Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Perkuat ekonomi, bangun masyarakat penyayang

SHAH ALAM, 20 FEB: Belanjawan Selangor 2022 memperuntuk perbelanjaan sebanyak RM2.34 bilion dengan RM1.12 bilion daripadanya dikhaskan untuk pembangunan.

Dibentang 26 November lalu, ia dirangka dengan lima teras utama termasuk memacu ekonomi selepas terjejas akibat wabak Covid-19 dan mengukuhkan lagi kesejahteraan masyarakat.

Selangorkini menerbitkan sejumlah program menarik teras satu dan dua. Tiga lagi teras akan dimuatkan minggu depan.

Bahagian dua: Selangor kukuh agenda kesihatan, guna teknologi hijau dan pintar

Belanjawan ini memberi manfaat kepada semua golongan termasuk wanita, golongan berpendapatan rendah, pelajar, orang kelainan upaya, usahawan dan petani. Ia meliputi pelbagai aspek seperti kesihatan, pendidikan, industri, perniagaan, pelancongan dan pertanian.

Bertema Kita Selangor: Negeri Tahan Uji, Mengangkat Martabat Insani, belanjawan ini dijangka akan diperhalusi semula susulan bencana banjir yang melanda lapan daerah hujung tahun lalu.

Ringkasan program utama ini disediakan oleh AFIX REDZUAN dan NADIAH ZAMLUS.

TERAS 1: memacu pertumbuhan ekonomi berimpak tinggi dan meningkatkan kecekapan penyampaian

Dasar Memudahcara Perniagaan (Ease of Doing Business)

  • permudah urusan perniagaan meliputi kebenaran merancang, pelan bangunan dan pelan infrastruktur
  • tempoh proses pembangunan tanah dijimatkan 50 peratus
  • Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) memperluaskan pelaksanaan Smartbox PTGS ke seluruh negeri
  • insentif pengecualian 100 peratus bayaran caj pemajuan iaitu RM500 bagi pembinaan rumah mampu milik bermula 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2023
  • deposit premium tanah diturunkan kepada 100 peratus untuk kemudahan industri

Jalur Lebar Industri Selangor (JALIN)

  • SMARTSEL bekerjasama dengan pemain industri telekomunikasi sediakan jalur lebar di kawasan industri dengan peruntukan RM6 juta

Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa (SIBS) 2022

  • RM15 juta diperuntuk kepada Invest Selangor untuk jayakan SIBS 2022
  • luaskan komponen Konvensyen Bandaraya Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) menjadi Persidangan Bandar Pintar ASEAN (ASEAN Smart City Conference)

    Datuk Seri Siti Nurhaliza menunjukkan beberapa produk keluaran syarikatnya pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 20 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pembangunan Kompleks Perumahan Pekerja Selangor

  • projek kerjasama awam-swasta dengan dana awal RM5 juta
  • menempatkan 60,000 pekerja
  • dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS)
  • dilengkapi dengan kedai dobi, restoran, kedai runcit
  • luas 145 ekar, di mana 59 ekar tanah Kerajaan Negeri dan 86 ekar tanah PKNS

Industri Aeroangkasa

  • tubuh Selangor Aviation and Technology Innovations Sdn Bhd (SELATI), Pusat Kecemerlangan SELATI-UNISEL, SELATI-UNISEL School of Aviation, Selangor Skills Framework & Career Pathway
  • peluang pelaburan bagi syarikat pembekal aeroangkasa, kepintaran buatan dan pembangunan dron di Universiti Selangor (UNISEL) Bestari Jaya
  • tawar kursus latihan jangka pendek dan ijazah sarjana muda kejuruteraan penerbangan serta pembangunan modal insan berkemahiran dan pasaran buruh

Pameran Udara Selangor 2022

  • RM5 juta diperuntuk untuk penganjuran
  • sasar kehadiran 5,000 pelawat dan 30 peserta daripada syarikat tempatan dan antarabangsa, termasuk pameran pesawat terbang statik serta forum

Industri Rel Negeri Selangor

  • tubuhkan Majlis Industri Rel Negeri Selangor
  • disertai 50 buah syarikat dengan tenaga kerja hampir 8,000 orang
  • jadikan industri rel sebagai tonggak ekonomi dan cipta peluang kerja

Koridor Pembangunan Selatan Selangor

  • Pembangunan Selangor International Aero Park di Sepang meliputi Zon Perdagangan Bebas, teknologi hijau serta sumber tenaga boleh diperbaharui
  • diterajui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dengan kemudahan aeroangkasa di tanah seluas 2,000 ekar

Pembangunan Ekonomi Sabak Bernam

  • membangunkan hab pengeluaran makanan utama di Selangor
  • antara inisiatif:
    -bangunkan pusat industri hiliran hasil laut dan agro makanan seluas 450 ekar libatkan pelaburan sekitar RM500 juta daripada kerajaan dan swasta
    -RM15 juta bina pusat sembelihan ayam di Sekindi
    -RM50 juta bina kilang minyak sawit di Jelutong Jati
    -pusat logistik dan perdagangan di Sungai Lang dan hentian di Air Manis di kawasan seluas 36 ekar dengan nilai pelaburan sekitar RM500 juta
  • Pelancongan
    -Naik taraf Kelong Paradise di Bagan Nakhoda Omar
    -Bangunkan Hay Resort bersama swasta dengan pelaburan RM20 juta

Hab Logistik Serendah

  • Serendah dijadikan hab logistik aeroangkasa dan teknologi tinggi selaras Rancangan Malaysia ke-12

Pembangunan Lestari Sungai Klang

  • tempoh pembangunan sehingga 10 tahun melibatkan 600 ekar tanah negeri di sepanjang 56 kilometer jajaran Sungai Klang
  • Landasan Lumayan Sdn Bhd melalui Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd membina 2,000 unit kediaman mampu milik dan 1,400 unit kediaman harga bebas
  • kediaman mampu milik luas 900 kaki persegi dengan lima bilik serta empat bilik air yang boleh disewakan
  • pembangunan 26,000 unit kediaman di pesisir Sungai Klang siap menjelang 2030 dengan 13,000 unit daripadanya kediaman mampu milik

    Keadaan Sungai Klang yang semakin bersih setelah lebih 75,000 tan metrik sampah berjaya dikeluarkan sejak 2016. Foto ihsan Landasan Lumayan Sdn Bhd

Industri Halal

  • RM2 juta untuk taman perindustrian halal pertama di Malaysia iaitu Pulau Indah Halal Hub seluas 700 ekar
  • melalui Selangor Halal Action Plan (SELHAP) 2018 – 2028, Kerajaan Negeri akan:
  • wujudkan portal halal dalam talian secara berpusat iaitu Platfom Perniagaan Dalam Talian IMFAN (International Muslim Friendly Affiliated Network)
  • wujudkan pangkalan data bahan halal Central Information Platform (CIF) sebagai sumber rujukan utama pensijilan halal pelbagai sektor industri
  • bina gudang simpanan moden di Klang bernilai RM500,000

Industri Pelancongan

  • RM114.6 juta diperuntuk bagi tempoh 2021-2025 libatkan sektor pelancongan:
  • Bantuan Pemulihan Penggiat Industri Pelancongan Tahun 2022 (Pakej Kita Selangor)
  • perkasa Kempen Promosi Pelancongan Negeri Selangor (Kempen Pusing Selangor Dulu & Kempen Splendid Selangor)
  • pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) pelancongan “Selamat dan Sihat”
  • anjur Persidangan Pelancongan Tourism Selangor Global Convention 2022
  • bangunkan kemudahan pelancongan dan kraftangan

Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam

  • RM138.13 juta bagi projek jalan raya negeri
    -sistem dalam talian dibangunkan SELGEM Sdn Bhd untuk mencerap data kerosakan jalan dengan pantas
    -penggunaan sistem ke seluruh negeri dan digabungkan dengan sistem sedia ada
    -RM44 juta bina jalan baharu. Antaranya RM10 juta bina jalan sambungan Sungai Kelambu – Genting Sanyen, Kuala Langat dan RM10 juta bina jalan Kampung Sri Indah A ke Jalan Hospital Sungai Buloh
    -RM8.23 juta bina jambatan Kampung Sungai Kundang, Gombak dan Kampung Sungai Buah, Sepang
    -RM65.4 juta naik taraf jalan sedia ada
    -RM2 juta untuk pewartaan jalan seluruh negeri
  • RM4.98 juta bina dan naik taraf bangunan termasuk pulihara semua istana di Selangor.
  • Pembangunan Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam (fasa 2B)
    -kesinambungan projek fasa 1 dan fasa 2A
    -RM500,000 untuk kerja awal bina Galeri Diraja, Galeri Menteri Besar dan Perpustakaan Pembelajaran Kreatif
    -wujudkan ruang dwi-fungsi sebagai ruang pameran dan bacaan senyap
    -kawasan penjaja, tempat riadah dan parkir dibangunkan

Sekolah Digital Selangor (SDS)

  • ditubuhkan dengan kerjasama Universiti Selangor (Unisel) serta The Hive
  • tawar kursus berkaitan digital dan teknologi yang memenuhi keperluan pasaran
  • The Hive dipilih sebagai syarikat modal dalam Program Padanan Penjana Nasional Kapital Kementerian Kewangan (MOF)
  • Penjana Nasional dijangka beri pelaburan sepadan dengan pelaburan Kerajaan Selangor dan The Hive termasuk tawarkan tenaga pengajar, bina sistem pembelajaran hibrid terkini serta pemasaran digital

HIJRAH Selangor

  • RM120 juta biaya usahawan
  • skim biaya baharu sehingga RM100,000. Sasar pembiayaan awal RM10 juta
  • RM52 juta untuk skim i-Agro untuk 2,000 usahawan tani dengan biaya maksimum RM26,000
  • wujudkan pusat perniagaan pelbagai perkhidmatan dikenali Dataran Hijrah
  • tingkatkan jumlah minimum pinjaman RM5,000 ke RM10,000 bagi program Zero-to-Hero
  • kurangkan caj pengurusan kepada empat peratus untuk pinjaman RM30,000 ke bawah
  • batalkan syarat wajibkan peminjam mempunyai 25 peratus daripada jumlah pinjaman dalam akaun

Program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (i-Seed)

  • peruntuk RM1.146 juta untuk teruskan program

    EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau (tengah) menyerahkan bekas peralatan membaiki kereta kepada M Batumalai,68, (kiri) dalam program I-SEED di Bukit Kemuning, Shah Alam pada 29 Oktober 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Geran Padanan Digital SIDEC

  • peruntuk 50 peratus geran padanan atau pembiayaan sehingga RM5,000 kepada syarikat perindustrian kecil dan sederhana (PKS) untuk melanggan pembekal perkhidmatan digital
  • RM5 juta merangkumi lima bidang digital

Geran Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS)

  • RM2 juta bantu usahawan mikro di Selangor tingkatkan jualan
  • pemohon yang layak dipertimbang terima bantuan sehingga RM30,000

Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor

  • RM1 juta tubuhkan Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS)
  • bantu golongan berpendapatan rendah (B40) hilang kerja dan pendapatan
  • UPPS bekerjasama dengan kerajaan dan swasta sediakan program kemahiran

Unit Pemantauan Pelaksanaan dan Prestasi Selangor (SIAP)

  • ditubuhkan bagi menilai pencapaian perkhidmatan Kerajaan Negeri serta memantau prestasi projek
  • unit di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bagi proses pemantauan dan pelaporan

Polisi Integriti dan Tadbir Urus Anak Syarikat

  • MBI dan kumpulan anak syarikat menerima pakai tujuh polisi Integriti dan Governans dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) sejak Januari 2021
  • melibatkan kakitangan, pemegang taruh, vendor dan pihak yang berkepentingan dengan MBI
  • kerjasama strategik bersama SPRM bagi memastikan program latihan serta bimbingan dalam pengurusan isu Integriti dan Governans

Pelaksanaan Program Kerajaan Tempatan

  • RM4 juta untuk pembangunan ke arah bandar sejahtera dan negeri maju
  • antaranya naik taraf kemudahan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta program kemasyarakatan

Kemudahan Portal E-semakan dan E-bayaran Cukai Tanah/Petak

  • perkenal kemudahan Business-to-Business (B2B) guna Financial Process Exchange (FPX), capaian, cetakan bil dan resit cukai tanah dan cukai petak

Penguatkuasaan Program

  • Pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran
  • RM76 juta dikutip menerusi program Pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran setakat Julai 2021
  • sebanyak 4,728 buah lot dan 5,755 buah kilang dikenal pasti. Sebanyak 367 lot kemuka permohonan tukar kategori dan syarat nyata tanah sehingga Disember 2020
  • laksana program Permit Khas bagi penggunaan sementara tanah pertanian yang digunakan selain pertanian
  • laksana Permit Khas Kediaman Selain Daripada Tujuan Kediaman ataupun Perniagaan

