Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Hargai sokongan Sultan Selangor, Kerajaan Negeri

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 12 SEPT: Pemberian insentif Kerajaan Negeri kepada atlet Selangor atas kejayaan menyumbang pingat untuk kejuaraan negara dalam Sukan Sea 2017 disifat mereka sebagai pembakar semangat untuk terus mencipta kegemilangan pada masa depan.

Atlet berkaitan turut melahirkan penghargaan kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang berkenan mencemar duli menyampaikan kepada mereka dalam Majlis Penyerahan Insentif kepada atlet dan jurulatih Selangor mewakili negara dalam kejohanan itu.

Seramai 99 atlet dan sembilan jurulatih menerima insentif berjumlah RM540,000 disediakan Kerajaan Negeri apabila setiap atlet memperoleh emas menerima RM5,000 manakala pingat perak (RM3,000) dan gangsa (RM2,000).

“Terima kasih dan pastinya insentif ini memberi galakan kepada saya juga atlet lain untuk terus berusaha mencatat lebih kejayaan pada masa akan datang.

Farah Ann“Sukan Sea kali ini yang ketiga dan kejayaan ini dianggap terbaik kerana dicatat di tempat sendiri biarpun turut meraih dua emas dalam temasya sama dua tahun lalu di Singapura,” kata atlet gimnastik artistik, Farah Ann Abdul Hadi, 23, yang mendapat RM10,000 untuk dua pingat emas bagi acara berpasukan wanita dan senaman lantai.

Katanya, ia adalah Sukan Sea yang ketiga baginya serta disifatkan sebagai pencapaian terbaik kerana kejayaan dicatat di negara sendiri.

Atlet pencak silat, Muhammad Faizul M Nasir, 29, turut menyifatkan kejayaan menggondol enas dalam kelas B Putra sebagai yang terbaik kerana mengulangi pencapaian di Sukan Sea 2015 di Singapura.

“Insentif ini akan memberi galakan kepada atlet dan pencapaian saya ini dapat diraikan bersama semua yang membantu termasuk isteri saya.

“Semoga kejayaan ini melonjak semangat saya untuk persediaan ke Sukan Asia 2018 di Jakarta, Indonesia,” katanya yang mendapat insentif RM5,000.

INSENTIF SUKAN SEA (2)Sementara Chew Yiwei, 22, yang menyertai sukan akuatik, mendapat insentif RM8,000 untuk satu pingat emas (3 meter papan anjal) dan satu perak (10 meter platform) di Sukan Sea, berterima kasih dengan penghargaan diberikan itu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua khususnya Kerajaan Negeri dan rakyat Selangor yang menyokong untuk kejayaan saya dalam temasya sukan dwitahunan ini.

“Saya sudah memulakan latihan dan akan melipatgandakan usaha untuk kejohanan akan datang termasuk ke Sukan Komanwel 2018 di Australia,” katanya yang menyertai Sukan Sea buat kali ketiga tahun ini.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Sharafuddin bangga atlet Selangor bantu negara juarai KL2017

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 11 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, mengucapkan tahniah kepada atlet Selangor yang menyumbang pingat dan membantu negara muncul juara dalam Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Baginda melahirkan rasa bangga atas pencapaian itu dan berharap ia bukan pengakhiran selain mahu semua atlet terus berlatih dengan lebih gigih serta meletakkan sasaran kejayaan lebih tinggi selepas ini.

“Beta difahamkan atlet dari Selangor berjaya menyumbang 41 pingat emas, 28 (pingat perak) dan 28 (pingat gangsa). Jumlah ini adalah satu sumbangan signifikan kepada kejayaan Malaysia meraih tempat pertama dalam Sukan Sea lalu.

“Beta berharap di masa akan datang, atlet dari Selangor dapat menyumbangkan pingat lebih banyak lagi pada acara sukan berprestij, di peringkat antarabangsa,” titahnya.

