Categories
AGENSI SELANGOR

Jenaka rogol: Team Selangor bakal laksana program pendidikan

SHAH ALAM, 2 MEI: Kerajaan Negeri melalui Team Selangor akan melaksanakan program pendidikan dan kesedaran dalam kalangan pelajar berhubung hak keselamatan peribadi bagi mengelak menjadi mangsa salah laku jenayah.

Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar berkata banyak isu berkaitan buli siber, pedofil, gangguan seksual dan mengejek fizikal yang selama ini berlaku dengan pelajar sekolah menjadi sasaran.

“Team Selangor diwujudkan untuk memperkasa belia dan menjalankan aktiviti kesukarelawan, maka mereka bersetuju bekerjasama dengan adik Ain Husniza Saiful Nizam (pelajar perempuan yang membuat pendedahan berhubung kes seorang guru lelaki didakwa membuat jenaka berbaur lucah).

“Kita bawa program ini supaya lebih ramai anak muda mengetahui hak mereka untuk melindungi diri dan bersuara mencegah isu berkaitan kerana mangsa bukan hanya perempuan sebaliknya boleh berlaku kepada lelaki,” kata Juwairiya Zulkifli kepada SelangorKini.

Wakil rakyat Bukit Melawati menambah pihaknya akan meneliti bentuk pelaksanaan program mengikut kesesuaian sama ada secara fizikal, forum dalam talian atau bicarawara.

Jumaat lalu, beliau bersama Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah menziarahi Ain di kediamannya di Puncak Alam selain menghadiahkan tiga naskah buku Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).

Pada 24 April, pelajar 17 tahun itu menerusi video di aplikasi TikTok berkata seorang guru lelaki membuat jenaka lucah semasa kelas pendidikan jasmani dan kesihatan seolah-olah menggalak jenayah rogol selain memaklum pelajar lelaki patut menyasarkan orang berusia 18 tahun sekiranya mahu berbuat demikian.

Antara kritikan paling banyak diterima adalah dia terlalu emosi dan wajar menyelesaikannya secara dalaman dengan pihak sekolah namun rata-rata mengecam tindakan keterlaluan guru berkenaan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Team Selangor agih 30,000 pek bubur lambuk

AMPANG, 26 APRIL: Sebanyak 30,000 pek bubur lambuk diagih kepada komuniti di seluruh negeri menerusi program Kawah Ramadan Team Selangor (KaRaTS) tahun ini.

Ketua Sekretariat Team Selangor Syahaizel Keman berkata sebanyak 7,000 pek diedar sejak minggu lalu dan baki dijangka selesai seminggu sebelum Syawal.

“Sukarelawan kami akan terlibat dengan aktiviti rewang memasak bubur lambuk secara beramai-ramai dari pagi hingga petang pada hari yang sudah ditetapkan.

“Program ini bertujuan memupuk semangat perpaduan dan kebersamaan komuniti berbilang kaum selain mengekalkan tradisi acara tahunan supaya terus subur dalam masyarakat,” katanya.

Beliau ditemui selepas pelancaran KaRaTS yang disempurnakan EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman di Dewan Dato’ Ahmad Razali di sini semalam.

Terdahulu, Khairuddin merasmikan pelepasan 10 peserta Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) yang dianggotai Helang Motor Club Team Selangor.

Seramai 100 sukarelawan terlibat pada program yang mendapat kerjasama Pejabat Dato’ Menteri Besar, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Seldec dan Asatizah Selangor (ANAS).

Sementara itu, Syahaizel berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Seldec untuk menggalakkan sukarelawan menyertai perkhidmatan e-panggilan bagi menambah pendapatan.

“Selain objektif mengumpul seberapa banyak sukarelawan di Selangor untuk bersama melakukan aktiviti kemasyarakatan, kita mahu promosikan program Kerajaan Negeri ini kepada ahli,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sukarelawan Team Selangor sanitasi masjid, kuil di Batu Caves

SHAH ALAM, 18 APRIL: Dua rumah ibadat di Batu Caves, Gombak menjalani proses sanitasi dalam usaha mencegah penularan Covid-19 semalam, kata Team Selangor.