Teras 2: Membangun masyarakat penyayang dan kesejahteraan sosial

Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas)

  • RM300 sebulan kepada keluarga layak
  • beli keperluan rumah, bayar yuran dan pendidikan anak-anak
  • peruntuk RM108 juta dan jangkaan 180,000 penerima manfaat

Skim Mesra Usia Emas (SMUE)

  • baucar beli-belah RM100 pada bulan kelahiran
  • khairat kematian RM500
  • peruntuk RM27.5 juta

Iltizam Anak Selangor

  • pembukaan akaun Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime untuk anak baharu lahir di Selangor
  • diberi RM100 setahun untuk tempoh lima tahun
  • peruntukan sebanyak RM3 juta

Bantuan Anak Yatim Covid-19

  • sumbangan kewangan berjumlah RM1.25 juta
  • beri manfaat kepada 2,500 anak yatim
  • RM500 untuk anak yatim kehilangan ibu atau ayah akibat Covid-19
  • kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kesihatan Negeri serta unit lain bagi tujuan pengurusan harta pusaka, penjagaan anak-anak, serta bantuan kesihatan emosi

    Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor (kanan) menyerahkan tablet dan kad sim Data Internet Selangor kepada lima beradik yatim piatu di Kampung Melayu Subang Tambahan, Shah Alam pada 2 November 2021. Bapa mereka Mohd Nasir Tahal, 46, meninggal dunia akibat Covid-19 pada 11 Ogos dan ibu Ida Haryanie Abdul Razak, 38, pada 7 Oktober selepas 64 hari bertarung nyawa. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Insentif Galakan Pembinaan Rumah Mampu Milik Pasca Covid-19

  • rumah berkeluasan minimum 1,000 kaki persegi pada harga jualan tidak melebihi RM250,000 seunit
  • dilengkapi barang asas rumah antaranya penghawa dingin, kabinet televisyen, kabinet dapur, kabinet baju dan pemanas air

Iltizam Peneroka Bandar

  • peruntuk RM10.77 juta melalui Tabung Amanah Rumah Mampu Milik
  • untuk tempoh empat tahun bagi pembelian unit tersebut kemudian dijadikan Skim S2-OWN

Insurans Pangsapuri Kos Rendah Negeri Selangor

  • bantu badan pengurusan pangsapuri menanggung kos kerosakan akibat bencana alam
  • bantu membuat pampasan daripada pihak insurans (Takaful) disebabkan kebakaran, kerosakan akibat rebut atau angin kencang, kerosakan akibat daripada limpahan tangki air dan kerosakan lif
  • manfaat 238,403 unit rumah pangsapuri kos rendah
  • RM1.5 juta akan diperuntukkan

Program Pembelajaran Sepanjang Hayat

  • Wanita Berdaya Selangor perkenal Program Pembelajaran Sepanjang Hayat
  • sambung pelajaran di peringkat diploma, sarjana muda dan sarjana
  • kerjasama Open University Malaysia (OUM) khusus untuk wanita Selangor
  • RM200,000 setahun peruntukan disediakan

Iltizam Anak Istimewa Selangor (AnIS)

  • Akademi AnIS ditubuh untuk membangun kapasiti warga pendidik AnIS
  • beri bantuan kewangan kepada Pusat Early Intervention Programme (EIP) dan Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) melalui program Didik AnIS.
  • RM3 juta diperuntukkan

Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri

  • RM2 juta akan diperuntukkan
  • RM10,000 bagi setiap permohonan

Dana Bantuan Guaman Selangor

  • bantu golongan kurang berkemampuan untuk mendapatkan bantuan guaman
  • bantu kes berkaitan keganasan domestik dan kehilangan pekerjaan untuk rakyat golongan B40
  • RM1 juta akan diperuntukkan
  • kerjasama Selangor Bar Council dan Selangor Legal Aid Centre

Pembangunan Orang Asli

  • peruntuk sejumlah RM1.5 juta
  • membina, baik pulih dan naik taraf kediaman daif Orang Asli
  • kemudahan infrastruktur sedia ada penempatan Orang Asli juga akan dinaik taraf

Penggerak Belia Selangor (PeBS)

  • RM2.8 juta diperuntuk bagi program dan aktiviti PeBS
  • bertindak sebagai jentera Kerajaan Negeri laksana dasar pembangunan generasi muda akar umbi

E-Sukan

  • RM1.2 juta diperuntukkan

Roda Darul Ehsan (RiDE)

  • peruntukan sebanyak RM2 juta

    Dato’ Seri Amirudin Shari melekatkan Jalur Gemilang pada motosikal peserta program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) di Dewan Rakyat Batu Caves, Gombak pada 21 Ogos 2021. Foto RADIN WAZIR

Pembinaan dan Baik Pulih Infrastruktur Sukan

  • peruntuk RM4 juta
  • baikpulih infrastruktur sukan yang rosak di setiap Dewan Undangan Negeri dengan had nilai RM100,000
  • Liga Akar Umbi
  • semarakkan aktiviti kesukanan belia
  • RM1 juta bagi pelaksanaan Liga Akar Umbi

Iltizam Mahasiswa Selangor

  • bantuan RM1,000 kepada mahasiswa baharu daripada keluarga berpendapatan rendah
  • sejumlah RM3 juta akan diperuntukkan

Skim Pinjaman Teknologi Asas Selangor (SEPINTAS)

  • SmartSel dengan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dapatkan peranti digital terpakai
  • untuk dipinjamkan kepada murid sekolah dan mahasiswa
  • sebanyak RM1 juta diperuntuk

Program Tuisyen Rakyat (PTRS)

  • peruntukan RM7 juta
  • sekiranya dilaksanakan bersemuka, pek bantuan makanan tengah hari diberi

Iltizam Pendidikan Fardhu Ain (KAFA-i)

  • peruntuk RM5 juta
  • subsidi yuran RM30 sebulan
  • beri manfaat 14,000 murid daripada golongan B40

Pemerkasaan Institusi Pengajian Tinggi Kerajaan Negeri

  • merangkumi aspek pentadbiran, pembangunan keupayaan dan daya saing tenaga pengajar dan juga pentadbir
  • meningkatkan kerjasama industri, kemudahan pengajaran dan pembangunan mahasiswa
  • RM5 juta diperuntuk bagi pemerkasaan IPT
  • RM3 juta buat UNISEL menyediakan data internet bagi kegunaan mahasiswa untuk pembelajaran hibrid

Majlis Perpaduan dan Integrasi Selangor (MPIS)

  • menjadi badan penasihat khusus berkaitan isu perpaduan
  • pemantau khusus pelaksanaan Dasar Perpaduan dan Pelan Tindakan Negeri Selangor
  • RM400,000 akan diperuntuk

Kursi Siddiq Fadzil UNISEL

  • menggalakkan wacana keharmonian serta kesederhanaan
  • sebanyak RM1 juta diperuntuk

    Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) menyerahkan cek cura berjumlah RM1 juta kepada Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman (kanan) sempena pelancaran Institut Pemikiran dan Kepimpinan Siddiq Fadzil di Dewan Pro Canselor, Unisel Shah Alam pada 17 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Menyempurnakan Pembinaan Masjid

  • membina tiga masjid iaitu Masjid Kota Damansara 2 di Petaling, Masjid Al-Ehsan Kampung Tok Muda di Klang dan Masjid Kampung Sungai Serai 13 di Hulu Langat

Pembinaan Sekolah Rendah Agama

  • peruntuk RM3 juta menaiktaraf dan membina sekolah baharu
  • sekolah baharu akan dibina iaitu Sekolah Rendah Agama Kota Kemuning, Sekolah Rendah Agama Bandar Saujana Putra, Sekolah Rendah Agama Bandar Teknologi Kajang dan Sekolah Rendah Agama Bukit Sentosa Fasa 1 di Hulu Selangor
  • dua sekolah dinaik taraf iaitu Sekolah Rendah Agama Integrasi Seksyen 19 dan Sekolah Rendah Agama Seksyen 7 Shah Alam

Iltizam Terjemahan Karya Agung Islam

  • geran permulaan sebanyak RM1 juta selama tiga tahun
  • permulaan akan terjemah kitab Ihya’ ‘Ulumuddin oleh Imam Al-Ghazali

Program Rentak Selangor

  • sasar aktiviti kebudayaan
  • promosi kebudayaan tradisi lisan seperti syair, pantun, gurindam, puisi dan berzanji
  • peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.2 juta

Galeri Seni Moden Shah Alam (SAMA)

  • beli kompleks bangunan milik Bank Negara di Shah Alam berharga RM33.4 juta
  • mercu tanda baharu kebudayaan di Selangor

Wanita Berdaya Selangor

  • RM5.03 juta diperuntuk
  • latih kepemimpinan wanita di peringkat akar umbi
  • babit seluruh DUN serta Akademi Kepimpinan Wanita

Menangani Keganasan Domestik

  • RM200,000 diperuntuk bagi kerjasama dan membantu Pusat-pusat Perlindungan Wanita
  • melindungi golongan wanita yang terlibat dengan kes keganasan domestik

Pembangunan Generasi Muda dan Sukan

  • peruntuk sebanyak RM14.49 juta
  • menambahbaik Dasar Belia Selangor 2014 dengan membentuk Dasar Belia Selangor 2020

    Sukarelawan Selangor (SERVE) bergotong-royong mengangkat bakul makanan untuk diagihkan kepada mangsa banjir dalam misi bantuan mangsa bencana fenomena kepala air di Pasti Nurul Hidayah Kampung Titi Teras, Yan, Kedah pada 1 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pusat Kehidupan Berdikari (Independent Living Centre – ILC)

  • diwujudkan untuk latihan pekerjaan dan pemberdayaan kepada kumpulan OKU
  • RM1 juta akan disalurkan untuk mewujudkan pusat ini

Agenda Kerajaan Prihatin

  • sejumlah RM65.25 juta diperuntuk
  • mempertingkatkan usaha untuk menjaga keperluan dan kebajikan rakyat
  • dilakukan menerusi program kebajikan

Program Bina Baru dan Baik Pulih Rumah Kerajaan Prihatin

  • tambahan sebanyak RM1.2 juta bagi tahun ini
  • membantu memulihkan sosioekonomi dalam kalangan penerima dan meningkatkan jumlah penerima manfaat

 

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Teroka lima aktiviti suntik adrenalin di 1 Utama

OLEH TOURISM SELANGOR

SHAH ALAM, 19 FEB: 1 Utama, pusat beli-belah terbesar di Malaysia dengan slogan “It’s All in One” mempromosikan pelbagai idea termasuk hiburan kepada pelanggan bawah satu bumbung.

Selain pengalaman membeli-belah, premis yang terletak di Petaling Jaya ini turut menawarkan pelbagai aktiviti sukan menarik bagi membolehkan pengunjung merasai pengalaman berbeza.

Toursim Selangor menyenaraikan lima aktiviti bagi memenuhi debaran adrenalin anda.

1. FlowRider

Rindu nak meluncur tapi tiada masa ke pantai? FlowRider adalah tempat yang sesuai untuk anda asah kemahiran dalam sukan papan luncur air. Bagi sesiapa yang tiada kemahiran, usah risau kerana tenaga pengajar akan membantu pengunjung untuk mempelajari kemahiran meluncur yang pastinya mengujakan.

2. Windlab Indoor Skydiving

Pengunjung yang ingin rasai aktiviti eksrem terjun udara atau “skydiving”, bolehlah kunjungi Windlab yang terletak dalam 1 Utama Shopping Centre. Dahulunya tempat ini dikenali sebagai AirRider Indoor Skydiving, ia menawarkan pengalaman terjun udara pada ketinggian 14,000 kaki. Mereka juga dibekalkan dengan peralatan lengkap untuk keselamatan seperti sut, topi keledar dan cermin mata.

3. Rollerwa

Rollerwa adalah sebuah gelanggang aktiviti berkasut roda yang berasal dari Korea, yang dibuka pada 23 Disember tahun lalu. Gelanggang ini juga dilengkapi muzik dan lampu berwarna-warni untuk memberi keceriaan semasa bermain kasut roda. Pengunjung boleh membawa kasut roda mereka sendiri atau menyewanya di sini. Jika anda peminat kasut roda dan budaya K-Pop, pastikan anda tidak lepaskan peluang ini.

4. Morac Go Kart

Morac Go Kart juga baharu dibuka pada Disember lepas. Rasa debaran adrenalin dengan melakukan aktiviti go kart di sini. Morac Go Kart menawakan litar yang luas dan suasana yang seronok untuk penonton dan pelumba. Trek sepanjang 420m ini pastinya memberi kepuasan.

5. Saranghae Bridge

Tempat ini sesuai untuk anda bersantai dan menikmati keindahan lampu LED yang cantik terutama pada waktu malam. Di sini juga pengunjung boleh ‘kunci cinta’ mereka menggunakan mangga di pagar-pagar yang disediakan. Pada yang suka mengambil gambar dan inginkan suasana romantik, bolehlah singgah ke sini.

Layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor www.selangor.travel untuk mendapatkan inspirasi dalam merancang perjalanan anda ke Selangor atau terus ikuti Instagram, Facebook, Twitter, TikTok dan YouTube. #PusingSelangorDulu

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Wartawan buat ujian sosial sebagai pengemis, kutip RM147 dalam dua jam

Laporan ini adalah bahagian terakhir dalam kupasan mengenai kegiatan pengemis di Lembah Klang dan berdasarkan pengalaman wartawan Bernama yang menyamar sebagai peminta sedekah di Bukit Bintang.

KUALA LUMPUR, 18 FEB: RM147 hanya dalam masa dua jam. Itu hasil yang diperoleh oleh penulis ketika menyamar sebagai pengemis di kawasan tumpuan pelancong Bukit Bintang di sini pada Sabtu lepas.

Bermodalkan RM9 bagi pembelian tisu, penulis sama sekali tidak menyangka mampu meraih “pendapatan” lumayan dalam masa yang singkat – 11.30 pagi hingga 1.30 tengah hari. Bayangkan hasil yang dikaut jika kegiatan itu dilakukan selama 12 jam, mungkin mencecah RM700 dan sebulan RM15,000.

Memang jauh lebih lumayan jika dibandingkan dengan gaji pekerja kolar biru yang bertungkus-lumus di kilang, restoran makanan segera dan lain-lain. Malah, mereka yang bekerja di pejabat juga tidak mampu meraih pendapatan sebesar itu termasuklah penulis.

Hanya ubah penampilan 

Misi dilakukan pada hari Sabtu kerana lazimnya pada hari berkenaan kawasan itu akan dipenuhi pengunjung sama ada untuk membeli-belah atau sekadar menghabiskan cuti hujung minggu bersantai di kafe dan restoran.

Berpakaian compang-camping dengan kemeja T lusuh serta bertudung ronyok, seluruh pakaian penulis dikotorkan dengan pengilat kasut.

Melengkapkan penyamaran, bakul berisi tisu yang diikat dengan tali rafia digantung di leher penulis yang turut bertongkat.

Bermodalkan RM9 bagi pembelian tisu, penulis sama sekali tidak menyangka mampu meraih “pendapatan” lumayan dalam masa yang singkat – 11.30 pagi hingga 1.30 tengah hari. Foto BERNAMA

Tongkat itu sebenarnya adalah ‘stand holder’ penyedut hampagas tanpa kabel yang mempunyai dua peranan pada hari tersebut – sebagai umpan memancing simpati masyarakat dan juga perisai untuk penulis mempertahankan diri jika berdepan situasi tidak diingini.

Ditemani dari jauh oleh Editor Eksekutif Bernama Harlina Samson dan Ketua Jurufoto Zid Omar serta jurufoto Muhammad Amirul Azmi yang menyamar sebagai orang awam, penulis memulakan misi yang turut mendapat kerjasama Bahagian D3, Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Menyedari ada risiko yang menunggu, penulis diingatkan oleh pihak berwajib agar segera meminta bantuan sekiranya diganggu oleh pengemis lain atau individu yang berkepentingan.

Namun sepanjang dua jam berada di situ, penulis yang menggunakan nama “Siti”, wanita daif dari utara Semenanjung, tidak diganggu oleh pengemis lain mahupun “ditegur” oleh individu yang mungkin ahli sindiket mengemis, sekali gus menafikan dakwaan bahawa kegiatan tersebut didalangi sindiket.

Bernama dalam laporan khas pada Rabu mendedahkan aktiviti mengemis, khususnya di Lembah Klang, tidak melibatkan kegiatan sindiket, sebaliknya dilakukan secara sukarela oleh individu bagi meraih pendapatan dengan cara mudah.

Mudah simpati 

Misi dimulakan di hadapan sebuah kedai kopi terkenal, dan sepanjang berada di situ boleh dianggap tempoh yang paling mencabar bagi penulis, terutama dalam menarik perhatian orang ramai agar “membeli” tisu yang dijaja.

Memang perlu tebal muka kerana ada yang memandang penulis dari atas ke bawah, selain turut diusir oleh pengusaha perniagaan yang tidak membenarkan “Siti” mengemis berdekatan premis mereka.

Di sebalik cabaran itu, tidak sampai 15 minit berada di kaki lima kawasan berkenaan, “Siti” didekati oleh seorang warga asing yang menghulurkan wang kertas RM10, dan bagaikan magnet, seorang demi seorang datang memberikan sumbangan.

Tidak sampai setengah jam, beberapa keping not RM10 dan RM5 sudah berada di dalam bakul tisu “Siti” dengan kebanyakan penyumbang langsung tidak mahu menerima tisu yang dijaja.

Penampilan “Siti” yang berpakaian lusuh dan comot serta bertongkat sambil mengheret kaki nyata berjaya menimbulkan rasa simpati orang ramai termasuk pekerja di kedai serbaneka yang keluar dari kedai semata-mata untuk bersedekah. Wang yang diberi bukan seringgit dua atau lima ringgit, sebaliknya RM10!

“Siti” kemudian beredar ke lokasi lain dan semasa terkial-kial mengheret kaki untuk melintas jalan, seorang lelaki warga asing datang menegur. Disangkakan ahli sindiket, namun telahan penulis nyata silap sama sekali kerana lelaki itu hanya mahu menghulurkan sumbangan.

Begitulah pemurahnya masyarakat di negara ini, baik warga tempatan mahupun rakyat asing. Justeru, tidak menghairankan jika ada individu mengambil kesempatan dan menjadi pengemis palsu demi meraih pendapatan lumayan dengan cara mudah.

Taktik

Semasa melakukan penyamaran itu, penulis juga mendapati aktiviti mengemis sebenarnya memerlukan taktik tertentu bagi menimbulkan rasa belas orang ramai. Ketika memulakan misi, penulis hanya berdiri, namun taktik itu gagal membuahkan hasil dan selepas beberapa ketika, penulis mengubah strategi dengan menghampiri mereka yang lalu-lalang sebelum duduk melunjurkan kaki yang “sakit”.

Editor Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Harlina Samson (kanan) bersama wartawan Bernama, ‘Siti’ (bukan nama sebenar) yang menyamar sebagai pengemis dalam misi mengenai kegiatan pengemis di Lembah Klang baru-baru ini. Foto BERNAMA

Taktik berkenaan juga kurang berkesan kerana “hasil” yang diperoleh tidak sampai RM5, membuatkan penulis memutuskan untuk beralih ke lokasi di hadapan sebuah restoran makanan segera terkenal. Di situ, penulis mengheret kaki dan mendekati orang ramai sambil menjaja tisu yang dibawa.

Ternyata strategi itu menjadi kerana “wang sedekah” yang diterima agak memberangsangkan. Malah lakonan penulis mengesat peluh dan menunjukkan isyarat hendak makan atau menjual tisu juga berjaya meruntun simpati orang ramai yang tidak teragak-agak menghulurkan wang.

Selain itu, lakonan penulis yang menundukkan muka seolah-olah kecewa apabila ada yang tidak mahu “bersedekah” turut berjaya “melembutkan hati” sesetengah mereka yang berpatah balik dan menghulurkan beberapa keping not RM1.

Boleh dikatakan ‘port’ itu sangat strategik. Selain itu, pemerhatian penulis juga mendapati kebanyakan penyumbang adalah warga asing dan yang paling memeranjatkan penulis, berdasarkan penampilan mereka, warga asing terbabit bukanlah ekspatriat ataupun pelancong, sebaliknya hanya pekerja kolar biru yang datang mencari rezeki di negara ini .

Ketagih?

Misi itu sepatutnya hanya berlangsung selama satu jam, namun penulis tidak menyedari masa yang berlalu kerana terlalu “fokus” kepada usaha mendapatkan laba yang lebih banyak.

Malah, rasa teruja kerana begitu mudah mendapat wang menyebabkan penulis mahu berada dalam karakter “Siti” dengan lebih lama. Ringkasnya kegiatan tersebut begitu mengasyikkan seolah satu ketagihan, seperti yang dilaporakn oleh Bernama sebelum ini bahawa kegiatan mengemis berpotensi mendedahkan individu kepada keseronokan mengemis yang boleh berubah menjadi ketagihan.

Dalam laporan itu, Pakar Perunding Kanan Psikiatri Universiti Malaya Prof Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata bermula dengan keseronokan, namun akhirnya membentuk ketagihan kelakuan dalam kalangan pengemis sehingga mereka sukar menghentikan kegiatan biarpun sudah beberapa kali menjalani sesi pemulihan.

Buktinya, ada yang kembali mengemis walaupun beberapa jam sebelum itu mereka “ditahan dan disiasat” oleh pihak berkuasa yang melakukan operasi membanteras pengemis. Walhal mereka memiliki kediaman dan keluarga, selain ada juga yang merupakan penerima bantuan zakat, baitulmal atau Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Melihat pada keseluruhan isu, Bernama berpendapat isu pengemis perlu ditangani secara holistik kerana masalah ini bukan lagi sekadar soal kesempitan hidup tetapi turut membabitkan mental mereka yang terlibat sehingga menjadi ketagih dan perlu dirawat.

Mengenai sumbangan yang diperoleh oleh “Siti” pada hari berkenaan, wang terbabit akan disedekahkan kepada masjid dan surau bagi menyampaikan niat beramal mereka yang menyumbang.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT PILIHAN MINGGUAN RENCANA

EXCO: Aplikasi parkir digital mudahkan pengguna, tidak terikat sempadan PBT

Hampir dua juta pengguna memuat naik aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) sekali gus menunjukkan pelaksanaan e-kupon SSP yang dibangunkan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) mendapat sambutan.

Mulai April sistem e-kupon dikuat kuasa melibatkan 10 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) menggantikan kaedah kupon parkir bergores.

Wartawan Selangorkini ALANG BENDAHARA, SHEEDA FATHIL dan PAN LI TING serta jurugambar MOHAMAD RAHEEMIE ARIFIN mendapatkan penjelasan EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berhubung aplikasi itu pada 11 Februari lalu.

Sejak Kerajaan Negeri mengumumkan pelaksanaan sistem e-kupon, berapa ramai pengguna memuat naik aplikasi sistem ini?

Setakat semalam (10 Februari) seramai 1.89 juta pengguna memuat naik aplikasi Smart Selangor Parking (SSP). Ini bermakna kita akan mencapai dua juta pengguna tidak lama lagi. Saya yakin SSP merupakan aplikasi (parkir) nombor satu di Malaysia, paling ramai pengguna setakat ini. Peningkatan ini menunjukkan sambutan orang ramai terhadap SSP amat menggalakkan dan sangat baik.

Adakah ada rungutan memandangkan tinggal satu bulan setengah lagi untuk pelaksanaan penuh sistem parkir digital ini?

Sambutan amat menggalakkan, hanya terdapat segelintir pihak sahaja mengadu mengalami kesukaran mengguna aplikasi ini. Mereka mungkin kurang faham tetapi kita sudah menjelaskan bayaran parkir secara digital lebih mudah dan menjimatkan masa terutama bagi warga emas, individu yang tiada telefon pintar atau mereka dari luar Selangor.

Bagi mereka yang tiada telefon pintar boleh dapatkan e-kupon menerusi e-ejen berhampiran. Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan SSDU bercadang untuk melaksanakan kempen kesedaran bagi menggalakkan lebih ramai memuat turun aplikasi SSP dalam masa terdekat.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han menunjukkan aplikasi Smart Selangor Parking ketika temu bual bersama Selangorkini di Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri (SUK), Shah Alam pada 11 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN /SELANGORKINI

Mengapa Kerajaan Negeri memberi tempoh hingga hujung Mac untuk orang ramai terus menggunakan kupon bergores?

Sebenarnya penggunaan kupon parkir bergores sudah berakhir 31 Disember 2021 tetapi disebabkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai belum sempat habiskan kupon mereka. Justeru, kita ambil keputusan untuk melanjutkan sehingga hujung Mac.

Sekiranya Mac ini mereka belum sempat habiskan kupon kertas itu, Kerajaan Negeri dan SSDU akan memikirkan alternatif untuk tukar ke dalam bentuk kredit dalam SSP. Kaedah ini akan diumum kemudian sebab masih dalam kajian. Kita juga mungkin akan menyediakan kaunter penukaran dalam tempoh sebulan lagi.

Bagaimanakah mekanisme pelaksanaan sistem parkir digital ini di kawasan luar bandar seperti Sabak Bernam dan Hulu Selangor?

Buat masa ini, di Sabak Bernam dan Hulu Selangor belum diwujudkan sistem parkir digital. Dua kawasan ini parkirnya masih percuma. Kita bercadang akan melaksanakan sistem parkir digital di dua daerah ini pada masa akan datang.

Setakat ini, hanya 10 PBT sahaja mengguna pakai SSP iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Perbandaran Klang, Majlis Perbandaran Kuala Langat, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Kuala Selangor dan Majlis Perbandaran Selayang.

Boleh terangkan manfaat pelaksanaan e-kupon SSP. Apakah kebaikan penggunaannya melalui aplikasi ini?

Banyak manfaat (diperoleh) sejak melaksanakan sistem parkir digital antaranya menjimatkan penggunaan kertas, jimat masa, mudah dan lebih cepat. Sejak wujudnya aplikasi ini, kita menjimatkan penggunaan kertas sebanyak 981,159 kilogram (kg) iaitu mencecah hampir 1,000 tan kertas.

Kebaikan kepada pengguna pula ia memudahkan mereka. Tidak perlu lagi bersusah payah mencari kupon parkir kertas. Sebagai contoh, kupon parkir kertas perlu mengikut PBT, sekiranya seseorang itu tinggal di Sepang dan bekerja di Ampang Jaya, banyak kupon parkir mereka perlu beli mengikut di kawasan PBT di lokasi mereka berada.

Bagaimanakan bentuk dan pelaksanaan penguatkuasaan PBT di kawasan yang menggunakan sistem e-kupon?

Penguatkuasaan jadi lebih mudah. Penguat kuasa pun ada aplikasi sendiri. Mereka imbas nombor plat kenderaan untuk ketahui sama ada individu itu sudah bayar caj parkir secara digital atau tidak. Cara ini lebih mudah. Sekiranya tiada sistem ini individu itu perlu keluar daripada kenderaan dan membeli kupon kertas, mungkin dalam tempoh keluar mahu beli kupon kertas mereka boleh disaman. Sekiranya melalui digital, ia dapat dibayar secara terus. Penggunaan e-kupon juga menjimatkan kos tenaga kerja.

Berapa unjuran hasil atau pendapatan yang diperoleh melalui sistem e-kupon?

Jumlah terkini belum lagi diterima tetapi jika dibandingkan dua tiga tahun sebelum kita melaksanakan SSP, maklum balas daripada PBT sangat positif. Berdasarkan kajian kira-kira 30 hingga 50 peratus peningkatan pengguna bayar (caj) parkir, sebelum ini orang bukan tidak mahu bayar tetapi kaedah lama menyukarkan seperti adakalanya mesin rosak, tiket tidak keluar atau susah mahu membeli kupon mengikut PBT.

Apabila adanya sistem parkir digital, pengurusan parkir jauh lebih mudah. PBT tidak perlu melantik mana-mana syarikat kontraktor untuk menjaga penyelenggaraan mesin kerana ia melibatkan kos yang tinggi. PBT hanya perlu memastikan semua petak parkir dicat sekurang-kurangnya setahun dua kali. Aplikasi pula diselenggara SSDU.

Adakah sistem ini meningkatkan kesedaran orang ramai untuk membayar caj parkir manakala kadar saman atau kompaun dapat dikurangkan?

Kadar saman kompaun masih sama, bergantung kepada tawaran dibuat PBT. Menariknya, orang ramai boleh membayar kompaun menerusi aplikasi SSP.

Pengawai Penyelaras Projek Smart Selangor Syaridan Abu Samah (kiri) bersama Pengurus Pemasaran dan Komunikasi Smart Selangor Fazuin Mohd Yusoff menunjukkan aplikasi Smart Selangor Parking pada Majlis Pelancaran Pemakluman Penggunaan e-kupon Menerusi Aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) Menggantikan Kupon Parking Kertas Bermula 3 Januari 2022 di Auditorium Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 18 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Boleh jelaskan mekanisme ejen e-kupon untuk orang ramai membuat bayaran parkir? Berapa banyak ejen dilantik dan lokasinya?

Kerajaan Negeri turut mempelawa lebih ramai menjadi e-ejen. Setakat ini, 80 permohonan menjadi e-ejen sudah dilulus manakala 25 lagi masih dalam proses permohonan. Mereka yang berminat boleh memohon menerusi aplikasi SSP, komisyen turut disediakan. Kerajaan negeri merancang memperluas ejen e-kupon di kedai serbaneka di seluruh Selangor.

Apa perancangan Kerajaan Negeri berkaitan sistem parkir pada masa akan datang?

Kerajaan Negeri merancang untuk melaksanakan kawasan parkir terhad atau sistem parkir dua jam di kawasan tumpuan atau komersial. Dengan kaedah ini, kita dapat memberi kesaksamaan kepada semua. Sebagai contoh, di kawasan tumpuan tempat parkir dipenuhi dengan kenderaan pekerja berhampiran kawasan terbabit sehingga sukar untuk pengguna lain.

Justeru, kita bercadang untuk PBT menentukan lot parkir yang sesuai seperti di bank atau restoran popular. Bukan semua lot dihadkan, mungkin hanya beberapa lot sahaja. Ini bukan kaedah baharu, banyak negara luar sudah melaksanakannya. Di Malaysia ada di Kuala Lumpur. Selangor bakal laksana tidak lama lagi.

Apakah data raya (big data) diperoleh Kerajaan Negeri daripada pelaksanaan SSP?

Kita dapat kesan di mana tempat yang menjadi tumpuan. Daripada data itu, kita mungkin boleh merancang untuk membina tempat parkir bertingkat atau pelbagai kemudahan.

Mengenai isu banjir pula, bagaimana proses pembersihan pasca banjir yang dilaksanakan setakat ini. Sejauh mana kelancaran fasa dua pembersihan?

Pembersihan fasa pertama semuanya sudah selesai. Kini masuk fasa kedua. Sebagai contoh di kawasan Taman Sri Muda aduan agak tinggi kerana kawasan itu paling terjejas teruk. Justeru, Kerajaan Negeri melalui KDEB Waste Management (KDEBWM) dan PBT mengadakan pelbagai program termasuk gotong-royong besar-besaran di kawasan terjejas di Taman Sri Muda dan seluruh Selangor. Sekarang tempoh pembersihan fasa kedua, kita jangka selesai hujung Mac ini.

Boleh kongsi data proses pembersihan fasa satu dan dua melibatkan PBT dan KEDBWM? Berapakah kos yang dibelanjakan?

Kos pembersihan disediakan Kerajaan Negeri adalah sebanyak RM20 juta untuk fasa satu dan dua. Namun, kita belum tahu berapa banyak sudah dibelanjakan setakat ini, kemungkinan hampir RM20 juta sudah digunakan termasuk yang akan diberikan kepada KDEBWM, PBT dan Worldwide Holdings.

Kita bayar juga kepada Worldwide Holdings kerana sejak pembersihan banjir mereka terpaksa mewujudkan satu kawasan khas di Jeram untuk meletakkan sisa sampah banjir sahaja.

Sejauh mana proses pembersihan longkang tersumbat untuk elak kejadian banjir masa akan datang?

Proses pembersihan longkang masih diteruskan meskipun selesai operasi pembersihan banjir fasa kedua nanti. Kerajaan Negeri rancang untuk menangani isu banjir dengan memperluaskan longkang dan tinggikan ban. Ini melibatkan banyak agensi dan perbelanjaan yang besar.

Adakah pembersihan banjir ini menganggu kutipan sampah harian di kawasan tidak terjejas?

Perkara ini cabaran besar buat KDEBWM untuk memastikan kutipan sampah tidak terganggu tetapi mereka dapat melaksanakan sebaik-baiknya. Kutipan sampah normal di kawasan tidak terjejas di seluruh
Selangor dapat dijalankan seperti biasa, aduan ada cuma tidak banyak. Ini bermakna kita berjaya menangani masalah pembersihan banjir dan pada masa sama dapat menjalankan tugas kutipan harian seperti biasa.

 

Categories
AGENDA NASIONAL RENCANA WAWANCARA

‘Abang Viva’ gemar bergerak solo bantu orang susah

Ketika banjir besar melanda Selangor hujung tahun lalu, pelbagai pihak termasuk orang ramai tampil menghulur bantuan terhadap puluhan ribu mangsa. Seorang daripadanya Azwan Omar, 30, yang kemudian lebih dikenali sebagai ‘Abang Viva’.

Kisah beliau memandu dari Melaka dengan bot di bumbung Perodua Viva menggamit perhatian ramai. Wartawan SelangorTV DEWI ABD RAHMAN dan jurukamera RAZIF MAT ARBAK serta HARUN TAJUDIN menyelami isi hati beliau pada 20 Januari lepas.

Boleh ceritakan sedikit latar belakang?

Saya anak Selangor tetapi membesar di Melaka. Usia 30. Mesti orang tertanya-tanya kenapa duduk Melaka tapi asal Selangor? Ibu bapa saya dahulu berniaga dan duduk di Selangor, saya lahir di sana dan dalam usia lima tahun berpindah ke Melaka sampailah sekarang. Saya anak terakhir daripada empat adik beradik dan seorang sahaja lelaki.

Memang ada perancangan untuk bantu mangsa banjir atau bagaimana?

Tiada perancangan, terfikir terus jalan masa itu. Sebenarnya hati saya cuma pegang satu kata sahaja, apabila mahu bagi bantuan, terus buat, tidak usah atau janganlah fikir banyak kali. Buat sahaja. Sebelum ini ada juga misi menyelamat tapi guna bot memang tidak pernah.

Apakah perasaan apabila berjaya selamatkan mangsa banjir?

Memang rasa sangat puas. Tapi perasaan yang sebetulnya tidak dapat digambarkan apabila dapat tolong orang. Bila tengok orang cakap terima kasih dekat kita, bahagianya sukar diungkapkan. Orang Malaysia tidak kira kaum dan saling tolong menolong. Masa dekat tempat banjir, orang Cina dan India datang. Saya lihat ada Cina dari Pulau Pinang. Saya sangat kagum.

Dalam fikiran saya cuma satu sahaja, mahu tolong orang dan mahu selamatkan orang. Memang kalau saya tidak pergi pun orang tidak cakap apa, sebab saya bukan siapa-siapa. Tapi Allah SWT gerakkan hati untuk ke Selangor bantu orang dekat sana. Mungkin Allah SWT sudah jentik hati daripada awal lagi.

Apakah Azwan gemar apabila menjadi tumpuan ramai?

Hendak kata suka sangat, tidak. Sebenarnya antara suka dan takut. Segan pun ada. Kalau dulu waktu jalan dekat lorong-lorong santai sahaja. Sekarang ada orang tegur walaupun pakai topeng, rasa segan. Benda paling terkejut apabila memandu, apalagi bawa Viva saya dengan bot tu, tiba-tiba ada block (halang) kereta saya. Rupanya mahu ambil gambar.

Kebanyakan masa bawa kereta, tengah santai bawa kereta, kena hon. Viva itu kadang-kadang macam lebih terkenal. Tapi kalau ikutkan saya tak mahu ubah apa-pun. Selepas misi banjir sekarang, hidup macam biasa sahaja. Orang yang tegur-tegur saya anggap kawan-kawan. Tapi saya tetap mahu hidup macam dahulu. Tidak mahu popular sangatlah. Kalau boleh janganlah pandang saya terlalu tinggi. Rasa tidak selesa.

Bagaimana keluarga membentuk Azwan menjadi individu yang tidak berkira dalam membantu orang?

Cerita tentang emak ayah, mereka bukan jenis lembut. Masa kecil ayah garang daripada emak. Kalau ikut adik beradik, saya paling nakal. Masa hidup, doa mak ayah paling utama. Tanpa doa mak ayah tidak lengkap hidup sebab mereka lahir dan besarkan kita. Benda itulah paling penting.

Ikhlas dalam membantu orang kesusahan. Pandangan?

Keikhlasan penting, secara peribadi ikhlas tu patut ada masa kita kecil lagi, kalau tidak ada keikhlasan tidak guna pun. Ibarat mengharapkan balasan yang kita tidak akan dapat. Benda sebegitu tidak masuk akal. Emak ayah saya ajar daripada kecil sampai hari ini bahawa apa yang mahu buat jangan mengharapkan balasan. Hanya harap balasan daripada Allah. Saya bukan baik sangat. Tapi tidak semestinya jadi baik barulah kita boleh buat benda baik. Kalau benda itu betul, teruskan dan buat terus. Saya tidak harap pun nama daripada siapa-siapa.

Ada sebarang perancangan hidup selepas ini?

