Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Tiada SOP khusus untuk tarawih, ikut sedia ada

PUTRAJAYA, 4 FEB: Kerajaan tidak bercadang mewujudkan satu tatacara operasi piawai (SOP) khusus bagi pelaksanaan solat tarawih di masjid serta surau sempena Ramadan tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad.

Beliau berkata SOP sedia ada berkaitan pelaksanaan solat berjemaah di masjid dan surau adalah terpakai bagi pelaksanaan solat tarawih.

“Sekarang (pelaksanaan ibadah) masih berjalan mengikut SOP sedia ada, tidak kira sewaktu solat atau berada di kedai makan.

“SOP ditentukan Kementerian Kesihatan perlu sentiasa dipatuhi dan setakat ini, tiada (SOP) khusus untuk solat tarawih,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Bulan Solat Peringkat Kebangsaan 2022 di sini hari ini.

Antara SOP pelaksanaan solat berjemaah di masjid dan surau pada masa ini adalah semua ahli jemaah yang hadir hendaklah membawa sejadah masing-masing sebelum hadir ke masjid, selain jemaah diwajibkan memakai pelitup muka.

Selain itu, pengurusan masjid hendaklah membuat penandaan jarak antara jemaah sekurang-kurangnya satu meter.

Mengenai penyebaran ajaran ‘mimpi’ lelaki Pakistan oleh Gerakan Akhir Zaman (Gaza) di negara ini, Idris berkata Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) diarah untuk menyiasat perkara tersebut.

“Jika ia berlaku di mana-mana negeri, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) akan hubungi Jabatan Agama Islam negeri untuk diambil tindakan sewajarnya.

“Kita akan ambil tindakan seperti ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT). Jika ada laporan mengenai ajaran sesat ini di media sosial, kita juga akan laporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kumpulan Gaza itu mengajak orang ramai mempercayai seorang lelaki dari Pakistan, Muhammad Qasim Abdul Karim, yang mendakwa hanya mengikut kehendak ALLAH SWT di dalam mimpinya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan nasihat jaga SOP ketika solat tarawih

SHAH ALAM, 12 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menasihati umat Islam negeri ini menjaga tatacara operasi piawai (SOP) ketika solat tarawih.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah langkah itu bagi mencegah penularan Covid-19 sekali gus mengelak peningkatan jumlah kematian berikutan wabak.

Kenyataan baginda disiarkan melalui Facebook Selangor Royal Office malam ini.

“Baginda berharap semua pihak tetap waspada dan tidak lalai dalam mengamalkan norma-norma baharu ketika menjalani rutin di bulan Ramadan.

“Baginda sentiasa mendoakan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri terus berkekalan,” kata kenyataan itu.

Sultan Selangor juga mengingatkan umat Islam untuk menginsafi dan bermuhasabah bagi menjadi hamba beriman serta muslim yang cemerlang di dunia dan akhirat.

Baginda bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah turut menzahirkan ucapan Ramadan kepada rakyat negeri ini.

Categories
EXCO SELANGOR

Imam dari sekolah tahfiz pimpin tarawih Orang Asli

SUNGAI BULOH, 25 MAC: Pejabat agama Islam di setiap daerah akan menjemput imam dari pusat tahfiz untuk memimpin solat tarawih masyarakat Orang Asli.

EXCO hal ehwal agama Islam berkata permintaan daripada komuniti terbabit sebahagian usaha menyemarakkan sambutan Ramadan tahun ini.

“Kita akan bantu terutama keperluan imam dan bilal dalam kalangan pelajar tahfiz yang layak untuk membimbing mereka,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Beliau yang ditemui pada program Jelajah Dakwah Rentas Rimba di sini menambah terdapat 46 surau di perkampungan Orang Asli seluruh negeri dan ada yang memerlukan penambahbaikan.

Mohd Zawawi sebelum ini mengingatkan pengurusan masjid dan surau supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketat ketika menganjurkan solat terawih.

Beliau berkata pentadbir perlu mendaftar aplikasi Selangkah atau MySejahtera, menyukat suhu dan meminta jemaah membawa sejadah sendiri.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Lebih Banyak Lagi Surau Selangor Akan Dinaiktaraf Ke Masjid

sallehin bazarena ramadan malawati 01

SHAH ALAM 14 JULAI : Kerajaan Selangor akan menaiktaraf lebih banyak lagi surau-surau di seluruh negeri bagi membolehkan lebih ramai penduduk Islam menunaikan Solat Jumaat.

Exco Hal Ehwal Agama, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi berkata, masjid-masjid yang sedia ada belum dapat menampung kira-kira tiga juta penduduk Islam Selangor untuk menunaikan Solat Jumaat dalam keadaan selesa.

Katanya, masjid di Selangor tidak dapat menampung jumlah umat Islam yang besar sehinggakan ada yang solat di luar kawasan masjid dalam keadaan kurang selesa.

“Rakyat yang berugama Islam di Selangor adalah kira-kira 3 juta orang dengan lelakinya adalah 1 juta maka setiap masjid secara puratanya perlu menampung lebih 1,800 orang.

“Jika sesuatu kawasan itu kurang kemudahan maka kerajaan Selangor akan membina masjid bagi memudahkan jalannya untuk pembinaannya.

“Maka jika di sesuatu kawasan itu juga ada surau yang boleh dinaiktarafnya menjadi masjid maka kerajaan negeri akan membantu usaha itu bagi memudahkan masyarakat,” kata beliau.

Beliau berkata demikian semasa Perasmian Program “Kariah Ramadhan Perdana” di Tapak Bazarena Stadium Malawati Seksyen 13 di sini.

Karnival ibadah besar-besaran “Kariah Ramadhan Perdana” dianjurkan Kerajaan Selangor dari 11 Julai hingga ke 5 Ogos dengan tema “My Best Ramadhan”.

Karnival itu yang diadakan di Tapak Bazarena Stadium Malawati Seksyen 13 Shah Alam itu bermula dengan Majlis Tazkirah Ramadhan pada jam 6.00 petang.

Turut diadakan Solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah yang akan diimamkan oleh Imam Hafiz dan bilal khas dan beberapa orang Imam daripada Syria.

Majlis berbuka dan moreh untuk 500 orang turut diadakan pada setiap malam.

Setiap hujung minggu pula akan diisi dengan Program Gamitan Syahdu Ramadhan yang memaparkan zikir munajat, selawat dan kuliah perdana oleh penceramah terkenal.

Turut diadakan Bazar Ramadhan Mega anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam yang juga menyediakan jualan untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri.