Categories
SELANGOR

Pusat penempatan beroperasi hingga selesai, 27 keluarga berkampung

OLEH HAFIZAN TAIB

SERENDAH, 28 NOV: Sejumlah 27 keluarga mangsa ditempatkan di pusat penempatan sementara di Sekolah Rendah Agama (SRA) Serendah, di sini, setakat ini.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Hulu Selangor, Abdul Razak Aziz, berkata semua mereka akan berkampung di situ sehingga arahan selanjut diberikan.

“Pusat penempatan ini beroperasi dari hari pertama sampai sekarang dan akan terus menempatkan semua mangsa hingga segalanya berakhir.

tanah-runtuh3“Kita menyediakan kemudahan asas kepada mereka semua seperti bahan makanan, khemah dan tempat tidur serta yang lain,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya mengenal pasti hanya tiga keluarga masih belum mendaftar diri di pusat berkenaan.

Katanya, kini seramai 133 mangsa ditempatkan di sekolah berkenaan.

Mereka adalah sebahagian daripada 63 keluarga yang terbabit dalam kejadian tanah runtuh di Taman Idaman, di sini, Sabtu lalu.

Berikutan itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan polis mengisytiharkan kawasan kejadian sebagai kawasan larangan Zon Merah.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dengan operasi pemantauan dan kerja pembaikan dijalankan 24 jam sejak semalam.

Sebelumnya, dilaporkan pengairan air dalam tanah menjadi punca berlakunya runtuhan tanah di kawasan berkenaan.

-nR-

Categories
SELANGOR

Jalan utama Taman Idaman ditutup, 10 kenderaan ‘ditelan’

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SERENDAH, 26 NOV : Jalan utama Taman Idaman terpaksa ditutup susulan kejadian tanah runtuh jam 1 pagi tadi, kata Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritenden R. Supramaniam.

Katanya, ketetapan itu diambil bagi memastikan aspek keselamatan masyarakat awam di sini terjamin selain menggelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Orang awam masih boleh menggunakan laluan alternatif bagi laluan ke Kampung Datuk Harun,” katanya pada sidang media, di sini sebentar tadi.

img_5289Dalam kejadian tersebut, dilaporkan sebuah gerai makanan dan 10 kenderaan yang diletakkan di sekitar bahu jalan jatuh berdekatan lereng runtuhan.

Dilaporkan, seorang penunggang motorsikal, Mohd Fareez, 21 cedera dan dihantar ke Hospital Selayang bagi rawatan lanjut.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dengan operasi pemantauan dan kerja pembaikan dijalankan 24 jam.

Sementara itu, sebagai langkah keselamatan 64 keluarga kini dipindahkan ke pusat pemindahan Sekolah Rendah Agama Serendah, sejak jam 11 pagi tadi.

Dalam perkembangan lain, Majlis Daerah Hulu Langat (MDHL) bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat giat menyalurkan bekalan makanan dan keperluan berterusan kepada mangsa terlibat.

Terdahulu, Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan, Pertanian dan Industri Asas Tanai, Zaidy Abdul Talib berkata pembiayaan kerja pembaikan dan penambakan tanah ditanggung sepenuhnya Kerajaan Negeri.

-nR-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Operasi 24 jam, lokasi tanah runtuh terkawal

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SERENDAH, 26 NOV : Keadaan di lokasi kejadian tanah runtuh di Taman Idaman, di sini terkawal dengan operasi pemantauan dan pembaikan dijalankan 24 jam, kata Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritenden R. Supramanian.

Bagaimanapun katanya, penduduk masih belum dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing sehingga kerja pembaikan selesai dijalankan.

“Hasil pemantauan teknikal JKR, kerja pembaikan memerlukan tujuh hingga 10 hari untuk memastikan kawasan ini pulih sepenuhnya.

“Kami mendapati masih terdapat aliran air di bawah tanah yang memerlukan pemantauan berterusan.

img_5359“Untuk tempoh ini, kami akan kekal berada di kawasan kejadian dan mangsa akan terus ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Rendah Agama Serendah,” katanya pada sidang media di sini.

Dalam perkembangan itu, beliau memaklumkan beberapa pelan jangka panjang dan kaedah turut digunakan bagi mengurangkan kesan hakisan runtuhan tanah.

Beliau berkata, ini termasuklah rancangan pemasangan struktur besi pada dinding tanah dan menutup kawasan kedalaman lubang menggunakan kain kanvas.

“Sehingga kini, penduduk tidak perlu bimbang kerana keadaan masih terkawal dan laporan penuh daripada JKR akan dikeluarkan dalam tempoh tiga hingga empat hari,” katanya.

Sehingga kini katanya, kawasan tanah runtuh dilaporkan berkeluasan 150 meter dengan kedalaman 10-15 meter sementara 600 keluasan persekitaran diletakkan di bawah paras merah.

Dalam pada itu, beliau meminta semua mangsa terdiri daripada 64 keluarga melaporkan diri kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi proses bantuan dan kemaskini statistik pihaknya.

Sebelumnya, dilaporkan pengairan air dalam tanah menjadi punca berlakunya runtuhan tanah di kawasan berkenaan jam 1 pagi ini.

-nR-

Categories
SELANGOR

Tanah Runtuh: Polis isytihar zon merah, 64 rumah diarah dikosongkan

SERENDAH 26 NOV: Sebanyak 64 buah rumah diarahkan dikosongkan serta-merta bagi mengelakkan kejadian tidak diingini apabila Polis mengisytiharkan kawasan di sekeliling lokasi tanah runtuh di Taman Idaman sebagai Zon Merah.

Kira-kira 340 penduduk yang tinggal dalam lingkungan 500 meter diberikan masa sehingga jam 1.45 petang ini untuk meninggalkan kediaman mereka hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritenden R. Supramaniam berkata, setakat ini hanya enam keluarga dipindahkan dari kawasan tersebut.

Jelas beliau, siasatan awal mendapati paras air yang mengalir di bawah tanah di kawasan tersebut semakin meningkat.

whatsapp-image-2016-11-26-at-10-42-39Agensi Pengurusan Bencana Selangor melaporkan, kesemua penghuni yang terjejas ditempatkan sementara di Sekolah Rendah Agama Serendah sebagai langkah keselamatan.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hulu Selangor diarahkan umelakukan kerja pembaikan di lokasi terjejas.

Sementara itu SYABAS dalam kenyataan media menyatakan beberapa kawasan di Hulu Selangor sedang mengalami gangguan bekalan air sementara ekoran insiden tanah runtuh itu.

Kerja pembaikan paip pecah sedang giat dijalankan. Jangkamasa pemulihan tidak dapat ditentukan buat masa ini. Walau bagaimanapun, segala usaha sedang dilaksanakan untuk menyalurkan bekalan air alternatif.

Kawasan terlibat adalah Desa Melor, Desa Anggerik, Taman Idaman, Kampung Orang Asli Serendah dan Pusat Serenti Serendah.

tanah runtuhBantuan bekalan air sedang dihantar melalui lori tangki ke kawasan terlibat. Tangki air statik juga dibekalkan di penempatan sementara.

Pengguna boleh memohon bantuan bekalan air dengan menghantar SMS ke 15300 dengan menaip: TANKER <jarak>Nama& Alamat.

Pengguna boleh mendapatkan status terkini mengenai kerja-kerja pembaikan ini melalui www.syabas.com.my, aplikasi telefon pintar “mySyabas”, Facebook“Puspel Syabas” atau “Air Selangor”.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tanah runtuh di Serendah, seorang cedera

HULU SELANGOR 26 NOV: Sekurang-kurangnya enam kereta, dua motosikal dan sebuah van milik penduduk tertimbus dalam runtuhan yang berlaku di Taman Idaman, Serendah, runtuh awal pagi ini.

Seorang penunggang motosikal cedera dikenali sebagai Mohd Fareez, 21, dilaporkan patah kaki dan tangan dikatakan dalam perjalanan untuk pulang ke rumahnya dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi itu.

Dia yang tertimbus dalam runtuhan berkenaan bagaimanapun berjaya diselamatkan penduduk berhampiran yang menyedari insiden terbabit.

whatsapp-image-2016-11-26-at-08-14-55

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Sani Harul, berkata pihaknya yang dimaklumkan mengenai kejadian pada jam 1.02 pagi, tiba di lokasi kira-kira 16 minit kemudian.

Katanya, sehingga jam 4 pagi tadi, tiada mana-mana waris membuat laporan polis mengenai kehilangan ahli keluarga.

“Demi keselamatan, kami turut meminta penduduk dua rumah berhampiran berpindah sementara waktu. Kajian turut dilakukan bagi mengenalpasti tahap keselamatan tanah di kawasan ini,” katanya.

whatsapp-image-2016-11-26-at-08-23-11Pihak Bomba mencadangkan kemungkinan akan ada perpindahan ekoran ada pergerakan tanah masih berlaku.

Runtuhan sepanjang hampir 100 meter dari kawasan rumah teres sehingga ke bekas lombong itu turut meranapkan tujuh unit kedai.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Jalan alternatif Tasik Puteri tak diiktiraf JKR

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 JUN: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) akan menghantar surat kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan ICU, berhubung laluan runtuh di Tasik Puteri ke Batu Arang, sejak dua minggu lalu.

Pengarah Korporat, Mohamad Zin Masoad, berkata MPS tidak dapat membaiki jalan terbabit ekoran kekangan laluan terbabit adalah tanah persendirian.

11038378_923816051040901_2546475231651656642_nKatanya, MPS sudah meletakkan kon keselamatan untuk pengguna supaya berhati-hati menggunakan jalan terbabit.

“Jalan alternatif itu tidak diiktiraf Jabatan Kerja Raya (JKR), kita tidak tahu siapa yang bertanggungjawab menyelenggara.

“MPS akan menghantar surat kepada ICU supaya mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan pengguna terjamin,” katanya kepada Selangor Kini.

Mohamad Zin memaklumkan jalan terbabit adalah ‘jalan janji’ yang dibangunkan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Tanah runtuh di Puchong, kediaman penduduk nyaris musnah

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 10 MAC: Pemilik sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Puchong Hartamas bernasib baik apabila rumahnya tidak mengalami kerosakan teruk ekoran kejadian tanah runtuh, semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.00 petang semalam itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat sejak beberapa hari lalu sehingga menghakis cerun yang terletak kira-kira 10 meter di bahagian tepi rumah terbabit.

IMG-20150310-WA003Bagaimanapun, tanah runtuh itu hanya menimpa bahagian halaman rumah dan jalan raya tanpa menyebabkan kerosakan harta benda, kecederaan dan kehilangan nyawa.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, pihaknya sudah mengarahkan pemaju taman perumahan terbabit membina tembok penahan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Saya dah arahkan Jabatan Kejuruteraan membuat pemantauan secara berterusan disebabkan keadaan cuaca yang sering hujan,” katanya selepas mengadakan tinjauan ke kawasan terbabit.

IMG-20150310-WA030Katanya, kerja pembersihan tanah runtuh di dalam longkang dan di atas jalan raya sudah dilaksanakan MPSJ.

Selangor Kini difahamkan, cerun itu terletak di atas tanah rezab saluran paip Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

“MPSJ juga sudah memanggil pemaju dan Syabas untuk atasi isu ini. Notis sudah dikeluarkan,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Penghuni Apartmen Teratai dibenarkan pulang hari ini

Oleh Naeem Raffi

SHAH ALAM, 26 OKT: Penghuni Apartmen Teratai, Taman Bunga Raya di Bukit Beruntung yang terjejas dalam insiden tanah runtuh telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing jam 3.00 petang tadi.

10665682_10203050763570379_5688527904020919033_nExco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata keputusan membenarkan 289 keluarga terlibat itu pulang diambil atas nasihat Jabatan Teknikal, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hulu Selangor setelah mengesahkan tiada pergerakan tanah baru di kawasan itu.

“JKR Cawangan Kejuruteraan Cerun dengan Jabatan Mineral dan Geosains telah membuat pemeriksaan tapak bermula 21 Oktober lalu sehingga hari ini (8.30 pagi) dan mendapati kawasan cerun adalah stabil.

“Walau bagaimanapun, pemantauan akan dijalankan secara berterusan,” katanya.

Sekurang-kurangnya sejumlah 289 keluarga merangkumi 1,163 individu yang mendiami blok K dan L ditempatkan di pusat penempatan sementara membabitkan tiga sekolah berhampiran susulan insiden tanah runtuh pada 20 Oktober lalu.

Kejadian tanah runtuh kali ini dianggap terburuk berbanding kali pertama kejadian hampir sama berlaku pada 2009.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak terlibat yang telah bekerja keras selama ini memulihkan cerun yang runtuh itu sekaligus membolehkan semua penghuni pulang lebih awal dari jangkaan.

“Penduduk juga dinasihatkan agar mematuhi arahan pihak berkuasa dari masa ke semasa dan sentiasa peka dengan persekitaran untuk tujuan keselamatan,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri bersetuju menyalurkan peruntukan RM500,000 untuk kerja pemulihan serta RM150,000 untuk bantuan bencana kepada semua keluarga yang terbabit dengan tragedi terbabit.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin telah dua kali turun padang dalam tempoh 24 jam ke kawasan bencana tanah runtuh bagi meninjau sendiri kejadian selain mengambil berat masalah penghuni terlibat.

Categories
SELANGOR

AKTIVITI YB: ADUN Batu Tiga bantu mangsa tanah runtuh Taman Bunga Raya

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 OKT: Bekas Exco Kebajikan Selangor, Rodziah Ismail meluangkan masa mengunjungi lokasi dan mangsa insiden pergerakan tanah runtuh yang berlaku di Taman Bunga Raya Bukit Beruntung, Hulu Selangor.

Dalam lawatan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga berkenaan menyampaikan sedikit sumbangan kepada keluarga mangsa dengan bantuan Wanita dan Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Hulu Selangor.

IMG_1104Dalam ucapan ringkas, beliau berkata, kawalan keselamatan infrastruktur di kediaman dan sekitar kawasan rakyat perlu dititikberatkan.

“Pemaju perlu bertanggungjawab dan dipertanggungjawabkan untuk memperbetul keadaan serta kekurangan yang tidak menepati spesifikasi awal.

“Semua pihak yang diamanahkan untuk memelihara dan memantau keadaan keselamatan rakyat seharusnya memantau dengan lebih teliti perkara yang boleh membawa risiko keselamatan serta kehilangan nyawa rakyat penduduk.

IMG_1128“Semoga semua mereka tabah dan bersabar mengahadapi dugaan dan segera kembali menjalani hidup mereka seperti biasa,” katanya.

Difahamkan, 1076 penduduk termasuk orang dewasa, kanak-kanak dan bayi dipindahkan ke dua tempat perpindahan di Sekolah Kebangsaan Bunga Raya 1 dan 2.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Penghuni Apartmen Teratai dijangka dibenar pulang Ahad atau Isnin

SHAH ALAM, 25 OKT: Penghuni Apartmen Teratai, Taman Bunga Raya di Bukit Beruntung yang terjejas dalam insiden tanah runtuh dijangka dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing pada Ahad atau Isnin ini.

Pegawai Daerah Hulu Selangor Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata kebenaran itu akan diberi sekiranya pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) mengesahkan tiada pergerakan tanah baru di kawasan itu.

unnamed2“Kerja pemasangan cerucuk penghadang besi oleh JKR dijangka selesai dan pemantauan teliti akan terus dijalankan selama 24 jam bagi memastikan tiada lagi pergerakan tanah baru berlaku,” katanya dipetik Bernama.

Memberi data terbaharu berkaitan penduduk terbabit, beliau berkata sejumlah 289 keluarga merangkumi 1,163 individu yang mendiami blok K dan L ditempatkan di pusat pemindahan sementara susulan insiden tanah runtuh Isnin lepas.

Ahmad Suaidi berkata JKR memasang kanvas di lokasi runtuhan untuk menghalang air masuk.

Beliau berkata pihak JKR akan membuang tanah yang runtuh untuk melandaikan cerun dan mengurangkan bebanan di lokasi runtuhan.

“Daripada pemantauan awal, struktur blok K dan L di Apartmen Teratai masih selamat didiami,” katanya.

Ahmad Suaidi berkata satu jawatankuasa khas dijangka dibentuk dalam masa terdekat merangkumi JKR, Majlis Daerah Hulu Selangor, Jabatan Pengairan dan Saliran, Tenaga Nasional Berhad serta agensi lain bagi mencari penyelesaian kekal berhubung masalah tanah runtuh di kawasan itu.

EZY

Categories
SELANGOR

Tanah runtuh: Pemaju Pangsapuri Teratai patut tanggung insiden

Oleh: LIZAWATI MADFA

HULU SELANGOR, 24 OKT: Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Rodziah Ismail mahu pemaju Pangsapuri Teratai yang dilanda kejadian tanah runtuh bertanggungjawab atas insiden itu.

