Categories
NASIONAL

PLUS Di Hapus Apabila PR Perintah

ALOR SETAR, 14 JAN: Pakatan Rakyat akan menghapuskan tol Projek Lebuhraya Utara- Selatan (PLUS) sejurus selepas menguasai Putrajaya kelak.

Ketua Menteri Pulau Pinang dalam ucapan penggulungannya berkata tidak mustahil PLUS boleh di hapuskan.

“Kos pembinaan PLUS RM6 bilion, tahun lalu keuntungan PLUS RM24.3 bilion. Jadi untungnya adalah lebih RM18 bilion. Apakah mustahil untuk menghapuskan tol PLUS,” kata beliau yang mendapat tepukan gemuruh perwakilan dan pemerhati.

Katanya janji tersebut hanya kepada PLUS dan tidk membabitkan konsesi lebuhraya yang masih belum mendapat keuntungan dan pulangan modal.

“Ini janji Pakatan Rakyat,” jelas beliau lagi.

Katanya selain itu, Pakatan juga menjanjikan untuk menurunkan harga barangan dan meningkatkan sara hidup rakyat.

Katanya lagi, janji pakatan tersebut bukan sesuatu yang mustahil di laksanakan sebagaimana tercatat dalam Buku Jingga.

Categories
NASIONAL

Perjuangan Bukan Berasaskan Retorik

ALOR SETAR, 14 JAN : Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Ismail berkata tiada lagi alasan untuk musuh politik melabel perjuangan yang dibawa Gagasan Pakatan Rakyat hari ini sebagai retorik semata-mata kerana segala janji telahpun diterjemahkan dengan pelbagai pelaksanaan dalam memberi manfaat dan kebajikan terus kepada rakyat.

Namun, Wan Azizah mengingatkan kepimpinan Pakatan Rakyat untuk tidak alfa dengan membicarakan hakikat perjuangan semata-mata, sebaliknya berkerja keras merealisasikan janji mereka sebagai bukti jelas untuk rakyat menilai keutuhan pakatan berbanding kerajaan pemerintah.

“Kita tidak lagi mampu beretorik sahaja kerana penilaian rakyat hari ini adalah lebih tajam dan lebih tepat.

“Masyarakat kita sudah celik politik dan mereka bukan dari kelompok menerima tetapi mempunyai kemampuan menilai dan bertanya,”katanya.

Melihat kepada gerakan politik Pakatan Rakyat yang tidak henti dibadai arus politik kotor sehingga mencetuskan gelombang reformasi sejak 1998, Azizah mengharapkan seluruh jentera kepimpinan mengambil ikhtibar dan istiqamah untuk terus membela kebenaran dan keadilan di negara ini.

“Sejarah yang tercatat itu, telah dengan sendirinya mencorakkan landskap politik yang berbeda. Rakyat sudah bersedia untuk merasai sesuatu tatakelola yang berlandaskan amanah dan kejujuran politik.

“Kita telah diamanahkan untuk memartabatkan rakyat agar kita hadir bukan pada kulit tetapi pada teras agar perjuangan keadilan untuk rakyat itu tidak kabur dilihat dan tidak sayup di dengar,” beliau berkata demikian ketika berucapan dalam sesi pergulungan pemimpin di sini petang ini.

Menyedari peneriman rakyat yang semakin utuh terhadap kematangan gagasan Pakatan, Azizah berkata tanggungjawab besar ini menguatkan lagi usaha dan tekad Pakatan memperbetulkan keadaan dengan menzahirkan kemerdekaan dan sistem demokrasi negara dalam erti yang sebenar.

“Inilah tugas kita untuk terus menyantuni rakyat dan membela mereka dari dizalimi dengan kebaculan politik kotor dan memalukan. Jelaslah di sini bahawa inilah masanya untuk kita “Bersihkan Malaysia” dari segala jenis kekotoran rasuah, penyelewengan tadbir urus dan tidak amanah,”katanya.

Categories
NASIONAL

PKR Gesa Kerajaan Lantik Pentadbir Korporat Bagi NFC

SHAH ALAM 14 Jan: Seorang pentadbir korporat perlu dilantik bagi mengambil alih pengurusan projek sakit National Feedlot Corporation bagi membuktikan kerajaan pusat serius dalam menyelesaikan kemelut projek RM250 juta itu.

Pengarah strategi PKR Mohd Rafizi Ramli berkata seorang pentadbir korporat boleh mengambil alih pengurusan NFC bagi melaporkan kepada Dewan Rakyat penyelewengan yang telah berlaku di dalam NFC dan syarikat-syarikat milik keluarga Menteri Datuk Seri Shahrizat Jalil.

“Sekiranya tindakan membekukan aset tidak disusuli dengan perlantikan pentadbir korporat, ia tidak ubah seperti melepaskan batuk di tangga seperti mana keputusan mengarahkan Datuk Seri Shahrizat Jalil mengambil cuti berbayar selama tiga minggu sahaja,” Rafizi berkata di dalam sebuah kenyataan di sini.

Kerajaan pusat semalam mengumumkan bahawa aset NFC akan dibekukan sementara menunggu siasatan penuh dijalankan. Shahrizat, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, juga diberikan cuti tiga minggu sementara siasatan dijalankan.

Keluarga Shahrizat, yang mendapat kontrak bagi menjayakan NFC, didakwa menyeleweng duit RM250 juta yang diberikan untuk menguruskan projek tersebut.

Rafizi turut membidas keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menyerahkan kawalan projek NFC kepada Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

Dakwa Rafizi, keseluruhan penyelewengan berlaku dibawah seliaan mereka sebelum ini.

“Kejadian dana yang besar yang dipindahkan ke syarikat-syarikat milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil berlaku pada ketika kedua-dua orang menteri ini sepatutnya memastikan dana hanya dibelanjakan bagi tujuan aktiviti perniagaan NFC sahaja.

“Kecuaian mereka sebelum inilah yang menyebabkan dana rakyat diselewengkan untuk membeli kondominium mewah, tanah banglo, melancong ke luar negara dan lain-lain,” Rafizi berkata.

Categories
NASIONAL

Exco Selangor Kecam Laporan Media Tuduh Peserta Dalang Letupan

SHAH ALAM, 12 JAN: Laporan palsu pihak media yang tidak bertanggungjawab menuduh peserta perhimpunan yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Jalan Duta Isnin lalu sebagai dalang letupan dikecam Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna Alam Sekitar Negeri Selangor, Elizabeth Wong.

“Tuduhan tersebut tidak masuk akal, memandangkan kawasan sekeliling mahkamah berada di bawah kawalan ketat oleh kehadiran polis yang ramai. Saya menyeru pihak polis memberi keutamaan kepada siasatan kes ini.

“Pihak yang bertanggungjawab melepaskan letupan-letupan bom tersebut mesti dibawa ke muka keadilan dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan media.

Dalam kejadian tersebut, tiga letupan berlaku dan mengakibatkan lima orang cedera dan mengakibatkan kerosakan harta benda terutamanya kenderaan.

Letupan yang pertama berlaku bersebelahan dengan kenderaan Exco Selangor sehingga mengakibatkan kereta tersebut mengalami kerosakan manakala kereta milik Zakaria Abdul Hamid, pengarah PKOM Selangor, yang diletak di belakang turut menerima mengalami kerosakan.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak polis untuk menyiasat perkara ini dengan terperinci dan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan agar kejadian sebegini tidak berulang.

Tanbahnya, pelepasan bom-bom ini boleh dianggap sebagai tindakan pengganas yang bertujuan untuk mencetuskan keadaan huru-hara.

Sementara itu, Exco Selangor Dr. Xavier Jayakumar mengesa polis segera menyiasat sumber yang diperolehi oleh akhbar Utusan Malaysia bertajuk ” Peserta Bawa Bom” yang disiarkan di muka depan akhbar tersebut semalam.

“Kita menganggap laporan tersebut mendahului hasil siasatan polis sedangkan pihak polis masih menjalankan siasatan. Adalah sangat wajar pihak polis ‘mengheret’ wartawan atau editor akhbar berkenaan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Lantaran letupan tersebut memberi gambaran negatif terhadap tahap keselamatan orangramai dan hartabenda dan sekaligus ‘merobek’ kredibiliti dan ‘ketidak upayaan’ pihak polis dalam aspek mengawasi keselamatan orang ramai dan kawasan persekitaran (surveillance) dalam sesuatu perhimpunan atau keramaian di tempat awam.

Dr Xavier turut mempertikaikan sikap membisu Datuk Hishamuddin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara dalam isu ini kerana orangramai mula meragui ‘kecekapan’ polis dalam ‘menjamin’ keselamatan negara.

Categories
NASIONAL

Konvensyen PR: Bersihkan Malaysia, Pinggir Kepimpinan Korup

PETALING JAYA, 11 JAN : Konvensyen Pakatan Rakyat ke-3 yang bakal berlangsung hujung minggu ini di negeri Kedah disifatkan sebagai pecutan akhir gagasan itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Konvensyen yang bertemakan ‘Bersihkan Malaysia’ ini secara dasarnya akan memperincikan krisis politik negara yang tidak berpenghujung selain ingin mewujudkan suasana negara yang lebih sejahtera dengan meminggirkan kepimpinan yang korup.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, konvensyen ini juga adalah untuk memastikan gerakan kebangkitan rakyat seiring dengan arus perubahan yang dibawa Pakatan Rakyat.

“Persoalan krisis yang bertentangan dengan amalan politik demokrasi di negara ini harus ditangani dengan meletakkan negara dilandasan yang betul iaitu melalui kepimpinan yang beramanah, integriti dan akauntabiliti untuk menerajui negara selepas pilihan raya nanti.

“Kita juga akan mengwujudkan suasa sebuah negara yang mana ia adalah milik kita semua, negara untuk semua kaum dan kita hidup sebagai satu keluarga yang bertanggungjawab membangunkan negara secara bersama,” Mahfuz berkata demikian dalam satu sidang media di Pejabat Sekretariat Pakatan Rakyat di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, sudah tiba masanya untuk seluruh rakyat meninggalkan kepimpinan yang korup dan terbuka untuk menerima sepenuhnya pakej politik kepimpinan Pakatan Rakyat seperti yang termaktub di dalam naskah buku jingga.

“Kita mengharapkan konvensyen kali ini mampu memberi gambaran jelas kepada masyarakat Malaysia tentang komitmen kepimpinan Pakatan Rakyat dalam mendepani secara segera segala tekanan, ketidakadilan dan bebanan hidup yang terpaksa ditanggung rakyat dinegara kita selama ini,” jelasnya.

Hadir sama, AJK PAS Pusat, Dzulkefly Ahmad, Naib Presiden PKR, N.Surendran dan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tan Kok Wai

Categories
NASIONAL

Blogger Pro-Umno Hina Mahkamah dan Anwar


GEORGE TOWN, 11 JAN : Beberapa orang wakil dari Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Solidariti Anak Muda Keadilan (SAMM) Pulau Pinang hari ini membuat laporan polis terhadap blogger pro-Umno, Papa Gomo yang mengeluarkan artikel menghina keputusan mahkamah.

Penyelaras SAMM Mohd Aidil Ibrahim berkata, selain artikel yang berbunyi ‘hakim telah dibeli oleh DS Anuar Ibrahim’, Papa Gomo juga menfitnahkan nama Datuk Seri Anuar Ibrahim dengan menggunakan perkataan “babi” serta ayat-ayat yang kurang ajar.

“Beliau (Papa Gomo) dengan jelas menerusi laman twitter-nya membuat kenyataan kurang ajar dengan menyatakan bahawa hakim telah dibeli oleh Anwar Ibrahim, menerusi perkataan dalam ruang komen tersebut jelas menunjukkan papa gomo memiliki hubungan istimewa dengan Perdana Menteri seperti bersembang dengan kawan-kawan, beliau ‘twit’ Perdana Menteri,”

“Kami juga mendesak agar kertas siasatan segera dibuka dan Papa Gomo diheret kemuka pengadilan kerana menghina mahkamah secara terang-terangan,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat satu laporan polis di Balai Polis Timur Laut, di sini hari ini.

Hadir sama membuat laporan polis, Timbalan Ketua Angkatan Muda Pulau Pinang Ahmad Azrizal Tahir dan beberapa wakil dari Gerakan Jingga 13.

Categories
NASIONAL

Kenyataan Anwar Dari Mumbai, India

SHAH ALAM, 10 JAN: Selepas diumumkan bebas dari pertuduhan yang disabitkan berhubung konspirasi fitnah 2 oleh Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta isteri, Datuk Seri Wan Azizah Ismail bergegas untuk ke Mumbai, India.

Ramai yang terkejut dengan dengan keberangkatan beliau tersebut termasuk dikalangan media tempatan.

Berikut adalah kenyataan penuh Anwar yang baru diterima.

KENYATAAN MEDIA
10 JANUARI 2012

Saya dan Azizah tiba di Mumbai dan menuju Panchgani sebagai tetamu kepada sahabat lama, Rajmohan Gandhi, penyala obor perjuangan datuknya, pejuang besar India Mahatma Gandhi.

Lebih tiga bulan lalu saya berjanji untuk bersama beliau menyemarakkan semangat perjuangan Gandhi bagi menegakkan demokrasi yang mempedulikan nasib rakyat serta menolak kezaliman dan rasuah.

Sepanjang dalam perjalanan selama tiga jam, saya menerima ribuan panggilan telefon, mesej dari Twitter dan Facebook, komen di blog serta SMS dari pelbagai lapisan masyarakat Malaysia dan dunia yang menyatakan kesyukuran dan rasa gembira.

Fikiran saya melayang mengenangkan wajah gelisah, sedih, derita keluarga dan rakyat terutama di saat cemas menunggu penghakiman pagi semalam.

Alhamdulillah, saya bersykur kerana setelah sekian lama difitnah dan diaibkan oleh pemimpin dan media UMNO, Hakim Dato’ Zabidin Mohd Diah memutuskan — berlandaskan undang-undang dan fakta — bahawa dakwaan seseorang tanpa saksi dan sebarang bukti sokongan adalah tidak dapat diterima. Malah keterangan forensik dan DNA yang dikemukakan pihak pendakwaan turut dipertikaikan kesahihannya.

Saya tidak berhasrat menyingkap permasalahan lalu atau memberikan sebarang tafsiran mengapa penghakiman mengejutkan ini berlaku. Walaubagaimanapun, saya bersyukur ke hadrat Allah Azzawajalla kerana saya bebas dari fitnah jahat sedemikian.

Kasih sayang Azizah dan keluarga; kesetiaan rakan-rakan KEADILAN; dukungan PAS dan DAP; para reformis dan sokongan dan iringan doa rakyat bukan saja ibarat penawar malah membajai penyuburan semangat dan daya juang saya.

Seperti lazimnya saya tidak cenderung untuk merintih kisah derita silam malah sedia memaafkan. Hanya yang dimasyghulkan ialah kebiadaban gerombolan kecil termasuk media UMNO yang berdendam kesumat dan terus memfitnah saya.

Saya ingin mengajak saudara-saudari bersama rakyat Malaysia untuk melonjakkan perjuangan menuntut kebebasan rakyat; pemerintahan yang telus dan adil; ekonomi yang dipacu segar tetapi mempedulikan nasib rakyat serta menolak keangkuhan kuasa dan rasuah.

Kami sekeluarga amat terharu dengan luahan simpati dan dukungan semua. Semoga usaha murni kita bersama direstui dan diberkati Allah SWT.

Ikhlas dari,
ANWAR IBRAHIM

Categories
NASIONAL

Letupan Di Himpunan 901: Polis Perlu Siasat Segera

SHAH ALAM, 10 JAN: PKR menganggap isu letupan yang berlaku semalam semasa himpunan 901 sebagai amat serius dan memerlukan siasatan terperinci dan segera dari pihak polis.

Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata kejadian ini mengejutkan memandangkan himpunan tersebut adalah antara himpunan pertama yang mendapat permit Polis.

“Polis harus beri penjelasan sebab sepanjang malam polis sahaja yang dapat acces ke kawasan tersebut. Dari pada gambar-gambar dan saksi, didapati bahan letupan tersebut disimpan dibawah ‘kon’ polis dan ia diletupkan melalui remote control atau time bom. Ini bukan boleh dibuat oleh orang biasa,”katanya ketika dihubungi TVSelangor.

Dalam kejadian tersebut terdapat pihak-pihak lain juga turut berada dilokasi tempat letak kereta berhampiran Mahkamah Jalan Duta semalam.

“Baik pun perkasa ke pekida pun saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi kerana mereka juga berhak untuk berhimpun, saya harap pihak polis boleh menyiasat dan mencari orang yang bertanggungjawab,”ujarnya.

Menyentuh mengenai himpunan aman semalam, Tian berkata keputusan pembebasan Anwar semalam merupakan suatu kegembiraan kepada seluruh Pakatan Rakyat.

“Ini saya anggap orang yang tak puas hati dengan himpunan aman yang berlangsung atau orang tidak berpuas hati dengan kes ini. Ini boleh menjadi sedikit klu kepada pihak polis untuk mengadakan siasatan untuk mengetahui siapa yang bertanggung jawab,”katanya.

Sehubungan itu, PKR dan Pakatan Rakyat akan cuba menemui pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri bagi mendesak supaya siasatan segera dijalankan.

Dalam kejadian semalam tiga insiden letupan bom yang mencederakan lima orang awam berlaku selepas mahkamah melepaskan dan membebaskan Anwar daripada tuduhan mengikut Seksyen 377(B) Kanun Keseksaan.

Categories
NASIONAL

Lepas Anwar, Rakyat Perlu Dibebaskan

KUALA LUMPUR 9 JAN : Kebebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan bermakna sistem perundangan negara bebas dari unsur politik dan salahguna kuasa.

Demikian kata pemimpin kanan Pakatan Rakyat Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu ketika memberi reaksi terhadap keputusan mahkamah tinggi yang membebaskan Anwar hari ini daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan.

Lim, yang merupakan Menteri Pulau Pinang berkata keputusan itu akan mendorong Pakatan membebaskan rakyat daripada cengkaman Barisan Nasional.

Manakala Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai “Mat Sabu” berharap keputusan itu merupakan titik permulaan untuk sistem penghakiman di Malaysia dibebaskan daripada unsur politik.

Ikuti kenyataan mereka di dalam klip video di bawah.

Categories
NASIONAL

Nurul Izzah: Tindakan Ke atas Adam bermotif Politik

SHAH ALAM, 10 JAN : Tindakan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menggantung mahasiswa Adam Adli selama tiga semester merupakan tindakan yang opresif,bermotifkan politik yang zalim dan jelas menghalang mahasiswa daripada menyuarakan pandangan mereka.

Naib Presiden Keadilan Nurul Izzah Anwar berkata jika suatu kesalahan telah dilakukan oleh mahasiswa, tindakan yang diambil harus bersifat memberi pengajaran, bukannya membudayakan budaya ketakutan di kalangan orang muda.

“Sebagai nadi masyarakat majoriti, mahasiswa dan anak muda wajib diberi ruang untuk berfikir secara kritikal, berbincang secara mendalam, dan bersuara dengan lantang. Di mana kah mahasiswa mampu mengalami ruang sebegini jikalau bukan di universiti,” katanya dalam kenyataan media.

Tambah Izzah , jawatankuasa disiplin yang menjatuhkan hukuman ke atas Adam Adli sebenarnya merendahkan maruah dan nama UPSI itu sendiri, yang mempunyai sejarah yang begitu dalam dan cukup berkait rapat dengan kebangkitan semangat kebangsaan sejak sebelum Malaya mengecapi kemerdekaan.

“Saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar kita bangkit dan pertahankan hak mahasiswa, kerana mahasiswa lah yang menjadi penyambung perjuangan kita demi Malaysia yang lebih baik,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

AIC: Tiada Lagi Kompromi Dalam Isu Fitnah

SHAH ALAM, 10 JAN: Kelab Anwar Ibrahim (AIC) berharap pihak berkuasa termasuk badan kehakiman di negara ini perlu mengekang sebarang bentuk fitnah yang disasarkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden AIC, M Hadi Hamka berkata pihak berkuasa tidak perlu ada kompromi dalam hal ini, tanpa mengira sasaran, budaya fitnah harus dikekang dan dihentikan sepenuhnya.

Katanya pembebasan Anwar semalam membuktikan bahawa segala fakta-fakta perundangan yang telah dikemukakan oleh pasukan peguam pembela Anwar berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah sehingga gagal disanggah oleh pasukan pendakwaraya.

“Walaupun mahkamah membebas dan melepaskan Datuk Seri Anwar, AIC melihat ini bukanlah bermakna sistem kehakiman Malaysia sudah bebas sepenuhnya. Malah, AIC berpandangan sekiranya sistem kehakiman Malaysia mempunyai integriti yang tinggi, kes ini sewajarnya dibuang lama dahulu kerana kes yang dibawa pendakwa adalah kes yang rapuh dan tidak kredibel sama sekali,” kata beliau dalam kenyataan medianya.

Menurut beliau dengan pembebasan Anwar menjadi nafas baru dalam usaha memperjuangkan kepentingan seluruh rakyat di negara ini melalui usaha menguasai kerajaan persekutuan.

“Tanggal 9 Januari harus menjadi satu permulaan baru untuk rakyat Malaysia, memperbaharui azam dan tekad untuk mengeluarkan Malaysia dari gejolak rasuah, salahguna kuasa dan sistem tadbirurus negara yang lompong. Perubahan yang dituntut, melangkaui perbezaan agama, ideologi dan kaum: ianya untuk masa depan generasi muda Malaysia pastinya.’ kata beliau

Categories
NASIONAL

Tian Chua : Menconteng Bangunan Umno Usaha Memburukkan Imej Pakatan Rakyat

SHAH ALAM, 7 JAN : Insiden bangunan milik Umno Kedah yang diconteng kata-kata nista menggunakan cat tertera perkataan “Bebaskan Anwar” dan “Gerakan 901” awal pagi tadi dianggap sebagai taktik kotor untuk memburukkan imej Pakatan Rakyat.
Naib Presiden PKR Tian Chua meyifatkan perbuatan tidak bertanggungjawab itu sebagai satu konspirasi untuk menjatuhkan nama Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim selain mengaibkan Perhimpunan di depan mahkamah Jalan Duta yang akan berlangsung pada 9 Januari nanti.

Menurutnya, Pakatan tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan untuk melakukan perbuatan tidak bermoral itu sekaligus menolak dakwaan bahawa kejadian itu mempunyai kaitan dengan Pakatan.

“Saya ingin mengingatkan semua pihak supaya jangan hilang fokus daripada isu pokok atau tujuan asal iaitu Perhimpunan 901 pada 9 Januari nanti.

Ini kerana, ia adalah hari yang akan menentukan imej negara kita dalam membuktikan sama ada institusi kehakiman di Malaysia adil atau tidak selain bakal menjadi hari yang akan mendedahkan konspirasi dalam usaha memfitnah dan memburukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya yang juga Ahli Parlimen Batu.

Kejadian menconteng premis dan kenderaan di beberapa tempat di Kedah menggunakan semburan cat berwarna hitam itu dipercayai berlaku antara pukul 3.30 hingga 5 pagi dan hanya disedari pengawal keselamatan pada jam 5 pagi.

Premis perniagaan dan lebih 10 kenderaan di kawasan Kubang Pasu, Padang Terap dan Alor Setar turut diconteng dengan kata-kata yang mengaibkan “Perhimpunan 901”.

Selain itu, Pejabat Umno Padang Terap, pusat beli-belah Angsana dan restoran KFC, Kuala Nerang serta dua bas henti-henti dicat dengan kata-kata yang sama.

Ketika ditanya kemungkinan insiden-insiden tersebut merupakan usaha untuk sabotaj perhimpunan Pakatan, Tian berkata, ia terletak di bawah bidang pihak berkuasa untuk membuat siasatan terperinci ke atas insiden berkenaan.

“Itu saya serahkan kepada pihak polis untuk siasat. Kita sudah dimaklumkan, bahawa laporan polis telah dibuat. Kita tidak mahu lari daripada isu pokok di mana semua yang berlaku ini adalah sebahagian daripada konspirasi untuk menjatuhkan Anwar,” ujarnya.