Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penjawat awam sengaja tolak vaksin berdepan tindakan tatatertib

SHAH ALAM, 7 OKT: Penjawat awam di Selangor yang menolak pemberian vaksin tanpa sebarang alasan munasabah berdepan tindakan tatatertib.

Dato’ Menteri Besar berkata keputusan berkenaan dibuat selepas menerima nasihat penasihat undang-undang dan perkara tersebut dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada minggu depan.

Dato’ Seri Amirudin Shari juga menjelaskan bentuk tindakan bakal diputuskan jawatankuasa tatatertib antaranya amaran, pemotongan gaji dan diberhenti kerja.

“Tindakan dikecualikan kepada mereka yang ada alasan klinikal, masalah kesihatan dan mendapat nasihat doktor dan pakar,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada 22 September, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan kekecewaan apabila dimaklumkan seramai 96 individu dalam kalangan guru  Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa), ahli jawatankuasa masjid dan jurunikah menolak vaksin.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga kecewa apabila hanya 203 individu menyertai program vaksinasi khas Covid-19 untuk petugas Jabatan Agama Islam Selangor sedangkan seramai 873 orang diarah hadir.

Baginda bertitah akan meneliti nama individu yang memutuskan untuk tidak divaksin dan satu ketetapan berhubung tindakan yang akan diambil terhadap mereka bakal ditentukan kelak.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Kakitangan rasuah berdepan tindakan tatatertib, dipecat – MBSA

SHAH ALAM, 11 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) enggan melindungi kakitangan tidak berintegriti terutama melibatkan rasuah.

Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Haris Kasim berkata mereka yang melakukan kesalahan jenayah bakal dikenakan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja.

“MBSA memberi jaminan kerjasama penuh akan diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), malah MBSA mengadakan mesyuarat dengan SPRM berhubung perkara ini semalam.

“Saya tidak akan melindungi pegawai dan kakitangan yang tidak bertanggungjawab dan tidak berintegriti, sikap seperti ini perlu dicegah dalam MBSA,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Haris berkata orang ramai diminta menyalurkan aduan berkaitan salah laku kakitangan agensi itu menerusi emel [email protected] atau di
talian 03-55105133.

Hari ini, SPRM menahan tiga anggota penguat kuasa MBSA Cawangan Sungai Buloh kerana disyaki melindungi premis perniagaan tanpa lesen. Penguat kuasa berusia antara 41 hingga 49 tahun itu turut disyaki mengutip dan menerima rasuah secara bulanan.

Terdahulu, tular video yang mendakwa MBSA tidak memantau kegiatan judi dan jualan rokok seludup di kawasan Sungai Buloh.

Video dimuat naik Facebook ‘Hot Burger Malaysia’ turut mendakwa pihak berkuasa menutup mata kerana ada yang menerima habuan daripada tauke kedai mesin judi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tolak Pemecatan Guru Bermotif Politik

SHAH ALAM, 26 NOV –  Inisiatif Selamatkan Insan Tertindas (Insan) menentang sekeras-kerasnya campur tangan politik dalam pengurusan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sehingga mengakibatkan pemecatan seorang guru sementara di Sekolah Rendah Agama Islam Rancha-rancha, Wilayah Persekutuan Labuan, Qatrun Nada Mohd Latfi.

Koordinator Insan, Mohd Faris Abdullah menyatakan sebagai sebuah agensi awam, Jawi sepatutnya bersifat neutral dan profesional dalam tatakelola pengurusan.

Katanya, campur tangan ini hanya mencemarkan imej Jawi sebagai sebuah badan kerajaan yang berteraskan Islam.

“Jawi juga gagal memberi sebab yang munasabah atas pemecatan Qatrun Nada (gambar kecil). Hal ini menguatkan dakwaan bahawa Jawi dipengaruhi oleh kepentingan politik Umno sehingga sanggup menzalimi kakitangan sendiri.

“Perkara ini jelas bertentangan dengan Visi Jawi sendiri yang ingin menjadi badan peneraju dalam memartabatkan Hal Ehwal Islam,” katanya dalam satu kenyataan media kepada Tv Selangor.

Pada 15 September 2012, Qatrun Nada menghadiri satu ceramah anjuran Pakatan Rakyat yang disampaikan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beliau disiasat dan menerima surat pemecatan pada 24 Oktober 2012 daripada pihak Jawi.

Notis yang diterima beliau bagaimanapun tidak menyatakan sebab-sebab pemecatan.

Qatrun Nada kemudiannya menghantar surat rayuan untuk bertanyakan sebab secara terperinci, Jawi hanya menjawab dengan mengatakan beliau sememangnya boleh ditamatkan perkhidmatan pada bila-bila masa berdasarkan kontrak perlantikan.

Sebelum itu, beliau juga menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai orang kuat Umno Labuan pada 9 Oktober lalu.

Dalam panggilan tersebut individu berkenaan memberi amaran kepada Qatrun Nada agar tidak terlibat dengan kegiatan politik pembangkang.

Pada 22 Oktober, Qatrun Nada dipanggil ke pejabat Jawi Labuan untuk diselidik mengenai kegiatan luar beliau. Akhirnya, Qatrun Nada menerima notis sebulan penamatan jawatan yang akan berkuatkuasa pada 1 Disember ini pada 24 Oktober lalu.

Mohd Faris juga mengecam tindakan Umno-BN yang menggunakan agensi kerajaan bagi mengekang kemaraan politik parti lawan.

“Umno sebagai sebuah parti politik sepatutnya lebih faham bahawa hak untuk berpolitk adalah hak setiap rakyat Malaysia yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

“Insan menggesa pimpinan tertinggi Umno mengambil tindakan tatatertib terhadap individu yang terlibat kerana melakukan tindakan yang memburukkan imej Umno.

“Tindakan Tatatertib itu juga penting bagi menunjukkan Umno juga menentang sebarang salah guna kuasa dalam pengurusan parti mahupun pengurusan kerajaan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Insan akan menghantar satu memorandum kepada Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali pada 29 November 2012 bagi mendesak beliau membebaskan Jawi daripada sebarang campur tangan politik sempit.