Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Sasar 10 Juta Pelancong Menjelang 2018

maskot sekinchan elizabeth ng suee lim 01

SHAH ALAM 26 JULAI : Menjelang 2018, Kerajaan Negeri mensasarkan seramai 10 juta pelancong akan melawat Selangor, kata Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Elizabeth Wong.

Elizabeth berkata anggaran tersebut berdasarkan peningkatan jumlah pelancong setiap tahun dan sasaran 7 juta pelancong Kerajaan Negeri untuk program Tahun Melawat Selangor 2015.

Beliau berkata setakat ini jumlah kemasukkan pelancong mencatatkan perkembangan yang positif iaitu 6 juta pada tahun lepas.

Katanya, bagi merealisasikan sasaran 10 juta itu, Kerajaan Negeri akan mengubah strategi promosi.

“Kita juga mahu melatih pemandu pelancong supaya fasih berbahasa asing bukan sahaja bahasa Inggeris. Ini kerana penambahan pelancong ke Selangor terdiri dari pelancong yang bukan dari Eropah.

Selain itu, Kerajaan Negeri akan menaiktaraf dan menyelenggara tapak-tapak pelancongan dalam tempoh lima tahun ini untuk memberi nilai tambah dan memperkukuhkan produk sedia ada.

Beliau menyasarkan empat kawasan luar bandar yang perlu diberi perhatian, antaranya Sabak Bernam, Kuala Langat, Hulu Langat dan Hulu Selangor.

Tambah Elizabeth, sekurang-kurangnya 300 tapak perlancongan yang sedia telah dikenal pasti untuk dibaik pulih atau dipromosikan.

“Ia merangkumi penyelenggaraan kawasan sekitar, membaik pulih kemudahan awam serta menambah baik struktur bangunan sedia ada,” katanya.

“Tetapi jumlah itu mungkin kita tidak akan lakukan semua. Kita bergantung kepada keperluan kawasan itu juga.

“Sebagai contoh, kawasan Sekinchan yang kini berkembang sebagai pusat perlancongan. Jika kita ke hadapan sedikit seperti Sabak Bernam sudah tentu akan berkembang kerana ia mempunyai potensi besar untuk dimajukan.

“Kita mahu tempat-tempat ini dinaiktaraf sehingga mendapat status perlancongan antarabangsa, kita mahu pelancongan asing dan dalam negara datang ke kawasan itu kerana ia akan meningkatkan taraf kewangan penduduk kampung dan penduduk tempatan,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Lebih Banyak Lagi Surau Selangor Akan Dinaiktaraf Ke Masjid

sallehin bazarena ramadan malawati 01

SHAH ALAM 14 JULAI : Kerajaan Selangor akan menaiktaraf lebih banyak lagi surau-surau di seluruh negeri bagi membolehkan lebih ramai penduduk Islam menunaikan Solat Jumaat.

Exco Hal Ehwal Agama, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi berkata, masjid-masjid yang sedia ada belum dapat menampung kira-kira tiga juta penduduk Islam Selangor untuk menunaikan Solat Jumaat dalam keadaan selesa.

Katanya, masjid di Selangor tidak dapat menampung jumlah umat Islam yang besar sehinggakan ada yang solat di luar kawasan masjid dalam keadaan kurang selesa.

“Rakyat yang berugama Islam di Selangor adalah kira-kira 3 juta orang dengan lelakinya adalah 1 juta maka setiap masjid secara puratanya perlu menampung lebih 1,800 orang.

“Jika sesuatu kawasan itu kurang kemudahan maka kerajaan Selangor akan membina masjid bagi memudahkan jalannya untuk pembinaannya.

“Maka jika di sesuatu kawasan itu juga ada surau yang boleh dinaiktarafnya menjadi masjid maka kerajaan negeri akan membantu usaha itu bagi memudahkan masyarakat,” kata beliau.

Beliau berkata demikian semasa Perasmian Program “Kariah Ramadhan Perdana” di Tapak Bazarena Stadium Malawati Seksyen 13 di sini.

Karnival ibadah besar-besaran “Kariah Ramadhan Perdana” dianjurkan Kerajaan Selangor dari 11 Julai hingga ke 5 Ogos dengan tema “My Best Ramadhan”.

Karnival itu yang diadakan di Tapak Bazarena Stadium Malawati Seksyen 13 Shah Alam itu bermula dengan Majlis Tazkirah Ramadhan pada jam 6.00 petang.

Turut diadakan Solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah yang akan diimamkan oleh Imam Hafiz dan bilal khas dan beberapa orang Imam daripada Syria.

Majlis berbuka dan moreh untuk 500 orang turut diadakan pada setiap malam.

Setiap hujung minggu pula akan diisi dengan Program Gamitan Syahdu Ramadhan yang memaparkan zikir munajat, selawat dan kuliah perdana oleh penceramah terkenal.

Turut diadakan Bazar Ramadhan Mega anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam yang juga menyediakan jualan untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri.