Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi, saham sarung tangan naik semula

KUALA LUMPUR, 17 SEPT: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini sekali gus meneruskan kenaikan bagi hari keempat berturut-turut apabila pembuat sarung tangan utama, termasuk Top Glove, mencatat peningkatan semula manakala Hartalega terus didagangkan dengan lebih kukuh.

Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.16 mata kepada 1,534.44 daripada 1,531.28 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks itu dibuka 9.86 mata lebih tinggi pada 1,541.14.

Keseluruhan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 343 berbanding 121, sementara 283 kaunter tidak berubah, 1,307 kaunter tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 567.07 juta saham bernilai RM317.6 juta.

Malacca Securities berkata laporan prestasi kewangan Top Glove dijangka dapat memberikan petunjuk baharu untuk kenaikan seterusnya.

Pengilang sarung tangan getah terbesar dunia itu dijadualkan mengumumkan prestasi kewangan tahun kewangan 2020 hari ini.

“Kami juga cenderung kepada sektor perladangan dengan harga minyak sawit mentah naik melebihi RM2,900 satu tan, sementara itu sektor pembinaan akan kekal dalam fasa pemulihan,” menurutnya dalam nota penyelidikan.

Selain itu, kenaikan ketara harga minyak mentah susulan penyusutan paras inventori Amerika Syarikat yang tidak dijangkakan serta penutupan sementara pengeluaran luar pesisir AS ekoran Taufan Sally mungkin mendorong minat dagangan terhadap sektor tenaga.

Firma pembrokeran itu juga menjangkakan sentimen positif kekal dalam jangka terdekat memandangkan pelabur kembali memburu saham yang mengalami penyusutan harga namun mengingatkan bahawa kenaikan besar mungkin tidak menentu.

“Momentum positif terus didorong oleh data ekonomi di seluruh dunia yang lebih kukuh berbanding jangkaan,” menurutnya.

Sementara itu, pasaran saham Amerika Syarikat ditutup dengan prestasi bercampur-campur setelah merekodkan paras tertinggi harian, dengan Dow Jones naik 0.1 peratus, sementara S&P 500 dan Nasdaq masing-masing merosot 0.5 peratus dan 1.3 peratus susulan kelemahan yang dicatatkan saham teknologi.

Ini berlaku walaupun pengumuman dasar monetari memihak kepada kadar faedah rendah oleh Rizab Persekutuan (Fed) yang menunjukkan bahawa kadar semalaman dapat dikekalkan hampir kepada sifar selama bertahun-tahun untuk mencapai sasaran inflasi sebanyak 2.0 peratus.

Fed juga menyemak turun unjuran pertumbuhan ekonominya pada 2021 dan 2022 masing-masing kepada 4.0 peratus dan 3.0 peratus.

Di pasaran tempatan, saham berwajaran tinggi Hartalega melonjak 82 sen kepada RM14.92, Top Glove naik 22 sen kepada RM8.65, TNB menambah enam sen kepada RM11.06 dan Dialog menokok tiga sen kepada RM3.79.

Kaunter perbankan pula mengalami penurunan, dengan Maybank turun 10 sen kepada RM7.40, Public Bank susut 28 sen kepada RM16.42 dan CIMB kurang satu sen kepada RM3.22.

Saham untung termasuk Kossan, yang meningkat 36 sen kepada RM12.06, Supermax naik 14 sen kepada RM8.51 dan Rubberex menokok 12 sen kepada RM5.46.

Kalangan saham aktif, Ekovest naik lima sen kepada 63 sen, Technodex meningkat tiga sen kepada 19 sen, sementara Bina Puri dan KNM masing-masing menambah satu sen kepada 11 sen dan 22 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 38.66 mata kepada 11,017.86 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 97.89 mata kepada 13,043.28.

FBM 70 menokok 94.90 mata kepada 14,177.79, Indeks FBMT 100 naik 34.83 mata kepada 10,826.67 dan FBM ACE menambah 110.64 mata kepada 11,489.13.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 87.26 mata kepada 12,739.14, Indeks Perladangan meningkat 7.03 mata kepada 7,121.27 serta Indeks Barangan dan Perkhidmatan Industri naik 0.38 mata kepada 137.95.

