Categories
NASIONAL

Liong Sik bebas bukti Gani Patail tidak efektif

PKFZ-1

SHAH ALAM 25 OKT : Rakyat semakin hilang keyakinan terhadap kegagalan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail membabitkan pendakwaan kes berprofil tinggi susulan pembebasan bekas menteri, Tun Dr Ling Liong Sik dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Ahli Parlimen Kapar, G Manivanan, berkata kegagalan Gani Patail dalam kes besar seperti PKFZ membuktikan beliau tidak efektif dan berkemampuan melaksanakan tugasnya.

Manivan di dalam portal The Malaysian Insider berkata Gani Patail disifatkan sebgaai ego apabila tidak mahu mengakui kesalahan yang dilakukannya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, berkata Gani tidak cekap dalam melaksanakan tugasnya apabila pertuduhan yang dibuat dalam pendakwaan itu bersifat tidak kukuh dan lemah.

Tony Pua berkata, kegagalan dalam PKFZ itu adalah yang kedua selepas kegagalan pendakwaan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu dengan pembebasan  anggota polis, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar.

“Rakyat tidak boleh dipersalahkan apabila mereka enggan percaya pada kerajaan dengan menyatakan ‘ikan besar’ yang ada kaitan dengan pemerintah elit Barisan Nasional (BN) tidak akan dijatuhkan hukuman bersalah,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Mahkamah Tinggi hari ini melepaskan Liong Sik daripada tuduhan menipu kerajaan Malaysia berhubung PKFZ dan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi membebaskannya selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap semua pertuduhan di akhir kes pembelaan.

Liong Sik, 70, didakwa menipu kerajaan untuk memberi persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah, Pelabuhan Klang bagi pembinaan projek ‘Mega Distribution Hub’ yang kini dikenali PKFZ dan beliau diperintah membela diri, pada 9 Mac 2013,

Beliau didakwa menipu kerajaan apabila tidak mendedahkan fakta berkenaan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun iaitu tambahan harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 iaitu RM25 sekaki persegi berjumlah RM1.088 bilion dan mengetahui Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) sebagai penentu nilai itu sudah mengambil kira kadar kupon.

Beliau didakwa melakukan semua kesalahan itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 25 September dan 6 November 2002.

Categories
NASIONAL

SPR harus terima teguran, bukan sebelahi Umno BN

SPR vs Tribunal rakyat

SHAH ALAM 29 SEPT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu sedia menerima teguran semua pihak termasuk Tribunal Rakyat demi memelihara kepentingan rakyat.

Keengganan SPR membantu siasatan Tribunal Rakyat hanya membayangkan agensi itu mengambil pendirian yang menguntungkan Umno BN sahaja.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali, berkata SPR sepatutnya berani dan bertanggungjawab terhadap setiap teguran.

“Tribunal Rakyat mengesahkan isu yang dibangkitkan PKR dan Pakatan Rakyat sebelum ini betapa ada banyak penipuan sepanjang pilihan raya umum ke-13 (PRU 13).

“SPR wajar meneliti secara profesional untuk mengembalikan keyakinan rakyat sebagai agensi yang melaksanakan pilihan raya yang bebas dan adil,” katanya kepada TV Selangor.

Beliau juga menolak dakwaan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail kononnya tribunal berkenaan hanya mencari publisiti.

“Ini bukan soal menonjolkan kepentingan mana-mana pihak sebab itulah saya mendesak SPR bersikap terbuka dan mendengar teguran semua pihak khususnya rakyat.

“Keputusan PRU 13 penuh penipuan dan penyelewengan menyebabkan kesan buruk terhadap imej negara kepada dunia antarabangsa,” kata Pengerusi PKR Selangor itu.

Tubuh Tribunal Siasat Peguam Negara Kes Mata Lebam

SHAH ALAM 16 OKT : Peguam N Surendren mengesa ditubuhkan sebuah tribunal pebagi menyiasat penglibatan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dalam konspirasi Kes Liwat 1 empat belas tahun lalu.

Desakan itu dibuat peguam Surendran yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan penarikan balik saman fitnah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan terhadap Anwar pagi tadi.

Tribunal perlu dibuat kerana beliau (Abdul Gani) dinyatakan sebagai berkonspirasi dengan Musa untuk menamatkan kareer politik Anwar.

“Penarikan balik saman menunjukkan bahawa segala fakta Anwar bahawa terdapat konspirasi peringkat tertinggi terhadap beliau adalah benar dan ada asasnya.

“Perkara ini mesti disiasat,” tegasnya yang dihubungi melalui panggilan telefon sebentar tadi.

Pagi tadi, Peguam Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Rezua Merican yang mewakili Musa, memaklumkan kepada Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Asmabi Mohamad mengenai penarikan balik saman tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ia berkaitan laporan polis oleh Anwar terhadap Musa, Abdul Gani, bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim dan ahli patologi Hospital Kuala Lumpur, Dr Abdul Rahman Mohd Yusof berhubung pemalsuan bukti dalam perbicaraan kes Liwat 1.

Berikutan penarikan saman tersebut, perbicaraan insiden kes mata lebam oleh Anwar akibat dibelasah ketika dalam tahanan polis yang dijadual bermula hari ini dibatalkan.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) menyiasat Musa dan Abdul Gani atas dakwaan salahguna kuasa namun panel tiga hakim yang diketuai oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman memutuskan mereka tidak melakukan penyalahgunaan kuasa.

Bagaimanapun, Mat Zain (pegawai penyiasat dalam insiden mata lebam) mendedahkan peranan kedua-duanya dalam mereka bukti dan menghantar surat terbuka kepada pihak media beserta salinan kepada Ketua Polis Negara dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Mat Zain adalah antara saksi yang dijadual memberi keterangan bagi pihak pembelaan pagi tadi.