Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kempen sedekah Yide di Shopee cecah RM2,000

SHAH ALAM, 4 FEB: Kempen Infaq Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) melalui laman e-dagang terkemuka Shopee mencecah sebanyak RM2,000 setakat ini.

Pengurus besarnya berkata kempen belian baucar RM10 dan RM25 sejak November tahun lalu terus mendapat sambutan mengalakkan dari orang ramai.

“Berikutan sambutan baik, kita akan teruskan program ini dan menampilkan selebriti dakwah terkenal Ustaz Don Daniyal sebagai Ikon Mahabbah Yide,” kata Nur Mohd Razali Abdullah kepada SelangorKini.

Beliau berkata sumbangan orang ramai akan disalurkan kepada empat jenis infaq iaitu dana musibah, dana dialisis, dana anak yatim dan dana kompleks anak yatim.

Menurutnya, setiap pembelian baucar disertakan resit rasmi untuk melayakkan penyumbang menerima pelepasan cukai individu Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Orang ramai boleh melayari https://shopee.com.my/yide_official untuk pembelian.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB hulur sumbangan kepada mangsa kebakaran di Gombak

SHAH ALAM, 25 JAN: Dato’ Menteri Besar menghulurkan sumbangan kewangan kepada tiga keluarga yang terlibat dalam kebakaran di Batu 10, Gombak Utara pada Sabtu.

Dato’ Seri Amirudin Shari yang melawat mangsa terbabit di Surau Batu 10 semalam turut memberi kata-kata semangat kepada mereka.

“Saya mendoakan agar keluarga ini diberikan kekuatan untuk mengharungi ujian dan musibah ini,” tulisnya di Facebook hari ini.

Keadaan tiga rumah di Batu 10, Gombak Utara yang terbakar pada 23 Januari 2021. Foto Ihsan Yide

Sementara itu, pengurus besar Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) berkata pihaknya menyalur bantuan kewangan bagi meringankan beban keluarga berkenaan.

Nur Mohd Razali Abdullah berkata sumbangan lain berupa enam beg kit penjagaan peribadi mengandungi tuala, kain pelikat, baju harian, selimut dan kit pembersihan serta penjagaan diri.

“Yide bergegas memberi bantuan selepas dimaklumkan rumah tiga keluarga ini hangus dijilat api dipercayai berpunca daripada litar pintas.

“Kami berterima kasih kepada penyumbang yang menderma melalui Tabung Dana Musibah Yide,” katanya dalam kenyataan.

Wakil Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Batu 10, Gombak Utara pada 25 Januari 2021. Gambar Ihsan Yide

Nur Mohd Razali menambah salah seorang mangsa, Kamariah Man, 60, terpaksa berputih mata apabila mesin jahit dan beberapa pakaian tempahan pelanggan hangus terbakar.

Difahamkan, seramai enam anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Selayang dikerah ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 11.30 malam.

Selain itu, operasi terbabit disertai Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB). Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide terima RM100,000 untuk bina kompleks anak yatim

SHAH ALAM, 30 DIS: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) semalam menerima sumbangan RM100,000 daripada Solar Alert Sdn Bhd bagi pembinaan kompleks anak yatim di Pulau Indah, Klang, dekat sini.

Agensi itu dalam kenyataan memaklumkan sehingga kini telah berjaya mengumpul sebanyak RM6.80 juta hasil dapatan daripada agensi kerajaan, badan berkanun, syarikat korporat dan pihak awam.

“Terima kasih di atas sumbangan kalian, semoga kompleks anak yatim ini dapat direalisasikan satu hari nanti. Kita turut mengalu-alukan agar lebih ramai tampil untuk menderma,” katanya.

Pada majlis itu, sumbangan tersebut diserahkan Pengarah Eksekutif Solar Alert Sdn Bhd, Dato’ Ismail Salleh kepada Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yide, Mohd Salim Mohamed Sain.

Orang ramai juga boleh menderma menerusi landasan digital Shopee dengan membuat pembelian baucar RM10 dan RM50.

Sumbangan sama boleh disalurkan ke akaun Yide (Bank Islam: 1223 40100 07330) atau secara dalam talian di Billplz: https://yide.com.my/donations/infaq-dana-anak-yatim atau melalui Jom Pay (Biller Code: 81059) atau aplikasi e-dompet Touch n Go dan Snap and Pay.

