Categories
BERITA UTAMA EXCO PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

10,000 baucar pelancongan negeri ditawar mulai 22 Oktober

SUBANG JAYA, 5 OKT: Sebanyak 10,000 Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 ditawarkan secara percuma kepada seluruh rakyat negara ini bermula 22 Oktober hingga 31 Disember.

EXCO pelancongan berkata baucar bernilai RM100 setiap satu boleh didapati di platform e-dagang Shopee dengan tempoh penggunaan dari 22 Oktober hingga 30 Jun tahun depan.

“Ia boleh digunakan untuk membeli pakej pelancongan negeri ditawarkan 28 agensi yang mengambil bahagian pada edisi kali ini.

“Saya berharap tawaran insentif berjumlah RM1 juta menjadi inisiatif signifikan ke arah membangunkan semula sektor ini di ambang pandemik yang semakin menghampiri fasa endemik,” kata Hee Loy Sian.

Beliau bercakap pada sidang media selepas menjalankan pemantauan pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) dan melancarkan baucar tersebut di Taman Tema Sunway Lagoon di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad dan Pengarah Eksekutif Taman Tema Sunway Calvin Ho.

Sebelum ini, Selangor memperuntukkan RM2 juta menerusi Baucar Pelancongan Negeri Selangor 1.0 yang diagih kepada umum pada Januari lalu melalui Lazada dan Touch ‘n Go e-wallet.

Pada 18 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri turut melancarkan program Penebusan Subsidi Baucar Pelancongan bernilai RM200 setiap satu.

Agihan membabitkan 10,000 baucar untuk menginap di hotel, taman tema dan inap desa berlesen.

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Dari Serendah ke Kalumpang, lima lokasi bermalam kaya alam semula jadi

OLEH TOURISM SELANGOR

SHAH ALAM, 5 OKT: Setelah beberapa bulan duduk di rumah, akhirnya Selangor melangkah ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara. Pastinya orang ramai gembira atas berita baik ini khususnya yang lengkap dos vaksin Covid-19.

Sejak kebelakangan ini, aktiviti bermalam menjadi trend bagi pelancong domestik khususnya pada cuti hujung minggu. Di samping bersantai bersama yang tersayang, anda juga boleh menghasilkan video di media sosial untuk menarik perhatian pengikut anda.

Selaras kempen Pusing Selangor Dulu!, Tourism Selangor berkongsi lima lokasi menarik untuk dikunjungi bagi menenangkan fikiran sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

1. Carpe Diem, Serendah

Carpe Diem terletak di Pekan Serendah merupakan sebuah penginapan berkonsepkan gaya hidup kampung. Carpe Diem adalah perkataan Latin yang membawa maksud “merebut hari”.

Lokasi ini membawa anda melangkah ke pesona percutian ala kampung yang juga bertepatan jika anda mencari tempat untuk menjalankan sesi latihan pasukan.

Carpe Diem juga dikelilingi oleh tanaman menghijau yang subur, menjadikannya tempat yang sesuai untuk mencari ketenangan dan bersantai.

2. Sri Damai Resort, Kalumpang


Sri Damai Resort menawarkan penginapan berkonsepkan alam sekitar, dilengkapi kolam renang dari air sungai untuk kanak-kanak serta kolam memancing bagi yang suka menangkap spesies langka seperti ikan kelah dan baung.

Bukan itu sahaja, pelbagai aktiviti riadah yang menyeronokkan ada ditawarkan di sini seperti
aktiviti berbasikal air dan memandu kenderaan ATV. Selain itu, terdapat ladang rusa, kambing serta buah-buahan tempatan yang boleh dikunjungi semasa anda menginap di sini.

3. Resort Taman Eko Rimba Komanwel, Rawang


Resort Taman Eko Rimba Komanwel terletak di Hutan Simpan Bukit Lagong di jalan menuju ke Pekan Rawang. Sudah namanya taman rimba, ia pilihan yang tepat untuk anda menikmati keindahan alam semula jadi dan menghirup udara segar.

Apa yang lebih menarik di sini adalah, anda boleh melakukan pelbagai aktiviti menyihatkan seperti
berkayak, merentas hutan, berbasikal dan banyak lagi sambil merakam detik kegembiraan bersama orang tersayang.

Ini adalah tempat yang tepat untuk menghabiskan masa hujung minggu anda dalam keindahan alam yang menghijau.

4. Rumah Hutan Bonda, Batang Kali

Hanya mengambil masa lebih kurang satu jam perjalanan dari Petaling Jaya, anda boleh kunjungi salah satu tarikan pelancongan di Hulu Selangor iaitu Rumah Hutan Bonda.

Ia menampilka konsep rumah Melayu asli yang pasti akan membuat anda terpegun melihatnya. Tempat penginapan ini turut dikelilingi keindahan hutan dan alam semula jadi.

