Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Selangor giat acara persahabatan, uji prestasi atlet SUKMA

SHAH ALAM, 4 SEPT: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor mempergiat perlawanan persahabatan bagi menguji prestasi atlet Sukan Malaysia (SUKMA).

Pengarah eksekutifnya Mohamad Nizam Marjugi berkata langkah tersebut diambil susulan penganjuran acara besar masih dilarang berikutan penularan Covid-19.

“Ini (prestasi) membimbangkan semua negeri namun kita kena akur. Jadi dengan perlawanan persahabatan sekurang-kurangnya dapat menilai prestasi atlet walau tidak sepenuhnya.

“Kita sudah kenal pasti atlet untuk semua acara namun mereka belum diuji. Atlet tidak tahu tahap kemampuan dan ia cabaran besar untuk SUKMA kali ini,” katanya kepada pemberita pada pelancaran Program Ceria Atlet Selangor 2020 di sini semalam.

SUKMA Johor 2020 yang ditangguh susulan penularan Covid-19 dijadualkan semula pada 6 hingga 14 Mac tahun depan manakala Para SUKMA berlangsung bermula 5 hingga 10 April.

Selangor menyasarkan kutipan 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa pada kejohanan tersebut.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor azam juara Sukma tahun depan

SHAH ALAM, 6 JUN: Selangor berazam menjadi juara pada Sukan Malaysia (Sukma) yang dijangka diadakan pada Mac tahun depan, kata EXCO pembangunan generasi muda dan sukan.

Mohd Khairuddin Othman berkata walaupun negeri itu sudah lama tidak merangkul kejohanan namun prestasi atlet kekal terserlah.

“Tidak dinafikan kebanyakan atlet yang mewakili negara masing-masing dari Selangor, ini membuktikan atlet kita bagus walaupun negeri sudah lama tidak merangkul juara.

“Malah, Majlis Sukan Negeri Selangor juga sentiasa melihat prestasi atlet dari semasa ke semasa dan kita berusaha untuk sahut gelaran juara bukan hanya di Sukma tetapi sukan-sukan lain juga pada masa akan datang,” kata beliau menerusi siaran langsung Covid-19: Cabaran Generasi Muda Pasca Pandemik di Facebook Institut Darul Ehsan.

Mengulas mengenai Kerajaan Negeri memfokuskan e-sukan sehingga kurang tumpuan terhadap sukan seperti bola sepak, sepak takraw atau badminton, Mohd Khairuddin berkata ia masih sama.

“Sekarang kita lebih menumpukan e-sukan kerana halangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang tidak membenarkan aktiviti sukan di luar diadakan.

“Justeru, ketika pandemik melanda ini kita menggalakkan generasi muda untuk terus memfokuskan kepada e-sukan, elak berkumpul ramai. Selesai PKPB kita kembali macam biasa,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

SUKMA 2022: Selangor bersaing rebut hak penganjuran

PETALING JAYA, 8 DIS: Tiga negeri bakal bersaing bersama Selangor bagi merebut hak penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 nanti.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, selain Selangor, negeri lain turut membida hak penganjuran adalah Sabah, Pulau Pinang dan Kedah.

“Kita telah masuk untuk membida untuk penganjuran SUKMA 2022 dan kita juga telah dimaklumkan ada tiga lagi negeri lain yang turut sama iaitu Sabah, Pulau Pinang dan Kedah.

“Kita sangat optimis peluang kita cerah untuk mendapat hak penganjuran kerana berdasarkan garis panduan diberikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi iaitu persiapan kita tidak melibatkan projek pembangunan baru kecuali menaik taraf kerana Selangor mempunyai infrastruktur yang cukup untuk kita laksanakan SUKMA 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada acara Larian Menjunjung Kasih 2019 sempena sambutan Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang ke-74 di Dataran Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, pada masa ini Selangor hanya perlu melaksanakan projek menaik taraf terhadap fasiliti sedia ada.

“Apa pun kita tunggu keputusan dibuat oleh majlis tertinggi SUKMA pada Januari nanti.

“Walaupun kali terakhir Selangor tuan rumah pada 1998 tetapi Selangor kerap menganjurkan acara sukan besar dan sebab itu kita ada banyak kemudahan dan tiada masalah langsung untuk anjur SUKMA,” katanya.

Mohd Khairuddin berkata, Kerajaan Persekutuan juga akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM100 juta kepada negeri tuan rumah bagi membiayai persiapan penganjuran.

Sementara itu, ketika menyentuh persediaan menghadapi SUKMA Johor 2020, Mohd Khairuddin berkata, Selangor mensasarkan kutipan pingat 40 emas, 40 perak dan 45 gangsa pada temasya itu.

Categories
NASIONAL SUKANKINI

Logo, maskot, slogan Sukma 2020 dijangka dilancar Julai ini

ISKANDAR PUTERI, 14 Jun : Logo, maskot dan tagline atau slogan untuk temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2020 yang bakal dianjurkan di negeri ini, tahun hadapan dijangka dilancarkan Julai ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Sheikh Umar Bagharib Ali berkata ketika ini, pihak Sekretariat Sukma Johor sedang dalam perancangan bagi melaksanakan majlis berkenaan.

“Pihak sekretariat juga sedang dalam perancangan untuk membuat pemakluman berkaitan sistem pendaftaran sukarelawan bagi Sukma 2020. Mengikut anggaran, Sukma 2020 memerlukan sekitar 3,000 sukarelawan,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Sukma 2020 bakal berlangsung pada 11 hingga 19 Julai tahun hadapan dan mengikut rekod, ini adalah kali kedua Johor menjadi tuan rumah Sukma selepas kali pertama menganjurkannya pada 1992.

Sheikh Umar yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh berkata setakat ini proses pembinaan venue membabitkan stadium olahraga, stadium tertutup, velodrom serta menaik taraf pusat akuatik berjalan lancar mengikut jadual ditetapkan.

Beliau berkata kesemua venue berkenaan perlu disiapkan sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum Sukma 2020 berlangsung bagi membolehkan ujian terhadap kesemua venue itu dilakukan.

“Kesemua venue ini ada yang 80 hingga 90 peratus siap dan ada yang baru 10 peratus bermula pembinaannya. Stadium Mount Austin, misalnya, sudah pun siap sehingga 90 peratus pembinaannya, kecuali hanya tinggal sedikit masalah utiliti elektrik dan sebagainya.

“Stadium Tertutup Arena Larkin dan pusat akuatik pula sudah siap 80 peratus manakala pembinaan velodrom baru sahaja 10 peratus siap,” katanya dan menambah pihaknya berkeyakinan kesemua venue berkenaan mampu disiapkan seperti dirancang.

Menurut Sheikh Umar, bagi memberi kemudahan tontotan kepada orang ramai, pihaknya turut bercadang untuk menyiarkan secara langsung acara temasya Sukma 2020 itu menerusi YouTube memandangkan acara yang boleh ditonton di televisyen amat terhad.

“Selaras dengan kempen Tahun Melawat Johor 2020 pula, kita juga bersedia menyediakan platform bagi mempromosikan pelancongan di negeri ini. Kita dalam rangka menyediakan maskot dan promosi menerusi akhbar serta media sosial, namun, kita sedang menunggu kandungan pelancongan (content) daripada pihak Jabatan Pelancongan,” katanya. -BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Mohd Rizal waspada saingat atlet Kuala Lumpur dan Pulau Pinang

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 NOV: Atlet Tempin Boling Negeri Selangor, Mohd Rizal Hassan, 38, bersedia untuk memberikan persembahan terbaik sekaligus menyumbang pingat pada Para Sukan Malaysia (SUKMA) XIX Perak 2018.

Beraksi dalam Kategori B3 (Cacat Penglihatan), beliau menyifatkan cabaran sengit bakal dihadapi daripada atlet Kuala Lumpur dan Pulau Pinang kerana pengalaman dalam kejohanan besar di samping tampil dengan status bekas atlet kebangsaan.

Mensasarkan dua pingat emas dalam acara perseorangan dan berpasangan, ini merupakan kejohanan Para SUKMA pertama yang disertai Mohd Rizal.

“Di atas kertas saya melihat cabaran adalah 60:40. Atlet Kuala Lumpur dan Pulau Pinang mempunyai pengalaman lebih enam tahun dalam sukan tempin boling sementara saya baru sahaja menceburi sukan ini sejak tiga tahun lalu.

“Bagaimanapun, saya tidak akan memberikan laluan mudah dan akan tetap memberikan saingan terbaik serta mengutip pingat buat Selangor,” katanya kepada Selangor Kini.

Untuk rekod, Mohd Rizal pernah menyumbang tiga pingat emas dan satu perak buat Malaysia pada kejohanan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017.

Pada temasya Pada Asia Indonesia 2018, beliau berjaya menyumbang dua pingat gangsa masing-masing dalam acara perseorangan dan berpasangan.

Categories
NASIONAL SUKANKINI

Kerajaan Persekutuan sentiasa beri sokongan, bantu temasya SUKMA

IPOH, 22 SEPT: Kerajaan akan terus memberi sokongan penuh kepada penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) dalam bentuk bantuan dana mahupun bantuan terus daripada agensi berkaitan kepada negeri yang menjadi tuan rumah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata temasya sukan dwitahunan itu berada dekat dengan hatinya kerana acara sukan berkenaan telah dicadangkan suami beliau sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu merupakan Menteri Belia dan Sukan pada tahun 1983.

“Rasional saudara Anwar ketika itu adalah penganjuran sukan kebangsaan dapat menambah baik kualiti atlet serta melahirkan atlet baru dan juga menggalak lebih ramai remaja untuk menceburi bidang kesukanan di peringkat negeri.

Acara sukan kebangsaan ini juga dapat menambah baik kepakaran pegawai-pegawai terlibat dalam bidang kesukanan serta menggalakkan pembinaan dan penambahbaikan fasiliti sukan yang sedia ada dan baru,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Sukma ke-19 2018 di Stadium Perak di sini malam tadi.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Perak kerana penganjuran Sukma kali ini telah mencatatkan sejarah tersendiri melalui penganjuran 427 acara daripada 29 jenis sukan di 39 lokasi pertandingan dan 18 lokasi penginapan atlet di kesemua 12 daerah dalam negeri ini.

“Pendekatan yang diambil oleh kerajaan negeri ini memberi peluang kepada seluruh rakyat negeri Perak termasuk di luar bandar untuk menyaksikan acara-acara yang dipertandingkan di samping memperkenalkan tempat-tempat tarikan pelancongan kepada mereka dari luar negeri Perak,” katanya.

Dr Wan Azizah turut memuji Perak kerana memiliki kemudahan sukan yang setanding dengan negeri-negeri lain atau lebih baik dengan terbinanya kemudahan sukan bertaraf antarabangsa untuk kejohanan Sukma kali ini seperti Pusat Akuatik Tuanku Zara, Kompleks Menembak Darul Ridzuan dan Stadium Ragbi yang pertama di Malaysia.

“Prasarana sukan yang dibina ini bukan sahaja memenuhi piawaian antarabangsa tetapi juga memaparkan fasad yang menarik yang beridentitikan Negeri Perak dan rakyat Negeri Perak harus berbangga dengannya,” katanya.

Tambahnya, dengan kemudahan prasarana sukan yang baharu melalui bantuan Kerajaan Pusat ini, usaha bagi mencungkil dan membentuk atlet baharu yang bertaraf antarabangsa dapat dipergiatkan oleh semua pihak yang berkepentingan khususnya, persatuan-persatuan sukan, Majlis-majlis Sukan Negeri, Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Belia dan Sukan serta kerajaan-kerajaan negeri.

“Kemudahan-kemudahan sukan yang telah dibangunkan ini hendaklah dimanfaatkan secara optimum bagi meningkatkan prestasi atlet-atlet kita ke satu tahap yang boleh menjadi kebanggaan negara.

Dengan kemudahan seperti ini tiada sebab mengapa kita tidak boleh menghasilkan atlet-atlet terbaik di peringkat Asia Tenggara, Asia mahupun di peringkat dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata semoga Kerajaan Negeri Johor dapat memulakan persiapan awal khususnya dalam mengenal pasti keperluan infrastruktur bagi penganjuran Sukma ke-20 pada tahun 2020 nanti selain persiapan kontinjen-kontinjen negeri yang akan mengambil bahagian nanti.

“Perancangan awal untuk membentuk atlet-atlet yang akan mewakili negeri masing-masing haruslah dilaksanakan secepat mungkin khususnya dalam mencungkil bakat-bakat sukan yang baru selain memperkemaskan kemahiran dan prestasi atlet-atlet sedia ada supaya persaingan yang lebih hebat dapat disaksikan di Johor nanti,” katanya.

Terdahulu, Dr Wan Azizah menyampaikan hadiah tempat pertama bagi Anugerah Media Sukma Perak 2018 yang dimenangi Saiyed Ismail Saiyed Hussin dari TV3 bertajuk “Hari Malaysia: Atlet Sukma Pemangkin Perpaduan” bagi kategori laporan berita terbaik (media elektronik)

Manakala bagi​​​​​​​ kategori laporan berita terbaik (media cetak), tempat pertama dimenangi Pook Sook Yee dari Sin Chiew Daily bertajuk “Meriahnya Di Dalam dan Luar Stadium” sementara bagi kategori fotografi terbaik, tempat pertama dimenangi Sadiq Asyraf Mohd Yusof dari Tribes.

