selangor bawa impak positif

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 SEPT: Pelaksanaan Smart Selangor diperkenalkan Kerajaan Negeri melalui Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) membawa impak positif kepada pembangunan negeri dan rakyat.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, sejak penubuhan unit berkenaan pada 2016, beberapa inisiatif baharu berasaskan teknologi dan konsep Smart State berjaya dilaksanakan.

“Penggunaan aplikasi jalan raya ‘Waze’ di Selangor meningkatkan kecekapan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) membaiki kerosakan jalan raya kepada tahap 80 peratus, berbanding 65 peratus setahun sebelumnya,” titahnya.

Sultan Selangor bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Keempat Belas, di sini, hari ini.

Titahnya, penggunaan sistem Tindakbalas Pintar Selangor (Intelligent Response Selangor) juga memudahkan Kerajaan Negeri melakukan tindakan susulan.

“Ia memudahkan kerajaan memantau kecekapan dan tindakan PBT dalam melaksanakan operasi pembaikan ini secara telus dan bersepadu,” titahnya.