Categories
NASIONAL

Peguam Negara ‘double standard’ kes PKFZ, Altantuya

PKFZ3Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM 9 NOV : Keengganan kerajaan pusat memfailkan rayuan terhadap kes berprofil tinggi membabitkan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) disifatkan ‘double standard’.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), N Surendran berkata, tindakan itu juga dilihat sebagai pilih kasih dan membuktikan sistem perundangan negara tidak bebas dan mempunyai integriti.

Katanya, kegagalan Peguam Negara dalam kes seperti itu menyebabkan masyarakat hilang keyakinan bukan sahaja terhadap kerajaan pusat, tetapi institusi Peguam Negara, polis dan mahkamah serta menjejaskan reputasi negara untuk menarik pelabur.

“Perkara ini serius dan saya terkejut apabila Peguam Negara enggan membuat rayuan dan perkara sama turut terjadi dalam kes Altantuya. Kita boleh lihat dengan jelas Peguam Negara pilih kasih dalam membuat rayuan dalam kes berprofil tinggi,” katanya ketika dihubungi portal Selangor Kini, di sini, hari ini.

Surendran turut memberikan contoh ‘double standard’ dalam kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, apabila Peguam Negara berusaha untuk memenjarakan Anwar apabila membuat rayuan dan turut membawa masuk Datuk Shafei Abdullah sebagai pendakwa walaupun kes terbabit tidak mempunyai asas serta ditolak Hakim Mahkamah Tinggi.

“Tetapi dalam kes PKFZ dan Altantuya, pihak pendakwa tidak begitu minat. Ini menunjukkan ‘double standard’ berlaku apabila intitusi Peguam Negara dan sistem perundangan kita tidak bebas dan mempunyai integriti, selain memperlihatkan pendakwaan terhadap Anwar bermotifkan politik,” katanya.

Semalam, Timbalan Peguamcara II, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Malaysiakini mengesahkan Pejabat Peguam Negara tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan pembebasan bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik dalam kes penipuan PKFZ.

Liong Sik didakwa menyebabkan Kabinet meluluskan pembelian tanah yang menyebabkan kerugian kepada kerajaan apabila projek PKFZ dianggarkan berharga RM1.1 bilion selepas dimulakan pada tahun 1997, namun menjadi empat kali ganda iaitu RM4.6 bilion, pada tahun 2007.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Liong Sik bebas bukti Gani Patail tidak efektif

PKFZ-1

SHAH ALAM 25 OKT : Rakyat semakin hilang keyakinan terhadap kegagalan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail membabitkan pendakwaan kes berprofil tinggi susulan pembebasan bekas menteri, Tun Dr Ling Liong Sik dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Ahli Parlimen Kapar, G Manivanan, berkata kegagalan Gani Patail dalam kes besar seperti PKFZ membuktikan beliau tidak efektif dan berkemampuan melaksanakan tugasnya.

Manivan di dalam portal The Malaysian Insider berkata Gani Patail disifatkan sebgaai ego apabila tidak mahu mengakui kesalahan yang dilakukannya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, berkata Gani tidak cekap dalam melaksanakan tugasnya apabila pertuduhan yang dibuat dalam pendakwaan itu bersifat tidak kukuh dan lemah.

Tony Pua berkata, kegagalan dalam PKFZ itu adalah yang kedua selepas kegagalan pendakwaan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu dengan pembebasan  anggota polis, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar.

“Rakyat tidak boleh dipersalahkan apabila mereka enggan percaya pada kerajaan dengan menyatakan ‘ikan besar’ yang ada kaitan dengan pemerintah elit Barisan Nasional (BN) tidak akan dijatuhkan hukuman bersalah,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Mahkamah Tinggi hari ini melepaskan Liong Sik daripada tuduhan menipu kerajaan Malaysia berhubung PKFZ dan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi membebaskannya selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap semua pertuduhan di akhir kes pembelaan.

Liong Sik, 70, didakwa menipu kerajaan untuk memberi persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah, Pelabuhan Klang bagi pembinaan projek ‘Mega Distribution Hub’ yang kini dikenali PKFZ dan beliau diperintah membela diri, pada 9 Mac 2013,

Beliau didakwa menipu kerajaan apabila tidak mendedahkan fakta berkenaan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun iaitu tambahan harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 iaitu RM25 sekaki persegi berjumlah RM1.088 bilion dan mengetahui Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) sebagai penentu nilai itu sudah mengambil kira kadar kupon.

Beliau didakwa melakukan semua kesalahan itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 25 September dan 6 November 2002.

Categories
NASIONAL

Kerajaan Pusat Gagal Tunai Janji Bina Hospital

yahya shari 01

PETALING JAYA 2 DIS : Kementerian Kesihatan didakwa gagal menunaikan janji dalam melaksanakan pembinaan hospital dan klinik yang mencukupi mengikut jumlah penduduk.

Pengerusi Biro Kepenggunaan PKR, Yahya Sahri berkata, selepas dianalisa Umno-BN hanya mampu menyediakan pembinaan hospital kira-kira hanya 58 peratus.

Sebelum ini, kementerian terbabit menjanjikan menyediakan hospital dengan nisbah dua katil bagi setiap penduduk yang mana dianggarkan sebanyak 60,000 buah katil.

Namun, hasil analisa, setakat ini hanya terdapat 34,794 buah katil daripada 125 buah hospital di negara ini.

Manakala, lebih 10 buah hospital masih dikategori sebagai projek sakit selain masih tidak dibangunkan sedangkan majlis pecah tanah sudah dijalankan.

