Categories
RENCANA WAWANCARA

Trend obesiti di Malaysia menggerunkan

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 22 JUN: Sepanjang bekerja dari rumah (BDR) berikutan pandemik wabak Covid-19, bukan sahaja golongan wanita malah lelaki juga berkeluh-kesah di media sosial tentang berat badan yang semakin bertambah.

Bukan setakat sekilogram, malah berkilo-kilogram!

Masakan tidak! Pergerakan di rumah yang terhad, mudah mendapat makanan kerana dapur hanya beberapa langkah sahaja daripada tempat bekerja, kurang aktiviti fizikal selain terikut-ikut dengan selera anak yang sentiasa hendak makan, dijadikan antara alasan kenaikan saiz badan.

Tidak dinafikan, keadaan itu membuatkan ada yang mula berasa bimbang dan tertekan. Malah, ada juga memuat naikkan gambar segak bergaya sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di laman Facebook mereka kerana ingin mengemaskini status bagaimanapun mengelak foto terkini diketahui rakan sosial.

Begitu juga dengan beberapa rakan saya turut tidak terkecuali berhadapan keadaan serupa. Malah, seorang daripadanya terkejut dan ‘bising’ sebaik mengetahui berat badan saya yang tidak naik iaitu hanya sekitar 44.7 kg berbanding sebelumnya dalam lingkaran 46 kg sehingga 47 kg.

“Kita kongsilah berat badan, akak ambil berat badan Athirah, dua kg. Rasa mengah sangat bila bergerak dan cepat letih. Sebelum PKP 90 kg sekarang sudah 92 kg memang rasa berat,” kata Nur Athirah Rosli, 34, ketika saya menghubungi beliau baru-baru ini.

Penjawat awam di Pahang ini mengakui kenaikan berat badannya sebanyak dua kg itu kerana masa makan yang tidak menentu selain mudah menempah makanan dalam talian khususnya makanan segera.

Mengakui dirinya sudah obes berikutan kiraan Indeks Jisim Badan (BMI) melebihi daripada sepatutnya pada ketinggian 163 sentimeter (cm), beliau yang belum berkahwin lagi ini mula mengawal pemakanan dan melakukan aktiviti senaman sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.

Masalah dunia

Hakikatnya, masalah obesiti iaitu satu keadaan kompleks di mana seseorang individu itu mempunyai lemak berlebihan pada badan bukanlah hanya dihadapi oleh Nur Athirah mahupun dalam lingkaran Malaysia sahaja bahkan turut menjadi isu kesihatan utama seantero dunia.

Menyusuri data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), permasalahan obesiti yang mengubah struktur bentuk badan seseorang itu didapati menjadi kebimbangan global sejak tahun 1975 lagi dan sehingga kini ia masih menjadi isu besar.

Kerungsingan ini berasas kerana obes merupakan gerbang kepada peningkatan risiko pelbagai penyakit kronik yang bukan sahaja memberi masalah besar kepada golongan tersebut bahkan sesebuah negara berikutan menampung kewangan sangat besar bagi penyediaan rawatan buat rakyatnya.

Jika dirujuk laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Februari 2020 jelas memperlihatkan betapa kritikalnya permasalahan ini berikutan obesiti telah mencapai peringkat epidemik secara global, dengan sekurang-kurangnya 2.8 juta orang meninggal dunia setiap tahun kerana lebihan berat badan atau obes.

Di Malaysia, hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 mendapati 50.1 peratus daripada orang dewasa mempunyai, sama ada berlebihan berat badan atau obes di mana 30.4 peratus merupakan berlebihan berat badan manakala 19.7 peratus adalah obes.

Harus difahami bahawa terminologi berlebihan berat badan dan obes adalah dua kategori berbeza. Bagi berlebihan berat badan, NHMS 2019 mendefinisikan ia berdasarkan Indeks Jisim Tubuh (IJT) adalah melebihi 25kg/m2 manakala untuk obes kadar IJT melebihi 30kg/m2.

Penemuan data ini nyata tidak begitu menggembirakan kerana ia menunjukkan berlakunya tren peningkatan kategori berkenaan berbanding kajian sama pada tahun sebelumnya. Misalnya, untuk kategori berlebihan berat badan hanyalah sekitar 29.4 peratus manakala obes (15.1 peratus) untuk tahun 2011.

Data NHMS 2019 juga turut memperincikan tiga golongan tertinggi yang berhadapan permasalahan tersebut iaitu perempuan (54.7 peratus), etnik India (63.9 peratus) manakala lingkungan umur paling tinggi adalah golongan berumur 55-59 tahun (60.9 peratus).

Kanak-kanak

Melihat kepada data tersebut, ada kemungkinan besar golongan ini akan mencatatkan penambahan pada tahun ini sekiranya tidak ada langkah rawatan diambil mahupun masih ada yang terus mengamalkan gaya hidup sedentari seperti sebelumnya.

Ini memandangkan ramai yang mengeluh akan kenaikan berat badan sepanjang PKP mahupun PKPBersyarat, jadi, tidak mustahil Malaysia akan terus memegang rekod negara tertinggi golongan dewasa obes di Asia Tenggara.

Menurut Data World Population Review (2019), prevalens orang dewasa yang obes di Malaysia adalah yang tertinggi di negara Asia Tenggara sebanyak 15.6 peratus diikuti oleh negara Brunei (14.1 peratus), Thailand (10.0 peratus) dan Indonesia (6.9 peratus).

“Faktor penyumbang kepada masalah obesiti boleh dibahagikan kepada empat faktor utama iaitu (i) pemakanan, (ii) aktiviti fizikal, (iii) persekitaran, (iv) genetik dan (v) faktor lain seperti penyakit, tekanan dan ubatan. Dua faktor utama ialah dari segi pemakanan dan aktiviti fizikal.

“Secara dasarnya, pengambilan makanan memberi tenaga yang diperlukan oleh tubuh badan. Namun, pengambilan makanan berlebihan yang tidak disertai dengan penggunaan tenaga melalui aktiviti fizikal menyebabkan tenaga berlebihan ini disimpan sebagai lemak di dalam badan,” kata Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Komuniti, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Norliza Ahmad kepada Bernama melalui e-mel baru-baru ini.

Menurut Dr Norliza yang juga pensyarah kanan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM, apa yang menakutkan, permasalahan ini bukan sahaja menyerang orang dewasa bahkan juga kanak-kanak.

Ini dapat dilihat daripada tinjauan NHMS 2019 yang mendapati 29.8 peratus kanak-kanak yang berusia antara 5 hingga 17 tahun mempunyai berat badan berlebihan temasuk obes. Dilaporkan 14.8 peratus adalah obes manakala selebihnya merupakan berlebihan berat badan.

Ternyata penemuan ini sangat menggerunkan kerana ia menunjukkan trend peningkatan melebihi tiga kali ganda dalam tempoh tidak sampai satu dekad. Kajian yang sama juga menunjukkan, peratusan kanak-kanak obes hanyalah 3.9 peratus pada 2011.

