Categories
AGENDA NASIONAL

1,696 pegawai, anggota bomba dijangkiti Covid-19 sejak pandemik

BUKIT MERTAJAM, 22 NOV: Seramai 1,696 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara dijangkiti Covid-19 dengan dua daripada mereka meninggal dunia sejak pandemik itu melanda negara bermula Mac tahun lepas.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata ketika ini seramai 68 pegawai dan anggota bomba sedang menjalani kuarantin dan menerima rawatan akibat penyakit tersebut.

“Dua yang meninggal adalah pegawai kanan yang bertugas di Sabah dan pegawai lain-lain pangkat berkhidmat di Negeri Sembilan, mereka dijangkiti daripada komuniti bukan ketika sedang bertugas.

“Mereka yang positif juga tidak melibatkan jangkitan dalaman dari balai bomba sendiri sebaliknya jangkitan daripada komuniti, dengan kebanyakannya melakukan kuarantin di rumah kerana tidak mengalami gejala yang teruk,” katanya.

Beliau berkata demikan pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020 JBPM Pulau Pinang di sini, hari ini.

Pada majlis itu yang turut dihadiri Pengarah JBPM negeri Saadon Mokhtar, seramai 105 pegawai dan anggota menerima pingat, anugerah perkhidmatan cemerlang dan sijil 30 tahun perkhidmatan.

Mengulas lanjut, Mohammad Hamdan berkata 98 peratus daripada 14,500 pegawai dan anggota bomba di seluruh negara telah lengkap divaksin dengan 26 peratus sudah menerima dos penggalak vaksin COVID-19.

Katanya semua pegawai dan anggota bomba memang digalakkan untuk mendapatkan suntikan dos penggalak supaya mereka dapat lebih perlindungan ketika menjalankan tugas terutama semasa membantu mangsa banjir.

“Kita turut menekankan kepentingan mengambil dos penggalak. JBPM sentiasa mengambil berat tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang menjalankan tugas termasuk pemakaian set pakaian pelindungan diri (PPE),” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya menubuhkan Skuad Penyelamat Bangunan Tinggi di Kuala Lumpur bagi membantu menyelamatkan mereka yang cuba membunuh diri berikutan peningkatan kes tersebut akibat krisis pandemik Covid-19.

“Skuad ini bukan sahaja dilengkapi alatan khas ketika menyelamat di bangunan, malah pegawai dan anggotanya diberi latihan pengendalian secara fizikal serta psikologi kerana kita perlu ‘berlawan’ dan memujuk mereka yang mahu membunuh diri,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Belanjawan negeri: Penggiat pelancongan harap bantuan geran kewangan dilanjut

SHAH ALAM, 22 NOV: Penggiat sektor pelancongan negeri ini berharap bantuan geran kewangan berjumlah RM1 juta dilanjutkan tahun depan melalui Belanjawan #Selangor2022.

Insentif secara pengembalian kewangan wajar diteruskan bagi mempergiat aktiviti promosi pelancongan Selangor dan luar negeri, kata pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Selangor.

“Memandangkan sektor pelancongan sudah dibenarkan, kita minta Kerajaan Selangor pertimbang untuk sambung semula bantuan ini supaya kita boleh promosi pelancongan dalam dan luar negeri.

“Geran ini sememangnya banyak membantu kami (penggiat sektor pelancongan), namun buat masa ini tidak boleh digunakan untuk promosi pelancongan luar Selangor,” kata Gopalan Mariappan ketika dihubungi hari ini.

Pada 9 Jun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan bernilai RM2.55 juta bagi kelangsungan industri pelancongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Inisiatif terkandung dalam Pakej Bantuan Kita Selangor 2.0 merangkumi geran bantuan kewangan, baucar pelancongan Selangor 2.0, program latihan pembelajaran pendigitalan dan bantuan kewangan tunai kepada 16 persatuan pelancongan negeri.

Melalui inisiatif geran bantuan kewangan, amaun boleh dituntut berdasarkan satu penyertaan atau pelaksanaan iaitu 50 peratus daripada jumlah perbelanjaan sebenar atau mengikut kelayakan maksimum yang mana lebih rendah.

Categories
AGENDA NASIONAL

Jadual baharu peperiksaan SPM 2021 dikeluarkan dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengeluarkan jadual baharu bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dalam masa terdekat, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau menerusi satu video yang dimuat naik di akaun Facebook Dr Radzi Jidin hari ini berkata KPM menerima banyak pandangan daripada ibu bapa dan calon SPM 2021 berkaitan jadual SPM 2021, yang telah dikeluarkan oleh KPM.

“Kami (KPM) mengambil kira semua pandangan yang diberikan dan saya telah duduk berbincang bersama Lembaga Peperiksaan dan pengurusan tertinggi KPM untuk melihat, mengambil tindakan sewajarnya, dan menganalisis satu persatu pandangan.

“Insya-Allah kita (KPM) akan keluarkan satu jadual baharu berkaitan SPM 2021 dalam masa yang terdekat,” katanya dalam video berdurasi lebih satu minit itu.

Video yang turut dikongsi di akaun Facebook KPM itu mendapat komen positif daripada netizen yang menzahirkan terima kasih dan rasa syukur.

Radzi turut merakamkan ucapan terima kasih kepada ibu bapa dan calon SPM 2021 yang telah memberi pandangan mereka berkaitan jadual peperiksaan SPM 2021 yang diumumkan sebelum ini.

KPM menerusi satu kenyataan pada 17 Nov lepas memaklumkan bahawa jadual waktu peperiksaan bagi SPM, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Ujian Pencapaian Bahasa Antarabangsa (UPBA) 2021 telah disediakan, dan boleh dimuat turun dari laman web rasmi Lembaga Peperiksaan di alamat lp.moe.gov.my bermula tarikh tersebut.

Pengumuman jadual itu menerima pelbagai reaksi daripada ibu bapa dan pelajar. Media turut melaporkan terdapat pihak yang meminta jadual SPM 2021 yang akan berlangsung pada 3 hingga 20 Mac 2022 dikaji semula, terutama kertas peperiksaan yang diadakan pada hari Jumaat dan Ahad.

Ini memandangkan Jumaat merupakan hari umat Islam melaksanakan solat Jumaat, manakala Ahad ialah hari penganut Kristian ke gereja.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat peranginan terkemuka Langkawi tutup sementara, kes Covid-19 kalangan pekerja

ALOR SETAR, 22 NOV: Sebuah tempat peranginan terkemuka di Langkawi ditutup sementara mulai hari ini berikutan terdapat kes positif Covid-19 dalam kalangan pekerja di premis itu.

Pengarah Kesihatan Kedah Dr Othman Warijo berkata penutupan berkenaan atas inisiatif pihak tempat peranginan itu sendiri untuk mengekang penularan wabak tersebut sekali gus menjamin keselamatan pekerja serta pelancong.

Tanpa memberikan maklumat terperinci, beliau berkata hasil siasatan awal pihaknya mendapati kes itu merupakan penularan tempatan dalam kalangan pekerja tempat peranginan itu dan tidak melibatkan pelancong tempatan mahupun antarabangsa.

“Pengesanan awal kes ini didapati apabila pekerja resort itu sendiri membuat ujian kendiri saringan Covid-19 yang perlu dibuat setiap dua minggu, dan 17 kes positif telah disahkan pihak Jabatan Kesihatan negeri setakat ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dr Othman berkata pihaknya sedang mengesan kontak rapat terhadap kes itu dan memohon mana-mana individu terlibat yang mengalami gejala seperti demam, sakit tekak dan sesak nafas yang teruk segera membuat ujian saringan Covid-19 dan mendapatkan rawatan lanjut di kemudahan kesihatan berhampiran.

Sementara itu, Datai Langkawi dalam kenyataan hari ini memaklumkan tempat peranginan itu telah mengambil keputusan proaktif untuk menutup sementara premis berkenaan untuk tempoh sekurang-kurangnya 10 hari bermula hari ini.