Saya memang ada sertai Angkatan Pertahanan Awam (APM). Tapi hanya minta sukarelawan sahaja sebab mahu dapatkan kursus. Dengan tunjuk ajar APM, saya akan teruskan usaha untuk bantu mangsa bencana banjir, tanah runtuh. Sebab sudah ada latihan mungkin usaha menyelamat lagi baik. Lebih suka bergerak solo, tetapi untuk lebih lancar mungkin akan panggil lima hingga enam orang sebab mahu mudahkan kerja. Tapi kalau boleh jangan ada bencana lagilah.

Jika ada perkara yang hendak diubah, apa yang mahu diubah?

Kalau ada benda boleh diubah, saya mahu tidak dikenali. Tidak mahu pun orang kenal sebab bagi saya benda ini akan jadi amanah, tanggungjawab jadi lebih besar. Saya takut tidak terpikul dengan amanah orang. Apabila sudah dapat kereta, dapat motor, mungkin masa itu saya ada masalah keluarga, tidak dapat tolong orang kena banjir. Saya bimbang akan ada cakap-cakap ‘oh, sudah dapat kereta sudah tidak datang.’ Takut cakap-cakap orang macam itu.
(NOTA: Azwan sebelum ini menerima hadiah sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis dan sebuah kereta pacuan empat roda, kedua-duanya pemberian individu berasingan yang tidak mahu dikenali pada Januari lalu).

Adakan hobi Azwan jika tidak terlibat membantu mangsa bencana?

Kalau cuti, saya akan memancing. Kalau tidak pun, mungkin pergi jalan-jalan. Habiskan banyak masa di laut dan sungai.

Sebarang pesanan untuk dikongsi dengan orang ramai?

Untuk emak dan ayah yang berkorban dari masa kecil sampai sekarang, terima kasih sebab sudah besarkan adik sampai ke hari ini. Beri pelajaran cukup, degil pada diri sendiri dan bukan salah mereka. Sampai mati pun tidak dapat balas. Untuk rakyat Malaysia terima kasih sebab sokong walaupun tiada apa. Walaupun sumbangan saya kecil saya tetapi orang tetap pandang.

Categories
RENCANA WAWANCARA

Jenayah buang bayi masih berterusan, hubungan luar nikah jadi punca

Oleh Balkish Awang

Trend buang bayi dilihat masih berterusan walaupun pelbagai cara dilakukan untuk menangani jenayah tersebut termasuk yang melibatkan golongan remaja.

Siri pertama daripada dua rencana isu buang bayi ini antaranya mengupas jenayah kejam yang dilihat masih tidak berkesudahan dengan statistik PDRM menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya 10 kes buang bayi berlaku dalam tempoh sebulan dan kelompok umur paling tinggi melakukan jenayah berkenaan.

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Berita seorang remaja berusia 15 tahun disyaki bertindak membunuh dengan menikam bayinya sendiri selepas melahirkan bayi berkenaan sudah tentunya bukan sahaja menggemparkan tetapi amat mendukacitakan.

Menurut laporan media pada Selasa lepas (8 Februari 2022), remaja dan bayi lelaki yang dilahirkan cukup sifat itu mempunyai kesan tikaman di bahagian dada kiri itu, ditemui di sebuah rumah di daerah Kemaman, Terengganu.

Ramai juga mungkin masih ingat kes tindakan seorang pelajar kolej yang mencampak bayi yang baharu dilahirkannya dari tingkat 13 rumahnya di apartmen di Bandar Baru Farlim, Air Itam, Georgetown pada 10 Julai 2020. Bayi itu meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan susulan kejadian tersebut, remaja itu dan teman lelakinya ditahan reman bagi siasatan lanjut.

Apa yang berlaku ini menunjukkan trend buang bayi masih berleluasa walaupun pelbagai cara dilakukan untuk menangani jenayah itu dan si pelaku terutamanya dalam kalangan remaja, seperti tidak takut dengan perbuatan kejam mereka.

Bernama membuat tinjauan khas isu buang bayi dan dalam siri satu daripada dua bahagian ini, wartawan Bernama, Balkish Awang, mendapatkan penjelasan daripada Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak Bukit Aman (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berhubung isu buang bayi yang masih tidak berkesudahan.

443 KES BAYI DIBUANG

Berdasarkan statistik daripada PDRM, sekurang-kurangnya purata 10 kes buang bayi berlaku dalam tempoh sebulan sejak empat tahun lepas bermula 2018 hingga 2021.

Menurut Siti Kamsiah, pada tahun 2018, kes buang bayi di seluruh negara mencatatkan 128 kes diikuti 125 kes pada 2019, 104 kes pada 2020 dan 86 kes pada 2021. Jumlah keseluruhan kes buang bayi bagi tempoh empat tahun itu adalah sebanyak 443 kes.

“Jika kita lihat statistik ini, hanya sedikit sahaja penurunannya, tidaklah ketara. Pada saya, ia masih pada purata yang sama. Beza tahun 2018 dan 2019 hanya tiga kes sahaja. Pada tahun 2020 dan tahun 2021 pula, biarpun ada penurunan tetapi ia disebabkan faktor seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada Mac 2020 dengan banyak sektor ditutup.

“Perjumpaan fizikal yang tidak ada pada masa itu (PKP) dengan sekatan pergerakan mendorong kepada sedikit penurunan kes buang bayi ini yang menyebabkan tidak ada yang mengandung luar nikah selain tempat kerja yang banyak ditutup turut mempengaruhi perbuatan itu. Tetapi pada saya angka perbuatan buang bayi dari 2018 hingga 2021 tetap tinggi dengan kira-kira purata 10 kes dalam sebulan,” katanya.

Ditanya sama ada kes jenayah berkenaan akan meningkat pada tahun 2022 berikutan pembukaan semula semua industri serta tiada lagi sekatan pergerakan, Siti Kamsiah berkata dengan kembalinya aktiviti sosial seperti biasa serta industri beroperasi seperti sediakala, tidak mustahil kes buang bayi akan berlaku semula.

Mengulas lanjut, beliau berkata, daripada 443 kes bayi yang dibuang, 149 orang ditemukan masih hidup manakala 294 bayi lagi sudah meninggal dunia.

“Dalam tempoh itu juga (2018 hingga 2021), sebanyak 141 kes melibatkan janin manakala 302 lagi adalah bayi baharu lahir. Manakala jantina bayi yang dibuang seramai 141 adalah bayi lelaki, 114 perempuan dan 188 lagi tidak diketahui,” katanya.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak Bukit Aman (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan ketika temu ramah khas di Pusat Temuduga Kanak-Kanak Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto BERNAMA

PANIK MAHU LUPUS BUKTI

Menurut Siti Kamsiah yang sudah 31 tahun berkhidmat dengan PDRM, dorongan utama kepada perbuatan tanpa belas ihsan itu, kebanyakan suspek sudah merancang mahu melupuskan bayi mereka selepas melahirkan.

“Berdasarkan rekod siasatan PDRM, kes buang bayi ini terjadi kerana faktor pertama kehamilan luar nikah bermakna mangsa atau suspek yang mengandung dan membuang bayi ini, kebanyakan mereka terjebak dengan seks di luar perkahwinan yang menyebabkan mengandung, tidak bersedia serta tanpa pengetahuan keluarga.

“Jadi untuk mengelak daripada keluarga tahu serta panik semasa sudah hampir bersalin, itu yang dia mahu lupuskan buktinya. Mereka mahu lupus bukti kerana takut diketahui orang ramai terutama ahli keluarga sehingga tergamak membuang bayi itu. Mengambil tindakan secara tanpa berfikir panjang pada masa itu ditambah dengan situasi panik, beranak dan sebagainya,” katanya.

Beliau menambah, jika dilihat pada lokasi pembuangan bayi, kebiasaannya si pelaku akan mencari tempat yang betul-betul orang tidak nampak seperti tempat pembuangan sampah, kumbahan, tepi longkang serta tempat yang tiada rakaman visual kamera litar tertutup (CCTV) agar bukti dapat dilupuskan terus.

Selain daripada kawasan berkenaan, lokasi yang sering ditemukan bayi adalah di kawasan kediaman, pinggir kediaman, masjid supaya bayi itu boleh diselamatkan.

Menurut statistik PDRM, dari tahun 2018 hingga tahun 2021, tempat pembuangan bayi paling tinggi direkodkan adalah di kawasan rumah iaitu sebanyak 178 kes diikuti tempat pembuangan sampah 31 kes, loji, longkang dan kumbahan (31), dalam tandas (30), masjid dan surau (29), tepi kedai, bangunan dan pejabat (26) serta tepi jalan (21).

PALING TINGGI UMUR 18 HINGGA 25 TAHUN

Menyentuh kategori umur suspek yang melakukan perbuatan jenayah kejam ini, Siti Kamsiah berkata, untuk tempoh 2018 hingga 2021, kes paling tinggi iaitu 149 kes melibatkan umur 18 hingga 25 tahun, manakala 73 kes lagi melibatkan kalangan umur 25 tahun ke atas dan 40 kes dalam kalangan bawah 18 tahun.

“Kita boleh tengok golongan 18 tahun ke atas ini adalah kalangan mereka yang baharu memulakan kehidupan bekerja, tinggal sendiri dan kebanyakan mereka ini jauh daripada ibu bapa serta bebas daripada kongkongan keluarga. Mereka ini yang dilihat lebih terdedah kepada perbuatan ini ditambah pula dengan lemahnya pegangan nilai diri, didikan agama yang mendorong kepada perbuatan tersebut,” katanya.

Berbanding kelompok bawah 18 tahun, Siti Kamsiah berkata ia adalah sedikit berkurangan berikutan bayi dapat diselamatkan daripada terus dibuang daripada peringkat awal.

“Umur 14 hingga 16 tahun ini kita lihat tahap kematangan mereka amat terbatas. Mereka sendiri tidak memahami tentang perubahan tubuh badan mereka atau tidak menyedari yang mereka mengandung sehinggalah saat hendak bersalin dan dikesan oleh ibu bapa atau doktor semasa rawatan. Jadi di sini risiko untuk kes pembuangan bayi berlaku adalah kurang kerana sempat diketahui ibu bapa.

“Kelompok umur 14 hingga 16 tahun ini dia sedar mengandung bila perut sudah sakit atau ada masalah sepanjang mengandung. Bila pergi ke klinik atau hospital, baru tahu mengandung. Jadi keluarga sudah tahu sebelum peringkat buang bayi tersebut maka ia dapat diselamatkan,” katanya.

Beliau berkata, ia berbeza dengan kumpulan umur 18 hingga 25 tahun ini yang sudah matang serta tidak tinggal bersama keluarga.

“Kelompok umur sebegini, dia sudah merancang apa akan dilakukan sebaik bayi dilahirkan. Mereka ini apabila mengandung, dia sorokkan sampai satu peringkat dia sudah ada langkah lain iaitu nekad membuangnya,” katanya dan menambah punca kepada masalah pembuangan bayi adalah kurangnya pegangan nilai individu serta tahap kepatuhan seseorang itu terhadap perkara betul dan salah.

Beliau berkata, majoriti yang membuang bayi itu adalah si ibu kandung bayi itu sendiri dan keduanya adalah teman lelaki suspek berkenaan.

JENAYAH ANCAM NYAWA, LIBATKAN MORAL

Biarpun jenayah buang bayi ini adalah yang terendah dalam kalangan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), namun jenayah ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia satu perbuatan yang mengancam nyawa insan kecil yang tidak berdosa.

“Dalam jenayah D11, kes paling tinggi dicatatkan adalah kes rogol diikuti liwat serta amang seksual. Buang bayi ini jika ikut statistik tidaklah banyak tetapi ia melibatkan nyawa dan moral. Buang bayi adalah satu jenayah yang kejam kerana bayi adalah satu golongan yang patut dilindungi.

“Jenayah buang bayi juga turut membawa kepada perkara atau aspek lain iaitu berlakunya aktiviti tidak bermoral lain seperti melakukan gejala sosial antaranya hubungan seks luar nikah. Ini yang kita takuti, nampak sedikit tetapi impaknya besar sebab ia libatkan nyawa,” katanya.

Dalam pada itu Siti Kamsiah berkata PDRM tidak akan berkompromi dengan kes-kes melibatkan jenayah pembuangan bayi.

“Apabila ada laporan dibuat dan terdapat penemuan bayi, PDRM akan menjalankan siasatan. Ini adalah komitmen kita supaya mereka yang didapati melakukan kesalahan dapat dihadapkan ke muka pengadilan agar ia jadi pengajaran selain daripada mencegah orang lain untuk mencontohi perbuatan sama,” katanya.

Bagi membanteras kes sedemikian, beliau berkata PDRM turut menjalankan kempen kesedaran kepada masyarakat berkaitan isu pembuangan bayi yang merupakan satu kesalahan selain mengingatkan masyarakat untuk tidak terjebak dengan kegiatan yang boleh mendorong kepada hamil luar nikah seterusnya mengundang kepada perbuatan membuang bayi.

“Kempen kesedaran jenayah dilaksanakan terhadap kumpulan sasar seperti kanak-kanak, wanita dan masyarakat. Kempen itu berterusan sepanjang tahun dengan kerjasama pelbagai agensi dan dianjurkan sejak penubuhan Bahagian D11 (Siasatan Seksual/Kanak-Kanak) pada tahun 2007,” katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Pakar: Awasi trend jelik media sosial, elak terpengaruh

Oleh Muhammad Basir Roslan

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Bermula sebagai jaringan sosial, media sosial kini menjadi sebahagian daripada norma kehidupan masyarakat, baik untuk kegiatan sosial mahupun ekonomi.

Malaysia antara negara yang rakyatnya paling ramai menggunakan medium itu, dan menurut Digital Business Lab.com, setakat Januari 2021, kira-kira 86 peratus rakyat di negara ini menggunakan media sosial, iaitu peningkatan 24 peratus berbanding 2016.

Bukan itu sahaja, penyedia data pasaran dan pengguna Statista pula menunjukkan rakyat Malaysia menghabiskan masa secara purata tiga jam sehari melayari media sosial.

Malah, sikap proaktif netizen Malaysia khususnya dalam mempertahankan kedaulatan negara turut mendapat perhatian dunia, antaranya bersatu melakukan “serangan” ke atas media sosial milik pihak tertentu seperti yang dialami oleh netizen Israel tahun lepas, yang mana rangkap kata “koyak to you too” menjadi sohor kini.

Begitu juga “serangan” netizen Malaysia terhadap sebuah laman sosial pro-Israel pada 2019 sehingga menyebabkan akaun yang mempunyai kira-kira sejuta pengikut itu ditutup.

Sisi gelap media sosial

Namun, di sebalik apa yang digelar sebagai “kuasa membawang netizen Malaysia” itu, media sosial juga mempunyai sisi gelap yang tidak kurang hebatnya dalam mempengaruhi pengguna platform berkenaan, khususnya golongan muda dan remaja.

Taksub dengan budaya “suka” atau “Like” selain ingin mempunyai “follower” yang ramai, pemilik akaun media sosial dilihat tidak teragak-agak mencetuskan trend yang boleh membahayakan kesihatan fizikal dan mental yang kemudian tular dengan pantas dan menjadi ikutan ramai.

Lebih merisaukan, golongan yang mudah terjebak dengan trend begini adalah anak muda dan remaja, yang mana menurut pakar berpunca daripada keinginan mereka untuk diterima oleh rakan sebaya.

Paparan skrin menujukkan antara aplikasi media sosial popular yang digunakan oleh rakyat Malaysia. Foto ARKIB SELANGORKINI

“Berdasarkan perspektif psikologi perkembangan manusia, peringkat remaja dan belia adalah satu tempoh kritikal, yang mana mereka mempunyai keinginan yang kuat untuk diterima dalam kelompok sosial termasuk rakan sebaya,” jelas pakar psikologi Dr Salina Nen kepada Bernama.

Menurut pensyarah kanan di Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia itu, jika remaja disajikan dengan pelbagai trend popular yang walaupun jelas tidak sihat untuk perkembangan mental dan fizikal, kemungkinan besar mereka akan terpengaruh.

“Disebabkan trend itu popular dan ramai yang melakukannya sekalipun jelas bertentangan dengan norma ketimuran, maka mereka juga ingin menjadi sebahagian daripada trend tersebut,” kata Dr Salina, menambah perkara berkenaan mudah dibuktikan, iaitu hanya dengan memantau “trending” atau sohor kini.

Menurutnya lagi, kebanyakan belia dan remaja menganggap jumlah tanda “suka” yang diterima pada hantaran media sosial masing-masing sebagai amat penting kerana hal itu adalah simbolik penerimaan dan pengiktirafan kelompok sosial mereka.

Cenderung menjadi ekstrem

Jelas beliau, sebelum wujudnya Internet, pembentukan identiti remaja dan belia adalah berdasarkan interaksi dengan dunia sebenar serta daripada pergaulan dengan ahli keluarga, rakan serta pihak berkuasa.

Namun kewujudan Internet dan media sosial menyebabkan pembentukan jati diri golongan itu turut dipengaruhi oleh masyarakat luar yang mempunyai latar belakang berbeza, katanya.

Dr Salina memetik kajian barat bertajuk The cyber effect: A Pioneering Cyber Psychologist Explains How Human Behavior Changes Online pada 2016 yang mendapati tingkah laku individu cenderung menjadi lebih ekstrem di media sosial berbanding ketika di dunia realiti.

“Media sosial adalah lapangan baharu untuk remaja bereksperimen, belajar, bersosial dan mengambil risiko. Sifat alam siber yang pelbagai, malah cenderung bertentangan dengan norma masyarakat sudah pasti akan sedikit-sebanyak memberi pengaruh kepada pembentukan identiti remaja,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata sifat ruang siber yang merentas sempadan, kelompangan autoriti selain membolehkan pengguna melindungi identiti diri, memberi ruang kepada kelakuan ekstrem.

“Kriteria ruang siber boleh menyebabkan seseorang boleh bertindak secara impulsif tanpa memikirkan kesan dan akibatnya. Situasi ini boleh mewujudkan sikap agresif dan tingkah laku berisiko yang lain,” ulas beliau.

Dr Salina memberi contoh trend tular “choking game” yang boleh mengundang maut jika tersalah langkah, namun kerana ingin “menjadi sebahagian daripada mereka yang popular”, golongan terdedah sanggup mengambil risiko itu.

Perlu cakna

Ujar beliau, bagi memastikan si anak berkembang secara positif, ibu bapa perlu cakna dengan memantau pengaruh alam siber ke atas anak masing-masing.

Ini katanya boleh dilakukan dengan mengawasi penggunaan Internet si anak termasuk menyekat aktiviti alam siber pada waktu tertentu yang boleh membentuk tabiat penggunaan Internet yang lebih sihat, mencegah ketagihan sosial media dan mengawal kandungan laman web yang dilawati anak-anak mereka.

 

Masyarakat diminta menyemak dahulu kesahihan sesuatu maklumat sebelum dikongsi dalam media sosial bagi mengelak penyebaran berita palsu dan maklumat tidak tepat. Foto BERNAMA

“Tanpa pemantauan dan panduan daripada orang sekeliling, remaja berisiko terjerumus dalam pembentukan diri yang tidak sihat, kekeliruan peranan, pembentukan personaliti yang bermasalah, masalah pemakanan, masalah kesihatan (kesan daripada tabiat tidak sihat kerana mengikut trend) atau mungkin masalah kesihatan mental seperti personaliti narsistik, kemurungan dan kebimbangan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pihak berwajib seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia juga perlu lebih proaktif dalam meningkatkan kuasa dan penguatkuasaan undang-undang bagi mengekang aktiviti alam siber yang tidak sihat.

Jaga maruah keluarga

Sementara itu, pensyarah kanan di Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya Dr Mohd Shahid Mohd Noh pula berpandangan trend jelik boleh berubah menjadi norma kehidupan jika ramai yang terpengaruh melakukannya.

Namun, apabila perkara buruk berubah menjadi norma kebiasaan, ini adalah petanda kegagalan fungsi ejen-ejen pendidikan seperti keluarga, institusi pendidikan formal, masyarakat malah kerajaan, tegasnya.

“Trend ‘unboxing wife’ yang baru-baru ini tular di negara ini misalnya mungkin dilihat sebagai perkara biasa oleh sesetengah budaya dan tempat, namun trend itu tidak mencerminkan budaya ketimuran apatah lagi agama Islam yang menekankan kepentingan aspek malu dan menjaga maruah,” tegas beliau.

Sehubungan itu katanya, respons negatif netizen terhadap perkara sedemikian harus dilihat sebagai perkara yang positif kerana masih ramai yang sedar akan tugas mereka menegur dan membetulkan kepincangan dalam masyarakat.

“Bermula dari penutupan aurat, adab dalam pergaulan dan bermasyarakat sehinggalah kepada adab-adab ketika menggunakan media sosial, semua ini harus dijaga sebaik-baiknya. Ini kerana maruah amat berbeza dengan harta. Harta yang hilang atau rosak mudah dicari ganti, sebaliknya maruah yang telah tercalar sukar dibaik pulih,” nasihat beliau.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Gamitan lembah, pesona tropika Selangor Fruit Valley

SHAH ALAM, 13 FEB: Selangor Fruit Valley (SFV) adalah ladang buah-buahan tropika berkeluasan 946 hektar. Terletak di Bestari Jaya, Kuala Selangor, ia mengeluarkan pelbagai hasil tanaman pilihan seperti belimbing, jambu batu, rambutan, pulasan dan betik, selain sayur-sayuran.

Mula dibuka pada 2007 sebagai Taman Buah-buahan Tropika Selangor, ladang ini dimajukan sebagai lokasi pelancongan tani pada 2017 bagi memodenkan sektor pertanian selaras dengan wawasan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Lokasi pelancongan itu semakin mendapat tempat di hati pengunjung yang melakukan aktiviti seperti berbasikal, menaiki trem mengelilingi ladang, memetik buah, bermain dengan arnab, memberi rusa makan dan membuat telur masin.

Jurugambar AHMAD ZAKKI JILAN merakam aktiviti pengunjung pada 6 Februari. Keterangan gambar dibantu AMIN RIDZUAN ISHAK.

Payung berwarna warni dijadikan perhiasan bagi menambah keceriaan di tempat pengunjung menunggu trem di Ecobridge Courtyard, ruang santai dalam taman dengan kemudahan kafeteria

 

Buat julung kalinya, persembahan tarian singa ditampilkan di Selangor Fruit Valley sempena Tahun Baharu Cina pada 6 Februari

 

Aktiviti memberi rusa makan antara tarikan utama di SFV. Sebanyak 30 ekor rusa jenis bintik dan spesies Cervus timorensis dipelihara di taman pertanian ini

 

Pengunjung berpeluang membelai lebih 100 ekor arnab yang terdiri daripada jenis ‘teddy bear’ dan anggora

 

Sesi menangkap anak ikan tarikan baharu tahun ini dengan bayaran RM3. Pengunjung dibenarkan membawa balik ikan hiasan yang ditangkap

 

Sekumpulan kanak-kanak teruja mengejar itik di kandang haiwan itu yang terletak di perhentian keempat ladang berkenaan. Aktiviti membuat telur masin juga disediakan dengan bayaran RM10

 

Kehadiran maskot watak Bumblebee daripada siri filem Transformers menceriakan pengunjung kanak-kanak ke Selangor Fruit Valley Foto Facebook Selangor Fruit Valley

 

Trem disediakan untuk menikmati pemandangan di ladang seluas 946 hektar itu. Kenderaan itu melalui denai sepanjang 10 kilometer, membolehkan pengunjung melihat sendiri pelbagai jenis tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran

 

Pengunjung berpeluang menikmati hidangan unik ‘nangcem’, atau cempedak nangka, yang jarang dijual secara umum. Rasanya seperti cempedak tetapi ulasnya lebih besar

 

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Ingin berkarya? Tonjolkan kreativiti di lima pusat seni di Selangor

OLEH TOURISM SELANGOR

SHAH ALAM, 12 FEB: Tahukah anda, penyertaan dalam bengkel atau kelas seni merupakan satu cara yang efektif untuk menerapkan sikap fokus dan menjadi lebih kreatif tanpa mengira umur?

Pembentukan minda yang kreatif juga penting untuk perkembangan saraf otak yang lebih optimum bermula dari peringkat kanak-kanak. Tourism Selangor berkongsikan lima pusat seni untuk berkarya.

1. Clay Expression, USJ 1

Terdiri daripada tenaga pengajar berpengalaman dalam seni tanah liat untuk membantu pelajar menerokai nilai seni yang subjektif dan dimaterialisasikan kepada sebuah objek.

Jangan risau, teknik pembuatan juga akan diajar supaya pelajar lebih mudah untuk membentuk sesuatu okjek yang ingin dihasilkan. Harga kelas ditawarkan bermula dari RM 250 seorang untuk dua jam setengah dan anda boleh membawa pulang hasil tangan sendiri.

2. Sewing World Gallery, Subang Jaya

Mula ditubuhkan pada 1989, organisasi ini menjalankan ratusan bengkel atau kelas jahitan dengan tujuan memelihara dan mewarisi seni jahitan dalam perkembangan fesyen masa kini.