Program anjuran sukarelawan Selangor Lestari by Team Selangor dan wakil Badan Pengurusan Bersama (JMB) dijalankan di Surau Ar-Rahman, Pangsapuri Sunway Batu Caves dan Kuil Ayyappa.

“Antara kawasan yang disanitasi adalah ruang solat utama, tempat berwuduk dan pejabat surau.

“Program ini mendapat kerjasama daripada semua pihak. Syabas dan terima kasih kepada semua yang terlibat,” katanya menerusi Facebook.

Categories
AGENSI SELANGOR

Team Selangor, sukarelawan kutip sampah di laluan air terjun Kemensah

SHAH ALAM, 14 APRIL: Team Selangor menganjurkan program mengutip sampah sepanjang laluan ke air terjun di Kemensah dalam usaha memelihara alam sekitar.

Selangor Lestari by Team Selangor berkata program #GreenTracking dianjurkan bersama Jawatankuasa (JKP) Zon 5 Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“Seramai 14 sukarelawan Ukay Perdana dan Bukit Antarabangsa menyertai aktiviti dakian sambil mengutip sampah di sepanjang laluan perjalanan ke Air Terjun Sofea Jane.

“Mereka dibekalkan sarung tangan dan plastik sampah bagi memudahkan aktiviti pembersihan. Sebanyak 15.8kg sampah berjaya dikutip,” katanya menerusi Facebook.

Agensi juga berterima kasih kepada sukarelawan yang terlibat dan berharap usaha itu mendorong pengunjung kawasan riadah terbabit bersama-sama menjaga kebersihan alam sekitar.

Categories
AGENSI SELANGOR

Team Selangor tambah baik kelas maya, tumpu pemerkasaan anak muda

SHAH ALAM, 18 FEB: Sukarelawan Team Selangor akan menambah baik program SkorLAH SPM untuk pelajar tingkatan 5 sesi 2021 seiring norma baharu dunia pendidikan.

Ketua unit sekolah berkata selain tuisyen percuma, pihaknya turut merancang program pemerkasaan anak muda Selangor untuk berdepan kehidupan pasca Covid-19.

“Perebakan Covid-19 telah mengubah cara kita menjalani kehidupan tidak terkecuali sektor pendidikan yang perlu diteruskan dalam suasana berbeza.

“Jadi kita perlu mencari kaedah dan menyusun perancangan terbaik bagi membimbing pelajar atau anak muda,” kata Muhamad Haziq Fikri Jasni kepada SelangorKini.

Sebelum ini, Team Selangor membantu pelajar keluarga berpendapatan rendah yang bakal menduduki peperiksaan SPM bermula Isnin depan menjalani kelas secara maya.

Program tersebut terhad kepada 100 individu untuk setiap mata pelajaran. Kelas Bahasa Melayu dan Sejarah sudah dilaksanakan pada 13 dan 14 Februari manakala Bahasa Inggeris (20 dan 21 Februari), Matematik (20 dan 21 Februari) serta Fizik (27 Februari).

Team Selangor yang ditubuhkan pada 2017 adalah inisiatif Kerajaan Negeri untuk menyemarakkan aktiviti sukarelawanan dan pemerkasaan komuniti.

Categories
AGENSI SELANGOR

Team Selangor anjur kelas percuma untuk calon SPM

SHAH ALAM, 12 FEB: Sukarelawan Team Selangor menganjur program SkorLAH SPM secara percuma khusus untuk pelajar keluarga berpendapatan rendah (B40).

Ketua unit sekolahnya berkata kelas secara maya menerusi platform Zoom dan Google Meet itu terhad kepada 100 pelajar untuk setiap lima mata pelajaran.

“Sesi Bahasa Melayu akan diadakan pada 13 Februari, Sejarah (14 Februari), Bahasa Inggeris (20 dan 21 Februari), Matematik (20 dan 21 Februari) serta Fizik (27 Februari).

“Kita tidak mengehadkan setiap pelajar hanya boleh ikuti satu sesi sahaja kerana pendaftaran berdasarkan siapa cepat dia dapat,” kata Muhamad Haziq Fikri Jasni kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata setiap sesi dibimbing guru terlatih dan berpengalaman untuk membantu murid yang memerlukan sokongan akademik.

“Mereka yang berminat boleh mendaftar menerusi http://bit.ly/skorlah atau boleh hubungi talian 0176127269,” katanya.

Categories
SELANGOR

Team Selangor sumbang lampin pakai buang kepada 40 penerima di DUN Permatang

SHAH ALAM, 16 DIS: Team Selangor meneruskan inisiatif membantu masyarakat apabila menyumbang lampin pakai buang kanak-kanak dan telur kepada 40 penerima di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang semalam.

Pegawai programnya memaklumkan sumbangan dengan kerjasama Yayasan Food Bank Malaysia memfokuskan keluarga berpendapatan rendah (B40) di Kampung Bagan Sungai Yu Pasir Penambang, Taman Raja Musa, Kampung Sungai Terap dan Kampung Sungai Yu.

Ahmad Bakrin Sofawi Abu Bakar berkata usaha itu bagi meringankan beban golongan yang terkesan dengan pandemik Covid-19 selain mendapatkan maklumat berhubung isu komuniti di lapangan.

“Kesemua maklumat penerima diperoleh daripada pejabat Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Permatang melalui ketua kampung dan taman masing-masing.

“Walaupun bantuan ini kecil tetapi kebanyakan penerima sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak terbabit yang mengambil berat kesusahan dihadapi mereka,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, agihan sumbangan turut disertai wakil rakyatnya Rozana Zainal Abidin.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Team Selangor edar pelitup muka sekitar DUN Sungai Tua

SHAH ALAM, 18 NOV: Team Selangor mengedarkan sebanyak 500 pelitup muka kepada peniaga dan pengunjung di dua pasar malam sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua.

Pegawai komunitinya berkata 300 pelitup muka diagih di pasar malam Taman Selayang Baru semalam manakala 200 lagi di pasar malam Taman Batu Caves pada 13 November lalu.

“Seramai enam sukarelawan ditempatkan di setiap pasar malam bagi membantu proses agihan yang turut disertai ahli majlis kawasan bermula dari 5.30 petang.

“Inisiatif ini bagi memastikan masyarakat memakai pelitup muka khususnya ketika berkunjung ke tempat tumpuan awam bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19,” kata Wan Mohd Alif Raimy Mohd Marzuki kepada SelangorKini.

Beliau berkata pihaknya juga bersedia membantu pengagihan bantuan ke lebih banyak kawasan komuniti terutama yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada masa akan datang.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Team Selangor agih hampir 4,000 botol air minuman

SHAH ALAM, 12 NOV: Sukarelawan Team Selangor mengedarkan hampir 4,000 botol minuman lima liter kepada pengguna terjejas bekalan air di tiga wilayah semalam.

Ketua Sekretariat Syahaizel Keman berkata agihan dengan kerjasama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) meliputi Petaling, Klang dan Kuala Langat.

“Seramai 60 sukarelawan terdiri daripada 20 pelajar institusi pengajian tinggi dan 40 komuniti digerakkan bagi membantu kerja pengagihan bermula kira-kira jam 2 petang.

“Kita menyasarkan agihan kepada warga emas, keluarga yang mempunyai ahli terlantar sakit dan orang kelainan upaya (OKU), manakala Air Selangor memfokuskan kawasan berkepadatan tinggi seperti flat kos rendah serta Projek Perumahan Rakyat (PPR),” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut menasihati pengguna yang masih mengalami gangguan bekalan air supaya bersabar memandangkan proses pemulihan dibuat secara berperingkat.

“Kita akui rata-rata penerima mengharapkan bekalan segera pulih namun Team Selangor akan cuba bantu mengedarkan air sekiranya ada lagi kawasan yang belum pulih hari ini bergantung pada jumlah penyertaan sukarelawan,” katanya.

