Categories
AGENDA NASIONAL

Rugi RM710,000, peniaga ditipu tawaran jual kit ujian Covid-19

KUALA LUMPUR, 10 FEB: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima dua laporan berkaitan penipuan tawaran penjualan kit ujian COVID-19 tidak wujud di Selangor, melibatkan kerugian berjumlah RM710,000.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata  laporan berkenaan dibuat dua ahli perniagaan, Januari lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, dua mangsa itu telah mengadakan perbincangan dengan sebuah syarikat yang mendakwa boleh membantu dalam pembelian kit ujian pengesanan COVID-19 dari syarikat pengeluar di China.

“Mengikut laporan dibuat, seorang daripada mangsa memaklumkan dia membuat pembayaran sebanyak RM600,000 bagi 100,000 kit ujian termasuk kos penghantaran.

“Setelah pembayaran dilunaskan, kit ujian yang dibeli tidak diterima. Mangsa seterusnya membuat semakan dengan syarikat pengeluar di China dan mendapati tiada sebarang pesanan diterima oleh pihak pengeluar,” katanya dalam sidang media khas di Menara KPJ, di sini hari ini.

Mohd Kamarudin turut mengingatkan orang ramai khususnya peniaga agar sentiasa berwaspada dan membuat semakan sebelum membuat transaksi pembayaran, terutama apabila melibatkan amaun yang besar bagi mencegah kes penipuan itu terus berleluasa.

Sementara itu, beliau berkata polis mengesan kegiatan penggodaman akaun bank melalui muat turun fail ‘Android Package Kit’ (APK) dan telah menerima lima laporan setakat ini melibatkan kerugian RM58,844.

Katanya berdasarkan siasatan, sindiket akan menggunakan laman sosial Facebook untuk mengiklankan penjualan barangan atau perkhidmatan saluran televisyen.

“Mangsa yang berminat dengan tawaran kemudiannya akan menghubungi pihak sindiket melalui Whatsapp dan mangsa akan diberikan pautan fail APK dan diarahkan memuat turn serta memasang aplikasi itu di peranti telefon pintar.

“Setelah selesai dipasang, aplikasi itu akan menggantikan sistem SMS (khidmat pesanan ringkas) sedia ada dan mangsa diarahkan untuk mendaftar sebelum diberikan akses bagi menggunakan aplikasi itu,” katanya.

Jelasnya maklumat yang diperlukan untuk pendaftaran termasuklah nama, nombor kad pengenalan, emel, butiran kad kredit dan butiran perbankan dalam talian.

Beliau berkata setelah semua maklumat dimasukkan dan paparan ‘page error’ akan ditunjukkan kerana aplikasi ini tidak dipautkan kepada sistem perbankan yang tulen.

“Hakikatnya pemasangan aplikasi dan proses pendaftaran yang dibuat hanyalah semata-mata untuk mendapatkan akses terhadap kandungan SMS serta butiran perbankan yang dimasukkan mangsa, yang akan digunakan untuk memindahkan wang dari akaun mangsa,” katanya.

Mohd Kamarudin berkata setakat ini pihak polis telah menerima lima laporan berkaitan modus operandi itu iaitu tiga kes di Johor dan masing-masing satu kes di Pulau Pinang dan  Sabah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Selain itu, polis percaya dalang sindiket ini masih berada dalam negara dan mereka menggunakan ‘akaun keldai’ dalam melakukan kegiatan mereka.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dengan iklan di media sosial, jangan muat turun fail APK dan hubungi ‘CCID Scam Response Center’ di talian 03-26101559 / 03-26101599 untuk mendapatkan nasihat lanjut,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis terima 10 laporan kes tipu khidmat pembersihan melalui laman sosial

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan modus operandi baharu sindiket yang menawarkan perkhidmatan pembersihan rumah dan pejabat kepada orang ramai melalui laman sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata setakat ini, pihaknya menerima 10 laporan membabitkan kes tersebut melibatkan kerugian sebanyak RM77,888.

Beliau berkata siasatan mendapati sindiket menggunakan beberapa nama syarikat berbeza untuk mengiklankan perkhidmatan pembersihan di laman sosial sebelum meminta mangsa menghubungi mereka melalui aplikasi WhatsApp.

“Pembayaran dibuat oleh mangsa melalui pautan laman web yang kelihatan sama dengan laman web perbankan dalam talian yang ditetapkan oleh sindiket.

“Mangsa kemudiannya cuba membuat pembayaran melalui laman web tersebut namun gagal dan menyedari ditipu apabila mendapati wang daripada akaun bank telah berkurangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, siasatan mendapati, sindiket menggunakan data perbankan yang dimasukkan mangsa menerusi laman web palsu itu untuk membuat pemindahan wang tanpa pengetahuan mangsa.

