Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Noor Hisham lawat kawasan PKPD asrama Top Glove

SHAH ALAM, 28 NOV: Ketua Pengarah Kesihatan mengadakan lawatan kerja hari ini ke asrama Top Glove di Klang yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata beliau diberi taklimat mengenai perkembangan terkini pengurusan PKPD membabitkan asrama lelaki dan wanita kilang itu yang terletak di Jalan Teratai.

“Saya sempat bertukar pendapat dengan pihak pengurusan operasi yang terlibat dan mendengar isu berbangkit agar operasi PKPD ini berjaya dalam membendung penularan ke dalam komuniti,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata pengurusan kesihatan di lokasi itu diuruskan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Klang dan Klinik Kesihatan Meru, selain anggota kesihatan dari daerah luar serta badan bukan kerajaan (NGO).

“Aktiviti pengurusan kesihatan meliputi saringan Covid-19, kesiapsiagaan perubatan, pengurusan pemberian arahan home surveillance order (HSO), pengurusan kemasukan kes positif ke hospital dan pengurusan data,” katanya.

Rabu lalu, tujuh daripada 28 kilang Top Glove diarah tutup sehingga 8 Disember selepas merekodkan ribuan kes positif Covid-19.

Setakat 24 November, seramai 4,036 orang disahkan positif wabak bagi kluster Teratai, majoriti pekerja Top Glove, termasuk mereka yang tinggal di Kuala Lumpur.

Daripada jumlah berkenaan, 3,846 orang yang positif bukan warganegara daripada 5,777 orang disaring.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Vaksin Covid-19: Top Glove jangka permintaan sarung tangan terus meningkat

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Top Glove Corporation Bhd menjangkakan permintaan terhadap sarung tangan bagi tujuan pemeriksaan akan meningkat dua kali ganda apabila vaksin Covid-19 dapat disediakan menjelang akhir tahun ini.

Pengerusi Top Glove Tan Sri Lim Wee Chai juga menyifatkan perniagaan itu kekal kukuh dalam jangka panjang manakala potensi saham syarikat itu bergantung kepada pendapatan dan prestasinya.

“Harga saham syarikat mencatat prestasi yang baik sejak 11 bulan lepas. Hanya baru-baru ini kami berdepan cabaran dan berharap ia bersifat sementara agar keadaan dapat kembali kepada sebelumnya.

“Dari segi perkembangan vaksin Covid-19, sarung tangan pemeriksaan ini diperlukan bagi tujuan suntikan vaksin tersebut.

“Oleh itu, dunia perlu menghasilkan tujuh bilion vaksin yang pastinya memerlukan tujuh bilion pasang sarung tangan,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan Covid-19 di sini, hari ini.

Di sebalik jangkaan peningkatan permintaan, pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia itu terpaksa bertindak menutup beberapa kilangnya berikutan peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerjanya.

Malah, sejumlah 20 kilang syarikat itu ditutup sementara manakala lapan lagi masih beroperasi yang menyebabkan pengeluarannya berkurangan sebanyak 10-20 peratus.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan sebelum ini mendakwa keadaan itu disebabkan oleh persekitaran asrama pekerja yang teruk, namun disangkal oleh Lim.

“Kami mengalu-alukan beliau untuk berkunjung semula ke sini. Ini kerana, sejak kunjungan beliau sebelum ini, keadaan (penginapan) pekerja dipertingkatkan apabila kami menambah peruntukan untuk penambahbaikan kemudahan itu dengan cepat.

“Oleh itu, kami amat terkejut dengan komen sedemikian. Kami perlu jelaskan dengan kementerian bagi mengenal pasti ruang yang memerlukan perhatian serta cara untuk mengatasinya,” katanya.

Ditanya sama ada bilangan kes jangkitan yang tinggi itu turut menyebabkan sarung tangan tercemar, Lim berkata itu sukar berlaku berikutan persekitaran kilang dengan suhu antara 30-40 darjah Celsius.

“Suhu dalam ketuhar sahaja adalah sekitar 110 darjah Celsius dan virus Covid-19 tidak dapat bertahan dalam keadaan panas. Dari segi pembungkusan sarung tangan, para pekerja kami dilengkapi dengan peralatan perlindungan diri dan tiada sentuhan langsung dengan sarung tangan.

“Apabila bungkusan ini dihantar menerusi kontena, suhunya juga panas iaitu lebih 40 darjah Celsius dan penghantaran menerusi kapal ke Eropah dan negara-negara lain memakan masa selama sebulan. Sudah pasti tidak berlaku sebarang pencemaran,” katanya.

Saham-saham Top Glove terus susut susulan laporan yang mengesahkan bahawa 20 kilang di Klang, Selangor, akan ditutup sementara susulan peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerja.

Malah, harga saham pengeluar sarung tangan itu merosot kira-kira 30 peratus sejak awal November lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Top Glove diarah saring, kuarantin 2,263 pekerja tinggal luar kawasan PKPD

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) diarah melakukan saringan Covid-19 ke atas 2,263 pekerjanya yang tinggal di luar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan perlu menjalani kuarantin selama 14 hari.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah bergerak bagi mengelak penularan wabak tersebut di kawasan komuniti.

“Sebelum ini, mereka ada asrama pekerja lelaki serta perempuan dan rumah yang disewa di kawasan yang dikenakan PKPD tetapi ramai juga pekerja tinggal di tempat lain. Jadi kita sudah arahkan syarikat buat saringan kepada pekerja ini dan dikuarantin.

Penduduk di kawasan sekitar tidak perlu bimbang sebab pekerja Top Glove disaring dan ditempatkan di pusat kuarantin,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata kesemua pekerja Top Glove yang positif Covid-19 dihantar ke hospital manakala yang negatif dikuarantin di hotel ditetapkan iaitu Hotel Gold Coast, Kelang Sentral dan stadium di Pandamaran.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata sebuah pasukan petugas diwujudkan bagi menyelaras gerak kerja melibatkan proses saringan, kuarantin dan penutupan kilang Top Glove dianggotai Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat Selangor, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Pejabat Dearah Klang, Majlis Perbandaran Klang dan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang.

“Pihak kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan dan pasukan Task Force khas yang ditubuhkan akan sentiasa memantau dan membuat penilaian dari semasa ke semasa.

Kerajaan juga mengarahkan 28 kilang syarikat itu ditutup secara berperingkat bagi membolehkan pekerja menjalani saringan serta proses kuarantin dan sehingga semalam 20 kilang ditutup, tujuh kilang ditutup hari ini dan satu lagi kilang akan menyusul (ditutup),” katanya.

Beliau berkata sehingga 24 November, sebanyak 5,795 ujian saringan dilakukan daripada 11,215 jumlah keseluruhan pekerja dan seramai 2,684 kes positif di kawasan PKPD direkodkan.

“Semalam, jumlah kumulatif kes di seluruh negara adalah sebanyak 2,188 dan daripada jumlah itu, 1,623 kes direkodkan di Selangor dan sebanyak 1,511 merupakan kes positif Covid-19 daripada kluster yang melibatkan kilang Top Glove.

Jumlah kes di kilang Top Glove merupakan penyumbang jumlah tertinggi kes Covid-19 di Selangor dan seluruh negara,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tujuh kilang Top Glove di Jalan Teratai diarah tutup dua minggu

KLANG, 25 NOV: Tujuh daripada 28 kilang pengeluar sarung tangan terkenal Top Glove di sini diarah tutup mulai hari ini sehingga 8 Disember selepas merekodkan ribuan kes positif Covid-19.

Arahan penutupan sebahagian premis di Jalan Teratai itu dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

Pegawai Kesihatan Daerah Klang, Dr Masitah Mohamed berkata tindakan itu susulan peningkatan mendadak wabak Covid-19 dalam kalangan pekerja kilang berkenaan.

“Penutupan hari ini adalah bagi fasa pertama dan akan ada kilang-kilang lain lagi yang akan ditutup. Terdapat empat fasa penutupan secara keseluruhannya.

Pengarah Urusan Top Glove, Dato’ Lee Kim Meow (tengah) memberi taklimat kepada pegawai yang menyertai operasi penutupan kilang Top Glove di Jalan Teratai, Klang pada 25 November 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Dalam tempoh 14 hari penutupan ini, pihak pengurusan kilang perlu melakukan saringan Covid-19 kepada pekerja, nyah kuman serta mematuhi tatacara operasi piawai (SOP),” katanya kepada SelangorKini selepas menampal notis di Kilang F4 Top Glove Jalan Teratai di sini hari ini.

