Categories
BERITA UTAMA RENCANA

Perjalanan malam Israk Mikraj, mukjizat besar bukti kerasulan Nabi Muhammad

PERISTIWA agung bagi umat Islam, Israk Mikraj merakamkan perjalanan Nabi Muhammad menghadap Allah untuk menerima perintah ibadah solat fardu.

Peristiwa 27 Rejab tahun ke-12 kerasulan berlaku selepas Baginda kehilangan isteri Khadijah Khuwailid dan bapa saudara disegani ramai Abu Talib Abdul Mutalib.

Kematian dua kekasih hati Baginda itu digelar Tahun Kedukaan. Israk Mikraj mendatangkan kegembiraan. Wartawan NADIAH ZAMLUS menyusun catatan mengenai mukjizat besar Nabi Muhammad selain al-Quran.

 

SURAH AL-ISRA’

Ayat 1 surah al-Isra’ merakamkan kisah Israk Mikraj (terjemahan):

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa, bumi yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Maksud dua rangkai kata

Israk

  • Rasulullah dibawa malaikat Jibrail dari Mekah ke Baitul Maqdis menaiki haiwan buraq pada satu malam.

Mikraj

  • Dari Masjid al-Aqsa, Baginda dibawa menghadap Allah Rabbul Jalil di Sidratul Muntaha melalui tujuh lapisan langit.

Kewajipan solat lima waktu

  • Pada peristiwa itu, Allah mewajibkan solat lima waktu sehari semalam.
  • Sepanjang di Mekah, sahabat dan Nabi menghadap Masjid al-Aqsa. Namun setahun selepas hijrah di Madinah, kiblat bertukar ke arah Masjidil Haram.

 

Kejadian penting ke Sidratul Muntaha (antaranya):

– Baginda masuk ke Masjid al-Aqsa dan solat dua rakaat
– Jibrail memimpin Baginda menjadi imam solat bersama para rasul
– dalam perjalanan mikaj, Nabi Muhammad bertemu:

1. Nabi Adam di langit pertama
2. Nabi Isa dan Nabi Yahya di langit kedua
3. Nabi Yusuf di langit ketiga
4. Nabi Idris di langit keempat
5. Nabi Harun di langit kelima
6. Nabi Musa di langit keenam
7. Nabi Ibrahim di langit ketujuh
8. Menghadap Allah Rabbul Jalil di Sidratul Muntaha

Ujian iman

Peristiwa luar biasa ini menjadi ujian kepada manusia, disebut dalam ayat 60 surah al-Isra’ (terjemahan)

Dan tiadalah Kami menjadikan pandangan (pada malam mi’raj) yang telah Kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia; dan (demikian juga Kami jadikan) pokok yang dilaknat di dalam Al-Quran; dan Kami beri mereka takut (dengan berbagai-bagai amaran) maka semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau.

Sumber:
– Khutbah Jumaat ‘Pengajaran di sebalik israk dan mikraj’, Jabatan Agama Islam Selangor, 13 April 2018
– Tashih al-Mafahim Nombor 17 ‘Kisah israk mikraj’, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, 11 Mac 2020

Categories
BUDAYA RENCANA

Puan kami lapar

Oleh Aliff Awan

Duit tak ada dan seseorang di dalam dah mencubit-cubit perut. Kukunya macam tak dipotong jadi ada rasa yang daging terkupil, melelehkan darah yang halus menitik. Tapi, perjalanan masih jauh dan kalau sekalipun kereta api ini tiba-tiba laju, saya masih akan sampai di Bank Negara hanya selepas sejam setengah.Sebenarnya, malas dah jadi pakaian. Atau sebenarnya malas adalah tubuh saya?

“Nantee masokkan perjoompaan secara bersemooka dee dalam jadual. Semeenggoo sekalee, ya. Teeap meengoo saya belanja makan,” arah dia yang saya susah nak faham bahasanya. Mesej itu dikirim betul-betul selepas kelas.

Dia pensyarah linguistik kami, tapi mesej yang ditaipnya selalu buatkan saya menduga-duga berapa besar, tebal dan panjang kabel yang dia lilitkan pada pegawai temu duga.

Bingung menjadi gelang, menyarung tangan kiri. Balas saya dengan sebuah kiriman suara, “boleh saya tahu keperluannya, Puan? Sebab kami bukan dekat. Ada yang dari Perak, Sabah, Kelantan dan Johor. Kalau ia cuma perbincangan, eloklah kalau kita teruskan seperti biasa, melalui internet saja. Lagipun, masih ada yang belum vaksin.”

Balasannya buatkan bingung menjadi gelang kedua, menyarung tangan kanan pula. Katanya, perbincangan ini penting dan kami wajib turun. Jadi, selepas marah yang diam- diam, kami pun terpaksa akur dan sekarang, saya dalam perjalanan ke universiti menaiki kereta api super-lembab.

Seseorang di dalam masih mencubit-cubit perut, mengupilkan daging yang entah ke berapa. Lapar buatkan saya fikir, kalau ada duit yang orang cicirkan di celah-celah tar atau mungkin di atas meja, saya akan ambil untuk dijadikan duit beli makanan. Lapar juga buatkan saya pening. Dan pening ini bercampur dengan geram yang membara dua hari lepas.

“Awuok tuok bolih masok fakooltee rasanya Raboo nee. Jadee, keeta joompa dalam eenternet sajalah.”

Mesej seringkas ini cukup untuk buatkan marah menjadi pakaian, menjadi seluar. Kami dah mencarut-carut, soalkan tentang duit yang dah habis terbakar kerana perjalanan yang dah diatur. Kapal terbang, bas dan ETS. Masa yang telah dicuri dan bebel mak-ayah yang terpaksa didengari.

“Tak bolehlah Puan tiba-tiba macam ini. Tiket dah beli, jadi kita memang kena jumpa Rabu nanti,” tapi mesej ini cuma dibaca. Kami dah resah. Maki bersepah. Cuma selepas dua pagi, marah kami dibalas dengan “ok.”

Lepas 11 stesen, akhirnya kereta api berhenti dan di kaki, debar menjadi kasut, memalsukan langkah konon berani. Ada lebih kurang tujuh minit sebelum saya betul-betul sampai di universiti kalau berjalan kaki. Dan sepanjang perjalanan, otak saya menjadi filem:

Dengan bongkok yang hampir menjilat tanah, dia masuk. Kami pula duduk dengan debar di kaki masing-masing, menunggu mulutnya yang entah di mana, mengeluarkan suara. Lima minit dan dia masih tak cakap apa-apa sebelum tiba-tiba, “saya sebenarnya saja nak jumpa awak hari ini. Tak ada sebab penting pun.”

Dan gelang, pakaian, seluar dan kasut kami tercabut. Kerusi terbakar, tanah pula gempa bumi. Ada lagi empat tingkat yang perlu didaki sebelum sampai ke fakulti. Kami yang nampak saya, melambai-lambai dengan senyum weh-dah-lama-tak-jumpa. Sedang debar masih di kaki, saya masih terfikir-fikir kalau hari ini akan ada pergaduhan.

Tiba-tiba saya teringat soalan daripada kami sebelum terbang dari Sabah, “Kalau kita biadab, katanya cikgu boleh un-berkatkan ilmu. Kalau cikgu yang biadap, boleh ke kita unberkatkan gajinya?” tapi, tak ada siapa yang jawab soalannya. Sekarang, saya dah sampai di fakulti. Betul-betul di hadapan kami. Tapi, mereka macam mencari-cari. Cari siapa? Puan. Puan tak ada di dalam? tak. Tak tanya staf? katanya, Puan datang awal pagi tadi dan kali terakhir, mereka tahu yang dia ke pantri.

Jadi, kami ke pantri, tapi kosong. Yang ada, beberapa keping seratus di atas meja.

Kami memandang kanan, memandang kiri sebelum yang dari Johor kata, “mungkin ini Puan tinggalkan untuk belanja makan kita nanti?” kami pun tanpa silu, mengangguk sebelum terus bergegas ke kafe, mengambil makanan, memesan minuman. Sebelum makan, kami perlu bayar, jadi saya ke kaunter dan meminta jumlah. RM 67 katanya dan saya hulur seratus.

“Rosak ni,” terang tukang kira sebelum dia menyelak-nyelak ringgit. Saya pun tergaru-garu sebelum hulur seratus yang lain dan ia berulang lagi. Penat akhirnya memarakkan baran tukang kira. “Kalau hang nak main-main, baik hang berambus!”

Terkial-kial, kami pun tinggalkan pinggan penuh makanan dan mendaki semula enam tingkat ke fakulti. Masing-masing mengeluh. Saya pun dah berpeluh sebab seseorang yang asyik mengupil daging di dalam perut. Tapi, dia di mana? Saya memang perlukan duit penuh keberkatannya sekarang. Saya lapar!

 

Categories
PENDAPAT RENCANA

Penyakit jarang jumpa: Sindrom gangguan genetik perlu intervensi awal

Oleh Muhammad Basir Roslan

Laporan ini bersempena Hari Penyakit Jarang Jumpa Sedunia yang disambut pada hari terakhir setiap Februari. Hari Penyakit Jarang Jumpa ini merupakan gerakan yang diselaraskan secara global mengenai penyakit jarang ditemukan, dalam usaha memberikan kesaksamaan peluang sosial, penjagaan kesihatan dan akses kepada diagnosis dan terapi kepada penghidap.

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Aisha Azhar mengalami obesiti sejak kecil, namun tidak seperti tanggapan umum, dia obes bukan kerana gaya hidup yang tidak sihat mahupun faktor pemilihan makanan.

Sebaliknya, gadis berusia 21 tahun ini menghidap Sindrom Prader-Willi (PWS) – satu gangguan genetik – yang didiagnosis ketika dia hanya berusia 10 bulan.

Mereka yang menghidap PWS ini mengalami hyperphagia – gejala paling ketara PWS – yang menyebabkan mereka mengalami rasa lapar ekstrem dan sentiasa ingin makan berikutan gangguan pada ghrelin. (Ghrelin yang turut dikenali sebagai “hormon lapar” adalah hormon yang dikeluarkan dalam saluran gastrointensinal.)

