Categories
NASIONAL

TPM sedih isu tanah runtuh di Tanjung Bungah

KUALA LUMPUR, 26 JUN: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melahirkan rasa sedih dan terkejut dengan kejadian tanah runtuh di Jalan Tanjung Bungah, Pulau Pinang, awal pagi ini.

Dalam kenyataan ringkas di Facebook dan Twitter, beliau memaklumkan mengikuti rapat perkembangan operasi mencari dan menyelamat mangsa kejadian itu.

“Saya doakan kekuatan buat keluarga mangsa yang terlibat,” katanya.

Kejadian tanah runtuh berhampiran sebuah pusat peranginan di Tanjung Bungah, Pulau Pinang yang dilapor pada pukul 9.45 malam Selasa itu mengorbankan empat rakyat Myanmar.

Kesemua lelaki Myanmar itu dilapor digaji pemilik pusat peranginan berkenaan untuk membaiki tembok penahan di kawasan itu susulan pergerakan tanah sejak seminggu lepas.

Kesemua mereka tertimbus dalam runtuhan tanah itu dan operasi mencari dan menyelamat berakhir pada 4.35 pagi ini selepas mayat terakhir dibawa keluar dari runtuhan itu.

-BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tanah runtuh: Operasi SAR tujuh jam keluarkan mayat

GEORGE TOWN, 26 JUN: Operasi pencarian empat mangsa warga Myanmar yang tertimbus dalam kejadian tembok penahan tanah, runtuh di Jalan Batu Ferringhi, Tanjung Bungah di sini, berakhir dengan penemuan dan pengeluaran mayat terakhir dari tempat kejadian kira-kira 4.35 pagi ini.

Penemuan mayat terakhir itu menamatkan pencarian selama kira-kira tujuh jam selepas kejadian itu dilaporkan pada pukul 9.45 malam tadi yang menyaksikan pasukan pencarian terpaksa mengharungi beberapa kesulitan sebelum berjaya mencapai misi mereka.

Pengumuman penemuan mayat terakhir oleh Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang seperti membawa kelegaan bukan hanya kepada pasukan pencarian, malah dalam kalangan pengamal media yang pernah mengharungi pengalaman membuat liputan operasi seumpama ini tahun lepas.

Kejadian terbaharu ini sudah pasti mengingatkan mereka kembali kepada kejadian tanah runtuh di Bukit Kukus 19 Okt tahun lepas yang melibatkan operasi pencarian selama empat hari sebelum berakhir dengan mencatatkan sembilan kematian.

Operasi kali ini turut menyaksikan semangat tinggi dalam kalangan petugas operasi untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan efisien dan bersepadu biarpun menghadapi beberapa cabaran.

Dalam insiden semalam, Che Zaimani berkata mayat keempat warga Myanmar yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di tapak binaan tembok penahan tanah di Jalan Batu Ferringhi, Tanjung Bunga dekat sini ditemukan pada pukul 3.35 pagi ini.

Menurutnya, mangsa terakhir itu ditemukan dalam keadaan kedudukan berdiri berhampiran dengan penemuan tiga mayat yang lain.

“Kita telah berjaya menemui kesemua mangsa yang tertimbus dalam kejadian ini. Mangsa terakhir kita jumpa pada pukul 3.35 pagi. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam usaha menyelamat sehingga proses ini selesai.

“Operasi ini ditamatkan sepenuhnya selepas mayat keempat berjaya dibawa keluar,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata pasukan penyelamat mengalami sedikit kesukaran untuk mengeluarkan mangsa disebabkan banyak besi-besi cerucuk yang berada di tempat kejadian sekali gus menyebabkan proses untuk menggali tanah terganggu.

“Mereka ini sedang memasang besi-besi cerucuk untuk memasang dinding penahan di tempat tersebut. Sebahagian daripada mangsa nampak tercedera kerana besi-besi ini. Tiga mayat ditemukan dalam keadaan berdiri manakala satu mayat terbaring berhampiran mayat yang lain,” katanya.

Sebelum itu, sebatang akar tunjang pokok yang besar terdapat dalam runtuhan tanah itu juga telah menyukarkan usaha untuk mengeluarkan mangsa, namun ini tidak mematahkan semangat pasukan itu biarpun mengharungi tugas dari malam hingga ke awal pagi.

Che Zaimani berkata kesemua mangsa tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan pihaknya akan berhubung dengan Kedutaan Myanmar bagi mendapatkan maklumat dan butiran kesemua mangsa berdasarkan cap jari yang diperoleh.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, Mohd Hafiz Hafizal Timaradin berkata seramai 117 anggota dan pegawai dari lima balai serta dibantu anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat itu.

Selain polis dan bomba, operasi SAR turut disertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan pertubuhan bukan kerajaan.

Seorang tukang kebun yang menjadi saksi insiden yang berlaku pukul 9.25 malam itu mendakwa mendengar satu dentuman kuat sebelum melihat sebuah tembok penahan di lereng bukit berdekatan sebuah pusat peranginan di Tanjung Bungah di sini runtuh.

Zulkefli Tinggal, 61, memberitahu polis bahawa tembok berkenaan sedang dibina pekerja warga Myanmar yang hanya dikenalinya dengan nama Ong, bersama-sama tiga lagi rakan senegara Ong.

Menurut saksi ini, Ong sudah bekerja di pusat peranginan itu hampir tiga tahun sebagai petugas penyelenggara dan keempat-empat warga Myanmar itu sudah menjalankan kerja pembinaan tembok itu sejak seminggu lalu.

Pemilik pusat peranginan itu pula memberitahu keempat-empat warga Myanmar itu datang menawarkan diri untuk membina tembok penahan tanah dalam tempoh 20 hari namun hanya mengenali Ong, ekoran tiga pekerja lain dibawa oleh Ong.

Kesemua mangsa diupah pemilik sebuah resort di situ untuk membina tembok penahan tanah selepas mendapati berlaku pergerakan tanah sejak seminggu lalu.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tanah runtuh: 4 pekerja Myanmar maut tertimbus

GEORGE TOWN, 26 JUN: Empat pekerja warga Myanmar maut dalam kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan di Jalan Tanjung Bungah dekat sini, malam tadi.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Saadon Mokhtar berkata, operasi mencari dan menyelamat diaktifkan pihaknya dengan kerjasama polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia selepas laporan berhubung insiden itu diterima kira-kira 9.25 malam tadi.

“Setakat ini kita sudah mengenal pasti lokasi mangsa di bawah timbunan tanah dengan kedalaman kira-kira 4.5 meter.

“Usaha mengeluarkan mereka sedang dilakukan,” katanya ketika dihubungi Bernama malam tadi.

Sementara itu, usaha mengeluarkan tigas mayat mangsa kejadian tanah runtuh mengalami kesukaran ekoran akar tunjang pokok yang menghalang perjalanan operasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang berkata, usaha giat dilakukan untuk memotong akar tunjang pokok itu bagi membolehkan mayat mangsa yang ditemui dikeluarkan.

“Usaha mengeluarkan mangsa yang sudah dijumpai sedang giat dijalankan selain mencari seorang lagi mangsa yang terbabit dalam kejadian ini,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Sehingga 2 pagi ini, ketiga-tiga mayat mangsa warga Myanmar yang sudah ditemukan masih belum dapat dikeluarkan.

Empat pekerja Myanmar berkenaan dilaporkan digaji pemilik pusat peranginan itu untuk membaiki tembok penahan di kawasan itu susulan pergerakan tanah yang berlaku di kawasan itu sejak seminggu lepas, menurut polis.

“Operasi mencari dan menyelamat ini akan diteruskan sehingga kesemua mangsa dapat ditemui dan dikeluarkan untuk dihantar ke Hospital Pulau Pinang bagi proses bedah siasat,” kata Che Zaimani.

-BERNAMA

FOTO KREDIT: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Angka korban banjir, tanah runtuh Indonesia cecah 68 orang

JAKARTA, 28 JAN: Angka korban akibat hujan lebat yang mencetuskan insiden tanah runtuh dan banjir di sebuah pulau di Indonesia telah meningkat kepada 68 orang, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan agensi pengurusan bencana negara itu, semalam.

Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Nasional, Sutopo Purwo Nugroho berkata, sekurang-kurangnya 47 orang cedera manakala tujuh lagi masih hilang di Pulau Sulawesi yang dilanda bencana.

Terdahulu, hujan lebat melanda 13 daerah di seluruh pulau itu termasuk Makassar, ibu kota wilayah Sulawesi Selatan.

Nugroho berkata, lebih 6,700 mangsa dipindahkan ke kawasan selamat.

Sementara itu, Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla dalam satu kenyataan menyebut bahawa kerajaan akan membayar wang pampasan 15 juta rupiah (kira-kira AS$1,066) bagi setiap korban kepada keluarga mangsa.

Insiden banjir dan tanah runtuh telah memusnahkan kediaman, bangunan kerajaan, sekolah dan jambatan.

Tanah runtuh dan banjir sering berlaku di Indonesia, terutama semasa musim tengkujuh antara Oktober dan April, ketika hujan lebat melanda kepulauan tropika yang luas itu.

– BERNAMA

Foto Kredit – AFP

Categories
GLOBAL

Tanah runtuh Sukabumi: 2 maut, 41 orang masih tertimbus

JAKARTA, 1 JAN: Dua disahkan maut manakala 41 orang dilaporkan masih tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Sukabumi, Jawa Barat, yang berlaku semalam.

Ketua Pusat Data, Informasi dan Hubungan Masyarakat, Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho berkata, pasukan mencari dan menyelamat masih berusaha mengesan mangsa yang tertimbus.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, satu petempatan di Dusun Garehong Desa Sirnaresmi Kecamatan Cisolok Kabupaten Sukabumi, Jawa Barat, membabitkan 30 buah rumah tertimbus akibat tanah runtuh.

“Berdasarkan pendataan BNPB setakat ini, dua orang disahkan terbunuh, tiga cedera dan 61 orang ditempatkan di pusat pemindahan sementara,” katanya.

*Sumber: BERNAMA

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Dua rumah terjejas akibat tanah runtuh

 

OLEH SABIRAH AZIZ

KUALA LUMPUR, 12 APR: Dua rumah penduduk di Jalan 5/60A, Taman Desa Segambut Tengah, terjejas ekoran kejadian tanah runtuh yang berlaku selepas hujan lebat, pada 9 April lalu.

Penduduk, Salina Sadeli,33, berkata kejadian itu menyebabkan cerun di belakang rumah kediaman mereka runtuh dan menjejaskan sistem perparitan.

“Sebelum ini tiada masalah berlaku, namun selepas penduduk yang menetap di bawah kediaman kami membuat pengubahsuaian pada rumahnya, maka ia mengakibatkan struktur tanah sudah tidak kuat apabila hujan lebat. Ia menyebabkan berlakunya hakisan dan tanah runtuh.

“Kami sekeluarga terdedah kepada bahaya kerana hakisan mula memberi kesan kepada struktur tanah, di bahagian belakang rumah,” katanya yang tinggal di rumah itu bersama empat lagi ahli keluarga.

Katanya, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang datang ke lokasi selepas kejadian itu menjelaskan bahagian belakang rumahnya sudah tidak selamat dan menyarankan supaya mereka menggunakan bahagian ruang hadapan sahaja.

Seorang lagi penduduk, P Sankaran, 50, mula risau dengan keselamatan ahli keluarganya susulan daripada kejadian berkenaan.

“DBKL sudah menutup cerun runtuh itu dengan menggunakan plastik bagi menggelakkan sebarang kejadian tidak dingini.

“Pihak yang membuat pengubahsuaian di bahagian bawah rumah kami menyebabkan struktur tanah tidak kuat dan ini mengakibatkan tanah runtuh berlaku, jika hujan,” katanya memetik Sinar Harian.

Sementara itu, calon Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, pihaknya akan memanjangkan permasalahan itu kepada DBKL, Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) dan Pejabat Tanah Wilayah Persekutuan supaya tindakan sewajarnya diambil.

Hannah berkata, pihaknya juga akan mendapatkan maklumat lanjut punca sebenar berlakunya hakisan dan tanah runtuh.

“Pada masa sama, DBKL perlu mengkaji sama ada rumah itu masih selamat untuk diduduki atau tidak,” katanya.

Categories
NASIONAL

Tanah runtuh: Kerja di tapak pembinaan diarah henti serta merta

GEORGE TOWN 21 OKT: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengarahkan kerja-kerja di tapak pembinaan di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah di sini yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh dihentikan serta-merta.

Datuk Bandar MBPP, Datuk Maimunah Shariff berkata, arahan itu dikeluarkan untuk pihak berkuasa melakukan siasatan dan usaha menyelamat kira-kira 12 mangsa yang dikhuatiri masih tertimbus.

Katanya setakat ini dua mangsa telah dibawa keluar dari lokasi kejadian pada jam 9.55 dan 10.43 pagi serta dihantar ke Hospital Pulau Pinang di sini.