Hadir sama Pegawai Daerah Klang, Mohd Zainal Mohd Nor; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin; Pengarah Urusan Top Glove, Dato’ Lee Kim Meow dan Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh.

Pada 23 November, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata 28 kilang pengeluar sarung tangan, Top Glove di daerah Klang akan ditutup secara berperingkat.

Setakat semalam, seramai 4,036 orang disahkan positif Covid-19 bagi kluster Teratai, majoriti pekerja Top Glove, termasuk mereka yang tinggal di Kuala Lumpur.

Daripada jumlah berkenaan, 3,846 orang yang positif bukan warganegara daripada 5,777 orang disaring.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Top Glove jangka perolehan tahun depan terjejas tiga peratus

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) menjangka pendapatannya untuk tahun kewangan semasa yang berakhir pada 31 Ogos, 2021, akan terjejas sebanyak tiga peratus berikutan penggantungan sementara operasi kilangnya di Klang, Selangor.

Bagaimanapun, pengeluar sarung tangan getah terbesar di dunia itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata pihaknya menjangkakan tidak akan dikenakan penalti kerana kelewatan penghantaran.

“Kesan daripada gangguan sementara ini dijangka akan menyebabkan beberapa kelewatan dalam jadual penghantaran kami antara dua hingga empat minggu,” katanya.

Top Glove berkata syarikat itu menjalankan operasi di pelbagai lokasi dan negara dengan pelan kesinambungan perniagaan sebagai sebahagian daripada strategi pengurusan risikonya.

Pada Isnin lepas, pihaknya mengumumkan penutupan kilangnya untuk membolehkan pekerja kilang itu disaring dan menjalani kuarantin berikutan peningkatan kes Covid-19 di situ.

Sebanyak 16 fasiliti pembuatannya di Meru, Klang telah menghentikan pengeluaran buat sementara waktu sejak 17 November lepas dan setiap fasiliti itu akan dapat beroperasi semula secara berperingkat selepas para pekerja selesai menjalani ujian ’swab’ dan kerja-kerja nyah cemar terhadap kilang tersebut.

Dua belas fasiliti lain kini beroperasi dengan kapasiti sekitar 20 peratus dan akan ditutup buat sementara waktu untuk proses ujian ‘swab’ terhadap pekerja dan ia akan dibuka semula selepas kerja-kerja nyah kuman dilakukan sepenuhnya.

Daripada segi kesan terhadap jumlah kapasiti pengeluaran bagi tempoh sekitar 14 hari, berdasarkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) dari 17 Nov hingga 30 Nov, 28 fasiliti yang terjejas di Meru mewakili sekitar 50 peratus daripada jumlah kapasiti pengeluaran syarikat.

“Sebagai langkah mengurangkan risiko, Top Glove telah menjadualkan semula pelan pengeluarannya untuk fasiliti yang tidak terjejas untuk memenuhi pesanan yang penting,” katanya.

Harga saham Top Glove turun 55 sen kepada RM6.80 pada penutup sesi dagangan Bursa Malaysia semalam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

ADN Meru rayu Putrajaya henti operasi kilang Top Glove

SHAH ALAM, 23 NOV: Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru meminta kerajaan persekutuan menghentikan sementara operasi kilang Top Glove susulan kes peningkatan ketara kes Covid-19.

Mohd Fakhrulrazi Mokhtar berkata keselamatan penduduk sekitar paling utama buat masa kini berbanding keuntungan kilang sarung tangan itu.

“Memandangkan kes kluster Jalan Teratai di Meru semakin memburukkan keadaan dan amat membimbangkan semua warga Meru dan pekerja tempatan di Top Glove sendiri.

“Keselamatan penduduk Meru lebih utama sekarang daripada keuntungan kilang,” katanya menerusi Facebook.

Pada 16 November, kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di asrama pekerja kilang terbabit susulan pengesanan 215 kes positif Covid-19.

