Categories
NASIONAL

Selangor Peruntuk RM165,000 Bangun Sekolah Tamil Dan Kuil di Ijok

BESTARI JAYA,5 SEPT : Kerajaan Selangor memperuntukkan kira-kira RM 165,000 bagi pembangunan sekolah Tamil dan kuil Hindu di kawasan Ijok bagi memastikan pendidikan dan kebajikan masyarakat India terus terjamin.

Dana itu diserahkan dalam bentuk cek oleh Adun Ijok Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar yang juga kepada wakil-wakil sekolah dan kuil yang diadakan di Dewan Masyarakat di sini.

Sebanyak sembilan buah sekolah jenis Tamil dan lima buah kuil di DUN Ijok menerima sumbangan bantuan pembangunan itu.

Abdul Khalid dalam ucapannya berkata, kejayaan dalam pendidikan akan membawa kemajuan kepada Selangor justeru kerajaan memberikan keutamaan bagi membangunkan pendidikan kepada semua masyarakat.

“Sehingga kini sejak 2008, lebih RM 50 juta sudah diperuntukkan untuk pembangunan pendidikan di negeri ini,” kata Abdul Khalid.

Turut hadir,Ahli Parlimen Kuala Selangor,Dr Dzulkefly Ahmad, Exco Pendidikan,Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Modal Insan,Dr Halimah Ali.

Juga hadir Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin,Dr Xavier Jayakumar, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor,Noraini Roslan dan Pegawai Daerah Kuala Selangor, Datuk Misri Idris.

Dr Xavier dalam ucapannya berkata, Sekolah Tamil Desa Coldfield yang telah dimulakan pembinaannya oleh Kerajaan Selangor dijangka siap dalam masa setahun.

Sekolah yang terletak di atas kawasan seluas 4 ekar itu dibina dengan kos RM 3 juta.

“Kita juga akan teruskan pembinaan rumah pekerja-pekerja ladang bagi menjaga kebajikan mereka,” kata Dr Xavier.

Dr Halimah berkata, pelbagai rancangan telah dilaksanakan untuk membangunkan semua jenis sekolah di Selangor yang selama ini kurang diberi perhatian oleh kerajaan pusat.

“RM 16 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri kepada sekolah jenis Tamil sejak 2008,” kata Dr Halimah.

Sementara itu, Ahli Majlis Kuala Selangor,R Tanarasu berkata, kerajaan Pakatan Rakyat dalam empat tahun telah banyak menyalurkan bantuan demi kebajikan rakyat khususnya masyarakat India di kawasan DUN Ijok ini.

“Sebelum 2008, sekolah-sekolah dan kuil-kuil kurang mendapat bantuan dan peruntukan daripada kerajaan negeri Selangor sebelum ini,” ujarnya.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Sambutan Rumah Terbuka DUN Ijok Meriah Dengan Kehadiran 1,000 Tetamu

BISTARI JAYA 02 SEPT : Orang ramai tidak putus-putus membanjiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri bagi DUN Ijok di Kampung Jaya Setia, di sini, semalam.

Kira-kira 1,000 penduduk pelbagai kaum menyerikan rumah terbuka bagi DUN Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu.

Majlis bermula jam 2 petang dan berakhir pada 6 petang.

Abdul Khalid ditemani isterinya, Puan Sri Salbiah Tunut sempat melawat ke gerai-gerai makanan dan bersalam dengan penduduk yang mengunjungi sambil mengucapkan selamat hari raya.

Selain berpeluang menjamu selera dengan pelbagai jenis juadah, wakil dari sekolah di sekitar DUN turut mendapat bantuan wang tunai, sumbangan peribadi kepada ketua kampung manakala kanak-kanak diberikan duit raya.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Zulkefly Ahmad ; Ahli-ahli Majlis Majlis Daerah Kuala Selangor dan Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin.

Rumah terbuka itu dianjurkan Pejabat DUN Ijok dengan kerjasama pejabat Ahli Parlimen Kuala Selangor.

Sementara itu,ketika ditemui Ketua Kampung Jaya Setia, Osman Badaei berkata persaudaraan dan perpaduan rakyat negara ini dapat digambarkan melalui kesediaan umat Islam mengadakan rumah terbuka untuk meraikan kunjungan tetamu.

Beliau berkata, melalui majlis rumah terbuka, perpaduan bukan sahaja dijalin antara umat Islam malah lebih istimewa lagi apabila perayaan itu turut disambut oleh penganut agama lain apabila mereka berkunjung ke rumah umat Islam.

Seorang lagi penduduk Hashim Kasmani, 54, berkata kehadirannya ke rumah terbuka itu adalah untuk mengambil peluang bersemuka dan bersalam dengan Menteri Besar selain untuk memeriahkan suasana.

Manakala bagi Siti Idayu, 45, berkata beliau mengambil peluang untuk hadir kerana sambutan hari raya sedemikian hanya setahun sekali.

“Jadi disamping itu kita dapat mengeratkan silaturahim dan memeriahkan suasana,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB: Serangan Bas Perbuatan Tidak Demokratik

 

BISTARI JAYA 02 SEPT : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan perbuatan samseng ke atas serangan bas Merdeka Rakyat di Kota Bahru, Kelantan semalam, tidak menggambarkan negara demokrasi.

Dengan nada sinis, Abdul Khalid berkata sekiranya pihak yang terlibat mahu mengikut inisiatif dari PKR itu, lakukan sahaja bukannya dengan cara mensabotaj seperti itu.

“Kalau mahu ikut cara itu ikutlah. Boleh buat cara yang sama, guna bas juga.

“Kalau mahu marah, marah sendiri bukan marah orang lain. Cara samseng ini tidak menggambarkan negara demokrasi,” katanya dalam ucapan di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2012 DUN Ijok, di sini.

Hadir sama Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Zulkefly Ahmad.

Beliau berkata bas bergerak itu akan tetap meneruskan program Jelajah Merdeka Rakyat walaupun berhadapan dengan kekangan seperti kejadian itu.

Semalam, kira-kira jam 4.30 pagi, bas Merdeka Rakyat yang memulakan perjalanan di sebelah pantai timur dicemari dengan insiden buruk apabila ia diserang di Kota Bharu.

Memetik laporan portal rasmi PKR, keadilandaily.com akibat serangan itu cermin depan retak dan simbahan cat merah di bahagian depan bas dua tingkat yang digunakan untuk program jelajah Merdeka Rakyat.

Kejadian berlaku ketika bas berkenaan diparkir di depan pasar besar Siti Khadijah, Kota Bharu.

Bas berkenaan sebelum ini dinaiki Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat.