Categories
AGENDA NASIONAL

Bukit Aman kesan agensi pelancongan tipu tawar pakej haji

KUALA LUMPUR, 10 Jun: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengesan satu bentuk penipuan berkaitan pakej haji, umrah dan badal haji bagi tahun 2021, yang ditawarkan beberapa agensi pelancongan sejak kebelakangan ini.

 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Kamarudin Md Din berkata, penawaran pakej sedemikian amat meragukan, kerana ia ditawarkan walaupun dalam tempoh negara dilanda wabak Covid-19, serta sekatan pergerakan penuh yang dikuatkuasakan kerajaan.

 

Beliau berkata kerajaan sebelum ini telah menyatakan, bahawa ia masih menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa Arab Saudi berkenaan kebenaran ibadah haji, serta kuota yang dibenarkan bagi musim 2021.

 

PDRM melihat tindakan segelintir agensi pelancongan mengiklankan pakej haji, umrah mahupun badal haji bagi tahun 2021, adalah satu tindakan pramatang serta mungkin merupakan penipuan.

 

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, boleh dijalankan terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan penipuan berhubung kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Kamarudin berkata jika disabitkan kesalahan, hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan atau kedua-duanya sekali, boleh dikenakan terhadap pesalah yang terlibat.

 

Beliau turut mengingatkan orang ramai, agar lebih berhati-hati dan membuat semakan yang sewajarnya dengan agensi kerajaan berkaitan, sebelum mengambil keputusan membuat bayaran dan menyertai mana-mana pakej yang ditawarkan.

 

“Orang ramai yang berminat untuk menunaikan ibadah haji dan umrah bagi tahun ini juga diingatkan, untuk sentiasa peka dengan perkembangan dan arahan terkini yang dikeluarkan pihak kerajaan, berkaitan sekatan perjalanan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya.

 

Sebelum ini, pada 24 Mei lepas, kerajaan dan Lembaga Tabung Haji (TH) menyatakan yang mereka masih lagi menunggu pengumuman rasmi daripada Kerajaan Arab Saudi, berkaitan jumlah kuota jemaah haji negara, kriteria pemilihan, dan kaedah pelaksanaan ibadah untuk musim haji kali ini.

 

Pada 4 Jun lepas, TH menasihatkan bakal haji Malaysia agar bersabar menunggu pengumuman rasmi mengenai status ibadah haji tahun ini.

 

Berikutan itu, Pengarah Eksekutif TH Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman menyatakan, pihaknya akan memaklumkan mengenai perkara itu kepada semua bakal haji, sebaik memperoleh keputusan rasmi daripada kerajaan Arab Saudi, meliputi jumlah kuota jemaah haji negara, kriteria pemilihan dan kaedah pelaksanaan ibadah haji bagi musim ini.

 

– BERNAMA

Categories
AGENDA

Bekalan air 13 kawasan pulih jam 8 malam, lori tangki digerakkan

SHAH ALAM, 10 JUN: Bekalan air di 13 kawasan sekitar Kuala Lumpur yang mengalami gangguan berikutan paip pecah di Jalan Kuari dijangka pulih sepenuhnya jam 8 malam ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan bekalan air telah mula disalurkan secara berperingkat bermula jam 3.30 pagi tadi.

“Hingga jam 7 pagi tadi, pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas sudah mencapai tahap 50 peratus. Pemulihan sepenuhnya bekalan air kawasan terjejas dijangka selesai jam 8.00 malam ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Air Selangor berkata, bantuan bekalan air melalui lori-lori tangki terus digerakkan di kawasan yang masih terjejas.

Semalam, 13 kawasan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual dengan bekalan air ditutup pada jam 4 petang bagi membaiki paip pecah di Jalan Kuari.

Kawasan terjejas adalah di Kampung Cheras Baru, Pandan Mewah, Taman Muda, Taman Bukit Permai, Taman Bukit Pandan, Taman Mawar, Taman Seraya, Taman Mega, Taman Bukit Teratai, Taman Melur, Taman Saga, Taman Putra dan Taman Mestika.

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Keputusan SPM 2020 terbaik dalam tempoh lima tahun

SHAH ALAM, 10 JUN: Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu mencatat Gred Purata Nasional (GPN) sebanyak 4.80 mata, terbaik dalam tempoh lima tahun sejak 2016.

Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata pada SPM 2019 GPN direkodkan adalah 4.86 mata manakala 4.89 (2018), 4.90 (2017) dan 5.05 (2016).

Selain itu, katanya jurang pencapaian calon SPM di bandar dan luar bandar juga mengecil 0.38 peratus berbanding 0.44 peratus pada tahun sebelumnya.

“Calon layak memperoleh sijil SPM 2020 juga meningkat kepada 88.68 peratus berbanding 86.72 peratus pada tahun 2019,” katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Mohd Radzi berkata keputusan boleh dimuat turun bermula jam 10 pagi ini melalui pautan myresult1.moe.gov.my atau myresult2.moe.gov.my manakala slip keputusan penuh hanya boleh dimuat turun mulai 14 Jun di laman web myresult3.moe.gov.my.

“Bagi mereka yang tidak mempunyai akses internet, pihak sekolah akan menghubungi mereka untuk membincangkan kaedah pengedaran sesuai,” katanya.

Seramai 401,105 calon menduduki peperiksaan SPM 2020 di 3,310 pusat peperiksaan seluruh negara bermula 22 Februari hingga 25 Mac lalu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SELANGOR

Lengkap dua dos vaksin, warga emas tetap buat saringan

SABAK BERNAM, 10 JUN: Biarpun lengkap menerima dua dos vaksin, seorang warga emas tetap menjalani saringan Covid-19 sebagai langkah waspada susulan kebimbangan penularan ‘pembawa senyap’ wabak  sejak kebelakangan ini.

Hadir bertongkat, Hasnah Zakaria, 71, ditemani anaknya Lizawati Abdul Samad, 37, mendapatkan khidmat saringan percuma ditawarkan Kerajaan Negeri di Stadium Sungai Besar di sini semalam.

Lizawati yang juga guru di Kolej Tingkatan Enam Tunku Abdul Rahman Putra berkata ibunya yang mempunyai sakit darah tinggi dan kencing manis, tidak menolak pelawaan membuat saringan demi keselamatan diri.

Hasnah Zakaria, 71

“Dia (ibu) dapat vaksin Pfizer BioNTech akhir bulan lalu tetapi saya bawa dia buat saringan sebab virus ini dikatakan mudah tersebar melalui udara dan tidak tahu sama ada dijangkiti atau sebaliknya,” katanya.

Seorang suri rumah Siti Kalilah Sukri, 51, bersama tiga anak melakukan pemeriksaan tersebut bagi mengelak risiko jangkitan terhadap suaminya yang menderita penyakit buah pinggang sejak lima tahun lalu.

“Suami sekarang menerima rawatan di Hospital Selayang dan akan kembali ke rumah esok (hari ini). Pagi tadi, dia hubungi saya serta maklumkan untuk bawa anak-anak buat saringan sebab sudah dekat dengan rumah,” katanya.

Sementara itu, petani, Mohd Shahid Samiran, 54, bersama isteri dan seorang anak bergegas ke lokasi saringan sebaik selesai melakukan kerja di sawah kerana mahu dirinya dan keluarga bebas jangkitan selepas berlaku peningkatan kes Covid-19 di sekitar kampung.

 

 

Categories
AGENDA SELANGOR

Wakil rakyat: Segerakan laksana titah Sultan Selangor

SHAH ALAM, 8 JUN : Kerajaan persekutuan digesa menyegerakan penyediaan vaksin tambahan kepada rakyat Selangor susulan teguran Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Wakil rakyat Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata titah Sultan itu bertepatan dengan keperluan rakyat berjumlah 6.5 juta di negeri ini.

“Titah baginda perlu diberi perhatian dan tidak sepatutnya wujud pelbagai tohmahan, ketidakcekapan data dan mainan politik yang hanya merencatkan sasaran untuk mencapai imuniti kelompok.

“Dalam keadaan kes harian Covid-19 yang meruncing, adalah wajar nyawa rakyat diberi keutamaan berbanding agenda lain,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau turut menggesa Ahli Dewan Negeri (ADN) Perikatan Nasional Selangor bersama memainkan peranan mendesak kerajaan mempercepatkan proses penyediaan vaksin ini.

Hari ini, menerusi kenyataan Facebook Royal Selangor, Sultan Sharafuddin berharap agar Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJABV) mempercepat dan menambah bilangan dos vaksin untuk rakyat negeri ini.

Baginda turut mengingatkan bahawa Selangor adalah penyumbang terbesar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, justeru keutamaan wajar diberikan.

 

 

 

Categories
AGENDA SELANGOR

Sultan Selangor puji Kerajaan Negeri laksana saringan percuma

SHAH ALAM, 8 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor memuji langkah agresif Kerajaan Negeri dalam melaksana program Saringan Komuniti secara percuma.

Dalam masa sama, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga meminta rakyat terus mematuhi arahan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ini termasuk duduk di rumah jika tiada urusan penting di luar, serta tidak leka dalam mengamalkan SOP wajib seperti memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan sentiasa memastikan kebersihan diri,” menurut kenyataan Facebook Royal Selangor hari ini.

Sejak 8 Mei sehingga 10 Jun, Kerajaan Negeri menjalankan program pengawasan wabak secara aktif melalui Saringan Komuniti di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

Setakat semalam seramai 91,586 orang telah disaring di 46 Dewan Undangan Negeri (DUN), daripada jumlah itu 3,237 individu disyaki positif namun kebanyakannya tiada gejala.

Selain itu, baginda turut menzahir rasa kecewa dengan kewujudan golongan antivaksin di negeri ini dan berharap rakyat tidak mudah terpengaruh dengan pemahaman terpesong.

“Baginda percaya vaksin mampu menyelamatkan nyawa individu dan sesebuah komuniti masyarakat, khususnya daripada wabak berbahaya seperti Covid-19,” kata kenyataan itu.

Sultan Selangor juga bimbang jika masih ada individu atau kumpulan yang berdegil untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor ramai penduduk, Sultan titah banyakkan suntikan

SHAH ALAM: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berharap Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJABV) mempercepat dan menambah bilangan dos vaksin untuk penduduk negeri ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj terkejut apabila Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) mengesahkan Selangor hanya menerima 615,210 dos vaksin Covid-19, bukan 2.9 juta seperti dakwaan sebelum ini.

“Baginda juga menyifatkan nisbah jumlah pemberian dos vaksin tidak adil dan tidak seimbang dengan kepadatan penduduk Selangor yang berjumlah kira-kira 6.5 juta.

“Baginda juga suka untuk mengingatkan bahawa negeri Selangor adalah penyumbang terbesar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, justeru keutamaan wajar diberikan untuk negeri ini.

“Titah Baginda, dalam situasi sekarang, nyawa rakyat haruslah diberi keutamaan berbanding agenda-agenda lain,” menurut kenyataan Facebook Selangor Royal Selangor.

Sultan Sharafuddin juga berharap jumlah pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri ini khususnya di luar bandar termasuk kaedah pandu lalu atau klinik bergerak ditambah bagi meluaskan liputan suntikan vaksin.

Baginda juga menasihati kepada orang ramai yang telah menerima suntikan vaksin supaya kekal dalam keadaan waspada.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 di bawah 1.0 dua hari berturut-turut

SHAH ALAM, 8 JUN: Kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 mengikut kes harian di Malaysia terus mencatatkan penurunan di bawah 1.0 untuk dua hari berturut-turut kepada 0.97 semalam.

Data dikongsi ketua pengarah kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Twitter menunjukkan Malaysia merekodkan penurunan nilai Rt selama sembilan hari berturut-turut daripada 1.16 pada 29 Mei lalu sehingga mencatat 1.0 Sabtu lalu dan 0.99 pada Ahad.

Penurunan itu menunjukkan risiko jangkitan daripada seorang individu positif Covid-19 kepada individu lain semakin berkurangan, dan virus itu boleh dianggap tidak tersebar jika Rt berada di bawah 1.0.

Bagaimanapun, Rt di beberapa negeri masih melebihi purata kebangsaan semalam, dengan Labuan tertinggi pada kadar 1.26.

Ia diikuti Negeri Sembilan (1.17), Sabah (1.16), Sarawak dan Kuala Lumpur masing-masing 1.04, Selangor dan Melaka masing-masing 1.03 serta Perak dan Johor masing-masing 1.01.

Sementara itu, Perlis mencatatkan Rt terendah semalam iaitu 0.92 diikuti beberapa negeri lain yang merekodkan angka bawah 1.0 seperti Putrajaya (0.93), Kedah (0.95), Terengganu (0.96), Pahang dan Kelantan (0.97) serta Pulau Pinang (0.98).

Categories
AGENDA SELANGOR

PPV UiTM Puncak Alam mampu urus 5,000 suntikan vaksin sehari

KUALA SELANGOR, 7 JUN: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berskala mega di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Puncak Alam di sini mampu mengurus sehingga 5,000 pemberian vaksin sehari secara berperingkat.

Pengarah hospital kampus itu berkata buat permulaan pihaknya menetapkan 500 individu disuntik sehari di PPV itu yang beroperasi secara rasmi hari ini bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

Menurutnya, PPV berkonsepkan hibrid dilaksana dalam tempoh empat bulan hingga akhir Oktober ini membabitkan pemberian vaksin secara terus dan pandu lalu yang dijangka bermula dua minggu lagi.

“Konsep pandu lalu lebih memudahkan kerana penerima hanya perlu duduk dalam kereta, namun faktor cuaca perlu diambil kira, sekiranya hujan proses pemvaksinan mungkin sedikit sukar selain penerima perlu menjalani pemerhatian sekitar 15 hingga 30 minit,” kata Prof Dr Sazzli Kasim ketika ditemui.

Sementara itu, beliau yang juga ketua projek PPV memaklumkan untuk peringkat awal, antara 40 hingga 50 peratus penerima vaksin adalah warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) berusia lebih 60 tahun yang menerima vaksin Sinovac.

Selain institusi itu, dua lagi universiti awam turut menyediakan perkhidmatan sama iaitu Universiti Sains Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad hari ini memaklumkan perkhidmatan pemberian vaksin secara pandu lalu di PPV berskala mega di UiTM Kampus Puncak Alam akan mula beroperasi dalam tempoh dua minggu lagi.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO sasar lebih 100,000 sertai Saringan Komuniti hingga 10 Jun

KUALA SELANGOR, 7 JUN: Kerajaan Negeri menyasarkan lebih 100,000 individu disaring menerusi program Saringan Komuniti Covid-19 sehingga 10 Jun ini.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata setakat semalam seramai 91,586 orang telah disaring di 46 Dewan Undangan Negeri (DUN), daripada jumlah itu 3,237 individu disyaki positif namun kebanyakannya tiada gejala.

“Ada lagi lapan DUN yang kita akan pergi sehingga 10 Jun. Setakat ini kita lihat program berjaya memandangkan ramai yang keluar sertai saringan walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya ketika ditemui di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Kuching Tengah sempena saringan komuniti DUN Jeram, di sini hari ini.

Sejak 8 Mei sehingga 10 Jun, Kerajaan Negeri menjalankan program pengawasan wabak secara aktif melalui Saringan Komuniti di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN),

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Mahasiswa Selangor diminta kemas kini data untuk program kebajikan

SHAH ALAM, 7 JUN: Mahasiswa anak Selangor di universiti awam seluruh negara dimohon mengemas kini maklumat mereka bagi program pembangunan dan kebajikan Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar berkata maklumat golongan itu yang bermastautin secara tetap di negeri ini sedang dikumpul Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor bagi menjayakan inisiatif tersebut.

“Semoga inisiatif ini dapat membantu para penuntut di IPTA seluruh Selangor,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook hari ini selepas berkongsi hantaran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Maklumat hendaklah dilengkapkan secara dalam talian menerusi pautan https://forms.office.com/r/W6bsm1XzF5.

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

PdPR: Enam beradik kongsi telefon pintar terima komputer riba ADN Seri Kembangan

SHAH ALAM, 7 JUN: Tiga pelajar dari keluarga kurang berkemampuan di Kelantan menerima komputer riba hasil sumbangan Ahli Dewan Negeri Seri Kembangan dan penyumbang lain semalam.

Antara penerima alat peranti hasil inisiatif Ean Yong Hian Wah itu, seorang pelajar dari Kampung Chengal, Kota Bharu, yang terpaksa berkongsi sebuah telefon pintar milik ibunya dengan lima beradik lain bagi mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), lapor Malaysiakini.

Sumbangan sama turut diterima dua pelajar dari Kampung Kuchelong, Bachok dan Kampung Keladang Beta, Kota Bharu. Hian Wah menerusi wakilnya di Kelantan sedang mengenal pasti seorang lagi penerima, menjadikan empat komputer riba disumbangkan.

Hian Wah berkata sebelum ini beliau berhasrat menyumbang komputer riba kepada empat pelajar di Ketereh yang dilaporkan sukar mengikuti PdPR kerana ketiadaan namun kesemuanya sudah menerima bantuan disampaikan Anggota Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim dan Anggota Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

“Saya minta rakan di Kelantan mencari pelajar lain di negeri itu yang memerlukan bantuan bagi menunaikan hasrat saya serta penyumbang yang berminat membantu. Kami mengumpul sumbangan kira-kira RM8,000 bagi membeli empat komputer riba berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Malaysiakini melaporkan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Nur Sazwani Yuhanis Sanadi, 18, berkata dia bersama lima adik-beradiknya sebelum ini berkongsi telefon milik ibu mereka untuk mengikuti PdPR.

“Adik beradik terpaksa bergilir-gilir untuk guna telefon dalam PdPR dan tunggu giliran untuk gunakan satu telefon itu. Kadang-kadang, proses hantar kerja sekolah terganggu, tapi mujurlah guru-guru memahami,” katanya.