Categories
SELANGOR

Dasar lebih baik perlu tingkat taraf wanita

OLEH: LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 22 MAC: Kerajaan Persekutuan diseru melaksanakan dasar lebih baik dalam usaha memperbaiki taraf hidup wanita di negara ini.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata berdasarkan The Global Gender Gap Index 2015 yang dikeluarkan World Economic Forum, kedudukan Malaysia semakin menjunam dari segi skor kesaksamaan gender.

WANITA SELANGORKatanya, Malaysia kini berada pada kedudukan 111 berbanding kedudukan 107 pada 2014 daripada 145 buah negara dengan skor sebanyak 0.65.

“Kerajaan Persekutuan harus memperbaiki dasar sedia ada dalam usaha memperbaiki taraf hidup wanita di Malaysia.

“Keadilan sewajarnya juga perlu diberikan kepada golongan wanita yang banyak membantu pembangunan keluarga dan negara,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia 2016 Peringkat Selangor di sini, hari ini.

Hadir sama, isteri Menteri Besar yang juga Yang DiPertua PEKAWANIS, Datin Seri Shamshida Taharin, Timbalan Pengarah UPEN Seksyen Sektoral, Azlina Abdul Aziz dan Pengarah Strategi Pejabat Menteri Besar, Khalid Jaafar.

Dengan tema #IkrarUntukKesaksamaan Meraikan Kebaranian Wanita, (#PledgeForParity “Celebrating Women’s Courage”), majlis turut diserikan dengan wakil rakyat, ahli majlis dan wakil Pusat Wanita Berdaya seluruh Selangor.

EZY

Izzah, Hannah tersenarai wanita berpengaruh dunia


Nurul Izzah Anwar dan Hannah Yeoh tersenarai dalam wanita paling berpengaruh dunia.

Categories
SELANGOR

Rasullullah contoh terbaik pelindung wanita

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 DIS: Wanita harus berdaya saing bagi mengangkat diri ke tahap yang dikehendaki bagi memastikan kehidupan bebas dari sebarang bentuk diskriminasi, ketidakadilan, korupsi, birokrasi yang sengaja membebankan.

Pengasas Pertubuhan Inisiatif Pemberdayaan Wanita, Rodziah Ismail, berkata hal itu kerana ia akan mewujudkan kesejahteraan di kalangan rakyat.

MAULIDUR RASUL 2015Katanya, bagi merealisasikannya, reformasi dalam sistem mahkamah syariah dan sivil, bidang keusahawanan, politik dan proses pembuatan keputusan di semua peringkat dan bidang pentadbiran menjadi suatu kewajaran.

“Wanita perlu memahami bahawa untuk kesemua harapan dan idealisme mereka menjadi kenyataan, mereka semestinya bertindak bijak dalam semua pilihan raya umum dan negeri dengan mengenali bakal pemimpin dan membuat pilihan mereka dengan tepat.

“Amat malang sekali jika pemimpin yang dipilih itu tidak bersungguh dan tidak memahami tentang isu-isu berkaitan wanita dan meningkatkan kehidupan wanita,” katanya dalam kenyataan media sempena sambutan Maulidur Rasul.

Rodziah berkata hasil daripada sistem kehidupan sedia ada masih berlaku keganasan terhadap wanita, diskriminasi dalam bidang pekerjaan, proses yang birokratik dan menyusahkan wanita untuk menuntut hak asasi.

“Juga penanggungan kos saraan hidup yang tinggi, berlarutan status yang tidak pasti iaitu berkahwin tetapi ditinggalkan oleh suami tanpa nafkah atau perceraian rasmi dan penanggungan sendirian perbelanjaan keperluan keluarga.

“Tanpa mengira agama, latar belakang, etnik dan golongan, ia mencelikkan imbasan kepada sejarah Rasulullah SAW yang penuh dengan pengisian dasar, perancangan dan perincian terhadap agenda dan pelan tindakan untuk melindungi wanita,” katanya.

Beliau berkata ucapan, jawapan di Dewan Negeri dan Dewan Rakyat oleh pemimpin ketika ini serta dokumentasi yang berjela-jela sudah tidak lagi mempunyai nilai dan makna sebagai respon kepada persoalan-persoalan itu.

“Oleh itu, wanita pilihlah pemimpin yang membuktikan segala ucapan dan janji-janji mereka.

“Rasullah SAW adalah contoh terbaik dalam melindungi wanita sama ada dalam ucapan mahupun tindakan baginda,” katanya.

Tahun 2015M menyaksikan Maulidur Rasul disambut dua kali, 3 Januari[1436H] dan 24 Disember[1437H] dengan tema yang sama – “Perpaduan Nadi Transformasi Negara”.

EZY

Categories
SELANGOR

400 wanita India sertai Simposium Pembangunan Ekonomi

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 14 DIS: Lebih 400 wanita warga India menyertai Program Simposium Pembangunan Ekonomi Wanita Selangor 2015 anjuran Kerajaan Selangor dengan kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk menaik taraf ekonomi wanita di negeri itu.

Exco Pekerja Ladang, Kemiskinan Dan Kerajaan Prihatin, V. Ganabatirau, berkata program itu diadakan khusus buat kaum wanita berbangsa India untuk diberi pendedahan dalam sektor perniagaan.

GANA“Kita bersama badan NGO dalam usaha untuk memperkasakan wanita tentang menaik taraf kehidupan melalui perniagaan dengan pembentangan dari ahli panel yang berkaliber.

“Ahli panel yang hadir adalah dari kalangan wanita India dan Melayu yang berjaya dalam bidang perniagan untuk diberi pendedahan, motivasi dan tips merancang perniagaan dengan berkesan,” katanya kepada Selangor Kini.

Selain itu, katanya, para wanita itu juga turut diberi pendedahan berkenaan Program Hijrah, Program Pembasmian Kemiskinan dan wakil dari syarikat kewangan untuk bagaimana mereka ingn membuat pinjaman.

“Program itu berlangsung dengan jayanya apabila penerimaan dari wanita tersebut memberangsangkan.

“Turut hadir Exco Wanita, Dr Daroyah Alwi merasmikan program pada hari itu berserta memberikan sedikit taklimat tentang Pusat Wanita Berdaya (PWB) untuk mereka serta di Dun masing-masing,” katanya.

Program itu diadakan buat julung kali anjuran Exco Pekerja Ladang, Kemiskinan Dan Kerajaan Prihatin di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Petaling Jaya.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Bajet 2016 kosong untuk wanita

Oleh: Zuraida Kamaruddin

Bajet menonjol RM256 bilion yang diumumkan oleh PM Najib Razak adalah semata-mata untuk menaikkan sokongan rakyat terhadap pentadbiran Kerajaan BN yang gagal.

Seperti kereta api yang terkeluar dari landasannya, begitulah keadaan BN sekarang yang ternyata tidak boleh diselamatkan lagi. Bajet berlebih-lebihan yang dibentangkan PM semenjak pentadbirannya terbukti jauh tersasar daripada keperluan rakyat.

Wanita KEADILAN terkejut bagaimana PM cuba untuk berdolak-dalih dengan membuat kenyataan bahawa bajet kali ini adalah mesra rakyat sedangkan ianya adalah satu percubaan untuk membeli rakyat demi kepentingan BN untuk memenangi Pilihanraya Sarawak yang akan berlaku bila-bila masa sahaja lagi.

wanita 4Bajet ini direka khas untuk memastikan undi kepada BN kononnya akan menggembirakan rakyat.

Bajet 2016 juga tidak menyentuh soal wanita khususnya. Tiada yang dapat dilihat membantu terutamanya dalam mengurangkan beban kewangan bagi wanita.

Walaupun Wanita KEADILAN telah melancarkan menandatangani petisyen untuk meminta sekurang-kurangnya 50 peratus daripada BR1M patut disalurkan kepada wanita, tetapi cadangan ini diabaikan. Bagaimana kerajaan boleh terlepas pandang 52 peratus wanita di negara ini?

Daripada untuk menyelesaikan isu hutang negara yang semakin meningkat, bajet kali ini yang meningkat adalah kerana sebahagian besar telah diperuntukkan kepada Jabatan Perdana Menteri.

Ianya langsung tidak menunjukkan untuk menaikkan nilai ringgit yang semakin susut atau menarik minat pelabur asing. Pastinya, lebih banyak subsidi rakyat yang akan ditarik untuk membayar tanggungan hutang yang tinggi oleh kerajaan sekarang.

Terbukti bajet yang dibentangkan telah menepikan wanita. Bagaimana kita sebagai sebuah negara yang ingin menuju status negara maju pada tahun 2020 apabila tiada penghargaan ditunjukkan terhadap wanita dalam belanjawan negara?

Contohnya, kerajaan boleh mengambil inisiatif untuk memastikan perlaksanaan dasar-dasar bahawa belanjawan hanya akan diberikan kepada jabatan-jabatan kerajaan yang memenuhi kuota penyertaan 30 peratus wanita.

Wanita KEADILAN percaya, seharusnya perlu ada jalan ke hadapan bagi mengiktiraf wanita dalam pembangunan sesebuah negara.

Ia adalah satu kerugian yang besar kepada negara, apabila tiada langsung bajet diperuntukkan untuk melaksanakan langkah-langkah memerangi dan mengekang rasuah. Satu kecewaan yang sangat besar apabila bajet bagi SPRM telah dipotong.

Wanita KEADILAN merasakan wajar untuk memanggil semua Ahli Parlimen untuk mengundi bagi menolak Bajet 2016.

Kami memerlukan pentadbir yang tahu bagaimana untuk memacu ekonomi negara dan bukannya kecenderungan untuk merampas kekayaan negara demi kepentingan golongan elit.

* Zuraida Kamaruddin adalah Ahli Parlimen Ampang dan Ketua Wanita Keadilan

Categories
SELANGOR

Gagal pinjam Tekun, peniaga wanita lega dapat bantuan HIJRAH

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 10 JULAI: Beberapa peniaga wanita melahirkan rasa syukur kerana Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dengan mereka dan memudahkan pinjaman melalui skim  HIJRAH.

Pemilik Restoren Sha-Sya Delight, Siti Salwa Abd Razak, berkata dia sangat kecewa dengan skim Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) yang mengenakan syarat ketat hingga gagal memperolehnya selepas beberapa kali naik turun pejabat berkenaan.

Siti SalwaSiti Salwa, 42, berkata, usahanya untuk memohon pinjaman bank turut hampa apabila syarat yang dikenakan begitu ketat termasuk memerlukan penjamin.

Namun, dia bernasib baik apabila seorang rakan perniagaan memperkenalkan pinjaman HIJRAH yang diperkenalkan Kerajaan Selangor.

“Saya berniaga dah lama, cuma gerai tepi jalan sahaja. Kemudian buka restoran dan melalui HIJRAH saya dapat naik taraf perniagaan ini seperti sekarang.

“Saya dah cuba pinjam TEKUN, susah nak dapat. Bila jumpa wakil BN pun tak dapat tetapi berlainan dengan HIJRAH kerana sekali cuba dah dapat dan boleh nampak niat nak membantu,” katanya kepada Selangor Kini.

Dia yang mengusahakan restoran di Denai Alam itu memperoleh pinjaman Hijrah kira-kira tiga bulan lalu.

Salmah SaatSementara itu, seorang lagi peniaga makanan, Salmah Saat, 53, berkata dia berterima kasih kepada pegawai HIJRAH yang bersungguh-sungguh membantu golonagn terbabit yang memerlukan bantuan.

“Walaupun syaratnya tidak ketat seperti TEKUN atau pinjaman bank tetapi pegawainya bersungguh-sungguh tolong kami,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Selangor rangka program baru wanita

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 JUN: Kerajaan Negeri akan merangka pelbagai program baru untuk pembangunan wanita negeri itu terutama pengisian sepanjang Ramadan.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata kejayaan Program Diskusi Khas Muslimat yang masuk kali ketiga penganjurannya menjadi pemangkin atas perancangan terbabit.

Penyampaian sumbangan kepada ibu tunggal oleh YB Daroyah di masjid Negeri (1)Katanya, penyertaan menggalakkan setiap daerah dalam program terbabit jelas membuktikan komitmen tinggi Kerajaan Negeri dalam memastikan peranan dan sumbangan kaum wanita di negeri itu terus diiktiraf.

“Kita akan meneruskan program ini tahun depan dan menambah beberapa program baru.

“Saya sedia maklum program ini diadakan sekali dengan Semarak Ramadan yang bakal menjelajah ke sembilan daerah dalam Selangor ini yang berjalan sejak tiga tahun lalu.

Penyampaian sumbangan kepada ibu tunggal oleh YB Daroyah di masjid Negeri (9)“Tiada tujuan lain tetapi hanya untuk memeriahkan lagi pesta ibadah yang sedang berlangsung sepanjang Ramadan ini,” katanya, di sini, semalam.

Hadir sama dalam diskusi yang bertemakan ‘Ramadhan: Tarbiah Untuk Keluargaku’ itu adalah Isteri Dato’ Menteri Besar, Shamsida Taharin.

Pada masa sama, 150 ibu tunggal menerima sumbangan Ramadan berbentuk barangan keperluan asas dan sumbangan terbabit turut dilaksanakan di lapan daerah lain.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Wanita Keadilan menyokong “Walk Against Child Rape”

Oleh: Haniza Talha

Wanita Keadilan menyokong penuh inisiatif masyarakat sivil terhadap kempen ini yang akan diadakan di “Friendship Park” di Kuching dan di KL Sogo pada 7 Jun Sabtu serentak. Program bermula pada pukul 11 pagi di Kuching manakala 4 petang di KL.

Dalam senarai kategori rogol dalam Kanun Keseksaan, rogol bawah umur jatuh di bawah seksyen 375(g) Kanun Keseksaan yang menakrifkan rogol sebagai hubungan seksual dengan seorang perempuan dengan atau tanpa persetujuannya di mana dia berusia di bawah umur enam belas tahun.

Manakala Akta Kanak-Kanak 2001 mentakrifkan kanak-kanak sebagai anak dibawah umur 18 tahun. Oleh yang sedemikian satu pindaan hendaklah dibuat dengan segera bagi melindungi semua kanak-kanak di Malaysia.

Melihat pada kes terbaru iaitu Bunya Jalong, dimana terbukti melalui DNA beliau sendiri merogol anaknya yang berumur 14 tahun dibebaskan tanpa sebarang tuduhan.

Merujuk kepada kes-kes lain seperti Nor Afizal, Azizan, Chuah Guan Jiu dan Riduan Masmud merupakan antara kes-kes berat dan Peguam Negara perlu segera memfailkan semakan kehakiman terhadap mereka.

Semuanya kelihatan kabur dan tidak jelas pada undang-undang rogol yang sedia ada menampakkan betapa lemahnya sistem kehakiman di Malaysia ini.

Dalam pada masa yang sama, Wanita Keadilan ingin menyaurakan tidak bersetuju atas cadangan perkahwinan sebagai solusi pada rogol bagi alasan untuk mengelak dari dihukum.

*Haniza Talha adalah Timbalan Ketua Wanita Keadilan dan ADUN Taman Medan

Categories
SELANGOR

Selangor perkenal waktu kerja anjal wanita bekerja dari rumah

Oleh : AFEEQA AFEERA

SUBANG JAYA, 23 DIS : Kerajaan Negeri akan memulakan inisiatif untuk membolehkan golongan wanita yang bekerja dalam sektor kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dapat bekerja dari rumah atau dalam waktu kerja anjal.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata usaha itu perlu dilaksanakan segera sebagai pilihan terkini dan masa hadapan bagi membendung kehilangan bakat dan keupayaan wanita dalam sektor tenaga kerja mahir.

wanita 4Beliau berkata berdasarkan kajian yang dilakukan, kira-kira 93 peratus wanita mahu kembali bekerja tetapi 63 peratus daripada mereka merasakan sukar untuk berbuat demikian atas kekangan tertentu.

“Negara melakukan pelaburan tinggi terhadap wanita melalui pendidikan rendah hingga peringkat tertingg dan mengabaikan pelaburan ini adalah satu tragedi kolektif.

“Kita perlu merumuskan dasar, reformasi dan anjakan baru dalam cara pekerjaan seperti memperkenalkan waktu anjal untuk wanita dan bekerja dari rumah bagi menangani cabaran ini supaya negara tidak kehilangan kemahiran dari kalangan wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Kepimpinan Wanita Selangor 2014 di Hotel Holiday Villa, dekat sini hari ini.

Hadir sama isteri Dato’ Menteri Besar, Shamshida Taharin dan Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi.

Selain itu, Mohamed Azmin, berkata Kerajaan Selangor juga akan menyediakan kemudahan wifi percuma dengan prasarana 2,500 hotspot sebagai satu aspek sistem sokongan yang boleh membantu wanita bekerja dari rumah.

Katanya adalah penting untuk menyediakan sistem sokongan kepada wanita bagi membolehkan golongan itu daripada terus menyumbang kepada ekonomi dapat ditangani dengan bijaksana.

“Sekiranya usaha ini dapat dilakukan ia boleh membantu pertumbuhan pendapatan isi rumah dan sekaligus menangani sejumlah masalah yang timbul.

“Kegagalan memberi perhatian kepada perkara ini akan menyebabkan pembaziran sumber daya dan potensi modal insan dari kalangan wanita,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin turut berharap supaya lebih ramai golongan wanita diberikan peluang menjadi calon dalam pilihan raya umum akan datang.

“Dalam aspek politik, jumlah perwakilan wanita Malaysia di Parlimen juga direkodkan di kalangan terendah di kalangan negara Asean iaitu pada kadar 10.4% berbanding Thailand 13.3%, Indonesia 18%, Filipina 22.1%, Singapura 22.2% dan Vietnam 22.4%,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

Belanjawan 2015: Harap kerajaan tidak pinggirkan wanita

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 9 OKT: Kerajaan digesa tidak mengabaikan golongan wanita dalam pembentangan belanjawan nasional 2015 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak esok.

Ketika rakyat dibebani kos sara hidup yang meningkat dan menjelang pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) April tahun depan, sewajarnya wanita dibela menerusi skim yang dapat membantu mereka mengharungi cabaran hidup masa kini dan mendatang.

Presiden Suara Pengguna Prihatin Malaysia, Normala Sudirman berkata, kenaikan harga minyak dan barangan lain, tarif elektrik dan pelaksanaan GST memberi kesan besar kepada seluruh rakyat golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

“Melalui pembentangan belanjawan 2015 esok, kami berharap kerajaan akan memberi keprihatinan kepada golongan wanita melalui caruman dengan kadar yang ditetapkan setiap bulan agar kebajikan mereka terbela.

tenang - mala2“Selain itu, skim pelindungan wanita yang ditimpa musibah dan skim simpanan hari tua bagi golongan wanita khususnya amat perlu untuk kelangsungan kehidupan masa depan,” katanya dalam kenyataan media.

Normala yang juga Timbalan Hal Ehwal Pengguna PAS Pusat berkata, kerajaan dicadangkan mewujudkan skim caruman khas minimum RM10 sebulan dari suami buat surirumah bagi membolehkan mereka memiliki simpanan sekurang-kurang RM15,000 sebagai modal memulakan perniagaan kecil apabila kematian suami.