Menurutnya, orang ramai yang mungkin menjadi mangsa kepada sindiket penipuan ini diminta tampil membuat laporan di balai polis berhampiran bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Tipu derma Covid-19, penyelia kontrak dijel tiga tahun, denda dan sebat

KOTA TINGGI, 8 SEPT: Seorang penyelia kontrak dipenjara tiga tahun, didenda RM16,000 dan dikenakan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menipu dua rakan sekerjanya bagi mendapatkan sumbangan derma berjumlah RM8,357, minggu lepas.

Tertuduh Mohd Zahazan Zainon, 45, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurmadiana Mamat.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Zahazan dengan niat curang menipu rakan sekerjanya dengan mengatakan ahli keluarganya meninggal dunia akibat Covid-19 sedangkan perkara itu tidak benar dan mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM7,857 ke akaun bank peribadinya sebagai sumbangan derma.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memperdaya seorang lagi rakan sekerja dengan alasan yang sama dan mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM500 ke akaun bank tertuduh untuk sumbangan derma.

Kedua-dua kesalahan tersebut dilakukan tertuduh pada 3 Sept lepas antara 5.20 petang hingga 9.25 malam di Pejabat Bahagian Keselamatan Kompleks Bersepadu Pengerang di sini.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Terdahulu, peguam Nurul Hidayah Mohd Asri memohon hukuman lebih ringan kerana ia merupakan kesalahan pertama tertuduh, selain beliau menanggung empat anak hasil perkahwinan terdahulu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nursyamim Fateha Mohd Amin memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh demi kepentingan awam.

Nurmadiana kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dari tarikh tangkapan, denda RM15,000 yang jika tidak dibayar boleh dipenjara lima bulan dan dikenakan satu sebatan bagi pertuduhan pertama.

Sementara itu bagi pertuduhan kedua, mahkamah menjatuhkan hukuman setahun penjara dari tarikh tangkapan, denda RM1,000 yang jika gagal dibayar boleh dipenjara sebulan dan satu sebatan.

Kedua-dua hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 4 Sept.

Minggu lepas tular di media sosial seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki menyebarkan berita palsu yang mencetuskan simpati orang ramai mengenai kehilangan 14 ahli keluarganya akibat Covid-19, sehingga memperoleh sumbangan orang awam berjumlah RM91,000.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua pengarah syarikat didakwa tipu bekal sarung tangan RM7 juta

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Dua pengarah syarikat hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan berhubung pembekalan 670,000 kotak sarung tangan melibatkan kerugian RM7 juta, tahun lepas.

Bagaimanapun, Razalif Mohamad Zain, 30, dan Mohd Razimi Ramli, 31, masing-masing pengarah syarikat Metamorphosis Skills Sdn Bhd mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama telah menipu Pengarah Syarikat Monosa Holding Sdn Bhd, Mohammad Nor Sakhawi Mohd Subri, 29, dengan memperdayakannya bahawa mereka boleh membekalkan 670,000 kotak sarung tangan Hartalega Nitrile Examination Glove sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang lebih kurang RM7 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Connaught, Cheras di sini, antara Jun hingga Julai 2020, mengikut Seksyan 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ashraf Appoo.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Mac depan untuk sebutan semula kes.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Belasan sindiket menyamar pegawai LHDN, tipu lebih RM600,000 

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Sebanyak 18 kes sindiket penyamaran sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melibatkan kerugian RM636,311 yang dilaporkan bagi tempoh 1 Januari hingga 9 Februari tahun ini.

LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan maklumat tersebut diperoleh daripada laporan media massa.

“Taktik digunakan scammer adalah menakut-nakutkan mangsa sehingga panik sebelum memaksa mangsa mengambil tindakan terburu-buru dengan menyerahkan butiran peribadi dan perbankan malah ada yang secara sukarela membuat bayaran wang tunai kepada ahli sindiket,” demikian menurut kenyataan itu.

Bagi mengelak perkara sama berulang, LHDN mengingatkan orang ramai untuk menyemak panggilan, e-mel atau surat meragukan daripada LHDN dengan menghubungi Hasil Care Line di 03-89111000/ 603-89111100 (luar negara), talian pegawai menerusi portal rasmi www.hasil.gov.my atau hadir ke cawangan LHDN berhampiran.

Selain itu, orang ramai boleh membuat semakan modus operandi sindiket penipuan menerusi portal rasmi LHDN di http://www.hasil.gov.my/bt_goindex.php bt_kump=10&bt_skum=1&bt_posi=1&bt_unit=2&bt_sequ=1.