Menurut Maimunah lagi, pemaju mendakwa terdapat seramai 14 orang pekerja yang bertugas ketika kejadian.

https://selangorkini.my/2017/10/kira-kira-20-mangsa-dikhuatiri-tertimbus-di-tanjung-bungah/

Sebelum ini, dalam kejadian kira-kira jam 8.50 pagi seramai 20 orang dikhuatiri tertimbus.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 8.57 pagi dan tiba ke situ kurang 15 minit kemudian.

Kecerunan kawasan runtuhan dianggarkan setinggi 10 meter.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Kira-kira 20 mangsa dikhuatiri tertimbus di Tanjung Bungah

GEORGE TOWN 21 OKT: Kira-kira 15 hingga 20 orang pekerja tapak pembinaan dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di kawasan pembinaan bangunan di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah, di George Town hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan dan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata pihak JBPM menerima panggilan pada 8.57 pagi dan setiba di tempat kejadian, difahamkan terdapat 15 hingga 20 orang mangsa yang tertimbus di dalam tanah runtuh.

“Kami mendapat tahu antara 15 hingga 20 mangsa mungkin tertimbus dalam kecerunan tanah dianggarkan 10 meter dan kita telah memulakan usaha mencari dan menyelamat,” katanya.

Setakat 11 pagi, difahamkan dua orang mangsa berjaya dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang.

Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan yang turut melibatkan Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

SUMBER: BERNAMA

GAMBAR: BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

Punca tanah runtuh Serendah akibat aktiviti lombong lama

SHAH ALAM, 10 DIS: Aktiviti perlombongan dijalankan lebih 20 tahun lepas merupakan faktor berlaku aliran air bawah tanah sekaligus menyumbang kepada kejadian tanah runtuh di Taman Idaman, Serendah, baru-baru ini.

Pegawai Daerah Hulu Selangor, Mohd Fauzi Mohd Yatim bagaimanapun berkata, aliran air itu berjaya disalur menggunakan kaedah ‘piling’ dan ‘roofpile’ oleh jurutera.

Katanya, kerja membaik pulih dijangka selesai minggu depan dan laluan sementara sudah siap boleh digunakan penduduk untuk kegiatan harian.

Pada masa sama, Mohd Fauzi turut menafikan kewujudan aliran air yang dikatakan berpunca daripada projek dijalankan di kawasan perumahan bersebelahan Taman Idaman.

Terdahulu, kerja baik pulih kawasan tanah runtuh di Taman Idaman itu siap dalam tempoh empat hari, berbanding tujuh hari yang dijadualkan.

Pada 26 November lalu, sekurang-kurangnya enam kereta, dua motosikal dan sebuah van milik penduduk tertimbus dalam runtuhan di Taman Idaman.

Runtuhan sepanjang hampir 100 meter dari kawasan rumah teres sehingga ke bekas lombong di situ turut meranapkan tujuh unit kedai.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Penduduk Taman Idaman dibenarkan pulang hari ini

SHAH ALAM, 9 DIS: Penduduk Taman Idaman, Serendah yang terjejas ekoran tanah runtuh, baru-baru ini dibenarkan pulang ke rumah masing-masing mulai jam 5 petang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Suptritendan R. Supramaniam berkata, arahan itu dikeluarkan selepas mendapat pengesahan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

“Selepas bermesyuarat dengan pusat kawalan operasi bencana bersama pegawai daerah Hulu Selangor, JKR dan JMG bersetuju serta mendapati kawasan runtuhan di taman berkenaan disahkan selamat.

“Justeru, penduduk di taman itu boleh kembali ke rumah masing-masing mulai jam 5 petang ini,” katanya lapor BERNAMA.

Selain itu, sumber air di kawasan taman perumahan itu juga kembali pulih.

28-11-tanah-runtuh-taman-idamanSebelum ini, polis mengisytiharkan kawasan tanah runtuh itu sebagai kawasan larangan Zon Merah dan mengarahkan 340 penduduk berpindah ke Sekolah Rendah Agama (SRA) Serendah.

Terdahulu, kerja baik pulih kawasan tanah runtuh di Taman Idaman itu siap dalam tempoh empat hari, berbanding tujuh hari yang dijadualkan.

Pada 26 November lalu, sekurang-kurangnya enam kereta, dua motosikal dan sebuah van milik penduduk tertimbus dalam runtuhan di Taman Idaman.