SUMBER: BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR SUKANKINI

MB: Tahniah Kontinjen Selangor capai jumlah pingat terbanyak

SHAH ALAM 23 SEPT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengucapkan tahniah kepada kontinjen Selangor apabila memperolehi jumlah pingat terbanyak di Kejohanan SUKMA XIX Perak 2018.

“Ucapan tahniah kepada kontinjen Selangor di Kejohanan SUKMA XIX Perak 2018.

“Walaupun tidak berjaya menjadi johan keseluruhan namun kutipan 182 pingat adalah yang terbanyak. Syabas kepada semua pemenang dan para pegawai.

“Sekalung tahniah pada johan, Terengganu dan hos, Perak,” tulis Amirudin di Twitternya.

Dalam kejohanan itu Selangor menduduki tempat ketiga apabila memperolehi 47 emas, 68 perak dan 67 gangsa dengan keseluruhan pingat diperolehi Selangor sebanyak 182 pingat.

 

 

Categories
SUKANKINI

Penantian 24 tahun hoki wanita Selangor akhiri kemarau emas berakhir

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 SEPT: Penantian Selangor selama 24 tahun untuk memenangi pingat emas dalam acara hoki wanita terbayar apabila berjaya menewaskan Sabah 1-0 dalam aksi final Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 di Stadium Azlan Shah.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari juga sempat menzahirkan ucapan tahniahnya kepada pasukan tersebut.

“Kerja yang bagus, tahniah, penantian selama 24 tahun dalam acara ini akhirnya terbayar apabila Selangor meraih emas pada SUKMA2018,” katanya menerusi twitternya.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Siti Nur Aliah Amnuruddin menerusi gol padang pada minit ke-23.

Jurulatih Selangor, Ikmal Abdul Jabar berkata, kemenangan itu amat bermakna buat pasukannya selepas menanti hampir 24 tahun untuk memenangi emas dalam hoki wanita SUKMA.

“Tetapi kemenangan kali ini lebih manis kerana kami mengulangi kejayaan pada 1994.

“Saya terpaksa berdepan cabaran yang hebat sebelum menghadapi SUKMA 2018 di mana kami kekurangan bakat pemain dan saya berharap dengan kejayaan ini dapat menjadi pemangkin semangat kepada Selangor untuk membentuk pasukan yang lebih mantap,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

SUKMA: Ayuh Selangor, kekalkan juara

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 12 SEPT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mahu kontinjen Selangor mengekalkan kejuaraan sempena temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 , kali ini.

“Ayuh pasukan Selangor, kita kekalkan kejuaraan SUKMA, selamat maju jaya!,” katanya menerusi twitter peribadinya.

Terdahulu, beliau turut berkesempatan menghadiri majlis Upacara Perasmian SUKMA XIX 2018 di Ipoh, Perak, malam tadi.

Ketua kontinjen SUKMA Selangor, Datuk Mohd Yasin Mohd Salleh berkata, Selangor meletakkan sasaran kutipan lebih 50 pingat emas bagi mempertahankan gelaran juara keseluruhan, pada temasya itu.

Katanya, sasaran pingat itu untuk semua 29 acara sukan yang akan disertai kontinjen Selangor.

“Sukan renang dan terjun dijangka bakal menjadi penyumbang terbesar pingat emas untuk Selangor dalam SUKMA kali ini dengan sekurang-kurangnya 10 emas.

“Pada SUKMA lalu di Sarawak, acara berkenaan menyumbang 22 emas, lebih daripada sasaran dijangka. Antara sukan lain dijangka memberi sumbangan emas yang banyak untuk Selangor adalah olahraga, menembak dan tenpin boling,” katanya.

Bagi menghadapi SUKMA kali ini, kontinjen Selangor menghantar 679 atlet, jurulatih dan pengurus pasukan. 70 peratus daripada 649 atlet yang dipertaruhkan Selangor dalam temasya kali ini adalah muka baharu.

Categories
SELANGOR SUKANKINI

SUKMA 2018: Skuad bola sepak Selangor atasi Kelantan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 10 SEPT: Selangor memulakan kempen ibu emas Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 dengan langkah kanan apabila membenam Kelantan 4-0 dalam acara bola sepak, di Stadium TLDM, Lumut, Perak, malam tadi.

Kehadiran Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari disusuli laungan semangat barisan penyokong Selangor, jelas terlalu unggul untuk Kelantan dalam saingan Kumpulan D itu.

Dengan kemenangan itu, Selangor melonjak di kedudukan teratas memintas Kedah yang turut merekodkan kemenangan 3-0 ke atas Pahang.