Rumah Hutan Bonda juga mempunyai kawasan yang luas dan sesuai untuk beriadah bersama keluarga dan rakan-rakan.

5. PulaiThree, Kuala Kubu Bharu


PulaiThree merupakan lokasi percutian di pekan Kuala Kubu Bharu, di tengah kawasan hutan hujan dan kawasan bukit milik peribadi. Konsepnya direka dengan ruang terbuka menghadap alam sekitar namun masih menerapkan unsur kelestarian.

Vila yang dikelilingi keindahan alam dan suasana yang amat menenangkan ini menawarkan dua bilik tidur dengan pemandangan indah seperti gunung hijau zamrud di luar bandar.

Selain itu, tempat penginapan ini yang dilengkapi dengan kolam renang dan dapur lengkap dengan set barbeku sememangnya akan memberikan pengalaman yang tiada tandingan.

Tentunya, tempat penginapan yang tersenarai di atas bakal mengubati kerinduan anda kepada keindahan alam semulajadi, namun tidak mengetepikan faktor keselesaan.

Tidak dapat dinafikan lagi, Selangor sememangnya mempunyai banyak tempat penginapan yang menarik. Tempah masuk sahaja ke lokasi yang disenaraikan di atas jika berpeluang satu hari nanti.

Anda juga boleh layari laman sesawang www.selangor.travel untuk mendapatkan inspirasi dalam merancang perjalanan anda atau ikuti Instagram, Facebook, Twitter, TikTok dan YouTube Tourism Selangor untuk mengikuti sebarang kemas kini. #ImagineNowExperienceSoon.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Promosi guna aplikasi digital, rancak semula pelancongan negeri

SHAH ALAM, 2 OKT: Mulai 1 Oktober, Selangor memasuki fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) seterusnya mengecapi pelbagai kelonggaran tatacara operasi piawai termasuk rentas daerah.

Justeru, orang ramai berpeluang mengunjungi pelbagai destinasi menarik setelah sekian lama ‘terkurung’ akibat pandemik.

Sempena Hari Pelancongan Sedunia pada 27 September, wartawan Nadiah Zamlus dan Alang Bendahara menemu bual Pengurus Besar Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad bagi mengupas perancangan membangunkan semula industri pelancongan.

Apakah langkah Kerajaan Negeri dan Tourism Selangor bagi membantu penggiat industri pelancongan selepas berhadapan pandemik?

Kesan pandemik terhadap industri pelancongan amat teruk, khususnya di Selangor. Banyak pengendali pelancongan terpaksa menamatkan operasi dan banyak hotel ditutup.

Bagi memastikan industri pelancongan di Selangor kekal bernyawa, Tourism Selangor bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri menerusi Pelan Pemulihan Ekonomi negeri.

Pada 2020, Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor memperuntuk RM2.6 juta kepada industri pelancongan negeri. Pada 2021, sebanyak RM2.55 juta lagi disalur menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 iaitu:

  • Geran program insentif/aktiviti promosi pelancongan Selangor berjumlah RM1 juta
  • Baucar Pelancongan Selangor 2.0 berjumlah RM1 juta
  • Program Latihan Digitalisasi Pelancongan Selangor berjumlah RM300,000
  • Insentif sekali bayar kepada 17 persatuan penggiat pelancongan negeri sebanyak RM255,000

Apakah langkah untuk mempergiat kegiatan pelancongan selepas pandemik?

Sebagai langkah mempergiatkan aktiviti industri pelancongan, kempen Tourism Selangor sempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2021 dijalankan bermula 20 September hingga 8 Oktober menerusi platform digital dan laman media sosial rasmi Tourism Selangor.

Antara strategi kempen ialah sesi Live-Talk Edisi WTD 2021, webinar bersama penggiat industri pelancongan, siri ‘Virtual Tour’ ke tempat pelancongan Selangor serta penganjuran Focus Tourism Talk (pelancongan perubatan), Program CSR dan Sesi Tiktok Live.

Bagi meneruskan momentum positif demi merancakkan kembali industri pelancongan negeri pasca pandemik, kami anjurkan Konvensyen Global Pelancongan Selangor (Tourism Selangor Global Convention).

Konvensyen ini akan diadakan pada 29 dan 30 November depan. Ia merangkumi Malam Anugerah Pelancongan (MTC Golf Award 2021). Konvensyen ini akan disusuli dengan Pameran Jualan Pelancongan mulai 3 hingga 5 Disember.

Kempen Pusing Selangor Dulu! yang memfokuskan pasaran pelancongan domestik sejak Disember 2020 diteruskan. Kita melantik selebriti tempatan Che Puan Juliana Evans sebagai duta kempen. Setakat ini, kempen menerima sambutan menggalakkan terutama platform digital dengan lebih 20 juta capaian sejak pelancaran kempen.

Bagi pasaran antarabangsa, Tourism Selangor menganjurkan kempen ‘Splendid Selangor, Take Me Anywhere!’ Kempen digerakkan menerusi pelbagai atas talian seperti sesi webinar di lokasi luar negara, walaupun pelancongan antarabangsa masih belum dibenarkan.

Duta Kempen, Che Puan Juliana Evans bersama gegantung promosi kempen ‘Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!’ di Bilik Mesyuarat MTES, Bangunan Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah pada 17 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI


Bagaimana kelonggaran rentas daerah membantu menghidupkan semula kegiatan pelancongan?

Industri pelancongan negeri sudah bergerak mengikut tatacara operasi piawai (SOP) fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN). Perkembangan positif ini membolehkan penduduk Lembah Klang merentas daerah meneroka tempat pelancongan sekitar negeri.

Sehubungan itu, industri ini mampu pulih secara berperingkat kepada keadaan sebelum pandemik. Selain itu, bilangan rakyat Malaysia dewasa menerima dua dos vaksin Covid-19 yang ramai juga membantu pemulihan sektor pelancongan negeri.

Apakah aktiviti pelancongan yang menarik minat orang ramai di Selangor?

Juadah tradisi dan antarabangsa mudah didapati di Selangor. Justeru, ramai yang gemar melakukan aktiviti ‘food hunting’ mendapatkan juadah berkenaan. Kafe hipster dengan dekorasi serta pembentangan hidangan menarik juga menjadi lokasi tumpuan pempengaruh media sosial.

Untuk penginapan, Selangor ada pelbagai hotel bertaraf empat dan lima bintang. Hotel-hotel ini menawarkan pakej penginapan dengan potongan harga menarik pada masa ini. Penginapan berkonsep ‘glamping’ di sini buat pelancong yang ingin dekat alam semula jadi dalam keselesaan juga menarik minat orang ramai.

Bagi pelancongan-agro, Sekinchan di Sabak Bernam merupakan lokasi yang diminati ramai terutama yang gemar berkongsi foto di media sosial. Kawasan sawah padi menjadi latar unik dan menarik untuk sesi fotografi. Sekinchan ada elemen tradisi pemandangan yang sesuai untuk pempengaruh. Di sini juga ada penyedia perkhidmatan mengambil gambar di tepi sawah padi yang menjadi pilihan selebriti Malaysia.

Bagi penggemar keindahan alam sekitar atau sukan lasak, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor destinasi popular. Sky Mirror, Kuala Selangor pula destinasi eko-pelancongan unik iaitu benteng pasir di tengah lautan di sini memantulkan keindahan langit dengan jelas. Ia hanya muncul pada sesetengah tarikh dalam bulan lunar dan sesuai untuk sesi fotografi terutama jika berpakaian berwarna-warni.

Sky Mirror di Kuala Selangor antara tarikan pelancong tempatan dan luar negara. Foto Sky Mirror Tour & Travel Sdn Bhd

Apakah strategi mempopularkan destinasi menarik menggunakan aplikasi digital?

Penggunaan aplikasi mobil amat meluas pada tahun 2015. Ketika itu Tourism Selangor menyokong dan menyediakan tenaga pakar untuk aplikasi Discover Selangor. Bagaimanapun, aplikasi itu tidak lagi aktif di pasaran. Tourism Selangor mengalihkan fokus kepada hanya satu platform digital aktif iaitu laman web rasmi; Selangor.Travel.

Ketika ini, Selangor.Travel adalah saluran digital utama yang mempromosi inisiatif Tourism Selangor selain platform media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, LinkedIn, TikTok dan YouTube.
Selangor.Travel juga boleh dicapai menerusi versi mobil yang lebih ringan dan mesra gajet. Pengguna memperoleh maklumat lengkap industri pelancongan negeri di hujung jari sahaja.

Apakah harapan untuk industri pelancongan dalam Belanjawan Selangor 2022?

Kerajaan Negeri senantiasa memikirkan pemain-pemain industri pelancongan negeri. Bagaimanapun, tahun demi tahun, pandemik Covid-19 menjadi kebimbangan utama dan Tourism Selangor mahu melihat lebih banyak peruntukan disalur memandangkan usaha membangunkan semula industri pelancongan negeri bukan mudah.

Selain meraih semula kepercayaan ramai untuk melancong, infrastruktur pelancongan perlu diberi perhatian selain memupuk kreativiti dalam idea-idea pelancongan negeri. Ini akan menghidupkan industri dan pastinya ia perlu dilengkapi dengan layanan serta perkhidmatan berkualiti.

Pengunjung beriadah di kolam terbesar Taman Tema Sunway Lagoon ketika tinjauan pada 4 Julai 2020. Foto BERNAMA

Apakah pesanan kepada orang ramai yang ingin melancong ketika pandemik Covid-19 masih belum reda?