Jika tidak dikawal atau dirawat, masalah itu akan menyebabkan obesiti morbid yang berpotensi mengancam nyawa akibat komplikasi jantung dan paru-paru, hipertensen dan lain-lain komplikasi serius.

PWS juga dikenal pasti sebagai penyebab genetik utama obesiti yang mengancam nyawa dalam kalangan kanak-kanak yang biasanya bermula semasa mereka berusia antara tiga dan lapan tahun.

Menurut pakar genetik, PWS adalah gangguan yang disebabkan oleh ketiadaan bahan genetik aktif pada kromosom 15 salinan paternal.

Di Malaysia, PWS diklasifikasikan sebagai penyakit jarang jumpa dengan prevalens satu dalam setiap 15,000 penduduk. PWS boleh berlaku pada kedua-dua gender daripada semua kaum.

Menurut Persatuan Sindrom Prader-Willi Malaysia (PWSAM), pada masa ini terdapat 135 penghidap di Malaysia dengan 60 daripadanya adalah kanak-kanak berusia bawah enam tahun, 40 orang berusia antara tujuh dan 12 tahun, 21 pesakit berusia antara 13 dan 17 tahun, baki 14 lagi berumur 17 tahun ke atas.

Cabaran sepanjang hayat 

Bapa Aisha, Azhar Talib, 55, yang juga pengasas dan Presiden PWSAM serta terlibat sepenuhnya dalam mewujudkan kesedaran tentang PWS selain meningkatkan jaringan kerjasama antara pertubuhan, agensi serta pakar dalam menyediakan rawatan, latihan dan pendidikan kepada pesakit, berkata menjaga dan membesarkan anak yang menghidap PWS amat mencabar.

Bercerita tentang cabaran yang dihadapinya, Azhar berkata sejak anaknya didiagnosis dengan PWS, Hospital Kuala Lumpur menjadi rumah kedua beliau dan isteri kerana Aisha memerlukan perundingan dan sesi terapi dengan pakar setiap bulan.

“Biasanya, bayi yang menghidap PWS mengalami hipotonia atau kelemahan ketegangan otot. Tangisan mereka perlahan selain kemampuan untuk menghisap susu juga lemah di samping kuat tidur. Mereka selalunya tidak boleh menyusu badan dan memerlukan botol khas atau penyusuan secara tiub.

“Dalam kes Aisha, selain hipotonia, dia juga mengalami masalah kognitif yang menjejaskan keupayaan belajar. Perkembangan motor serta bahasa juga amnya lambat dalam kalangan kanak-kanak PWS. Hingga sekarang dia tidak boleh bercakap sebaik rakan seusianya, selain sukar mengawal emosi dan mudah mengamuk apabila tidak dapat makan,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata hingga kini Aisha masih perlu menjalani rawatan susulan dengan pakar, cuma tidak sekerap dulu.

Menurut Azhar lagi, hampir keseluruhan sistem tubuh terkesan oleh PWS kerana penyakit itu menjejaskan hormon, komposisi badan, daya kawalan suhu, daya tahan sakit dan corak tidur.

Individu penghidap PWS juga berisiko tinggi mengalami masalah kesihatan mental seperti kemurungan, gangguan bipolar dan psikosis.

Jejas kualiti hidup penjaga

Selain itu, PWS turut memberi impak ke atas penjaga kerana penjagaan terhadap penghidap PWS adalah hampir sepanjang masa keran mereka tidak boleh berdikari. Ringkasnya, menjaga penghidap PWS adalah komitmen sepanjang hayat.

Menurut Azhar, antara yang perlu dilakukan setiap hari ialah memastikan penghidap bersenam kerana mereka boleh menjadi obes dalam masa yang singkat selain menyediakan jadual makan yang tetap dan mengawal pengambilan kalori.

“Sememangnya PWS turut menjejaskan kualiti hidup penjaga, ditambah lagi dengan kekurangan kesedaran awam tentang penyakit ini. Namun, ibu bapa atau penjaga penghidap PWS tidak perlu bersendirian menghadapi cabaran ini. Mereka boleh hubungi PWSAM untuk nasihat dan bantuan.

“Atau layari sahaja laman web kami di www.pwsam.org.my untuk maklumat lanjut tentang penyakit ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata pesakit juga memerlukan program intervensi sepanjang hayat, pendidikan khas, peluang pekerjaan dan penerimaan dalam masyarakat.

Intervensi awal dan sepanjang hayat 

Sementara itu, Pakar Pediatrik Dr Melissa Anne Nunis berkata sekalipun tidak ada penawar bagi PWS, intervensi awal dan pematuhan terhadap terapi boleh meningkatkan kualiti hidup penghidap dan seterusnya membantu mereka berdikari.

“Pendekatan dalam merawat kanak-kanak penghidap PWS perlu dilaksanakan secara sistematik dan tersusun kerana melibatkan pelbagai bidang kepakaran termasuk genetik, pediatrik, ortopedik, endokrinologi, terapi percakapan, psikologi dan pemakanan,” jelasnya.

Beliau juga berkata rawatan harus diberikan mengikut keperluan pesakit kerana setiap penghidap mempunyai isu yang berbeza.

Mereka memerlukan bantuan awal (dari segi terapi fizikal, pendidikan khas dan terapi percakapan) bagi menilai dan menangani masalah kemahiran motor, masalah intelektual serta perkembangan pertuturan dan bahasa.

“Kesemua ini ditawarkan di hospital tertiari kerajaan dan hospital pengajar universiti,” tambah beliau.

Dr Melissa yang juga pensyarah di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, berkata program rawatan juga harus merangkumi diet berkalori rendah, senaman dan pemantauan pengambilan makanan berdasarkan indeks jisim tubuh dan ketinggian pesakit.

“Sesetengah keluarga mungkin bertindak mengunci almari makanan dan peti sejuk. Kesemua inisiatif ini harus dimulakan seawal mungkin sebelum masalah obesiti berlaku. Ini kerana nafsu makan pesakit adalah aspek PWS yang paling sukar untuk ditangani.

“Selain masalah hormon, penghidap juga boleh mengalami apnea tidur obstruktif ketika masalah obesiti mereka memburuk,” katanya.

Tambah beliau, peranan pakar endokrin juga penting dalam pengurusan penghidap PWS kerana pesakit boleh mengalami pelbagai gangguan endokrin. Antara penyelesaiannya adalah rawatan hormon tumbesaran.

“Dalam pelbagai kajian, didapati rawatan hormon tumbesaran baik untuk mereka yang menghidap PWS kerana boleh menambah ketinggian, mengurangkan lemak tubuh, meningkatkan jisim tubuh tanpa lemak, mobiliti dan fungsi respiratori yang akhirnya akan meningkatkan kualiti keseluruhan hidup mereka,” jelasnya.

Dalam pada itu, Azhar berkata PWSAM berharap kerajaan dapat memberikan subsidi bagi rawatan hormon tumbesaran yang diperlukan pesakit yang layak selain meningkatkan akses kepada rawatan di hospital kerajaan.

“Pada masa ini, agak sukar untuk pesakit mendapatkan akses kepada rawatan hormon tumbesaran di hospital kerajaan kerana melibatkan proses yang panjang. Kos rawatan juga agak mahal iaitu kira-kira RM2,000 sebulan atau RM24,000 setahun bagi seorang pesakit,” katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Selangor kukuh agenda kesihatan, guna teknologi hijau dan pintar

Belanjawan Selangor 2022 memperuntuk perbelanjaan sebanyak RM2.34 bilion dengan RM1.12 bilion daripadanya dikhaskan untuk pembangunan.

Dibentang 26 November lalu, ia dirangka dengan lima teras utama termasuk memacu ekonomi selepas terjejas akibat wabak Covid-19 dan mengukuhkan lagi kesejahteraan masyarakat.

Bahagian pertama, Selangorkini menyiarkan intipati teras satu dan dua: Perkuat ekonomi, bangun masyarakat penyayang

Teras satu dirangka untuk memacu pertumbuhan ekonomi berimpak tinggi, manakala teras dua bertujuan membangunkan masyarakat penyayang.

Belanjawan ini memberi manfaat kepada semua golongan termasuk wanita, golongan berpendapatan rendah, pelajar, orang kelainan upaya, usahawan dan petani. Ia meliputi pelbagai aspek seperti kesihatan, pendidikan, industri, perniagaan, pelancongan dan pertanian.

Bertema Kita Selangor: Negeri Tahan Uji, Mengangkat Martabat Insani, belanjawan ini dijangka diperhalusi semula susulan bencana banjir yang melanda lapan daerah hujung tahun lalu.

Ringkasan program utama ini disediakan oleh NADIAH ZAMLUS.

TERAS 3: MENGUKUHKAN AGENDA KESIHATAN AWAM SELANGOR

Penubuhan Majlis Kesihatan Awam Negeri Selangor (SelPHAC) 

  • menambahbaik pengurusan kesihatan awam
  • badan pemikir Kerajaan Negeri bagi merangka dasar dan program kesihatan awam
  • pastikan pengurusan dan kesiapsiagaan Kerajaan Negeri teratur dan cekap mendepani penularan wabak penyakit

Iltizam Selangor Sihat 

  • gantikan Program Skim Insurans Peduli Sihat (SIPS)
  • peruntukan tahunan RM46 juta
  • manfaat kepada 90,000 penerima
  • keutamaan kepada pesakit kronik dan terlantar
  • Penjawat awam Gred 44 ke bawah turut peroleh manfaat menerusi Iltizam Selangor Sihat Penjawat Awam dengan peruntukan RM1juta

Skim Rawatan Jantung 

  • khidmat rawatan jantung percuma
  • peruntukan tahunan RM5 juta melalui pembiayaan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS)

Rawatan Tuberculosis (TIBI)

  • peruntukkan sebanyak RM800,000 untuk merawat batuk kering

Pengurusan Covid-19 

  • RM500,000 persediaan menghadapi kemungkinan penularan wabak
  • tambah pelbagai program advokasi berkaitan pematuhan SOP
  • menambah baik sistem sokongan kepada pesakit Covid-19

Ujian Saringan Kanser (CanSEL) 