Kenyataan itu menyebut pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan serta sebarang arahan selanjutnya telah dilaksanakan dengan segera termasuk permbersihan dan sanitasi oleh syarikat bertauliah di kuarters kakitangan serta keseluruhan tempat peranginan itu.

“Pengurusan resort juga secara bebas dan proaktif memulakan protokol ujian penuh untuk semua pasukan (kakitangan), sebagai sebahagian daripada programnya dengan langkah berjaga-jaga yang tinggi,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

Belanjawan #Selangor2022: Bantu perkasa usahawan industri halal

SHAH ALAM, 22 NOV: Belanjawan #Selangor2022 diharap dapat menumpukan usaha memperkasa usahawan dalam industri halal.

EXCO Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata tumpuan perlu diberikan kepada golongan tersebut yang turut terjejas susulan pandemik Covid-19.

“Selain itu, belanjawan kali ini juga dapat memberi penekanan kepada ekosistem ekonomi rakyat bagi memastikan semuanya kembali normal dan lancar selepas berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya juga berharap lebih banyak program pendidikan diwujudkan  kerana sektor itu banyak tertangguh selain dapat membantu pembelajaran murid,” katanya ditemui dalam Program Penyerahan Anugerah Kedai Harga Patut (AKHP) 2021 hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis berharap Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang menawarkan 33 kemudahan kepada rakyat negeri ini dapat dikekalkan.

“Program-program bantuan seperti ini diharap dapat dimantapkan lagi terutama untuk manfaat golongan kurang berkemampuan,” katanya.

Terdahulu dua premis di daerah ini iaitu Kedai Buku MRKB Seksyen 19 dan Pusat Pakaian Hari-Hari Ole-Ole Seksyen 18 diiktiraf AKHP 2021 anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Selangor.

Belanjawan #Selangor2022 dijadual dibentangkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada Jumaat ini.

Pembentangan itu boleh diikuti secara langsung menerusi media sosial https://www.facebook.com/MediaSelangor

Pada 8 Oktober lalu, Amirudin menerusi sesi taklimat belanjawan memaklumkan semua Ahli Dewan Undangan (ADN) dan pimpinan komuniti Selangor terlibat dalam penyediaannya.

Malah, sesi taklimat itu juga melibatkan wakil rakyat pembangkang dan bebas dalam membincangkan intipati belanjawan yang lebih konstruktif demi manfaat rakyat.

Categories
AGENDA NASIONAL

EXCO: Tiada kes taun baharu dilapor, pemantauan diteruskan

SHAH ALAM, 22 NOV: Tiada kes taun atau kolera baharu dilaporkan di Selangor setakat ini namun langkah pemantauan masih diteruskan dengan ujian segera dilakukan kepada pesakit yang mengalami cirit-birit, muntah dan demam bagi mengesan penyakit itu.

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Dr Siti Mariah Mahmud berkata hanya satu kes dilaporkan pada 21 Okt lepas dan pesakit tersebut kini telah sembuh sepenuhnya.

“Jabatan Kesihatan Negeri Selangor telah melakukan ujian pengesanan di semua lokasi yang terlibat dan semua ujian tersebut adalah negatif. Alhamdulillah, tiada kes tambahan dan kes kini kosong jadi kami tidaklah kata ia sebagai epidemik.

“Jadi insya-Allah, boleh (dikatakan Selangor bebas taun) namun kami masih memantau mana-mana kes cirit-birit, muntah dan demam yang dilaporkan di klinik awam atau swasta, secara automatik ujian akan dilakukan ke atas pesakit untuk mengesan risiko jangkitan taun,” katanya pada pemberita selepas merasmikan talian hotline keganasan rumah tangga, SELamat di sini hari ini.

Dalam pada itu, mengenai kes Covid-19 di Selangor beliau berkata data terkini menunjukkan terdapat sedikit peningkatan dan dikhuatiri trend tersebut akan terus meningkat.

