Categories
SELANGOR

Bina Dataran Anak Muda Serba Lengkap Untuk Belia Selangor

GOMBAK 7 APRIL : Kerajaan Negeri Selangor sedang giat merancang pembinaan dataran anak muda yang lengkap dengan kemudahan sukan khusus untuk golongan belia.

Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, peruntukan itu diperolehi menerusi Geran Selangorku berjumlah RM300 juta yang dilancarkan kerajaan negeri baru-baru ini.

Kata beliau, pihaknya tidak terlepas untuk memanfaatkan peruntukan itu untuk memperkasa golongan belia di negeri ini.

“Saya sedang rancangkan di setiap DUN satu padang serbaguna, di mana setiap padang yang akan disediakan itu memusatkan sukan futsal, bola jaring dan bola keranjang.

“Saya minta kerjasama dari ADUN dan Penyelaras DUN untuk mengenalpasti lokasi terbaik yang bakal mengumpulkan anak muda ini untuk bersukan,”jelasnya.

Menurut Dr Yunus lagi, rancangan dataran anak muda ini boleh diguna untuk sebarang aktiviti berkaitan belia dan bukannya terhad kepada satu-satu aktiviti sahaja.

“Menyedari golongan belia sebagai aset berharga kepada negeri, kita merasakan golongan ini berhak menerima pembaharuan dan pembangunan seperti ini.

“Menerusi dataran ini, keterlibatan ahli majlis, pihak berkuasa tempatan dan Adun boleh mendekati golongan belia,”jelasnya ketika berucap pada sesi pembukaan Kejohanan Futsal Jelajah Selangor Gen-S 2012 di daerah Selayang hari ini.

Kejohanan Futsal di daerah Selayang mendapat sambutan hangat dengan 48 pasukan mengambil bahagian.

Kejohanan ini adalah kesinambungan acara tahunan yang diadakan sejak 2009 yang melibatkan sembilan daerah di bawah kelolaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Selangor.

Menurut Dr Yunuslagi, kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan memperuntukkan RM10 ribu kepada setiap PBT bagi menjayakan kejohanan ini berbanding tahun sebelumnya yang hanya dibiayai oleh PBT sendiri.

Kejohanan Futsal Jelajah Selangor Gen-S 2011 yang bakal berlangsung di setiap 9 daerah di bawah kelolaan 12 Pihak Bekuasa Tempatan (PBT) di seluruh Selangor.

Dalam pertandingan ini johan akan memenangi RM1,000 beserta medal dan siijil. Naib Johan RM500.00 medal dan sijil manakala temapat ketiga RM250.00 medal dan sijil.

Categories
SELANGOR

MB: Tingkat Kredibiliti Untuk Jana Perkhidmatan Terbaik

SHAH ALAM, 5 MAC : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengingatkan penjawat awam di negeri ini untuk mempertingkatkan kredibiliti sejajar usaha kerajaan negeri memperkukuhkan integriti kakitangan awam demi memastikan memberi mutu perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Abdul Khalid berkata demikian semasa Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor yang dihoskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veteriner Selangor yang diadakan di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di sini.

” Jika saudara menjadi pemimpin yang mempunyai kreadibiliti, maknanya bukan saudara yang menentukan,tetapi orang yang berhubung dengan saudara itu yang menentukan samada saudara mempunyai kreadibiliti,” kata beliau.

Beliau juga menegaskan buku bertajuk “Credibility: How Leaders Gain and Lose It, Why People Demand It ” hasil tulisan Jossey-Bass, perlu dibaca oleh kalangan penjawat awam kerana buku tersebut memperincikan pengertian kreadibiliti dalam kepimpinan dan hubungan antara manusia supaya dapat diaplikasikan dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Exco Selangor, Teresa Kok, Rodziah Ismail,Ronnie Liu, Dr Xavier Jeyakumar, Dr Yunus Hairi, Dr Halimah Ali, Ean Yong Hian Wah, Dr Yaakob Sapari dan Pengarah Perkhidmatan Jabatan Veteriner Selangor, Dr Abdul Latif Borhan.

” Masyarakat lebih cenderung untuk memilih pemimpin bukan disebabkan oleh kuasa tetapi adalah hasil yang ada pada kuasa dia, kerana pemimpin itu memimpin melebihi jangkaan iaitu maknanya pimpinan itu akan menghasilkan apa yang dijanjikannya.

” Lebih 80 peratus mereka menilai kepimpinan itu kalau pemimpin itu boleh dipercayai,apabila pemimpin itu dipercayai maka dia tidak lagi perlu menjerit untuk memberikan arahan ke sana dan ke sini agar pekerja bawahannya melaksanakan kerja , ” katanya.

Abdul Khalid juga mengingatkan penjawat awam juga terus melaksanakan dan menghayati konsep amanah dalam menjalankan tugas.

