Categories
SELANGOR

Exco: SSP di semua PBT hujung tahun ini

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 28 JUN: Sistem Smart Selangor Parking (SSP) dijangka beroperasi sepenuhnya di semua 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negeri, hujung tahun ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada kesediaan lima PBT dalam melaksanakan SSP Fasa 1 menjelang 1 Julai ini.

“Saya dimaklumkan, kutipan parkir meningkat di PBT yang sudah menggunakan aplikasi SSP.

“Ini membuktikan SSP memudahkan pengguna membuat bayaran kerana ia menyatukan kaedah pembayaran menerusi satu aplikasi dalam talian.

“Bayangkan jika setiap PBT menggunakan aplikasi berbeza dan ini bermakna pengguna perlu memuat turun 12 aplikasi berbeza,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran SSP Fasa 1, di Hotel Holiday Inn, Seksyen U1, Glenmarie, di sini, semalam.

Majlis turut dihadiri Pengarah Urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Fahmi Ngah.

SSP yang dibangunkan SSDU menerusi SSDU Innovations Sdn Bhd adalah sistem pembayaran parkir dan kompaun berintegrasi dalam talian menerusi aplikasi telefon pintar yang juga saluran tambahan kepada penggunaan kupon parkir serta pembayaran kompaun parkir, di seluruh Selangor.

Bagi Fasa 1, SSP mula dilaksanakan di parkir ‘on-street’ di Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Kajang dan Majlis Perbandaran Selayang.

Dalam pada itu, Sze Han turut menzahirkan ucapan tahniah atas komitmen SSDU membangunkan SSP dengan model pembangunan ‘kos sifar’ kepada PBT.

“SSDU berjaya merangka dan mengamalkan budaya kerja baru menerusi pendekatan ‘Smart Cooperation and collaboration’, sekali gus berjaya membangunkan SSP dalam tempoh amat singkat dengan mengambil kira perincian penguat kuasaan undang-undang kecil berkait di setiap PBT.

“Justeru, semua pihak diharap memberi dukungan berterusan untuk bersama menjadikan Selangor sebagai Smart State di rantau Asia menjelang 2025,” katanya.

Categories
SELANGOR

SSDU hargai jasa Mohamed Azmin

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 19 JUN: Smart Selangor Delivery Unit (SDDU) merakamkan ucapan tahniah kepada mantan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di atas pelantikan selaku Menteri Hal Ehwal Ekonomi untuk Kerajaan Persekutuan.

Pengarah SSDU, Dr Fahmi Ngah berkata, pihaknya ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada Mohamed Azmin yang banyak mencetuskan idea dan sokongan dalam memulakan program Smart Selangor Smart State.

“Bagaimanapun, ia tidak terhenti di sini kerana program itu akan tetap diteruskan di bawah pimpinan Dato’ Menteri Besar yang baharu, Amirudin Shari,” katanya.

Terdahulu, SSDU berhasrat melaksanakan lapan projek infrastruktur, pada tahun ini.

Ia termasuk sistem pembayaran parkir untuk semua Pihak Berkuasa Tempatan yang mengenakan bayaran ruang parkir menerusi sistem ‘Smart Parking’.

SSDU turut mencuba sistem ‘Digital Wallet’ yang menyimpan duit serta dokumen penting seperti kad pengenalan, lesen memandu dan baucar secara digital bagi memudahkan transaksi berlaku tanpa tunai.

SSDU ditubuhkan pada April 2016, merupakan unit khas diberi mandat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk menggerakkan Smart Selangor dengan lebih efektif.

Pada awal Disember 2016, Smart Selangor Blueprint 1.0 dilancarkan dengan menumpukan empat teras utama iaitu Inovasi, Perhubungan, Perpaduan Sosial dan Kehidupan Mampan.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

SSDU dan Media Selangor tiada sebarang kerjasama dengan DIGEST

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 7 JUN : Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) tidak pernah berhubung dan mempunyai sebarang bentuk kerjasama bersama Persatuan Usahawan Digital Selangor (DIGEST), kata Pengarah Urusan SSDU, Dr Fahmi Ngah.

Dr Fahmi berkata, SSDU selaku badan rasmi yang dimandatkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk menerajui dan melaksanakan program Smart Selangor mewakili Kerajaan Negeri tidak pernah mempunyai sebarang bentuk kerjasama atau hubungan rasmi mahupun tidak rasmi bersama DIGEST, sehingga kini.

“SSDU tidak pernah memberikan sebarang bentuk sokongan kepada sebarang program yang dianjurkan pihak DIGEST.

“Saya merujuk kepada jemputan program Majlis Berbuka Puasa dan Pelancaran Persatuan yang dianjurkan DIGEST, di Hotel Grand Blue Wave, di sini, semalam,” katanya dalam kenyataan.

Malah, beliau berkata, SSDU juga tidak pernah berhubung atau mempunyai sebarang bentuk kerjasama dengan semua penama daripada pihak DIGEST seperti tertera dalam jemputan.

Katanya, antara nama yang dinyatakan adalah Presiden DIGEST, Haidar Darus; Timbalan Presiden, Idris Baharom; Pengarah Kewangan, Affify Khusli; Pengarah Operasi, Aadzim Sen-Gupta dan Penaung juga Penasihat DIGEST, Dato’ Sri Megat D Shahriman.

Sementara itu, Media Selangor turut menegaskan tidak mempunyai sebarang bentuk kerjasama juga urusan dengan pihak DIGEST serta menyangkal dakwaan sebagai rakan strategik selain tidak mengetahui segala bentuk aktiviti persatuan berkenaan.

Categories
SELANGOR

Kerjasama SSDU dan AWS upayakan SME

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 APR: Kerjasama Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) bersama Amazon Web Services (AWS) menerusi program AWS Cloudstart, AWS Educate dan AWS Academy dijangka dapat mengupayakan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME), sektor pendidikan serta pembangunan aplikasi, di Selangor dengan kemahiran ‘Cloud Computing Technology’ yang diiktiraf dunia.

Pengarah SSDU, Dr Fahmi Ngah berkata, tiga komponen pembangunan itu akan mengupayakan SME Selangor ke arah Revolusi Industri 4.0 menggunakan Internet of Things, pendidikan berasaskan teknologi maklumat dan pembangunan aplikasi yang diiktiraf dunia.

“Di Selangor, terdapat lebih 180,000 pengusaha SME. Menerusi program AWS Cloudstart, SME Selangor bakal diupayakan dengan kemahiran membangunkan aplikasi baru berdasarkan piawaian dan protokol antarabangsa.

“Banyak sinergi boleh diwujudkan untuk membantu pengusaha SME dengan produk tempatan baik dapat dipasarkan dengan lebih meluas ke seluruh dunia” katanya ketika ditemui selepas perbincangan bersama AWS, di Ibu Pejabat SSDU, di sini.

Dr Fahmi berkata, pihaknya mensasarkan 500 pengusaha SME akan dibabitkan di bawah program AWS Cloudstart, pada tahun pertama perlaksanaanya.

Pada masa sama, Dr Fahmi berkata, kerjasama menerusi program AWS Academy bakal menghasilkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran dalam bidang ‘Cloud Computing’.

Katanya, ia akan dapat menarik minat pelabur asing, terutama daripada sektor berasaskan teknologi dan perisian untuk bertapak, di Selangor.

Selain itu, Dr Fahmi juga mahu membangunkan hab aplikasi bagi menggabungkan semua aplikasi Kerajaan Negeri sedia ada di dalam landasan yang akan membolehkan Big Data Analytics dilakukan.

“Ia untuk menjana polisi negeri yang lebih baik dan memantau keberkesanan beberapa inisiatif di bawah program Inisiatif Peduli Rakyat yang sedang dijalankan,” katanya.

Terdahulu, SSDU dilantik sebagai Organisasi Pembangunan Ekonomi (EDO) AWS pertama di rantau Asia.

Lantikan itu dibuat AWS yang berpengkalan di Amerika Syarikat selepas melihat keupayaan, pada SSDU juga potensi Selangor sebagai pasaran baru teknologi ‘Cloud Computing’ AWS untuk rantau Asia.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

SmartShorties Selangor cungkil bakat industri filem

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 APR: Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) menganjurkan pertandingan Projek Filem Pendek Smartshorties 2018 bagi mempromosikan pembangunan agenda pintar, Smart Selangor bermula 27 Mac sehingga 17 April ini.

Ketua Pegawai Esekutif MBI, YM Raja Shahreen Raja Othman berkata, penganjurannya bagi mengasah bakat pembikin filem amatur, di negeri itu.

Beliau berkata, pertandingan itu juga sebagai usaha mengenal pasti dan menyokong bakat filem baru tempatan untuk tampil mengetengahkan idea baru dalam industri perfileman negara.

“Objektif lainnya adalah mempromosikan Smart Selangor dan kami sangat menggalakkan penyertaan orang ramai supaya mesej disampaikan melalui video filem pendek itu akan mudah diingati dan difahami rakyat.

