Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN anjur sambutan Tahun Baharu Cina dalam talian

SHAH ALAM, 8 FEB: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan mengadakan sambutan rumah terbuka Tahun Baharu Cina secara maya pada 13 Februari.

Pengarah program berkata usaha itu bagi meraikan kaum Tiong Hua yang tidak dapat pulang ke kampung untuk bersama keluarga berikutan Covid-19.

Sim Tze Tzin menjelaskan anjuran melalui Zoom dan siaran langsung Facebook bermula jam 11 pagi melibatkan pimpinan tertinggi parti dan negeri.

“KEADILAN sebagai parti berbilang kaum tetap ingin mengekalkan tradisi menyambut perayaan bersama rakan dalam keadaan norma baharu. Kami akan menyediakan beberapa persembahan dan ucapan Tahun Baharu oleh pimpinan pusat dan negeri,” katanya dalam kenyataan.

Antara pemimpin terlibat ialah Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Orang ramai boleh menyertai program tersebut melalui pautan https://www.facebook.com/KeadilanRakyat/.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Menang angpau RM10,000, tonton sambutan Tahun Baharu Cina secara maya

SHAH ALAM, 8 FEB: Kerajaan Selangor menganjurkan kempen Rebut Peluang Menang Angpau bernilai RM10,000 sempena Tahun Baharu Cina 2021 peringkat negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Agama Buddha dan Tao Selangor berkata orang ramai hanya perlu menonton sambutan perayaan secara langsung di Facebook pada 12 Februari dan mengirim ucapan.

Dato’ Teng Chang Khim memaklumkan sebanyak 310 angpau disediakan dengan peserta berpeluang memenangi antara RM28 dan RM168.

“Kempen ini hanya diadakan di Facebook Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Teng Chang Khim melibatkan agihan 150 angpau bernilai RM28 dan lima angpau RM168 setiap satu.

“Cabutan angpau RM168 akan diadakan pada minit ke-15, 30, 45, 60 dan selepas siaran langsung tamat. Senarai pemenang diumum pada 15 Februari,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Berikut langkah-langkah penyertaan:

1. Saksikan sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Selangor secara dalam talian pada 12 Februari, jam 9 malam dan kongsi di Facebook serta jadikan siaran umum

2. Tanda rakan dan keluarga anda sebanyak mungkin di ruangan komen, tulis ucapan selamat dan letak tanda pagar #alliwantforcnyisyou

Layari Facebook Teng Chang Khim dan linktr.ee/cnyselangor untuk maklumat lebih jelas.

Selangor menganjurkan sambutan Tahun Baru Cina dalam talian secara besar-besaran melalui rangkaian media sosial pada 12 Februari ini.

Kumpulan kebudayaan yang bakal membuat persembahan ialah:

1. Emcees’ Talk Show – Soo Wee Seng & Soo Rui Yang
2. Reunion – Hands Percussion Malaysia
3. Reminiscence – Han Fong Dance Ensemble
4. The Conqueror – Sara Heng & Hands Percussion Malaysia
5. Don’t Worry, My Dear – Fresco Harmonica Ensemble
6. Teochew Puppet Documentary – Teochew Puppet & Opera
7. A New Bloom- Ong Chia Kun & Howz & Jimmy Ch’ng
8. Lion Dance Documentary – The King of Lion Dance
9. Lion Dance – Subang Hong Teck
10. Horse Dance – Shui Tung Fang Band
11. CNY Song 2021 – Tha Jie Ying
12. Gong Xi Gong Xi – Barisan EXCO

Categories
AGENDA NASIONAL

Pokok limau hiasan masih popular, penyeri sambutan Tahun Baharu Cina

SEREMBAN, 7 FEB: Setiap kali tibanya perayaan Tahun Baharu Cina, kediaman masyarakat Tionghoa biasanya dihiasi dengan pelbagai jenis bunga dan pokok limau hiasan yang berwarna terang sebagai lambang kelahiran semula, kegembiraan dan tuah.

Pokok limau kasturi, bunga kekwa dan orkid antara yang menjadi pilihan mereka, dan tinjauan Bernama di kedai bunga dan nurseri di sini mendapati permintaan terhadap pokok limau hiasan masih tinggi sekalipun sambutan Tahun Baharu Cina kali ini agak suram susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Seorang pengusaha, Nixon Lau Tian Soon berkata setakat ini pihaknya menerima lebih 1,000 permintaan terhadap pokok limau hiasan, kebanyakannya daripada pelanggan tetap.

Mengakui pelaksanaan PKP menjejaskan permintaan terhadap pokok hiasan itu, Lau berkata tahun lepas mereka menjual lebih 4,000 pokok dengan permintaan diterima dari seluruh negeri.

“Kali ini hanya daripada pelanggan sekitar Seremban yang ingin mendapatkan pokok limau lebih berkualiti,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya selain mendapatkan bekalan daripada ladang sendiri di Tapah, Perak, beliau turut mengimport pokok limau mandarin dari China yang dijual dengan harga antara RM800 dan RM1,400 berbanding pokok limau kasturi tempatan yang berharga RM68 hingga RM438.

Pokok limau ini penting dalam sambutan Tahun Baharu Cina kerana tanaman itu melambangkan tuah selain memberikan suasana ceria, katanya.

Seorang suri rumah, Chong Chin Yee, 33, berkata pokok itu merupakan satu kemestian di rumahnya setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina.

“Ia juga bertujuan ‘menghidupkan’ sambutan Tahun Baharu Cina dan pokok limau hiasan ini hanya boleh didapati sekali sahaja pada setiap tahun,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Sungai Ujong Walk sepanjang Jalan Murugesu di sini mendapati kawasan berkenaan tidak semeriah seperti tahun sebelumnya dengan kebanyakan kedai tidak beroperasi dan suasana lengang susulan pelaksanaan PKP.

Peniaga alatan sembahyang Cina dan perhiasan, Kenneth Low, 41, berkata jualan agak perlahan selain bilangan pelanggan juga berkurangan.

“Kalau sebelum ini kita boleh membuat jualan antara RM3,000 dan RM5,000 sehari, tahun ini bawah RM3,000. Saya tidak rasa akan ada pembelian saat-saat akhir kerana orang memilih duduk di rumah sahaja,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kementerian Perpaduan kemuka rayuan berhubung SOP Tahun Baharu Cina

PUTRAJAYA, 5 FEB: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan membawa pandangan dan rayuan masyarakat Cina berhubung tatacara operasi piawai (SOP) sambutan Tahun Baharu Cina berkaitan majlis makan besar keluarga dan kehadiran ke rumah ibadat tokong, untuk perhatian Majlis Keselamatan Negara (MKN).

KPN dalam kenyataan hari ini memaklumkan SOP Tahun Baharu Cina itu disediakan setelah pihak kementerian berbincang dengan 21 badan pertubuhan agama, persatuan kebudayaan Cina dan pihak berkaitan pada 12 dan 18 Jan lepas.

Antara persatuan yang terlibat semasa perbincangan pada 12 Jan lepas ialah Malaysian Buddhist Association, Persatuan Agama Taoisme Malaysia, Malaysian Chinese Muslim Association, Persatuan Kebudayaan Han Malaysia dan Malaysia-China Chamber of Commerce and Industries.

Persatuan yang hadir pada 18 Jan lepas pula antaranya Cheng Ho Multi Culture Education, Malaysian Faith And Culture Interaction Kuala Lumpur dan Huazhong Malaysia.

Menurut KPN, sebarang pengumuman berkaitan pandangan dan rayuan yang dimasukkan dalam SOP Tahun Baharu Cina akan diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Semalam, Ismail Sabri mengumumkan beberapa SOP untuk sambutan Tahun Baharu Cina pada 12 dan 13 Feb ini, antaranya hanya membenarkan aktiviti majlis makan besar diraikan bersama ahli keluarga dari rumah yang sama sahaja.

Aktiviti perayaan yang tidak dibenarkan pula meliputi upacara sembahyang di tokong, ziarah rumah ke rumah, rentas daerah dan negeri serta persembahan dan kebudayaan seperti persembahan tarian singa atau tarian naga, perarakan ‘tanglung, perarakan ‘chingay’ dan persembahan opera cina atau pertunjukan pentas.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Tahun Baharu Cina dibenar sambut hanya dengan ahli keluarga

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Perayaan Tahun Baharu Cina termasuk upacara sembahyang hanya dibenarkan disambut di rumah bersama ahli keluarga, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata upacara sembahyang di tokong tidak dibenarkan kecuali kepada lima ahli jawatankuasa tempat ibadat berkenaan dengan orang ramai digalak melakukan upacara itu di kediaman masing-masing.

