Categories
SUKANKINI

Persiapan Selangor ke Sukma 2018 lancar

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 17 OKT: Kontinjen Selangor membuat persiapan rapi bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Ipoh, Perak, tahun depan.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor melaksanakan program terbabit mengikut perancangan juga jadual ditetapkan.

“Mulai Januari tahun depan persiapan akan bertambah rancak terutama dalam menyediakan misi terakhir berkaitan pemain dan atlet yang akan terbbit dalam Sukma edisi ke 19 itu.

“Ketika ini proses pemilihan atlet masih lagi dijalankan pada peringkat awal dengan penilaian terhadap prestasi semasa sama ada mereka bertanding di peringkat kebangsaan atau antarabangsa dan juga atlet baru yang menonjol,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Melalui kejohanan seperti itu, katanya, MSN Selangor dapat mengenal pasti keupayaan dan kemampuan mereka untuk membawa cabaran Selangor dalam Sukma tahun depan.

Selangor menetapkan sasaran mengekalkan kejuaraan dimiliki pada Sukma ke-18 di Kuching, Sarawak, tahun lalu dengan melalui pungutan 59 pingat emas, 73 perak dan 63 gangsa.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

SUKMA 2018: Selangor rangka misi juara kali ke-10

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 OKT: Selangor memburu misi untuk mengekalkan kejuaraan Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 Perak buat kali kesepuluh, kata Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari.

Beliau berkata, pelan perancangan jangka panjang bagi merealisasikan hasrat itu dibentangkan dalam Belanjawan 2018, depan.

“2018 menyaksikan kita ada perancangan untuk merangka pelan memastikan misi kejuaraan SUKMA 2018 Perak dapat dicapai.

“Ini semestinya dianggap satu tugas berat untuk tenaga kerja dan atlet bertanding untuk lebih komited meningkatkan prestasi masing-masing.

penutupsukma 7“Justeru saya yakin, Belanjawan 2018 akan mefokuskan kepada agenda pembangunan sukan ke arah merealisasikan misi itu,” katanya kepada pemberita selepas upacara pelepasan pelumba di Toyota Motor, Seksyen 15, hari ini.

Tahun lalu, Selangor dinobatkan juara keseluruhan kejohanan bagi edisi ke- 18 lalu.

Kontinjen Selangor muncul juara buat kali kesembilan sejak temasya mula dianjurkan pada 1986 dengan kutipan 59 pingat emas, 73 perak dan 63 gangsa.

Terdahulu, Amirudin optimis kontinjen Selangor mampu mengekalkan prestasi terbaik untuk memberikan saingan terbaik dalam kejohanan sukan paling berprestij tanah air itu.

Beliau percaya, hasil komitmen dan usaha gigih barisan atlet dan gerak kerja Majlis Sukan Negeri (MSN) mampu merealisasikan hasrat itu.

“Sudah pastinya SUKMA 2018 adalah kejohanan yang sangat penting bagi Selangor untuk kekalkan kemenangan yang sudah kita capai pada 2016 lalu.

“MSN pastinya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencatatkan keputusan terbaik kepada rakyat dan arena sukan negeri,” katanya.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

Tekad kekal juara SUKMA, Selangor rangka pelan dua tahun

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM 21 MAC: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor giat merangka pelan dua tahun sebagai persediaan utama untuk mengekalkan kejuaraan Sukan Malaysia (SUKMA), 2018.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, pelan tersebut dilaksanakan sejak Oktober lalu meliputi dua fasa utama ke arah melahirkan atlet berkualiti yang mampu mengharumkan nama negeri.

“Kita sudah mulakannya dalam fasa pertama sejak Oktober lalu dan kini fasa kedua sedang dilaksanakan MSN.

“Namun MSN sedang menunggu senarai akhir yang akan diputuskan untuk kejohanan ini sebelum sebarang perancangan akhir dibuat.

“Senarai inilah yang menentukan kadar fasa yang sudah kita tetapkan pada kejohanan SUKMA 2018 depan,” katanya pada sidang media di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor, di sini.

Dalam kejohanan dwi-tahunan 2016 lalu, Selangor muncul juara buat kali kesembilan sejak temasya mula dianjurkan pada 1986 dengan kutipan 59 pingat emas, 73 perak dan 63 gangsa.

Sementara itu, negeri Perak dipilih sebagai penganjur bagi kejohanan SUKMA 2018 edisi ke-19 depan.

Kali terakhir Perak menjadi tuan rumah kejohanan sukan itu pada 1994.

