Categories
ADN SELANGOR

Sumbang RM20,000 bantu persatuan nelayan baiki kemudahan jeti

SHAH ALAM, 24 NOV: Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat menyumbangkan kira-kira RM20,000 kepada Persatuan Nelayan Kampung Batu Laut bagi melaksanakan kerja pembaikan beberapa infrastruktur jeti kawasan tersebut.

Borhan Aman Shah berkata antara infrastruktur yang dinaik taraf termasuk membaik pulih surau dan bumbung pengkalan jeti.

“Bantuan diberikan melibatkan beberapa siri sumbangan sejak awal tahun ini dengan terbaharu sejumlah RM2,500 untuk baik pulih bumbung bocor dan rosak teruk kesan ribut.

“Sumbangan ini juga adalah sebahagian daripada usaha memberi keselesaan dan kemudahan kepada  nelayan,” katanya kepada SelangorKini.

Borhan berkata pihaknya berharap nelayan dapat menggunakan bantuan yang diberikan dengan sebaiknya.

“Selain untuk keselesaan, baik pulih infrastruktur ini juga diharap dapat menarik pengunjung untuk datang ke pengkalan jeti terbabit,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Jangkitan baharu Covid-19 rekod 5,755 kes

SHAH ALAM, 24 NOV: Jangkitan harian Covid-19 meningkat sedikit kepada 5,755 kes hari ini berbanding 5,594 semalam, menurut ketua pengarah kesihatan.

Angka dikongsi Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Facebook itu menjadikan keseluruhan kes sejak pandemik bermula di negara ini sebanyak 2,602,835.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan Selangor berangkat ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-257

SHAH ALAM, 24 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-257 di Istana Negara hari ini.

Mesyuarat kali ini dipengerusikan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, menurut Facebook Selangor Royal Office.

Sementara itu Bernama melaporkan, mesyuarat itu berlangsung selepas kali terakhir diadakan semasa mesyuarat ke-256 pada 19 dan 20 Februari 2020 yang dipengerusikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Terdahulu, sebelum mempengerusikan mesyuarat bermula 11 pagi itu, Sultan Sallehuddin berkenan memberi tabik hormat ke atas Kawalan Kehormatan Utama (KKU) yang dibarisi oleh Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja di Dataran Utama.

Sultan Sallehuddin kemudian turut berkenan menanam pokok Rajah Kayu (Cassia Fistula) di perkarangan Istana Negara sebagai simbolik Sultan Kedah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan menyaksikan Majlis Penanaman Pokok tersebut.

KKU dan Majlis Penanaman Pokok adalah cetusan idea Sultan Abdullah dan tidak pernah diadakan sebelum pelantikan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

KKU diadakan julung kalinya pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-254 manakala Majlis Penanaman Pokok pertama kali diadakan pada mesyuarat kali ke-255.

Mesyuarat dua hari bermula hari ini turut dihadiri semua Raja-Raja Melayu kecuali Kelantan, Pahang dan Perlis.

Selain Sultan Sharafuddin, Raja-Raja yang berangkat ialah Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar; Sultan Nazrin Shah; Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir.

Sementara itu, Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra; Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan Perlis diwakili Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Mesyuarat itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Pada mesyuarat itu, Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang Dipertua Negeri diiringi Ketua-Ketua Menteri kecuali Sarawak yang diiringi Timbalan Ketua Menteri.

Categories
AGENSI SELANGOR

Talian SELamat: Tujuh aduan keganasan rumah tangga dirujuk kaunselor

SHAH ALAM, 24 NOV: Talian khas SELamat sudah menerima tujuh aduan berkait keganasan rumah tangga sejak mula beroperasi awal bulan ini.

Ketua pegawai eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS) berkata semua kes yang diterima kini dirujuk kepada kaunselor, pejabat bantuan guaman Selangor dan pihak polis.

“Beberapa kes dirujuk kepada kaunselor kerana penting bagi kita untuk memastikan pemanggil dibantu dengan menerima bantuan sewajarnya.

“Secara keseluruhan, sejak beroperasi 14 panggilan diterima yang mana selebihnya pertanyaan umum melibatkan agensi kerajaan, vaksin dan operasi talian,”kata kata Siti Kamariah Ahmad Subki.

Pada 16 November lalu, empat daripada 10 aduan diterima melalui talian khas SELamat membabitkan keganasan rumah tangga termasuk satu kes penderaan kanak-kanak.