“Tatacara operasi piawai (SOP) ini pernah kita lakukan sewaktu Hari Raya Aidilfitri, begitu juga Deepavali. Bagaimanapun, untuk Sarawak kita serahkan kepada kerajaan negeri untuk umumkan kerana di sana ada PKP, ada PKPB,” katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Beliau berkata acara makan besar sempena perayaan itu juga terhad kepada ahli keluarga dari kediaman yang sama sahaja, selain aktiviti ziarah dari rumah ke rumah, rentas daerah dan negeri adalah tidak dibenarkan.

Selain itu, persembahan dan kebudayaan yang lazim seperti tarian singa, tarian naga, perarakan tanglung, persembahan opera Cina dan pertunjukan pentas juga tidak dibenarkan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan bersetuju menamatkan PKP Diperketatkan (PKPD) di Blok Tahanan dan Kuarters Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas, Pontian, Johor hari ini.

Beliau berkata sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan 408 ujian saringan dan daripada jumlah itu 125 kes positif Covid-19 direkodkan.

Bagaimanapun, semua kes positif yang dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) akan didiscaj hari ini dan tiada lagi sampel saringan menunggu keputusan.

Mengenai kesalahan ingkar SOP, Ismail Sabri berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 731 individu semalam dan daripada jumlah itu, 709 individu dikompaun, 19 direman dan tiga dijamin.

Bagi Ops Benteng pula, beliau berkata 20 pendatang tanpa izin dan satu tekong ditahan serta 14 kenderaan darat dirampas semalam.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Peruntuk lebih RM400,000 terbit program Tahun Baharu Cina dalam talian

SHAH ALAM, 1 FEB: Kerajaan Selangor memperuntuk sejumlah RM414,000 bagi menjayakan program penerbitan sulung dalam talian sempena Tahun Baharu Cina 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (Limas) Dato’ Teng Chang Khim berkata jumlah itu meliputi bayaran pengarah dan artis profesional yang bakal membuat persembahan istimewa.

“Sambutan kali ini dilaksana melalui program di platform media sosial ekoran keadaan semasa pandemik Covid-19 yang tidak membenarkan penganjuran acara dan perhimpunan ramai.

“Kaedah penerbitan program istimewa secara maya diyakini memberi impak positif kepada masyarakat berbilang kaum memandangkan risiko penularan wabak masih tinggi,” katanya pada sidang media hari ini.

Chang Khim memaklumkan negeri itu antara yang terawal menerbitkan program melalui rangkaian media sosial bagi meraikan perayaan masyarakat Cina dalam suasana norma baharu.

“Belum ada kerajaan sama ada di peringkat persekutuan atau negeri yang terbitkan program sambutan perayaan secara besar-besaran.

“Walaupun sukar menjangkakan penerimaan penonton namun saya percaya program ini sekurang-kurangnya memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai suasana perayaan,” katanya.

Bertemakan ‘Tahun Baharu, Harapan Baharu’, acara pada 12 Februari nanti membawakan 12 persembahan seperti nyanyian, tarian dan kebudayaan bermula jam 9 malam.

Orang ramai boleh menonton di laman Facebook Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari https://www.facebook.com/ami.mbselangor serta di beberapa media elektronik.

Categories
AGENSI SELANGOR

Buat ucapan Tahun Baharu Cina, menangi angpau RM168

SHAH ALAM, 1 FEB: Orang ramai berpeluang memenangi angpau bernilai RM168 melalui kiriman ucapan sempena Tahun Baharu Cina 2021 peringkat Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (Limas) berkata pemberian angpau menerusi kempen ‘Tahun Baharu Cina Ucap dan Menang’ bagi menambah keseronokan sambutan perayaan itu.

“Nilai angpau ini sebagai simbolik kepada makmur sepanjang jalan, jadi tiga ucapan paling kreatif akan dipilih sebagai pemenang hadiah tersebut.

“Orang ramai dipelawa menulis ucapan sebelum peraduan tamat 3 Februari manakala keputusan diumum 9 Februari,” kata Dato’ Teng Chang Khim pada sidang media secara maya hari ini.

