Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin: Kembar OKU tidak sabar tunggu dos kedua

IPOH, 12 JUN: Bagi sepasang pemuda kembar Orang Kelainan Upaya (OKU) sindrom down, Lam Wai Kin dan Lam Wai Yip, giliran menerima vaksin dos pertama di Sekolah Semangat Maju Ipoh semalam merupakan hari sangat istimewa bagi mereka.

Seawal pagi lagi, dua beradik berusia 39 tahun itu sudah bersiap mengenakan pakaian yang sama, bersarapan dan kemudiannya menanti kakak mereka, Jennifer Lam, 46, untuk menghantar mereka ke sekolah tersebut, kira-kira tujuh kilometer dari rumahnya di Bercham di sini.

Pusat  Pemberian Vaksin (PPV) khas dibuka khusus bagi warga OKU di sekolah tersebut dengan kerjasama  Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mendapatkan vaksin bermula Jumaat.

Sebaik memasuki pagar sekolah, kesemua OKU termasuk Wai Kin dan Wai Yip  akan melalui proses imbasan suhu, sebelum dibawa ke bilik khas untuk menerima suntikan vaksin berdasarkan tatacara operasi piawai (SOP) yang telah ditetapkan.

Ketika menunggu proses suntikan, kesemua OKU berkenaan akan duduk menanti giliran di dalam bilik tersebut kira-kira 10 minit sebelum dipanggil ke meja khas untuk mendapatkan vaksin jenis Pfizer sambil ditemani penjaga atau guru sekolah bagi menghilangkan rasa takut atau gementar.

Usai disuntik, Wai Kin dan Wai Yip, yang bekerja di sebuah kilang di bawah persatuan sekolah tersebut, begitu gembira dan lega malahan tidak sabar untuk mendapatkan dos kedua tidak lama lagi.

“Tidak sakit, saya kuat. Gembira sebab dapat cucuk, boleh pergi kilang. Saya mahu disuntik untuk kali kedua nanti,” kata Wai Yip kepada Bernama dan kedua-duanya sempat bergambar sambil memegang plakad ‘Saya Sudah Divaksin’ sebelum pulang ke rumah.

Jennifer pula berkata kedua-dua adiknya itu langsung tidak menunjukkan perasaan gementar dan mahu segera selesai proses vaksinasi supaya boleh terus bekerja selain tidak berasa takut apabila keluar bersama ahli keluarga mereka.

Dalam pada itu, seorang pekerja Bengkel Perlindungan Semangat Maju yang menghidap autisme, Megat Norizad Rosli, 20, berkata beliau rasa gementar dan takut untuk mendapatkan suntikan vaksin tetapi masih memberanikan diri bagi memenuhi tanggungjawab tersebut.

“Tidak tahu nak cakap, gementar juga, takut pun ada tapi kena ambil vaksin sebab ia penting. Saya bersyukur juga dapat vaksin sebab takut dengan virus sekarang,” katanya semasa menunggu giliran sebelum diberi suntikan vaksin dos pertama Pfizer bersama rakan-rakannya.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Semangat Maju Noor Ahisiah Che Enbi, 54, berkata pihaknya dan JKM berganding bahu mendaftarkan kesemua warga istimewa sekolah terbabit untuk mendapatkan suntikan vaksin bagi melindungi pelajar daripada penularan wabak Covid-19.

“Pihak sekolah bersama JKM menyalurkan maklumat mereka yang berusia 18 tahun ke atas untuk pendaftaran semua warga sekolah di sini. Sebelum cuti sekolah (sebelum raya) kami sudah daftarkan senarai penerima vaksin dan kami dapatkan persetujuan daripada ibu bapa.

“Keseluruhan pelajar yang mendapat suntikan adalah seramai 139 orang tetapi hanya 105 orang sahaja yang mendapatkan suntikan vaksin hari ini. Selebihnya seramai 34 orang pula tidak menerima suntikan kerana mempunyai masalah kesihatan,” katanya.

