Categories
SELANGOR

Jana Niaga Perlu Bertanggungjawab Baiki Asrama Unisel

Prof Anuar Unisel 01

SHAH ALAM 10 JAN : Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) perlu bertanggungjawab sepenuhnya untuk membaik pulih asrama pelajar Universiti Selangor (Unisel) yang mengalami masalah tanah mendap dan mengancam struktur bangunan asrama tersebut.

Naib Canselor, Prof Dr Anuar Ahmad berkata, sebanyak 44 blok asrama yang dibina di atas tapak lombong bijih timah pada 2002 itu kini tidak selamat untuk didiami.

“Kesilapan besarnya ialah kedudukan asrama Unisel itu dibuat di atas tapak lombong yang tidak dibuat ‘rawatan’ dengan betul.

“Ini masalah pada 2002 – 2005 di mana ia dibuat mungkin hanya untuk mendapatkan keuntungan yang cepat dan banyak atau sebagainya yang tidak diketahui,” kata Dr Anuar ketika ditemui di pejabatnya di sini.

Jelas beliau, sewajarnya pihak yang membinanya dahulu menggunakan kaedah ‘accelerated settlement’ yang mana apabila berlaku pemendapan ia tidak mengancam struktur keseluruhan keselamatan bangunan.

Ujarnya lagi, turut berlaku masalah sistem kumbahan yang menyebabkan pihak Unisel terpaksa menanggung masalah itu.

“Selepas dua tahun asrama siap, baru sistem rawatan kumbahan siap pada 2007 di mana pelajar sudah mendudukinya pada 2005, jadi ke mana kumbahan itu dibuang,” katanya.

Katanya, pihak Unisel dalam proses menamatkan kontrak Jana Niaga ekoran beberapa pelanggaran syarat dan terma perjanjian.

Kini pelajar ditempatkan di kediaman sementara di Kota Puteri, Ijok; Azalea Court Bandar tasik Puteri, Rawang; Resort Mega Crystal Kuala Selangor; Taman Ilmu di Bestari Jaya dan Bukit Minyak di sekitar daerah Kuala Selangor.

Beliau berkata, pihak Unisel turut menyediakan perkhidmatan bas ulang alik dengan kadar sewa bulanan RM200 sebulan termasuk pengangkutan, utiliti api dan air serta khidmat kawalan keselamatan.

“Kerajaan Negeri sudahpun memberikan peruntukan sebanyak RM10 juta yang sudah masuk ke dalam akaun Unisel dan jika Jana Niaga tidak membuat pembaikan kita akan tamatkan kontraknya,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor menyediakan peruntukan RM 20 juta untuk kerja-kerja pembaikan asrama tersebut sekiranya JNSB enggan bertanggungjawab.

Leave a Reply

Your email address will not be published.