Menurut beliau perkara itu berlaku kerana tahap imunisasi kebanyakan penerima vaksin semakin menurun memandangkan program vaksinasi itu telah bermula sejak Mac lepas dan menggalakkan orang ramai untuk mengambil dos penggalak.

“Kerajaan negeri juga telah memperuntukkan RM10 juta untuk memantau mereka yang dikuarantin di rumah melalui sistem di aplikasi SELangkah dan kami mahu kesan dan rawat pesakit awal kerana tidak mahu ada kematian di luar hospital (BID) dan sebagainya kerana virus itu masih ada di sekeliling kita,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Rosyam Nor ‘tabik’ usaha Selangor anjur ekspo, bantu usahawan ketika pandemik

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Pelakon dan penerbit terkenal tanah air Datuk Rosyam Nor menghargai usaha Kerajaan Negeri menganjurkan Ekspo Selangor Antarabangsa (SIE) makanan dan minuman (F&B) 2021 yang merupakan sebahagian acara Sidang Kemuncak Perniagaan (SIBS) 2021.

Menurut pelakon filem Castello itu, ekspo seperti ini sebenarnya dapat memperkenalkan produk tempatan di pasaran Malaysia mahupun luar negara.

“Memasarkan sesuatu produk bukan mudah terutama ketika pandemik Covid-19. Oleh demikian, kita berharap dengan adanya ekspo ini dapat memperkenalkan produk Malaysia ke pasaran antarabangsa.

Pelakon dan penerbit Datuk Rosyam Nor pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 21 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Selain itu, kita juga menyasarkan dengan penyertaan dalam ekspo ini dapat mengembangkan perniagaan dengan mencari rakan kongsi dan menambah ejen,”katanya kepada SelangorKini.

Rosyam Nor berkata produk Adraa yang berasaskan durian belanda dan kaya dengan antioksidan mula berada di pasaran pada 2018 selain ia merupakan antara perniagaan baharunya.

“Tiga produk tersebut ialah Adraa Graviola Gold merupakan pati minuman campuran durian belanda, teh daun durian belanda dan jus minuman.

“Produk durian belanda ini memberi impak pada kesihatan dan membantu menguatkan sel dalam badan. Orang ramai yang berminat boleh menghubungi 0193393448,”katanya.

SIE (F&B) 2021 sebahagian program Sidang Kemuncak Perniagaan (SIBS) 2021 selama empat hari bermula 18 November yang berlangsung secara hibrid.

Sebanyak RM11 juta diperuntuk meliputi pembangunan dan penyelenggaraan portal perniagaan, selain pemasaran dan pembangunan bagi sembilan acara utama.

Acara diadakan termasuk Persidangan Perniagaan Asean Selangor, Konvensyen Digital Ekonomi dan Bandar Pintar Selangor serta Ekspo Selangor Penyelidikan dan Pembangunan dan Inovasi 2021.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pekerja kedai perabot parah premis dirempuh pemandu mabuk

SHAH ALAM, 21 NOV: Seorang pekerja kedai perabot parah selepas premis di Jalan Kampung Pasir di Ampang, dirempuh sebuah kereta dipercayai dipandu pemandu mabuk, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata kejadian jam 6 petang itu turut mengakibatkan struktur kedai perabot terpakai berkenaan rosak akibat rempuhan.

“Kita menerima panggilan kecemasan pada jam 6.15 petang di mana kereta jenis Proton Preve dipandu lelaki berusia 36 tahun merempuh kedai berkenaan.

“Kejadian mengakibatkan mangsa berusia lingkungan 20-an parah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pemandu kenderaan hanya mengalami cedera ringan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) memberi bantuan awal kepada mangsa sebelum dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut. Mangsa didapati tidak sedarkan diri,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Rezeki hantar borang saat akhir, usahawan katering bawa pulang motosikal

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Keputusan saat akhir pemilik sebuah syarikat katering menghantar borang cabutan bertuah pada acara penutup Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan dan Inovasi Selangor (SRIE) 2021 membawa tuah apabila memenangi hadiah utama, motosikal jenis Honda Dash.