Pelancong perlu patuh garis panduan dan SOP kendiri termasuk menjaga jarak sosial di tempat umum. Elak pergi ke kawasan sesak. Perlu rancang ke tempat pelancongan yang kurang sesak jika ada pilihan. Dalam pada orang awam meneruskan aktiviti pelancongan, jangan lupa untuk menyokong peniaga tempatan atau pengusaha Industri Kecil Sederhana (IKS) di sekitar kawasan yang dituju bagi membangunkan ekonomi setempat.

Orang awam juga boleh membantu menguar-uar di media sosial mereka tentang kepentingan pematuhan garis panduan atau SOP ketika melancong, memuat naik gambar pengalaman percutian ke media sosial atau mengongsikan bahan promosi digital Tourism Selangor kepada rakan, keluarga dan juga kumpulan aplikasi mesej pilihan mereka.

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Kempen Pusing Selangor Dulu, destinasi pelancongan kelas dunia

SHAH ALAM, 29 SEPT : Tourism Selangor dan Tourism Malaysia Bahagian Domestik bekerjasama secara dalam talian bagi mempromosi produk pelancongan kepada penggiat industri setempat.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamed berkata promosi menerusi siri webinar “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!” itu bermula sejak Jun lalu sehingga semalam.

Menurutnya inisiatif antara usaha mempromosi pelancongan domestik Selangor seiring dengan budaya norma baharu iaitu menjelajah secara maya ke Malaysia Timur dalam masa terdekat.

“Sesi webinar hari ini bertepatan dengan sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2021 yang mana kita turut melancarkan kempen menerusi media sosial rasmi bertujuan menampilkan Selangor sebagai destinasi pelancongan berkelas dunia.

“Penting untuk mengekalkan hubungan baik antara Tourism Selangor dan Tourism Malaysia Domestik bagi membangunkan semula industri yang sangat terkesan dengan pandemik global yang semakin hampir ke fasa endemik ini,” katanya menerusi kenyataan.

Azrul Shah berkata sesi webinar itu sedang giat dijalankan di semua landasan digital Tourism Selangor iaitu laman sesawang www.selangor.travel, Facebook, Instagram, Twitter, Youtube dan TikTok.

Pada masa sama, beliau menggalakkan orang awam berkongsi pengalaman menarik masing-masing dalam menerokai tempat pelancongan Selangor dengan memuat turun gambar dan video di media sosial beserta tanda pagar #PusingSelangorDulu.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Promosi hidangan enak daerah, Tourism Selangor dan MBI bantu pengusaha

SHAH ALAM, 26 SEPT: Tourism Selangor bekerjasama dengan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI mempromosi pelancongan makanan bagi membantu pengusaha makanan dan minuman (F&B) di negeri ini.

Pengurus komunikasi korporatnya Ahmad Nazri Tashriq Rahmat berkata promosi menerusi Platform Selangor (PLATS) menampilkan hidangan enak di setiap daerah untuk menarik pengunjung melawat dan berbelanja.

Menurutnya, segmen pelancongan makanan mempunyai potensi besar dan mampu memberi pulangan lumayan kerana mempunyai pengikut sendiri.

“Contohnya kita boleh promosi hidangan di Kuala Selangor seperti nasi ambeng, selain itu buat jejak makanan bermula dari sarapan hingga makan malam.

“Promosi ini kita lakukan dengan MBI melalui PLATS, akhir November depan Tourism Selangor bakal memperkenalkan pula direktori pelancongan makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara Media Selangor bertajuk ‘Apa khabar pelancongan Selangor’ pada Jumaat lalu.

Sementara itu, Ahmad Nazri berkata 10,000 Baucar Pelancongan Negeri Selangor bernilai RM100 boleh ditebus menerusi platform e-dagang sedang dibangunkan pihaknya.

Jelasnya, kaedah penebusan dan pakej ditawarkan akan diumumkan dalam satu sidang media pertengahan Oktober ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

20 pemenang pertandingan pelancongan Selangor bawa pulang geran projek

SHAH ALAM, 25 SEPT: Seramai 20 pemenang pertandingan pitching pelan pemulihan sektor pelancongan negeri anjuran Tourism Selangor berjaya membawa pulang geran projek bernilai keseluruhan RM150,000.

Pengurus Besarnya Azrul Shah Mohamad berkata 10 pemenang utama meraih geran projek sebanyak RM10,000 manakala 10 pemenang berikutnya menerima geran sama berjumlah RM5,000.

Menurutnya, kesemua mereka turut berpeluang membentangkan hasil projek di Konvensyen Antarabangsa Tourism Selangor 2021 yang dijadual pada 29 dan 30 November ini tertakluk tatacara operasi piawai (SOP) semasa.