“Ramai kanak-kanak menghadap skrin seperti permainan komputer, tablet, televisyen melebihi dua jam sehari. Tempoh masa yang lama itu dikaitkan dengan masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak.

“Masalah ini amat membimbangkan kerana kanak-kanak yang obes mempunyai risiko tinggi untuk mendapat penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes mellitus dan tekanan darah tinggi pada usia muda selain berkemungkinan menjadi orang dewasa obes.

“Keadaan ini seterusnya mendedahkan mereka untuk menghadapi masalah kesihatan kronik lebih awal yang boleh menjejaskan produktiviti mereka,” katanya.

NCD dan Covid-19

Sepertimana negara lain yang turut bimbang, Malaysia juga tidak terkecuali daripadanya kerana lebihan berat badan mahupun obes, kedua-duanya merupakan faktor risiko utama yang sering dikaitkan dengan penyakit kronik NCD seperti diabetes mahupun kardiovaskular.

Masalah NCD di Malaysia semakin meruncing kerana dilaporkan sebelum ini ia dikesan antara penyebab utama kematian pramatang berikutan purata jangka hayat rakyat Malaysia tidak dapat ditingkatkan, hanya mencapai sekitar usia 75 tahun.

Jangka hayat sudah tersekat untuk satu dekad berbanding negara lain berikutan penyakit NCD turut sama membawa komplikasi seperti darah tinggi sinonim serangan jantung mahupun diabetes akan berakhir dengan kegagalan buah pinggang.

Jadi, bayangkanlah sekiranya kanak-kanak yang obes itu sudah didiagnos dengan penyakit NCD di awal usia dan tidak mengawalnya dengan baik, tidak mustahil akan terdedah dengan pelbagai komplikasi berkaitan dengannya yang bukan sahaja mengganggu kualiti kehidupan bahkan juga kematian.

Perihal ini mendapat perhatian kerajaan apabila Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba ketika membentangkan tinjauan NHMS 2019 dipetik berkata, seorang daripada lima orang dewasa di Malaysia atau kira-kira 3.9 juta orang berumur 18 tahun ke atas menghidap diabetes.

Penemuan ini merisaukan kerana prevalens diabetes di negara ini didapati meningkat kepada 18.3 peratus daripada 13.4 peratus, pada tahun 2015. Di samping itu, dapatan NHMS 2019 juga menunjukkan sejumlah 49 peratus penghidap kencing manis tidak pernah diperiksa atau didiagnos menghidap penyakit tersebut.

Kerajaan memandang serius permasalahan ini kerana menanggung beban kewangan besar rawatan. Kerajaan dilaporkan sebelum ini menampung kos rawatan hemodialisis berjumlah RM2.2 bilion setahun bagi 50,000 pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan di hospital kerajaan.

Dianggarkan kos untuk seorang pesakit menjalani rawatan itu sebanyak tiga kali seminggu sekitar RM44,000 setahun.

Sememangnya, begitu banyak komplikasi kesihatan buat mereka yang obes apatah lagi jika disahkan positif Covid-19 dan mempunyai rekod NCD. Kumpulan ini berdepan risiko komplikasi kesihatan lebih dahsyat malah turut berisiko membawa maut sekiranya tidak mendapat rawatan secepat mungkin.

Sepertimana kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, lebih 80 peratus daripada jumlah kes kematian bagi kes Covid-19 adalah kalangan mereka yang ada NCD.

Sekiranya risikonya begitu menggerunkan, mengapa kita masih lagi belum sedar diri?

– BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Rossiti sertai ekspedisi penuh cabaran ke Gunung Kinabalu

Oleh Emin Madi

KOTA KINABALU – Meskipun Rossiti Maineh Karim memasang impian untuk menyertai pasukan polis sejak kecil tetapi sebaik sahaja tamat sekolah menengah, anak kelahiran Ranau ini mendapat tawaran kerja sebagai pekerja am dengan Taman-Taman Sabah.

Taman-Taman Sabah adalah badan berkanun yang bertanggungjawab untuk pemuliharaan serta pengurusan taman negara di Sabah termasuk taman daratan, marin dan rezab hidupan liar.

Pada permulaan perkhidmatannya pada 1992, Rossiti hanya melakukan tugas am di ibu pejabat Taman Kinabalu yang terletak di Kundasang, kira-kira 88 kilometer dari Kota Kinabalu, sebelum dipindahkan ke bahagian pentadbiran.

Tanpa disangka, beliau kemudiannya turut terpilih untuk menyertai ekspedisi penuh cabaran ke Gunung Kinabalu, gunung tertinggi di Malaysia, dengan puncak setinggi 4,095 meter.

Peserta tunggal wanita

Tugas pendakian Gunung Kinabalu yang pertama diterimanya adalah pada 2005. Ketika itu beliau sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang cahaya mata.

Rossiti, 52 , dari suku kaum Kadazandusun ini mungkin satu-satunya peserta wanita di Malaysia yang berpeluang menjelajah sekitar kawasan pergunungan serta mendaki Gunung Kinabalu untuk ekspedisi penyelidikan dan tinjauan bersama dengan rakan sejawat lelakinya.

Berkongsi pengalaman dengan Bernama menerusi wawancara e-mel, beliau berkata untuk tugasan pertamanya itu, beliau adalah satu-satunya wanita dalam pasukan ekspedisi 13 anggota itu. Misi mereka untuk meninjau laluan Panataran dari kampung Melangkap Kapa dan Eastern Plateau ke Rumah Rehat Laban Rata, Gunung Kinabalu, terletak pada ketinggian 3,272 meter dari paras laut.

Rossiti ditugaskan untuk memasak dan membantu pasukan dengan aktiviti mereka. Anggota pasukan termasuk Peguam Negara pada masa itu, Datuk Mohamed Bazain Idris dan penolong pengarah Taman-Taman Sabah ketika itu itu, Eric Wong.

Meskipun membesar di Kundasang dan semasa bersekolah pernah empat kali mendaki Gunung Kinabalu, namun ekspedisi lapan hari yang ditempuhi itu amat mencabar sekali.

“Tugas kami adalah untuk menilai denai sepanjang laluan Panataran dan untuk membuat syor sama ada selamat untuk dibuka kepada orang awam. Namun keseluruhan trek amat sukar kerana sepanjang waktu hujan dan denai begitu licin.

“Lagi pun kami tidak mempunyai malim gunung yang secukupnya. Anggota ekspedisi lelaki perlu membawa lebih daripada 39 kilogram peralatan dan bekalan sementara saya membawa seberat 20 kilogram, “ katanya.

Di sebalik kesukaran yang dilalui, banyak peristiwa menarik yang masih segar dalam ingatan Rossiti.

Antaranya, ketika beliau sedang berehat di kawasan hutan gunung sejurus sebelum tiba di kem Panataran, tiba-tiba muncul tiga orang utan bergerak ke arah beliau.

“Ketika itu saya begitu letih sekali…tanpa diduga muncul di hadapan saya tiga orang utan, mengampiri saya, mungkin satu atau dua meter jaraknya.

“Saya tergamam tetapi nasib baik orang utan itu beredar. Mungkin juga orang utan itu terperanjat melihat saya. Memang takut tapi pengalaman itu tak boleh dilupakan,” tambahnya.

Tugasan yang mencabar

Selain ekspedisi 2005, Rossiti turut menyertai enam lagi ekspedisi Gunung Kinabalu antara 2006 dan 2007. Salah satu ekspedisi itu adalah untuk memeriksa Laluan Bowen, denai yang digunakan oleh dua orang pendaki gunung warga Britain, Miles Bowen dan Ross Urquhart yang mendaki puncak timur Gunung Kinabalu pada 1957.

Pada 2009, Rossiti terlibat dalam tiga ekspedisi gunung yang besar dan beliau adalah satu-satunya peserta wanita tunggal. Tugasan pertama adalah untuk mengesan denai yang digunakan oleh Lilian Gibbs, ahli botani British dan wanita pertama mendaki Gunung Kinabalu pada 1910.

Untuk ekspedisi ini, pasukan tersebut terpaksa melalui trek dari Kiau Nuluh, sebuah kampung di Kadamaian di daerah Kota Belud, yang terletak 2,252 meter dari paras laut di sepanjang laluan utama ke kemuncak Gunung Kinabalu.

Menurut Rossiti, satu bahagian daripada laluan ini yang digunakan oleh Gibbs membawa pasukan ini ke sebuah gua dikenali sebagai Gua Lubong dan usaha menjejaknya begitu mencabar untuk pasukan ini.

“Untuk tugasan ini, kami membuat dua cubaan untuk meninjau laluan itu kerana kami gagal mencari laluan ke Gua Lubung dan terpaksa berpatah balik ke pejabat Taman Kinabalu.

“Sewaktu cubaan kedua, hari sudah gelap apabila kami hampir sampai ke Gua Lubong tetapi yang peliknya kami tak dapat menjejak bahagian akhir laluan ke gua. Pandangan kurang jelas dan pakai lampu suluh pun tak banyak membantu, “ katanya.

Pasukan tersebut memutuskan untuk bergerak ke arah sebuah sungai berhampiran kerana berpendapat lebih mudah untuk menjejak gua dari arah sungai kerana lokasinya adalah berhampiran sungai.

Sewaktu Rossiti dan ranger kanan Taman-Taman Sabah, Martin Moguring (juga anggota ekspedisi) cuba menurun laluan yang curam ke tebing sungai menggunakan tali, “Tangan kami terlepas dari pegangan tali kerana ia basah dan kami berdua hampir terjatuh. Saya bernasib baik dapat berpaut kepada akar kayu sementara Martin tersangkut di atas batu.

Hampir tengah malam barulah mereka berjaya sampai ke Gua Lubong. Peristiwa yang berlaku itu amat mencemaskan Rossiti sehingga beliau tidak dapat melelapkan mata malam itu.

“”Pada keesokan paginya saya membuat unggun api untuk mengeringkan pakaian kami yang basah tetapi api menjadi marak dan membakar pakaian kami. Nasib baik ada pakaian lain,” kongsinya lagi.

Pengalaman yang tidak dapat dilupakan

Pada 2009, Rossiti juga menyertai ekspedisi sembilan hari Proing-Rhino Horn-Mesilau yang dianjurkan oleh Persatuan Sabah untuk mengumpul maklumat topografi serta gambar kawasan berkenaan untuk buku panduan bahagian timur Gunung Kinabalu.

Jarak perjalanan dari Poring ke Rhino Horn dan Gua Mesilau hanyalah 23.4 km tetapi pasukan tersebut mengambil masa sembilan hari untuk sampai ke Gua Mesilau kerana laluan ke dataran tinggi timur gunung itu belum diterokai untuk didaki berbanding bahagian baratnya.

“Laluan itu curam dan licin. Kami tidak mempunyai bekalan air yang mencukupi. Tengah malam saya terpaksa bangun dari tidur untuk kumpul air hujan. Basah kuyup saya dan lepas tu langsung tak boleh tidur kerana terlalu sejuk, “ katanya.

Di Rhino Horn, pasukan ini terpaksa melalui cerun yang curam dan terpaksa bergayut kepada akar dan dahan pokok untuk melompat turun ke batu besar dengan membawa bebanan yang berat. Sungguh mencabar!

Menurut Rossiti, meskipun tugasnya adalah untuk menyediakan makanan, dia juga turut membantu mengumpul spesimen tumbuhan untuk tujuan catatan jabatan.

Ekspedisi wanita 2009

Untuk ekspedisi ketiga pada 2009, Rossiti menyertai satu lagi pasukan Persatuan Sabah untuk membersihkan denai yang digunakan oleh Gibbs bagi persedian untuk Centennial Climb Gunung Kinabalu Menjejak Lilian Gibbs pada 2010.

Rossiti juga ditugaskan untuk mengambil bahagian dalam acara pendakian selama empat hari itu anjuran Persatuan Sabah. Acara itu juga mencatat sejarah kerana kesemua sembilan pesertanya adalah wanita.

“Buat pertama kalinya saya mengiringi ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu yang kesemua pesertanya adalah wanita. Agak mencabar kerana tugas saya adalah untuk menjaga keselamatan kesemua peserta, “ katanya.

Pada 2017, Rossiti menyertai ekspedisi untuk mencuba laluan baru sejauh 2.8 km ke Gunung Kinabalu yang diwujudkan bagi menggantikan laluan lama dari Rumah Rehat Panar Laban ke Pondok Sayat-Sayat yang rosak akibat gempa bumi sekuat 6.6 skala Richter yang menimpa Ranau serta bahagian timur gunung pada 5 Jun 2015.

Di sebalik cabaran getir, Rossiti, yang akan bersara pada 2026 teruja untuk menyertai lebih banyak ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu kerana baginya, setiap pendakian mempunyai banyak kisah tersendiri yang pasti dikenang hingga ke akhir hayat.

– BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Masih ada sinar harapan untuk gelandangan bandar

Oleh Shanika AbdulLatib

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Di sebalik kegawatan penularan wabak Covid-19, jelas terpancar rasa gembira pada wajah 166 orang gelandangan yang selama ini hidup tanpa arah tujuan termasuk merempat di kota metropolitan Kuala Lumpur ini.

Mereka kini boleh berdikari menerusi program​ khas​​ ​penempatan pekerjaan anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama ​K​ementeria​n Wilayah Persekutuan​, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kuala Lumpur dan 19 agensi lain.

Program tersebut dilaksanakan selepas gelandangan ini “diselamatkan” dalam operasi DBKL di beberapa kawasan termasuk sekitar Masjid India, Masjid Jamek, Masjid Negara dan Bangkok Bank semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lepas.

Setakat ini, seramai 70 daripada 166 orang gelandangan itu sudah mula bertugas di tujuh buah syarikat termasuk McDonald’s, Jaya Grocer dan Tesco.