-BERNAMA

 

Categories
PENDAPAT RENCANA

Sekatan AS tidak jejas industri sarung tangan negara

Oleh Aishah Mohmad Afandi

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Semasa pandemik Covid-19 kali pertama membawa gelombang kejutan kepada pasaran ekuiti global, industri sarung tangan merupakan antara yang menongkah arus dan melonjak dengan begitu tinggi berikutan permintaan mendadak terhadap sarung tangan pakai buang dalam sektor perubatan dan bukan perubatan.

Sejajar dengan itu, Malaysia yang merupakan pembekal sarung tangan terbesar dunia menyaksikan beberapa sahamnya yang berkaitan dengan industri tersebut terutamanya Top Glove Corporation Bhd mencanak naik lebih daripada 400 peratus setakat ini bagi tahun ini, selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan semasa pandemik itu.

Bagaimanapun, pada Khamis, pengeluar sarung tangan itu menerima tamparan hebat susulan arahan sekatan oleh Jabatan Kastam Dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) ke atas sarung tangan pakai buangnya yang dikeluarkan oleh dua anak syarikat pengeluar sarung tangan getahnya, iaitu Top Glove Sdn Bhd dan TG Medical Sdn Bhd.

Tindakan oleh AS itu telah menyebabkan saham syarikat tersebut jatuh menjunam 10 peratus pada Khamis kepada RM19.70, yang kemudiannya telah digantung.

Bukan hanya saham Top Glove sahaja yang jatuh, pesaing utamanya seperti Hartalega Holdings Bhd, Supermax Corporation Bhd dan juga Kossan Rubber Industries Bhd turut menerima tempias yang menyaksikan sejumlah RM10 bilion mengalir keluar dari bursa tempatan dalam masa sehari.

Menurut Top Glove, sekatan itu berkemungkinan berkaitan dengan isu buruh asing yang dijangka selesai dalam masa dua minggu lagi.

Ini bukan kali pertama pengeluar sarung tangan itu berada dalam situasi sukar disebabkan oleh arahan sekatan daripada CBP AS.

Sebelum Covid-19, syarikat itu berada dalam situasi yang sama selepas akhbar harian Britain, The Guardian, melaporkan pekerja asing didakwa menjadi buruh paksa, dipaksa bekerja lebih masa, ikatan hutang, gaji ditahan dan pasport dirampas, pada Disember 2018.

Bagaimanapun, Top Glove menafikan dakwaan itu dan eksport disambung seperti biasa.

Ketika Covid-19 mula menular dengan pantas ke seluruh dunia, Kedutaan AS di Kuala Lumpur dalam ciapan di laman twitternya @usembassykl berkata kira-kira 65 peratus daripada sarung tangan perubatan yang digunakan oleh petugas barisan hadapan AS adalah buatan Malaysia.

“Menerusi pengeluar sarung tangan perubatan dan produk perubatan lain, dunia bergantung kepada Malaysia dalam usaha memerangi Covid-19,” kata kedutaan itu.

Bagaimanapun, pada Jun, saluran penyiaran British channel 4 melaporkan bahawa pekerja asing syarikat berkenaan hanya dibayar £1.08 sejam (RM5.77) dan dipaksa bekerja lebih masa bagi menampung permintaan terhadap sarung tangan semasa pandemik itu.

Dalam senario di Malaysia, gaji RM5.77 sejam dianggap sebagai pembayaran standard bahkan bagi rakyat Malaysia yang bekerja secara sambilan dalam industri makanan dan minuman.

Sementara itu di United Kingdom, menurut penolong setiausaha agung kesatuan perkhidmatan awam, kerajaannya telah melayan pekerja asing dengan cara yang “memalukan.”

“Pekerja asing adalah petugas barisan hadapan dalam memerangi Covid-19 di rumah penjagaan, menyokong sistem yang diabaikan yang akan runtuh tanpa mereka.