Pada 10 November, LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran bau dikesan di Sungai Selangor sekali gus menjejaskan lebih 1.1 juta akaun pengguna.

Categories
SELANGOR

Team Selangor agih sumbangan di DUN Sungai Tua

SHAH ALAM, 11 NOV: Sukarelawan Team Selangor mengagihkan lampin pakai buang kanak-kanak kepada 32 penerima di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua pada Ahad.

Pegawai komunitinya Wan Mohd Alif Raimy Mohd Marzuki berkata agihan kepada kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) di Kampung Nahkoda Tua dan Kampung Laksamana melibatkan kerjasama Yayasan Food Bank Malaysia.

“Penerima terdiri daripada masyarakat India yang turut mendapat bakul makanan daripada pejabat ahli majlis zon 7 Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sempena sambutan Deepavali tidak lama lagi.

“Inisiatif ini sebagai usaha memelihara kebajikan rakyat khususnya golongan kurang berkemampuan dan sukar menyediakan kelengkapan tersebut susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, sumbangan itu akan diteruskan ke kawasan Batu Caves dalam masa terdekat dengan mengumpul maklumat penerima yang layak.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB: 282 mangsa banjir Hulu Langat terima bantuan makanan

HULU LANGAT, 7 NOV: Seramai 282 mangsa banjir di Kampung Batu 16 di sini, menerima bakul makanan disumbangkan sukarelawan Team Selangor.

Dato’ Menteri Besar berkata bantuan makanan kering seperti beras, mi segera, sardin dan biskut termasuk pelitup muka serta cecair pembasmi kuman bertujuan meringankan beban penduduk yang terjejas.

“Agihan bantuan oleh Team Selangor dan dibantu Penggerak Belia Tempatan (PeBT) dibuat secara berperingkat bermula hari ini. Insya-Allah dalam masa dua atau tiga hari lagi segala proses kepada semua penduduk dijangka selesai.

“Kita juga sedang fikir untuk menyalurkan bantuan sama di tempat lain yang terjejas,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari kepada media selepas menyampaikan bakul makanan kepada 10 penduduk sebagai simbolik agihan sumbangan di Dewan Batu 16 di sini hari ini.

Terdahulu, beliau yang mengadakan lawatan pasca banjir di daerah ini mengunjungi Kolam Air Panas Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Batu 16 bagi meninjau kerja pembersihan dijalankan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pada 4 November lalu, lebih 400 rumah di 10 kampung di Hulu Langat ‘lumpuh’ akibat banjir susulan hujan lebat selama hampir lima jam.

Kampung terlibat ialah Kampung Batu 16, Kampung Sungai Serai, Kampung Kuala Perdik, Kampung Batu 14, Kampung Batu 18, Kampung Batu 20 Sungai Lui, Kampung Batu 17, Kampung Dusun Nanding, Kampung Batu 13 dan Kampung Lubuk Kelubi.

Categories
AGENSI SELANGOR

Team Selangor agih bantuan di DUN Taman Medan

SHAH ALAM, 5 NOV: Sukarelawan Team Selangor mengedarkan lampin pakai buang kanak-kanak kepada 33 penerima di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan, kata pegawai program komunitinya.

Sumayyah Aminodin berkata agihan selama tiga hari bermula pada Selasa mendapat kerjasama Yayasan Food Bank Malaysia dengan memfokuskan kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

“Diharap sumbangan ini meringankan beban ibu bapa yang perlu menyediakan kelengkapan lampin pakai buang kepada anak-anak mereka memandangkan semakin ramai keluarga menghadapi kesusahan akibat Covid-19,” katanya ketika dihubungi.

Pada Selasa, Team Selangor mengedarkan lampin pakai buang di Medan Cahaya dan Apartment Medan Jaya Blok F manakala semalam di Desa Mentari Blok 9 & 10, Flat PKNS dan PJS 2C.

Agihan dari rumah ke rumah diteruskan hari ini ke Apartment Permai mulai 2.30 hingga 5 petang.