Corak kemas skuad kendalian Mohamad Haris Lajid menyaksikan Selangor lebih mendominasi sepanjang perlawanan.

Ahmad Ikhwan Hafiz dan Muhammad Arrieffahmi berjaya membuka ruang dalam tempoh 15 minit saingan, namun gagal menewaskan Mohd Syafiq Zulkifli di gawang Kelantan.

Bagaimanapun, Kelantan melancarkan serangan bertali arus dan cuba mencemas kubu lawan, tetapi tindakan gopoh Mohamad Fazrul Amir menyebabkan peluang negeri Cik Siti Wan Kembang terlepas begitu sahaja.

Usaha Selangor akhirnya berhasil apabila rembatan kencang Mohd Rusyaidi Rodzi pada minit ke-35 berjaya membolosi penjaga gol lawan.

Dua minit berselang, Syafiq tertewas lagi apabila Muhammad Azizul Baharuddin merampas bola yang terlepas daripada penjaga gol itu untuk merembat ke gawang kosong membolehkan Selangor selesa di hadapan.

Kelantan cuba bangkit pada babak kedua dan mencipta banyak peluang tetapi rentak permainan kemas ditampilkan pasukan Selangor menghalang mereka untuk menjaringkan gol.

Sebaliknya Selangor menjaringkan dua gol lagi hasil sentuhan penyudah Ariff Ar-Rashid Ariffin dan Shafizi Ikmal Md Khaiduddin pada minit ke-75 dan 77 untuk melengkapkan kemenangan mereka.

Categories
SUKANKINI

Perak sedia jayakan SUKMA 2018

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 16 JULAI: Perak bersiap sedia menganjurkan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 tahun ini, bermula 12 hingga 22 September ini.

Exco Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Perak, Howard Lee Chuan How berkata, sebagai tuan rumah, Perak memulakan perancangan seawal Disember 2016 dengan mewujudkan Sekretariat SUKMA 2018 selepas berakhir SUKMA ke-18 di Kuching, Sarawak.

“Kita melakukan persediaan agak rapi dengan pelaburan besar bagi menjayakan SUKMA kali ini, termasuk pembinaan Pusat Akuatik di Ipoh dengan kos kira-kira RM46 juta yang dianggap antara terbaik di Asia Tenggara serta Lapang Sasar di Chemor bertaraf antarabangsa.

“Perak bersedia menyambut semua kontinjen negeri, termasuk Brunei yang bertanding serta pihak berkaitan juga pelancong dari dalam mahupun luar,” katanya pada majlis kunjung hormat Kerajaan Perak ke Selangor sebagai jemputan rasmi ke temasya SUKMA 2018, di sini, hari ini.

Beliau berkata, persiapan rapi itu dilakukan kerana SUKMA salah satu temasya sukan penting dan menjadi medan mencungkil serta mengasah bakat atlet muda negara untuk diketengahkan ke peringkat kebangsaan juga antarabangsa.

Katanya, Kerajaan Perak berharap dapat menganjurkan temasya dwi-tahunan itu dengan jaya dan mendapat sambutan hebat semua kontinjen yang mengambil bahagian.

“Dengan Selangor membuat persiapan rapi bagi mengekalkan kejuaraan, Perak juga sama dan kita harap ia mewujudkan saingan sihat dengan semangat kesukanan tinggi semua atlet juga kontinjen dalam SUKMA 2018 ini,” katanya.

Selangor menjuarai SUKMA 2016 di Sarawak dengan pungutan 59 emas, 73 perak dan 63 gangsa.

Turut hadir, Setiausaha Bahagian (Pengurusan Sumber Manusia) Kerajaan Selangor, Zamani Ahmad Mansor; Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Zubir Idrus, Pengarah MSN Perak, Dr Benderi Bin Dasril dan Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA 2018, Musa Dun.

Categories
NASIONAL SUKANKINI

SUKMA 2018: Tiga sukan teras kembali dipertandingkan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 FEB: Tiga sukan teras iaitu sepak takraw, taekwando dan angkat berat akan kembali dipertandingkan dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 Perak, selepas dua bulan digugurkan.

Keputusan itu dicapai hasil Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, semalam.

Sebelum ini, mesyuarat Lembaga Pengurus Majlis Sukan Negara (MSN) pada 18 Disember lalu menggugurkan sukan terbabit sebagai sukan teras.

Pengguguran dibuat selepas kajian mendalam dilakukan berdasarkan prestasi semasa persatuan terbabit.

Dengan pengumuman terbaru ini, SUKMA 2018 akan mempertandingkan 29 jenis sukan yang merangkumi 369 acara keseluruhan.