INSENTIF SUKAN SEA (2)Sultan Selangor bertitah demikian ketika berangkat mencemar duli hadir bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin di Majlis Penyerahan Insentif kepada atlet dan jurulatih Selangor yang mewakili negara di Kejohanan Sukan Sea Kuala Lumpur ke-29 bertempat di Istana Alam Shah, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, baginda berkenan menyampaikan insentif RM540,000 yang disediakan Kerajaan Negeri kepada atlet dan jurulatih dengan pemenang pingat emas memperoleh RM5,000, pingat perak (RM3,000) serta pingat gangsa (RM2,000).

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Haji Mohd Zubir Idrus.

Dalam titah ucapannya, baginda turut menyatakan berkesempatan menyaksikan beberapa acara sukan ketika Sukan Sea berlangsung dan melihat sendiri kesungguhan setiap atlet negara berusaha untuk memperoleh kejayaan demi mengharumkan nama negara.

INSENTIF SUKAN SEA (4)Sultan Sharafuddin yang bangga dengan pencapaian anak Selangor pada Suksan Sea berharap potensi yang berjaya dikenal pasti dikekalkan untuk kejayaan, pada masa depan.

Baginda percaya itu semua adalah hasil usaha gigih daripada guru dan jurulatih di peringkat sekolah dalam mengesan bakat serta melatih sehingga ke tahap dibanggakan.

“Beta kagum dengan komitmen dan kegigihan jurulatih yang tidak jemu menawarkan kepakaran serta berkongsi pengalaman ketika melatih saudara juga saudari semua. Beta yakin semua ini tidak mampu kita capai tanpa kemudahan disediakan pihak kerajaan dan swasta.

“Kerajaan Negeri juga banyak melabur untuk menyediakan kemudahan sukan berkualiti tinggi termasuk kompleks latihan, pusat komuniti sukan, padang bola dan balapan demi memastikan atlet juga rakyat dapat merasai sendiri aktiviti pembangunan sukan di setiap peringkat.

“Beta menyeru MSN Selangor supaya memberi tumpuan dan fokus dalam melahirkan atlet yang mampu meraih emas dalam acara utama di peringkat antarabangsa khususnya di Sukan Olimpik serta Sukan Komanwel seperti olahraga, berbasikal, gimnastik juga ekuestrian,” titahnya.

Titah baginda, ternyata sukan bukan sahaja mampu melahirkan individu sihat dan cergas, malahan boleh dijadikan sebagai kerjaya yang boleh membanggakan keluarga, masyarakat serta negara.

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Selangor beri insentif atlet cemerlang Sukan SEA

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 5 SEPT: Atlet Selangor yang mempamerkan prestasi cemerlang pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) lalu bakal menerima insentif penghargaan daripada Kerajaan Negeri.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, pengumuman itu akan dibuat dalam tempoh terdekat.

“Kita akan umumkan (nama-nama atlet cemerlang) pada program penyerahan insentif yang turut melibatkan beberapa tetamu kenamaan.

“Untuk tempoh ini, kita baru sahaja membuat perbincangan bersama Majlis Sukan Negeri (Selangor) untuk penganjuran majlis itu,” katanya pada sidang media di ibu pejabat MSN Selangor, pagi ini.

sukan seaTerdahulu, kontinjen negara menamatkan saingan di Sukan SEA ke-29 dengan 145 Emas, 92 Perak dan 86 Gangsa sekali gus muncul juara keseluruhan.

Daripada jumlah itu, Amirudin berkata lebih 100 atlet Selangor meraih pelbagai pingat hasil daripada keberkesanan program pembangunan sukan di peringkat negeri.

“Seramai 155 atlet Selangor yang diletakkan di bawah program pembangunan sukan negeri.

IMG_20170905_132540“Jumlah itu menyaksikan 100 daripadanya mendapat pelbagai pingat dengan kutipan 41 Emas, 29 Perak dan 28 Gangsa.

“Kejayaan ini boleh dikatakan bahawa atlet Selangor menjadi penyumbang terbesar kutipan pingat negara dalam temasya dwitahunan itu,” katanya.

Difahamkan, antara atlet Selangor yang paling menyinar sepanjang temasya itu adalah pemain bowling negara, Shalin Zulkifli; Gymnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi dan atlet gimrama negara, Amy Kuan.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

KL2017: Pencapaian terbaik sejarah Sukan SEA

KUALA LUMPUR 30 OGOS: Malaysia mencatat pencapaian terbaik dalam sejarah Sukan SEA apabila meraih sebanyak 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa pada temasya Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 tahun ini.

Pencapaian itu menobatkan Malaysia sebagai juara keseluruhan dalam pencapaiaan pingat dalam temasya Sukan SEA kali ini.

Pingat emas ke-145 Malaysia dan emas terakhir sukan itu dimenangi oleh pasukan peluncur laju negara yang dianggotai Wong De-Vin, Ariff Rasydan Fadzli, Hazim Shahrum dan Khairil Ridhwan Khalil.

Dengan jumlah keseluruhan 323 medal, temasya kali ini merupakan permainan terbaik Malaysia dalam sejarah Sukan SEA.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

Terima kasih Malaysia…

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 30 OGOS: Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengucapkan terima kasih kepada skuad bola sepak bawah 22 (B-22) Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 walaupun tewas kepada Thailand dalam perlawanan akhir, malam tadi.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu berkata, skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee layak menerima penghargaan atas komitmen 100 peratus untuk memastikan Malaysia memberi saingan hebat kepada Thailand.

“Saya sebagai presiden FAM berasa sangat bangga mempunyai individu seperti anda, malah saya tahu keluarga dan kawan anda akan rasa bangga, apa yang anda buat dan korban kepada negara tiada orang boleh tarik.

“Itu hak anda selamanya, kalau saya ada satu benda atau perkataan untuk disampaikan, ia adalah terima kasih kerana memberi pesembahan begitu (terbaik) sepanjang Sukan Sea.

“Tiada orang suka kalah, kita tidak suka kalah tetapi itu tidak bermakna ini perjalanan terakhir kita,” kata baginda menerusi video dipaparkan di Facebook rasmi FAM.

TMJTunku Ismail berkata, walaupun mengakui kecewa atas kekalahan terbabit, namun aksi cemerlang dipamerkan pemain boleh dibanggakan kerana mereka adalah aset negara.

Pada masa sama, baginda turut menyarankan semua pemain bersatu dan memperbaiki kelemahan yang ada dengan menjadikan kekalahan, semalam sebagai satu pengajaran untuk melangkah ke hadapan.

“Perjalanan anda masih jauh dan syabas, jangan sedih kerana kalah menang normal dalam sukan. Apa yang penting, belajar daripada kesilapan dan kekalahan serta jadikan ia sebagai senjata untuk kita, pada masa akan datang,” kata baginda.

Malaysia berjaya memecahkan sasaran pingat emas dalam acara dwitahunan Sukan Sea ke-29 dengan 140 emas, namun gagal meraih emas dalam acara bola sepak setelah tewas kepada Thailand, 0-1.

Pasukan bola sepak Malaysia tersungkur, pada minit ke-39 selepas penjaga gol, Haziq Nadzli gagal menepis bola lalu tertolak ke gawang sendiri.

Categories
SUKANKINI

Tiket palsu aniaya penyokong Malaysia

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 30 OGOS: Kegagalan Malaysia meraih pingat emas dalam perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA 2017 (KL) semalam selepas tewas 0-1 kepada Thailand dicemari dengan insiden penjualan tiket palsu yang mengakibatkan segelintir penyokong tidak boleh masuk ke Stadium Shah Alam.

Perkara itu dikongsikan di laman sosial sejak semalam hingga ada penyokong yang terpaksa pulang selain menanggung kerugian harga jualan tinggi daripada harga asal.

Aizat Alif, 31, berkata, semua pihak sedia maklum debaran perlawanan akhir ini tetapi tidak menyangka ada pihak tertentu mengambil kesempatan atas isu ini.

“Tiket tulen dari pihak penganjur memiliki kod di bahagian hologram, warna dakwat yang lebih terang dan mempunyai ketebalan kertas yang lebih,” katanya.
unknown (20)Menurutnya, beliau terpaksa mencari restoran berdekatan bagi menyaksikan perlawanan Malaysia dan Thailand walaupun kecewa dengan insiden berkenaan.

Seorang lagi penyokong Malaysia, Faiz Azrai turut meluahkan kekecewaan terhadap insiden ini.

Menurutnya, sebagai seorang seorang pengumpul koleksi jersi, beliau tidak menyangka tiket palsu juga dijual kepada umum kerana kebiasaannya ‘jersi fake’ lebih sinonim dalam kalangan mereka.

“Saya ingatkan jersi aje yang ada fake (palsu). tak sangka tiket SEA Games final pun ada yang fake.

“Kesian kawan saya yang bersusah payah kirim belikan tiket untuk kawan-kawan, tengok-tengok fake (tiket).

Lebih menyedihkan terdapat kisah sebuah keluarga yang dikongsikan di laman sosial berhadapan insiden tiket palsu hingga mengakibatkan mereka terpaksa duduk di luar stadium.

Difahamkan keluarga yang datang dari Sarawak itu menaggung kerugian hampir RM800 selepas membeli tiket dari seorang ulat tiket di Shah Alam.

 

unknown (19)

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Atlet Selangor sumbang 74 pingat Sukan SEA

OLEH : DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

Syabas kepada atlet negara, khususnya atlet dari Selangor yang menunjukkan kesungguhan dan komitmen tinggi dalam setiap acara yang dipertandingkan dalam Sukan SEA 2017.

Dalam setiap pertandingan pasti ada menang dan ada yang kalah, namun yang penting adalah semangat kesukanan dan ketabahan dalam menghadapi cabaran yang ditempuhi.

Kecemerlangan negara dalam Sukan SEA 2017 telah menyaksikan seramai 142 atlet Selangor menyumbang sebanyak 74 pingat menerusi 41 acara sukan yang dipertandingkan.

sukan sea klAntaranya ialah 31 pingat emas, 23 pingat perak dan 20 pingat gangsa, sekaligus membolehkan kontinjen Malaysia mencapai sasaran 111 pingat dalam Sukan SEA kali ini.

Pencapaian gemilang atlet Selangor adalah hasil program pembangunan sukan Kerajaan Negeri Selangor yang berteraskan konsep 2I iaitu ‘Incorporate’ dan ‘Integrate’ bagi mencungkil bakat baharu bermula dari peringkat persekolahan lagi.

Pencapaian atlet Selangor memberi keyakinan kepada Kerajaan Negeri bagi meningkatkan lagi sumber dan tenaga untuk meneruskan program pembangunan sukan berkonsepkan 2I demi melahirkan atlet berprestasi tinggi.

Categories
SUKANKINI

Ayuh Harimau Malaysia, kami bersamamu

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 OGOS: Kurang 12 jam memisahkan sepak mula antara Malaysia dan Thailand dalam misi merangkul ‘Ibu Segala Pingat’ dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Tanpa berselindung, Malaysia pastinya mahu memiliki pingat emas sekaligus menebus kekecewaan tewas kepada pasukan sama 16 tahun lalu ketika menjadi tuan rumah Sukan SEA 2001.

Thailand pastinya mahu merobek ego Malaysia yang beraksi di laman sendiri dengan sokongan hampir 70,000 rakyat Malaysia di Stadium Shah Alam walaupun terpaksa berhempas pulas menewaskan Myanmar 1-0 di separuh akhir.