“Beratus-ratus ribu pekerjaan penjagaan tidak dapat ditampung, namun kerajaan berhasrat untuk menghentikan sumber pekerja mahir ketika UK amat memerlukan mereka,” demikan laporan-laporan memetik beliau sebagai berkata.

Situasi yang sama berlaku di AS, dengan laporan menyatakan pekerja asing sama ada ditolak atau dihalang daripada menerima rawatan Covid-19.

Berbeza di Malaysia, pekerja asing sama ada yang sah mahupun tidak sah, kedua-duanya menerima rawatan dan penjagaan yang mencukupi.

Sekatan AS – Hanya Impak Sementara

Seorang penganalisis ekuiti berkata sekatan itu hanya akan memberikan impak jangka pendek kepada saham Top Glove serta pegangan ekuiti pengeluar sarung tangan lain.

“Minat terhadap saham Top Glove daripada pelabur asing masih kekal utuh kerana ia menguasai bahagian pasaran yang besar di negara-negara yang terjejas teruk terutamanya Amrika Syarikat,” katanya.

Menurut laporan tahunan Top Glove bagi tahun kewangan 2019, rantau Amerika Utara terdiri dari AS dan Kanada menyumbang 27 peratus daripada bahagian pasarannya.

Dalam tahun kewangan yang sama, ia berkata, kuantiti jualan ke rantau tersebut melonjak sebanyak 20.3 peratus dari 2018.

Bagi bahagian pasaran global, pengeluar sarung tangan itu menyumbang 26 peratus sejak ia muncul sebagai pengeluar sarung tangan terbesar dunia, dengan kapasiti pengeluaran 80.2 bilion setahun.

Pada 17 Julai, permodalan pasaran syarikat itu berjumlah RM62 bilion.

Manakala hasil direkodkan sebanyak RM2.4 bilion dengan dana pemegang saham berjumlah RM2.6 bilion pada 19 Mac.

Selain sarung tangan, syarikat itu juga mengeluarkan produk penting lain seperti pelitup muka tiga lapis bagi menangani kekurangan bekalan disebabkan oleh Covid-19, kondom serta produk penjagaan pergigian.

Pada Jumaat, saham Top Glove di Bursa Malaysia meningkat 16.65 peratus untuk ditutup kepada RM22.98, pulih daripada penurunan pada Khamis dengan sejumlah 56.56 juta saham diniagakan.

Saham pengeluar sarung tangan itu yang juga disenaraikan di Singapore Exchange turut mempamerkan lantunan semula yang kukuh pada Jumaat apabila meningkat 15.87 peratus untuk ditutup kepada SG$7.52, juga bangkit semula daripada penurunan 11 peratus pada Khamis.

Menurut nota penyelidikan, Top Glove dijangka meneruskan momentum bulisnya dan aliran meningkat itu kelihatannya tidak akan berakhir dalam tempoh terdekat ini.

Isu Pekerja Asing : Kebimbangan Global

Top Glove merupakan antara saham yang memegang status alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang menunjukkan bahawa sahamnya sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG PBB).

Ia juga dimasukkan sebagai komponen indeks Pasaran Sedang Pesat Membangun Dow Jones Sustainability Index (DJSI) pada September 2019 sebagai pengiktirafan terhadap amalan kelestariannya.

Top Glove berada di kedudukan ke-15 daripada 44 syarikat penjagaan kesihatan meletakkannya dalam kalangan 33 peratus pemain yang mencatatkan prestasi utama dalam semua indeks DJSI.

Saham itu juga disenaraikan sebagai komponen Morgan Stanley Capital International Global Standard Index yang menilai syarikat antarabangsa berdasarkan prestasi dalam aspek ESG.

Berkenaan isu pekerja asing, mustahak untuk memahami bahawa isu itu bukan hanya dihadapi di Malaysia melibatkan Top Glove atau mana-mana perbadanan lain, sebaliknya ia adalah isu universal yang memerlukan perhatian global.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Top Glove antara saham paling untung di Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Top Glove Corporation Bhd muncul sebagai syarikat ketiga terbesar di Bursa Malaysia, mengatasi Tenaga Nasional Bhd (TNB), apabila permodalan pasaran syarikat pembuat sarung tangan itu meningkat kepada RM64.73 bilion ketika ditutup semalam.