Beliau menjelaskan pihaknya menerima ratusan penyertaan sejak dibuka pada 24 Januari lalu. Untuk maklumat lanjut boleh layari Facebook Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari https://www.facebook.com/ami.mbselangor.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA tawar kutip sampah pukal percuma sempena Tahun Baharu Cina

SHAH ALAM, 26 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menganjurkan program Spring Cleaning sempena Tahun Baharu Cina bermula semalam hingga 14 Februari ini.

Pihak berkuasa tempatan berkata penduduk boleh membuang sampah pukal secara percuma ke dalam tong RORO yang ditempatkan mengikut lokasi dan tarikh ditetapkan.

“Antara barang diterima adalah sofa, kerusi, meja, almari, katil, tilam serta barang diperbuat daripada besi dan kaca seperti basikal, buaian bayi, akuarium dan lampu hiasan.

“Hanya barangan mengikut spesifikasi dibenarkan dibuang ke dalam tong manakala bahan berkaca perlu dibungkus dengan baik supaya tidak mudah pecah,” katanya menerusi Facebook.

MBSA berkata tempoh penempatan tong RORO selama tujuh hari di setiap lokasi ditetapkan dan akan ditarik setelah ia penuh.

Untuk maklumat lokasi dan tarikh penempatan tong RORO sila kunjungi Facebook rasmi MBSA.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Kaligrafi Cina temukan Cheng dan Azizah

KULAI, 21 JAN: Ketibaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi turut membuka pintu rezeki berganda bagi Cheng Ho Chung, 83, seorang mahaguru kaligrafi Cina di sini.

Manakan tidak, setiap kali perayaan berkenaan, warga emas itu tidak putus-putus menerima tempahan kaligrafi Cina daripada masyarakat setempat untuk mewarnai sambutan itu dengan tulisan berkenaan yang membawa bermaksud kemakmuran, kesihatan dan kekayaan.

Tetapi kali ini, yang lebih menarik, Cheng tidak bersendirian dalam menyiapkan tempahan itu yang kadangkala mencecah hingga ratusan unit kerana dia dibantu oleh sahabat baharunya, Azizah Mokhsan, 38.

Cheng berkata dia mengenali Azizah dua tahun yang lalu apabila wanita berkenaan mula bekerja di kedai menjual penyaman udara, bersebelahan dengan tapak perniagaannya di Jalan Raya, Kulai Besar.

“Pada mulanya, dia (Azizah) hanya sekadar melihat saya menulis kaligrafi ini di atas kertas dan tanglung.

Cheng Ho Chung menghasilkan tulisan kaligrafi Cina dengan pelbagai maksud antaranya kemakmuran, kesihatan dan kekayaan ketika ditemui di kedainya di Jalan Raya Kulai Besar pada 20 Januari 2021. Foto BERNAMA

“Tetapi (lama-kelamaan) saya menyedari dia mempunyai minat terhadap seni ini lalu saya bertanyakan adakah dia berminat untuk mempelajari seni ini dengan saya,” kata Cheng ketika mengimbas detik permulaannya menjadi guru kaligrafi kepada wanita terbabit kepada pemberita di sini.

Menurutnya, dia mengambil tempoh yang agak lama untuk membiasakan Azizah dengan teknik asas penulisan kaligrafi Cina kerana wanita itu tiada sebarang pengetahuan terhadap Bahasa Mandarin dan tulisannya.

“Saya ajar dia bermula dengan cara memegang berus dengan betul sehinggalah ke cara menulis kaligrafi dengan baik namun lama-kelamaan dia semakin mahir,” kata Cheng yang telah berniaga tulisan kaligrafi sejak tahun 1983 malah juga pernah mengajar seni itu di beberapa sekolah di Johor dari tahun 1988 hingga 2001.

Sementara itu, Azizah berkata ramai pelanggan Cheng terkejut apabila mengetahui terdapat seorang wanita Melayu berminat mempelajari seni kaligrafi Cina.

“Ada juga yang berasa kagum kerana tidak ramai generasi muda mahu meneruskan warisan ini. Malah dalam kalangan ahli keluarga Cheng sendiri, hanya seorang daripada tiga anaknya yang mengikut jejak ayahnya mempraktik dan mengajar seni kaligrafi Cina,” kata wanita yang berasal dari Kampung Bachang, Melaka itu.

Azizah berkata disebabkan minat yang mendalam terhadap seni tulisan itu juga, dia tergerak hati untuk mengikuti kelas pembelajaran Bahasa Mandarin bagi mengukuhkan keupayaan dan pemahamannya terhadap seni berkenaan.

“Sejak belajar dengan Cheng, saya sudah menguasai beberapa patah perkataan bahasa Mandarin namun tidak sepenuhnya.

“Disebabkan itu, saya sanggup mengikuti kelas Bahasa Mandarin bagi memperluaskan pemahaman saya,” katanya yang mengakui seni tulisan ini mementingkan banyak faktor antaranya kualiti berus dan cara mengalunkan pergerakan pergelangan tangan bagi mendapatkan bentuk kaligrafi yang terbaik.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Terap integriti dan telus laksana projek rakyat

GOMBAK, 21 FEB: Kerajaan Pakatan Harapan (Pakatan) menerapkan konsep ketelusan dan integriti sebelum sesuatu projek dilaksanakan demi kepentingan rakyat, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata ia bagi membolehkan rancangan pembangunan pada negeri dan negara menjadi lebih seimbang serta tidak mendatangkan kerosakan.

“Untuk itu barisan kepimpinan di peringkat Persekutuan terpaksa mengambil tempoh sekurang-kurangnya dua tahun supaya pendekatan ini menjadi dasar negara.

“Inilah cara kita melaksanakan program untuk rakyat, kena ada peraturan dan prosedur,” katanya ketika berucap pada sambutan Tahun Baharu Cina di Kampung Selayang Baru di sini malam ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) ditemani isteri Datin Seri Masdiana Muhamad (kiri) menyampaikan sumbangan ketika majlis sambutan Tahun Baharu Cina peringkat DUN Sungai Tua di Kampung Selayang Baru, Batu Caves pada 21 Februari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN

Hadir sama Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen, Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Ampang Jaya Dato’ Abd Hamid Hussain dan Ketua Whip Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Selayang Amir Fazlee Khalid.

Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua turut mengajak kaum Cina bersama memakmurkan Selangor seiring dengan tahun tikus bagi kalendar masyarakat berkenaan.

“Zodiak tikus adalah lambang haiwan yang rajin, oleh itu mari kita sama-sama bekerja supaya tahun ini kita ada ‘ong’,” katanya.

Pada majlis berkenaan, YDP Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor, Datin Seri Masdiana Muhamad turut menyerahkan sumbangan kepada warga emas.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Raja Muda cemar duli meriahkan sambutan Tahun Baharu Cina

PETALING JAYA, 1 FEB: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan berangkat ke Rumah Terbuka Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Selangor 2020 yang berlangsung di Dataran Petaling Jaya, malam ini.

Baginda yang tiba sekitar 8 malam disambut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan isteri Datin Seri Masdiana Muhamad, EXCO pelaburan Dato’ Teng Chang Khim, Speaker Dewan Negeri Selangor Ng Suee Lim serta barisan pimpinan Kerajaan Negeri.

Tengku Amir Shah bersama pimpinan negeri yang diketuai Amirudin bersama-sama memalu gendang sebagai simbolik perasmian.

Acara diteruskan dengan majlis santapan sambil dihiburkan dengan persembahan kebudayaan, tarian singa dan muzikal Cina.

Tidak ketinggalan pemberian angpau kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan buah limau yang menjadi tradisi saban tahun sambutan.

Orang awam daripada pelbagai bangsa turut menikmati hidangan yang disediakan seperti nasi ayam kunyit, nasi goreng cina, roti john, mi dan kuetiau goreng serta yong tau fu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama perlahan

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Aliran trafik dilaporkan perlahan di beberapa lebuh raya utama setakat 5 petang ini berikutan orang ramai pulang ke kampung sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

Jurucakap PLUS Malaysia Berhad berkata trafik menuju utara perlahan dari Slim River ke Sungkai, Bukit Tagar ke Lembah Beringin serta Tapah ke Gopeng berikutan pertambahan jumlah kenderaan.

“Trafik menuju ke selatan pula perlahan dari Senai ke Sedenak serta Ayer Hitam ke Yong Peng,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata trafik menuju ke pantai timur bergerak perlahan dari Plaza Tol Gombak sehingga ke Genting Sempah.

“Bagaimanapun, aliran trafik dilapor bergerak lancar di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan 2,” katanya.

Maklumat trafik terkini boleh didapati menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter, www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter, www.twitter.com/llminfotrafik.

– BERNAMA