Talian SELamat yang dibangunkan khusus untuk aduan keganasan rumah tangga beroperasi sejak 3 November lalu dengan menghubungi talian 03-64195027.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan dana sejumlah RM100,000 untuk membangunkan talian khas tersebut, sebahagian Pakej Kita Selangor 2.0.

Talian berkenaan yang beroperasi 24 jam dikendalikan kakitangan WBS bersama kumpulan sukarelawan.

Pada 30 Ogos, Kerajaan Negeri turut melancarkan Program Selangor Mental Sihat (SEHAT) bagi membantu orang ramai meluahkan tekanan yang dihadapi terutama dalam mendepani pandemik.

Categories
AGENDA NASIONAL

97.5 peratus guru lengkap divaksin setakat hujung Oktober

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Sejumlah 97.5 peratus guru telah lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19 setakat 31 Okt lepas, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon berkata sebanyak 99.04 peratus guru telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

“Mengenai tindakan akan diambil terhadap guru yang enggan (mengambil vaksin), ia berpandu kepada arahan akan dikeluarkan oleh JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam),” katanya menjawab soalan tambahan Wong Ling Biu (PH-Sarikei) yang bertanyakan jumlah guru enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Menjawab soalan tambahan Dr Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) mengenai video tular berkaitan layanan terhadap guru tidak mengambil vaksin Covid-19 dengan ditempatkan dalam tandas dan tempat terpencil, Mah berkata mana-mana pihak mempunyai maklumat berkaitan perkara itu boleh menyalurkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

“Memang menjadi keutamaan KPM untuk sentiasa memberikan keutamaan terhadap kebajikan guru dan murid serta semua warga pendidikan,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Sarikei itu bertanyakan soalan mengenai pemindahan balik guru yang berasal dari Sarawak serta berapa ramai yang telah dipindahkan balik ke Sarawak sejak lima tahun lepas.

Berdasarkan rekod KPM dari 2017 hingga 2021, Mah berkata 1,023 guru berasal dari Sarawak telah diluluskan pertukaran dari Semenanjung ke negeri itu.

Beliau berkata pertimbangan permohonan pertukaran guru dibuat berdasarkan kepada prinsip asas dan kategori permohonan yang ditetapkan.

“KPM telah menetapkan tiga prinsip asas pertukaran iaitu kekosongan jawatan, keperluan opsyen serta kepentingan dan keperluan perkhidmatan.

“Dalam hal ini, permohonan pertukaran boleh dibuat berdasarkan kepada beberapa kategori iaitu kategori kesihatan, keselamatan, mengikut pasangan dan lain-lain,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Bantuan kewangan, barangan asas ceriakan 200 asnaf di Hulu Langat

SHAH ALAM, 24 NOV: Seramai 200 keluarga asnaf daerah Hulu Langat menerima bantuan kewangan serta barangan asas daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) semalam.

Agensi itu menerusi Facebook memaklumkan sumbangan kewangan berjumlah RM100,000 diberikan menerusi program wakalah agihan zakat Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan setiap asnaf menerima RM500.

“Selain itu, empat keluarga asnaf turut diziarahi yang melibatkan kelulusan bantuan bina dan baik pulih rumah.

“Kegembiraan jelas terpancar dari raut wajah asnaf apabila melihat kediamannya selesa diduduki selepas dibantu oleh Zakat Selangor,” katanya.

LZS mengucapkan terima kasih atas tanggungjawab masyarakat dalam menunaikan ibadah zakat yang mana bantuan dapat sampaikan kepada golongan mustahiq.

Terdahulu, agihan zakat itu disampaikan Ketua Divisyen Kutipan LZS, Muhd Fikri Naim Harun di Balai Raya Kampung Sungai Raya Batu 9 Cheras.

Categories
AGENDA NASIONAL

Hasil penyelidikan pensyarah Unisel raih kejayaan pada ekspo Selangor

SHAH ALAM, 24 NOV: Dua kumpulan penyelidik Universiti Selangor (Unisel) meraih kejayaan pada Ekspo Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi Selangor (SRIE) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.

Penyelidikan bertajuk Mikania: Easy Healing Kit berjaya mengangkat sekumpulan pensyarah dari Fakulti Sains Kesihatan diketuai Sarimah Mat Nawi sebagai juara sekali gus membawa pulang hadiah bernilai RM10,000.