Pada 5 petang, saham Top Glove ditutup 9.5 peratus atau RM2.08 lebih tinggi pada RM24 dengan 32.6 juta saham diniagakan.

Kaunter itu mencapai paras tertinggi pada RM24.50 hari ini, dan kini ia berada di belakang dua saham teratas daripada segi permodalan pasaran – Maybank (RM88.7 bilion) dan Public Bank (RM71.9 bilion).

Sementara itu, nilai pasaran TNB adalah RM64.58 bilion pada penutup dagangan semalam.

Pengerusi Top Glove, Tan Sri Lim Wee Chai berkata pembuat sarung tangan terbesar di dunia itu mensasarkan untuk membina dua kilang setiap tahun untuk memenuhi permintaan global bagi sarung tangan getah dalam industri perubatan dan tahap kesedaran mengenai kebersihan yang meningkat di kalangan orang ramai berikutan penularan Covid-19 .

Beliau berkata syarikat itu kini mempunyai 45 kilang dan daripada jumlah itu sebanyak 34 adalah kilang sarung tangan dengan 700 barisan pengeluaran yang mempunyai kapasiti untuk membuat sebanyak 78.7 bilion sarung tangan setahun.

Top Glove juga kekal terbuka untuk penggabungan dan pengambilalihan, usaha sama serta peluang kepelbagaian.

Dalam nota semalam, Kenanga Research berkata ia menaikkan harga sasaran Top Glove kepada RM32, dengan mengambil kira sasaran pengurusan bahawa purata harga jualan sarung tangan pada bulan Ogos ditetapkan menjadi 30 peratus lebih tinggi bulan ke bulan berbanding sasaran sebelumnya sebanyak +10 peratus

MIDF Research berkata ia menjangkakan pengeluaran Top Glove akan meningkat sebanyak 36 peratus daripada 73.8 bilion keping pada suku ketiga 2020 kepada 100.4 bilion keping pada suku keempat 2021.

Justeru, ia meningkatkan saranan ‘beli’ saham Top Glove daripada ‘Neutral’ dengan harga sasaran yang disemak semula sebanyak RM26.12 sesaham daripada RM17.30 sebelumnya.

Sementara itu, AmBank Research percaya bahawa momentum kenaikan saham Top Glove akan terus meningkat pada harga sasaran seterusnya pada RM24.82 dan RM26.62 kerana saham telah melonjak mengatasi tahap rintangan pada RM20.16 dengan jumlah dagangan yang tinggi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Covid-19: Penggiat sarung tangan kembali jadi tumpuan

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Kalangan penggiat industri sarung tangan berkemungkinan menjadi tumpuan semula berikutan kebimbangan mengenai kemungkinan berlaku gelombang kedua pandemik Covid-19, demikian menurut Malacca Securities hari ini.

Menurut firma pembrokeran itu, penyusutan harga saham syarikat pengeluar sarung tangan getah baru-baru ini menunjukkan berlakunya penarikan diri pelabur namun permintaan terhadap produk dan perkhidmatan berkaitan penjagaan kesihatan diunjurkan meningkat pada masa-masa akan datang.

“Peningkatan kes jangkitan Covid-19 yang pada masa ini menghampiri 8.0 juta dan lebih 400,000 kematian, terus mengekang pemulihan ekonomi global.

“Jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital turut meningkat sejak beberapa hari lepas di beberapa bahagian dunia, sekali gus mencetuskan kebimbangan berlakunya gelombang kedua jangkitan pandemik itu,” kata firma itu dalam nota penyelidikannya hari ini.

Pada 10.10 pagi ini, Top Glove susut 10 sen kepada RM16.80, Supermax berkurangan 27 sen kepada RM7.64, Rubberex sebaliknya menokok empat sen kepada RM3.18 dan Comfort Glove naik satu sen kepada RM2.94.

-BERNAMA

Top Glove penyumbang pelaburan Selangor

Top Glove antara penyumbang kepada sektor pelaburan Selangor dan buka peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri itu.