Sementara 96 orang yang lain akan mengikuti program khas Projek Pembungkusan Sarung Tangan oleh Syarikat Top Glove Corporation Bhd. Program ini akan dilaksanakan di Pusat Transit Gelandangan, Jalan Ampang dan Anjung Singgah, Jalan Hang Lekiu (pusat bandar Kuala Lumpur).

Setakat April lepas, DBKL menyelamatkan 864 gelandangan dan menempatkan mereka di 12 pusat komuniti dan dewan serbaguna yang dijadikan penempatan sementara.

Majlis Perbandaran Klang melakukan operasi mencari dan memujuk gelandangan bagi melakukan saringan Covid-19. Foto Facebook MPK

Gelandangan dapat dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu penagih dadah, pesakit mental, pekerja yang tiada tempat tinggal dan juga penganggur yang tiada kediaman.

Sememangnya nasib baik gelandangan ini amat melegakan namun persoalannya, apakah ia akan berterusan selepas PKP nanti?

Pelbagai kerisauan

Walaupun Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memberi jaminan bahawa ​800 ​gelandangan​ yang diselamatkan sepanjang tempoh PKP​ akan ditawarkan bekerja di sektor perkilangan atau pekerja am bagi memastikan golongan itu tidak kembali merempat selepas tamat tempoh PKP, ia masih menimbulkan pelbagai kerisauan.

Paling utama, sejauh mana peluang gelandangan ini, terutama wanita akan ​mendapat pekerjaan memandangkan prospek ekonomi Malaysia diramal suram pasca pandemik Covid-19. Sebanyak 93 peratus syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dijangka berdepan perniagaan tidak stabil dalam tempoh enam bulan​ akan datang.

Ini kerana gelandangan juga terpaksa bersaing dengan mereka yang diberhentikan atau kehilangan pekerjaan.

Menurut laporan media tempatan, pelaksanaan PKP bermula 18 Mac lalu untuk membendung penularan wabak Covid-19 memberi impak besar kepada lebih 650,000 majikan di seluruh negara yang kedudukan mereka diibaratkan bagai telur di hujung tanduk. Sekurang-kurangnya juga 15,000 orang pekerja swasta sudah diberhentikan sejak Mac lalu.

​Tidak menolak kemungkinan jumlah gelandangan akan bertambah dalam fasa pemulihan Covid-19 di samping keadaan mereka khususnya gelandangan wanita tidak akan lebih baik apabila PKP berakhir nanti, Profesor Madya di Jabatan Sosiologi dan Antropologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Rohaiza Rokis​ ​bagaimanapun menjelaskan ia semua bergantung kepada sikap gelandangan itu sendiri.

“Pertambahan atau pengurangan jumlah gelandangan ini turut bergantung kepada sektor​ pekerjaan yang dipilih​. Jika ia ​melibatkan sektor seperti pembersihan, m​u​ngk​i​n gelandangan wanita tetap ada peluang pekerjaan dan mendapat gaji tetap untuk ​mereka meneruskan kehidupan.

“Apa yang penting, jika golongan ini bena​r-benar​ ingin berubah k​e​p​a​da kehidupa​n yang​ lebih baik​, mereka jangan memilih kerja,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Cabaran kerajaan

Pengalaman ditindas serta dimanipulasi oleh dalang atau sindiket mengupah gelandangan ​juga akan menjadi antara cabaran pihak kerajaan untuk memastikan golongan ini kekal bekerja walaupun ditawarkan gaji yang antara RM1,200 dan RM1,400.

Menurut Rohaiza, ada sindiket yang menjadikan gelandangan wanita yang bekerja dalam sektor pembersihan, warga emas dan mereka yang sukar mencari pekerjaan di pasaran buruh formal sebagai sasaran untuk dimanipulasi dengan pilihan pekerjaan yang terhad serta bekerja berjam-jam dengan gaji rendah​.

“Pada masa yang sama, kewujudan stigma terhadap mereka yang kehilangan tempat tinggal sering mengakibatkan golongan ini berdepan dengan diskriminasi untuk mendapat tawaran pekerjaan, sedangkan gelandangan ini mungkin bekas pekerja profesional yang mencari pekerjaan di pasaran buruh secara formal,” katanya.

Rohaiza menambah, terdapat pelbagai faktor mengapa seseorang itu memilih untuk menjadi gelandangan.

Malah ada kajian turut mendapati situasi ini boleh berlaku akibat krisis jangka panjang atau pendek, yang sekaligus menyebabkan seseorang itu lebih selesa untuk terus menjalani kehidupan demikian.

Beliau menjelaskan, krisis jangka pendek meliputi isu pengusiran dari kediaman asal, kehilangan pekerjaan, ketidakstabilan kewangan sementara atau bencana alam.

Jenis gelandangan ini bersifat sementara dan biasanya dapat diselesaikan dengan bimbingan, bantuan dan sokongan.

Namun yang lebih merisaukan ialah melibatkan krisis jangka panjang, di mana mereka akan terus menjadi gelandangan hampir seumur hidup mereka.

“Bagi gelandangan wanita, kehilangan tempat tinggal sering disebabkan oleh hubungan yang terputus dan dikaitkan dengan trauma yang berulang seperti serangan pasangan, keganasan rumah tangga dan penolakan keluarga sendiri,” tambahnya.

Pun begitu, Rohaiza tidak menolak tanggapan bahawa gelandangan wanita lebih mudah untuk dipulihkan jika program latihan pekerjaan untuk wanita diberikan secara konsisten.

“Program motivasi diri untuk mereka agar bersedia menerima tanggungjawab dengan bekerja demi kelangsungan diri juga perlu diberikan dari semasa ke semasa. Dalam masa yang sama, masyarakat perlu membuka lebih banyak ruang melibatkan anak-anak gelandangan ini.

“Wanita yang tiada tempat tinggal sering menghadapi kesukaran untuk membesarkan anak mereka tanpa sumber pendapatan tetap. Oleh itu, jika masyarakat dapat menaja anak-anak mereka untuk pendidikan, ia akan mengubah hidup gelandangan ini,” jelasnya.

Selesa menjadi gelandangan

​Bagi​ Pengarah Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Sa’ad​, ​ banyak aspek yang perlu diteliti dalam usaha memulihkan kehidupan gelandangan agar dapat berdikari dan hidup di tengah-tengah masyarakat.

Diakui, gelandangan ini boleh kembali ke dalam masyarakat, dengan syarat ada pekerjaan dan gelandangan wanita ini boleh bekerja namun jangan terkejut jika mereka kembali menjadi gelandangan ‘secara sambilan’ disebabkan keputusan wang.

“Perkara ini biasa berlaku dan ia akan terus berulang kerana ada antara mereka yang sudah terlalu lama berada di jalanan,” katanya.

Fauziah menjelaskan ada juga gelandangan wanita yang tidak berminat malah enggan menetap di pusat transit yang disediakan kerajaan kerana bimbang anak mereka diambil oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Untuk makan, mereka tidak bimbang sebab selalu akan ada yang memberi. Untuk keselamatan, mereka selalunya akan jaga antara satu sama lain malah tidur beramai-ramai bagi mengelakkan daripada dirogol, diganggu penagih dadah atau dirompak.