Manakala sekumpulan pensyarah dari Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat diketuai Dr Siti Hasmah Mohtar merangkul tempat ketiga dengan membawa pulang hadiah bernilai RM3,000.

Pengarah Komunikasi Korporat Unisel Hasril Abu Hassan berkata Easy Healing Kit merupakan set penjagaan luka merangkumi semburan pencuci tanpa bilas, hydrogel patch dan krim penyembuh yang dirumuskan daripada pokok selaput tunggal.

Dua kumpulan penyelidik Universiti Selangor (Unisel) meraih kejayaan pada Ekspo Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi Selangor (SRIE) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 21 November 2021. Foto Facebook Unisel

“Lebih menarik, Mikania menjadi set penjagaan luka yang lengkap, selamat, mudah dan cepat pertama di Malaysia selain mendapat pengiktirafan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO),” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, beliau berkata produk AquaBetel pula produk inovasi makanan ikan mengandungi bahan asas daripada tumbuhan akuatik dan diformulasi bersama ekstrak herba terpilih.

Menurutnya, produk itu membekalkan nutrien bagi keperluan pertumbuhan selain diadun bersama makanan yang mampu bertindak sebagai agen bioaktif untuk meningkatkan tahap imuniti dan daya tahan penyakit.

SRIE 2021 adalah sebahagian daripada acara dianjurkan sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) yang berlangsung dari 18 hingga 21 November lalu secara hibrid.

Ekspo itu menghimpunkan pelbagai inovasi, penyelidikan dan reka cipta yang disertai institusi pengajian tinggi awam dan swasta, perkhidmatan awam, persendirian serta syarikat swasta.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ekspo Selangor jadi medan Top Glove perkenal produk baharu

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Top Glove Sdn Bhd (Top Glove) memanfaatkan penganjuran Ekspo Selangor Antarabangsa (SIE) (Medik) 2021 untuk memperkenalkan produk terbaharunya selain sarung tangan.

Pengurus Besar Kanan Pemasarannya Johnny Loy berkata Top Glove tampil dengan beberapa produk baharu seperti pelitup muka, cecair pembasmi kuman, pencuci pinggan dan syampu.

“Semua produk baharu yang kita kategori sebagai bukan sarung tangan sudah berada di pasaran bermula penghujung tahun lalu.

“Kita menggunakan peluang diberikan Kerajaan Negeri ini untuk menguar-uarkan produk terbaharu ini kepada pengunjung terutama untuk dipasarkan dalam Malaysia,” katanya kepada SelangorKini.

Tambah beliau, pasaran tempatan juga memainkan peranan penting selain antarabangsa untuk tambah nilai syarikat.

“Sebelum tembusi antarabangsa, pasaran tempatan perlu kenal produk kita terlebih dahulu seperti sarung tangan yang kini menguasai 26 peratus pasaran dunia.

“Top Glove berharap penyertaan dalam ekspo ini dapat membantu pasaran produk terbaharu syarikat seperti pelitup muka yang sudah memasuki Turki baru-baru ini,” katanya.

SIE (Medik) 2021 merupakan acara baharu yang diperkenalkan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 yang berlangsung selama empat hari mulai 18 November.

Sebanyak RM11 juta diperuntuk meliputi pembangunan dan penyelenggaraan portal perniagaan, selain pemasaran dan pembangunan bagi sembilan acara utama.

Acara diadakan termasuk Persidangan Perniagaan Asean Selangor, Konvensyen Digital Ekonomi dan Bandar Pintar Selangor, Ekspo Selangor Penyelidikan dan Pembangunan dan Inovasi 2021 dan Ekspo Selangor Taman Perindustrian (SPARK) 2021.

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir kilat landa beberapa kawasan di Ampang

SHAH ALAM, 22 NOV: Beberapa kawasan di sekitar Ampang, di sini dilanda banjir kilat susulan hujan lebat selama lebih satu jam lewat petang tadi.

Kawasan terjejas meliputi Jalan Hillview, Kampung Lembah Jaya Utara dan Kampung Lembah Jaya Selatan, maklum Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.

Norazam Khamis berkata seramai 22 pegawai serta anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan dan BBP Ampang dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 7.19 malam.

Dua kampung di Ampang antara kawasan dilanda banjir kilat susulan hujan lebat pada 22 November 2021. Foto JBPM

“Sebaik tiba di lokasi jam 7.30 malam, kami dapati berlaku banjir kilat dengan kedalaman air paras pinggang.