Beliau yang juga Adun Batu Tiga berkata, pihak pemaju perlu memperbetulkan keadaan dan memperbaiki kekurangan yang tidak menepati spesifikasi.

unnamed2“Semua pihak diamanahkan memelihara dan memantau keadaan keselamatan rakyat seharusnya memantau teliti perkara boleh membawa risiko keselamatan dan kehilangan nyawa penduduk.

“Semoga dipermudahkan segala urusan di Bukit Beruntung,” katanya.

Baru-baru ini, Rodziah bersama wanita PKR cabang Hulu Selangor menziarahi mangsa-mangsa serta meninjau tapak insiden itu.

Beliau juga sempat melawat klinik sementara yang turut menempatkan pesakit kronik seperti kanser, jantung berlubang serta orang kelainan upaya (OKU).

IMG_1110Sebelum ini, Kerajaan Negeri bersetuju menyalurkan peruntukan RM500,000 untuk kerja pemulihan serta RM150,000 untuk bantuan bencana kepada 120 keluarga yang terbabit dengan tragedi terbabit.

Kejadian tanah runtuh di Pangsapuri Teratai, pada 20 Oktober lalu, dianggap terburuk setakat ini dengan penduduk di blok K dan L dipindahkan ke pusat penempatan sementara membabitkan tiga sekolah berhampiran.

Kali pertama kejadian hampir sama berlaku pada 2009.

Kekerapan hujan lebat sejak kebelakangan ini menyebabkan penduduk di kawasan terbabit terpaksa dipindahkan apabila satu kejadian tanah mendap dilaporkan berlaku.

Tiga pusat pemindahan itu adalah Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 1 dan 2 serta Sekolah Menengah kebangsaan Taman Bunga Raya.

EZY

Categories
SELANGOR

MB: 2 kali lawat dalam 24 jam, tekad bantu ringan beban rakyat

Oleh: LIZAWATI MADFA

HULU SELANGOR, 22 OKT: Dua kali lawatan dalam tempoh 24 jam ke kawasan bencana tanah runtuh di sini bukti pentadbiran baru Kerajaan Negeri mengambil berat masalah rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, beliau bersama anggota Exco dan wakil rakyat lain sentiasa bersedia menghulur tangan dan meringankan bebanan rakyat.

beruntung8Untuk itu, katanya, pentadbiran Kerajaan Negeri rela turun padang bagi mendengar sendiri keluhan rakyat.

“Dalam tempoh 24 jam, saya dan anggota Exco sudah dua, tiga kali turun ke sini, kita mahu tunjukkan pentadbiran baru ini menghormati rakyat.

“Kita bukan sahaja duduk di dalam pejabat, tetapi turun dan dengar masalah rakyat,” katanya dalam ucapan di hadapan lebih 100 hadirin.

Beliau berucap demikian ketika menghadiri majlis makan tengah hari bersama penghuni blok kejadian tanah runtuh di Pangsapuri Teratai di penempatan sementara Sekolah Kebangsaan Taman Bunga 2 , di sini.

beruntung9Turut serta dalam lawatan kali ini ialah Exco Negeri, Dr. Daroyah Alwi dan Ean Yong Hian Wah serta Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Bahru, Lee Kee Hiong serta Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani.

Pada masa sama, Mohamed Azmin meminta semua mangsa bersabar menanti lampu hijau sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“Buat masa sekarang, kita akan mengadakan laluan air dan membina penghadang ‘sheet pile’ antara cerun Blok L dan K selain memasang ‘sensor’ bagi mengesan sebarang pergerakan air bawah tanah.

“Satu laporan akan disiapkan pada Jumaat, sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Perkara utama bagi kami ialah keselamatan para penghuni,” katanya kepada pemberita.

Semalam, Mohamed Azmin berkesempatan melawat mangsa kejadian tanah runtuh di pusat penempatan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bunga Raya.

Petang ini, beliau dan anggota Exco akan ke Pandamaran pula bagi melawat kawasan mangsa kejadian ribut di beberapa pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Kejadian yang berlaku selama kira-kira 30 minit itu menyaksikan pusaran angin terbentuk sejurus hujan lebat melanda, sebelum menerbangkan bumbung dua pangsapuri di Pandamaran Jaya.

EZY