“Bagi yang pernah dirogol dan akhirnya menjadi gelandangan, mereka ini tidak kisah untuk menjadi pelacur sebab perlukan duit bagi kelangsungan hidup walaupun sedar risiko keselamatan da​​n kesihatan yang akan dihadapi,” katanya.

– BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Ramai teruja rentas negeri, balik kampung sambut Aidilfitri

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

PUTRAJAYA, 11 JUN: Sebaik ‘lampu hijau’ diberikan bagi melakukan perjalanan rentas negeri bermula semalam (10 Jun), sebahagian besar rakyat Malaysia tidak sabar dan sudahpun merancang untuk balik kampung atau setidak-tidaknya bercuti bersama keluarga, hujung minggu ini.

Memandangkan masih suasana raya dalam bulan Syawal, ramai yang begitu teruja untuk menghangatkan kembali sambutan Aidilfitri dan menggayakan baju raya serta fesyen rambut raya apabila berkesempatan berkumpul bersama adik-beradik, ibu bapa dan keluarga tercinta.

Tidak kurang juga ada yang teringin menjenguk ke dusun milik keluarga dan menikmati durian serta buah-buahan tempatan seperti duku, langsat, cempedak, mangga dan rambutan yang berlonggok di kampung.

Sesungguhya, pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Ahad (7 Jun 2020) lepas, amat dinanti dan melegakan rata-rata rakyat setelah hampir tiga bulan mematuhi arahan duduk di rumah.

PKPP yang bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos menyaksikan lebih banyak kelonggaran diberikan termasuk perjalanan rentas negeri kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan hampir semua aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan dan ekonomi dibenarkan beroperasi.

Apa yang pasti, keterujaan untuk bertemu orang kampung bukan sahaja dirasai rakyat marhaen, malah pemimpin juga tidak sabar untuk merentas negeri dan bertemu pengundi di peringkat akar umbi.

Jenguk orang kampung

Penduduk Mohd Fitri Mokhtar menyalakan satu daripada 200 pelita bagi menghasilkan frasa ‘Raya KL Je’ ketika tinjauan di Kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) Sungai Besi pada 21 MEI 2020. FOTO: BERNAMA

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob antara pemimpin yang akan melakukan perjalanan rentas negeri hujung minggu ini untuk menjenguk orang kampung di kawasan Parlimen Bera.

Beliau yang juga anggota Parlimen Bera sejak 2004 ternyata tidak sabar untuk balik kampung di Pahang.

“Sudah 84 hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Setiap hari selama 84 hari, saya bertemu dengan wakil media, namun tidak berjumpa rakyat di kawasan Parlimen Bera,” kata Ismail Sabri selepas sidang media mengenai Covid-19 di Perdana Putra, di sini, Isnin lepas.

Siaran langsung sidang media harian, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan, sentiasa diikuti seluruh rakyat Malaysia sehingga netizen menggelarkan beliau sebagai Pak Long Mail.

Ditanya sama ada sidang media harian beliau akan ‘bercuti’ pada hujung minggu ini kerana beliau pulang ke Bera, Ismail berkata, “perkara itu akan dimaklumkan kemudian.”

Sejak fasa pertama PKP dilaksanakan mulai 18 Mac, berlanjutan hingga ke fasa keempat (29 April hingga 12 Mei) dan memasuki fasa Perintah Kawalan Bersyarat (PKPB) dari 13 Mei hingga 9 Jun lepas, Ismail Sabri tidak pernah putus mengadakan sidang media harian tepat pada pukul 2 petang, selepas mesyuarat khas menteri-menteri mengenai pelaksanaan PKP.

Tidak melepaskan peluang untuk melakukan perjalanan rentas negeri ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri yang akan terbang ke Kuching esok (Jumaat) untuk menghadiri tugas rasmi.

Nancy yang juga anggota Parlimen Batang Sadong bagaimanapun berkata beliau tidak akan pulang ke kawasan Parlimennya kerana kali ini mempunyai urusan rasmi di Kuching.

“Saya akan mengadakan perjumpaan dengan ketua jabatan dan agensi di bawah kementerian di sana (Kuching). Perjalanan rentas negeri saya hujung minggu ini hanya untuk tugas rasmi sahaja,” kata Nancy.

Tunggu giliran

Tiga sahabat (dari kiri) Nurul Izzah Latiffi, Faranafisha Ahmad Jani dan Aida Imannurshafiqah Abdullah berhari raya di sekitar rumah mereka pada 24 Mei 2020. Foto BERNAMA

Sementara itu, petugas barisan hadapan Covid-19 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Pekan, Pahang, Dr Nur Fahimah Amir Jalaluddin, 33, merancang pulang ke kampung halamannya di Ipoh, Perak pada 20 Jun depan.

Beliau yang kali terakhir pulang ke kampung Februari lepas, tidak dapat bercuti lebih awal kerana terpaksa menunggu giliran rakan lain bercuti.

Dr Nur Fahimah juga tidak menolak kemungkinan terpaksa pulang ke kampung bersendirian kerana suaminya juga seorang petugas barisan hadapan.

“Bagaimanapun saya tetap bersyukur kerana dapat juga bertemu ayah dan bonda meskipun pada pertengahan Syawal setelah tidak berpeluang berbuka puasa bersama-sama Ramadan lalu,” katanya yang akan memandu sendirian dari Pekan ke Ipoh, Perak.

Patuh SOP PKPP

Pesara, Abdul Hai Ismail Pakir Muhiddin Shah, 75, (dua, kiri) dan isteri Endot Hairudin, 72, (kiri) menyambut ketibaan sanak-saudara sempena Aidilfitri di Kampung Nombor 3, Jalan Ajibah Abol, pada 24 Mei 2020. Aidilfitri tahun ini disambut dalam suasana norma baharu susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun masyarakat Islam tetap meraikannya bersama keluarga dengan penuh kesyukuran. Foto BERNAMA

Dalam keterujaan untuk pulang ke kampung dan bercuti merentas negeri bagi menemui orang yang dirindui, rakyat perlu sentiasa mematuhi semua tatacara operasi piawai (SOP) dan mengikuti nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media baru-baru ini berkata PKPP dilaksanakan mulai 10 Jun berpandukan SOP khusus bagi memulihkan keadaan penularan wabak Covid-19.

“Pendekatan ini diharap dapat mengimbangi nyawa dan mata pencarian sebagai sebahagian daripada langkah pemulihan dan seterusnya menyediakan negara ke arah strategi jalan keluar (dari wabak Covid-19), selepas 31 Ogos,” katanya.

Beliau mengingatkan orang ramai agar sentiasa peka bahawa S.O.P ialah S – syarat yang diletakkan di bawah PKPB, O – orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya perlu dilindungi dan P – penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter setiap masa.

