Categories
AGENSI SELANGOR

Promosi di media sosial, Tourism Selangor bantu industri pelancongan

SHAH ALAM, 17 JUN: Tourism Selangor mengadakan kempen mempromosikan produk keluaran industri pelancongan di media sosial.

Pengurus komunikasi korporatnya berkata inisiatif itu diambil dalam membantu industri terbabit untuk menjana pendapatan.

“Terdapat sesetengah hotel yang mengeluarkan produk dengan membuat tawaran penghantaran makanan kepada pelanggan.

“Kita membantu dengan menguar-uarkan inisiatif penggiat industri ini di media sosial kepada orang ramai,” kata Ahmad Nazri Tashriq Rahmat kepada Selangorkini hari ini.

Beliau berkata agensi itu akan mengumumkan agihan peruntukan sebanyak RM2.55 juta bantuan kewangan kepada golongan tersebut pada 1 Julai hadapan.

“Tourism Selangor akan menjelaskan pelaksanaan bantuan ini dengan lebih terperinci dan dijalankan secara berperingkat,” katanya.

Pada 9 Jun lalu Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan empat inisiatif bantuan kewangan sektor pelancongan iaitu geran bantuan kewangan, baucar pelancongan, program latihan digital dan bantuan kewangan kepada persatuan pelancongan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tempoh sah baucar pelancongan Selangor dilanjut hingga hujung tahun

SHAH ALAM, 17 JUN: Tempoh sah baucar pelancongan Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu! dilanjutkan sehingga hujung tahun ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengurus komunikasi korporat Tourism Selangor berkata lanjutan tempoh sah yang sepatutnya tamat pada 31 Jun ini akan dimaklumkan industri pelancongan kepada pemegang baucar.

“Tanggungjawab industri pelancongan untuk memaklumkan lanjutan tempoh kepada pelanggan mereka.

“Industri pelancongan juga sedia maklum tentang pelanjutan tempoh baucar kerana termaktub dalam terma dan syarat,” kata Ahmad Nazri Dashriq kepada Selangorkini.

Tambah beliau sebanyak 10,000 baucar pelancongan bernilai RM200 setiap satu berjaya ditebus sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan sejak mula dilancar pada 8 Januari lalu.

Pada 11 Jun, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan PKP 3.0 disambung dua minggu lagi hingga 28 Jun berikutan jumlah kes harian Covid-19 yang masih tinggi.

Pada 18 Disember tahun lalu, Selangor melancarkan program Penebusan Subsidi Baucar Pelancongan bernilai RM200 setiap satu dan tempoh sah baucar sehingga 31 Jun.

Pada 5 April, Tourism Selangor berkata 10,000 baucar habis ditebus menerusi platform e-dompet Lazada dan Touch ‘n Go untuk menginap di hotel, taman tema dan inap desa berlesen.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pertandingan rangka kertas kerja pulih pelancongan tawar geran RM150,000

SHAH ALAM, 16 JUN: Tourism Selangor menawarkan hadiah geran projek bernilai RM150,000 menerusi pertandingan merangka kertas kerja pelan pemulihan sektor pelancongan domestik.

Pengurus besarnya berkata pertandingan yang bermula 14 Jun sehingga 31 Julai menyasarkan 50 penyertaan orang awam, penggiat industri, badan bukan kerajaan, institut pengajian tinggi, pemandu pelancong berdaftar dan hos komuniti setempat.

“Tujuan kita menganjurkan acara seperti ini untuk menyemarakkan semula sektor pelancongan domestik di Selangor melalui pendekatan norma baharu atau inisiatif yang menjurus bagi mengatasi impak Covid-19.

“Kerta kerja atau pitching ini perlu memberi tumpuan kepada salah satu daripada tiga kategori iaitu ‘kreatif dan inovasi pelancongan’, ‘kelangsungan pelancongan’ atau ‘digitalisasi Pelancongan’,” kata Azrul Shah Mohamad menerusi kenyataan.

Menurutnya, 10 pemenang utama berpeluang membawa pulang geran projek bernilai RM 10,000 setiap seorang, manakala 10 pemenang saguhati mendapat geran projek bernilai RM 5,000 setiap seorang.

“Pemenang turut berpeluang membentangkan hasil projek mereka di Tourism Selangor Global Convention 2021 yang akan dianjurkan pada November ini,” katanya.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai pertandingan, peraturan dan borang penyertaan, boleh layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di http://www.selangor.travel.

Peserta boleh menghantar emel ke [email protected] atau hubungi pegawai Tourism Selangor, Mohd Izzul Izzat di talian 016-207 6972 atau Ng Yik Thim (011-6366 8098).

Categories
AGENSI SELANGOR

Tourism Selangor-MSU perkasa pendidikan, latihan dua hala

SHAH ALAM, 3 MEI: Tourism Selangor memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Universiti Pengurusan dan Sains (MSU) bagi memperkasa pendidikan, latihan dan penyelidikan secara dua hala.

MoU itu ditandatangi oleh Pengurus Besar Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad dan Naib Presiden Hubungan Industri dan Keusahawanan MSU Profesor Dr Abdul Jalil Ghazali pada 26 April lalu.

Agensi promosi pelancongan negeri itu berkata kerjasama berkenaan memberi peluang kepada MSU mempromosikan Tourism Selangor selain menggalakkan pelajar menjalani latihan industri di situ.

“Pihak Tourism Selangor dan MSU dapat bekerjasama dalam bidang kajian dan pembangunan yang turut meliputi pertukaran bahan penyelidikan serta penerbitan dan pembentangan.

“Turut diperkenal Anugerah Industri pada Majlis Konvokesyen MSU untuk pelajar terpilih selain terlibat dalam program dan seminar perindustrian,” katanya dalam kenyataan.

Tourism Selangor berkata kakitangan MSU turut berpeluang menaik taraf kelayakan melalui tawaran sijil profesional yang diuruskan oleh agensi berkenaan.

Agensi itu menambah, pihaknya berdedikasi dalam membangunkan semula industri pelancongan negeri dengan menerokai pelbagai cabang.

“Ini termasuk pemerkasaan industri dari peringkat pendidikan tinggi untuk memartabatkan pelancongan negeri dari akar umbi,” kata agensi itu lagi.

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Aneka bufet Ramadan penuhi cita rasa ramai

Rata-rata rakyat Malaysia gemar membeli juadah di bazar Ramadan mahupun berbuka puasa di luar, malah bufet antara pilihan ramai.

Tahun ini, terdapat pelbagai hotel di Selangor yang menawarkan juadah dan promosi buka puasa yang boleh dinikmati seisi keluarga dan sahabat handai.

Tourism Selangor menyenaraikan 22 buah hotel yang menawarkan bufet Ramadan.

1) Dorsett Grand Subang Hotel
Santapan iftar di sini menawarkan menu berbuka puasa yang menyelerakan. Bermula dari 16 April hingga 12 Mei, ia terbahagi kepada dua set iaitu Santapan Mubarak dan Santapan Barokah.

Dua set ini menghidangkan dua menu berbeza namun tetap tidak mengetepikan makanan tempatan. Sup Gearbox turut ditawarkan sebagai juadah berbuka puasa dengan harga RM55.

The Emperor menjadi lokasi untuk berbuka puasa bersama keluarga dan rakan-rakan. Selain itu, pelanggan boleh bersedekah melalui Sedekah Iftar @ RM18 yang untuk satu set makanan.

Wyndham Acmar Klang Hotel

2) Wyndham Acmar Klang Hotel
Nostalgia Kampungku menjadi tema Wyndham Acmar Klang Hotel tahun ini dengan menyajikan anda hidangan nostalgia yang pastikan membuatkan anda menjilat jari!

Terdapat pelbagai masakan Melayu tradisional yang melazatkan serta aneka kuih untuk dijamah bersama keluarga dan sahabat handai. T Cafe merupakan lokasi untuk berbuka puasa dan tentunya diiringi masakan langsung daripada cef yang berbakat.

Senarai harga adalah RM138 seorang untuk dewasa, RM100 untuk warga emas dan RM84 untuk kanak-kanak.

3) Eastin Hotel
Icip-icip Kampungku Buffet Dinner merupakan bufet ramadan yang boleh dinikmati di Eastin Hotel.
Dengan harga RM 148 seorang, hotel ini menawarkan menu utama yang menyelerakan iaitu Kambing Panggang bersama Nasi Arab, Sup Gearbox Berempah, serta Nasi Lemak Kukus Daun Teratai.

Selain itu, terdapat pilihan menu yang menjadi kegemaran orang ramai iaitu Rendang Rusa, Ikan Patin Kukus Asam Limau, Masakan Kawah, Apam Balik Durian, aneka Asam Pedas dan banyak lagi!

4) Tenera Hotel
Hotel Tenera menawarkan Bufet Ramadan Tujuh Kawah dimana ia menyajikan pelbagai menu kawah seperti kerutuk daging, rendang, kambing bakar, sate, kuih-muih dan banyak lagi yang boleh dinikmati.

Harga bagi seorang dewasa adalah RM78 tetapi pembelian tempahan awal dibuka bermula 11 Mac dengan harga serendah RM58 dan penggunaannya sah sehingga 14 April hingga 20 April 2021.

Bufet Ramadan ini berlangsung dari 14 April hingga 11 Mei 2021 dan bermula 6.30 petang hingga 10.30 malam di Restoran Selasih Garden.

5) Mardhiyyah Hotel & Suite
Mardhiyyah Hotel & Suites mengalu-alukan kedatangan bulan suci Ramadan dengan hidangan bufet yang amat menarik bersama hidangan sajian tempatan dan antarabangsa serta gerai.

Ia menampilkan tema Bufet Antarabangsa yang menawarkan aneka pilihan masakan utama berasaskan pilihan tempatan. Selain itu, terdapat barisan gerai yang menampilkan konsep yang berbeza.

Harga bagi seorang dewasa ialah RM99 dan pembelian 10 orang dengan harga RM990 bersih layak mendapat satu baucar penginapan di Bilik Deluxe selama 2 hari 1 malam.

Selain itu, tetamu juga dapat menikmati alunan bacaan ayat suci al-Quran dan boleh menunaikan solat maghrib dan tarawih di hotel ini.

Best Western

6) Best Western i-City Shah Alam
Bufet Citarasa Warisan akan mula menyajikan kepada tetamu bermula 15 April hinga 11 Mei 2021.

Para tetamu boleh menikmati hidangan bufet yang enak dengan makanan tempatan yang lazat seperti sup gearbox, kambing bakar, barbeku dan banyak lagi.

Tidak lupa juga air kelapa dan menu berasaskan daging yang dimasak lembut. Senarai harga adalah
RM119 seorang untuk dewasa dan RM55 untuk warga emas dan kanak-kanak.

7) Park Inn by Radisson (Sepang) Putrajaya
Pertama kalinya menawarkan bufet ramadan dan menjemput semua pelanggan menjamu Sajian Ibunda Bufet yang menyajikan lebih 100 hidangan asli tempatan dan antarabangsa.

Bufet juadah berbuka puasa yang pelbagai sesuai dijamu bersama seisi keluarga dan sahabat handai ini bermula pada 16 April hingga 9 Mei 2021. Senarai harga adalah RM78 untuk dewasa dan RM58 untuk kanak-kanak.

8) Four Points by Sheraton Puchong
The Eatery merupakan lokasi untuk tetamu menjamu bufet ramadan yang ditawarkan di hotel ini. Tradisi Warisan menjadi nama tema kepada bufet tersebut bermula 13 April hingga 12 Mei 2021.

Harganya adalah RM145 untuk dewasa dan RM72.50 untuk kanak-kanak. Selain itu, Four Points Hotel turut menawarkan set pesanan istimewa iaitu Briyani Kambing – RM18 setiap set dan Briyani Ayam – RM13.

9) Pegasus Hotel
Hotel yang mewujudkan konsep moden serta seni retro iaitu Hotel Pegasus yang terletak di Shah Alam turut menawarkan menu bufet ramadan dan tetamu boleh meraikan bulan ramadan dengan menikmati pelbagai jenis hidangan yang menyelerakan.

Hotel Pegasus turut menawarkan hidangan istimewa setiap hari iaitu kambing bakar, sate ayam dan daging. Harga biasa bagi seorang dewasa adalah RM88 dan RM44 untuk kanak-kanak.