  • peruntukkan RM1 juta
  • saringan bagi ujian mammogram, serviks, kolorektal dan prostat sehingga ke tahap pengesanan penyakit
Pengarah Operasi Yayasan Rose Yam Mun Li memberi penerangan kepada peserta ketika program Ujian PCR HPV Percuma Untuk Saringan Barah Pangkal Rahim di Dewan Komuniti MBPJ Damansara Damai, Petaling Jaya pada 13 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Program Saringan Kesihatan Percuma (Saring Selangor) 

  • peruntukan berjumlah RM1.5 juta untuk 5,000 rakyat negeri

Slim Selangor 

  • mengaktifkan semula Program Slim Selangor
  • peruntukan berjumlah RM300,000

Bantuan Sihat Selangor 

  • peruntukan sebanyak RM5 juta untuk 4,000 penerima
  • meluaskan bantuan pesakit talasemia, kanser serta penyakit kronik
  • bantuan belanja pengangkutan dan makanan tambahan
  • kekalkan bantuan sedia ada seperti dialisis buah pinggang, pembedahan katarak mata, pembedahan kecil mahupun bantuan alatan perubatan

Pencegahan dan Kawalan Denggi 

  • peruntukan sebanyak RM5 juta
  • pemantauan lokaliti wabak menggunakan dron dan membangunkan aplikasi pengesanan lokaliti hotspot yang boleh diakses masyarakat awam
EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud (dua kiri) menerima kit kesihatan daripada wakil Selgate sempena pelancaran Sukarelawan Komuniti Kesihatan Selangor (Suka) 2021 di Dataran Ilmu Bandar Baru Selayang, Gombak pada 14 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Program Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) 

  • peruntukan RM1.5 juta
  • pasukan sukarelawan kesihatan komuniti digerakkan di 56 DUN di Selangor
  • bertanggungjawab melaksanakan program berkaitan kesihatan awam
  • meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan penjagaan kesihatan
  • menjadi duta rasmi Kerajaan Negeri

Nutrisi Makanan Kanak-kanak (Anak Selangor Anak Sihat) 

  • Anak Selangor Anak Sihat (Asas) dilaksana dengan peruntukan RM1 juta
  • beri manfaat sehingga 700 kanak-kanak bagi tempoh
    10 bulan
  • cegah masalah bantut disebabkan pengambilan makanan yang tidak mencukupi

Pemeriksaan Kesihatan Mata

  •  permohonan kaca mata kepada Pusat Khidmat di DUN semakin meningkat
  • justeru, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM 200,000 bagi pemeriksaan kesihatan mata anak-anak

Cakna Kesihatan Mental (SEhat & SELangkah) 

  • menerusi aplikasi SELangkah
  • ujian saringan awal secara kendiri untuk mengetahui tahap kesihatan mental
  • RM1 juta telah diperuntukkan

TERAS 4: MEWUJUDKAN PERSEKITARAN HIJAU DAN MELUASKAN PEMBANGUNAN LESTARI

Meningkatkan Kualiti Perkhidmatan Bekalan Air 

  • sebanyak RM100 juta diperuntukkan
  • bangunkan Loji Rawatan Air Labohan Dagang Fasa 2 serta Loji Rawatan Air Sungai Rasau untuk meningkatkan margin bekalan air sebanyak 15 peratus menjelang 2030
  • penggantian paip utama sepanjang 6,000 km di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya
Kakitangan Air Selangor menunjukkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari paip lama telah diganti ketika tinjauan bagi melihat kerja selenggaraan yang hampir siap di Loji Rawatan Air Selangor SSP1, Bukit Badong, Kuala Selangor pada 13 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Peningkatan Kualiti Air bagi Lembangan Sungai Utama 

  • bangunkan kaedah kawalan pencemaran secara fizikal di lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang
  • meningkatkan kualiti air
  • menguatkuasakan caj pemulangan air dengan mengambil kira nilai ekonomi bagi mencapai Polisi Pelepasan Sifar ataupun Zero Discharge Policy

Stesen Pengecas Kenderaan Elektrik 

  • berhasrat menjadi negeri peneraju dalam penggunaan kenderaan elektronik (EV)
  • bayaran letak kereta di bawah pentadbiran PBT percuma kepada pengguna EV pada tahun ini
  • sebanyak 10,000 pengecas EV akan dipasang sebelum 2025
  • 1,000 pengecas dipasang tahun ini dengan kerjasama swasta melibatkan pelaburan RM10 juta

Pembangunan Kejiranan Hijau 

  • RM600,000 bagi tujuan Pemasangan Produk Teknologi Hijau dan Pembangunan Kejiranan Hijau

Pembangunan Tebatan Banjir 

  • RM9.25 juta diperuntukkan untuk tebatan di Sungai Langat, lembangan Sungai Klang dan lembangan Sungai Selangor

Pembangunan Sistem Saliran 

  • Jabatan Pengairan dan Saliran memperuntukkan sebanyak RM9.2 juta
  • menambahbaik sistem saliran di kawasan yang dikenalpasti
Keadaan Sungai Klang yang semakin bersih setelah lebih 75,000 tan metrik sampah berjaya dikeluarkan sejak 2016. Foto ihsan Landasan Lumayan Sdn Bhd

Pembangunan Lembangan Sungai 

  • peruntukan RM15.6 juta
  • menyediakan perkhidmatan kepakaran dalam pengurusan sungai
  • memastikan pemeliharaan kualiti dan kuantiti sumber air

Pengurusan Saliran Mesra Alam 

  • menyediakan Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA)
  • melibatkan kawasan Sungai Besar di Sabak Bernam
  • Kolam Takungan Banjir di Rawang Integrated bagi mengatasi masalah banjir di Sungai Gong, daerah Gombak dengan kos bernilai RM15 juta serta Kolam Takungan Banjir di Kampung Budiman dengan kos RM20 juta

Pembangunan Pesisir Pantai 

  • benteng di pesisir pantai terutama di Sabak Bernam dan Kuala Selangor
  • Jabatan Pengairan dan Saliran memohon RM5.2 juta
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah), menyiram pokok sebagai gimik pelancaran ketika Majlis perasmian sambutan Hari Hutan Antarabangsa di Taman Tasik Millenium Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 11 November 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Program Penanaman Pokok 

  • RM800,000 untuk semua Dewan Undangan Negeri
  • pelaksanaan Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 juta pokok (2021- 2025)

Pemulihan Hutan Rosot 

  • memulihkan hutan rosot terutama di Kuala Langat disebabkan kebakaran dan pencerobohan
  • babit 500 hektar di Kuala Langat dengan menanam semula pokok
  • RM10 juta akan diperuntukkan

Kempen Kesedaran Pengguna 

  • kempen bebas plastik dan polisterina
  • kempen kutipan minyak masak terpakai dan bebas straw plastik
  • giatkan lagi kempen ini, sejumlah RM880,000 diperuntukkan

Pusat Kitar Semula KDEB Waste 

  • mewujudkan dua pusat kitar semula sebagai Material Recovery Facility (MRF) di Jalan Korporat, Meru, Klang, dan Bukit Puchong, Subang Jaya
  • mengurus 20 tan barang kitar semula sehari

Pembangunan Pesisir Sungai – Selangor Maritime Gateway 

  • usaha pemuliharaan Sungai Klang
  • babit lokasi bekas tapak pelupusan Telok Kapas, salah satu penyumbang pencemaran di Sungai Klang
  • Kerajaan Negeri percaya Sungai Klang berpotensi dijadikan sebagai sumber alternatif air mentah untuk kegunaan rakyat

Program Selangor AgroEhsan 

  • peluang perniagaan pertanian dan pekerjaan bagi terkesan pandemik Covid-19
  • tawar harga borong bagi produk pertanian dan penternakan PKPS

Selangor Smart Agropark (SSAP)

  • Program Keselamatan Bekalan Makanan di Changkat Menteri, Sabak Bernam akan dimulakan pada suku pertama 2022
  • memastikan keselamatan makanan negeri sentiasa berada pada tahap optimum

TERAS 5: MENGUKUHKAN TEKNOLOGI PINTAR DAN DIGITALISASI

Selangor e-Wallet 

  • dilaksana melalui aplikasi SELangkah
  • perkhidmatan urusan Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun dan anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor
  • dikawal selia oleh CEPAT(Citizen E-Payment) milik Smart Selangor Delivery Unit (SSDU)
  • pembayaran cukai dan hasil kerajaan tempatan, pembayaran tanpa tunai parkir juga boleh dilaksanakan melalui platform tersebut
EXCO Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim (dua, kiri) bersama Pengasas Kumpulan Syarikat Wavpay Tan Chun Aik (dua, kanan) disertai Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Norita Mohd Sidek (kiri) ketika majlis menandatangani Perjanjian Pelaburan Bagi Pembangunan Agenda Cashless dan E-Servis Selangor di Pejabat MBI, Shah Alam pada 14 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Aplikasi Go Selangor 

  • pendigitalan pelancongan bagi membantu operator pelancongan Selangor beranjak ke dalam talian
  • membantu 100,000 PKS di Selangor
  • memudahkan tempahan hotel, pemindahan lapangan terbang, tiket tarikan, baucar spa, baucar makanan, lawatan sehari dan menyesuaikan lawatan peribadi

Selangor Advance 

  • memulihkan aliran tunai dan menjamin kelestarian ekonomi negeri dengan pinjaman dana RM300 juta
  • membuat kitaran jumlah pembiayaan kepada industri kecil dan sederhana sehingga RM1 billion
  • menyelamatkan 150,000 peluang pekerjaan dan 5,000 PKS

Data Raya Selangor 

  • merealisasikan aspirasi Negeri Pintar Unggul di rantau Asia Tenggara menjelang 2025
  • dibangunkan dengan anggaran kos sebanyak RM2 juta
  • tingkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan
Dato’ Seri Amirudin Shari melawat gerai penjaja ketika Majlis Pelancaran Platform Selangor (PLATS) 2.0 Selangor e-Dapur dan e-Pembekalan Peruncit Mikro dan Kecil di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Batu Caves pada 11 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Rakan Digital dan Platform Selangor (PLATS) 

  • peruntukan tambahan RM6 juta
  • hasil sumbangan Permodalan Negeri Selangor Berhad
  • bantu pengusaha perusahaan kecil, sederhana dan mikro mengadaptasi pendigitalan dalam perniagaan

Unit Keselamatan Siber Selangor 

  • memastikan keselamatan data sentiasa terjamin
  • RM1 juta akan diperuntukkan

Smart CCTV 

  • keselamatan awam melalui penambahan bilangan Smart CCTV
  • 2,000 unit CCTV akan dipasang dan beroperasi secara penuh menjelang 2025
  • sebanyak 200 unit lagi akan ditambah menerusi inisiatif Smart Selangor dan kos sebanyak RM5 juta
Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama barisan EXCO meninjau Pusat Operasi Smart Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 3 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Selangor State Data Exchange (SELGDX) 

  • pembangunan SELGDX antara 2021 hingga 2023
  • peruntukan sebanyak RM2 juta
  • tawar perkhidmatan broker data (data brokerage)
  • terdiri daripada himpunan piawaian, peralatan, penyimpanan dan daftar maklumat membolehkan perkongsian data merentas agensi dalam Selangor
  • kurangkan pertindihan pembangunan dan kos penyelenggaraan infrastruktur agensi
  • mengukuhkan peranan agensi dalam menjalankan tanggungjawabnya
Categories
BUDAYA RENCANA

Di kanvas fiksi

sehelai tikar dari langit
ada sekutum potret
ditulis oleh Monalisa
pada pertengahan
perang dunia ketiga.

karya di dinding langit juga
tersadai di rumah Leonardo
imejnya turun,
menjadi abu abu pertanyaan.

siang dan malam
mimpi mimpi masih sama;
fiksi fiksi

Solihin Osman

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Kesan masalah kanak-kanak bantut lebih awal, beri makanan seimbang

Oleh Sakina Mohamed, Muhammad Mikhail Mohazar & Wan Muhammad Aslah Wan Ghazali

Satu daripada lima kanak-kanak di Malaysia terbantut – dan rakyat Malaysia perlu cakna. Masalah ini memberi kesan kepada semua.

KUALA LUMPUR, 25 FEB: “Apa masalahnya kalau anak saya pendek sikit? Biasalah tu, anak orang Malaysia. Takkan nak tinggi macam anak Mat Saleh.”

Sering kita dengar ketinggian anak “ikut keturunan”. Inilah juga salah tanggapan yang biasa dicanang terutamanya dalam kalangan orang Asia – tidak mengapa kalau anak pendek sedikit, sudah begitu bakanya!

Namun, satu kajian yang dijalankan selama enam tahun menujukkan sebaliknya. Rupa-rupanya, semua kanak-kanak di dunia mempunyai kemampuan mencapai ketinggian sama dalam lima tahun pertama kehidupan, tidak kira bangsa atau keturunan.

Ini bererti sehingga usia lima tahun, semua kanak-kanak serata dunia – tanpa mengira latar etnik atau genetik – mampu berdiri sama tinggi.

Kajian mendapati yang lebih utama ialah nutrisi cukup, persekitaran sihat dan akses kepada perkhidmatan kesihatan.

Bagaimana pun, harus kita fahami bahawa masalah kanak-kanak bantut ini bukan sekadar kelihatan pendek berbanding rakan.

Kajian menunjukkan kanak-kanak bantut mengalami masalah kognitif serius hingga menjurus kepada keciciran akademik. Apabila dewasa, mereka didapati lebih sukar mendapat pekerjaan baik dan senang mendapat penyakit.

Mungkin ada yang membalas: “Jadi, apa masalahnya? Beri sahajalah nutrisi mencukupi sampai mereka jadi tinggi.”

Malangnya, ia tidak semudah itu.

Jika masalah bantut tidak dikesan dan dibetulkan dalam tempoh 1,000 hari pertama kehidupan (sejak dalam kandungan sehingga usia dua tahun), impaknya kekal seumur hidup, demikian menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Namun, untuk memahami betapa seriusnya implikasi ke atas negara dan rakyat Malaysia, kita perlu melihat nilai kerugian yang dialami negara akibat masalah bantut ini.

Kita semua terkesan

Bantut (stunting) ialah apabila kanak-kanak pendek bagi umur mereka.

Tetapi, mengapa pula ketinggian seorang kanak-kanak menjadi masalah kepada yang lain?

Bantut adalah penanda ukur yang sering digunakan untuk mengesan masalah malnutrisi kronik dalam kalangan kanak-kanak. Selain pendek, malnutrisi kronik boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami masalah kesihatan sepanjang hidup.

Semua masalah ini akhirnya akan memberi kesan kepada sosioekonomi negara, sekali gus memberi impak kepada seluruh rakyat.

Pelbagai kajian menunjukkan kanak-kanak bantut mempunyai fungsi kognitif lemah dan mengalami kelewatan perkembangan (developmental delay). Mereka juga mengalami masalah pembelajaran terutama sekali dalam matematik, membaca dan pembangunan kosa kata reseptif, demikian menurut penyelidik Derek Kok dalam laporannya Stunting in Malaysia: Costs, Causes & Courses For Action.

Ini kerana kanak-kanak bantut gagal mendapat nutrisi secukupnya ketika tempoh kritikal 1,000 hari pertama kehidupan. Perkembangan otak dan tubuh badan amat sensitif terhadap gangguan nutrisi ketika tempoh ini.

Harus diingat, gangguan nutrisi tidak semestinya disebabkan kegagalan mendapatkan bekalan makanan sihat dan mencukupi.

Persekitaran kurang ideal seperti ketiadaan akses air bersih dan perkhidmatan kesihatan baik juga boleh menyebabkan ibu dan anak mudah kehilangan zat apabila terkena penyakit atau jangkitan.

Dapatan kajian juga menunjukkan apabila dewasa, individu bantut dibayar gaji 20 peratus lebih rendah berbanding mereka yang tidak bantut, kata Kok kepada Bernama.

Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi 2019 (NHMS 2019), 21.8 peratus kanak-kanak di Malaysia bantut.

Bayangkan generasi rakyat dewasa yang mana satu per lima daripadanya mengalami fungsi kognitif lemah sehingga menjejaskan kemampuan mereka mendapat pekerjaan dan pendapatan baik.

“Inilah mengapa masalah bantut beri impak serius pasaran kerja dan pembangunan ekonomi negara,” kata Kok yang juga penganalisis penyelidikan di Jeffrey Cheah Institute on Southeast Asia dan The Jeffrey Sachs Center on Sustainable Development.

Negara yang mengalami masalah bantut secara purata kerugian 7 peratus pendapatan per kapita, menurut satu kajian World Bank oleh Galasso and Wagstaff.

Kajian lain menunjukkan individu bantut mempunyai tahap imuniti yang rendah, jadi mereka lebih mudah mendapat jangkitan. Ketika dewasa pula, mereka cenderung menjadi obes, mendapat penyakit darah tinggi, kardiovaskular dan kencing manis.

Ini sudah tentu akan membebankan lagi sistem kesihatan awam negara.

Malah, kajian mendapati kesan bantut boleh diwarisi generasi berikutnya. Wanita yang bantut ketika kecil berisiko tinggi melahirkan anak bantut, menyebabkan masalah itu berulang-ulang.

Bantut di Malaysia

Setakat 2019, satu daripada setiap lima kanak-kanak di Malaysia terbantut.

Jumlah ini melibatkan sekitar 560,000 kanak-kanak – lebih dua kali ganda jumlah populasi Perlis dan lebih besar daripada populasi negara Maldives.

Kadar bantut kanak-kanak seluruh dunia sebenarnya semakin menurun sejak 20 tahun lalu. Namun situasi di Malaysia agak mengecewakan kerana kadarnya semakin meningkat sejak 2010.

Data World Bank 2018 menunjukkan kadar bantut di Malaysia bagi kanak-kanak bawah empat tahun pada 2016 (20.7 peratus) jauh lebih tinggi daripada Gaza pada 2014 (7.4 peratus).

Prevalens bantut di Malaysia juga lebih tinggi daripada negara berpendapatan sederhana yang disenaraikan dalam data seperti Ghana (18.8 peratus), Mexico (12.4 peratus), Kazakhstan (8 peratus) dan Macedonia (4.9 peratus).

Masalah negara

Mungkin ada yang berfikiran masalah bantut ini masalah orang miskin.

Namun, data NHMS 2019 menunjukkan kadar bantut kanak-kanak daripada keluarga dengan pendapatan isi rumah lebih RM10,000 sebulan tetap tinggi (9.1 peratus).

Kadar ini masih lebih tinggi berbanding kadar penanda aras negara berpendapatan sederhana tinggi iaitu 6.0 peratus. Ini menunjukkan masalah bantut merentasi semua peringkat pendapatan.

Kadar bantut juga tinggi dalam kalangan semua kumpulan etnik. Prevalens paling rendah dalam kalangan kaum Cina, tetapi pada kadar 14.1 peratus, ianya tetap tinggi.

Walaupun kadar bantut menurun apabila tahap pendidikan ibu meningkat, kadar bantut kanak-kanak dalam kalangan ibu yang mendapat pendidikan lanjut masih tinggi (18.6 peratus).

Status pekerjaan si ibu kelihatan mempengaruhi kadar bantut, di mana kadarnya 38.3 peratus dalam kalangan kanak-kanak yang ibunya tiada pekerjaan. Namun, prevalens bantut tetap tinggi walaupun ibu bekerja, sama ada di sektor swasta (19.4 peratus) dan sektor awam (21.7 peratus).

Himpunan data jelas menunjukkan masalah bantut berlaku di seluruh Malaysia, merentasi rakyat pelbagai latar belakang dan pada tahap serius.

Kita harus akui, masalah malnutrisi di Malaysia amat membimbangkan. Jika isu ini gagal ditangani dengan segera dan berkesan, kita jugalah yang bakal menanggung akibatnya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Bergelut cari rezeki halal, suami isteri gigih usaha niaga rojak buah

Nasihat ulama mengenai hukum riba yang sering terngiang-ngiang membuatkan Nor Azmi Daud tekad meninggalkan bidang insurans yang diceburinya selama 14 tahun.

Tindakan bapa kepada 11 anak itu berhenti sebagai jurujual pada 1985 mengubah hidup keluarganya seratus peratus. Sebelum itu, pendapatannya menjual insurans mencecah RM6,000 sebulan.

Namun Nor Azmi tidak menyesal. Padanya meski sedikit, rezeki mesti halal dan berkat untuk isteri, Roslina Kassim dan anak-anak.

Nor Azmi Daud menunjukkan rojak buah yang dibuat di Taman Tasik Metropolitan, Kuala Lumpur pada 28 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Masa itu cuma ada insurans konvensional sahaja, belum ada takaful macam sekarang. Dahulu memang jahil tetapi apabila sudah tahu hukum riba, saya fikir panjang.

“Dalam hati, sampai bila mahu beri anak bini makan duit riba. Akhirnya saya berhenti,” kata Nor Azmi, 59 ketika ditemui di Kepong pada 27 Disember 2021.

Bagi meneruskan hidup, beliau bekerja sebagai pemandu van sekolah selama lima tahun. Pada 1990, bermodalkan tidak sampai RM50, Nor Azmi dan isteri berniaga rojak buah di hadapan rumah mentua di Rawang.

Dalam sebulan dapat untung RM700 hingga RM800. Pada masa sama Nor Azmi mengambil upah membaiki kereta dan membaik pulih perabot lama. Apabila keluar rumah pula, beliau mencari tin aluminium, kotak dan besi buruk.

Dicampur hasil berniaga rojak buah, upah membaiki kereta, membaiki perabot lama dan menjual barang lusuh, beliau meraih RM900 hingga RM1,000 sebulan.

Untung hingga RM2,000

Bagaimanapun permintaan membaiki kereta dan perabot bukan selalu ada.

Kadang-kadang dalam sebulan tiada langsung. Mujur Nor Azmi tinggal di rumah ibu mentua. Sekurang-kurangnya tidak perlu membayar duit sewa rumah.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) memang menghulur bantuan bulanan, makanan, persekolahan dan hari raya kepada keluarganya sejak 2009. Pada mereka, ia sangat membantu.

Nor Azmi Daud menyediakan rojak buah di Taman Tasik Metropolitan, Kuala Lumpur pada 28 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pada tahun pertama perniagaan, perlahan-lahan rojak buah jualan Nor Azmi dan isteri dikenali ramai.

Nor Azmi membeli kereta terpakai untuk tujuan berniaga pada tahun berikutnya. Kereta berusia lebih 15 tahun itu dibeli daripada rakan dengan ansuran RM200 sebulan.

“Itu pun selalu terlajak membayar ansuran beli kereta, tetapi nasib baik kawan faham,” kata Nor Azmi.

Sejak itu, mereka mula berniaga di beberapa lokasi di Rawang selain di Taman Tasik Metropolitan, Kepong.

Perniagaan mereka di Taman Tasik Metropolitan mendatangkan untung RM1,500 hingga RM2,000 seminggu terutama pada Sabtu dan Ahad. Gerai rojak buahnya menjadi tumpuan sehingga pada 2013, mereka dikunjungi pegawai LZS.

Dua kali terjatuh

“Setiap kali berniaga kami tidak tinggalkan anak di rumah, semua ikut terutama bila ke Taman Tasik Metropolitan, dapatlah mereka bermain.

Boleh dikatakan pada masa itu anak membesar dalam kereta.

“Sampailah suatu hari ada orang zakat perasan kami selalu berpindah tempat berniaga dan dia tawarkan bantuan dapatkan bantuan lori niaga LZS,” kata Roslina, 53.

Nor Azmi Daud bersama isteri Roslina Kassim ketika ditemui SelangorKini di Taman Tasik Metropolitan, Kuala Lumpur pada 28 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sejak itu, mereka menggunakan lori sumbangan LZS dan berniaga secara tetap di Taman Tasik Metropolitan. Menu jualan juga bertambah seperti mi rebus, cucur udang sekali gus menambah jualan.

Pada 2016, Nor Azmi sekeluarga tidak lagi bergantung kepada bantuan LZS berikutan pendapatan semakin stabil dan tidak lagi dikategorikan sebagai asnaf.

Namun langit tidak selalu cerah. Kemunculan Covid-19 pada 2020 memberi cabaran. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara Mac hingga Mei 2020 menyebabkan pasangan itu hilang pendapatan.

“Selepas PKP dilonggarkan baru dapat berniaga semula tetapi tidak macam dahulu. Biasanya Taman Tasik Metropolitan ramai orang datang terutama hari minggu berbanding sekarang lengang.

“Apa pun kami tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya boleh mencari rezeki, cuma sekarang seminggu dapat antara RM500 hingga RM700 sahaja,” kata Nor Azmi.

Sekali lagi mereka mendapat perhatian LZS apabila badan itu memberi bantuan bakul makanan setiap bulan.

Walau dua kali terjatuh namun pengalaman menjadikan Nor Azmi dan Roslina kuat. Kali ini, mereka lebih berkeyakinan tinggi untuk mampu bangkit seperti sebelumnya.

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Perkhemahan mewah bantu terapi diri, didik cinta alam semula jadi

Oleh Balkish Awang

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Jika dahulu trend percutian di hotel menjadi pilihan, kini percutian secara perkhemahan semakin menjadi kegemaran ramai, bertemankan suasana damai alam semula jadi.

Apatah lagi ditambah dengan bunyi air sungai mengalir, menjadikan bagi sesetengah orang, aktiviti perkhemahan di tepi sungai sebagai terapi diri yang amat memberi ketenangan.

Ada juga yang memilih untuk menghabiskan masa bersama keluarga berkhemah di tepi laut yang tidak kurangnya memberikan pemandangan serta kepuasan yang mengasyikkan. Selain daripada menyewa khemah sendiri di tapak perkhemahan, kini konsep ‘Glamping’ yang merupakan gabungan ‘glam’ (glamour) dan ‘camping’ (berkhemah) turut menjadi pilihan masyarakat kerana keunikannya.

Ia menampilkan konsep glamor dengan dihiasi aksesori lengkap termasuk lampu berkelipan.

Berbeza dengan perkhemahan biasa, kawasan yang menyediakan glamping tidak memerlukan pengunjung membawa atau memasang khemah sendiri sebaliknya ia lengkap dengan kemudahan makanan dan tempat tidur yang selesa. Trend ini menjadi fenomena baharu dalam landskap aktiviti percutian.

Minat aktiviti luar cetus idea

Minat mendalam terhadap aktiviti rekreasi luaran (outdoor) seperti mendaki, trekking, membuatkan Anis Hartini Haron, 41, membuka The Baruh Glamping, pusat aktiviti perkhemahan berkonsepkan glamping ini, bersama keluarganya.

Terletak di Pantai Puteri, Tanjung Kling (Melaka), tapak perkhemahan ini terletak di tanah seluas sekitar 0.4 hektar milik keluarga Anis Hartini dan beroperasi sejak 2021.

Menurut Anis Hartini yang juga pengurus pusat itu, pada asalnya, keluarganya mahu membuka inap desa di tanah berkenaan, namun beliau lebih berminat sekiranya ia digunakan untuk bisnes glamping.

“Konsep ini timbul selepas memikirkan ada segelintir orang mahu cuba aktiviti perkhemahan, tetapi tidak mahu kerah tenaga memasang khemah dan sebagainya. Jadi glamping adalah konsep tepat untuk mereka yang mahu menghabiskan masa kegembiraan bersama keluarga selain tidak perlu penat dan bersusah payah membawa peralatan perkhemahan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau turut membuat penyelidikan terlebih dahulu tentang konsep glamping dengan mencuba sendiri pengalaman glamping di lima buah tempat di Malaysia iaitu Janda Baik, Bukit Jelutong, Shah Alam, Cameron Highlands dan Hulu Langat.

“Keistimewaan di The Baruh Glamping adalah selain daripada lokasi yang menghadap ke laut, pengunjung dapat melakukan kegiatan memancing, menunggang kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV), bermain congkak dan batu seremban, barbeku dan mandi laut,” katanya yang mempunyai tujuh orang pekerja.

Apa yang mengembirakan Anis Hartini, konsep glamping yang diketengahkannya itu turut mendapat sambutan bukan sahaja dari kalangan mereka yang berkeluarga dan kanak-kanak tetapi turut menarik perhatian pengunjung warga emas.

“Respon baik selain kanak-kanak, warga emas banyak memberitahu saya mereka suka dengan konsep ini kerana ia berbeza daripada apa yang mereka sangkakan. Ada pelanggan kata dia risau tak boleh tidur sebelum datang ke sini, fikir tidur dalam hutan dan sebagainya, tetapi setelah datang, mereka teruja dan mahu datang lagi,” katanya yang turut menerima pengunjung dari Perlis dan Johor.

Antara kemudahan yang disediakan di The Baruh Glamping adalah khemah keluarga termasuk kipas, penghawa dingin, dua katil dewasa untuk empat dewasa atau dua dewasa serta dua kanak-kanak. Bayaran yang dikenakan bermula daripada RM342 semalam dan ke atas.

Untuk barbeku, bayaran RM55 seorang dikenakan untuk dewasa, kanak-kanak RM45 serta terdapat juga barbeku di tepi laut dengan harga RM75 untuk dewasa dan RM55 untuk kanak-kanak termasuk makanan dan minuman lain.

Bermalam di tapak perkhemahan

Selain daripada glamping, berkhemah bersama keluarga juga menjadi satu kegiatan menyeronokkan kerana berbanding sebelum ini aktiviti mandi tepi sungai lebih kepada ‘balik hari’, kini trend bermalam menjadi pilihan.

Satu lagi lokasi glamping, Bamboocamp yang terletak di Hulu Langat, turut menyediakan tapak perkhemahan bagi membolehkan pengunjung beriadah di tepi sungai serta bermalam di situ.

Pengurusnya Nuratiqah Abdul Karim, 31, berkata konsep perniagaan itu dipilih kerana keunikan yang dapat diberikan kepada pelanggan yang berkesempatan belajar mengenal dan menghargai alam semula jadi.

“Jika di hotel aktiviti hanya terhad di dalam bilik tetapi apabila berkhemah, kita dapat belajar sesuatu lebih ke arah tanggungjawab menghargai alam semula jadi dan secara tidak langsung dapat mendidik generasi akan datang mengenai penjagaan alam, ” katanya yang memulakan perniagaan itu sejak tahun 2009 bersama keluarganya dengan modal RM30,000 iaitu wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bapanya.

Di tanah seluas kira-kira 0.2 hektar itu, terdapat sehingga lapan buah khemah yang boleh disewa dalam satu-satu masa dengan kadar sewa RM50 semalam. Untuk khemah di atas pondok, sebanyak 15 khemah disediakan dengan kadar sewa antara RM80-RM200 dengan kemudahan tempat barbeku, tandas, surau, tempat letak kereta serta kolam mandi untuk kanak-kanak.

“Percutian sebegini sangatlah baik untuk mengeratkan ukhuwah keluarga. Duit boleh dicari namun memori tidak boleh dibeli. Meluangkan masa dengan aktiviti riadah seperti ini lebih bagus kerana setiap detik dilakukan bersama,” katanya.

Aktiviti menyeronokkan

Bagi Siti Fatimah Mohamed Anwar, 41, kedua-dua aktiviti glamping dan perkhemahan adalah menyeronokkan, namun glamping istimewa kerana ia lebih privasi selain tidak memenatkan.

“Glamping adalah satu percutian atau aktiviti riadah pilihan masa kini, sesuai untuk individu dan keluarga terutama mereka yang ingin menikmati suasana perkhemahan dalam masa yang sama mementingkan keselesaan serta ruang privasi, jadi bagi golongan ini glamping sesuai untuk dicuba. Tidak perlu fikir soal makan berbanding berkhemah, semua perlu disediakan dari awal hingga akhir,” katanya.

Siti Fatimah yang sering melakukan aktiviti perkhemahan bersama suami dan anak lelakinya, akan memilih glamping sebagai riadah jika percutian pendek kerana ia lebih santai dan tenang selain tidak perlu membawa pelbagai peralatan dari rumah.

“Mengenai kos ya sudah tentu glamping lebih mahal tetapi semua perkara sudah tersedia termasuk makan. Pengunjung hanya perlu membawa diri semata-mata. Untuk mereka yang mahu percutian selesa dalam masa sama mahu menikmati keindahan alam semula jadi, glamping lebih sesuai,” katanya.

Dedah anak kecil dengan alam, kurangkan gajet

Turut menggemari aktiviti rekreasi luaran dan mendaki bukit, pasangan suami isteri Wong Che Wey dan isteri Cheng Yee Leng, masing-masing berusia 38 tahun, sering melakukan aktiviti perkhemahan bersama dengan anak perempuan mereka Wong Kyla, empat tahun serta anak lelaki Wong Kyren berusia dua tahun.

Banyak sudah tempat perkhemahan yang dikunjungi Wong dan nampaknya minat itu kini turut dikongsi oleh kedua-dua orang anaknya. Mereka akan berasa kekok apabila terlalu lama duduk di rumah dan tidak melakukan aktiviti itu.

“Saya mula mendedahkan anak saya dengan dunia perkhemahan sejak berusia 11 bulan untuk anak pertama manakala anak kedua, sejak usia empat bulan saya dah bawa pergi jalankan aktiviti berkhemah. Setakat ini, setiap dua minggu saya dan keluarga akan membuat rutin tersebut, jika tidak anak-anak pun tak berhenti bertanya bila hendak keluar (berkhemah),” katanya.

Bagi Wong, aktiviti perkhemahan boleh merangsang minda dan jiwa anak-anak terhadap alam persekitaran serta menghargainya, di samping mengurangkan masa anak-anak dengan gajet.

“Paling penting dengan berkhemah ini, dapat mengelakkan anak-anak daripada leka dengan gajet, televisyen dan dunia teknologi. Di rumah mereka sudah banyak habiskan masa dengan alat itu. Apabila di sini (berkhemah) memang anak-anak tidak akan bermain gajet dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap alam persekitaran. Anak-anak memang enjoy,” katanya yang pernah berkhemah di Gopeng (Perak), Janda Baik dan Pos Lemoi (Pahang) serta sekitar Selangor antaranya Batang Kali dan Hulu Langat.

Sementara itu pekerja Grab, Jason Chan, 45, yang lebih 60 kali melakukan aktiviti perkhemahan di sekitar Lembah Klang berkata aktiviti berkenaan lebih santai di samping dapat berbual-bual bersama keluarga serta rakan selain menikmati suasana luar yang tenang.

“Menerusi aktiviti perkhemahan kita dapat luang banyak masa dengan keluarga, memasang khemah, memasak dan membuat unggun api. Berbanding di hotel rasanya lebih kurang di rumah, kemudahan yang sama dengan kondominium. Bagi saya hotel cuma untuk penginapan berbanding camping,” katanya.

Minat yang mendalam terhadap perkhemahan mendorong Jason mencipta suasana sama di rumah sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB ) yang turut tidak membenarkan aktiviti luaran.

“Semasa PKPB memang perlu duduk rumah, kepada kaki camping macam saya memang tidak boleh tahan hendak lepaskan gian berkhemah. Masa PKPB memang stres dekat rumah, jadi saya pasang khemah di balkoni dan cipta memori seperti sedang berkhemah di luar,” katanya yang memuatnaik gambar tersebut di laman facebook miliknya dan mencuri perhatian ramai.

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Bandar Perubatan UKM bantu perkasa industri kesihatan, ekonomi negara

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Malaysia dijangka mempunyai sebuah bandar perubatan bertaraf antarabangsa dalam tempoh 10 tahun akan datang menerusi projek ‘Health Technopolis’ yang diterajui oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Projek itu membabitkan dua tapak, iaitu Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) di Bandar Tun Razak, Cheras dan di Jalan Temerloh di sini, dengan masing-masing berkeluasan 60 ekar (24 hektar).

HCTM kini menempatkan dua pusat perubatan dan satu institusi penyelidikan iaitu UKM Specialist Centre, Hospital Pakar Kanak-kanak dan Institut Perubatan Molekul (UMBI), selain kampus perubatan dan kesihatannya serta Hospital Rehabilitasi Cheras yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari situ.

Tapak UKM di Jalan Temerloh pula menempatkan Klinik Audiologi dan Sains Pertuturan UKM, namun kedudukannya strategik kerana berhampiran Hospital Kuala Lumpur, Pusat Darah Negara, Institut Jantung Negara (IJN), Hospital Pakar KPJ Tawakkal dan Institut Perubatan Respiratori, selain Klinik Kesihatan Kuala Lumpur.

Diinspirasi oleh hab terkemuka dunia

Mengulas mengenai projek itu, Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali yang mencetuskan idea tersebut pada 2014, berkata pembangunan UKM Health Technopolis dirancang berdasarkan prinsip utama untuk meningkatkan keupayaan sistem perubatan dan merangsang pertumbuhan ekonomi.

Noor Azlan yang pernah berkhidmat sebagai Naib Canselor UKM dari 2014 hingga 2018, berkata beliau mendapat inspirasi daripada lawatan ke beberapa pusat sedemikian di seluruh dunia, antaranya teknopolis di Ankara, Turki (Turkiye).

“Ketika itu saya baru sahaja dilantik sebagai Naib Canselor (UKM). Selepas lawatan itu, idea mula dicetuskan bagi mengembangkan peranan universiti bukan sahaja sebagai pusat akademik untuk melahirkan graduan tetapi juga ejen utama pertumbuhan dalam perkembangan ekonomi, melibatkan semua warga universiti.

“Jika dilihat pada konsep teknopolis itu, secara fizikalnya semua kemudahan perlu berdekatan walaupun penyelidikan dan pembangunan perubatan digital boleh dilakukan secara maya menerusi kerjasama dengan sektor korporat,” jelas pakar ekonomi dan kewangan tersebut.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam forum ‘Bandar Perubatan diterajui oleh Universiti: Mimpi atau Realiti’ anjuran UKM di UMBI baru-baru ini.

Seorang lagi ahli panel, Felow Penyelidik Utama UMBI Prof Datuk Dr A Rahman A Jamal berkata pembangunan bandar perubatan itu akan dilaksanakan secara berfasa dengan fasa pertama membabitkan pemindahan tiga fakulti, iaitu Sains Kesihatan, Farmasi dan Pergigian dari kampus di Jalan Raja Muda, Kampung Baru di sini ke HTCM.

“Sekarang kami sedang dalam proses mendapatkan kelulusan daripada kerajaan untuk mengendalikan sepenuhnya aspek kewangan dan pembiayaan projek ‘UKM Health Technopolis’,” katanya, menambah mereka tidak akan meminta peruntukan daripada kerajaan untuk membiayai projek tersebut.

Konsep Mayo Clinic

Menurut beliau, UKM mahu menjadikan bandar perubatan itu bukan sahaja sebagai pusat kecemerlangan perubatan tetapi juga untuk menarik pelaburan tempatan dan asing bagi membangunkan inovasi teknologi perubatan.

“Kami perlu pamerkan kelebihan kami di Malaysia kepada para pelabur dalam bidang teknologi dan kesihatan supaya ‘health technopolis’ dapat menjadi ikon dalam rujukan, sekali gus menarik lebih ramai pakar-pakar terkemuka untuk datang mendapatkan latihan di sini.

“Mengambil model Mayo Clinic, jika ada penyakit yang orang lain tidak boleh rawat, ‘go to Mayo Clinic’, itulah slogan yang mahu kami capai untuk ‘health technopolis’ ini yang akan mempunyai pelbagai kepakaran,” jelasnya.

(Mayo Clinic ialah pusat perubatan akademik bukan keuntungan berpusat di Rochester, Minnesota, Amerika Syarikat yang memberi tumpuan kepada amalan klinikal, pendidikan dan penyelidikan bersepadu yang mengkhususkan dalam merawat kes-kes sukar melalui rawatan tertiari dan ubat-ubatan)

Dr A Rahman mengambil contoh penubuhan biopolis di Singapura yang menumpukan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi sains bioperubatan dan berjaya menarik perhatian pelabur asing serta menjana ekonomi republik tersebut.

“Mereka merancang lebih lewat daripada kami, namun terlebih dahulu berjaya melaksanakan biopolis dan berjaya menarik lebih 50 syarikat yang menjalankan R&D mereka di situ, termasuk syarikat terkenal dalam farmaseutikal, 60 syarikat pengeluar dan lebih 80 syarikat pemula niaga.