Hari ini, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata 28 kilang Top Glove di Klang diarah ditutup secara berperingkat susulan 1,067 kes positif wabak dilaporkan di kawasan itu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster Teratai babit 2,524 kes positif, majoriti pekerja Top Glove

SHAH ALAM, 23 NOV: Sebanyak 2,524 kes positif direkodkan dari kluster Teratai yang kebanyakannya dikesan dalam kalangan pekerja kilang Top Glove di Meru, Selangor.

Ketua pengarah kesihatan berkata jumlah itu melibatkan 164 warganegara serta 2,360 warga asing, berusia antara dua hingga 68 tahun.

“Keseluruhan 5,767 individu disaring, 1,330 negatif manakala 1,913 masih menunggu keputusan.

“Kes positif dimasukkan ke hospital dan kontak rapat dikuarantin untuk mengelak jangkitan,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata tiada kematian direkodkan dari kluster ini selain tiada yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Katanya, kluster Teratai yang turut membabitkan jangkitan di Kuala Lumpur diisytiharkan pada 7 November dan bermula 17 November kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di kilang Top Glove, Klang serta kawasan perumahan berhampiran.

Dr Noor Hisham berkata PKPD itu melibatkan kira-kira 5,900 penduduk serta 13,000 pekerja kilang berdasarkan maklumat pengurusan kilang.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 1,000 kes, 28 kilang Top Glove diarah tutup berperingkat

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan mengarahkan 28 kilang Top Glove di Kapar, Klang ditutup secara berperingkat susulan peningkatan ketara kes Covid-19, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau difahamkan hari ini sebanyak 1,067 kes positif dilaporkan di kawasan tersebut.

“Penutupan ini bagi membolehkan pekerja menjalani saringan dan kuarantin bagi mengekang penularan Covid-19.

“Pelaksanaan ini akan diselaraskan oleh Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor dengan kerjasama pengurusan syarikat Top Glove,” katanya pada sidang media hari ini.

Ismail Sabri berkata arahan itu dibuat selepas mendapat nasihat dan penilaian risiko jangkitan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pada 16 November, kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di asrama pekerja Top Glove Klang selepas KKM mengesan 215 kes positif Covid-19.

Susulan itu, seramai 5,700 pekerja serta 1,200 penduduk sekitar dikenakan PKPD 14 hari dan perlu menjalani saringan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Keputusan saringan PKPD asrama Top Glove diketahui esok

SHAH ALAM, 22 NOV: Keputusan penuh saringan individu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) asrama pekerja Top Glove, Klang dijangka diketahui esok.

Ketua polis Klang Utara berkata ujian yang dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terhadap pekerja Top Glove serta penduduk selesai sepenuhnya semalam.

“Jadi kita memerlukan dua hari untuk mendapatkan hasil ujian semalam. Keputusan diterima berperingkat dan mereka yang jalani ujian awal sudah diterima.

“Sebaik menerima keputusan penuh, kita akan adakah perbincangan dengan PKD untuk tindakan lanjut terutama membabitkan saringan kali kedua,” kata Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, proses berkenaan berjalan lancar selepas semua pekerja dan penduduk memberi kerjasama penuh.

“Kita tidak alami sebarang masalah. Mereka faham kepentingan saringan ini sekali gus memudahkan pihak berkuasa,” katanya.

Isnin lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPD di asrama pekerja Top Glove Klang selepas Kementerian Kesihatan mengesan 215 kes positif Covid-19.

Susulan itu, seramai 5,700 pekerja serta 1,200 penduduk sekitar dikenakan PKPD 14 hari dan perlu menjalani saringan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Saringan PKPD asrama Top Glove dijangka selesai esok

SHAH ALAM, 21 NOV: Saringan Covid-19 di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) asrama pekerja Top Glove, Klang dijangka selesai esok.

Pegawai daerah dan tanah Klang berkata hari ini saringan dijalankan terhadap pekerja lelaki kilang serta penduduk Jalan Abadi 1A/KU8 dan Jalan Sesenduk 21 Off Jalan Teratai.

“Semalam hampir 3,000 individu telah disaring dan 937 keputusan masih belum diterima.

“Keseluruhan individu menjalani saringan dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah Klang seramai 4,167. Semua terlibat memberi kerjasama,” kata Mohd Zainal Mohd Nor kepada SelangorKini.

Isnin lalu, kerajaan mengumumkan PKPD di asrama pekerja Top Glove Klang selepas Kementerian Kesihatan mengesan 215 kes positif Covid-19.

