Categories
AGENDA SUKANKINI

Beregu lelaki tamatkan kemarau emas 16 tahun

MANILA, 9 DIS: Gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya menamatkan kemarau pingat emas selama 16 tahun dalam acara beregu lelaki Malaysia pada temasya Sukan SEA apabila bangkit untuk mengalahkan beregu Thailand, pada final edisi ke-30 di sini, hari ini.

Pada penampilan sulung di temasya dwitahunan ini, Aaron-Chia-Soh Wooi Yik melengkapkan hari gemilang skuad badminton negara apabila menewaskan Bodin Isara-Maneepong Jongjit 18-21, 21-15, 21-16 di Kompleks Sukan Muntinlupa di sini.

Lebih manis, kemenangan tersebut merupakan kejuaraan pertama mereka sejak digandingkan pada hujung 2017 serta menjadi tonik terbaik menjelang Kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF di Guangzhou, China, bermula Rabu ini.

Malaysia kali terakhir memenangi emas acara beregu lelaki menerusi gandingan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah pada edisi 2003 di Vietnam.

Kemenangan Aaron-Wooi Yik itu sekali gus menyaksikan mereka menyumbang emas ketiga skuad negara selepas perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan perseorangan wanita, S. Kisona pada hari terakhir saingan.

“Memang sangat gembira, sebab ini kejuaraan pertama untuk kami. Sesuatu yang amat ditunggu-tunggu selama ini. Kejayaan ini adalah petanda baik bagi menghadapi Jelajah Dunia Akhir BWF di Guangzhou,” kata Aaron kepada media selepas perlawanan itu.

Bagi Wooi Yik, beliau akui pingat emas sulung dalam karier mereka amat bermakna, namun menjelaskan ia tidak diperolehi dengan mudah, memandangkan lawan di pentas final itu memiliki kelebihan tersendiri.

Menurutnya, kekalahan set pertama disebabkan percaturan taktikal dan selepas membuat perubahan dari segi pendekatan, ia membuahkan hasil.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

SUKAN SEA: Zee Jia, Kisona genggam emas

MANILA, 9 DIS: Skuad badminton negara di Sukan SEA ke-30 hari ini mencipta sejarah tersendiri, apabila memenangi pingat emas bagi kedua-dua acara perseorangan, lelaki dan wanita akhir.

Kejayaan yang diraih perseorangan lelaki Lee Zii Jia dan perseorangan wanita S.Kisona itu, menyaksikan skuad badminton negara mengulangi pencapaian ketika edisi 1973.

Pada temasya di Singapura itu, Datuk Punch Gunalan menghadiahkan emas buat perseorangan lelaki sementara Sylvia Ng Meow Eng, menyumbang emas bagi perseorangan wanita.

Pada aksi final perseorangan wanita hari ini, Kisona membuktikan bahawa ranking pemain bukan satu halangan, untuk menewaskan lawannya Ruselli Hartawan dari Indonesia yang berada pada rangking jauh lebih baik darinya.

S.Kisona beraksi menentang atlet Indonesia Ruselli Hartawan dalam acara badminton perseorangan wanita akhir pada Sukan SEA Manila 2019 di Muntinlupa Sport Complex hari ini. Foto BERNAMA

Turun selaku pemain di ranking ke-104 dunia, Kisona bagaimanapun lebih unggul mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri untuk menang 2-1 ke atas Ruselli, yang menghuni ranking ke-37 dunia, sekali gus melakar sejarah meraih emas pertamanya, di temasya dwi tahunan itu.

Dalam aksi di Kompleks Sukan Muntinlupa, di sini, pemain berusia 21 tahun itu tewas tipis 20-22 pada set pertama, namun bangkit lebih garang pada set berikutnya.

Pemain kelahiran Negeri Sembilan itu jelas mendominasi permainan dengan pukulan lebih kemas pada set kedua, apabila merakam kemenangan 21-14 sebelum meneruskan momentum bertenaga pada set ketiga untuk mengesahkan pingat emas, dengan kemenangan bergaya 21-13.

“Saya hendak berterima kasih kepada pihak pengurusan dan jurulatih yang telah memberi kepercayaan kepada saya, untuk beraksi dalam acara perseorangan ini.

“Walaupun tidak letak sasaran kepada saya, mereka mahu saya tunjukkan kemampuan saya, dan saya dah pun buktikannya,” katanya.

Kecemerlangan itu diteruskan dalam aksi perseorangan lelaki apabila perseorangan utama negara, Lee Zii Jia turut menghadiahkan pingat emas, menewaskan wakil Singapura, Loh Kean Yew.

Turun selaku pemain di ranking ke-14 dunia, Zee Jia dilihat selesa mengawal rentak permainan untuk menjinakkan lawan 21-18 pada set pertama.

Perseorangan terbaik negara itu bijak menggunakan kesilapan demi kesilapan dilakukan pencabarnya, membolehkan beliau menutup saingan di set kedua dengan kemenangan 21-18.

Kejayaan diraih pemain kelahiran Kedah itu menyaksikan beliau turut melakar sejarah meraih emas pertama di Sukan SEA, mengubati kekecewaannya yang tersingkir awal ketika di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

“Selain daripada kejohanan besar seperti Olimpik dan Sukan Asia, memang Sukan SEA antara yang paling besar untuk badminton.

“Lepas menang tadi saya memang fikir hanya nak bercuti, nak lepaskan semua tekanan yang ada,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Sukan SEA: Ahli akademik sumbang pingat emas pertama e-Sukan

MANILA, 9 DIS: Seorang ahli akademik, Dr Yew Weng Keng mencipta sejarah sebagai atlet pertama Malaysia memenangi pingat emas e-Sukan pertama di Sukan SEA di Filoil Flying V Centre, San Juan, hari ini.

E-Sukan merupakan satu acara yang buat pertama kalinya dianjurkan di Sukan SEA, dan atlet berusia 29 tahun itu memenangi emas bersejarah itu bagi permainan Hearthstone, dengan menewaskan peserta Thailand Werit Popan 3-1 untuk pingat emas.

Pemegang Doktor Falsafah (PhD) dalam Kejuruteraan Elektronik yang juga seorang penolong professor di Universiti Heriot Watt, Malaysia, juga menolak persepsi mereka yang menghabiskan masa bermain permainan elektronik tidak boleh berjaya dalam pendidikan dan kerjaya dengan berjaya dalam kedua-duanya.

Lebih dikenali dengan nama wkyew90, Yew memulakan perlawanan dengan memenangi permainan pertama, namun kalah permainan kedua dan terikat kedudukan 1-1.

Pada permainan ketiga, beliau menghadapi persaingan sengit lebih daripada setengah jam, untuk mendapatkan mata kedua, sebelum memenangi perlawanan keempat dengan mudah, untuk menang 3-1.

“Pingat emas ini, amat bermakna untuk saya dan Malaysia, kerana ini pingat emas pertama negara dalam e-Sukan dalam sejarah Sukan SEA. Rasa kagum, gembira dan bersyukur … saya percaya saya dapat mencipta sejarah, dengan menyumbangkan satu pingat emas kepada negara dan saya amat gembira untuk memenanginya.

“E-Sukan satu trend sekarang ini, akan terus ada walau apapun kita lakukan … Remaja dan generasi kita akan datang akan lebih dan lebih terikut dengan permainan elektronik, ibu bapa seharusnya melihatnya dari segi positif, kerana permainan elektronik sebenarnya boleh meningkatkan pemikiran serta pemikiran strategik dan kritikal.

“Kesemua ini adalah skill yang diperlukan dalam kehidupan, namun anak-anak perlu mengimbangkan antara permainan, aktiviti kesihatan dan juga penddikan. Jika sepenuh masa bermain tanpa peningkatkan dalam pelajaran, anda tidak akan berjaya,” katanya kepada Bernama selepas majlis penyampaian hadiah.

Hearthstone merupakan satu permainan dalam talian berdasarkan kepada permainan kad berstrategi yang dimainkan antara dua orang.

Malaysia sebelum ini menang gangsa dalam Mobile Legends: Bang Bang menerusi Ahmad Ali Huzaif Abdullah, Abdul Wandi Abdul Kadir, Jamil Nurolla, Izme Haqeem Hamsjid dan Muhammad Hazeem Onn selepas tewas kepada pasukan tuan rumah 0-2, semalam.

Sejumlah enam pingat emas dipertandingkan dalam e-Sukan iaitu, Tekken 7, Starcraft II, Heartstone, Arena of Valor, Dota 2 dan Mobile Legends: Bang Bang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Atlet Selangor raih pingat Sukan SEA diberi insentif

PETALING JAYA, 8 DIS: Atlet Selangor mewakili negara yang meraih pingat dalam temasya Sukan SEA ke-30 di Filipina bakal menerima insentif dari Kerajaan Negeri.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman bagaimanapun berkata, jumlah insentif yang akan diberi masih belum diputuskan lagi.