“Namun, kelebihan yang ada pada Malaysia yang tiada di negara jiran kita ialah kepelbagaian etnik dalam percubaan klinikal untuk diabetes dan onkologi yang diwakili oleh tiga kumpulan etnik, sekali gus meletakkan kami sebagai tiga terbaik dalam percubaan klinikal di Asia Pasifik,” jelasnya.

Dr A Rahman yang juga Ketua Projek ‘The Malaysian Cohort’, berkata bagi menjayakan bandar perubatan itu, UKM perlu mengenal pasti bakat-bakat sedia ada dan berusaha membawa mereka ke universiti terkemuka dunia untuk menjalani latihan sementara menunggu projek berkenaan siap.

“Jadi, apabila mereka kembali ke tanah air, mereka sudah menjadi pakar dan sumber rujukan untuk melatih bakat-bakat tempatan dan penyelidik muda sebagai sebahagian daripada ekosistem pusat kecemerlangan di UKM Health Technopolis,” katanya.

Tingkat pelaburan

Sementara itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN Prof Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub berkata kerajaan dan swasta perlu mengadakan lebih banyak kerjasama untuk mewujudkan pusat kecemerlangan seperti UKM Health Technopolis tersebut.

Ini keran,a katanya buat masa ini belum ada hab perubatan ikonik di Malaysia yang boleh dijadikan rujukan integrasi pelbagai rawatan dan penyelidikan dalam pelbagai bidang.

“Pada pandangan peribadi saya, pelaburan Malaysia dalam kemudahan perubatan masih belum memadai dan ini sangat ketara apabila pandemik berlaku… kapasiti katil dan unit rawatan rapi tidak mencukupi.

“Jadi, sudah tiba masanya untuk kita melihat semula perkara ini sebagai sebuah negara, yang mana pelaburan untuk sistem penjagaan kesihatan harus dijadikan keutamaan, bukan setakat tanggungjawab sosial, tetapi sebagai antara enjin pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata penubuhan pusat kecemerlangan itu bukan sahaja memanfaatkan sektor kesihatan tetapi juga boleh menjadi ikon dalam pelancongan kesihatan negara.

“Kita ada Petronas Twin Towers di Malaysia, namun hingga kini tidak ada dalam bidang hab perubatan, sepertimana Bumrungrad sebagai hab pelancongan kesihatan yang dikenali di Thailand dan Bali International Hospital, Indonesia.

“Mengambil contoh hab pelancongan perubatan di Bali, kerajaan Indonesia sedaya upaya cuba mengehadkan pergerakan rakyat mereka ke luar negara untuk mendapatkan rawatan perubatan, yang membolehkan mereka berjimat kira-kira US$7 bilion (RM29.3 bilion) setahun,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
PENDAPAT RENCANA

Pakar: Stigma TVET pendidikan kelas kedua perlu dihapus

Oleh Muhammad Basir Roslan

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Perkembangan dan keperluan industri dewasa ini yang lebih terarah kepada penggunaan teknologi pintar menerusi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), menuntut sumber manusia yang mempunyai kemahiran khusus atau niche.

Bagi memastikan negara ini tidak ketinggalan dalam mengadaptasi IR 4.0, kerajaan kini memberi lebih penekanan terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diperkenalkan seawal 1970, dengan tumpuan pada komponen praktikal, kemahiran psikomotor serta latihan di industri.

Komitmen kerajaan terhadap revolusi TVET dicerminkan dalam belanjawan setiap tahun dengan Belanjawan 2022 memperuntukkan RM6.6 bilion, iaitu antara peruntukan terbesar pernah diberikan bagi memperkasa bidang TVET.

Namun begitu, stigma bahawa TVET adalah pendidikan kelas kedua dan hanya untuk individu yang kurang cemerlang dalam akademik masih utuh dalam kalangan masyarakat, menyebabkan ada ibu bapa yang keberatan membenarkan anak mereka mengikuti program TVET selain lulusan bidang itu juga dipandang rendah.

Stigma lapuk

Mengulas persoalan itu, Pengerusi Pusat Kajian Pembudayaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Mohamad Sattar Rasul berkata stigma tersebut seharusnya sudah tidak wujud kerana TVET mempunyai laluan kerjaya yang sangat jelas.

Jelas beliau, evolusi TVET amat membanggakan kerana pada era 1970-an dan 1980-an sistem pendidikan TVET hanya setakat sijil kemahiran dan tiada kesinambungan, iaitu tidak ada peluang untuk pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Jika kita lihat situasinya sekarang, laluan pendidikan TVET lebih mudah. Sebagai contoh, jika seseorang pelajar kurang cemerlang di peringkat PT3 atau SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), mereka masih boleh menyambung pendidikan di peringkat sijil di kolej vokasional atau kolej komuniti.

“Kemudian, mereka boleh sambung belajar ke peringkat diploma di politeknik sebelum meneruskan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di pelbagai universiti dalam Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) seperti Universiti Malaysia Perlis, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

“Evolusi sistem pendidikan TVET yang mapan ini juga menjadikan Malaysia sebagai negara rujukan bagi negara ASEAN lain seperti Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand,” jelasnya kepada Bernama.

Mengulas lebih lanjut, katanya beliau juga tidak nampak ada jurang pemisah yang ketara di antara lepasan akademik dan TVET, khususnya dari segi kebolehpasaran.

“Bahkan negara kita sebenarnya memang amat memerlukan lebih ramai modal insan yang berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang teknikal, bukan hanya tinggi kognitif dan cemerlang akademik semata-mata,” tambah beliau.

Banyak kelebihan

Mohamad Sattar berkata TVET mempunyai kelebihan tersendiri, antaranya membolehkan pelajar meningkatkan kemahiran diri kerana didedahkan kepada inovasi dalam konteks dunia pekerjaan yang sebenar.

Ini kata beliau memudahkan lepasan TVET mendapatkan pekerjaan selain membuka peluang kepada diri untuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu apabila mereka memanfaatkan kemahiran dengan menceburi bidang keusahawanan.

Menurut beliau, ibu bapa yang inginkan anak mereka mengikuti pengajian berasaskan teknikal dan vokasional juga tidak perlu risau kerana kursus yang ditawarkan oleh institusi berkaitan diiktiraf dan dipantau oleh agensi serta badan pengiktirafan di Malaysia seperti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) dan badan profesional lain.

Pada masa ini terdapat 434 institut latihan kemahiran awam (ILKA) dan 753 institut latihan swasta di Malaysia yang mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa.

Penuhi keperluan industri

Sementara itu, Dekan Kanan Kolej Teknologi Kejuruteraan UMP Prof Dr Abdullah Ibrahim pula berkata kebiasaannya lepasan TVET mempunyai kemahiran yang memenuhi keperluan industri, justeru prospek kebolehpasaran mereka agak luas.

Perkara itu, katanya boleh dilihat pada kadar kebolehpasaran mereka setiap tahun dengan 87 peratus dicatatkan pada 2020, yang mana 66.8 peratus daripada mereka diterima bekerja oleh pelbagai industri.

Dalam usaha meningkatkan tenaga kerja teknikal dan vokasional, kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 menyasarkan lebih 55 peratus pengambilan lepasan SPM ke program TVET selain mencapai 86.7 peratus kadar kebolehpasaran lepasan TVET menjelang 2025.

Menurut Abdullah, komitmen kerajaan terhadap TVET diperkukuhkan lagi dengan pelbagai inisiatif, antaranya mewujudkan Majlis TVET Negara selain menyediakan peruntukan besar bagi memperkasa program itu melalui tiga teras strategik, iaitu Tadbir Urus Bersepadu; TVET Mencorak Masa Hadapan; dan TVET Dipacu Industri.

Selain itu, kerajaan juga menubuhkan Badan Koordinasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Kerajaan-Industri (GITC) yang dilihat boleh menyediakan ekosistem program TVET yang lebih bersepadu.

“GITC perlu digerakkan seaktif yang mungkin kerana inilah yang akan menjadi kunci kejayaan program yang melibatkan penghasilan tenaga kerja mahir atau separa mahir,” katanya, menambah program TVET kini juga membuka laluan pengajian hingga ke peringkat doktor falsafah (PhD).

Dalam pada itu, beliau berpandangan lepasan TVET peringkat diploma ke bawah mempunyai tahap kebolehpasaran yang tinggi.

“Apatah lagi dalam era pascapandemik ini dengan kebanyakan industri mula memperkasakan semula operasi mereka dan memerlukan tenaga kerja mahir, sekali gus menjadikan keperluan terhadap lepasan TVET sentiasa berterusan,” kata Abdullah.

Terus kemas kini kurikulum

Pada masa sama, beliau turut menekankan kepentingan penyedia program TVET mengemas kini kurikulum pembelajaran agar lepasan yang dihasilkan mereka kekal relevan dengan keperluan pasaran semasa.

Ini katanya termasuk mendedahkan pelajar kepada teknologi pintar seperti Internet Pelbagai Benda (IoT).

“Di UMP misalnya, kita mengambil inisiatif dengan menawarkan program-program TVET peringkat ijazah seperti Ijazah Sarjana Muda Teknologi dan Teknologi Kejuruteraan dalam pelbagai disiplin bagi memastikan pengetahuan yang disebutkan tadi merentasi kurikulum semasa.

“Hubungan akrab UMP dan industri memudahkan lagi universiti untuk terus memperkasa program TVET berdasarkan saranan dan nasihat pihak industri,” tambah beliau.

Didikan secara motivasi

Kejayaan program TVET menghasilkan tenaga pakar juga tidak boleh disangkal seperti yang dicapai oleh Dr Halim Razali, Felow Penyelidik Kanan di Institut Tenaga Suria (SERI), UKM.

Beliau yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Kejuruteraan (Bahan) daripada Pusat Latihan Staf Politeknik UTHM, berkata didikan secara motivasi dan nasihat yang berterusan daripada pensyarah banyak membantunya untuk berjaya dalam bidang teknikal dan vokasional.

“Kehidupan saya sebagai pelajar agak sukar kerana ketiadaan biasiswa pada ketika itu dan bergantung sepenuhnya pada ibu bapa yang hanya bekerja sebagai petani di kampung bagi membiayai pengajian saya.

“Namun guru-guru banyak memberikan motivasi dan alhamdulillah, saya berjaya menamatkan pengajian Sarjana Pendidikan (Teknikal-TVET) di UTHM dan PhD di UKM,” katanya yang juga pensyarah di SERI.

Halim pernah menerima Anugerah Buku Negara pada 2013 menerusi bukunya yang bertajuk “Hidrogen Bahan Api Alternatif Enjin Pembakaran Dalam”, selain Anugerah Emas pada Ekspo Penyelidikan dan Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA) 2013 melalui inovasi Motosikal Berkuasa Hidrogen.

Selain itu, beliau juga merupakan penerima Anugerah Bukul Ilmiah Terbaik kategori sains, teknologi dan perubatan, anjuran Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia pada 2016.

“Sememangnya kini saya boleh berbangga dengan pencapaian saya,” tambah beliau.

– BERNAMA

Categories
BUDAYA RENCANA

Pabila arnab mengajak kura-kura berlumba lagi

Oleh Shahkang

Ilustrasi Fahmi Mustaffa

Sepurnama menjelang pilihan raya rimba. Bisikan mula menebar tentang penganjuran pilihan raya memilih Ketua Rimba. Pemerintahan Sang Gajah telah berakhir setelah tempoh sah jawatan secara sendirinya tamat, mengikut ketetapan dalam Peraturan Rimba. Mauduk perbualan marga rimba seputar isu nan sama – siapa bakal pemimpin kita?

Rimba ini moden (mungkin jua aneh?), penuh demokrasi. Mana-mana haiwan berhak menjadi ketua, dinilai daripada keupayaan memimpin dan menguruskan komuniti rencam spesies.

“Kita harus mengadakan perlumbaan sekali lagi.” Lain sedikit topik kekecohan dalam koloni arnab. Isu ini bermula dari salah satu lubang kediaman.

“Setiap kali pilihan raya, kita sering sahaja menjadi bahan ketawa! Kita tewas dengan majoriti besar kepada wakil bukan pilihan daripada komuniti murai dan semut. Ketinggalan 10.75 kali ganda daripada undian Sang Gajah! Hanya 1.95 peratus daripada jumlah pengundi memilih kita, dan 1.50 peratus adalah undian daripada koloni arnab sendiri!” seekor ahli koloni yang bekerja sebagai penganalisis politik membuat ulasan ringkas berkenaan kegagalan koloni arnab dalam pemilihan Ketua Rimba yang lepas.

“Bukan pilihan raya lepas sahaja, sejak ratusan tahun dahulu pun pencapaian kita tak pernah memuaskan. Semakin merudum!” Penganalisis terus memaparkan graf garis lengkung pada tubuh sebatang pokok. Benar, koloni arnab semakin tidak mendapat tempat dalam hati marga rimba.

Koloni arnab terus kecoh taru, berpindah daripada satu topik ke satu topik lain. Umpama pesta berbual-bual (mengumpat), berkerip-kerip daripada suatu lubang kediaman ke lubang kediaman yang lain. Masing-masing mengulas peristiwa dungu wakil koloni yang tertidur nyenyak di bawah pohon ratusan tahun dahulu. Alahai, habiskan saja perlumbaan kemudian tidurlah sehingga mati! Patutnya samseng arnab tiarapkan kura-kura sewaktu di selekoh lembah sunyi. Patutnya wakil kita dihantar berlatih di Amazon dengan pembiayaan wang koloni, ini berlatih di ceruk rimba sahaja, nak harapkan apa? Wang koloni gunakanlah untuk naikkan nama spesies, tak perlulah buat kenduri-kendara jamu lobak merah dan sawi import.

Sekumpulan arnab muda (yang lebih celik isu semasa dan dunia digital manusia) menambah lagi bingar. Dikhabarkan, kisah arnab tertidur di bawah pohon dibuat lagu kanak-kanak, dijadikan teladan untuk tidak bersikap angkuh dan terlalu yakin. Pakar motivasi manusia menceritakan mengapa arnab boleh tersungkur, kura-kura boleh menjadi juara meskipun dengan kelembabannya. Kegagalan ini dijadikan filem untuk ditertawakan sekalian umat manusia. Menurut sumber tabloid, terdapat arnab muda di benua lain membunuh diri kerana tidak tahan dengan ejekan rakan-rakan.

Ketua koloni arnab tiba-tiba menempik, cukup! Kita tidak harus membiarkan perkara ini berterusan. Peristiwa memalukan tewas kepada kura-kura harus dipadamkan daripada lipatan sejarah. Setiap anak arnab yang lahir tidak wajar menanggung malu atas kesilapan bodoh nenek moyang suatu masa dahulu.

“Kita akan berlumba semula dengan kura-kura!”

Koloni arnab menyambut dengan sorakan. Keterujaan mengapung dalam lubang kediaman. Masing-masing muncul keluar lalu berhimpun. Koloni arnab berarak ke perkampungan kura-kura di pinggir tasik meskipun sudah larut malam. Tiada siapa pun mengungkit kegagalan lama, masa untuk bangkit. Seorang arnab muda berteriak “Inilah yang kita panggil failing forward!”, lalu disambut gemuruh warga koloni meskipun tidak memahami sepatah pun Bahasa Inggeris.

“Kami mahu mengadakan perlumbaan, sekali lagi!” ketua koloni arnab mengejutkan lena koloni kura-kura.

Pak Kura sebagai pemimpin koloni berpisat-pisat muncul dari teduhan. Siapa malam-malam hadir? Aduh, esok sajalah bincang, kan sudah jauh malam. Tidak, kami nak jawapan malam ini juga (woahh – sorakan koloni arnab menyusul). Baiklah kami setuju tujuh hari lagi, cadangkanlah siapa urus setia dan laluan. Kami ikut sahaja. Pak Kura memberi kata putus.

Koloni arnab mengiya-iya teruja. Pak Kura lekas masuk tidur dengan fiil ‘lantak kau orang lah!’.

Malam itu koloni arnab tidak lena, terus bermesyuarat menetapkan beberapa perkara pokok.

Pertama, calon pelumba disaring dalam kalangan yang muda. Para calon akan menjalani saringan intensif bermula terbitnya fajar merah hari ini sehingga matahari sepenggalah tinggi.

Kedua, laluan perlumbaan dipastikan betul-betul sukar sehingga wakil kura-kura tidak mampu membuat apa-apa helah (difahamkan daripada penganalisis, pernah perlumbaan seumpama diadakan di lereng bukit dan kura-kura melantun-lantun cangkerang sehingga ke garisan penamat.).

Ketiga, pasukan khas ditubuhkan bagi melakukan apa-apa muslihat bagi menjamin kemenangan wakil arnab.

Keempat, kemenangan nanti akan disambut dengan penuh perayaan. Dengan itu, diarahkan agar lobak merah dan sayuran hijau diimport khas dari rimba lain bagi memastikan pesta keraian berlangsung dengan cukup meriah.

Kelima, kemenangan ini akan dijadikan modal politik untuk pilihan raya rimba akan datang.

Hari perlumbaan tiba, koloni arnab diwakili oleh Poosen Bolt (nama asalnya Putih Bertompok namun ditukarkan untuk publisiti atas nasihat golongan muda). Kura-kura diwakili oleh Pak Kura sendiri. Warga rimba menanti di sepanjang laluan perlumbaan bagi menyaksikan peristiwa bersejarah ini.

Tempikan ‘mula’ dilaungkan oleh Sang Rimau selaku pengadil perlumbaan. Poosen Bolt langsung memecut tanpa menoleh sepicing. Dilaung sekuat-kuat dalam dirinya, “jangan leka, jangan tidur, fokus!”. Dikhabarkan sewaktu Poosen Bolt melintas kawasan penonton, hanya desup angin dirasai tanpa bayang tubuhnya. Poosen Bolt berjaya menamatkan perlumbaan sebelum matahari melintas ke barat. Pak Kura tiba di penamat waktu hampir senja. Disambut oleh koloni arnab dengan nada mengejek dan tawa yang tidak berkesudahan

Pilihan raya rimba dijalankan. Pak Kura telah menang dengan majoriti mudah. Poosen Bolt cuma meraih undian daripada koloni arnab dan beberapa undi harimau kumbang (yang meminati dunia larian serta kurang cakna dengan isu semasa rimba).

Penganalisis arnab pun bercempera kalut mencari punca kekalahan. Mengapa dengan publisiti meluas, dicampur dengan pembetulan kisah sejarah pun masih gagal menambat hati marga rimba? Nama Poosen Bolt telah dijaja merata-rata – dikhabarkan nama Poosen Bolt tular dalam aplikasi TikTok yang digilai manusia. Nah, bukankah ini populariti jelas yang sepatutnya mampu menjadikan Poosen Bolt sebagai Ketua Rimba? Apakah marga rimba begitu buta, melangkah ke belakang dengan memilih Pak Kura yang ternyata lembab dengan rupa kurang segak itu?

“Pak Kura bukan setakat berlumba. Disebabkan begitu perlahan pergerakannya, Pak Kura mengambil peluang bertegur sapa penonton di jalanan. Pak Kura bahkan menyelesaikan masalah apabila ditanyakan pendapat. Contoh masalah moral anak muda buaya tembaga suka mengurat dan tabiat tupai menebuk buah tanpa memetik. Malah dia membenarkan tempua bertenggek di atas cangkerangnya, hanya untuk mendengar keluhan tentang manusia pengambil sarang. Ternyata Pak Kura memenangi hati marga rimba dengan sikap ambil beratnya, bukan sekadar populariti bodoh yang membosankan.” Begitulah ujar urus setia perlumbaan yang namanya enggan didedahkan.

Penganalisis, Poosen Bolt dan ahli-ahli koloni arnab tercengang, melihat antara satu sama lain sebelum bergerak masuk ke gua (lubang kediaman) masing-masing, menanggung malu yang berganda-ganda.

Categories
BUDAYA RENCANA

Sepohon bonsai & 15 Jan

Januari akhirnya bersuara
ingin lagi memulai tahun baru
bahunya ditepuk Februari
ubunnya dikucup Disember

Limau Bali di Ipoh
asyik meraga senyum
menunggu pelawa
ke luar negeri

sepohon bonsai terlentok
dengan rupa polos
diamdiam mengimbau
sebuah tarikh

berkeping doa kelihatan
mendaki puncak bukit
sebelum satu per satu
menunggu sahut langit

 

Maliqi Musa