Hilton Garden Inn Puchong

10) Hilton Garden Inn Puchong
Hotel yang terletak berdekatan dengan IOI Mall Puchong ini turut menyajikan bufet ramadan pada harga RM88 untuk dewasa dan RM44 untuk kanak-kanak.

Tetamu boleh menikmati juadah berbuka puasa Selera Warisan Bonda bersama yang tercinta di restoran The Garden Grille.

11) The Saujana Hotel
Jelajah Selera Ramadan merupakan tema bufet ramadan bagi The Saujana Hotel. Bufet ramadan ini menawarkan lebih 120 sajian tempatan mahupun antarabangsa.

Bufet Ramadan boleh dinikmati di Charcoal’s Malaysian Style Grill Room. Selain itu, bufet ramadan untuk jamuan korporat turut disediakan dengan minimum 40 orang dan RM150 seorang.

12) Geno Hotel
Bufet Tradisi Ramadan bermula 16 April 2021 sehingga 9 Mei 2021 di Geno Hotel, berhampiran kawasan perindustrian di Shah Alam.

Anda boleh menikmati pelbagai aneka hidangan di hotel tersebut dengan hanya membayar RM88/dewasa, RM55/warga emas yang berumur 65 tahun ke atas dan RM40/kanak-kanak.

13) Holiday Villa Hotel
Juadah Ramadhan Tradisi Desa yang menghidangkan lebih 50 hidangan bufet Ramadan berlangsung selama sebulan bermula 13 April 2021.

Senarai harga adalah RM88 untuk dewasa, RM55 untuk warga emas dan RM44 untuk kanak-kanak.

14) Empire Hotel
Sajian Citarasa Kampung membawakan pelbagai hidangan kampung kepada penggemar hidangan turun-temurun. Bufet ini akan berlangsung selama sebulan bermula 13 April 2021.

Senarai harga adalah RM55 seorang untuk dewasa, RM45 untuk warga emas dan kanak-kanak

15) Holiday Inn Kuala Lumpur Glenmarie
Anda boleh meraikan bulan yang penuh keberkatan ini bersama hidangan bufet yang dijamin pasti menyelerakan. Dapatkan harga promosi sekarang sehingga 16 April 2021 dengan hanya RM88.

Premiere Hotel

16) Première Hotel
Anda boleh menikmati bulan Ramadan dengan menghabiskan masa berbuka puasa di The Buzz bersama keluarga dan sahabat handai.

The Journey of Iftar membawakan kepada anda menu-menu yang menepati cita rasa anda. Dengan pembelian 10 baucar akan diberikan satu baucar secara percuma.

Senarai harga adalah RM100 seorang untuk dewasa dan RM75 untuk warga emas dan kanak-kanak.

17) Concorde Hotel Shah Alam
Cef Eksekutif Concorde Hotel Shah Alam Cef Alham Ahmad Daldiri dan pasukan masakannya menawarkan rangkaian masakan tradisional Melayu yang menarik bermula 13 April 2021 sehingga 12 Mei 2021.

Manjakan diri anda di bulan suci Ramadan ini di Melting Pot Cafe untuk berbuka puasa bersama Juadah Iftar 2021 sebagai tema tahun ini.

Harga untuk seorang dewasa ialah RM120, manakala untuk kanak-kanak berumur 5-12 tahun pula diberikan diskaun sebanyak 50 peratus.

18) One World Hotel
Semarakkan bulan yang penuh kemuliaan ini bersama orang yang tersayang serta sahabat handai sambil menikmati sajian istimewa di Cinnamon Coffee House di One World Hotel; salah satu restoran bufet terbaik di Petaling Jaya yang wajib anda cuba!

Meriah Kembali menjadi tema yang menawarkan lebih 100 sajian enak setiap hari serta aneka pencuci mulut. Senarai harga adalah RM158 seorang untuk dewasa dan RM79 untuk kanak-kanak

19) Royale Chulan Damansara
Royale Chulan Damansara akan membawakan kepada anda Citarasa Nusantara Ramadan Buffet dengan lebih dari 150 hidangan asli.

