Categories
NASIONAL SELANGOR

Serang Ibu Pejabat, PKR Kesal Polis Tidak Ambil Tindakan

Rafizi HQ PKR 12 MAC 2013 02

PETALING JAYA, 12 MAC : PKR hari ini melahirkan kekesalan terhadap pasukan polis yang tidak mengambil sebarang tindakan bagi menghentikan perlakuan ganas tiga NGO pro Umno-BN yang menyerang ibu pejabat parti itu, di sini, petang semalam.

Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli berkata, tindakan polis yang hanya ‘berpeluk tubuh’ semasa serangan itu berlaku disifatkan sangat memalukan apatah lagi Balai Polis Tropicana hanya terletak dua pintu dari ibu pejabat PKR.

Menurutnya, selain bertindak ganas, pengikut-pengikut Umno-BN ini juga mengugut membakar ibu pejabat parti itu yang sekaligus membuktikan bahawa ia adalah satu ancaman jenayah.

“Saya menasihati pimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya mengambil berat terhadap kejadian-kejadian ganas yang semakin meningkat dan mengenakan tindakan keras terhadap mereka yang menjadi dalang.

“Pimpinan tertinggi PDRM juga wajiblah menolak sebarang anasir yang cuba mengambil kesempatan daripada peristiwa pencerobohan di Lahad Datu untuk menekan lawan politik seperti yang berlaku sekarang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, pagi tadi.

Rafizi berkata, insiden sama turut berlaku di Melaka (yang melibatkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan di hadapan pejabat Ahli Parlimen Batu, Tian Chua di Jalan Ipoh, minggu lepas.

Rafizi turut tidak menolak dakwaan bahawa serangan tersusun oleh Umno-BN yang mengambil kesempatan daripada peristiwa pencerobohan di Lahad Datu sebagai modal politik untuk menimbulkan kebencian terhadap Anwar.

“Siri keganasan ini dipertingkatkan kebelakangan ini bersempena kempen fitnah yang cuba mengaitkan Anwar dan pimpinan PKR yang lain kononnya sebagai dalang peristiwa pencerobohan di Lahad Datu.

“Malah saya tidak menolak kemungkinan politik kebencian atas kesempatan pencerobohan di Lahad Datu mungkin digunakan anasir tertentu dalam Umno-BN untuk memastikan Anwar sendiri ditahan, disiasat dan didakwa di bawah undang-undang keselamatan,” katanya lagi.

Semalam penyokong NGO pro Umno-BN bertindak melemparkan telur, kayu dan kon trafik ke arah penyokong PKR di luar ibu pejabat parti itu.

Tiga kumpulan berkenaan, yang terdiri daripada 50 orang turut membakar bendera PKR di luar premis tersebut.

Perhimpunan dianjurkan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Pertubuhan Warisan dan Kebajikan Anak Malaysia, Selangor (Waris Malaya) dan Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI).

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.