“Pertandingan ini akan melalui beberapa fasa, termasuk bengkel khas mengasah lagi bakat pembikin video amatur oleh penggiat industri yang profesional.

“Seterusnya, peserta yang terpilih akan diberi pengalaman cukup lumayan apabila video mereka akan ditayangkan pada Malam Gala ‘movie premier’, pada 5 Mei ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Smart Selangor Shorties 2018 di Shah Alam Convention Centre, semalam.

Smartshorties 2008 adalah inisiatif program yang dianjurkan MBI Selangor bersama Smart Selangor Delivery Unit (SSDU).

Sementara itu, orang awam boleh merebut wang tunai sehingga RM14,000 dan berpeluang mengikuti latihan pembikinan filem terkenal bersama Pengarah Urusan Creative Learning and Development, Zaki Abdul Rahim dan selebriti tempatan, Yana Samsudin.

“Tema penghasilan video pendek itu mestilah berdurasi tiga minit dan menekankan 12 domain utama Smart Selangor.

“Antaranya Smart Governance, Smart Digital Infrastructure, Smart Waste Management, Smart Transport and Mobility, Smart Safety and security dan banyak lagi,” kata Raja Shahreen.

Untuk maklumat lanjut dan penyertaan, orang ramai boleh membuat pendaftaran di http://bot.ly/SmartShorties

Categories
SELANGOR

SSDU perkenal aplikasi mudah wanita beli barang keperluan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 15 MAC: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) bakal memperkenalkan aplikasi memudahkan wanita membeli barangan keperluan seharian secara dalam talian.

Timbalan Pengarah SSDU, Dr Fahmi Ngah berkata, hal itu bagi memudahkan golongan terbabit yang kini sibuk dengan pelbagai tugasan harian.

“Kami sedang dalam proses merangka aplikasi ini yang bakal diperkenalkan tidak lama lagi bagi menjimatkan masa wanita.

“Aplikasi ini dicipta selaras hasrat Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali untuk merealisasikan Selangor sebagai negeri pintar terulung, di Asean menjelang 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia peringkat Selangor 2018 ‘Press For Progress’, di Hotel Concorde, di sini, semalam.

Forum berkenaan turut menampilkan Penasihat Institut Wanita Berdaya (IWB), Zuraida Kamaruddin dan Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Noraini Roslan.

Forum itu membincangkan dasar wanita Selangor dan wanita ke arah pembangunan bandar pintar.

Categories
EKONOMI SELANGOR

Revolusi baru bakal lonjak Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG, 9 FEB: Selangor bersedia melaksanakan inovasi baru menerusi Internet of Things (IOT), Revolusi Perindustrian Keempat (industri 4.0) dan industri teknologi kewangan (fintech) mulai tahun ini bagi melonjakkan sistem fizikal siber mencakupi keupayaan manusia, mesin dan kaedah teknologi baharu.

Timbalan Pengarah Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Fahmi Ngah berkata, pelaksanaan inisiatif itu turut mendapat rangsangan dan sokongan baik daripada pelbagai pihak, sekali gus menjadikan gagasan ‘Smart State’ di landasan tepat.

Katanya, Selangor terus ke hadapan dalam mengaplikasi ekonomi digital dalam meningkatkan platform e-pembayaran ke arah masyarakat tanpa tunai (cashless society) menerusi inisiatif itu juga.

“Inovasi ‘cashless society’ yang akan diterokai membolehkan rakyat di negeri ini berbelanja tanpa membawa fizikal tunai dan transaksi hanya berlaku menerusi telefon bimbit.

“Ia juga akan dapat melihat bagaimana penggunaan aplikasi yang membolehkan rakyat membuat bayaran lesen berkaitan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), cukai tanah dan sebagainya dengan lebih mudah,” katanya kepada SelangorKini selepas Forum Selangor Synergies 2, di Hotel Saujana, di sini.

Dr Fahmi berkata, ketika ini usaha merealisasikan ‘cashless society’ itu dilaksanakan menerusi e-pembayaran program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS).

Katanya, Kerajaan Negeri turut membina landasan kepada pemain industri mencipta aplikasi baru itu dengan menawarkan hadiah lumayan.

Dalam forum itu, Dr Fahmi turut berkongsi inisiatif pelaksanaan yang sudah dan akan dilaksanakan SSDU.

Antara panel yang turut menyertai forum yang dihadiri kira-kira 100 peserta itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Presiden PT Siemens Indonesia, Datuk Prakash Chandran serta Profesor Kejuruteraan Kimia Universiti UCSI, Prof Datuk Dr Ahmad Ibrahim.

Selain itu, panel forum berkenaan turut menampilkan rakan pengurusan Mohd Ridza & Co, Mohamed Ridza Abdullah dan Ketua Pegawai Operasi SIRIM Technology Venture, Ajmain Kassim.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IBR Asia, Dato’ Beatrice Nirmala selaku moderator.

Selangor Synergies 2: Emerging Technologies in Selangor membincangkan teknologi baru yang bakal dicipta bagi meningkatkan daya tarikan Selangor sebagai hab pelaburan.

Forum yang dianjurkan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dengan kerjasama Kumpulan IBR Asia dan turut membincangkan beberapa inovasi juga penemuan teknologi baru yang sedang dibangunkan juga diterima Selangor.

Terdahulu, SSDU melancarkan aplikasi yang membolehkan pengguna Bas Smart Selangor boleh memuat turun aplikasi Selangor Intelligent Transport System (SITS) bagi mendapatkan maklumat 34 lokasi laluan Bas Smart Selangor, termasuk PJ City Bus.

Categories
SELANGOR

SSDU di landasan tepat jayakan Smart State

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) berjaya memainkan peranannya secara proaktif dalam merealisasikan hasrat Selangor bergelar Smart State, kata Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, SSDU giat membangunkan beberapa prasarana penting dalam mewujudkan persekitaran ‘Internet of Things’ (IOT) dalam tempoh begitu singkat.

Katanya, ia termasuk pembangunan pusat aduan, Smart Selangor Command Centre; aduan jalan berlubang, Waze Connected Citizens Program dan pengurusan sisa pepejal di bawah KDEB Waste Management Sdn Bhd.

“Statistik aduan sampah misalnya dilihat begitu mendadak menurun di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terbabit dan aduan jalan berlubang dapat disampaikan dengan cepat seterusnya tindakan PBT juga cepat.

“Kaedah sebegini yang diperkenal SSDU membantu meningkatkan kecekapan dan penyampaian Kerajaan Negeri dan PBT seterusnya menambah baik kualiti hidup rakyat,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui sejurus selesai menyambut kunjungan ‘United Kingdom Mega Technology Mission’ ke Malaysia, di Istana Selangor, semalam.

Ditubuhkan pada April 2016, SSDU merupakan unit khas diberi mandat
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk menggerakkan Smart Selangor dengan lebih efektif.

Pada awal Disember 2016, Smart Selangor Blueprint 1.0 dilancarkan dengan menumpukan empat teras utama iaitu Inovasi, Perhubungan, Perpaduan Sosial dan Kehidupan Mampan.

=EZY=

Categories
SELANGOR

SSCC permudah pantau kebakaran hutan simpan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 11 OGOS: Smart Selangor Command Centre (SSCC) melancarkan operasi pemantauan dan pelarasan operasi pemadaman kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Utara dan Hutan Simpan Raja Musa, Kuala Selangor.

Ketua Penolong Setiausaha, Unit Pengurusan Bencana (UPB), Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata, ia termasuk pemantauan keluasan menerusi satelit, bacaan indeks pencemaran udara, radar cuaca, ramalan arah angin serta menyelaras komunikasi antara jabatan.

“UPB menggunakan dua ‘drone’ dan tiga pam berkuasa tinggi bagi membantu operasi tapak di kawasan terlibat.

“Dengan adanya SSCC, maklumat satelit juga dapat diselaras dan pemantauan dapat dimaklumkan dalam kadar segera,” katanya lapor Smart Selangor Delivery Unit (SSDU).

Pada 3 Ogos lalu, Hutan Simpan Kuala Langat Utara seluas 100 hektar dilapor mula terbakar dan usaha pemadaman ke atas kira-kira 85 ekar masih dijalankan.

Sementara itu, Hutan Simpan Raja Musa, Kuala Selangor seluas 120 hektar pula dilapor mula terbakar sejak 8 Ogos lalu dan kini masih berbaki 10 hektar untuk dipadamkan.

Ahmad berkata, UPB turut melakukan ‘water bombing’ menggunakan pesawat Bombardier milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, pam berkuasa tinggi, telaga air khas (tube well) dan jentera penggali (excavator).

Katanya, operasi di kedua kawasan kebakaran membabitkan lebih 200 anggota petugas.

“Punca kebakaran dikhuatiri ekoran aktiviti manusia, tambahan pula musim monsun barat daya yang sedang dialami sekarang ini, kebakaran lebih mudah merebak.

“Orang ramai diminta berhati-hati di kedua kawasan itu dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.

Mula beroperasi di SSCC sejak 1 Ogos lalu, UPB menyelaras operasi bersepadu dan pemantauan 24 jam di kedua kawasan membabitkan lebih 60 agensi, jabatan dan badan bukan kerjaaan.

Operasi awal SSCC tertumpu kepada pemantauan aset negeri seperti lampu trafik, keadaan jalan raya, pemantauan bas Smart Selangor, pengurusan sampah, indeks pencemaran udara dan air serta operasi UPB.

sdr

Kawasan Kebakaran di Kuala Selangor Kebakaran di Kuala Langat Utara Water bombing di Kuala Langat

Categories
SELANGOR

Pantau bencana menerusi Smart Selangor Command Centre

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 11 OGOS: Capaian pemantauan pengurusan bencana diyakini mampu ditingkatkan menerusi Smart Selangor Command Centre (SSCC).

Ketua Penolong Setiausaha, Unit Pengurusan Bencana, Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata, SSCC yang dilengkapi teknologi terkini membolehkan pemantauan dilakukan dengan lebih menyeluruh, efisien dan pantas di kawasan berkaitan.

Katanya, ia termasuk pemantauan kaji cuaca, paras air laut, indeks pencemaran udara, banjir, satelit dan radar cuaca.

“UPB tertarik dengan SSCC yang mempunyai capaian internet pantas dengan skrin dan server bersaiz besar, ruang kerja ergonomik dan kondusif serta peralatan teknologi informasi (IT) moden dan terkini.

“Ia juga membabitkan tenaga kerja pakar dalam melakukan pemantauan berkala dari semasa ke semasa, menjadikannya pusat berinovasi tinggi,” katanya dipetik Smart Selangor Newsletter edisi Ogos 2017.

Pada 1 Ogos lalu, UPB memulakan operasinya secara dasar di SSDU dan merancang untuk beroperasi sepenuhnya pada 1 September ini.

Baru-baru ini, UPB diketuai Ahmad Fairuz mengunjungi SSCC di pejabat Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), di sini, dan disambut Timbalan Pengarahnya, Dr Fahmi Ngah.

Fahmi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor turut memberi penerangan berhubung aspirasi Smart Selangor, garis panduan penggunaan pejabat SSDU, Command Centre serta potensi kerjasama kedua belah pihak.

SSDU adalah unit khas yang diberi mandat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk menggerakkan Smart Selangor dengan lebih efektif.

Ia termasuk menyelaraskan infrastruktur untuk penambahbaikan sistem, menjalinkan kolaborasi pihak berkepentingan, memudah cara dan mengurus penyedia perkhidmatan serta mencari solusi kepada isu disuarakan rakyat.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Exco puji usaha SSDU efektif laksana Smart Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 OGOS: Usaha Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) memperlihatkan inisiatif pelaksanaan Smart Selangor menerusi gerak kerja efektif dipuji Exco Kerajaan Negeri.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdangangan, Industri Kecil Sederhana dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim turut menyambut baik inisiatif yang dimajukan itu.

Malah, beliau turut mencadangkan beberapa keperluan lain untuk memperkembangkan inisiatif dan penambahbaikan sistem sedia ada.

“Beliau turut menyatakan setiap gerak kerja dipantau dan diselia dengan efektif supaya rakyat boleh memperoleh manfaat sepenuhnya, di samping memberi beberapa cadangan penambahbaikan sistem sedia ada,” katanya dalam kenyataan oleh Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI).

Terdahulu, Chang Khim mengadakan kunjungan rasmi ke Pejabat SSDU bagi melihat operasi di Smart Selangor Command Centre serta memperoleh maklumat terkini berkenaan inisiatif Smart Selangor.

Pembentangan Inisiatif Smart SelangorKunjungan beliau disertai Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Raja Shahreen Raja Othman; Timbalan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi, Mohd Yazid Sairi dan Timbalan Pengarah SSDU, Dr Fahmi Ngah.

Pengurus projek inisiatif Smart Selangor membentangkan perkembangan terkini beberapa projek seperti Bus Information System (BIS), Waze potholes reporting system, Aplikasi Pemantauan Persekitaran, Sistem Pemantauan Lampu Isyarat dan Sistem Perhubungan Rakyat (Community Opinion Online).

SSDU adalah unit yang diberi mandat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) menggerakkan Smart Selangor dengan menyelaraskan infrastruktur untuk penambahbaikan sistem, menjalinkan kolaborasi pihak berkepentingan, memudah cara dan mengurus penyedia perkhidmatan serta mencari solusi kepada isu disuarakan rakyat.