Runtuhan sepanjang hampir 100 meter dari kawasan rumah teres sehingga ke bekas lombong di situ turut meranapkan tujuh unit kedai.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerja baik pulih tanah runtuh dijangka berakhir seminggu

OLEH HAFIZAN TAIB

SERENDAH, 28 NOV: Operasi pembersihan dan baik pulih kawasan tanah runtuh di Taman Idaman, di sini, berjalan lancar dan dijangka berakhir hujung minggu ini.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada keadaan semasa dan cuaca serta akan berjaya diselesaikan mengikut perancangan ditetapkan jika tiada sebarang gangguan berlaku.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam berkata, setakat ini segalanya adalah baik dan kerja baik pulih dijangka dapat dijalankan dengan lancar.

img_9334“Daripada segi keselamatan segalanya terkawal dan setakat ini tiadak pergerakan tanah di permukaan atas.

“Oleh kerana itu, semua kenderaan masih di tempat kejadian bakal dikeluarkan dan proses pembersihan akan berjalan lancar selepas itu,” katanya dalam sidasng media, di sini, hari ini.

Berdasarkan kenyataan Jabatan Kerja Raya (JKR), kerja pembaikan di kawasan itu mengambil masa kira-kira seminggu daripada hari kejadian, pada 26 November lalu.

Pemeriksaan pihak berkuasa setakat ini mendapati tiada pergerakan tanah di bahagian atas tetapi pemeriksaan lanjut akan dijalankan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bagi menentukan tahap keselamatan di situ.

Pegawai Daerah Hulu Selangor, Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, laporan lanjut berhubung perkara itu akan dibuat JKR dan JMG bagi menentukan status juga tahap keselamatan di kawasan berkenaan.

img_9338“Sekiranya ia diisytiharkan selamat, maka semua penghuni ditempatkan di pusat penempatan sementara akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. Jika sebaliknya, kita akan memikirkan alternatif lain,” katanya.

Setakat ini, seramai 133 mangsa ditempatkan di Sekolah Rendah Agama (SRA) Serendah, di sini dan mereka adalah sebahagian daripada 63 keluarga yang terbabit dalam kejadian berkenaan.

Berikutan itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan polis mengisytiharkan kawasan kejadian sebagai kawasan larangan Zon Merah.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dengan operasi pemantauan dan kerja pembaikan dijalankan 24 jam sejak hari kejadian.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

JMG laksana kajian lanjut kawasan tanah runtuh Serendah

OLEH HAFIZAN TAIB

SERENDAH, 28 NOV: Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) akan menjalankan pemeriksaan lanjut bagi menentukan status dan tahap keselamatan di kawasan kejadian tanah runtuh di Taman Idaman, di sini, esok.

Pegawai Daerah Hulu Selangor, Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, pihak berkuasa terbabit akan menjalankan pemeriksaan daripada segi pemetaan geologi dan geofizik mengenai karektor tanah di situ.

“JMG akan melihat sama ada berlaku pergerakan dan aliran air di bahagian bawah. Setakat ini tidak berlaku sebarang pergerakan tanah,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

tanah-runtuh2Beliau berkata, bagaimanapun Jabatan Pengairan dan Saliran telah melakukan pemetaan kawasan bencana menggunakan kaedah ‘Drone Video Mapping’ selain kerja cerapan juga selesai dijalankan, pada 27 November lalu.

Katanya, laporan awal pemetaan dijangka siap petang ini dan akan dikemukakan bersama laporan JMG kepada Jabatan Kerja Raya.

“Kerja pembersihan tapak setakat ini mencapai 20 peratus dan akan bersambung hari ini, namun kerja penanaman cerucuk selesai sepenuhnya.

“Bahan bekalan pasir dan batu ‘rockfill’ diperlukan juga telah ada selain kerja pemasangan seperti ‘gabion’ di belakang ‘sheetpile’, ‘u-shape culvert’ di kawasan aliran bawah tanah, kerja ‘clearing’ di kawasan depan ‘sheetpile’ selain pemasangan ‘geotextile’ dan bahan lain,” katanya.

img_5386Katanya, kontraktor juga akan mengeluarkan empat kenderaan yang masih berada di kawasan kejadian ekoran tiada pergerakan tanah berlaku.

Beliau berkata, tiga keluarga yang masih belum mendaftar diri kepada Unit Bencana Hulu Selangor diminta berbuat demikian bagi melancarkan operasi menyelamat.

Setakat ini, terdapat 27 keluarga dengan jumlah 133 mangsa ditempatkan di pusat penempatan sementara di Sekolah Rendah Agama, di sini.

Mereka adalah sebahagian mangsa yang mendiami kawasan Taman Idaman yang mengalami runtuhan tanah, pada 26 November lalu.

-NFN-