Siti Noradina Rahmat,40, berkata dia hadir ke Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 hari ini bersama suami Kabir Abd Rahman bagi menghantar pekerjanya yang menyertai pertandingan pulut kuning.

“Kami datang untuk beri sokongan moral kepada pekerja dan pada mulanya tidak bercadang menyertai cabutan bertuah. Namun, setelah berbincang saya dan suami ambil keputusan cuba nasib menghantar borang sebelum pulang ke rumah.

“Kira-kira jam 2.30 petang penganjur hubungi saya dan minta datang semula kerana memenangi hadiah utama cabutan bertuah. Saya bersyukur dan tidak sangka percubaan menghantar borang saat akhir membawa tuah,” katanya kepada SelangorKini.

Tambah ibu kepada tujuh anak itu, beliau dan suami bercadang memberikan hadiah motosikal itu kepada anak sulungnya berusia 17 tahun.

“Kami memang merancang untuk memberi anak motosikal bagi memudahkan pergi ke sekolah dan tidak sangka rezekinya,” katanya.

Terdahulu, Siti Noradina menerima hadiah cabutan bertuah daripada EXCO Perdagangan dan Perindustrian Dato’ Teng Chang Khim dalam majlis perasmian penutup SRIE 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Chang Khim turut menyampaikan hadiah kepada pemenang dalam Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Negeri Selangor 2021 sempena penganjuran SRIE 2021 kali kedua.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memenangi beberapa kategori antaranya Dokumentasi Terbaik, Projek Inovasi Primer Terbaik, Projek Inovasi Hibrid Terbaik, Johan Inovasi Penyampaian Perkhidmatan (Penambahbaikan) dan Inovasi Penyampaian Perkhidmatan (Penciptaan).

SRIE 2021 berlangsung seiring SIBS 2021 secara hibrid mulai Selasa lalu hingga hari ini.

Sebanyak RM11 juta diperuntukkan bagi acara itu meliputi pembangunan dan penyelenggaraan portal perniagaan, selain pemasaran dan pembangunan bagi sembilan acara utama.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan Selangor berangkat ke majlis bacaan Yasin, tahlil

SHAH ALAM, 21 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat menghadiri Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil bersempena Hari Hol Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Turut berangkat ke majlis di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah ialah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Facebook Selangor Royal Office memaklumkan turut hadir ialah anakanda-anakanda Almarhum antaranya YAM Tengku Panglima Besar Selangor Tengku Abdul Samad Shah Alhaj, YAM Tengku Panglima Raja Selangor Tengku Ahmad Shah Alhaj, YAM Tengku Puteri Hajah Zahariah serta Orang-Orang Besar Istana.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat menghadiri Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil bersempena Hari Hol Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah pada 21 November 2021. Foto Facebook Selangor Royal Office

Hari ini genap 20 tahun Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj yang juga Sultan Selangor kelapan mangkat pada 21 November 2001 dan dimakamkan di Makam Diraja Klang.

Baginda diputerakan pada 8 Mac 1926 di Istana Bandar Temasya, Kuala Langat dan mangkat jam 11.57 pagi, 21 November 2001 bersamaan 5 Ramadan 1422 Hijrah pada usia 75 tahun.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SRIE lonjak usaha Selangor jadi negeri pintar, peduli rakyat

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Penganjuran Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan dan Inovasi Selangor (SRIE) merupakan inisiatif Kerajaan Negeri menjadikan Selangor negeri pintar dan penyayang, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ekspo ini dirangkum khas bagi menggembleng elemen penting dalam mengembangkan ekosistem teknologi maju seiring revolusi industri 4.0 yang semakin penting di pasaran global.

“Usaha Kerajaan Negeri dapat melestarikan pembangunan dan kemakmuran simetri, pintar dan peduli rakyat. Ini adalah komitmen Kerajaan Selangor.

“Acara ini akan diteruskan pada tahun-tahun mendatang serta menjadi pusat perhimpunan pakar-pakar teknologi termaju,” katanya pada majlis perasmian penutup SRIE 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan EXCO Perdagangan dan Perindustrian Dato’ Teng Chang Khim.