“Pertandingan ini dianjurkan bagi menyemarakkan semula sektor pelancongan domestik Selangor di samping menjadi landasan untuk perkongsian pengalaman dan perbincangan ke arah usaha pemulihan sektor ini.

“Saya berbesar hati dan bersedia membuka ruang kepada penggiat industri negeri serta orang awam yang mempunyai idea bernas untuk dikongsikan bagi melestarikan sektor pelancongan negeri,” katanya ketika mengumumkan senarai pemenang secara maya semalam.

Pertandingan berlangsung dari 14 Jun hingga 31 Julai menghimpunkan 101 kertas kerja dengan 34 daripadanya masing-masing kategori kreatif dan inovasi pelancongan serta kelangsungan pelancongan, manakala baki menumpukan digitalisasi pelancongan.

Daripada jumlah tersebut, 40 dihasilkan universiti tempatan, syarikat swasta (35), syarikat sektor pelancongan (16) dan selebihnya badan bukan kerajaan (NGO) serta pihak berkuasa tempatan.

 

Pemenang geran RM10,000

1. Egg Cracking Team – 2021 Egg Cracking Project – Restart
2. FLA Plasma – Kreatif&Inovasi Pelancongan Sukan Memanah Tradisional&Berkuda
3. Hikers Traning & Consultant – Kayak Di Bagan Lalang Sepang
4. Kelab Seni Kelajuan Malaysia – AOSCC Kustom Hotwheels 2021
5. KOSAS Travel – Transformasi Komuniti Pelancongan Sungai Besar
6. Persatuan Benih Hijau – Smile(Sky Mirror Is Life Education)
7. SELCHA – Pengurusan Risiko Bencana dalam Pengurusan Pelancongan Setempat
8. Sunflower Holidays – Sovikraf Selangor
9. SustainableX – Kajang on Board – A Family Vacation Board Game Project
10.Youth of Balakong – Pelancongan Perindustrian Balakong

 

Pemenang geran RM5,000

1. Asian Overland Services Tours – Enhancing Sustainable Practices of Selangor Homestay Operators and Delivering a Truly Kampung Experience: In collaboration with Kg Sungei Sireh Homestay
2. Cycledios – Revive Selangor Dosmetic’s Tourism with “Digitalization Tourism”
3. Da Men Mall – Wonders of Kampung Food
4. Discover Kuala Langat – Resposible Tourism Post Covid-19 Peranan Ilmu Dalam Penghayatan Kelestarian Hutan Bakau (dari sampah jadi khazanah/from trash to treasure)
5. Explorers of Selangor Tourism – Creativity&Innovative Sustainable Tourism
6. Hunt Without Boundaries – Explore Selangor Virtually
7. Let’s Bike- Savour Slow Pace Stay Longer Spend Local -Cycling as a Driver for Substainable Tourism
8. Photo Creator Magazine – Go Green Photography Exhibition
9. The GM Clan 2 – Datang Klang, Pasti Girang!
10.U2 Travel Group – “Hidden Jewels of Malaysia” Moving Towards Sustainable Tourism

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Geran bantuan industri pelancongan boleh dipohon mulai hari ini

SHAH ALAM, 23 SEPT: Permohonan geran bantuan kewangan kepada penggiat industri pelancongan dibuka mulai hari ini hingga 31 Disember depan.

Pengurus besar Tourism Selangor berkata inisiatif ditawarkan untuk program Familiarization Trip, misi jualan, pameran pelancongan dan acara MICE (mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran).

“Ini sebagai langkah mempromosi dan menggalakkan industri pelancongan Selangor di ambang pandemik Covid-19 yang semakin menghampiri ke fasa endemik.

“Bantuan ini melalui kaedah pengembalian kewangan. Hanya satu permohonan untuk setiap penganjuran dengan kelayakan maksimum berjumlah RM20,000,” kata Azrul Shah Mohamad menerusi kenyataan.

Menurutnya, pihak yang mendapat kelulusan perlu menyelesaikan program dalam tempoh 1 Oktober ini sehingga 30 Jun tahun hadapan.

“Inisiatif dijangka menarik minat persatuan dan agensi pelancongan, pengusaha inap desa serta persatuan komuniti atau Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang berdaftar,” katanya.

Pihak yang berminat boleh menyemak syarat kelayakan di http://www.selangor.travel atau e-mail ke [email protected].

Pada 9 Jun lalu ketika mengumumkan Pakej Kita Selangor 2.0, Dato’ Menteri Besar memaklumkan bantuan kepada sektor pelancongan negeri membabitkan peruntukan berjumlah RM2.55 juta.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari dana melibatkan pemberian geran bantuan, baucar Pelancongan Selangor 2.0, program latihan pembelajaran digital serta bantuan kewangan sekali bayar (one-off) kepada persatuan pelancongan negeri.