Katanya, kerajaan juga boleh merancang skim seperti membuat caruman minima RM50 setiap bulan kepada surirumah sebagai tanda penghargaan kepada golongan itu yang mendidik anak-anak dan menjaga kesejahteraan keluarga.

“Keprihatinan kerajaan terhadap nasib ibu tunggal yang terpaksa menyara persekolahan anak-anak akibat kehilangan suami juga menuntut satu skim secara sistematik agar kehidupan mereka sempurna dengan pelbagai insentif diberikan di samping menyediakan peluang pekerjaaan bersesuaian tanpa bekerja hingga larut malam yang akhirnya menyebabkan keselamatan mereka terancam.

“Saya sering memikirkan keselamatan mereka yang bekerja di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan tol lebuh raya serta juruwang di kedai dan premis perniagaan selepas jam 12 malam. Adalah lebih baik waktu kerja lebih anjal dan fleksibel diberikan kepada mereka agar keselamatan lebih terjamin,” katanya yang mencadangkan wanita berkerja pada waktu siang dan sebelum 12 malam.

Normala berkata, golongan pengguna wanita pasti akan menerima kesan dengan bebanan berantai terutama golongan peneroka, petani dan peniaga yang pasti berdepan dengan penurunan harga sawit, getah dan GST yang memiskinkan rakyat.

“Kenaikan 6 peratus cukai GST pasti akan menambah beban rakyat. Justeru adalah diharapkan kerajaan tidak meminggirkan kebajikan kaum ibu, anak-anak remaja wanita dan ibu tunggal apabila pembentangan belanjawan 2015 dibuat esok,” kata Pengerusi Lajnah Pengguna Dewan Muslimat PAS itu.

HM

Categories
SELANGOR

Exco wanita kurang tapi agenda memberdaya tak wajar dipinggir- Rodziah

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 27 SEPT: Walaupun barisan kepimpinan anggota Exco wanita dikurangkan, agenda memberdaya wanita Selangor harap tidak diketepikan.

Mantan Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail berkata, asas dan polisi pemberdayaan wanita termaktub dalam Fasal 18.17 Perlembagaan Parti Keadilan Rakyat (pindaan 2010) dan Fasal 5.14 (pindaan 2013).

Seminar Wanita Masjid Negeri Selangor 01Malah, sasaran ini dipersetujui kesemua komponen Pakatan Rakyat dan dimasukkan dalam Buku Jingga dan manifesto pilihanraya lepas.

“Asas dan polisi yang disemarakkan diharap akan diteruskan bagi mengkesinambungkan usaha-usaha memelihara kebajikan rakyat dan pemberdayaan wanita Selangor.

“Pengalaman saya dalam mengurus kedua portfolio itu menekankan kaedah penginstitusian mekanisme pelaksanaan asas-asas dan polisi kerajaan negeri berkaitan keduanya (kebajikan dan hal ehwal wanita).

“Ia bagi membangun, memantau, memperkemas dan memperbaiki dari masa ke semasa segala pelan, program dan aktiviti yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, kesemua barisan anggota Exco baru dalam kabinet Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah.

Bagaimanapun, anggota Exco wanita berkurangan menjadi dua orang berbanding empat sebelum ini daripada sepuluh anggota Exco Kerajaan Negeri.

Dengan lantikan itu, Rodziah yang juga Adun Batu Tiga menyatakan sokongan bagi menjayakan program demi manfaat rakyat berdasarkan tatakelola yang baik.

“Ucapan sekalung tahniah kepada barisan baru kepimpinan Exco Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin oleh YAB Azmin Ali.

“Aras (standard) minimum yang diletakkan kepimpinan bekas Menteri Besar, Tan Seri Khalid Ibrahim menjadi panduan pentadbiran baru yang tentunya melaksanakan amanah lebih baik,” katanya lagi.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Kewibawaan kepimpinan dan kepolitikan bukan terletak pada jantinanya

Oleh: Rodziah Ismail

Telah berlaku dan dijelaskan dalam al-Quran bahawa Ratu Balqis adalah seorang pemimpin wanita yang hebat.

Kisah beliau ditonjolkan secara khusus dalam al-Quran, sebanyak 24 ayat, dan negara yang diperintah beliau dijadikan tajuk sebuah surah dalam al-Quran.

Beliau berjaya mentadbir negara Saba’ dan mengurus kepentingan serta kesejahteraan rakyat Saba’ dengan cemerlang.

Balqis adalah seorang yang mengamalkan pemerintahan bermusyawarah dengan para pembesar negaranya sebelum membuat keputusan-keputusan yang utama atau genting.

Beliau bukan seorang diktator (an-Naml:32-33)

Sifat penyayang beliau terhadap rakyat terserlah apabila risiko peperangan dengan tentera Nabi Sulaiman a.s. kelihatan hampir.

Kebijaksanaan beliau menilai kemampuan diri dan sama sekali tidak rela mengorbankan nyawa rakyatnya terungkap dalam al-Quran, “Dia (Balqis) berkata,’Sesungguhnya raja-raja apabila menaklukkan suatu negeri, mereka tentu membinasakannya, dan menjadikan penduduknya yang mulia jadi hina; … Dan sungguh, aku akan mengirim utusan kepada mereka dengan (membawa) hadiah, dan (aku) akan menunggu apa yang akan dibawa kembali oleh utusan itu.”

Ketokohan, kewibaan dan kepintaran beliau sebagai seorang pemimpin tiada tolok bandingnya.
Beliau tidak sukar untuk beriman apabila telah terbukti kebesaran Allah swt sebagai tuhan Pencipta segalanya.

Tiada keegoaan dan penafian, hanya tunduk dengan segala kerelaan dan keikhlasan mengabdikan diri kepada Ilahi (an-Naml:44).

Di dunia ketika ini ada duapuluh satu ketua negara wanita (Presiden, Perdana Menteri) yang dipilih oleh rakyat masing-masing atau dilantik oleh parti.

Telah terbukti kepimpinan yang diperakui kewibawaan mereka, seperti pemimpin wanita terdahulu: Sultanah Acheh, Margaret Thatcher, Evita, Julia Gilard, Indra Ghandi, Megawati dan lain-lainnya.

Jerman, sebuah negara maju dan tersohor pentadbirannya adalah diterajui oleh seorang wanita, Chancellor Angela Merkel.

Jerman adalah satu-satunya negara yang mengamalkan social market economy yang meletakkan sebahagian besar belanjawan negaranya untuk mengutamakan pembangunan dan kehidupan sosial rakyatnya.

Ia seiring dengan teori ekonomi Islam yang menekankan keseiringan hubungan antara manusia dengan Tuhan, Alam Sekitar dan Manusia.

Kenyataan seorang peguam yang menjadikan sebab kedatangan haid wanita sebagai penghalang wanita menjadi pemimpin tertinggi di sebuah negeri amatlah meleset dan seksis, menjadikan ia bahan persendaan seluruh dunia dan membentuk imej negatif terhadap negara Malaysia.

Sememangnya tiada halangan bagi pemimpin wanita di peringkat manapun untuk melaksanakan tanggungjawabnya dengan adil dan saksama, jika itu menjadi hasratnya, dalam keadaan biologinya yang bagaimanapun.

Pemimpin, khususnya ahli politik wanita yang berdaya di Malaysia mampu memimpin dan membawa negeri, negara dan rakyat ke ufuk yang lebih tinggi dan cemerlang.

Mereka boleh diletakkan di mana-mana posisi hatta di peringkat paling tinggi sekalipun dan boleh berjaya melaksanakan amanah dengan terbaik, bahkan lebih baik dari setengah lelaki.

Wanita Berdaya, Pemimpin Berwibawa.

* Rodziah Ismail adalah Exco Hal Ehwal Wanita Selangor