Beliau turut berasa puas hati kerana semua proses berjalan lancar dan menyatakan bahawa keperluan vaksin pada masa ini amat penting bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Sekolah tersebut adalah yang terawal di daerah Kinta dijadikan PPV khas untuk Program Outreach bagi warga OKU mendapatkan vaksin dan akan ada lagi sekolah menerima status yang sama kelak.

Inisiatif itu bagi memudahkan proses vaksinasi agar lebih ramai lagi kelompok masyarakat mendapat vaksin sekali gus dapat memerangi penularan pandemik Covid-19.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN

Saringan Komuniti fasa dua selesai, lebih 97,000 individu diuji

SHAH ALAM, 12 JUN: Fasa kedua Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Negeri di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) selesai dengan 97,565 warga Selangor diuji setakat hari ini.

Dato’ Menteri Besar berkata daripada jumlah itu, lebih kurang empat daripada setiap 100 yang disaring atau 3,342 individu didapati berkemungkinan positif wabak.

“Terima kasih warga Selangor sekalian yang hadir dan tidak lupa para petugas serta agensi terlibat sepanjang program Saringan Komuniti Covid-19 bersasar ini.

“Teruskan mengambil langkah proaktif dan sentiasa amalkan kawalan kendiri. Bersama kita mampu bebas daripada ancaman Covid-19,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook.

Menurutnya, saringan fasa tiga akan diteruskan di kawasan yang mencatat kes tinggi selain sektor industri dan perkilangan dengan sasaran 100,000 individu diuji.

Pada Khamis, Amirudin berkata lebih 100,000 penduduk Selangor menjalani ujian percuma itu menerusi dua fasa sejak diperkenalkan tahun lalu.

Fasa pertama dilancarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 hingga PKP 2.0 melibatkan lebih 26,000 individu.

 

 

 

 

Categories
SELANGOR

Tangguh bayar sewa Julai, warga PPR lega beban berkurang

SHAH ALAM, 12 JUN: Penangguhan bayaran sewa kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Skim Smart Sewa pada Julai ini oleh Kerajaan Selangor memberi kelegaan kepada penghuninya.

Pengerusi KRT Blok C PPR Lembah Subang 2 berkata walaupun nilai bayaran itu kecil namun memberi makna besar kepada penduduk kerana mampu mengurangkan beban ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Majoriti penduduk merupakan golongan berpendapatan rendah B40. Bantuan ini sangat membantu,” kata Mohd Idzhar Mohd Shapie kepada SelangorKini.

Rabu lalu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan penangguhan itu ketika membentangkan Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu golongan yang terkesan dengan PKP.

Bertemakan Bersama Menuju Kejayaan, pelan itu bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk termasuk golongan B40, pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.

Sementara itu, Mohd Idzhar berkata bakul makanan disediakan Kerajaan Selangor sentiasa ada sejak PKP dilaksana Mac tahun lalu dan akan diberikan kepada penduduk yang memerlukan.

Menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 juga Kerajaan Selangor memperuntukkan RM100,000 kepada setiap Ahli Dewan Negeri manakala RM300,000 kepada Ahli Parlimen bagi meneruskan bantuan bakul makanan menerusi Program Mesra Rakyat.

 

 

Categories
EXCO SELANGOR

Pesakit wabak terima kit penilaian dipantau setiap hari

SHAH ALAM, 11 JUN: Tahap kesihatan pesakit Covid-19 kategori satu dan dua yang dibekalkan kit penilaian di rumah oleh Kerajaan Selangor akan dipantau setiap hari, kata EXCO kesihatan awam.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata sukarelawan terlatih akan menghubungi pesakit untuk mengetahui keadaan hariannya dan memberikan bantuan sekiranya berlaku situasi luar jangka .

Katanya, selain itu pesakit juga perlu mengisi borang pertanyaan dalam aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Alat pengukur tingkat oksigen antara peralatan dibekalkan dalam kit itu. Lazimnya jika bacaan kadar oksigen sekitar 96 hingga 100 peratus, maksudnya keadaan pesakit adalah baik, jika sebaliknya tindakan susulan perlu diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi program Bual Bicara bersama Media Selangor bertajuk ‘langkah terbaik percepat proses imunisasi di Selangor’ secara langsung di Facebook hari ini.