 

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Tujuh pusat seni negeri peluang serlahkan bakat terpendam

OLEH TOURISM SELANGOR

SHAH ALAM, 13 SEPT: Kurang empat bulan berbaki sehingga kita memasuki tahun 2022, tetapi masih belum terlambat untuk anda mencuba hobi baharu yang mampu mengasah bakat terpendam anda.

Untuk kali ini, Tourism Selangor akan berkongsi tujuh lokasi di sekitar Selangor untuk mencuba hobi baharu yang penuh keunikan tersendiri. Ini masa untuk serlah dan ekspresikan diri anda melalui hasil seni dan kraftangan.

1. Sewing World Gallery, Subang Jaya

Terletak di One City, Subang Jaya, Sewing World Gallery telah mula ditubuhkan sejak tahun 1989. Organisasi ini telah mengendalikan banyak bengkel menjahit sejak mula beroperasi untuk memastikan tradisi dan seni menjahit ini diturunkan ke generasi baharu.

Ia juga menyediakan landasan untuk artis yang mempunyai kemahiran untuk menjual hasil seni mereka di sini. “Tunku Azizah Handmade Market” yang dimulakan pada tahun 2010 adalah salah satu saluran untuk pelajar organisasi ini menjual hasil seni jahitan mereka ke pelbagai tempat dari pasar malam ke bazar dan pusat beli-belah.

Organisasi yang telah memperoleh pelbagai anugerah dari 2009 ini juga menawarkan bengkel kraftangan dan pembelian produk buatan tangan secara atas talian melalui laman sesawang rasmi mereka.

Untuk maklumat lanjut, layari: https://sewingworld.com.my/ atau hubungi 03-5022 3023.

2. The Artsy Craftsy, Shah Alam

The Artsy and Craftsy adalah sebuah organisasi seni yang terletak di Bukit Jelutong, Shah Alam. Mula beroperasi pada 2008, organisasi ini membantu anda untuk menerokai bakat seni yang terpendam dalam diri anda dan membantu anda menjadi kreatif melalui pembuatan seni dan kraf.

Organisasi ini juga menyediakan bengkel seni dan kraf seperti mengecat kanvas dan tote-bag, binaan tanah liat kering, seni lukisan coretan (doodle) dan banyak lagi.

Organisasi ini mengendalikan bengkel mereka di studio yang dihias dengan suasana tenang dan selesa bagi mengekalkan inspirasi buat pengkarya.

Untuk maklumat lanjut, layari: http://www.theartsycraftsy.com/

3. Clay Expression, Subang Jaya

Seperti namanya, Clay Expression adalah sebuah organisasi yang menawarkan bengkel seni tanah liat. Organisasi ini mengendalikan bengkel-bengkel untuk seni tanah liat yang kemudian dibentukkan menjadi tembikar atau pottery yang cantik mengikut kreativiti anda.

Selain daripada mengendalikan bengkel, organisasi ini juga menawarkan kelas-kelas untuk seni tanah liat. Kelas-kelas terdiri daripada kelas untuk pelajar baharu (beginner), sedia-ada (intermediate) dan mahir (advanced).

Clay Expression terletak di Subang Jaya ini juga ada menawarkan bengkel secara peribadi berkumpulan dengan minimum enam peserta dalam sesi sejam, jika anda mahukan sesi pembelajaran yang lebih bertumpu.

Untuk maklumat lanjut, layari: https://clayexpression.com/ atau hubungi +6018 299 9054

4. Sew Fabby, Shah Alam

Pemilik Sew Fabby yang dikenali sebagai Puan Azzah, mula menjahit dari usia kecil hasil didikan dari ibunya. Kemudian, beliau menyambung hobi ini pada tahun 2008 dengan mula menjahit beg tote (tote-bag) untuk kenalan dan rakan-rakan rapat.

Mendapat sambutan hangat, Puan Azzah mula mengambil pesanan jahitan di laman Facebook. Sew Fabby telah berjaya menganjurkan bengkel pertama pada tahun 2012 bertempat di Art 2 Publika.

Kini, organisasi ini aktif menjual hasil-hasil jahitan termasuk patung plushie, tuala bersulam, bekas pensil bersulam, key chain yang dihasilkan dengan idea sendiri dan macam-macam lagi.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 016-395 9386.

5. Fabu Cafe, Subang

Fabu Cafe yang terletak di Bandar Sunway adalah terdiri daripada komuniti sekumpulan peminat teknologi dan peminat kraf yang bersemangat dalam berkarya.

Fabu Cafe juga menyediakan ruang komuniti dan pelbagai alat fabrikasi digital seperti laser, pencetak 3-dimensi dan mesin sulaman digital untuk pengguna dan pengkarya mendapatkan pengalaman karya seni yang terbaik.

Selaras dengan namanya, Fabu Cafe juga menarik perhatian pelanggan dengan menawarkan menu lempeng bercetak di mana lempeng dihasilkan mengikut bentuk dan hasil seni pelanggan. Fabu Cafe juga menawarkan khidmat bengkel untuk memupuk semangat senibina dan kesenian dalam kalangan pelajar.

Untuk maklumat lanjut, sila layari: http://www.fabu.com.my/ atau hubungi 03-5611 7355.

6. Laman Kraftani, Kuala Langat

Puan Esiah dari Laman Kraftani, Kuala Langat telah menghasilkan seni bunga tekap sejak tahun 1999 lagi, yang telah berjaya menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa.

Penggunaan bunga dalam hasil seni Puan Esiah semuanya ditanam di rumah kampungnya yang penuh dengan bunga hijau yang subur dan pokok buah-buahan. Puan Esiah juga telah banyak sertai pameran seni dibawah tajaan Agensi Persekutuan.

Para pengunjung boleh singgah ke Laman Kraf Tani ini yang terletak di Kampung Sungai Lang Tengah, Kuala Langat dan belajar beberapa teknik untuk menghasilkan seni bunga tekap yang menarik.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 03-3181 7052.

7. Ramadas Pottery, Kuala Selangor

Ramadas Pottery di Kuala Selangor ada salah satu lokasi unik yang tersembunyi di Kuala Selangor. Ramadas Pottery yang dimilliki oleh keluarga Ramadas mula aktif dalam industri ini pada tahun 1976.
Tuan Ramadas yang lahir pada 1951 telah berjaya memperoleh anugerah Adiguru Kraf Tembikar pada tahun 2012 kerana kemahiran dan pencapaian beliau dalam seni kraf tembikar.

Produk-produk tembikar dari Tuan Ramadas Pottery termasuk periuk, pembakar kemenyan, periuk tanah liat, hiasan untuk rumah dan macam-macam lagi.

Anda boleh lawati Ramadas Pottery untuk belajar cara membentuk tembikar menggunakan tanah liat asli menggunakan tangan dan mesin khusus untuk pembentukan tembikar.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 0126671373.

Melalui karya seni, anda tentunya boleh ekspresikan diri anda. Kelas atau bengkel dengan suasana yang tenang dan santai juga mampu memberikan fokus bagi anda menghasilkan karya seni yang bermutu tinggi.

Untuk terus membendung penularan wabak Covid-19, anda sentiasa diingatkan untuk terus ikuti tatacara oeprasi piawai (SOP) yang telah ditentukan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) di mana sahaja anda pergi.

Pastikan anda mengikuti peraturan termasuklah seperti memakai topeng muka setiap masa, memastikan penjarakan sosial dan menggunakan cecair pembersih tangan.

Layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor, www.selangor.travel untuk terus mendapatkan inspirasi dalam merancang perjalanan anda ke Selangor pada masa hadapan atau mengikuti hantaran di Instagram, Facebook, Twitter, TikTok dan saluran YouTube untuk kekal berinspirasi! #ImagineNowExperienceSoon.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

17 persatuan dapat RM255,000 rancak semula pelancongan negeri

SHAH ALAM, 9 SEPT: Kerajaan Negeri memperuntuk sebanyak RM255,000 bantuan secara sekali bayar (one-off) kepada 17 persatuan pelancongan di Selangor.

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata bantuan tersebut dengan setiap persatuan menerima RM15,000 adalah bagi merancakkan semula industri pelancongan di Selangor.

“Diharapkan insentif ini akan membantu dan memberi peluang kepada persatuan pelancongan untuk terus memberikan sokongan kepada ahli-ahli mereka,” katanya.

Loy Sian berkata demikian pada majlis penyerahaan bantuan kepada 17 persatuan itu yang diadakan secara maya menerusi Facebook Tourism Selangor hari ini.

Katanya, bantuan itu diharap dapat menjamin kelangsungan industri pelancongan negeri seterusnya menyokong Kempen Pusing Selangor Dulu yang sedang giat dijalankan Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor.

Pada 9 Jun, Kerajaan Negeri menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 mengumumkan peruntukan berjumlah RM2.55 juta bagi industri pelancongan.

Ia merangkumi RM1 juta bagi geran bantuan kewangan, RM1 juta bagi baucar pelancongan, RM300,000 untuk latihan pembelajaran pendigitalan dan RM255,000 bantuan ‘one-off’ kepada 17 persatuan pelancongan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tourism Selangor guna Tik Tok promosi destinasi pelancongan negeri

SHAH ALAM, 6 SEPT: Aplikasi Tik Tok menjadi pilihan Tourism Selangor sebagai medium bagi mempromosi lokasi pelancongan menarik negeri ini.