Selain itu, solat tarawih akan diadakan pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad bersama Da’i Muhammad bagi para muslim yang berbuka puasa di Royal Chulan Damansara.

Senarai harga adalah RM118 seorang untuk dewasa, RM88 untuk warga emas, RM68 untuk kanak-kanak dan RM98 untuk petugas barisan hadapan.

Avenue-Garden-Hotel

20) Avenue Garden Hotel
Bufet ramadan di sini kembali menjamu anda dengan membawa tema Dari Dapur Cik Abang yang disediakan oleh pasukan cef yang pakar dalam masakan melayu asli.

Dapatkan harga serendah RM58 untuk dewasa dan RM48 untuk kanak-kanak jika membuat tempahan awal sebelum 16 April 2021.

21) Acappella Suite Hotel
Dapatkan tawaran hebat sempena ulang tahun keenam dengan membuat tempahan berbuka puasa di Acappella Suite Hotel bermula 16 April ini dengan hanya RM60 untuk dewasa dan RM42 untuk kanak-kanak.

22) Sama-Sama Hotel KL International Airport
Kepada yang tidak gemar dengan menu bufet, Sama-Sama Hotel KL International Airport menawarkan hidangan berbuka puasa secara ala-carte.

Park & Dine at Piazza membawakan kepada anda pelbagai set makanan yang disediakan oleh pasukan cef yang diketuai oleh Eksekutif Cef Ahmad Farhan Noorzali.

Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang Tourism Selangor di Selangor.Travel.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tourism Selangor anjur latihan, bantu agensi rancak sektor pelancongan

SHAH ALAM, 13 APRIL: Tourism Selangor menganjurkan Bengkel Latihan Pakej Pelancongan Domestik “Pusing Selangor Dulu” bagi memantapkan strategi pemasaran agensi pelancongan negeri ini.

Latihan itu memberi pengenalan serta meningkatkan pengetahuan produk pelancongan negeri kepada agensi yang berdaftar di bawah kerjasama Malaysian Inbound Tourism Association (Mita).

“Antara objektif termasuk membantu agensi dan pengusaha produk pelancongan mempromosi, menjalinkan kerjasama erat antara penggiat industri serta mewujudkan pakej pelancongan yang berpotensi dan berkualiti.

“Bengkel latihan selama satu hari dengan dua sesi ini dihadiri oleh 60 peserta,” katanya dalam kenyataan.

Selain Mita, Tourism Selangor turut menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak di peringkat pentadbiran serta pihak berkuasa tempatan dalam merancakkan sektor berkenaan.

Sebelum ini, EXCO pelancongan Hee Loy Sian berkata Kerajaan Negeri menggalakkan orang ramai melancong ke negeri ini menggunakan khidmat agensi pelancongan bertauliah.

Oleh itu, Tourism Selangor menetapkan sasaran penjualan sebanyak 8,000 pakej pelancongan domestik “Pusing Selangor Dulu” sehingga akhir 2021.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tourism Selangor sokong tiada cukai hiburan, bantu taman tema terjejas

SHAH ALAM, 8 FEB: Pengecualian duti hiburan bagi bayaran masuk ke taman tema mulai Mac hingga hujung tahun membantu pengusaha meneruskan operasi pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengurus besar Tourism Selangor berkata sejak pelaksanaan PKP, para pengusaha berdepan kemelut susulan perniagaan ditutup bagi mengekang penularan Covid-19 .

“Bila inisiatif ini diumumkan, mereka dapat tarik nafas lega dan beri sinar baharu untuk teruskan operasi. Kita harap pengusaha lakukan promosi untuk tarik pengunjung,” kata Azrul Shah Mohamad kepada SelangorKini.

Menurutnya, meskipun sektor itu kembali dibenarkan beroperasi, taman teman tetap berdepan masalah memandangkan terikat tatacara operasi piawai yang ketat terutama pengurangan bilangan pengunjung.

“Oleh itu Tourism Selangor akan menggiatkan pelbagai usaha termasuk kempen ‘Pusing Selangor Dulu’ dan pemberian baucar selain beberapa langkah lain seperti program jelajah dan acara pelancongan norma baharu,” katanya.