Mengenai usaha menyedarkan masyarakat, LHDN memanfaatkan media massa dan media sosial selain e-mel rasmi [email protected] untuk menghantar infografik peringatan berkaitan aktiviti scammer.

“Sehingga kini, 2,927,400 e-mel dikirim kepada alamat e-mel yang terdapat dalam pangkalan data LHDN dan 814,865 e-mel masih di peringkat proses pengiriman,” menurut LHDN.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Warga emas rugi RM61,500 diperdaya kekasih Facebook

KUANTAN, 19 DIS: Seorang wanita warga emas mendakwa kerugian RM61,500 selepas terpedaya dengan kata-kata manis lelaki yang hanya dikenalinya di laman sosial Facebook selama beberapa bulan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 73 tahun mendakwa mula berkenalan dengan suspek sekitar April dan hubungan itu semakin rapat sehingga menjadi pasangan kekasih.

“Mangsa mendakwa pada penghujung November lepas, suspek menyatakan hasrat untuk meminjam wang sebanyak RM100,000 kerana berdepan masalah kewangan dan memberi jaminan akan memulangkannya kembali apabila keadaan semakin baik.

“Atas dasar percaya, mangsa meminjamkan wang RM61,500 yang dimasukkan ke dalam akaun diberikan suspek menerusi mesin deposit tunai sebanyak empat kali dengan transaksi terakhir dibuat pagi semalam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa mendakwa hanya mengetahui dirinya ditipu selepas dihubungi pihak bank pada petang semalam, bagi membuat semakan selepas melihat transaksi pengeluaran simpanan dalam jumlah yang besar.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Bentong kira-kira 162 kilometer dari sini semalam dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA JENAYAH

Pensyarah dakwa rugi lebih RM300,000 ditipu sindiket

KUANTAN, 25 JULAI: Seorang pensyarah wanita di Maran dekat sini membuat laporan polis mendakwa dirinya kerugian RM325,00 yang turut merangkumi pinjaman bank selepas diperdaya sindiket Macau Scam sejak Ogos tahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 41 tahun itu mendakwa mula dihubungi seorang lelaki pada awal Ogos tahun lepas, kononnya kakitangan Mahkamah Perlis berhubung perbicaraan kes langgar lari.

Mangsa yang menafikan terbabit dalam ‘kes’ tersebut kemudian disambung ke balai polis dan suspek kedua menakut-nakutkan mangsa bahawa dirinya berdepan hukuman gantung sampai mati kerana terlibat dalam sindiket dadah dan pengubahan wang haram menyebabkan mangsa terus panik.

“Suspek juga mendakwa sebuah kereta peronda polis dalam perjalanan untuk menangkap mangsa menyebabkan wanita itu terus merayu sebelum diarahkan bercakap pula dengan suspek ketiga kononnnya pegawai di Bukit Aman yang mengendalikan kes itu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa mendakwa ‘pegawai’ itu memaklumkan mereka mempunyai bukti cap jari dan rakaman kamera litar tertutup yang mengaitkan mangsa dan bagi membersihkan dirinya mangsa perlu membantu ‘siasatan’ tanpa pengetahuan individu lain.

Mangsa mendakwa diarahkan memindahkan wang simpanan berjumlah RM50,000 dan wang simpanan anaknya sebanyak RM30,000 ke akaun diberikan ‘pegawai’ itu kononnya bagi mengelakkan wang tersebut dirampas pihak berkuasa.

“Suspek juga mengarahkan mangsa membuat pinjaman bank sebanyak RM100,000 pada penghujung Ogos 2019 kononnya bagi risikan perjalanan wang diikuti tiga lagi pinjaman bank melibatkan jumlah antara RM30,000 hingga RM70,000 yang kemudiannya perlu dipindahkan ke akaun diberikan suspek,” katanya.

Mohd Wazir menambah mangsa turut mendakwa diarahkan menjual rumah miliknya yang bernilai RM190,000 di Selangor atas alasan mengelakkan rasa curiga hartanah dibeli secara tidak sah, namun mangsa enggan menyebabkan suspek mendesak mangsa membuat pinjaman atas nilai sama.

“Suspek mendakwa jumlah itu telah ditulis dalam laporan kepada pegawai atasan dan dirinya berkemungkinan dibuang kerja jika wang itu tiada. Mangsa bagaimanapun memaklumkan bahawa namanya sudah tidak boleh membuat pinjaman kerana telah berada pada tahap maksimum yang dibenarkan,” katanya.

Setelah hampir setahun berurusan dengan suspek, mangsa akhirnya berasa curiga selepas tidak lagi menerima panggilan daripada suspek berhubung perkembangan siasatan, selain cubaan menghubungi suspek juga gagal menyebabkan dia berasa ditipu.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran, kira-kira 67 kilometer dari sini semalam, dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA