Categories
AGENSI SELANGOR

RMS berkenan terima sumbangan RM1.55 juta bina Kompleks Anak Yatim Yide

SHAH ALAM, 21 JULAI: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah al Haj berkenan menerima sumbangan bagi pembinaan Kompleks Anak Yatim Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) di Pulau Indah.

Pengurus Besarnya, Nur Mohd Razali Abdullah berkata lima syarikat korporat dan agensi kerajaan menyumbang dengan jumlah keseluruhan RM1.55 juta.

“Yide mengucapkan terima kasih di atas sumbangan yang diberikan dan mengalu-alukan lebih banyak syarikat korporat atau agensi berkaitan kerajaan untuk bersama menjayakan pembinaan kompleks ini.

“Kompleks ini juga adalah usaha sama Yide dengan Central Spectrum Sdn Bhd dan Perbadanan Wakaf Selangor yang sehingga kini telah mengumpul sejumlah RM6.3 juta tetapi masih perlukan RM3.7 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada majlis ringkas di Istana Mestika hari ini, Raja Muda Selangor berkenan menerima sumbangan daripada Central Sugars Refinery (CSR) Sdn Bhd bernilai RM1.3 juta; Worldwide Holdings Berhad (RM45,000); Kumpulan Darul Ehsan Berhad Waste Management (RM36,600); Celcom Axiata Berhad (RM50,000) dan Aiman Platinum Sdn Bhd (RM41,000).

Turut hadir, Pengerusi Yide Dato’ Bakhtiar Husin dan Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor Dr Haji Ahmad Shahir Makhtar.

Yide menyeru orang ramai, syarikat korporat dan agensi kerajaan menyumbang bagi pembinaan kompleks itu melalui Bank Islam (1223 40100 07330) atau secara dalam talian di Billplz (https://yide.com.my/donations/infaq-dana-anak-yatim/), Jom Pay (BillerCode: 81059) atau aplikasi SnapNPay.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais-Yide hulur sumbangan bantu surau terbakar

SHAH ALAM, 21 JULAI: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menghulurkan bantuan kepada Surau Al-Firdaus Taman Banting Baru yang terlibat dalam kebakaran kelmarin.

Yide dalam kenyataan memaklumkan sumbangan dalam bentuk wang tunai itu diserahkan Setiausaha Mais, Ahmad Shahir Makhtar kepada Pengerusi Jawatankuasa surau, Redzuan Nahar semalam.

“Kebakaran ini dipercayai berpunca daripada litar pintas dan api marak dengan pantas sehingga memusnahkan hampir 80 peratus struktur dalamannya dengan kerugian dianggarkan RM250,000.

“Kita turut menggalakkan orang ramai bersama membantu bagi membaik pulih surau ini,” kata Yide menerusi Facebook.

Mereka ingin menyumbang boleh menyalurkan ke akaun Surau Al-Firdaus Taman Banting Baru (Bank Islam) bernombor: 1207 40100 41185.

Orang ramai boleh berkongsi maklumat sekiranya berlaku musibah atau malapetaka di kawasan masing-masing dengan menghubungi talian khas 017-7569476.

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide sumbang barangan, wang tunai kepada mangsa kebakaran

SHAH ALAM, 23 JUN: Sebuah keluarga yang ditimpa musibah kebakaran di Hulu Langat baru-baru ini menerima sumbangan ad hoc barang keperluan asas dan wang tunai daripada Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide).

Agensi itu dalam kenyataan di Facebook memaklumkan bantuan disalur selepas mendapat maklumat daripada amil kariah di kawasan tersebut.

“Bantuan bertepatan dengan salah satu fokus utama Yide membantu mangsa ditimpa bencana khususnya di Selangor,” katanya yang memaklumkan sumbangan diserahkan Pengurus Operasinya Md Arifin Jaafar.

Sementara itu, penghuni Ahmad Yusof berkata kebakaran berlaku dengan pantas dan memusnahkan ruang hadapan rumah serta bilik utama.

Orang ramai boleh berkongsi maklumat sekiranya berlaku musibah di kawasan masing-masing dengan menghubungi Yide di talian 017-756 9476.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

300 kotak pelitup muka untuk institusi tahfiz al-Quran Selangor

KLANG, 2 JUN: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyumbang 300 kotak pelitup muka kepada Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (Pitas) semalam.

Pengurus Besar Yide Nur Mohd Razali Abdullah berkata ia sebagai tanda prihatin terhadap keperluan perlindungan diri golongan memerlukan ketika berada di pusat komersial atau kawasan umum bagi mencegah penularan Covid-19.

“Bantuan kepada mereka ini adalah hasil sumbangan ikhlas daripada orang ramai yang menyalurkannya ke Tabung Covid-19 Mais,” katanya dalam kenyataan.

Sumbangan disampaikan Setiausaha Mais Dr Ahmad Shahir Makhtar kepada Pengerusi Pitas Muhammad Hafiz Mohd Haneefa.

Mohd Razali berkata pihaknya turut serta dalam penyerahan barangan berkenaan kepada sekolah dan maahad tahfiz berdaftar di bawah Pitas untuk digunakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide santuni mangsa kebakaran Taman Cahaya Alam

SHAH ALAM, 1 JUN: Sebuah keluarga yang ditimba musibah rumah musnah dalam kebakaran di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 pada 30 Mei lalu mendapat perhatian Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide).

Yide menerusi Facebook memaklumkan menyantuni keluarga terbabit dengan memberikan sumbangan ad-hoc berupa barangan keperluan asas dan wang tunai.

“Bantuan diberikan bertepatan dengan salah satu fokus utama Yide untuk membantu mangsa yang ditimpa bencana khususnya di Selangor,” kata kenyataan itu.

Mewakili Yide dalam lawatan itu ialah Pengurus Operasinya, Arifin Jaafar yang menghulurkan sumbangan kepada ketua keluarga, Ahmad Zaki.

Orang ramai boleh berkongsi maklumat sekiranya berlaku musibah atau malapetaka di kawasan masing-masing dengan menghubungi talian khidmat pelanggan Yide di 017-756 9476.

Untuk maklumat lanjut mengenai peranan Yide, boleh berhubung terus ke Ibu Pejabat atau hubungi talian 03-5510 3931, email ke [email protected] atau layari www.yide.com.my

Categories
AGENSI SELANGOR

Mangsa kebakaran terima bantuan Ad Hoc Yide

SHAH ALAM, 17 MEI: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menyumbang barang keperluan asas dan wang tunai kepada sebuah keluarga yang ditimpa musibah kebakaran di Jalan SS5A/15 Kelana Jaya, kata pengurus operasinya.

Md Arifin Jaafar berkata sumbangan kecemasan itu disampaikan Yide pada Jumaat selepas menerima maklumat mengenai kejadian daripada ahli keluarga mangsa.

“Bantuan ini diberikan kepada mangsa bertepatan dengan salah satu fokus utama Yide membantu pihak ditimpa musibah khususnya di Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, penghuni rumah Razali Abdul Ghani berkata kebakaran yang berlaku dengan pantas mengakibatkan hampir keseluruhan struktur kediamannya hangus terbakar.

Orang ramai boleh berkongsi maklumat sekiranya berlaku musibah di kawasan masing-masing dengan menghubungi talian khidmat pelanggan Yide iaitu 017-7569476.

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide selesai agih lebih RM700,000 bantu 7,420 anak yatim

SHAH ALAM, 9 MEI: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) selesai memasukkan RM742,000 sumbangan Hari Raya Aildilfitri ke dalam akaun bank 7,420 anak yatim di negeri ini, kata pengurus besarnya.

Nur Mohd Razali berkata pihaknya melengkapkan penyerahan wang saku ke dalam akaun penerima dengan jumlah RM100 setiap seorang.

Beliau berkata bagi yang tidak mempunyai akaun bank pihaknya turun padang untuk menyerahkan sendiri sumbangan itu.

“Terima kasih juga kepada orang ramai, syarikat korporat dan anak syarikat Kerajaan Negeri yang turut sama membantu memberikan sumbangan kepada golongan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Agihan pada tahun ini membabitkan sembilan daerah di Selangor iaitu Klang seramai 1,288 penerima, Petaling (1,267), Sabak Bernam (400), Kuala Selangor (763), Hulu Langat (1,179), Sepang (330), Gombak (1,121), Hulu Selangor (543) dan Kuala Langat (529).

Yide menyeru kepada orang ramai dan syarikat korporat memuliakan anak yatim dengan terus menyumbang melalui platform pembayaran dalam talian melalui Billplz: https://yide.com.my/donations/infaq-dana-anak-yatim/ atau juga melalui Jom Pay (Biller Code: 81059 dan aplikasi Snap and Pay).

Sumbangan orang ramai boleh terus ke akaun korporat Yide, Bank Islam 1223 4010 0073 30 dan hubungi talian utama Yide untuk mendapatkan resit pelepasan cukai di talian 017-756 9476 atau 017-757 9478.

Setiap sumbangan dikecualikan cukai pendapatan dan potongan di bawah Subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967, Nombor Rujukan LHDN 01/35/42/51/179-6.7622, bertarikh 15 November 2019 melalui resit rasmi Yide.

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide sumbang sut khas kepada dua pusat dialisis

SHAH ALAM, 21 APRIL: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) semalam menyumbang sut pakaian perlindungan diri kepada pusat dialisis seliaannya di Kuala Selangor dan Sungai Besar.

Pengurus Besarnya Nur Mohd Razali Abdullah berkata sumbangan melalui Tabung Covid-19 Majlis Agama Islam Selangor untuk kegunaan petugas barisan hadapan di situ.

“Sumbangan ini sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada kakitangan pusat khidmat dialisis yang turut sama bertugas ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Yide turut menyerahkan 278 set makanan ringan kepada Pusat Perlindungan Baitul Ehsan, Pusat Pemulihan Baitul Islah dan Baitul Iman di Hulu Selangor dan Sabak Bernam.

Sumbangan boleh dibuat melalui http://fpx.mais.gov.my/epay/sedekah.php atau pindahan wang ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad (12038010134961) atas nama Mais (nyatakan Tabung Sumbangan Covid-19).

Untuk maklumat lanjut mengenai peranan Yide, boleh hubungi ibu pejabat di talian 03-5510 3931, e-mel [email protected] atau layari www.yide.com.my

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide bantu mangsa kebakaran di Gombak

SHAH ALAM, 22 APRIL: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) semalam menyumbang barang keperluan asas dan wang tunai kepada sebuah keluarga selepas rumah mereka di Jalan Kampung Kerdas Batu 6, Gombak terbakar Sabtu lalu.

Yide dalam kenyataan memaklumkan sumbangan tersebut salah satu inisiatif membantu mangsa ditimpa musibah terutama di Selangor.

“Mangsa dikenali Arifin Rahmat memaklumkan kebakaran berlaku dengan pantas dan struktur dua rumah miliknya hampir keseluruhan hangus terbakar. Punca kebakaran masih dalam siasatan bomba.

“(Bagaimanapun) mangsa yang mendiami rumah tersebut lebih 30 tahun bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa,” katanya memaklumkan bantuan diberi setelah menerima maklumat daripada wakil kariah Ahli Masjid Lama Batu 6 Gombak.

Orang ramai boleh berkongsi maklumat sekiranya berlaku musibah atau malapetaka di kawasan masing-masing dengan menghubungi talian 017-756 9476.

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide-Pizza Hut bakal kerjasama, sumbang makanan kepada anak yatim

KLANG, 19 APRIL: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) sedang memuktamadkan perbincangan dengan Pizza Hut Malaysia untuk memberi sumbangan makanan kepada rumah anak yatim sempena Ramadan.