“Ia sejajar dengan arahan Dato’ Menteri Besar untuk kita lihat pencapaian atlet Selangor yang berjaya di Sukan Sea untuk diberikan insentif.

“Nilainya akan ditentukan nanti. Seperti tahun-tahun lalu Selangor memberi insentif bagi menghargai atlet cemerlang dan tahun ini ramai atlet Selangor yang capai prestasi disasarkan antaranya Farah Anne,” katanya.

DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ditemani Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Mohad Khairuddin bergambar bersama peserta 10km pada Program Larian Menjunjung Kasih di dataran MBPJ, Petaling Jaya pada 8 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian kepada media pada acara Larian Menjunjung Kasih 2019 sempena sambutan hari keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang ke-74 di Dataran Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, pemberian insentif itu bakal diadakan dalam satu program yang akan diadakan kelak setelah jumlah insentif sudah diputuskan Kerajaan Negeri.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Sukan SEA: Taufan Kimmuri jejas beberapa acara sukan

MANILA, 3 DIS: Beberapa acara sukan pada temasya Sukan SEA ke-30 yang sedang berlangsung di dua kluster iaitu Subic dan Clark terpaksa ditunda ke tarikh baharu susulan Taufan Kimmuri mula membadai negara itu.

Pengarah Sukan, Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (PHISGOC), Karen Claire Caballero, dalam kenyataan malam tadi, berkata antara jenis sukan yang dipinda ke tarikh baharu ialah bola tampar pantai, kanu/kayak, Muay Thai, pencak silat, pentatlon dan luncur angin.

Acara bola tampar pantai yang bermula semalam dan hari ini ditunda kepada Rabu hingga Jumaat, kanu-kayak (Jumaat-Ahad), Muay Thai, Mai-Waikru (Rabu-Khamis) dan acara seni mempertahankan diri akan bermula Jumaat hingga Ahad ini.

Karen berkata semua acara kapal layar di Subic Bay, yang bermula semalam hingga Rabu dibatalkan dan akan disambung semula Khamis ini manakala acara pencak silat semalam dan hari ini di Pusat Pameran dan Konvensyen Subic ditunda kepada Rabu hingga Jumaat ini.

Beliau berkata acara triatlon berpasukan campuran berganti-ganti pada awal pagi ini ditunda kepada jam 3.30 petang hari ini manakala sesi pagi pentatlon Rabu ini ditunda kepada Khamis.

Beliau turut mengatakan acara luncur angin di Kelab Pelayaran Subic dibatalkan dan akan diadakan pada Rabu ini.

Bagaimanapun, enam lagi jenis sukan iaitu ping pong, sepak takraw, catur, mendayung, renang laut terbuka dan bola baling pantai akan diteruskan seperti dijadual.

Di kluster South Luzon dan La Union (SOLU), di luar pinggir bandaraya Manila, Karen berkata pertandingan papan selaju ditunda ke tarikh baharu dan acara hoki dalam air akan berlangsung seperti biasa tetapi perlu dihentikan sebelum jam 3 petang.

Menurutnya, acara berbasikal dan hoki dalam dewan tidak terjejas dan berlangsung seperti dijadualkan.

Menurut laporan antarabangsa, sekurang-kurang seorang terbunuh manakala ribuan rakyat di Filipina dipindahkan serta operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino digantung ketika Taufan Kammuri, yang juga dikenali sebagai taufan Tisoy oleh penduduk tempatan, semakin mendekati pulau utama Luzon.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Sukan SEA: Malaysia bermula cemerlang

MANILA, 2 DIS: Kontinjen Malaysia mempamerkan aksi cemerlang pada hari pertama Sukan SEA ke-30 di Filipina semalam selepas meraih empat emas, dua perak dan dua gangsa.

Atlet wushu negara, Loh Choon How memulakan tuaian emas untuk kontinjen Malaysia setelah mengungguli acara Taijiquan lelaki dengan kutipan 9.680 mata pada aksi di World Trade Center, Manila.