Walaupun Malaysia sudah mencapai sasaran kutipan 111 pingat emas menerusi jaguh berbasikal negara, Azizul Hasni Awang semalam tetapi kegembiraan memiliki pingat emas acara bola sepak pastinya lebih manis bahkan beraksi di laman sendiri.

Malaysia pastinya meletakkan sandaran kepada penyerang prolifik, N Thanabalan yang mempamerkan aksi mengagumkan sepanjang kejohanan apabila menghadiahkan jaringan bermakna menerusi tandukan pada penghujung perlawanan separuh akhir berdepan Indonesia.

Safawi Rasid yang turut menjadi sandaran di bahagian serangan, Matthew Davies (tengah) dan Adam Nor Azlin (pertahanan) sudah pastinya mahu memastikan struktur pasukan Malaysia beraksi sebaik mungkin bagi mengekang serangan Thailand.

Pastinya Malaysia tidak boleh melakukan kesilapan mudah apatah lagi melepaskan gol awal kerana ia mampu menjejaskan moral pasukan.

Pengalaman tewas kepada Thailand 1-0 hasil jaringan Sarawut Treepan pada minit ke-87 perlawanan pada 2001 masih menjadi luka yang belum sembuh buat Malaysia dan pastinya malam ini peluang terbaik untuk menebus kekecewaan.

Lupakan kisah pengendalian tiket tidak sistematik hingga mencetuskan kekecohan di perkarangan Stadium Shah Alam dan laman sosial semalam.

Keutamaan kita sebagai rakyat Malaysia adalah memberikan sokongan sepenuhnya tidak kira sama ada kita menonton perlawanan akhir malam ini di rumah, kedai mamak atau panggung wayang.

Yang menyokong di Stadium Shah Alam, tunjukkan kematangan kita sebagai penyokong dengan menjaga tatasusila serta kebersihan. Elakkan sebarang provokasi terutama terhadap pasukan lawan tidak kita apa jua keputusannya di hujung perlawanan.

Ingat!!! sikap kita cerminan negara di mata dunia. Jaga maruah negara selaku tuan rumah KL2017.

AYUH HARIMAU MALAYSIA, KITA BANGKIT BERSAMA !!!

Categories
NASIONAL SUKANKINI

KL2017: Acara skuasy ditangguh

KUALA LUMPUR, 21 OGOS: Acara skuasy Sukan SEA ke-29 yang dijadual bermula jam 9 pagi hari ini, ditangguhkan ekoran bas yang membawa atlet dari Thailand, Myanmar dan Filipina terbabit dalam kemalangan.

Pengurus acara itu, P Sivanesen berkata, pihaknya masih menunggu laporan perubatan daripada pasukan perubatan Institut Sukan Negara (NSI) berhubung keadaan atlet terbabit.

Beliau berkata, pasukan Myanmar masih belum memaklumkan keadaan atlet mereka kerana masih menjalani pemeriksaan perubatan di NSI di Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil.

“Kami menimbangkan untuk menangguhkan pertandingan sekurang-kurangnya seharijika pasukan perubatan mengesahkan atlet yang terlibat boleh beraksi selepas sehari berehat.

“Kami berharap semua pemain dapat beraksi kerana kami tidak mahu menafikan peluang mereka yang datang ke sini untuk bertanding dalam temasya dwitahunan ini.

“Ada pengurus yang memaklumkan kepada kami (pemain mereka boleh bermain) tetapi kami perlu tunggu semua sekali, supaya boleh mulakan pertandingan petang ini, jika boleh,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di Pusat Skuasy Nasional, di sini.

BASSivanesen berkata, mesyuarat akan diadakan segera selepas pihaknya menerima laporan perubatan untuk menetapkan jadual perlawanan.

Sementara itu, pemain skuasy wanita Thailand Panisa Suwanarat semasa ditemui pemberita berkata, anggota pasukannya hanya mengalami cedera ringan.

“Bagi pasukan kami, ia tidak teruk. Telinga Suvipa Kitvijarn luka dan kepalanya terhantuk pada tingkap. Jadi dia rasa pening. Lain-lain dalam pasukan kami sakit di leher. Dan saya mengalami calar,” katanya menurutnya beliau yakin pasukannya mampu beraksi.

Atlet Filipina, Robert Andre Gracia berkata beliau bimbang dengan pemain Myanmar yang mungkin mengalami kecederaan serius akibat kemalangan itu.

“Semua dalam pasukan saya okay tetapi saya bimbang tentang pemain Myanmar kerana mereka paling ramai yang cedera,” katanya.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Bas bawa atlet Sukan SEA terlibat kemalangan

KUALA LUMPUR, 21 OGOS: Bas yang membawa peserta skuasy Sukan SEA dari Myanmar, Filipina dan Thailand dilaporkan terlibat dalam kemalangan, di sini, pagi tadi.

Perkara terbabit disahkan Ketua Trafik Kuala Lumpur, ACP Mohd Nadzri Hussain, lapor Astro Awani.

Menerusi laporan awal dikeluarkan Trafik Kuala Lumpur, kemalangan terbabit berlaku kira-kira jam 7.50 pagi tadi berhampiran Tol Sungai Besi menghala ke Lebuh Raya Shah Alam (KESAS).

Kemalangan membabitkan dua bas dari Hotel Marriott Putrajaya menghala ke Stadium Bukit Jalil yang membawa 13 atlet dari Thailand, Filipina (5) dan Myanmar (10).

Bagaimanapun, semua atlet tiba ke lokasi dituju menggunakan bas ganti.

Kejadian dipercayai berlaku apabila bas paling hadapan menekan brek secara tiba-tiba untuk mengelak sebuah motosikal.

Categories
SUKANKINI

Polis siasat bendera Indonesia dicetak terbalik

JOHOR BAHRU 20 OGOS: Polis menjalankan siasatan berhubung kesilapan bendera Indonesia dicetak terbalik dalam buku cenderamata upacara pembukaan Sukan SEA ke-29 (KL2017), lapor BH ONLINE.

Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun, berkata kesilapan teknikal itu sudah diperjelaskan namun menyifatkan insiden terbabit tidak sepatutnya berlaku.

“Kita tidak mahu insiden ini membuatkan pihak Indonesia berkecil hati.

“Saya belum mendapat maklumat dari pihak Indonesia namun kita mengambil langkah siasatan supaya perkara ini tidak berulang.

“Hubungan kita dengan negara jiran terdekat ini amat penting, lebih-lebih lagi mereka menyertai KL2017,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Johor, di Dewan Dato Onn Ibu Pejabat Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Semalam, bendera Indonesia dikesan disalah cetak terbalik pada buku cenderamata pembukaan KL2017.

Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) mengeluarkan kenyataan memohon maaf kepada rakyat Indonesia atas kesilapan berkenaan.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

Ekuestrian: Sultan Mizan bolot dua emas

SHAH ALAM 20 OGOS: Keputusan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, untuk kembali menyertai skuad ekuestrian negara dalam saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 ternyata berbaloi.

Ia apabila baginda meraih pingat emas dalam acara endurance berpasukan dan individu dalam aksi di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu, Setiu;

Baginda memenangi emas acara berpasukan bersama rakan sepasukan iaitu Mohd Faris Syafiq dan Mohammad Fuad Hashim, lapor ASTRO AWANI.

Turut berada dalam skuad berpasukan endurance negara adalah Mohd Bulkhari Rozali, Muhammad Faris Haikal serta Mohamad Adhwa Embong.

Sebelum ini, baginda menarik diri daripada saingan Sukan SEA 2017 ekoran masalah kuda namun mengubah pendirian untuk kembali menyertai skuad negara sekaligus muncul sebagai sultan pertama yang akan bersaing dalam temasya dwitahunan itu.

=EZY=