” Saya ingin membawa negeri Selangor menjadi satu negeri yang mempunyai kredibiliti,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Veteriner Selangor, Dr Abdul Latif Borhan dalam ucapannya berkata Jabatan Perkhidmatan Veteriner telah membangunkan sembilan tapak projek ternakan yang baru berkeluasan enam puluh hektar di Hulu Selangor bagi program translokasi penternak.

“Pertembungan antara kawasan penempatan manusia dan kawasan penternakan telah menyebabkan isu alam sekitar dan kacau ganggu semakin hangat diperdebatkan pada masa ini.

Notis penutupan ladang ternakan telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan kerana lokasi ladang ternakan berkaitan tidak lagi sesuai dengan pembangunan kawasan sekitarnya,” katanya.

Menurut beliau lagi, berlaku operasi penutupan ladang telah dikuatkuasakan melibatkan sembilan buah ladang lembu tenusu dan dijangkakan banyak lagi operasi seumpamanya akan digerakkan.

“Jabatan Perkhidmatan Veteriner akur dengan keputusan kerajaan ini, malah akan terus membantu pihak berkuasa tempatan yang berkaitan memindahkan ternakan yang terlibat ke tempat lain.

“Namun selaku penjana dan pemelihara industri haiwan tempatan,jabatan ini juga prihatin dengan masalah yang dihadapi penternak yang terlibat,” kata beliau.

Kira-kira lebih 400 penjawat awam dari Jabatan Perkhidmatan Veteriner Selangor hadir dalam majlis perhimpunan bulanan itu.

 

 

 

 

 

 

Categories
SELANGOR

Dr Ahmad Yunus: Selangor Sasar Perbanyak Sekolah Agama

SIJANGKANG, 28 JAN : Kerajaan Selangor memerlukan sokongan dari ibu bapa bagi mengujudkan lebih banyak sekolah aliran agama dalam usaha menyeimbangkan tuntutan keperluan fizikal dan spiritual dikalangan generasi pelapis akan datang
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, bimbingan ibu bapa dan tunjuk ajar para guru sememangnya diperlukan bagi mrealisasikan generasi berhemah serta bertanggungjawab dimasa depan.

“Kerajaan negeri sentiasa berusaha membantu rakyat tidak kira golongan mana sekalipun. Kita akan membina lebih banyak sekolah agama khusus buat anak-anak di Selangor supaya mereka boleh menerima pembelajaran terbaik di negeri ini.

“Ini kerana, sekolah integrasi tahfiz dan sekolah agama seringkali menjadi pilihan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Saya juga berharap wujudnya komitmen dan kerjasama daripada ibu bapa sendiri untuk mendirikan sekolah agama swasta bagi pendidikan anak-anak,” katanya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sijangkang.

Dr Yunus berkata demikian selepas merasmikan Program Pemimpin Bersama Rakyat Dun Sijangkang di Dewan Batu 7, Kampung Sijangkang di sini pagi tadi.

Hadir sama, Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman dan kira-kira 200 penduduk Kampung Sijangkang.

Dalam majlis sama, Dr Ahmad Yunus turut menyerahkan pengiktirafan dan saguhati kepada kira-kira 135 pelajar daripada beberapa buah sekolah terpilih di Dun Sijangkang berdasarkan keputusan cemerlang yang diperolehi dalam Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) 2011.

Pelajar-pelajar cemerlang ini adalah antara para peserta yang telah menyertai program Mumtaz Milikku yang dianjurkan di sekolah untuk membimbing mereka sebagai

persediaan sebelum menghadapi peperiksaan.

Tambah beliau, program berbentuk ilmiah ini akan dilakukan secara berterusan di sekolah-sekolah terpilih supaya lebih ramai pelajar cemerlang dapat dihasilkan.

“Apabila program ini mula diperkenalkan, kita berkaya menghasilkan leboh 60 pelajar mumtaz (cemerlang) dan bertambah sehingga 106 orang pada tahun berikutnya, manakala untuk tahun ini sahaja seramai 135 pelajar cemerlang berjaya kita hasilkan.

Walaupun program ini menumpukan kepada pelajar yang baik-baik, namun pelajar yang lemah tidak dilupakan sebaliknya mereka berterusan menerima sokongan dan tunjuk ajar daripada para guru di sekolah,” jelasnya.

Program Mesra Rakyat yang berlangsung selama dua hari itu turut melibatkan beberapa aktiviti lain seperti forum “Mumtaz Dunia, Mumtaz Akhirat : Agenda Negara Berkebajikan”, gotong-royong, bicara ilmuan bersama Profesor Dr Aziz Bari, program Jom Shopping, Jogaton Pulau Carey , pemeriksaan kesihatan percuma dan sebagainya.

 

Pengalaman Membantu Dr Ahmad Yunus Menjadi Exco Belia dan Sukan

SHAH ALAM, 21 JAN : Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Dr Ahmad Yunus Hairi adalah pemimpin yang amat sesuai untuk membawa pembangunan belia dan sukan di Selangor ke tahap yang lebih cemerlang.

Menurutnya, Dr Ahmad Yunus sebagai pemimpin yang mewakili golongan muda dan belia tentunya lebih memahami akan kehendak golongan itu dan amat sesuai untuk jawatan tersebut.

Sebelum perlantikannya sebagai exco pada 18 Januari, portfolio belia dan sukan disandang Menteri Besar sendiri. Pada masa itu Dr Ahmad Yunus menjadi pembantu kepada Abdul Khalid di dalam portfolio tersebut.

Kini, Dr Ahmad Yunus, yang juga ADUN Sijangkang, bertanggungjawab terhadap portolio Pembangunan Belia dan Sukan dan Adat Resam Melayu.

“Itulah sebabnya Kerajaan Negeri Selangor berpendapat belia dan sukan ini perlu diperhebatkan.

“Jadi oleh sebab itu saya mengucapkan tahniah kepada Dr Ahmad Yunus yang sekarang jadi Exco Belia dan Sukan menggantikan Menteri Besar. Dr Ahmad Yunus ialah seorang belia yang bersedia untuk memberikan sumbangan demi kejayaan sukan negeri Selangor.

Kerajaan negeri akan terus membiayai pembangunan sukan di Selangor bagi melahirkan barisan atlet yang berpotensi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Abdul Khalid berkata pihaknya menyediakan peruntukan lebih RM30 juta bagi tujuan itu.

“Walaupun ada kalanya pembangunan sukan perlu dibuat melalui Kementerian Belia dan Sukan tetapi Kerajaan Negeri ingin menambah nilai dengan menyediakan belanjawan yang akan dapat memberikan sumbangan kepada pembangunan sukan untuk negeri Selangor.

Sejumlah lebih daripada RM30 juta akan kita sediakan untuk program pembangunan ini. Jadi sebab itulah pada saya dengaan adanya exco yang bertugas khas untuk tugas-tugas ini dan disokong Majlis Sukan Negeri Selangor dan jawatankuasanya akan membawa satu era baru dan semangat baru,” katanya dalam Majlis Perasmian Penutup Sukan Selangor (Sukses) ke 9 di sini semalam.

Turut hadir, Exco Pemodenan Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Pengurusan Sumber Alam, Dr Yaakob Sapari.

Dalam majlis itu Abdul Khalid menyampaikan hadiah kepada Olahragawan dan Olahragawati Sukses iaitu dua atlet memanah, Hay Cheng Feng, 17 dan Siti Farah Izzati Mohd Masron, 14 serta daerah Petaling sebagai Juara Keseluruhan yang mengumpul 37 emas, 26 perak dan 29 gangsa.

Menteri Besar turut menyerahkan insentif dari Kerajaan Negeri berjumlah RM164,200 kepada 58 atlet Selangor yang mewakili Malaysia di Kejohanan Sukan Sea 2011 di Indonesia.

Mengambil contoh Sukses ke-9 yang berlangsung dari 10 hingga 20 Januari lalu, katanya, menjadi medan untuk pencarian bakat-bakat muda sukan yang berpotensi dari peringkat akar umbi untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

Maka, tegasnya, Kerajaan Negeri akan terus membantu semua pihak termasuk Majlis Sukan Negeri Selangor, persatuan sukan dan pihak berkuasa tempatan yang sentiasa berusaha gigih dalam menjayakan program sukan seperti itu.

“Saya dapati Sukses adalah tapak utama untuk kita memilih ahli sukan untuk bersedia bagi Sukan Malaysia (Sukma). Saya mengingatkan dalam sukan tiada jalan mudah tetapi kena ada latihan.

Jadi sebab itulah saya percaya selepas Sukses ini kita akan teruskan latihan kepada mereka yang dianggap sesuai untuk menyertai dan mengambil bahagian mewakili Selangor,” katanya.

Categories
SELANGOR

Dr Ahmad Yunus Ganti Hasan Ali

SHAH ALAM 18 JAN: Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi mengangkat sumpah sebagai exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrustruktur dan Kemudahan Awam menggantikan Datuk Hasan Ali yang di pecat dari PAS 8 Januari lalu.
Dr Ahmad Yunus mengangkat sumpah di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pagi ini.

Beliau juga sebelum ini merupakan pembantu Exco Belia dan Sukan iaitu portfolio yang di pegang oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Hasan Ali di pecat dari PAS dan di beri tempoh sehingga 7 Februari untuk berbuat demikian.

Spekulasi sebelum ini berpihak kepada Adun Meru, Dr Rani Osman bagi menggantikan Hasan. Menurut sumber Dr Rani dikatakan menolak pencalunan tersebut.