Categories
AGENDA NASIONAL

Pakar: Buat ujian kendiri sebelum, selepas balik bercuti

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Keterujaan orang ramai untuk pulang ke kampung dan bercuti sempena perayaan Tahun Baharu Cina ini, tidak sepatutnya membuatkan mereka alpa tentang kepentingan memastikan tahap kesihatan mereka, ketika negara masih berhadapan pandemik Covid-19.

Malah Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Epidemiologi Datuk Dr Zainal Ariffin Omar mengingatkan orang ramai supaya bersikap jujur, dengan melakukan ujian kendiri sekiranya mengalami gejala Covid-19 sebelum memulakan sebarang perjalanan.

Beliau juga menyarankan agar mereka yang tidak bergejala turut juga berbuat demikian, mengambil kira situasi Covid-19 yang masih menular termasuk gelombang varian Omicron.

“Sekarang ini walaupun kes Covid-19 meningkat tetapi kebanyakannya dalam kategori satu dan dua… apa pun yang penting sebelum balik kampung atau hendak bercuti ke mana-mana, pastikan anda lengkapkan vaksinasi termasuk dos penggalak, pemakaian pelitup muka dan amalkan penjarakan fizikal.

“Selain itu, ujian kendiri juga boleh dilakukan sebelum bergerak ke sesuatu destinasi dan selepas pulang dari tempat berkenaan, terutamanya kawasan berisiko tinggi,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Tambahnya, adalah lebih baik sekiranya mereka yang bergejala dapat duduk di rumah dan tidak ke mana-mana bagi mengurangkan risiko.

Berkongsi pandangan sama, pakar kesihatan awam (epidemiologi dan biostatistik) dari Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Malina Osman berkata mereka yang akan menerima tetamu juga wajar melakukan ujian kendiri.

“Mereka yang ingin ziarah mak ayah disarankan juga untuk memastikan ibu bapa mereka telah mengambil dos penggalak… ambil juga peluang pembukaan pusat pemberian vaksin secara jumpa terus untuk mendapatkan dos penggalak.

“Selain itu, elakkan aktiviti berkumpul dalam jumlah yang sangat ramai, kerana kita perlu akui kes baharu dalam pola meningkat ketika ini dan ini bukan sahaja dialami negara kita bahkan negara lain,” katanya.

Katanya orang ramai masih perlu berhati-hati dan langkah pencegahan awal adalah lebih baik, bagi mengelakkan ledakan kes baharu Covid-19.

Kes baharu Covid-19 dalam negara terus meningkat untuk empat hari berturut-turut dengan 5,522 kes dilaporkan hari ini.

Rabu lepas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata gelombang penularan varian Omicron sudah bermula di negara ini dan dijangka menyebabkan jumlah kes Covid-19 meningkat.

Beliau bagaimanapun berkata, ketika ini gelombang jangkitan virus itu terkawal kerana kadar vaksinasi di negara ini adalah tinggi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Murid sekolah rendah dibenar buat ujian kendiri di rumah

KUALA LUMPUR, 11 JAN: Murid sekolah rendah akan dibenarkan melakukan ujian saringan kendiri Covid-19 di rumah bermula minggu ini, menurut Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata berdasarkan perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM), para murid yang dipilih kemudiannya perlu mengemukakan hasil ujian saringan berkenaan kepada pihak sekolah.

“Kit ujian akan disediakan oleh pihak sekolah. Pendekatan baharu ini akan mula dilaksanakan pada minggu ini dan Kementerian Pendidikan (KPM) akan keluarkan kenyataan media untuk menjelaskan perkara itu,” katanya menerusi video yang dimuat naik di akaun Facebooknya hari ini.

Beliau berkata berdasarkan Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan yang dikeluarkan KKM sebelum ini, 10 peratus murid sekolah rendah dipilih secara rawak setiap minggu untuk menjalani ujian kendiri Covid-19 yang dilaksanakan di sekolah mulai 1 Dis tahun lepas.

Pelaksanaan ujian kendiri itu hanya melibatkan penggunaan kit ujian air liur yang dibekalkan oleh KPM dan dibuat dengan pemantauan guru.

Mengulas lanjut, Radzi berkata pelaksanaan pendekatan baharu ini memerlukan ibu bapa berperanan memastikan ujian saringan Covid-19 dilaksana dengan teratur dan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan KKM supaya sesi persekolahan dapat berlangsung dengan selamat.

“Jika ia tidak dilaksana mengikut tatacara yang ditetapkan, yang akan terkesan bukan sahaja anak saudara-saudari tetapi kawan-kawan serta guru mereka di sekolah,” katanya dalam video berdurasi lebih dua minit itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Orang ramai digalak lapor keputusan ujian kendiri walaupun negatif

SHAH ALAM, 13 NOV: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meminta orang ramai melaporkan keputusan ujian Covid-19 secara kendiri dalam aplikasi MySejahtera walaupun hasil saringan negatif.

Ketua pengarah kesihatan berkata hampir lima juta kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) yang dijual tetapi yang didaftarkan dalam MySejahtera masih rendah.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya percaya kes negatif adalah lebih tinggi daripada kes positif yang tidak dilaporkan di negara ini.

“Kita sedang mencuba melihat kaedah terbaik untuk meningkatkan kesedaran untuk memasukkan data ujian. Kita percaya kes negatif lagi banyak berbanding positif tidak dilaporkan.

“Mudah saja untuk melaporkan. Saya sendiri sudah laporkan dan mengambil hanya dua tiga langkah untuk menjawab soalan dan kita boleh dapatkan data-data tersebut,” katanya pada sidang media semalam.

Dr Noor Hisham berkata tujuan beliau mengesyorkan langkah itu bagi mengumpul data untuk mengetahui tanda aras yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Kalau kita lihat kadar positif satu masa dulu tanda aras adalah lima peratus yang dicatatkan WHO. Kita hampir mencecah tiga peratus sekarang.

“Kes yang positif sekarang ini adalah tiga hingga empat peratus. Ini menunjukkan tanda aras kita sudah berjaya untuk mengesan kes yang positif,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada SOP tambahan bagi aktiviti rentas negeri

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Tiada tatacara operasi piawai (SOP) tambahan bagi aktiviti rentas negeri sekiranya ia dibenarkan nanti, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Bagaimanapun, beliau berkata SOP sedia ada masih digunakan, dengan Op Patuh terus dijalankan pihak berkuasa dan tiada sekatan jalan raya bagi memeriksa sama ada orang ramai menjalani ujian kendiri ketika merentas negeri.

“Takkan kita nak ada sekatan jalan raya dan kita check (periksa) setiap orang yang keluar dan kalau dia tak vaksinasi kita suruh buat test (ujian) di situ? Saya rasa rakyat lebih marah kalau berlaku kesesakan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi ke Hospital Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata situasi itu tidak sama dengan Gelembung Pelancongan Langkawi memandangkan jumlah orang terlibat tidak seramai berbanding ketika aktiviti rentas negeri serta tidak sebanyak laluan keluar dan masuk di seluruh negara.

Sementara itu, Khairy berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk menurunkan lagi harga kit ujian kendiri Covid-19 yang akan diumumkan kelak.

Beliau menjelaskan faktor masa peralihan perlu diambil kira bagi berlaku adil kepada pembekal yang sudah membuat pembelian awal kit itu.

“Kita akan ambil kira sedikit masa peralihan supaya pembekal yang sudah beli, dapat menjual supply (bekalan) yang ada.

Ada (pembekal) yang beri pandangan tak cukup masa untuk clearkan (habiskan) stok masa turunkan harga dulu. Kita bincang dengan KPDNHEP untuk harga siling ini dan biar ia adil kepada pengguna dan pembekal,” katanya.

Harga siling kit ujian kendiri Covid-19 ditetapkan pada harga RM16 secara borong dan RM19.90 bagi runcit.

Mengenai individu yang masih belum menerima tarikh janji temu vaksin, Khairy berkata satu ciri baharu di aplikasi MySejahtera akan diperkenalkan bagi orang ramai membuat tempahan seterusnya memperoleh janji temu vaksin.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kontak rapat digalak buat ujian sendiri, terus kuarantin

SHAH ALAM, 24 JULAI: Individu yang menjadi kontak rapat kes positif Covid-19 dan tidak bergejala digalak melakukan ujian Covid-19 di klinik atau menggunakan kit ujian kendiri dan seterusnya kuarantin di rumah.

Timbalan ketua pengarah kesihatan (kesihatan awam) berkata saranan itu bagi mengurangkan bebanan hospital di Lembah Klang dalam menguruskan jangkitan wabak.

“Dengan melakukan ujian kendiri dan pengasingan di rumah, diharapkan agar kes yang memerlukan rawatan dapat diberikan dengan kadar segera.

“Manakala kontak rapat yang tidak bergejala dapat melakukan ujian kendiri. Ini akan dilaksanakan apabila kit ujian kendiri boleh didapati dengan meluas,” kata Datuk Dr Chong Chee Kheong menerusi kenyataan.