Selasa lalu, Dato Menteri Besar mengumumkan penguatkuasaan pengecualian itu bermula 18 Mac ini hingga 31 Disember melibatkan kesan kewangan berjumlah RM26.35 juta bagi meringankan beban pengusaha sektor berkenaan.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan cukai itu juga dikurangkan dari 25 kepada lima peratus selama lima tahun mulai 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2026 dengan impak RM21.04 juta setahun.

Categories
AGENSI SELANGOR

Tourism Selangor cadang 20 aktiviti menarik sepanjang PKP

SHAH ALAM, 16 JAN: Tourism Selangor berkongsi 20 aktiviti menarik boleh dilakukan ibu bapa dan anak-anak di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Agensi itu menerusi kenyataan juga menasihatkan orang awam supaya tidak khuatir dan panik sepanjang PKP ini.

Berikutan aktiviti dicadangkan:

1. Keluarkan permainan papan

2. Catat aktiviti harian dalam diari

3. Membuat kek atau biskut

4. Belajar menyediakan makanan awal yang dapat menjimatkan masa

5. Menontin filem di rumah. Setiap ahli keluarga boleh cadangkan tajuk setiap hari

6. Bersenam

7. Lakukan kiraan detik (countdown) bagi perkara produktif untuk hari mendatang

8. Bantu anak-anak melakukan kerja sekolah

9. Bermain teka-teki atau bina sesuatu dari lego (alat permainan bongkah plastik kecil)

10. Senaraikan destinasi pelancongan di Selangor yang ingin dilawati

11. Kemas rumah. Selongkar barangan tidak terpakai untuk diberi kepada bantuan kebajikan

12. Lakukan kerja rumah bersama ahli keluarga

13. Hias rumah

14. Berkelah atau berkhemah di laman rumah

15. Lakukan panggilan video bersama rakan-rakan atau saudara mara

16. Rancang percutian keluarga di Selangor

17. Lakukan aktiviti berkebun di rumah.

18. Cipta satu filem keluarga di rumah

19. Reka satu peta bagi tempat yang ingin dilawati setelah tamat tempoh PKP ini

20. Berkaraoke di rumah

Categories
AGENSI SELANGOR

Tourism Selangor edar 3,000 baucar untuk petugas barisan hadapan

SHAH ALAM, 10 JAN: Sebanyak 3,000 baucar pelancongan Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu! telah diagihkan kepada petugas barisan hadapan.

Tourism Selangor memaklumkan baucar bernilai RM200 setiap satu itu ditebus melalui aplikasi Lazada pada 8 Januari lalu.

“Agihan baucar ini sebagai tanda penghargaan kepada petugas barisan hadapan seperti doktor, jururawat, anggota polis dan tentera,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Tourism Selangor turut memaklumkan 2,000 baucar kepada orang awam turut habis ditebus melalui  platform dan pada tarikh sama.


“Program ini mendapat sambutan memberangsangkan di kalangan penduduk Selangor dan luar. Bagi mereka yang terlepas masih boleh memperoleh menerusi aplikasi Touch ‘n Go eWallet dengan 339,000 notifikasi dihantar kepada pengguna sah,” katanya.

Orang ramai yang menebus baucar pelancongan itu kemudiannya boleh membuat pembelian produk pelancongan menerusi Lazada.

Sebelum ini dilaporkan, bagi tujuan pemulihan industri pelancongan, Kerajaan Negeri melalui Pakej Rancangan Ekonomi Selangor Perihatin mengambil inisiatif dengan memperkenalkan subsidi baucar pelancongan dengan nilai terbitan sebanyak RM2 juta.

Pada masa sama, sebanyak RM2.9 juta pula diperuntuk bagi pelaksanaan program promosi dan acara pelancongan termasuk pelaksanaan Kempen ‘Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu’.

Categories
BERITA UTAMA EXCO PELANCONGAN SELANGOR

Utamakan bercuti di Selangor dahulu, banyak lokasi menarik

SHAH ALAM, 30 DIS: Penduduk di negeri ini yang berhasrat untuk melancong disarankan supaya mengutamakan bercuti dalam Selangor dahulu susulan peningkatan kes Covid-19, kata EXCO pelancongan.