Susulan itu, seramai 5,700 pekerja serta 1,200 penduduk sekitar dikenakan PKPD selama 14 hari dan perlu menjalani saringan.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPD asrama Top Glove Klang libatkan 5,700 pekerja

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari yang dikuatkuasakan di asrama pekerja asing Top Glove Corp Bhd di Meru, Klang, mulai hari ini, melibatkan 5,700 pekerja dan bukannya 13,190 seperti yang dilaporkan, kata syarikat itu.

Dalam satu kenyataan, pengeluar sarung tangan getah itu berkata pekerja yang terjejas mewakili kira-kira 27 peratus daripada jumlah pekerjanya yang seramai 21,000.

“Kilang-kilang kami di Meru terus beroperasi dengan kapasiti yang rendah dan pekerja yang tidak berada di bawah PKPD bekerja di bawah tatacara operasi piawai (SOP) ketat selaras dengan garis panduan Kementerian Kesihatan.

“Sebahagian besar pekerja yang terjejas tidak bergejala dan tidak ada simptom seperti demam atau sebarang sakit lain,” jelas Top Glove.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan sebagai berkata 13,190 pekerja yang menginap di asrama syarikat itu di Klang, serta hampir 1,200 penduduk di kawasan sekitarnya, akan ditempatkan di bawah PKPD sehingga 30 November 2020.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah, diheret prestasi Top Glove

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini, terjejas oleh kegiatan membeli yang membabitkan kaunter berkaitan indeks, didahului oleh Top Glove.

Pada jam 9.31 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 6.48 mata kepada 1,563.68 selepas dibuka 4.09 mata lebih rendah pada 1,565.99.

Top Glove mengheret turun indeks komposit sebanyak 2.449 mata selepas kerugian 15 sen kepada RM7.71 kerana berita kemajuan vaksin COVID-19 telah menghapuskan kehendak risiko untuk kaunter sarung tangan getah.

Kaunter sarung tangan getah lain, Hartalega jatuh 12 sen kepada RM15.38, Kossan Rubber lega empat sen kepada RM6.60, sementara Supermax menguncup 10 sen kepada RM8.80.

Di pasaran lebih meluas, kaunter untung berjumlah 348 dan kaunter rugi sebanyak 338 manakala 384 kaunter tidak berubah, 1,092 tidak diniagakan dan 27 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 2.7 bilion berjumlah RM694.53 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata bursa tempatan akan stabil dalam tempoh terdekat dengan para pelabur terus “mengunci” keuntungan yang diraih baru-baru ini dan ini disifatkan pergerakan sihat pada masa ini.

“Kami juga berpendapat saham berharga murah akan berada pada tahap semasa dengan sebarang kelemahan akan disokong oleh kecairan dagangan yang kian baik memandangkan pelabur terus cuba mendapatkan perolehan yang lebih tinggi.

“Berikutan kenaikan harga minyak sawit mentah, sektor perladangan mungkin akan meningkat lebih tinggi dalam tempoh terdekat sementara sektor teknologi juga akan pulih, mengambil petunjuk daripada keuntungan kukuh semalaman di Nasdaq,” katanya dalam nota penyelidikan di sini.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank turun enam sen kepada RM7.63, Public Bank susut 10 sen kepada RM17.58, Tenaga turun 14 sen pada RM11.20, sementara Petronas Chemicals tidak berubah pada RM6.55.

Saham-saham paling cergas pula, AT Systematization dan EA Holdings masing-masing turun setengah sen kepada 26.5 sen dan tiga sen, Metronic menambah tiga sen kepada 11.5 sen, sementara DGB tidak berubah pada 4.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 34 mata pada 11,256.89, Indeks FBM Emas Shariah susut 31.68 mata kepada 13,194.89, dan Indeks FBMT 100 turun 37.56 mata kepada 11,050.95.

FBM 70 turun 17.15 mata kepada 14,544.13 dan FBM ACE lebih rendah 6.46 mata kepada 11,285.33.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 47.56 mata kepada 13,361.78, tetapi Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.47 mata kepada 153.05, dan Indeks Perladangan meningkat 7.56 mata kepada 7.185.34.

– BERNAMA