Mengulas lanjut, Amirudin optimis kontinjen Selangor mampu mengekalkan prestasi terbaik untuk memberikan saingan terbaik dalam kejohanan sukan paling berprestij itu.

Beliau percaya, hasil komitmen dan usaha gigih barisan atlet dan gerak kerja MSN mampu merealisasikan hasrat tersebut.

“Sudah pastinya SUKMA 2018 adalah kejohanan yang sangat penting bagi Selangor untuk kekalkan kemenangan yang sudah kita capai pada 2016 lalu.

“MSN pastinya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencatatkan keputusan terbaik kepada rakyat dan arena sukan negeri,” katanya.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

MDSB iktiraf penyumbang emas SUKMA

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SABAK BERNAM, 23 DIS: Penyumbang pingat emas bagi kotinjen Selangor, pada kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak terus diiktiraf sebagai galakan dan motivasi kepada atlet untuk lebih cemerlang.

Terbaru, Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) terus menghargai kecemerlangan atlet Silat dan Tinju menerusi pemberian insentif kepada atlet yang berjaya meraih emas dalam kejohanan terbabit.

Atlet Pencak Silat kategori solo, Muhammad Ziyad Irham, 20, berkata penghargaan itu menjadi pendorong kepadanya untuk lebih berjaya, pada masa akan datang.

“Terima kasih atas penghargaan itu, namun saya akan terus fokus dan berusaha gigih untuk meraih lebih banyak kejayaan bagi mengharumkan nama Selangor dan Malaysia,” katanya.

Bagi Dedi Syedputra, 21, kejayaan manis yang diraih itu turut dikongsi bersama rakan lain bagi melibatkan diri dalam aktiviti sukan yang boleh memberi manfaat kepada golongan muda.

img_20161222_212635_276“Saya sarankan supaya lebih ramai golongan muda untuk turut serta dalam bidang sukan yang berfaedah kerana jika kita komited dan yakin, sukan boleh mengubah nasib juga masa depan ke arah lebih baik,” katanya.

Lebih 10 atlet menerima insentif kewangan daripada MDSB, pada Majlis Hi Tea bersama Media dan Atlet SUKMA di Dewan Seri Bernam Sungai Besar, semalam.

Penyerahan insentif disampaikan Yang Dipertua MDSB, Azlinda Azman.

-AA-

Categories
SELANGOR

Insentif suntik semangat luar biasa atlet SUKMA

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 OGOS: Insentif wang tunai kepada pemenang pingat emas
SUKMA 2016 menyuntik semangat luar biasa kepada atlet Selangor.

Pemenang dua pingat emas, Nur Zunaira Zakaria, berkata ganjaran berkenaan membuktikan keprihatinan dan penghargaan Kerajaan Negeri terhadap sumbangan sukan negeri.

“Saat terima sendiri insentif daripada tangan Menteri Besar, apa yang terlintas di fikiran saya perlu bekerja lebih kuat lagi.

“Apabila dihargai, kita pasti mahu memberikan lebih daripada yang diminta,” kata pemenang acara 10 meter Air Pistol Wanita Individu dan Berpasukan itu kepada SelangorKini.

Rakan sepasukannya, Nur Hidayah Zulkifli pula berpendapat majlis penghargaan secara berasingan memberikan impak berbeza.

“Sebelum ini tiada majlis sebegini, kita diraikan sama sahaja dengan atlet lain.

“Sekarang, kita dipanggil naik ke pentas dan orang bersorak menjadikan kita seronok dalam masa sama bangga dan berbaloi dengan apa yang diusahakan untuk negeri,” katanya.

Sementara itu, pemenang emas acara menembak 10 meter air pistol lelaki berpasukan, Tan Tong Tat berharap insentif berkenaan dapat diteruskan pada masa hadapan.

“Ini bukan soal atlet mata duitan atau sebagainya, tetapi ini soal penghargaan.

“Secara tidak langsung, ia juga menaikkan lagi taraf sukan sebagai karier profesional pilihan anak muda,” katanya.

Berkongsi pandangan sama, Muhammad Afiq Fakhri Azmen memuji usaha komprehensif pimpinan negeri memacu pembangunan sukan di Selangor.

“Semoga segala usaha dapat dilipatgandakan bagi mengekalkan kejuaraan Selangor di SUKMA Perak dua tahun lagi. Dua tahun bukan lama,” kata atlet menembak Rifle itu.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA SELANGOR

MB – Ucapan pujian kontinjen SUKMA Selangor 2016

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
UCAPAN PUJIAN KONTINJEN SUKMA SELANGOR 2016

1 OGOS 2016

Tuan Speaker,

1. Pada 31 Julai 2016, tepat jam 9.34 malam di Stadium Sarawak, Kuching, Negeri Selangor telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) ke 18.

2. Selangor meraih 59 pingat emas, 73 perak, 63 gangsa menjadikan jumlah keseluruhan 195 pingat. Pasukan renang Selangor telah memonopoli acara renang di SUKMA kali ini dan merupakan penyumbang pingat terbanyak buat kontinjen Selangor dengan meraih 20 pingat emas, 15 perak dan 9 gangsa. Inilah Selangor. Bumi yang sarat dengan bakat.

3. Saya dan YB Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda dan Sukan bersama puluhan ribu rakyat Malaysia yang memenuhi Stadium Sarawak menyaksikan wajah-wajah riang atlet Selangor menjulang Piala SUKMA.

4. Nyata slogan ‘Tekad Juara’ berjaya menggilap semangat kesukanan dan iltizam para atlet, jurulatih dan pegawai sukan untuk melakar kejayaan sekaligus memartabatkan nama Selangor di persada sukan negara.

5. Maka, pada hari pertama Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat, Dewan Negeri Selangor Ketiga Belas pagi ini, Kerajaan Negeri ingin merakamkan penghargaan dan syabas kepada atlet Negeri Selangor yang telah berjaya membawa balik Piala SUKMA ke bumi Selangor.

6. Syabas dan tahniah kepada Dato’ Mohd Yasin Bin Mohd Salleh, Ketua Kontinjen (Chef de Mission) dan Kontinjen SUKMA Negeri Selangor di atas kejuaraan ini. Kerajaan Negeri amat menghargai kegigihan setiap atlet, jurulatih, pegawai sukan dan warga Majlis Sukan Negeri Selangor yang diketuai oleh Haji Mohd Zubir Bin Haji Idrus menjulang panji Negeri Selangor dengan penuh semangat kesukanan di Bumi Kenyalang.

7. Saya juga ingin menyampaikan titah ucapan tahniah daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj untuk atlet-atlet Negeri Selangor yang telah berjaya mengharumkan nama Negeri Selangor dalam sukan negara.

8. Kerajaan Negeri menjunjung kasih ke atas Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang telah berkenan berangkat ke Sarawak selama 3 hari untuk memberi sokongan kepada para atlet dan pegawai sukan Negeri Selangor.

9. Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor ke Perkampungan Sukan Kontinjen Selangor di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan berangkat menyaksikan 7 acara sukan telah merangsang semangat kesukanan para atlet dan pegawai sukan untuk mara ke hadapan dan mencipta kejayaan.

10. Saya juga amat tersentuh dan gembira apabila YB Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri dan YB Dato’ Penasihat Undang-Undang Negeri turun ke Sarawak untuk menyuntik semangat para atlet ketika mereka memerlukan sokongan moral untuk menghadapi cabaran SUKMA. Inilah Selangor yang muafakat. Muafakat membawa berkat.

11. Sebagai sebuah Kerajaan yang peduli, kejayaan kontinjen SUKMA 2016 Negeri Selangor wajar mendapat pengiktirafan dari Kerajaan Negeri. Untuk maksud ini, sukacita saya mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor bersetuju untuk meningkatkan pembayaran insentif kemenangan SUKMA ke 18 bagi Kontinjen Negeri Selangor dari RM 958,700 kepada RM 1.1 juta. Insentif tambahan ini akan memberi pengiktirafan kepada pemenang pingat emas individu bernilai RM 5,000 seorang. Pemenang pingat emas berpasukan akan menerima insentif kemenangan sebanyak RM 2,000 – RM 3,000 setiap orang.

12. Kerajaan Negeri akan meraikan Kontinjen SUKMA Negeri Selangor di Majlis Sambutan Eidul Fitr bersama warga perkhidmatan awam Negeri Selangor pada hari Rabu, 3 Ogos 2016 di Dataran SUK.

13. Kejayaan ini adalah hasil daripada perancangan yang strategik, latihan yang bersepadu, tenaga jurulatih yang mahir, kerjasama yang baik dengan persatuan – persatuan sukan dan pegawai – pegawai sukan yang mempunyai visi untuk memartabatkan sukan. Kerajaan Negeri Selangor juga memberi perhatian terhadap usaha untuk menaiktaraf kemudahan sukan yang dilengkapi dengan kemudahan yang selesa dan berteknologi tinggi yang dapat mewujudkan aktiviti – aktiviti sukan bertaraf antarabangsa.

14. Kejayaan ini juga membuktikan wujudnya renaissance atau kebangkitan semula sukan di Negeri Selangor. Negeri ini bukan sahaja maju dari segi ekonomi, tetapi juga maju dalam arena kesukanan.

15. Negeri Selangor bertekad untuk memacu kegiatan ekonomi secara holistik. Selain perspektif ekonomi yang berasaskan pengeluaran produk, Kerajaan Negeri juga mahu memberdaya perspektif ekonomi lain khususnya soft sector seperti kegiatan sukan yang turut mencipta peluang pekerjaan dan pulangan ekonomi.

16. Majlis Sukan Negeri Selangor telah merangka satu pelan pembangunan sukan lima (5) tahun bagi tempoh 2016 – 2020 sejajar dengan gagasan Smart Selangor.

17. Sektor sukan akan dibangun untuk menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri yang sihat dan berjiwa sukan. Pada masa yang sama, sukan akan dipertingkatkan pembangunannya bagi merangsang industri sports tourism sekaligus menjadi destinasi pelancongan untuk peminat sukan.

Tuan Speaker,

18. Kejayaan menjuarai SUKMA 2016 dan sebelum ini Piala Malaysia telah menggilap semangat kesukanan Negeri Selangor. Kita mengucapkan tahniah kepada semua atlet Selangor. Kita akan menggembeleng segala potensi kesukanan di kalangan generasi muda dan rakyat Negeri Selangor untuk mencipta sejarah baru dalam arena kesukanan di masa akan datang.

Tuan Speaker,

19. Saya merakamkan kenyataan ini dalam Dewan yang mulia ini sebagai pengiktirafan Kerajaan Negeri Selangor di atas kejayaan Kontinjen SUKMA Negeri Selangor.

Terima kasih.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Insentif kemenangan Sukma ditingkat RM1.1 juta

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 1 OGOS: Insentif kemenangan kontinjen Selangor ke Sukan Malaysia (Sukma) ke-18 ditambah kepada RM5,000 bagi pemenang pingat emas individu dan RM2,000 hingga RM3,000 bagi pemenang pingat emas berpasukan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata insentif tambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kepada RM1.1 juta.

“Sebagai kerajaan yang peduli, kejayaan kontinjen Sukma 2016 Selangor wajar mendapat pengiktirafan dari Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Selangor bersetuju meningkatkan pembayaran insentif kemenangan Sukma dari RM958,000 kepada RM1.1 juta,” kata Mohamed Azmin (KEADILAN- Bukit Antarabangsa) pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor (DNS) Darul Ehsan Ke-13 di sini, hari ini.

MB AZMINJelasnya, kontinjen Sukma Selangor juga bakal diraikan pada Majlis Sambutan Aidilfitri Bersama Warga Perkhidmatan Awam Negeri Selangor pada hari Rabu ini (3 Ogos) di Dataran Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Katanya, kejayaan itu turut didorong dengan keberangkatan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ke Sarawak bagi memberi sokongan kepada kontinjennya.

Tambah Mohamed Azmin, kehadiran beberapa pegawai tinggi pentadbiran Kerajaan Negeri seperti Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya menambah lagi semangat kontinjen Selangor.

EZY

Categories
SELANGOR

Konsisten jalani latihan, tingkat prestasi atlet – Raja Muda

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 OGOS : Kejayaan manis atlet Selangor pada kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) menjadi titik permulaan kepada semua atlet untuk lebih maju dan memperoleh kejayaan lebih besar.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, atlet muda perlu terus konsisten untuk menjalani latihan dan mengamalkan disiplin  diterapkan sepanjang latihan.

“Beta ucapkan tahniah atas usaha gigih yang anda lakukan, kamu melakukannya dengan cukup baik. Beta berbangga dengan penglibatan semua atlet dan pegawai.

“Namun kejayaan ini hanyalah permulaan kerana dengan usia yang masih muda, teruslah memberi tumpuan dan mengekalkan disiplin untuk menjadikan kamu lebih hebat,” titah Raja Muda.

pasukan gymnastik selangorBaginda Raja Muda bertitah, atlet juga disaran supaya tidak berputus asa dan sentiasa optimis untuk menonjolkan prestasi persembahan terbaik dalam setiap kejohanan disertai.

“Jangan mudah berputus asa kerana apa yang membezakan seorang atlet dengan juara adalah kemampuan individu itu untuk terus mempamerkan kemampuan diri.

“Beta berharap dengan kejohanan SUKMA ini, setiap atlet akan lebih terbuka mengenali kenalan baru untuk lebih berdaya saing dalam sukan yang kamu ceburi.

“Semoga kamu terus menikmati kejayaan ini pada masa akan datang,” Titah baginda Raja Muda yang sebelum ini turut mencemar duli mengikuti beberapa acara yang melibatkan melibatkan penyertaan atlet Selangor, antaranya acara renang dan olahraga.

Semalam, kontinjen Selangor menamatkan misi #TEKADJUARA kejohanan SUKMA apabila berjaya menjuarai kejohanan sukan yang mengetengahkan bakat-bakat muda dari seluruh negara.

Kontinjen Selangor berjaya membawa pulang 59 kutipan Emas, 73 Perak dan 62 Gangsa.

Persembahan terbaik kontinjen Selangor dicatatkan menerusi sukan renang dengan kutipan 20 pingat emas.

Kontinjen Sarawak berada di tangga kedua dengan kutipan 57 Emas, 40 Perak dan 57 Gangsa, sementara Terengganu berada di kedudukan ketiga dengan kutipan 45 Emas, 40 perak dan 40 Gangsa.

EZY

Categories
NASIONAL

Sukma 2016: TPM rasmi penutupan, kejohanan berakhir lancar

OLEH HAFIZAN TAIB

KUCHING, 1 OGOS: Majlis perasmian penutup Sukan Malaysia (Sukma) ke-18 2016 berlangsung meriah di Stadium Sarawak, di sini, malam tadi.

Berbeza dengan majlis pembukaan yang diadakan dalam keadaan hujan, upacara kali ini berjalan sebaliknya.

Penutupan kejohanan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika mengakhiri ucapannya dalam majlis berkenaan.

Turut hadir, Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud; Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr Adenan Satem; Menteri Belia, Sukan dan Solidariti Sarawak, Datuk Seri Michael Manyin Anak Jawong; Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan kenamaan lain.

Majlis diserikan dengan beberapa acara antaranya nyanyian lagu Negaraku, lagu Sarawak (Ibu Pertiwiku) dan lagu kejohanan juga pertunjukan bunga api, pertunjukan kebudayaan, perarakan masuk kontinjen bertanding, tayangan video “Kecemerlangan Sukan Malaysia ke-18 Sarawak” dan yang lain.

Penyampaian Anugerah Atlet Wanita dan Lelaki Terbaik juga dijalankan dengan atlet memanah, Nur Aqilah Yusof (Terengganu) dan atlet olahraga, Khairul Hafiz Jantan (Melaka) dinobatkan sebagai penerima.

Manakala Selangor menerima Anugerah Johan Keseluruhan Sukma ke-18 2016 Sarawak.

Acara berakhir dengan bendera kejohanan diturunkan dan diserahkan kepada Perak selaku tuan rumah Sukma 2018 yang diterima Zambry.

Kejohanan dwi tahunan ini berlangsung dari 22 hingga 31 Julai lalu.

EZY

Categories
SELANGOR

Sukma 2016: Cemerlang dan konsisten, kunci kejayaan Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

KUCHING, 31 JULAI: Kecemerlangan dicatat dalam kebanyakan acara memberi kelebihan buat kontinjen Selangor sehingga berjaya muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) ke-18 2016 kali ini.

Kontinjen Merah Kuning berjaya mengumpul 59 emas, 73 perak dan 63 gangsa dalam edisi sukan dwi tahunan ini untuk meraih kejuaraan buat kali kesembilan.

Catatan 59 emas adalah yang terbaik di luar Selangor sejak kejohanan ini bermula pada 1986 dengan pungutan 80 emas pernah dicapai ketika bertindak selaku tuan rumah pada 1998.

PINGAT SEL SEMUAMajlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) meletakkan sasaran 48 emas dan menyenaraikan 432 atlet dalam penyertaan 24 acara dipertandingkan pada temasya berlangsung 22 hingga 31 Julai.

Sasaran terbabit dilihat realistik dan tidak mendatangkan beban kepada atlet apabila kejayaan melepasinya dengan angka tinggi membanggakan semua dalam kontinjen berkenaan.

Beberapa acara menepati sasaran selain mengatasi pencapaian pada edisi sebelumnya seperti renang, olahraga, tenis, pencak silat, badminton dan angkat berat.

Renang mengetuai kutipan dengan 20 emas turut mencipta tujuh rekod baru Sukma di mana lima daripadanya memecahkan rekod sendiri diikuti memanah (dua).

Memanah dan menembak juga menyamai satu rekod lama dalam acara masing-masing.

gymnastik bersama datuk sukAcara sukan antaranya gimnastik, berbasikal, menembak, karate, bola tampar serta wushu juga berjaya dalam pungutan pingat dan ia memberikan kesan positif bagi pembangunan sukan di Selangor.

Kegagalan dalam sesetengah acara pula memerlukan penilaian dan kajian semula ke arah perubahan lebih baik.

Slogan pasukan “Smart Selangor Tekad Juara” juga memainkan peranan ke arah meniup semangat pegawai dan atlet ke johanan berkenaan.

EZY

Categories
SELANGOR

Sukma 2016: Program motivasi suntik semangat juang atlet Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

KUCHING, 31 JULAI: Pendekatan santai diterapkan dalam kem motivasi menghasilkan impak positif kepada kontinjen Selangor bagi mencipta kejayaan seterusnya menjuarai Sukan Malaysia (Sukma) ke-18 2016 di sini.

Ketua motivator, Ili Abdullah, berkata program dijalankan dengan kaedah sedemikian bersesuaian dengan kehendak kelompok atlet dan matlamat kontinjen negeri itu.

“Program digerakkan sebegitu mewujudkan keserasian antara kumpulan motivator dan atlet serta memberikan perangsang kepada mereka bagi mencatat kemenangan.

“Atlet sentiasa diberikan kata semangat bagi meningkatkan keyakinan diri dalam menghadapi pertandingan disertai,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Dalam temasya sukan dwi tahunan bermula 22 hingga 31 Julai, Selangor muncul juara apabila mengumpul 59 emas, 73 perak dan 63 gangsa.

Kontinjen Merah Kuning turut melepasi sasaran 48 emas ditetapkan Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS).

Beliau berkata, kelancaran program itu dengan kontinjen Selangor mencapai kejayaan adalah hasil kerjasama semua pihak yang terbabit dalam menjadikan ianya satu kenyataan.

EZY

Categories
SELANGOR

Sukma 2016: Selangor juara, semangat sepasukan pacu kejayaan

OLEH HAFIZAN TAIB

KUCHING, 31 JULAI: Selangor muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) ke-18 2016 di sini, dengan kutipan pingat 59 emas, 73 perak dan 63 gangsa.

Dalam temasya sukan ini, kontinjen Merah Kuning berjaya mengatasi tuan rumah, Sarawak, di tempat kedua hasil pungutan 57 emas, 43 perak dan 59 gangsa serta Terengganu (ketiga) (47 emas, 42 perak, 44 gangsa).

Ketua Kontinjen, Datuk Mohd Yasin Mohd Salleh, berkata kejayaan Selangor meraih pungutan pingat dengan jumlah tinggi melepasi sasaran adalah hasil kerja keras semua pihak dalam merealisasikannya.

“Dalam sukan ini sama ada kita muncul juara atau mendapat emas dan saya bersyukur kita berjaya mendapat 59 emas dengan mengatasi 48 emas disasarkan.

pasukan gymnastik selangor“Kita berjaya mencapai kejayaan ini adalah hasil kerjasama semua serta sesi latihan dijalani atlet dipraktikkan dengan baik,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Beliau berkata, semangat kesukanan tinggi dipamerkan atlet amat membanggakan dan ia adalah kunci terhadap kejayaan kontinjen berkenaan.

Katanya, beberapa acara sandaran seperti renang dan akuatik, menembak, berbasikal dan gimnastik berjaya mencapai sasaran.

“Namun ada acara sukan kita tidak mendapat emas tetapi acara lain menutup kegagalan ini dan ada juga tidak mendapat pingat langsung.

344A4081“Kita akan membuat analisis untuk perkara ini bagi merancang dengan lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Mohd Yassin seterusnya berkata, kerjasama dan semangat antara atlet dalam kontinjen dipuji kerana wujud sikap kekitaan antara mereka dengan tidak sekadar menumpukan kepada sukan masing-masing.

“Bila (acara mereka) dah habis, mereka akan pergi memberi sokongan kepada acara lain,” katanya.

Seramai 432 atlet Selangor mengambil bahagian dalam 24 acara slogan pasukan “Smart Selangor Tekad Juara” dalam Sukma Sarawak bermula 22 hingga 31 Julai.

EZY