Di bawah Pakej Kita Selangor 2.0, sejumlah RM1.25 juta diperuntukkan bagi mengagihkan bakul makanan dan kit penilaian di rumah kepada pesakit Covid-19 yang dikesan melalui saringan percuma anjuran Kerajaan Negeri.

Kit itu mengandungi pelitup muka KN95, jangka suhu, ubat, kit ujian air liur dan alat pengukur tingkat oksigen.

Categories
AGENDA SELANGOR

Persatuan perubatan: Langkah Selangor beli vaksin percepat pulih wabak

SHAH ALAM, 11 JUN: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyambut baik usaha Kerajaan Selangor membeli lebih 500,000 vaksin untuk rakyat negeri itu menerusi Program Vaksinasi COVID-19 Negeri Selangor (SCVP).

Presiden MMA, Prof Datuk Dr M Subramaniam berkata pembelian itu dapat mempercepatkan program vaksinasi terutama kepada warga emas, pekerja sektor perindustrian, pembuatan serta perkhidmatan dan golongan belia.

“Kami berharap usaha yang dilakukan Kerajaan Selangor ini membuahkan kejayaan. Begitu juga dengan keputusan mengambil 1,000 pengamal perubatan swasta juga langkah tepat kerana kepantasan, kemudahan dan kebolehcapaian penting dalam meningkatkan pengambilan vaksin.

“Kami yakin lebih ramai pengamal perubatan swasta akan turut serta dan menyasarkan lebih 2,000 lagi penyertaan kumpulan ini di Selangor dan kawasan bersempadan di Kuala Lumpur,” katanya menerusi kenyataan hari ini

Menurutnya, usaha untuk meningkatkan pengambilan suntikan vaksin amat perlu untuk memutuskan rantaian jangkitan sekali gus membantu memulihkan semula ekonomi.

“MMA turut mengalu-alukan lanjutan program Saringan Komuniti Covid-19 percuma di Selangor yang terbukti berjaya mengesan golongan ‘pembawa senyap’,” katanya.

Justeru, beliau berharap kerajaan negeri lain turut mempertimbangkan program vaksinasi dan saringan percuma di negeri mereka.

Rabu lalu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM200 juta bagi memperoleh vaksin dan mempercepatkan imuniti kelompok menerusi Pakej Kita Selangor 2.0. Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM10.7 juta bagi melaksanakan fasa ketiga Saringan Komuniti.

Categories
SELANGOR

MP Petaling Jaya sedia hotline bantu individu mahu divaksin

SHAH ALAM, 11 JUN: Ahli Parlimen Petaling Jaya melancarkan kempen hotline Vaksin Covid-19 bagi menarik masyarakat terutama warga emas untuk divaksinasi.

Kempen inisiatif Maria Chin Abdullah itu terbuka kepada penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing, Taman Medan dan Seri Setia.

Orang ramai boleh menghubungi talian dinyatakan sekiranya memerlukan bantuan daftar suntikan vaksin, periksa janji temu dan memberi jawapan kepada persoalan berhubung vaksin.

Selain itu, masyarakat yang sukar mendapat akses pengangkutan ke pusat vaksin juga boleh memanfaatkan inisiatif sama.

Berikut talian hotline untuk dihubungi atau WhatsApp ;
Sesi siang (9 pagi – 5 petang)
011-7278 7334
011-7278 7335
011-7278 7336

Sesi malam (6 petang – 9 malam)
011-7278 7331
011-7278 7332

 

Categories
PBT SELANGOR

MBSA sumbang 2,000 lagi bakul makanan, bantu golongan terkesan Covid-19

SHAH ALAM, 11 JUN: Sejumlah 2,000 lagi bantuan bakul makanan akan disumbangkan kepada petugas barisan hadapan dan warga bandaraya ini minggu depan, kata pemangku Datuk Bandar Shah Alam.

Mohd Rashidi Ruslan berkata lebih 2,000 bantuan menerusi Program Bakul Prihatin Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu sudah disalurkan kepada golongan terjejas akibat Covid-19 sejak Februari lalu.

Katanya program itu sebahagian sokongan kepada Kerajaan Negeri khususnya Pakej Kita Selangor 2.0, yang diumum kelmarin.

Pemangku Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Mohd Rashidi Ruslan

“Sejumlah RM150,000 diperuntukkan buat pemulaan program dan setakat semalam, sebanyak RM160,000 diperoleh menerusi sumbangan warga Shah Alam melalui kerjasama dengan 99 Speedmart,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada petugas barisan depan di MSU Medical Centre, di sini.

Pada program itu seramai 40 petugas Pusat Pemberian Vaksin (PPV) menerima sumbangan bantuan makanan asas seperti tepung gandum, minyak masak, beras dan gula bernilai RM50.

Mohd Rashidi berkata sebahagian kutipan caj beg plastik akan digunakan bagi tujuan sama supaya lebih ramai golongan memerlukan dapat dibantu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Langgar SOP: 69 tapak pembinaan diarah tutup

SHAH ALAM, 11 JUN: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) menutup 69 tapak pembinaan selepas gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh bermula 1 Jun lalu sehingga semalam.

Lapor Berita Harian, CIDB dalam kenyataan memaklumkan sebanyak 1,088 tapak pembinaan telah diperiksa sepanjang 10 hari sekatan penuh pergerakan dilaksanakan.

“Daripada jumlah itu, 944 daripadanya tidak beroperasi. Sebanyak 75 tapak pembinaan didapati mematuhi SOP manakala baki 69 tapak pembinaan diarah tutup kerana pelanggaran SOP,” katanya.

Menurut kenyataan itu, penggiat industri pembinaan perlu mematuhi SOP sepanjang PKP atau berdepan penutupan tapak pembinaan jika didapati gagal mengikut garis panduan ditetapkan.

Garis panduan SOP sekatan pergerakan penuh boleh dimuat turun dari www.cidb.gov.my.

Categories
ADN SELANGOR

Selangor selangkah ke hadapan dalam bantu rakyat

SABAK BERNAM, 11 JUN: Pakej Kita Selangor 2.0 membuktikan Kerajaan Selangor sentiasa selangkah ke hadapan dalam membantu rakyat yang terkesan akibat Covid-19 sejak setahun yang lalu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan berkata peruntukan lebih RM500 juta yang diumum Dato’ Menteri Besar, Dato’Seri Amirudin Shari diberikan secara menyeluruh tanpa mengira sentimen politik termasuk di kawasan pembangkang.

“Semangat kita Selangor kita rai bersama, bantu sedaya upaya dalam meringankan beban rakyat antaranya bantuan bakul makanan yang diperuntuk di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk parlimen.

“Saya hargai dan terima kasih kepada Dato’Menteri Besar kerana memastikan semua kawasan dapat manfaat, nasib rakyat terbela dan hak mereka kita pertahankan,” kata Ng Suee Lim ketika ditemui pada program Saringan Komuniti di Dewan Seri Sekinchan di sini semalam.

Suee Lim berkata peruntukan besar juga dikeluarkan Kerajaan Negeri menerusi Saringan Komuniti atas rasa tanggungjawab dalam memastikan warga Selangor mengetahui status kesihatan masing-masing.

“Bayangkan yang hadir di setiap lokasi dengan kos RM70 setiap seorang… kalau satu kawasan 1,000 orang hadir sudah pastu berjuta ringgit dibelanjakan demi rakyat. Tiada satu negeri mampu melakukan inisiatif saringan secara besar-besaran seperti Selangor,” katanya.

Rabu lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan Pakej Bantuan Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu rakyat yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Categories
AGENSI SELANGOR

1,500 individu layak terima Pek Prihatin Yide

SHAH ALAM, 10 JUN: Seramai 1,500 daripada 2,000 individu layak mendapat bantuan makanan asas melalui Pek Prihatin Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) setakat ini.

Pengurus besarnya berkata golongan terkesan susulan pandemik Covid-19 menerima barang keperluan seperti beras, mi segera, sardin, gula, tepung, bihun, kicap dan teh uncang sejak semalam.

“Sambutan menggalakkan kerana pada hari pertama dibuka, seramai 1,000 orang memohon dan mengisi butiran di pautan disediakan,” kata Nur Mohd Razali Abdullah menerusi kenyataan hari ini.

Antara kriteria penerima bantuan adalah individu atau ahli keluarga yang diberhentikan kerja akibat Covid-19 dan akan dimaklumkan melalui sistem pesanan ringkas (SMS).

Agihan bantuan dibuat di Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Shah Alam; Kapar, Klang; Taman Melawati, Gombak; Kuala Selangor dan Sungai Besar, Sabak Bernam.

Yide memperuntuk RM75,000 hasil sumbangan orang ramai untuk menyalurkan bantuan kepada golongan terjejas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

Permohonan dalam talian dibuka sehingga 14 Jun melalui https://forms.gle/JnGbKTZpHobVuzFD6.

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

EXCO: Manfaat moratorium Hijrah untuk masa depan

SHAH ALAM, 10 JUN: Usahawan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) yang menikmati moratorium pembayaran pinjaman selama satu setengah bulan harus memanfaatkannya dengan melakukan persediaan berdepan situasi masa depan.

EXCO pembangunan usahawan berkata inisiatif dalam Pakej Kita Selangor 2.0 itu akan memberi kelegaan kepada usahawan yang peniagaannya berdepan keadaan tidak menentu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Moratorium itu bermula 1 Julai dan tiada kutipan untuk tempoh enam minggu memandangkan pembayaran dibuat secara mingguan. Diharapkan mereka rancang sebaiknya sumber sedia ada kerana kita tidak tahu sampai bila situasi ini,” kata Rodziah Ismail ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan seramai 40,000 usahawan Hijrah diberikan moratorium bayaran pinjaman selama satu setengah bulan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Pakej bernilai RM551.56 juta itu bagi membantu golongan yang terkesan dengan PKP.

Bertemakan Bersama Menuju Kejayaan, pelan itu bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

NGO hargai inisiatif Selangor bantu OKU terkesan PKP

SHAH ALAM, 10 JUN: Malaysia Independent Living Association For Disabled (Milad) menyambut baik pemberian insentif sekali bayar berjumlah RM500 kepada orang kelainan upaya (OKU) di Selangor yang terkesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Pengasas badan bukan kerajaan (NGO) berkait OKU itu berkata keadaan tidak menentu sepanjang penularan Covid-19 memberi kesan kepada golongan terbabit yang berdikari mencari pendapatan sendiri untuk menyara kehidupan.

“Masalah dihadapi golongan OKU berdikari dalam masyarakat adalah jauh lebih mencabar berbanding yang tinggal dalam institusi disebabkan wabak Covid-19 yang mengancam ekonomi negara,” kata Sia Siew Chin ketika dihubungi semalam.

Beliau menjelaskan OKU institusi merujuk kepada kumpulan yang tinggal rumah kebajikan dan rumah orang tua malah mereka lebih mudah mendapat bantuan pihak luar termasuk kerajaan berbanding tinggal sendiri.

Siew Chin yang juga ahli Majlis Tindakan OKU Selangor berkata beliau sendiri menghadapi kesukaran sepanjang pandemik tambahan dua anaknya masih bersekolah.

“Saya menghidap penyakit Mascular Dystrophy yang menjejaskan fungsi tangan dan kaki hanya boleh bergerak dengan kerusi roda bermotor, saya dapat rasa bagaimana tekanan dihadapi golongan OKU,” katanya menambah terdapat 290 ahli Milad di Selangor.

Dalam Pakej Kita Selangor 2.0 yang dibentangkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari semalam, sejumlah RM600,000 diperuntuk Kerajaan Negeri bagi manfaat golongan OKU di Selangor.