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide: Raja Muda Selangor sumbang RM100,000 bina kompleks anak yatim

SHAH ALAM, 11 DIS: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyumbang RM100,000 kepada Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) untuk pembinaan Kompleks Anak Yatim di Pulau Indah.

Majlis sumbangan diadakan di Istana Kayangan semalam serta dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Pegawai Kewangan Negeri Dato’ Azmie Diron.

Pengurus besar Yide berkata pihaknya telah mengumpul RM6.6 juta dan masih memerlukan RM3.4 juta dan menyasarkan kutipan sumbangan itu meningkat pada suku pertama serta kedua tahun depan.

“Bagi merealisasikan kompleks yang akan menempatkan 200 anak yatim dalam satu masa diusahakan dengan kerjasama Central Spectrum Sdn Bhd dan Perbadanan Wakaf Selangor, Yide giat menjalankan promosi serta memperkenalkan pelbagai platform bagi memudahkan sistem sumbangan,” kata Nur Mohd Razali Abdullah dalam kenyataan.

Terdahulu, Raja Muda Selangor berkenan mendengar taklimat ringkas berkaitan perancangan semasa projek pembinaan Kompleks Anak Yatim, Ikon Mahabbah Yide dan projek pembekalan perubatan kepada asnaf di Selangor dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor.

Yide mengajak orang ramai, syarikat korporat, agensi berkaitan kerajaan untuk bersama menyumbang dan memuliakan anak yatim dengan terus menyumbang melalui Bank Islam bernombor akaun: 1223 40100 07330 atau melalui dalam talian Billplz: https://yide.com.my/donations/infaq-dana-anak-yatim/ atau Jom Pay (Biller Code: 81059 dan aplikasi Snap and Pay.

Setiap sumbangan diberikan akan dikecualikan cukai pendapatan dan potongan di bawah Subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967, Nombor Rujukan LHDN 01/35/42/51/179-6.7622, bertarikh 15 November 2019 melalui resit rasmi Yide.

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide hulur bantuan kepada keluarga pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 5 DIS: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menghulurkan sumbangan kecemasan kepada sebuah keluarga pesakit Covid-19 di Klang semalam.

Agensi itu dalam kenyataan memaklumkan isteri kepada mangsa kini sedang berpantang selepas melahirkan anak keempat dan terpaksa menguruskan diri secara bersendirian.

“Suaminya awal minggu ini disahkan positif Covid-19 dan sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh. Semoga keluarga ini tabah mengharungi dugaan dan diberikan kesembuhan dari jangkitan virus tersebut,” katanya menerusi Facebook.

Keluarga itu menerima sumbangan berupa lampin pakai buang, susu, roti, biskut, gula, garam dan telur sebagai tanda prihatin dan meringankan beban mereka.

Orang ramai boleh berkongsi maklumat sekiranya berlaku musibah di kawasan masing-masing dengan menghubungi talian khidmat pelanggan Yide 017-7569476.

Untuk maklumat lanjut berhubung yayasan tersebut boleh berhubung terus ke ibu pejabat di talian +603-55103931 atau email ke [email protected] atau layari: www.yide.com.my .

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide terima sumbangan RM3.1 juta setakat Oktober

SHAH ALAM, 4 DIS: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menerima sumbangan RM3.1 juta sehingga Oktober lalu bagi menjayakan aktiviti kebajikan.

Pengurus operasi Bahagian Kebajikan dan Publisitinya berkata pihaknya menghargai sumbangan syarikat korporat, agensi kerajaan dan individu diterima setiap tahun.

“Ahamdulillah dengan jumlah bantuan diterima sedikit sebanyak dapat membantu Yide mencapai matlamat utama iaitu membantu anak yatim, pesakit dialisis dan mereka ditimpa musibah,” kata Md Ariffin Jaafar selepas program Foodbank 2.0 Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Pusat Dialisis Majlis Agama Islam (Mais) di sini hari ini.

Yayasan itu turut mengalu-alukan orang ramai menderma menerusi landasan digital Shopee dengan membuat pembelian baucar RM10 dan RM50.

Sumbangan juga boleh disalurkan ke akaun Bank Islam (1223 40100 07330) atau secara dalam talian di Billplz: https://yide.com.my/donations/infaq-dana-anak-yatim atau melalui Jom Pay (Biller Code: 81059) atau aplikasi e-dompet Touch n Go dan Snap and Pay.