Hee Loy Sian berkata banyak lokasi percutian menarik yang boleh dimanfaatkan tanpa perlu keluar dari Selangor walaupun tiada sekatan pergerakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kita akui bahawa ramai yang mahu melancong tetapi mereka diingatkan terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan seelok-eloknya tidak ke luar negeri kerana jangkitan Covid-19 masih tinggi.

“Justeru, mereka digalak pusing Selangor dahulu kerana kita memiliki tempat unik seperti Sky Mirror di Kuala Selangor sekali gus menyokong industri pelancongan negeri,” katanya selepas menyerahkan dana kepada badan agama Kristian di sini, semalam.

Beliau menambah sektor pelancongan mula menunjukkan perkembangan positif berikutan permintaan menginap di hotel semakin meningkat.

“Kita nampak tempahan (hotel) sudah penuh walaupun caj sedikit mahal namun ini petanda yang baik untuk mengukuhkan industri pelancongan meskipun masih terikat dengan PKPB,” katanya.

Pada 17 Disember lalu, Tourism Selangor melancarkan kempen ‘Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu! bagi menggalakkan rakyat melancong ke pelbagai destinasi menarik di negeri itu.

Kerajaan Negeri juga melaksanakan program penebusan subsidi baucar pelancongan bernilai RM200 setiap seorang sebagai insentif.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tourism Selangor lancar kempen Pusing Selangor Dulu

SHAH ALAM, 17 DIS: Tourism Selangor melancarkan kempen pelancongan domestik ‘Pusing Selangor Dulu’ untuk menggalak rakyat melancong ke negeri ini.

Kempen yang dirasmikan Dato’ Menteri Besar turut memperkenalkan aktres Che Puan Juliana Evans sebagai duta pelancongan Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya memfokuskan usaha menarik pengunjung domestik menerusi pelancongan eko, agro, sukan, taman tema dan beli-belah.

“Melalui keunikan jaringan sembilan daerah di Selangor, pelbagai pengalaman unik tersedia untuk pelancong,” katanya.

Beliau turut berkongsi enam segmen yang menarik di negeri ini iaitu:

  • Alam semulajadi – Sky Mirror Kuala Selangor, Institut Kajian Hutan Malaysia (FRIM), Taman Alam Kuala Selangor, Taman Eko Rimba Kanching dan Bukit Broga.
  • Sukan ekstrem – Rakit redah jeram dan luncur udara di Kuala Kubu Bharu dan Gua Damai Ektreme Park
  • Inap desa dan agro – Sungai Haji Dorani Homestay, Sungai Sireh Homestay, Selangor Fruit Valley dan Banghuris Homestay.
  • Warisan dan budaya – Program Royal Klang Town Heritage Walk dan Istana Bandar, Bukit Malawati dan Jugra.
  • Taman tema – Sunway Lagoon, Kidzania, Bangi Wonderland, Jumpstreet Asia, i-City dan District 21.
  • Membeli-belah – Mitsui Outlet Park, Sunway Piramid, GM Klang, One Utama, The Curve dan SACC Mall.
Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Rumah inap Selangor tawar pengalaman hidup luar bandar

OLEH TOURISM SELANGOR

Bercuti bersama keluarga di rumah inap Selangor merupakan pilihan terbaik. Pengalaman merangkumi aktiviti bermalam sebagai tetamu dan tinggal bersama keluarga angkat tempatan.

Rumah inap merupakan satu aktiviti pelancongan terbaik bagi memahami budaya, suasana kampung, kesenian dan cara hidup sesebuah masyarakat tersebut.

Berikut disenaraikan enam rumah inap berlesen dan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan yang boleh dikunjungi:

1. Rumah Inap Banghuris, Sepang

Terletak di Sepang dengan kapasiti 80 rumah dan 100 bilik serta pernah mendapat pengiktirafan Augerah Pelancongan Malaysia pada 2004 dalam kategori rumah inap terbaik.

Pelbagai aktiviti boleh dilakukan meliputi permainan gasing, menyumpit, membuat dan bermain wau, menu masakan rebung, lawatan ke kilang kerepek dan snek tradisional (cakar ayam), lawatan ke
ladang buah naga, kopi, kelapa sawit, ladang getah dan demonstrasi menoreh getah.