Sementara itu, Amirudin berkata SRIE 2021 mengetengahkan lebih 70 syarikat yang memenuhi lebih 100 tapak pameran pelbagai sektor antaranya industri, elektrik dan elektronik, perkhidmatan, sains dan makanan serta minuman.

“Aktiviti pameran dan jalinan perniagaan ini dirangkum bagi membuka lebih peluang syarikat-syarikat teknologi ini dikenal pasti dan dipadankan dengan rakan perniagaan, pelabur, agensi kerajaan dan syarikat lain.

“Jalinan ini amat penting dalam membentuk rantaian nilai yang kaya dengan pelbagai syarikat dan tenaga kerja mahir dalam industri 4.0 termasuk aspek reka bentuk produk dan proses, pembuatan pintar, serta perkhidmatan sokongan berasaskan data dan teknologi digital,”katanya.

SRIE 2021 berlangsung seiring Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 mulai 18 hingga hari ini secara hibrid.

Sebanyak RM11 juta diperuntukkan bagi acara itu meliputi pembangunan dan penyelenggaraan portal perniagaan, selain pemasaran dan pembangunan bagi sembilan acara utama.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM bakal perkenal sistem amaran kesan kenaikan kes Covid-19

REMBAU, 21 NOV: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperkenalkan Sistem Amaran Berisiko Tinggi bagi mengesan tanda-tanda awal peningkatan kes Covid-19 dalam negara.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata menerusi sistem tersebut KKM mencadangkan beberapa sektor diperketat sekiranya didapati berlaku peningkatan kes namun ia bukan sekatan pergerakan penuh.

“Saya akan umumkan perkara itu termasuk perincian dalam situasi bagaimana sistem ini akan diguna pakai. Mungkin dalam masa seminggu atau dua minggu ini saya akan maklumkan.

“Kalau boleh kita mahu elak sekatan pergerakan, sebab sekatan pergerakan ini bukan hanya mengganggu ekonomi tetapi memberi kesan yang lain, kesan kesejahteraan keluarga dan kesihatan mental, saya rasa rakyat mungkin tidak boleh menghadapi satu lagi sekatan pergerakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan aset KKM termasuk van dan komputer riba kepada Pejabat Kesihatan Daerah Rembau di sini hari ini.

Khairy berkata setakat ini keadaan sistem kesihatan KKM terkawal namun tanda-tanda awal peningkatan kes Covid-19 sudah ada dan beliau mengingatkan orang awam tidak terlalu selesa terutama di negeri-negeri yang berada dalam Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara.

“Kita sangat bimbang kerana sudah nampak tanda-tanda awal (kes jangkitan tinggi), KKM nampak perkara ini dari tahun lepas dan memang berlaku. Sistem kesihatan belum sampai ke tahap lumpuh namun tanda kebimbangan amat jelas,” katanya.

Beliau berkata perkara yang dibimbangkan adalah peningkatan kes yang serius sehingga kemasukan ke hospital terutama kes kritikal kategori empat dan lima.

Menurut Khairy mengambil contoh di Negeri Sembilan, kes kemasukan ke hospital meningkat sekali ganda dalam tempoh sebulan iaitu 35 pesakit memerlukan bantuan oksigen pada 25 Okt lepas berbanding 70 pesakit semalam.

“Jika trend ini berterusan, kita terpaksa menyediakan katil bagi rawatan kritikal seperti di unit rawatan rapi (ICU) dan memerlukan bekalan oksigen bagi merawat pesakit,” katanya.

Mengenai suntikan dos penggalak vaksin Covid-19, Khairy sekali lagi menyeru orang ramai yang mendapat janji temu supaya menerima suntikan sekali gus tidak memilih jenis vaksin yang diberikan pihak KKM.

Beliau berkata pihaknya akan menjalankan siasatan sekiranya terdapat kes sampingan yang serius dalam kalangan penerima suntikan itu.

-BERNAMA