Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Banjir: Syarikat berkaitan kerajaan digesa hulur bantuan untuk Dapur Ehsan

SHAH ALAM, 21 DIS: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri ini diminta tampil menyumbang dalam program Dapur Ehsan supaya lebih ramai mangsa banjir menerima bantuan makanan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sumbangan terhadap program digerakkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mampu meringankan beban mangsa terutama di kawasan dilanda banjir teruk.

“Kebanyakan mangsa berada di PPS (pusat pemindahan sementara) sudah ada jaminan bekalan makanan diselaras kerajaan tetapi masih ramai terputus bekalan di beberapa lokaliti antaranya Taman Sri Muda dan Kampung Baru Hicom.

“Saya minta agar anak syarikat lain turut menyumbang dalam program ini. Saya juga telah hubungi beberapa (GLC) dan mereka sedang aturkan, mungkin esok jumlah bungkusan makanan ditambah,” katanya.

Beliau ditemui pada program gotong-royong Dapur Ehsan anjuran PKPS di kediaman rasminya di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi.

Dalam program itu, Amirudin meluangkan masa memasak makanan tengah hari untuk diedarkan kepada rakyat Selangor ditimpa musibah banjir.

Sementara itu, Dr Mohamad Khairil memaklumkan antara 1,500 hingga 2,000 pek makanan tengah hari disediakan kakitangannya untuk diagih kepada mangsa terjejas sekitar bandar raya ini.

Menurutnya, sebanyak RM3,000 diperuntuk sehari bagi menjayakan program Dapur Ehsan sehingga situasi banjir pulih sepenuhnya.

Categories
NASIONAL

NGO dedah Umno BN guna jentera kerajaan pada PRU 13

PRU-13SUBANG JAYA 19 SEPT: Badan bukan kerajaan (NGO) yang memantau proses pilihan raya umum ke-13 (PRU 13) mendapati kempen Umno BN banyak menyalahgunakan jentera kerajaan pusat dan negeri.

Saksi, Yasmin Masidi dari Badan Bebas Pemantau Pilihan raya (Pemantau), mendapati jentera kerajaan termasuk milik Felda, Felcra dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) disalah guna sepanjang tempoh itu.

Katanya, sebanyak 22 peratus laporan yang diterima daripada keseluruhan kawasan Parlimen merujuk isu penggunaan jentera kerajaan pusat dan negeri.

Justeru, beliau yang membentang laporan pemerhatian berdasarkan maklum balas dari 2,000 sukarelawan Pemantau, membuat kesimpulan PRU tidak bersih.

“Pemantau membuat kesimpulan PRU 13 tidak bebas sepenuhnya dan tidak adil,” katanya.

Yasmin berkata, Pemantau juga menggesa beberapa penambahbaikan kepada undang-undang pilihan raya bagi memastikan proses pilihan raya bersih dan adil.

Antaranya, kata beliau, ialah meminda beberapa peraturan undang-undang agar menghormati prinsip kebebasan yang menepati aspirasi Perlembagaan Persekutuan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pinjaman Berisiko Rendah Pada KDEB Supaya GLC Itu Boleh Untung

KDEB 01

SHAH ALAM 5 JULAI : Pinjaman yang disalurkan Kerajaan Selangor kepada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) adalah supaya anak syarikat itu dapat mengambilalih dan membeli pegangan saham dalam Kumpulan Hartanah Sdn Bhd (KHSB).

Pembelian itu kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim boleh mendatangkan keuntungan tinggi kepada KDEB, yang merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kerana aset hartanah KHSB dianggarkan bernilai kira-kira RM 6 bilion.

Sekiranya KDEB mendapat perolehan sekurang-kurangnya 20 peratus daripada aset itu, ia boleh menjana pendapatan sebanyak RM 1.2 bilion.

Abdul Khalid menjelaskan pinjaman sementara dengan kadar faedah empat peratus itu perlu dibayar balik dalam tempoh kurang setahun.

Pinjaman RM 413 juta itu merupakan sebahagian daripada RM 761.44 juta perbelanjaan pembekalan tambahan yang dipohon oleh Kerajaan Negeri di dalam satu enakmen di Dewan Negeri Selangor semalam.

“Kita hanya meminjamkan kepada KDEB secara sementara supaya ia dapat gunakan dana itu dan memulakan proses mengambilalih saham dalam KHSB 100 peratus.

“Usaha itu dilakukan kerana KDEB berpendapat aset dalam KHSB tidak diuruskan dengan baik,” katanya ketika membahaskan enakmen perbelanjaan tambahan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Tambah Abdul Khalid lagi, pinjaman sementara dari Kerajaan Negeri itu bukan risiko kerana KDEB akan memiliki pegangan sepenuhnya dengan perolehan melebihi RM 413 juta.

“Dalam tempoh tujuh ke lapan bulan Kerajaan Negeri akan dapat balik wang itu dari KDEB,” katanya.