Penolong Pengurus Perancangan Strategiknya Muhammad Hafiz Bahari berkata rumah anak yatim seliannya turut mendapat perhatian syarikat pengeluar gula Central Sugar Refinery Sdn Bhd (CSR).

“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, Yide turut mengagihkan bantuan makanan seperti beras, susu pekat, tepung, minyak, ikan dan ayam kepada rumah anak yatim tersebut,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata sehingga kini, Yide menyelia 17 rumah anak yatim dan sedang menganalisis bilangan penghuni dan rumah yang beroperasi kerana kebanyakan ditutup ketika PKP.

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide sumbang lebih 300 kotak makanan bantu penduduk Sungai Lui

HULU LANGAT, 14 APRIL: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) mengagihkan kira-kira 389 kotak bantuan makanan asas kepada penduduk di Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui di sini yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), kata pengurus besarnya.

Nur Mohd Razali berkata daripada jumlah itu, 100 kotak makanan disalurkan kepada Maahad Tahfiz Sungai Lui manakala 20 kotak Maahad Tahfiz Lembah Pengsun.

Katanya sumbangan makanan asas itu melibatkan kerjasama Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras) melalui agensi penguatkuasa di sini.

“Terdapat keperluan membantu penduduk di kawasan ini sepanjang tempoh PKPD dilaksanakan dan diharap ia sedikit sebanyak meringankan beban mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penyerahan sumbangan disertai Pegawai Daerah dan Tanah Hulu Langat Yusri Zakariah; Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Kajang Muhd Hanafi Jalaluddin; Setiausaha Mais Dr Ahmad Shahir Makhtar dan Pengurus Besar Teras Mohd Hasnul Redza Abdul Rahim.

Mohd Razali berkata agihan itu adalah hasil daripada sumbangan Tabung Prihatin Covid-19 Mais yang diwujudkan pada 20 Mac lalu.

Beliau turut mempelawa penyumbang untuk menyalurkan bantuan Tabung Prihatin Covid-19 Mais terus ke http://fpx.mais.gov.my/epay/sedekah.php atau pindahan wang ke nombor akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) (12038010134961) atas nama Majlis Agama Islam Selangor. (Nyatakan:Tabung sumbangan Covid19).

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide sumbang 1,500 set pelindung muka kepada petugas barisan hadapan

SHAH ALAM, 13 APRIL: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menyumbang 1,500 set pelindung muka kepada kakitangan barisan hadapan di tiga hospital dan sebuah pejabat kesihatan di Selangor hari ini, kata pengurus besarnya.

Nur Mohd Razali Abdullah berkata hospital yang menerima peralatan itu ialah Hospital Selayang, Hospital Kajang, Hospital Banting dan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat.

“Penghasilan Pelindung Muka atau dikenali Mahabbah Face Shield adalah kolaborasi di antara Yide dan Rumah Anak Yatim Kasih Harmoni Paya Jaras yang bertungkus-lumus menyediakan 1,500 unit untuk kegunaan pihak hospital,” katanya dalam kenyataan.

Penyerahan itu disertai penceramah terkemuka yang juga Ahli Majlis, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Dr Farid Ravi Abdullah dan Setiausaha Mais Dr Ahmad Shahir Makhtar.

Mohd Razali berkata pengagihan set pelindung muka adalah hasil daripada sumbangan Tabung Prihatin Covid-19 Mais yang ditubuhkan pada 20 Mac lalu bagi meringankan beban petugas hadapan.

Beliau turut mempelawa penyumbang untuk menyalurkan bantuan Tabung Prihatin Covid-19 Mais terus ke http://fpx.mais.gov.my/epay/sedekah.php atau pindahan wang ke nombor akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) (12038010134961) atas nama Majlis Agama Islam Selangor. (Nyatakan:Tabung sumbangan Covid19).