Setiap penyumbang layak mendapat pengecualian cukai pendapatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Categories
AGENSI SELANGOR

Terima RM6.5 juta, Yide perlu lagi RM3.5 juta bina kompleks anak yatim

SHAH ALAM, 4 DIS: Sebanyak RM6.5 juta sumbangan diterima Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) bagi pembinaan kompleks anak yatim setakat Oktober.

Pengurus Besar Nur Mohd Razali Abdullah berkata pihaknya masih memerlukan RM3.5 juta infak daripada orang ramai bagi menjayakan usaha itu.

“Kita mengalu-alukan sumbangan ikhlas daripada mana-mana syarikat korporat, agensi, badan bukan kerajaan atau individu untuk terus menderma kepada Yide agar pembinaan kompleks anak yatim ini dapat direalisasikan,” katanya kepada SelangorKini.

Menurutnya, yayasan turut mengalu-alukan orang ramai menderma menerusi platform digital Shopee dengan membuat pembelian baucar RM10 dan RM50.

Sumbangan juga boleh disalurkan ke akaun Bank Islam (1223 40100 07330) atau secara dalam talian di Billplz: https://yide.com.my/donations/infaq-dana-anak-yatim atau melalui Jom Pay (Biller Code: 81059) atau aplikasi e-dompet Touch n Go dan Snap and Pay.

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide beri sumbangan kepada mangsa kebakaran di Taman Keramat

GOMBAK, 2 NOV: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menyampaikan sumbangan kecemasan kepada empat keluarga mangsa kebakaran di Jalan Enggang 13, Taman Keramat kelmarin.

Agensi dalam kenyataan memaklumkan sumbangan wang tunai dan kit bantuan itu sebagai tanda prihatin dan meringankan beban mangsa terbabit.

“Terima kasih kepada penyumbang yang telah menderma melalui Tabung Dana Musibah Yide,” menurutnya sambil menambah sumbangan disampaikan Pegawai Kebajikan, Muhammad Zubair Azizan.

Pegawai Kebajikan Yide, Muhammad Zubair Azizan (kiri) menyerahkan sumbangan wang tunai dan kit bantuan kepada salah seorang mangsa kebakaran pada 31 Oktober 2020. Foto Yide

Salah seorang mangsa, Musran Dollah, 59, berkata kejadian kira-kira jam 11 pagi pada 28 Oktober lalu menyebabkan struktur rumah hangus terbakar secara keseluruhannya.

Menurutnya, anggota bomba yang bergegas ke lokasi kejadian berjaya memadam api marak namun pemilik dan penyewa rumah tidak sempat menyelamatkan barang peribadi.

“Kebakaran memusnahkan sebuah rumah teres paling hujung (corner lot) yang disewakan kepada empat keluarga lain.

“Buat masa ini, kesemua mangsa kebakaran ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) AU1A/2 bersebelahan Surau Azziah,” katanya dalam kenyataan sama.

Orang ramai boleh berkongsi maklumat sekiranya berlaku musibah di kawasan masing-masing dengan menghubungi talian hotline Yide 017-7569476.

Categories
AGENSI SELANGOR

Balu mangsa kemalangan di Hulu Selangor terima bantuan Yide

SHAH ALAM, 26 OKT: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menyerahkan sumbangan kepada balu Mohd Nazrie Abdul Talib yang maut dalam kemalangan di kilometer 405 Persiaran Hulu Selangor pada 11 September lalu.

Agensi itu dalam kenyataan memaklumkan Normadiah Sulaiman, 33, menerima bantuan wang tunai dan borang pendaftaran anak yatim.

“Gambar kemalangan berkenaan tular di media sosial beberapa hari lalu dan nasib mereka sekeluarga mendapat perhatian masyarakat.

“Kita turut prihatin dengan beliau (Normadiah) kerana tidak bekerja (suri rumah) termasuk tiga anaknya yang sudah kehilangan bapa,” katanya.

Sumbangan disampaikan pegawai kebajikan Yide Muhammad Zubair Azizan di Taman Bukit Raya, Bukit Beruntung, Rawang pada 21 Oktober lalu.

Sebelum ini tular di Facebook satu kejadian kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Honda EX5 dan kereta jenis Honda Accord di Persiaran Bunga Raya menghala ke Taman Bunga Raya Bukit Beruntung.

Muat naik yang dikongsi sebanyak 3,192 kali mendakwa Mohd Nazrie dirempuh dari belakang oleh seorang pemandu wanita berusia 21 tahun mengakibatkan lelaki itu mengalami kecederaan parah pada kepala.

Mangsa yang koma selama lapan hari kemudian meninggal dunia pada 19 September.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Yide terima sumbangan RM30,000 biaya kompleks rumah anak yatim

SHAH ALAM, 16 OKT: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menerima sumbangan RM30,000 daripada Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) bagi membiayai pembinaan Kompleks Rumah Anak Yatim Pulau Indah, Klang.

Pengurus Operasi Bahagian Kebajikan dan Publisiti Yide Md Arifin Jaafar berkata keprihatinan KSSB membantu yayasan itu menggerakkan kerja kebajikan di negeri ini.

“Sehingga kini, Yide berjaya mengutip sebanyak RM6.58 juta dan masih memerlukan RM3.47 juta lagi.

“Yide menyeru kepada orang ramai, syarikat korporat dan agensi berkaitan kerajaan untuk terus memuliakan anak yatim,” katanya dalam kenyataan semalam.

Md Arifin berkata sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam (1223 40100 07330) atau secara dalam talian di Billplz: https://yide.com.my/donations/infaq-dana-anak-yatim/.

Selain itu, ia juga boleh dibuat melalui Jom Pay (Biller Code: 81059) atau aplikasi e-dompet Touch n Go dan Snap and Pay .

Sehingga September, seramai 7,500 anak yatim dan 17 rumah anak yatim di sekitar Selangor berdaftar secara rasmi di bawah yayasan itu.

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide rancang bina pusat dialisis di Masjid Puncak Alam

SHAH ALAM, 11 OKT: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) berhasrat membuka sebuah lagi pusat dialisis di Masjid Puncak Alam, Kuala Selangor.

Organisasi kebajikan bawah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memaklumkan penambahan itu bagi menampung keperluan pesakit untuk mendapatkan rawatan hemodialsis.

“Perbincangan dan lawatan tapak ke Masjid Puncak Alam telah diadakan sebelum ini bagi meninjau kemudahan sedia ada yang boleh ditambah baik untuk keselesaan pesakit.

“Pembinaan pusat dialisis ini juga diharapkan dapat membantu menampung keperluan pesakit khususnya di Puncak Alam dan kawasan berhampiran,” menurut yayasan itu di Facebook.

Pada 30 September lalu, Yide mengadakan kunjungan korporat bagi menjalinkan kerjasama dengan Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) bagi membina pusat dialisis baharu di Masjid Puncak Alam.

Lawatan korporat Yide yang diwakili Pengurus Operasinya Md Arifin Jaafar disambut Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Pengerusi PNHB Muhd Sukrie Mat Zin.

Sehingga kini, Yide mempunyai enam cawangan Pusat Dialisis Mais iaitu di Shah Alam, Taman Melawati, Sungai Besar, Kuala Selangor, Bukit Jelutong, dan Kapar.

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide bertemu MSU, kerjasama rancak aktiviti kebajikan

SHAH ALAM, 24 OGOS: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) akan bekerjasama dengan Universiti Pengurusan dan Sains (MSU) bagi merancakkan lagi aktiviti kebajikan khususnya pembangunan rumah anak yatim dan pusat dialisis.

“Dengan semangat keprihatinan ummah, Yide komited melaksanakan program dan acara kebajikan yang memberi manfaat kepada anak yatim dan pesakit yang memerlukan khususnya di bawah Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor,” tulis yayasan itu di Facebook.

Pada 18 Ogos lalu, Pengerusi Yide Dato’ Bakhtiar Hussin mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden MSU Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid di universiti itu.

Sepanjang 2019, Yide mengagihkan RM2.8 juta kepada golongan memerlukan dan pusat dialisis.

Sebelum ini, yayasan berteras kebajikan itu juga mengalu-alu orang ramai menyumbang menerusi Touch ‘n Go eWallet bagi menggalakkan penggunaan transaksi tanpa tunai.

Kemudahan lebih efiesen itu selari situasi wabak Covid-19 serta tiada caj perkhidmatan dikenakan kepada pendema bagi Tabung Infaq Dana Yide.