SHAH ALAM, 7 JULAI: Selangor yakin mampu merangkul gelaran juara di Sukan Malaysia (Sukma) 2021 yang dijangka berlangsung tahun depan, kata EXCO pembangunan generasi muda dan sukan.
Mohd Khairuddin Othman berkata sepanjang sukan dwi-tahunan itu Selangor menampilkan 850 atlet yang semuanya sudah melakukan persediaan.
“Semua atlet memulakan latihan penuh bermula Julai ini. Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), prestasi mereka tetap dipantau jurulatih,” katanya selepas Majlis Menandatangani MoU antara Majlis Sukan Negeri Selangor dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM)` hari ini.
Menurut Mohd Khairuddin, MoU berkenaan memberi imput dan kelebihan kepada Selangor untuk menghadapi Sukma.
“Pembabitan UiTM lebih kepada pandangan sebagai pakar. Atlet kita boleh bersukan tapi dari segi teknikal, mungkin UiTM boleh membantu,” katanya.
Selangor muncul juara sembilan kali sejak temasya mula dianjurkan pada 1986. Kali terakhir bergelar juara pada 2016.