Harga mengikut pakej yang dipilih antara RM70 hingga RM300 seorang. Untuk maklumat lanjut, layari lcct.com.my atau hubungi 019-3919547.

2. Rumah Inap Sungai Haji Durani, Sabak Bernam

Tempat yang sangat sesuai untuk membawa keluarga anda bercuti dalam suasana kampung dikelilingi sawah padi. Pelbagai aktiviti disediakan antaranya permainan congkak, tarik upih pinang, bergelumang dalam lumpur, mewarna batik, melerai padi daripada tangkai, memancing dan menangkap ikan menggunakan tangan dalam sawah, bermandi di sungai, lawatan ke bengkel kuih tradisional dan kilang nata de coco.

Harga mengikut pakej yang dipilih antara RM65 hingga RM300 seorang. Untuk maklumat lanjut, layari doranihomestay.com atau hubungi 013-6077025.

3. Rumah Inap Kampung Sungai Sireh, Kuala Selangor

Rumah inap dikelilingi hutan hijau ini amat tenang dan damai untuk dikunjungi ditambah dengan lapangan tanaman sawah padi. Jika menginap di sini, anda akan disambut mesra tuan rumah dan masyarakat setempat serta dibawa melakukan aktiviti kampung.

Antaranya mewarna batik, menaiki traktor serta belajar penanaman padi tradisional, cara penebangan kayu dan tanaman herba, menangkap ikan keli dalam lumpur menggunakan tangan, berkayak, memancing dan meneroka hutan.

Harga mengikut pakej yang dipilih antara RM60 hingga RM200 seorang. Untuk maklumat lanjut, layari agrotourismhomestaysgsireh.blogspot.com atau hubungi 019-3467372.

 

4. Rumah Inap Papitusulem, Sabak Bernam

Terletak di Sekinchan, rumah inap ini membolehkan anda merasai kehidupan kampung dengan tinggal bersama keluarga angkat yang bekerja sebagai petani. Anda akan dibawa ke kawasan pertanian sawah padi, melawat kebun sayur dan tempat pemprosesan santan kelapa. Anda juga dipersembahkan dengan tarian kebudayaan kompang, seni silat, kuda kepang dan cempuling.

terdapat juga tempat rekreasi untuk berkayak, menaiki bot serta memancing di laut. Harga mengikut pakej yang dipilih antara RM20 hingga RM120 seorang. Untuk maklumat lanjut, layari papitusulemhomestay.yolasite.com atau hubungi 017-2712260.

5. Rumah Inap Anjung Damai Kampung Sungai Lang Tengah, Kuala Langat

Destinasi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara kerana suasana nyaman dan aktiviti kampung menyeronokkan. Rumah inap ini dilengkapi fasiliti seperti penghawa dingin, tempat letak kenderaan yang luas, bilik air moden serta berhampiran pasar raya dan restoran.

Aktiviti di sini adalah seperti menunggang ATV, lawatan ke ladang ternakan, menyusuri hutan paya bakau, dan banyak lagi. Harga antara RM60 hingga RM250 seorang. Untuk maklumat lanjut, layari @anjungdamaihomestay/facebook atau hubungi 013-2333768.

6. Rumah Inap Bougainvillea Kampung Sungai Kertas, Gombak

Menginap di sini sangat menarik kerana banyak aktiviti disediakan. Penduduk Kampung Sungai Kertas sentiasa mengamalkan aktiviti bergotong-royong dan meraikan warisan tradisi.

Aktiviti ditawarkan adalah seperti pakej perkahwinan Melayu dengan menampilkan persembahan kebudayaan, ruang tempat pengantin dan pakaian perkahwinan pengantin Melayu. Pengunjung juga berpeluang belajar memasak menu masakan tradisi seperti sambal tempe serta makanan masyarakat Mandailing iaitu Nasi Upa-Upa.

Harga mengikut pakej yang dipilih dalam lingkungan harga RM98 hingga RM380 seorang. Untuk maklumat lanjut, layari sungaikertas.blogspot.com atau hubungi 016-3920439.