Antara kelas yang ditawarkan ialah Colorful Patchwork Blanket Online Workshop dan Boxy Pouch Online Workshop dengan harga dari RM175 khusus buat mereka yang ingin belajar menjahit.

3. The Artsy Craftsy, Shah Alam

Tentunya daya kreativiti seseorang boleh diasah menerusi pendedahan dalam dunia seni dan penyertaan dalam kelas dan bengkel seni kreatif.

Hanya dengan RM 100, anda boleh sertai kelas yang ditawarkan di sini selain mengasah kreativiti dalam penghasilan seni lukisan dengan lebih mendalam.

4. Craft No 7, Petaling Jaya

Menyediakan tenaga pengajar yang berpengalaman dalam bidang kesenian, Craft No 7 yang terletak di Petaling Jaya menawarkan pelbagai bengkel yang bersesesuaian untuk semua peringkat.

Jadi, jangan risau sekiranya anda adalah seorang ‘beginner’ kerana di sini tempat yang tepat untuk mengasah bakat seni. Bermula dari harga RM180, antara bengkel yang boleh disertai ialah penghasilan
lilin, lulur badan dan corak bunga atas tanah liat.

5. A Space to ___, Damansara

Antara organisasi yang menawarkan bengkel dan kelas seni yang pelbagai, bermula dari seni lukisan sehingga teknik penjilidan buku jepun moden, bengkel bru kombucha dan mengait Amigurumi.

Anda boleh layari laman web A Space to ___ untuk ketahui lebih banyak tentang bengkel yang ditawarkan. Kos bengkel juga amat berpatutan, bermula dari RM130.

 

Di sebalik keterujaan menyertai kelas dan bengkel seni dinyatakan, anda diingatkan untuk sentiasa
mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketika melakukan aktiviti.

Layari media sosial Tourism Selangor di Instagram, Facebook, Twitter dan TikTok serta laman web www.selangor.travel untuk mendapatkan inspirasi dalam merancang kunjungan ke Selangor. #PusingSelangorDulu

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Dijangkiti Covid-19, kuarantin di rumah atau ke CAC?

SHAH ALAM, 12 FEB: Pesakit Covid-19 dibahagikan kepada lima tahap jangkitan, termasuk tiada gejala (kategori 1). Paling teruk, pesakit perlu dimasukkan ke unit rawatan rapi (kategori 5).

Kategori 2 pula pesakit yang bergejala ringan tetapi tiada radang paru-paru. Sejak kejayaan vaksinasi, kira-kira 99 peratus pesakit dalam kategori 1 dan 2 sahaja.

Namun kini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membahagi kategori 2 kepada 2A (ringan) dan 2B (sederhana) bagi menghadapi gelombang varian Omicron.

Kategori 1 dan 2A tidak perlu ke pusat penilaian Covid-19 (CAC) jika keadaan tidak bertukar teruk. Pesakit hanya perlu mengemas kini tahap kesihatan menggunakan kit penilaian di rumah (HAT) di aplikasi MySejahtera.

Namun pesakit kategori 2A mestilah tidak berisiko tinggi, bawah 60 tahun dan tidak mempunyai lebih satu penyakit (comorbid). Pesakit kategori 2B hingga 5 mesti merujuk CAC walau tidak berisiko tinggi.

Bagaimana kita bezakan kategori 2A dengan 2B? Wartawan NADIAH ZAMLUS menjelaskan simptom yang dialami pesakit berdasarkan pecahan kategori 2 seperti ditetapkan KKM.

Kategori 2A

  • Sakit tekak atau selesema tanpa demam atau sesak nafas
  • Batuk tanpa demam atau sesak nafas
  • Hilang deria rasa tetapi masih ada selera makan
  • Hilang deria bau
  • Cirit-birit dua kali (atau kurang) dalam masa 24 jam
  • Loya dan muntah
  • Keletihan tetapi boleh melakukan aktviti harian
  • Sakit otot tetapi boleh melakukan aktiviti harian

Kategori 2B

  • Demam berpanjangan selama dua hari (dan lebih) atau baru demam
  • Sukar bernafas apabila melakukan aktiviti
  • Sakit dada
  • Hilang selera makan
  • Berasa letih terutamanya semasa melakukan aktiviti harian atau semasa baru bangun tidur
  • Perlu berjalan dengan bantuan
  • Gejala semakin teruk seperti batuk, loya, muntah atau cirit-birit yang berterusan
  • Tahap kesedaran berkurangan
  • Semakin kurang kencing dalam tempoh 24 jam

 

Sumber Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, 7 Februari 2022 I ‘5 Tahap Jangkitan Covid-19’, infosihat.gov.my

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Ibu bapa perlu risau kepada jangkitan Covid-19, bukan vaksin

Oleh Nurqalby Mohd Reda

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Sejak pelaksanaannya pada 3 Feb lepas, program pemvaksinan Covid-19 untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun atau PICKids, dilihat masih “bertatih” dengan kebanyakan ibu bapa mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum mendaftarkan anak mereka di bawah program itu.

Menjengah ke laman sosial khususnya Facebook rasmi Kementerian Kesihatan (KKM), rata-rata ibu bapa yang meninggalkan komen memberi alasan tidak mahu anak mereka diperlakukan seperti “tikus makmal” selain berpandangan si anak masih terlalu kecil untuk menerima vaksin “sekuat” itu.

Sikap sedemikian boleh menjejaskan matlamat kerajaan untuk memastikan 80 peratus daripada kanak-kanak yang disasarkan menerima dos pertama dalam tempoh setahun dan 60 peratus lengkap dua dos dalam tempoh enam bulan.

Mengulas permasalahan itu, kebanyakan pakar kesihatan berpendapat ibu bapa yang berkenaan menyempitkan tumpuan mereka kepada vaksin dan gagal melihat keseluruhan isu jangkitan SARS-CoV-2 yang boleh menyebabkan kemasukan ke hospital dan kematian akibat Covid-19.

Perjudi nyawa anak 

Bercakap kepada Bernama, Pakar Perunding Klinikal Imunologi Klinikal dan Alergi Pediatrik di Jabatan Pediatrik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Intan Hakimah Ismail berkata fahaman ibu bapa bahawa antibodi anak sekecil itu masih kuat sebenarnya mengundang risiko si anak mendapat jangkitan Covid-19 yang serius berbanding kesan advers vaksinasi.

“Berdasarkan data sejarah vaksin sedia ada, kebanyakan kesan buruk vaksin berlaku dalam tempoh enam minggu pertama selepas suntikan dan kesan jangka panjang yang negatif selalunya tiada.

“Dua dos vaksin Covid-19 lengkap boleh menjana tindak balas imun yang kuat kepada kumpulan kanak-kanak terbabit dan mampu mencegah kemasukan ke hospital dan kematian akibat Covid-19,” jelasnya.

Malah kata beliau pengambilan vaksin juga akan melindungi kanak-kanak daripada sindrom multisistem radang pada kanak-kanak atau MIS-C, iaitu komplikasi Covid-19.

MIS-C ini jarang berlaku, namun jika berlaku ia membawa akibat yang sangat serius dan boleh membawa kematian, jelas Dr Intan Hakimah.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebelum ini dilaporkan berkata sejak Januari lepas, terdapat 9,413 kes Covid-19 membabitkan kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun direkodkan di negara ini.

“Walaupun jumlah ini tidak banyak berbanding orang dewasa, kanak-kanak yang dijangkiti berisiko mendapat MIS-C serta Long Covid yang kita tidak tahu kesan sebenar,” kata Khairy yang dipetik oleh laporan media itu.

Utamakan kerisauan jangkitan virus

Sementara itu, pakar virologi Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Nazlina Ibrahim berkata ibu bapa sebenarnya tidak mempunyai alasan untuk bimbang tentang keselamatan vaksin tersebut yang telah melepasi fasa ujian.

Katanya kesan yang berlaku selepas pengambilan vaksin adalah perkara normal yang secara tidak langsung menunjukkan tubuh penerima memberi tindak balas terhadap vaksin.

“Apa yang perlu dirisaukan adalah kesan teruk apabila berlaku jangkitan (Covid-19) yang sebenar kerana apabila keadaan itu berlaku ia lebih sukar ditangani.

“Dua dos vaksin ini cukup untuk kurangkan risiko kanak-kanak (dijangkiti Covid-19) dan respons imun ini juga boleh menangani varian Omicron yang sekali gus mengurangkan kadar kebolehjangkitan virus Covid-19 kepada kanak-kanak,’’ katanya yang menyarankan pihak berwajib memberi pencerahan sebaik mungkin bagi menangani kekhuatiran ibu bapa tentang vaksin.

Beliau turut menyarankan ibu bapa yang masih berbolak-balik tentang pemvaksinan anak mereka agar memahami maklumat kandungan vaksin serta kesan sampingan yang mungkin terjadi dalam aplikasi MySejahtera.

Menerusi PICKids, kanak-kanak akan diberikan dua dos vaksin Cominarty 10mcg Concentrate for Dispersion for Injection keluaran Pfizer-BioNTech dengan dos kedua diberikan selepas lapan minggu disuntik dos pertama.

Comirnaty selamat untuk kanak-kanak 

Sementara itu, Dr Adli Ali pula berkata vaksin keluaran Pfizer-BioNTech itu selamat dan berkesan untuk kanak-kanak.

Menurut Pensyarah Kanan Klinikal dan Pakar Perunding Imunologi Kanak-Kanak Hospital Canselor Tuanku Muhriz itu, laporan The New England Journal of Medicine menerusi artikel bertajuk ‘Evaluation of the ‘BNT162b2 Covid-19 Vaccine in Children 5 to 11 years of Age’ menunjukkan vaksin tersebut berupaya menghasilkan imuniti yang mencukupi bagi melawan jangkitan SARS-CoV-2.

“Kajian ini menunjukkan vaksin Pfizer 10 mcg yang diberikan dengan jarak 21 hari di antara dua dos adalah selamat.

“Pemberian vaksin ini juga berfungsi secara serampang tiga mata, iaitu selain mencegah daripada mendapat jangkitan (Covid-19), individu yang mendapat jangkitan juga hanya mengalami gejala ringan dan secara tidak langsung mengurangkan kadar jangkitan kepada individu lain,” katanya

Vaksin adalah ikhtiar 

Sementara itu, Balkish Awang, 40, berpandangan pengambilan vaksin tersebut adalah ikhtiar untuk melindungi anaknya daripada virus maut berkenaan.

“Memang ada kerisauan namun bagi saya ini adalah ikhtiar untuk melindungi mereka,” katanya, menambah dua anaknya yang berusia 11 dan sembilan tahun telah menerima dos pertama masing-masing pada 5 Feb lepas.

Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu, kedua-dua anaknya juga tidak menunjukkan kesan sampingan yang teruk.

Sementara itu, bagi penerima cilik Haziq Danial Shahrul Azlan, 11, dia kini berasa lebih selamat untuk ke sekolah dan juga bermain dengan rakan.

“Walaupun ada rakan yang belum daftar (untuk ambil vaksin), saya tidak takut untuk disuntik vaksin. Malah tak sakit pun ketika disuntik,” katanya, menambah dia juga tidak mengalami demam dan lain-lain kesan sampingan.

Haziq Danial dan adiknya Rania Zara, sembilan, menerima dos pertama masing-masing di Dewan Orang Ramai Ampang Mewah pada 5 Feb lepas.

Setakat 9 Feb lalu, seramai 62,809 orang atau 1.7 peratus daripada kanak-kanak yang layak telah menerima dos pertama mereka, sementara pendaftaran pula mencecah 670,000 orang.

Dalam pada itu, sekalipun kerajaan memberikan komitmen yang tinggi untuk melindungi rakyat pelbagai peringkat usia daripada dijangkiti Covid-19, pelaksanaan PICKids adalah secara sukarela dan tidak ada sekatan akan dikenakan terhadap kanak-kanak yang tidak menyertai program pemvaksinan tersebut.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Wakil rakyat bingkas hulur bantuan, cekal hadapi rintangan di lokasi bah

Banjir besar tahun lalu bukan sahaja meninggalkan pelbagai kisah duka tetapi turut menzahirkan kesungguhan wakil rakyat membantu orang ramai.

Kipas bot nyaris patah ketika menyelamat. Ada yang hampir menjadi bidan sewaktu membantu wanita hamil.

Selangorkini membawakan pengalaman Ahli Dewan Negeri (ADN) dalam tiga bahagian;

Bahagian pertama: Wakil rakyat bersengkang mata selamat mangsa bah, terpaksa tidur tepi jalan

Bahagian kedua: Bot tersangkut, batal lawatan kerja, wakil rakyat segera bantu mangsa bah

Kali ini, tujuh lagi ADN berkongsi pengalaman mereka berdepan bah besar 18 Disember lalu kepada wartawan ZAREEF MUZAMMIL, SHEEDA FATHIL, AMIN RIDZUAN ISHAK dan MUSTAKIM RAMLI

EXCO Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman hanya tidur-tidur ayam sepanjang berkampung di Hulu Langat, lokasi banjir paling buruk di negeri ini.