Paling mencuri tumpuan adalah penari muda berusia 24 tahun, Lego Sam Lee Jek yang meraih emas kedua dalam acara Break Dance Lelaki dalam sukan tarian yang berlangsung di Ballroom Royce Hotel and Casino di Clark.

Aksi atlet sukan tarian kategori Breaking Lego, Sam Jee Lek menunjukkan pingat emas selepas memenangi dalam kategori itu sempena Sukan SEA 2019 Filipina di Royce Hotel, Clark pada 1 Disember 2019. Foto BERNAMA

Kejayaan itu menyaksikan Malaysia berjaya menamatkan penantian selama 12 tahun untuk meraih emas sulung pada temasya sukan berkenaan selepas gandingan Yong Kwok Leong dan Gooi Yee Zhen sekadar meraih pingat gangsa dalam acara Latin Amerika (Rumba) pada edisi 2007 di Korat, Thailand.

Pasukan polo pula mengekalkan status mereka sebagai pasukan terbaik ASEAN apabila mengekalkan pingat emas sukan polo buat kali ketiga berturut-turut selepas mengatasi pasukan tuan rumah, Filipina menerusi keputusan tujuh berbalas 5.5 pada aksi final di Padang Polo L. Miguel Romero di Batangas, dekat sini.

Sebagai rekod, Malaysia muncul juara acara polo pada edisi 2007 di Korat, Thailand, sebelum mempertahankan emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Atlet luncur ais negara, Julian Yee Zhi Yi menjadi atlet terakhir menyumbang emas untuk kontinjen Malaysia setelah mengungguli acara luncur bebas dengan kutipan 202.64 mata keseluruhan pada aksi di SM Megamall.

Dua perak diperolehi menerusi seorang lagi atlet wushu negara, Wong Weng Son dalam acara Changquan Lelaki, serta Fakrul Adam Fauzi Cruz dalam acara Kurash bawah 90kg lelaki, manakala dua gangsa pula masing-masing disumbangkan oleh skuad floorball lelaki dan wanita negara yang menewaskan Filipina pada aksi penentuan pingat gangsa.

Tuan rumah, Filipina mempamerkan belang mereka setelah mendahului kutipan pingat pada hari pertama dengan jumlah keseluruhan 22 emas, 12 perak dan sembilan gangsa, disusuli Vietnam (10-13-9), manakala Thailand berada di tempat ketiga dengan kutipan lima emas, empat perak dan 10 gangsa.

Kontinjen Malaysia akan meneruskan pemburuan emas pada hari kedua, hari ini dalam beberapa acara, antaranya wushu, menembak, pencak silat dan gimnastik artistik.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Sukan SEA: Atlet negara perlu kekal fokus

PELABUHAN KLANG, 29 NOV: Atlet kebangsaan yang bertanding di Sukan SEA ke-30 diminta tidak terganggu dengan masalah yang timbul di temasya berkenaan dan memberikan fokus sepenuhnya untuk mencapai sasaran pingat yang ditetapkan.

Menteri Belia dan Sukan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata pihaknya melalui Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) bersedia dengan pelan kecemasan bagi mengatasi sebarang masalah sekiranya berlaku.

“Saya mahu atlet dengan pegawai untuk fokus, fokus ini penting kerana semua negara melalui masalah yang sama, kita mesti fokus dan yakin bahawa pencapaian 70 pingat emas dapat dicapai,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai beberapa isu dan masalah yang dihadapi atlet negara yang bertanding di Sukan SEA ke-30 di Filipina.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis ketibaan peserta Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) 2019 di Terminal Boustead Cruise Centre, Pulau Indah di sini hari ini.

Mengulas mengenai isu tiada makanan halal dibekalkan kepada atlet negara di temasya berkenaan Syed Saddiq berkata pihaknya telah melakukan penghantaran kedua makanan halal ke Manila, Filipina hari ini.

Rabu lalu, media melaporkan sebanyak 500 kotak besar pek makanan Brahim’s diterbangkan khas ke Filipina bagi keperluan atlet dan pegawai negara sepanjang temasya dwitahunan itu berlangsung.

Mengulas mengenai SSEAYP 2019 Syed Saddiq berkata program itu merupakan platform terbaik untuk para peserta belajar mengasah sifat kepimpinan dan mengenali budaya pelbagai kaum yang ada di Asia Tenggara.

Program SSEAYP yang masuk tahun ke-46 penganjurannya disertai seramai 330 orang duta belia daripada 10 negara Asia Tenggara dan Jepun.

Pada program kali ini seramai 29 orang belia dari Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang telah dipilih oleh Kementerian Belia dan Sukan untuk turut serta dalam program selama 52 hari itu.

Program SSEAYP yang dijalankan diatas kapal Nippon Maru berkenaan bermula pada 25 Oktober lepas di Tokyo, Jepun dan telah berlayar ke Vietnam, Singapura, serta Myammar, dan kini ia berlabuh di Malaysia selama empat hari sebelum meneruskan pelayaran ke Tokyo, Jepun.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sukan SEA: Masalah makanan halal hanya di Manila

SEPANG, 28 NOV: Isu tiada makanan halal dibekalkan kepada kontinjen negara ke Sukan SEA ke-30 hanya berlaku di Manila, tidak dilaporkan berlaku di perkampungan sukan di Clark.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail menjelaskan perkara itu berlaku disebabkan atlet yang bertanding di Manila ditempatkan di hotel berbanding perkampungan sukan di Clark.

“Masalah banyak berlaku di Manila sebab hotel. Dekat perkampungan sukan sudah tidak timbul isu makanan halal sekarang. Namun pihak hotel sudah mula mendapatkan makanan halal. Sudah ada perkembangan tapi kita masih bekalkan dengan pek makanan segera daripada Brahim’s.

“Ia cita rasa rakyat Malaysia. Mereka boleh buat pilihan mahu makan makanan yang disediakan penganjur atau Brahim’s. Kalau penganjur ada masalah berkaitan makanan halal lagi, ia sepatutnya selesai menjelang 28 November (hari ini),” katanya pada majlis penghantaran Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA ke-30 di Lapangan Terbang Antaraangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pada Rabu, media melaporkan sebanyak 500 kotak besar pek makanan Brahim’s diterbangkan khas ke Filipina bagi keperluan atlet dan pegawai negara sepanjang temasya dwitahunan itu berlangsung.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ketua kontinjen, Datuk Megat Zulkarnain Omardin serta dua timbalannya, Ahmad Faedzal Md Ramli dan Nurul Huda Abdullah menjalankan tugas mereka dengan proaktif dalam menjaga kebajikan atlet dan pegawai.

“Pegawai MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) pun ada di sana. Kita ada pelan B berkaitan masalah makanan, Brahim’s turut membantu pastikan makanan atlet dapat dijaga. Kita pantau dari dekat dan kalau masalah sebegini timbul, kita akan gunakan saluran sedia ada untuk membuat aduan.

“Iaitu menerusi ketua kontinjen. Kita telah menyuarakan keprihatinan kita tapi untuk sekarang kita hanya mahu pastikan kebajikan atlet dapat dijaga sebaik mungkin,” katanya.

Selain masalah makanan halal, difahamkan, pelbagai aduan dikemukakan termasuk tentang masalah pengangkutan serta penginapan selain kerja pembinaan yang didakwa masih dilakukan di beberapa lokasi acara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Sukan SEA: Luqman akui perlawanan pertama memang sukar

MANILA, 26 NOV: Pemain bola sepak kebangsaan yang sedang meningkat naik, Luqman Hakim Shamsudin bertekad untuk memperbaiki prestasinya dalam kempen Sukan SEA, sekiranya terus diberi kepercayaan oleh pengendali pasukan, Datuk Ong Kim Swee.

Penyerang berusia 17 tahun itu dan Umar Hakeem Suhar Redzuan merupakan dua pemain daripada pasukan Bawah (B) – 18 tahun yang mendapat kepercayaan Kim Swee untuk diturunkan dalam kesebelasan utama pada aksi menentang Myanmar semalam.

Bagaimanapun, produk daripada Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) itu yang beraksi buat kali pertama dalam perlawanan kompetitif dengan skuad Kim Swee, gagal menyinar di Stadium Memorial Rizal, di mana Malaysia terikat 1-1 bersama Myanmar dalam aksi pembukaan Kumpulan A itu.

Berikutan itu, pemain yang telah mendapat tawaran untuk beraksi bersama pasukan di Liga Utama Belgium, KV Kortrijk mahu memperbaiki segala kelemahannya dalam menjayakan misi skuad B-22 negara untuk meraih pingat emas Sukan SEA.

Pemain Malaysia, Luqman Hakim Shamsudin (kiri) ketika mengasak pemain Myanmar, Soe Moe Kyaw pada aksi pembukaan bola sepak lelaki sempena Sukan SEA 2019 di Stadium Memorial Rizal hari ini.?Keputusan penuh Malaysia terikat 1-1 menentang Myanmar. Foto BERNAMA

“Saya memang tidak berpuas hati dengan aksi saya, terdapat kekurangan. Saya selalunya akan menghadapi kesukaran dalam perlawanan pertama. Mungkin pada perlawanan seterusnya saya boleh baiki kelemahan saya jika diberi kepercayaan.

“Beraksi di padang tiruan juga boleh memberi kesan, kerana bola laju sikit sebab kita tak biasa dengan padang di sini. Sebelum ini dah berlatih di turf, tetapi padang ini lebih licin dan bola lebih laju, memberi sedikit halangan kepada kita,” katanya.

Myanmar yang menampilkan aksi menyerang dan pantas, mengejutkan Malaysia dengan jaringan Kyaw Soe Moe pada minit ke-13, sebelum tandukan Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak menyelamatkan skuad negara daripada kekalahan pada minit ke-24.

Selepas berehat selama tiga hari, Malaysia seterusnya akan memburu kemenangan ke atas tuan rumah Filipina pada Jumaat ini, dikuti aksi menentang Timor Leste (Isnin) dan Kemboja, dua hari kemudian.

Hanya dua pasukan teratas kumpulan layak ke separuh akhir.

Kali terakhir Malaysia memenangi emas di pentas Sukan SEA adalah pada edisi 2011 di Jakarta. Pada edisi 2017, Malaysia merangkul pingat perak selepas tewas 0-1 kepada Thailand.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Filipina selaku tuan rumah Sukan SEA belum sedia sepenuhnya

BANGI, 20 NOV: Belum selesai isu venue yang tidak siap dalam masa yang ditetapkan, kini sistem pemarkahan dan pemasaan bagi beberapa acara pula menjadi kerisauan kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019 di Filipina.

Ketua kontinjen negara, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, sehingga kini sistem pemarkahan dan pemasaan masih dalam status ‘kerja dalam proses’ .

“Saya tidak risaukan kontinjen kerana mereka semua sudah bersedia. Yang merisaukan sekarang ialah tahap kesediaan tuan rumah. Kita dengar berita berlaku banyak masalah di sana dan saya ada buat semakan, usaha sedang dijalankan.

Saya juga ada berurusan dengan mereka yang dilantik untuk menyediakan sistem pemarkahan dan pemasaan, kebetulan syarikat dari Malaysia itu dilantik di saat akhir untuk menyelesaikan masalah sistem pemarkahan dan pemasaan.

“Katanya, kerja dalam proses, kita mengharapkan mereka dapat selesaikan masalah itu dalam masa terdekat,” katanya kepada media selepas Perhimpunan Akhir Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA ke-30, hari ini.

Perhimpunan selama tiga hari bermula hari ini sehingga Khamis melibatkan penyertaan 708 barisan atlet dan pegawai bagi memberi motivasi dan semangat sebelum kontinjen negara beraksi di Filipina.

Disamping dibebani dengan masalah itu, Megat Zulkarnain berharap tidak berlaku sebarang penukaran venue pertandingan di saat akhir oleh tuan rumah Sukan SEA.

Megat Zulkarnain juga berkata, kesemua atlet negara yang layak ke Sukan SEA Filipina telah lulus ujian saringan kesihatan yang ditetapkan tuan rumah namun seorang atlet telah diganti ekoran masalah kesihatan.

Sementara itu, timbalan ketua kontinjen yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli berkata, suntikan vaksin polio akan diberikan kepada atlet dan juga pegawai sepanjang program tiga hari itu.

“ISN ada sediakan kaunter untuk suntikan vaksin polio. Pengambilan vaksin polio baru sahaja diputuskan pada minggu lepas. Kita tidak wajibkan tapi menyarankan mereka agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini nanti.

“Jika ada antara mereka yang tidak mahu, mereka perlu tandatangan perjanjian dengan ISN. Tapi buat masa sekarang, boleh dikatakan semua atlet setuju untuk ambil vaksin polio,” katanya.

Dalam masa sama, Ahmad Faedzal berkata, hampir 90 peratus atlet dan pegawai telah mengambil suntikan vaksin bagi mencegah wabak demam campak.

Untuk rekod, 774 atlet akan mewakili negara dalam 52 daripada 56 acara yang dipertandingkan.