Pengurus komunikasi korporatnya Ahmad Nazri Tashriq Rahmat berkata kaedah penggunaan Tik Tok yang lebih berkesan dan cepat mampu merancakkan sektor pelancongan di Selangor untuk jangka masa pendek.

“Promosi yang dilakukan melengkapi semua aspek iaitu pelancongan, penginapan dan makanan sebagai tarikan kepada pengunjung di sesebuah lokasi itu.

“Setakat ini kita menerima banyak pertanyaan  daripada orang ramai bertanyakan tempat-tempat pelancongan menarik di Selangor sejak seminggu lalu terutama lokasi perkelahan,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu katanya berhubung pemberian baucar pelancongan Selangor 2.0 bernilai RM50, inisiatif itu bergantung kepada perkembangan Pelan Pemulihan Negara.

“Pada tahun lalu baucar RM200 hanya boleh memanfaat 10,000 individu sahaja namun untuk kali ini baucar RM50 diberikan yang boleh memanfaatkan seramai 20,000 individu,” katanya.

Pada 16 Julai Kerajaan Negeri menawarkan 20,000 baucar pelancongan Selangor 2.0 yang dijangka boleh ditebus seawal Oktober sekiranya kes Covid-19 menunjukkan pemulihan.

EXCO pelancongan Hee Loy Sian berkata pihaknya sedang memantau perkembangan semasa penularan wabak serta peralihan negeri ini ke fasa seterusnya dalam pelan pemulihan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tourism Selangor promosi e-sukan dalam sektor pelancongan

SHAH ALAM, 2 SEPT: Tourism Selangor menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan e-Sukan Selangor bagi mempromosi bidang itu dalam sektor pelancongan.

Pengurus Besarnya Azrul Shah Mohamad berkata kerjasama itu adalah pemangkin untuk menjadikan Selangor sebagai negeri e-sukan pertama di Malaysia sekali gus mempromosi sektor pelancongan.

“Banyak permintaan daripada masyarakat terhadap e-sukan sejak kebelakangan ini. Kita melihat Selangor berpotensi meningkatkan sektor pelancongan terutama apabila wujudnya Arena E-Sukan Kebangsaan Selangor,” katanya dalam kenyataan.

MoU diadakan secara maya menerusi Facebook rasmi Tourism Selangor pada Isnin yang ditandatangani Azrul Shah dan Presiden Persatuan e-Sukan Selangor Abdul Razak Mohd Yusof.

Sementara itu, Abdul Razak berkata MoU julung kali itu sebagai tanda rasmi e-sukan dimasukkan ke dalam sektor pelancongan.

“Dengan munculnya arena e-Sukan Kebangsaan Selangor iaitu hab e-sukan terbesar di Asia Tenggara itu sudah pasti akan menyumbang kepada industri pelancongan di negeri ini sekiranya ada kejohanan negara dan antarabangsa pada masa akan datang,” katanya.

Sebelum ini, EXCO Pembangunan Generasi Belia dan Sukan Mohd Khairuddin Othman mengumumkan Selangor bakal menjadi bandar e-sukan dan dijangka siap pada penghujung tahun ini.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Harungi cabaran perkasa semula pelancongan negeri pascawabak

SHAH ALAM, 15 JULAI: Tourism Selangor diharap kekal berusaha mengharungi cabaran untuk memperkasa semula sektor pelancongan negeri pascawabak Covid-19.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengakui pandemik yang melanda negara sejak lebih setahun memberi kesan sangat parah terhadap industri terbabit.

“Selangor mempunyai pelan serta perancangan komprehensif sebagaimana terkandung dalam Pakej Kita Selangor 1.0 dan 2.0 dengan peruntukan sejumlah bantuan bagi menarik pelancong ke negeri ini.

“Semoga kita terus kekal berusaha mendepani cabaran untuk kembali menjadikan Selangor sebagai destinasi pelancongan terkemuka dan terbaik di Malaysia mahupun peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena sambutan ulang tahun ke-20 penubuhan badan induk pelancongan negeri itu secara maya dalam sesi ‘Tourism Selangor’s Live Talk-Episod 2’ semalam.

Amirudin berkata Selangor berjaya menarik lebih 30 juta pelancong pada 2019 sekali gus memberi kesan ekonomi dan menyumbang kepada pertumbuhan sektor pelancongan negeri.

Katanya, kejayaan itu didorong kerja keras pemain industri dengan meneroka kawasan pelancongan baharu selain mempromosi tempat menarik yang memiliki kepelbagaian budaya dan kualiti.

Pada 9 Jun, Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan RM2.55 juta bagi kelangsungan industri pelancongan menerusi Pakej Kita Selangor 2.0.

Inisiatif dilaksana meliputi bantuan geran berjumlah RM1 juta, baucar pelancongan, program latihan pembelajaran pendigitalan pelancongan dan bantuan kewangan tunai kepada 16 persatuan pelancongan.