Sepanjang dua minggu berbakti di sana sejurus air surut, waktu tidurnya tidak menentu, sekadar beberapa jam. Belum puas melelapkan mata, beliau perlu segera bangun bagi menyelaras pelbagai perkara termasuk bantuan.

“Dalam 24 jam selama dua minggu saya di sana, sehingga jam 3 pagi belum tidur lagi kerana masih memantau. Saya jaga semua pengurusan sampah, pembersihan lumpur hingga ke bantuan makanan.

“Sejujurnya, ini pengalaman yang cukup bermakna. Saya tidak pernah terbayang kejadian seperti ini berlaku depan mata. Kereta terbalik di sana sini, rumah habis musnah,” katanya kepada Selangorkini pada 6 Februari.

ADN Paya Jaras Mohd. Khairuddin Othman menyampaikan bantuan barangan elektrik daripada Pekawanis untuk ibu tunggal mangsa banjir di Kampung Paya Jaras Hilir pada Januari 2022. Foto Facebook Pejabat Wakil Rakyat DUN Paya Jaras

Mohd Khairuddin juga menyifatkan operasi menyelamat dan huluran bantuan berdepan kesukaran berikutan faktor bentuk muka bumi di Hulu Langat. Situasi itu menjadi cabaran kepada pasukan penyelamat dan sukarelawan. Namun, mereka tidak pula berputus asa.

“Kawasan lain air naik dari bawah tetapi di Hulu Langat air turun dari atas menyebabkan kerosakannya lebih serius berbanding lokasi lain. Muka bumi di sini tidak mendatar seperti digambarkan.

“Kita ada hantar bomba, tentera, sukarelawan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang terpaksa berjalan tiga jam untuk hantar 1,500 makanan ke kawasan kampung Orang Asli,” katanya.

Walau sibuk menguruskan suasana bah di Hulu Langat, Mohd Khairuddin tetap memastikan penduduk kawasannya di Paya Jaras yang turut terjejas banjir senantiasa dibantu.

“Lebih 1,500 mangsa banjir di kawasan saya, cuma terkawal kerana setiap ketua kampung segera bertindak. Jadi penyaluran bantuan seperti makanan kepada mangsa cepat dilakukan,” katanya.

Lambakan sumbangan

Wakil rakyat Seri Serdang yang juga EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud pula dihimpit rasa tidak tenteram sebaik sahaja menerima laporan Sungai Klang melimpah ke jalan raya pada jam 4 petang 18 Disember tahun lepas.

Mengenang nasib bakal menimpa penduduk jika rumah mereka dinaiki air, beliau segera mengarahkan ketua kampung dan ahli majlis untuk mengemas kini situasi kawasan masing-masing.

“Selepas terima laporan Sungai Klang melimpah, ketua kampung segera menguar-uar agar mereka yang berisiko seperti warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) untuk berpindah ke tempat selamat.

“Lori tiga tan milik penduduk turut digunakan untuk mengalihkan mangsa yang masih boleh diselamatkan menggunakan kenderaan darat,” kata Dr Siti Mariah.

Dr Siti Mariah Mahmud menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di DUN Seri Serdang pada 5 Januari 2022. Foto Facebook Pusat Khidmat Masyarakat Seri Serdang – Dr Siti Mariah Mahmud

Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Puchong Indah, Dewan PU 7 Puchong Utama dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puchong Permai bagi menempatkan penduduk terjejas.

Dr Siti Mariah juga mewujudkan pusat sehenti bagi menyelaras bantuan berikutan lambakan barangan sumbangan badan bukan kerajaan (NGO) dan individu perseorangan. Terletak di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pasir, pusat itu mengumpul bantuan dan diagih mengikut keperluan.

“Kita dapati sumbangan pihak berkaitan tertumpu kepada beberapa barangan. Misalnya di PPS Puchong Permai terlalu banyak air mineral dan biskut kering, manakala lambakan lampin pakai buang serta bantal di PPS SMK 23 Subang Jaya.

“Dengan adanya pusat sehenti dan pasukan logistik yang diketuai Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) serta Majlis Perwakilan Zon 14, agihan dibuat menyeluruh selain mengelak pembaziran,” katanya.

Sebaik banjir melanda pada 17 dan 18 Disember, barisan pemimpin Selangor termasuk Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari tidak dapat melelapkan mata apabila air terus melimpah.

Wakil rakyat kawasan masing-masing, dibantu ADN yang tidak terjejas banjir, berganding bahu menyelamatkan penduduk, selain menyelaras bantuan agar cepat sampai kepada pihak memerlukan.

Mereka bertarung meringankan beban penduduk sejak hari pertama. Begitu juga ADN lain yang kawasannya tidak terjejas seperti Chua Wei Kiat (Rawang) dan Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama) yang turun padang membantu rakan sejawat di kawasan dinaiki air.

Malah, kipas bot wakil rakyat Pandan Indah Ir Izham Hashim hampir patah akibat berlanggar kenderaan yang ditenggelami air. EXCO Pelaburan yang juga ADN Bandar Baru Klang Dato’ Teng Chang Khim membatalkan misi pelaburan ke luar negara demi membantu penduduk.

Selain mereka, EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail, EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau dan EXCO Hal Ehwal Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni bingkas membantu mangsa banjir.

Begitu juga wakil rakyat Dusun Tua Edry Faizal Eddy Yusof yang nyaris menjadi bidan, manakala ADN Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar menyewa beberapa lori bagi menyelamatkan penduduk.

Stadium jadi PPS

Tempoh banjir selama 12 hari bermula 20 Disember di Bukit Melawati, Kuala Selangor akibat fenomena air termenung antara cabaran buat wakil rakyatnya Juwairiya Zulkifli.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir di salah sebuah pusat pemindahan sementara. Foto Facebook Juwairiya Zulkifli

Jika di kawasan lain air surut selepas tiga hari banjir, di Bukit Melawati, sekitar 5,000 penduduk terpaksa tinggal lebih lama di PPS atau rumah sanak-saudara berhampiran.

Jadual Juwairiya berubah sama sekali. Sepanjang tempoh itu, beliau keluar rumah seawal jam 7 pagi dan pulang sekitar jam 2 pagi keesokannya. Beliau menghabis masa dan tenaga bagi memastikan keselesaan mangsa.

Beliau yang juga setiausaha politik kepada Dato’ Menteri Besar mengambil inisiatif menyelaraskan bantuan dan membuka PPS termasuk Stadium Tertutup Kuala Selangor yang awalnya tidak digazet sebagai PPS.

“Sepatutnya PPS di SMK Kuala Selangor tetapi tempat itu tidak dapat menampung mangsa yang semakin ramai. Hati saya pilu lihat pesakit kronik, warga tua dan bayi berada di dataran menunggu dalam keadaan sejuk serta gelap.

“Saya terus selaraskan mesyuarat dengan agensi lain dan putuskan untuk jadikan stadium sebagai PPS. Kami bergerak cepat termasuk bawa mangsa banjir supaya mereka dapat berteduh dengan selesa,” jelasnya.

Wakil rakyat Sentosa Dr G Gunarajah pula tidak teragak-agak meninggalkan majlis perkahwinan anak sulungnya pada 18 Disember demi menyelamatkan mangsa banjir.

Wakil rakyat Sentosa Dr G Gunarajah menghulurkan pek makanan kepada mangsa terjejas banjir. Foto Facebook ADUN Sentosa YB Gunaraj

Memikirkan nyawa rakyat lebih penting, beliau menghabiskan masa hampir sehari suntuk bersama Skuad DUN Sentosa untuk menyelamatkan mangsa terperangkap menggunakan enam kenderaan pacuan empat roda.

“Pengalaman paling tidak boleh saya lupa apabila perlu meredah banjir mencari mangsa yang terperangkap di Taman Seri Wangi yang kebanyakannya didiami warga emas,” katanya.

Namun, beliau gembira berikutan pengurusan kuil, masjid dan NGO tidak putus-putus mengedar bungkusan makanan kepada orang ramai di pusat pemindahan.

Mengenai pembersihan pascabanjir pula, Dr G Gunarajah bersama 50 ahli skuad DUN Sentosa turun padang hampir setiap hari sebaik air surut bagi membantu bersihkan rumah penduduk terutama warga emas.

Wakil rakyat Subang Jaya bersama pasukannya pula melalui detik cemas apabila berdepan lelaki berparang yang melepaskan kemarahan kepada mereka.

Michelle Ng Mei Sze diherdik ketika keluar kenderaan semasa mereka terperangkap dalam kesesakan lalu lintas ketika menuju ke Kampung Bukit Lanchong, 12 kilometer tenggara Taman Sri Muda, untuk misi bantuan pascabanjir.

Wakil rakyat Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze bersama pasukannya membantu membersihkan rumah penduduk yang terjejas akibat banjir. Foto Facebook Michelle Ng Mei Sze

“Saya terkejut lalu kembali ke kereta. Difahamkan, individu itu penduduk tempatan dan berkelakuan demikian kerana beremosi akibat banjir,” katanya, mengimbau pengalaman beberapa hari selepas bencana itu.

Namun kejadian tersebut tidak melunturkan semangat Michelle untuk terus menyalur sumbangan. Pasukannya gigih menghulur pelitup muka, kit ujian kendiri, cecair pembasmi kuman dan kewangan, bahkan sebanyak 23,800 unit bahan makanan diagih demi meringankan beban mangsa banjir.

Tersentuh hati

ADN Morib Hasnul Baharuddin pula ada pengalaman tersendiri ketika menghadapi bah besar meskipun banjir melanda Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib tidak seburuk kawasan lain.

Perasaan timbalan speaker Dewan Negeri itu tersentuh apabila mendapat tahu seorang ibu yang baharu lima hari melahirkan anak terpaksa berpantang di PPS. Malah, wanita tersebut terpaksa mengharung air paras paha sejauh 50 meter berikutan rumahnya di Kampung Kelanang dilanda banjir.

“Mulanya, saya tidak tahu pun ada wanita berpantang di PPS. Kebetulan saya melawat terjumpa dia. Sedih melihat dia dan bayi terpaksa berpantang di PPS.

ADN Morib Hasnul Baharuddin menyampaikan barang keperluan kepada mangsa banjir. Foto Facebook Pusat Khidmat Masyarakat Dun Morib -YB Hasnul

“Namun, siapa sangka wanita ini kelihatan sangat kuat dan tenang meskipun diuji sebegini,” katanya.

Hasnul yang mulanya bimbang berikutan kawasan yang diwakili kerap dilanda fenomena air pasang besar sedikit lega berikutan banjir di Morib tidak seteruk kawasan lain. Hanya 100 keluarga berpindah ke lima PPS yang dibuka melibatkan lebih 300 orang.

Bagi ADN Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri, bah sedemikian besar pertama kali dilaluinya sepanjang 48 tahun mendiami kawasan itu.

Ketika banjir melanda pada 18 Disember, beliau bersengkang mata menguruskan pelbagai perkara khususnya membantu penduduk setempat hingga tidak sempat tidur walau jarum menunjukkan 8 pagi keesokannya.

Sebanyak sembilan PPS dibuka antaranya Sekolah Kebangsaan Telok Gong, Sekolah Rendah Agama Pulau Indah dan Masjid Al-Ubudiah Kampung Telok Gong berikutan peningkatan jumlah penduduk yang keluar dalam tempoh 72 jam sejak air mula naik.

“Saya terharu tengok semua penduduk bertungkus lumus membantu tidak kira ketika mereka berada di jalan raya atau kawasan kediaman. Semua memainkan peranan masing-masing,” katanya.

Usaha pemulihan pascabanjir giat dilakukan pihak berkuasa negeri dengan pemberian tunai dan pembersihan kawasan terjejas banjir.

Azmizam Zaman Huri bersama wakil Persatuan Usahawan Maju Malaysia (PUMM) menyantuni dan menziarahi penduduk yang terjejas banjir. Foto Facebook Azmizam Zaman Huri

Setakat 9 Februari, seramai 61,282 isi rumah menerima RM1,000 menerusi inisiatif Bantuan Selangor Bangkit manakala 13 waris korban pula mendapat RM10,000, menjadikan keseluruhan bantuan RM61.4 juta.

Selain itu, setakat 7 Januari, proses pembersihan sisa banjir fasa pertama yang membabitkan pelbagai agensi negeri membuang 148,187 tan metrik sampah. Kerja pembersihan fasa seterusnya sedang giat dijalankan.