Sukan SEA 2019 yang akan membuka tirai pada 30 November hingga 12 Disember ini akan diadakan di tiga kluster utama iaitu Manila, Clark dan Subic.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Sukan SEA: Venue belum sedia cetus kebimbangan

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Berbaki 36 hari lagi menjelang Sukan SEA 2019, laporan berhubung pembinaan venue pertandingan di Filipina yang masih belum disiapkan sepenuhnya merisaukan kontinjen negara.

Timbalan Ketua Kontinjen Negara ke Sukan SEA 2019, Nurul Huda Abdullah berkata Malaysia, sebagai salah sebuah negara yang bakal bertanding di temasya itu masih tertanya-tanya berhubung venue pertandingan.

“Memang mengecewakan kerana sudah dekat Sukan SEA, namun venue masih belum bersedia lagi. Tetapi mereka (Filipina) sedar hal itu dan sedang uruskan kelewatan.

“Sebelum ini saya ada berjumpa dengan penganjur untuk bertanyakan isu ini dan mereka tahu masa sangat terhad sekarang.

“Kita (wakil Malaysia) akan ke Filipina dari 28 hingga 31 Okt ini, kita akan usulkan perkara ini pada pertemuan itu,” katanya selepas melawat persiapan skuad muay thai dan kickboxing di Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.

Dilaporkan tuan rumah kejohanan itu mengambil keputusan memindahkan beberapa venue pertandingan ke Manila pada saat-saat akhir serta penganjur dikatakan menghadapi masalah dana selain dikaitkan dengan konflik dalaman kepimpinan sukan di negara berkenaan.

Nurul Huda juga melahirkan perasaan bimbang dengan situasi itu kerana bakal mengundang masalah kepada atlet dan pegawai dalam membuat persediaan awal sebelum hari pertandingan.

Temasya sukan terbesar rantau Asia Tenggara itu bakal mempertandingkan 56 acara di tiga kluster iaitu Manila, Clark dan Subic bermula dari 30 November hingga 11 Disember.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Sukan SEA: Penurunan had kelayakan beri motivasi kepada atlet

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Keputusan Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA menurunkan had kelayakan atlet kategori A dilihat satu tindakan tepat dalam merangsang atlet negara yang dipilih untuk melakar keputusan positif pada Sukan SEA ke-30 di Filipina, November ini.

Ketua kontinjen negara ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, beliau menyokong keputusan itu bagi memastikan tidak wujud “penumpang” dalam kontinjen negara ke temasya dwitahunan berkenaan.

Penyertaan kategori A ditaja sepenuhnya Majlis Olimpik Malaysia (MOM), manakala menerusi kategori B, persatuan sukan kebangsaan perlu mendahulukan wang perjalanan dan MOM akan membayar wang perjalanan berkenaan jika atlet mereka meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa.

“Saya fikir ia juga boleh merangsang seseorang atlet, dan pastinya kita hendak beri lebih banyak ruang kepada banyak persatuan sukan (kebangsaan) untuk menamakan atlet mereka.

“Saya pun sudah maklumkan dalam pertemuan dengan pengurus pasukan (baru-baru ini) bahawa kita mahu “penumpang” tidak kira apa sukan sekalipun walaupun sekadar hanya ingin mengambil bahagian termasuk dalam kategori B,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan skuad terjun dan renang negara di Pusat Akuatik Nasional, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Kontinjen Negara ke Sukan SEA 2019, Nurul Huda Abdullah.

Ditanya berhubung jumlah sasaran pingat, Megat yang juga Naib Presiden MOM memaklumkan perkara berkenaan akan diumumkan dalam tempoh terdekat setelah pihaknya memuktamadkan jumlah sebenar atlet negara ke Sukan SEA 2019.

Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA yang bersidang, baru-baru ini dilaporkan bersetuju menurunkan had kelayakan kategori A ke Sukan SEA 2019.

Pemenang pingat gangsa dalam acara individu Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) akan diletakkan dalam kategori A, berbanding pemenang pingat perak sebelum ini, manakala atlet yang menduduki tempat keempat dalam acara berpasukan pada KL2017, turut meraih tiket automatik kategori A.

Sukan SEA ke-30 bakal berlangsung dari 30 November sehingga 11 Disember, membabitkan 56 acara di tiga kluster iaitu Manila, Subic dan Clark.

-BERNAMA