“Seramai tiga mangsa berjaya diselamatkan dan dipindahkan ke tempat selamat,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau memaklumkan keadaan air dilaporkan semakin surut namun kerja menyelamat masih diteruskan.

Categories
AGENDA NASIONAL

11 individu terkandas insiden kepala air di Sungai Pinang

SHAH ALAM, 22 NOV: Seramai 11 individu terkandas dalam insiden kepala air di kawasan air terjun Sungai Pinang, Jalan Batang Kali menghala ke Genting petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.26 malam.

Menurutnya, seramai lima anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Apabila tiba di tempat kejadian jam 7.40 malam didapati berlaku kejadian kepala air di Sungai Pinang susulan hujan lebat.

“Kesemua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan selamat kerana berlindung di pondok yang mempunyai bekalan elektrik,” katanya dalam kenyataan.

Norazam turut memaklumkan identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan operasi menyelamat sedang dijalankan.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPKj perintis kaedah kitar semula kenderaan buruk, atasi lambakan

SHAH ALAM, 22 NOV: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama dalam negara menggunakan kaedah kitar semula kenderaan buruk bersifat mesra alam.

Yang Dipertuanya Najmuddin Jemain berkata kaedah End Live Vehicle (ELV) digunakan bagi mengatasi lambakan kenderaan buruk sekitar daerah terbabit yang dijangka bermula 1 Disember ini.

Menurutnya kerjasama pintar dijalin bersama Car Medic Sdn Bhd yang akan menunda semua kenderaan buruk ke depoh simpanan di Bandar Baru Bangi sebelum dibawa semula ke depoh syarikat berkenaan untuk proses ELV.

“Setiap kenderaan dileraikan secara teratur mengikut kaedah SW422 (piawaian Jabatan Alam Sekitar) dan komponen yang tidak dapat dikitar semula dihantar ke Kualiti Alam atau Pentas Flora untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata setakat ini sebanyak 5,000 kenderaan buruk yang dinotis akan ditunda menggunakan trak tunda konvensional MPKj dan lori kren syarikat berkenaan.

“MPKj mempunyai tiga trak tunda konvensional. Dengan kawasan pentadbiran yang luas, hanya 40 hingga 50 kenderaan dapat ditunda dalam tempoh sebulan manakala 150 kenderaan ditetapkan kepada pihak syarikat.

“Aduan melibatkan kenderaan berat seperti bas, lori dan kenderaan perdagangan lain juga dapat ditunda tanpa melibatkan sebarang kos,” katanya.

Najmuddin juga yakin kaedah ELV menjadi pemangkin penyelesaian lambakan kenderaan buruk dan boleh diguna pakai di seluruh PBT negara.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Belanjawan #Selangor2022: Tumpu kesihatan awam, tambah peruntukan

SHAH ALAM, 22 NOV: Belanjawan #Selangor2022 diharap dapat menambah dana sektor kesihatan awam bagi menjayakan inisiatif pendidikan serta pencegahan berkaitan kesihatan.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berharap penambahan dana sebanyak dua kali ganda berbanding peruntukan 2021 dapat diluluskan pada belanjawan kali ini.

“Kita harap ada tambahan dana untuk melengkapkan usaha kesihatan awam ini contohnya kesihatan mental kita ada Program Selangor Mental Sihat (SEHAT), jika perlu merujuk psikiatri kita ada dana untuk rawatan itu.

“Untuk Covid-19 pula ada Sukarelawan Komuniti Kesihatan Selangor (Suka) dan kita mahu dana itu untuk melatih mereka supaya boleh ada jaringan dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Talian SELamat di Perpustakaan Raja Tun Uda di sini hari ini.

Belanjawan #Selangor2022 dijadual dibentangkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada Jumaat ini.

Pembentangan itu boleh diikuti secara langsung menerusi media sosial https://www.facebook.com/MediaSelangor

Pada 8 Oktober lalu, Amirudin menerusi sesi taklimat belanjawan memaklumkan semua Ahli Dewan Undangan (ADN) dan pimpinan komuniti Selangor terlibat dalam penyediaannya.

Malah, sesi taklimat itu juga melibatkan wakil rakyat pembangkang dan bebas dalam membincangkan intipati belanjawan yang lebih konstruktif demi manfaat rakyat.