“Daripada penelitian pihak kami juga, lebih 50 peratus bangunan sudah usang yang mana usianya sudah mencecah lebih 50 tahun.

“Banyak hospital yang dijanjikan dengan perkhabaran baik untuk dibangunkan, ditukar menjadi kompleks hospital baru, namun hakikatnya tiada. Janji ini dilafazkan ketika ingin meraih undi setiap kali pilihan raya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR.

Antara projek hospital yang dijanjikan untuk dinaik taraf ialah Hospital Tanjung Karang, Hospital Parit Buntar, Hospital Sri Aman dan Hospital Lawas, Sarawak.

Manakala, antara projek pembinaan yang masih belum didirikan ialah Hospital Shah Alam, Hospital Dungun, Hospital Pendang, hospital Bandar Baru, Hospital Petra Jaya, Hospital Bera dan Hospital Rembau.

Yahya menambah biro kepenggunaan menyimpulkan bahawa punca kegagalan pembinaan hospital adalah disebabkan terlalu banyak penyelewengan, salah guna dan ketirisan wang rakyat.

“Jika dihitung, jumlah penyelewengan dan salah guna wang rakyat bernilai lebih RM153 bilion.

“Antaranya, skandal PKFZ, komisyen kapal selam, ‘bailout’ konsortium perkapalan milik Mirzan Mahathir, kerugian pembelian aset oleh Sime Darby, pembelian Eurocopter dan sebagainya,” katanya.

Jelasnya, dengan menganggarkan sebuah hospital berkapasiti 100 buah katil dengan nilai projek RM100 juta setiap satu, kekurangan kapasiti katil berjumlah 25,000 itu hanya memerlukan 250 buah hospital.

“Daripada jumlah itu, jumlah anggaran kos pembinaan bernilai RM25 bilion sahaja yang mana sekitar 15 peratus daripada jumlah kehilangan wang rakyat sebanyak RM153 bilion itu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Yahya mendakwa Kementerian Kesihatan akan menukar skim rawatan pesakit yang mana hospital atau klinik kerajaan akan hanya memberi rawatan sahaja manakala ubat tidak akan dibekalkan kepada pesakit.

“Ia kerana kos ubat yang perlu ditanggung oleh Kerajaan dianggarkan lebih RM1.2 bilion setiap tahun.

“Perbelanjaan itu dikatakan tinggi dan meningkat sebanyak 10 peratus setiap tahun, maka sistem baru itu akan diperkenalkan di mana pesakit terpaksa menanggung kos ubatan itu sendiri,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Noh Sibuk Isu Pasir Untuk Elak Skandal NFC

SHAH ALAM, 21 FEB : Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar sewajarnya memberi perhatian terharap isu besar seperti skandal Lembu Fidlot NFC yang dipertanggungjawabkan kepadanya daripada memperkatakan mengenai kes pasir di Selangor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafie berkata, Noh tidak seharusnya lepas tangan dalam isu itu dan cuba mengalihkan tumpuan rakyat terhadap pecah amanah duit rakyat berjumlah RM250 juta yang didakwa melibatkan seorang menteri.

Menurutnya, keutamaan perlu diberikan kepada kes itu sepertimana arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada Noh untuk memantau kes tersebut.

Katanya, pihaknya bersetuju dengan saranan Noh supaya isu kepentingan rakyat dibawa ke “mahkamah rakyat” supaya rakyat boleh membuat penilaian berhubung sesuatu isu dibangkitkan. “Apakah Noh masih belum menyiapkan kertas laporan untuk dibawa ke ‘mahkamah rakyat’ seperti diarah Perdana Menteri untuk Noh pantau dalam skandal Lembu Fidlot

NFC? Dalam perkembangan terkini yang saya ikuti sewaktu ditanya wartawan berhubung perkembangan skandal yang melibatkan RM250 Juta wang rakyat, dilaporkan beliau terkial-kial untuk menjawab soalan wartawan dalam mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang mengatakan bahawa terdapat pecah amanah dana rakyat dalam pembelian aset NFC.

“Jawapan diberi Noh berhubung isu salahguna skandal Lembu Fidlot NFC adalah ‘saya tidak tahu’. Apakah itu jawapan seorang menteri yang ditugaskan oleh Perdana Menteri untuk memantau kegagalan projek Lembu Fidlot NFC? soalnya dalam satu kenyataan media dibuatnya hari ini.

Shuhaimi berkata, tidak cukup dengan itu adakah juga Noh bersedia untuk bersemuka di “mahkamah rakyat” berhubung skandal PKFZ, skandal tanah ADUN Umno dan yang lainnya.

Tidak mahu menyebut mana-mana pemimpin Umno Selangor, beliau berkata, cukuplah sekadar menjelaskan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terpaksa menanggung kerugian jutaan ringgit kerana terpaksa membeli tanah milik seorang ADUN Umno Selangor satu masa dahulu dan sehingga sekarang tiada siasatan pihak berkuasa berkaitan perkara itu.

Tambahnya, Noh tidak sepatutnya menyibuk dalam urusan lain yang bukan di bawah tugasnya dan perlu menumpukan sepenuh perhatian terhadap tanggungjawab diberikan kepadanya.

“Isu pasir di Selangor ditangani dengan baik oleh Kerajaan Pakatan Rakyat dalam masa hampir empat tahun dengan angka dan statistik menunjukkan pencapaian dalam peningkatan royalti pasir.

“Malah isu ini sudah lebih 30 tahun bermula. Bukan sahaja di Selangor bahkan juga di Johor, Negeri Sembilan dan Perak. Mana suara pimpinan Umno dalam isu yang sama di negeri lain?,” katanya.