Menurut Dr Noor Hisham, PKPP hanya akan berjaya jika semua pihak mematuhi SOP yang ditetapkan selain penglibatan seluruh komuniti untuk sama-sama membudayakan normal baharu dalam kehidupan seharian.

“Kita jaga diri kita, kita jaga keluarga kita, kita jaga komuniti kita dan kita jaga negara kita. Kalau bukan kita, siapa lagi,” katanya.

– BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

PKP Pemulihan: Kekal patuh SOP, ruang baiki ekonomi

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR, 10 JUN: Bermula hari ini, hampir semua aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan, sektor ekonomi dan sebagainya akan kembali beroperasi secara berperingkat di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Dalam keghairahan rakyat dan kebanyakan sektor untuk kembali meneruskan aktiviti harian dan kelangsungan perniagaan masing-masing, perkara utama yang perlu dititikberatkan pastinya pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan kerajaan di samping saranan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ini tidak terkecuali bagi golongan majikan dan pekerja yang dituntut untuk lebih peka, sentiasa berjaga-jaga dan kekal mengamalkan normal baharu yang wujud sepanjang tempoh krisis pandemik Covid-19, dalam menjalankan operasi mereka.

Jangan tamak, patuhi SOP

Ramai golongan majikan dan pekerja yang terkesan berikutan Covid-19 ditambah pula dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac dan seterusnya PKP Bersyarat (PKPB) yang tamat semalam (9 Jun).

Anggota polis Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kota Setar Koperal Muhammad Syarif Ismail mengumpul lampu sekatan jalan raya di Plaza Tol Alor Setar (Utara) selepas kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri mulai 10 Jun 2020. Foto BERNAMA

Justeru, perutusan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Ahad lepas berhubung PKPP, pastinya membuatkan golongan itu menarik nafas lega selepas hampir tiga bulan terjejas ekonomi dan sumber pendapatan.

PKPP yang turut memberi kebenaran bagi perjalanan rentas negeri, kecuali di kawasan yang diisytiharkan PKP Diperketatkan (PKPD), antara lain turut membenarkan aktiviti komersial yang melibatkan urus niaga jualan dan pemasaran bukan dalam premis perniagaan serta aktiviti pelancongan domestik.

Menurut Doktor Kesihatan Pekerjaan (OHD), Dr Shawaludin Husin, baik majikan mahupun pekerja, perlu sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan serta mengelakkan sifat tamak dengan cuba mengaut keuntungan dalam masa yang singkat.

“Ramai majikan dan pekerja yang tertekan berikutan Covid-19, PKP dan PKPB. Mereka pastinya bersemangat untuk ‘bangkit’ dan memulihkan sumber kewangan. Sungguh pun begitu, SOP perlu dipatuhi sebagai contoh tidak membenarkan pekerja menerima jumlah pelanggan atau pengunjung yang ramai pada satu-satu masa lebih-lebih lagi di restoran, hotel atau mana-mana premis perniagaan.

“Apa yang penting sekarang, majikan perlu faham dan menerima hakikat bahawa sekurang-kurangnya mereka masih mampu bertahan dan meneruskan perniagaan daripada langsung tidak boleh beroperasi dan terus lumpuh disebabkan krisis ini,” katanya kepada Bernama.

Pelancongan domestik

Dr Shawaludin berkata, bagi kebenaran aktiviti pelancongan domestik, sektor perhotelan sebagai contoh perlu melakukan pembersihan dan sanitasi hotel, fasiliti, bas atau sebarang pengangkutan pelancong serta mengemaskini senarai pakej semasa yang boleh ditawarkan kepada pengunjung.

“Tiada masalah untuk kebenaran pelancongan domestik dengan syarat semua pihak tahu peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam mencegah penularan pandemik ini. Majikan atau pengusaha boleh menyenaraikan aktiviti yang dibenarkan dan tidak dibenarkan untuk pengunjung agar mereka mendapat maklumat yang jelas.

“Kebenaran kerajaan untuk pembukaan semula kebanyakan sektor yang sebelum ini terjejas teruk penting bagi pemulihan ekonomi, namun ia perlu dilakukan dengan SOP yang jelas bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pengguna, majikan dan pekerja dilindungi keseluruhannya,” katanya.

Pekerja feri penumpang ke Langkawi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd mengambil inisiatif membersihkan 35 buah feri secara lebih kerap bagi mengelak sebarang risiko penularan Covid-19 dalam kalangan penumpang tempatan dan antarabangsa di Jeti Penumpang Antarabangsa Kuah pada 11 Mac 2020. Foto BERNAMA

Beliau menambah, antara SOP yang wajar dipatuhi oleh setiap majikan dan pekerja ialah memastikan adanya penjarakan sosial, di samping penyediaan pembasmi kuman dan penggunaan penutup hidung dan mulut untuk pekerja di premis masing-masing serta mengikuti saranan KKM untuk mengelakkan 3S / 3C dan mengamalkan 3W.

Pengguna juga katanya, perlu ada kawalan kendiri dan mengelakkan 3S / 3C: iaitu kawasan yang sesak (crowded place), kawasan yang sempit (confined space) dan bersembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation) serta mengamalkan 3W: iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), sangat digalakkan memakai alat penutup hidung dan mulut di tempat awam atau jika bergejala (wear), dan (warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan yang antaranya duduk di rumah dan hanya keluar sekiranya ada urusan penting sahaja.

“Kita belum menang sepenuhnya dalam mengekang penularan pandemik Covid-19. Kerjasama setiap pihak amat dituntut. Hargailah kelonggaran yang diberi dengan mematuhi setiap arahan dan saranan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa kerana kita tidak mahu kembali semula kepada fasa PKP apatah lagi PKPD.

“Fasa pemulihan ini amat penting bagi memastikan adanya pergerakan dan pengekalan ekonomi yang bertujuan mengurangkan kadar pengangguran yang boleh membawa kepada gejala sosial dan jenayah serta tidak terkecuali masalah mental dalam kalangan rakyat,” katanya.

Pulih ekonomi

Berkongsi pandangan, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata tindakan kerajaan membuka hampir semua sektor dan sub-sektor dapat mempercepatkan pemulihan ekonomi, meningkatkan rantaian perniagaan dan juga produktiviti.

Ia pada masa sama memberi keyakinan kepada pengeluar dan peniaga di tambah pula dengan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diumumkan Perdana Menteri pada Jumaat 5 Jun, yang dapat menyokong pertumbuhan inventori (bahan mentah, barang dalam proses dan juga barang siap), pelaburan dan pengembangan modal.

Pengusaha kedai gunting rambut harus mematuhi SOP ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu mengenakan sarung tangan, pemakaian pelindung muka dan pelitup muka semasa memberikan perkhidmatannya kepada pelanggan. Foto BERNAMA

“Pertumbuhan inventori sangat dipengaruhi oleh pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Justeru kita berharap kebenaran untuk kembali beroperasi kepada hampir semua sektor ditambah dengan suntikan Penjana akan menjadi faktor penggerak pelaburan dan seterusnya pertumbuhan modal.

“Langkah membuka semua sektor dan beberapa sub-sektor menyokong interaksi rantaian industri terutama domestik. Interaksi antara sektor akan membantu kepada pemulihan ekonomi walaupun diakui akan sedikit perlahan dan mengambil masa untuk pulih seperti sediakala,” katanya.

Muhammad Ridhuan menambah, menurut Hukum Okun (Okun’s Law), peningkatan KDNK turut membantu menurunkan kadar pengangguran yang menjadi kebimbangan ramai pihak termasuk negara luar yang turut berdepan krisis pandemik Covid-19.

“Justeru, dalam jangka pendek kita berharap pakej rangsangan fiskal oleh kerajaan akan dapat merancakkan interaksi ekonomi melalui sektor yang antaranya terdiri daripada perkhidmatan, pembuatan, pertanian, perlombongan dan kuari dan pembinaan,” katanya sambil menambah pelaburan sektor swasta juga amat digalakkan terutama melalui peningkatan perbelanjaan sektor itu.

PKPP yang akan berkuatkuasa pada 10 Jun 2020 hingga 31 Ogos 2020, menggantikan PKPB yang tamat pada 9 Jun. Dalam tempoh PKPP, lebih banyak kelonggaran diberikan untuk membolehkan rakyat di negara ini menjalani aktiviti kehidupan seharian di samping mematuhi SOP secara berterusan.

-BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Uruslah pembahagian harta ketika masih hidup

Oleh Shanika Abdullatib

KUALA LUMPUR, 9 JUN: Buat pertama kalinya, setelah beberapa tahun berusaha, Imani Zulaikha (bukan nama sebenar) akhirnya berjaya mengumpulkan semua adik-beradik, anggota keluarga dan waris terutamanya sebelah arwah ayah, bagi menyelesaikan urusan pembahagian harta pusaka.

Sambutan Aidilfitri 2019 di Sungai Petani, Kedah menjadi titik pertemuan bagi semua waris untuk ‘menjernihkan’ semula hubungan kekeluargaan yang selama ini menjadi keruh dek perebutan harta pusaka ayahnya yang telah meninggal dunia, kira-kira lima tahun lalu.

“Niat saya cuma satu, mahu menyelesaikan urusan pembahagian harta pusaka yang meliputi beberapa bidang tanah, sawah padi dan rumah pusaka yang mencecah jutaan ringgit,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Selama ini, Imani, 34, jurutera teknologi maklumat di Kuala Lumpur, tidak pernah terfikir bahawa kematian seseorang yang disayangi seperti ibu bapa atau suami isteri rupa-rupanya permulaan persengketaan yang panjang dan boleh mengeruhkan hubungan kekeluargaan.

“Meskipun belum selesai urusan pembahagian harta pusaka, tetapi perbincangan antara kami menunjukkan perkembangan positif dan ia menjadi pengajaran agar tidak menangguhkan urusan pembahagian harta pusaka,” kata Imani yang merupakan anak bongsu perempuan daripada tiga beradik lelaki.

Berbilion nilai harta pusaka terbiar

Kisah perebutan dan persengketaan mengenai pembahagian harta pusaka yang berlaku dalam keluarga Imani bukan perkara baharu dalam masyarakat Melayu Islam di negara ini.

Malah, menurut pakar sosial Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, masyarakat Islam di Malaysia secara umumnya masih tidak peka dan sensitif mengenai penamaan harta pusaka kerana mereka tidak pernah membuat perancangan dan pembahagian harta, semasa hayat.

“Sikap sebeginilah menyebabkan terdapatnya banyaknya kes-kes tanah pusaka yang nilainya mencecah berbilion ringgit, didapati terbiar kerana proses pertukaran nama gagal dilakukan,” katanya.

Media melaporkan sehingga kini terdapat hampir 70 bilion nilai harta pusaka majoritinya milik orang Melayu di negara, ini tidak dituntut sejak merdeka.

Mengulas lanjut isu berkenaan, Mohammad Shatar yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata konsep hibah yang merupakan alternatif untuk mewariskan harta pusaka, didapati masih kurang popular dalam masyarakat Melayu Islam.

Peguam Datuk Ikbal Salam turut berkongsi pandangan dalam isu pembahagian harta umat Islam.
Beliau mengakui bahawa masyarakat Melayu Islam di negara ini masih berpaksikan pada hukum faraid dan berpendapat seolah-olah hukum faraid adalah satu-satunya kaedah pembahagian harta pusaka dalam Islam. Foto BERNAMA

Justeru, beliau menyarankan masyarakat Melayu menjadikan majlis keluarga seperti sambutan Aidilfitri sebagai platform untuk berbincang dan menjelaskan mengenai wasiat, hibah serta harta pusaka, kerana ketika inilah majoriti semua anggota keluarga pulang ke kampung dan berkumpul.

“Tak perlu tunggu sudah meninggal baru nak jumpa dan berbincang. Setiap tahun, apabila raya, kita jumpa dan gunakan peluang ini untuk berbincang terutama apabila ibu bapa masih lagi hidup,” katanya menambah pendekatan ini mampu mengelak salah faham dan konflik pada kemudian hari.

Masyarakat masih bergantung pada faraid

Turut berkongsi pandangan dalam isu pembahagian harta umat Islam, peguam Datuk Ikbal Salam yang mengakui bahawa masyarakat Melayu Islam di negara ini masih berpaksikan pada hukum faraid dan berpendapat seolah-olah hukum faraid adalah satu-satunya kaedah pembahagian harta pusaka dalam Islam.

“Ini mungkin antara punca umat Islam bersikap sambil lewa dan tidak merancang pembahagian harta pusaka mereka serta menyerahkan bulat-bulat urusan pembahagian harta pada hukum faraid,” katanya.

Sedangkan Islam menggariskan pelbagai kaedah pembahagian harta yang bertujuan untuk mencapai keadilan dan melaksanakan mengikut Maqasid Syariah, jelas beliau.

“Ironinya, mereka yang melulu taksub terhadap hukum faraid, akhirnya menjadi individu yang mempertikaikan bahagian faraid apabila menyedari bahagian pusaka yang diterima tidak seperti yang diharapkan,” tambah beliau.

Ikbal yang berpengalaman selama 24 tahun mengendalikan kes tuntutan berkaitan harta pusaka berkata kematian berlapis atau pewaris akan merumitkan lagi urusan pembahagian harta pusaka.

Dan senario ini, katanya, sering berlaku dalam sesebuah keluarga Melayu kerana banyak terdapat geran hak milik tanah yang masih tercatat atas nama arwah nenek moyang yang salasilahnya dari tiga atau empat generasi terdahulu.

“Natijahnya, pembahagian harta pusaka tidak dapat dilakukan kerana terlalu ramai waris telah meninggal dunia dan tidak boleh dikesan,” katanya.

Wajibkan aplikasi instrumen hibah

Dokumen suratcara Hibah dalam isu penyelesaian harta pusaka.
Kaedah konsep hibah, yang merupakan alternatif untuk mewariskan harta pusaka, juga akan memberikan pilihan kepada pemilik wang untuk menentukan bahagian yang perlu diagihkan kepada waris atau digunakan bagi tujuan waqaf dan sedekah. Foto BERNAMA

Melihat permasalahan yang tidak berkesudahan ini, Ikbal berpendapat sudah tiba masanya untuk setiap institusi perbankan termasuk institusi perbankan Islam, koperasi dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), menawar dan menggalakkan khidmat instrumen hibah kepada setiap pendeposit sebaik membuka akaun.

“Kita perlu ‘wajibkan’ institusi berkenaan menyediakan instrumen hibah ke atas wang caruman, akaun simpanan, akaun semasa dan pelaburan bagi memudahkan tuntutan wang di dalam akuan berkenaan,” katanya sambil menambah sekiranya berlaku kematian, waris tidak perlu lagi mendapatkan perintah pusaka bagi tujuan pengeluaran dan pembahagian harta si mati.

Jelas beliau, objektif mengaplikasikan instrumen hibah adalah bagi memastikan wang milik pendeposit yang meninggal dunia tidak perlu melalui proses permohonan harta pusaka yang panjang atau dibahagikan menurut hukum faraid.

“Sebaliknya, penerima seperti balu akan dapat mengeluarkan wang milik arwah suami mereka dengan cepat bagi meneruskan kehidupan tanpa perlu menunggu proses urusan pusaka yang biasanya memakan masa yang panjang,” katanya menambah tempoh minimum biasanya selama enam bulan.

Kaedah hibah ini juga akan memberikan pilihan kepada pemilik wang untuk menentukan bahagian yang perlu diagihkan kepada waris atau digunakan bagi tujuan waqaf dan sedekah.

Di samping itu, Ikbal berpendapat Unit Pembahagian Pusaka Kecil, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian perlu meneliti prosedur operasi standard permohonan pusaka supaya proses pemindahan dapat dilakukan lebih pantas dan tidak terikat kepada tempoh minimum enam bulan, semata-mata bagi mendapatkan tarikh bicara pusaka.

Majlis Agama Islam negeri-negeri pula disaran mewujudkan Bahagian Pusaka dan Amanah Harta bagi memberi khidmat nasihat untuk kes-kes pengurusan harta pusaka supaya ia tidak perlu melalui proses ligitasi di mahkamah syariah, katanya.

“Selain itu, usaha menjadikan kuliah dan ceramah agama di masjid mungkin dapat membuka minda dan menjadi platform bagi mendidik masyarakat mengenai pengurusan harta pusaka, waqaf, nuzriah (membuat nazar, kebajikan) dan hibah secara berkala,” katanya.

– BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Agong teras perpaduan, dekat di hati rakyat

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR, 8 JUN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diharap terus menjadi teras perpaduan masyarakat berbilang etnik di negara ini.

Seri Paduka baginda juga diharap terus memimpin rakyat dan negara untuk mengekalkan keharmonian serta keamanan yang dinikmati.

Harapan ini disuarakan oleh Pensyarah Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Mahadee Ismail bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Al-Sultan Abdullah hari ini.

Menurut beliau, sifat rendah hati dan keterbukaan Seri Paduka Baginda yang mesra, mudah bergaul dan prihatin serta ‘dekat di hati’ rakyat, bukan sahaja selari dengan kehendak masyarakat bahkan secara tidak langsung dapat merapatkan ‘jurang’ hubungan antara institusi beraja dan rakyat.

“Seri Paduka Baginda ibarat ‘jambatan hubungan mesra’ antara raja dengan rakyat apabila baginda sering kali ‘turun padang’ melihat nasib rakyat. Ini termasuk sikap mengambil berat dan sanggup turun dari kenderaan untuk mengetahui nasib rakyat yang ditimpa kemalangan serta memberi bantuan.

“Baginda juga antara lain sudi berhenti dan singgah di kedai dan gerai makan serta bergaul mesra dengan seluruh rakyat. Keistimewaan itu membuatkan rakyat berasa kagum, terharu dan lebih menghormati keperibadian baginda dan juga Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah,” katanya kepada Bernama.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kiri) bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menceriakan pesakit angin ahmar, Som@Salma Omar,71, yang terlantar di rumahnya pada Program Ziarah Kasih di Taman Sri Keramat , Maran pada 16 Ogos 2019. Foto BERNAMA

Berjiwa besar

Mohd Mahadee menambah Seri Paduka Baginda juga turut berperanan kepada pengukuhan sebuah negara bangsa Malaysia yang bersatu padu, patriotik, nasionalis dan berjiwa merdeka.

Menurut beliau lagi, Seri Paduka Baginda telah memacu kesinambungan kedaulatan Raja-Raja Melayu apabila berjaya menangani krisis politik negara yang berlaku sebelum ini dengan tenang, adil, berhikmah serta mendapat sokongan serta mandat daripada Majlis Raja-Raja dan seluruh rakyat Malaysia umumnya.

“Baginda seringkali mengingatkan rakyat agar terus menjaga hubungan baik antara etnik dan tidak menimbulkan isu sensitif yang boleh memecah-belahkan perpaduan termasuklah penyebaran berita palsu dan tidak benar.

“Baginda juga dilihat sebagai seorang raja yang berjiwa besar apabila sering kali menegaskan supaya kepentingan dan kebajikan rakyat terus dijaga termasuk ketika krisis Covid-19 di mana keperluan rakyat dijamin mencukupi serta aspek kesihatan sentiasa diberi keutamaan.

“Sebagai balasan, rakyat harus memainkan peranan dengan menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada baginda dan negara seperti mana yang ditekankan dalam prinsip Rukun Negara iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara,” katanya.

Raja Berpelembagaan

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengucup Keris Kerajaan pada simbolik penerimaan kuasa Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Istiadat Pertabalan baginda di Istana Negara pada 30 Julai 2019. Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Foto BERNAMA

Berkongsi pandangan, Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata Yang di-Pertuan Agong diharap terus memperkukuh amalan Raja Berperlembagaan di negara ini di samping berperanan sebagai simbol kedaulatan tertinggi negara.

“Seri Paduka Baginda sebagai ketua negara diharap akan terus menjadi pemacu kepada model pemerintahan terbaik berlandaskan syariat Islam seperti mana yang digariskan oleh Majlis Raja-Raja serta perkara lain yang ditetapkan dalam Perlembagaan.

“Raja Berperlembagaan berdasarkan prinsip Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat jemaah menteri (lazimnya Perdana Menteri) serta berdasarkan peruntukan undang-undang seperti yang disebut dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

“Amalan sistem ini dapat mengimbangi kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagai pemerintah dan rakyat selaku yang diperintah. Peranan timbal balik antara raja dan rakyat amat penting dalam meneruskan tradisi ini,” katanya.

Tambah Nik Ahmad Kamal, selain berperanan sebagai Ketua Angkatan Tentera dan bergerak dalam tiga badan utama negara iaitu badan eksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman, Seri Paduka Baginda juga adalah pemangkin kepada perpaduan kaum serta kemajuan Malaysia di samping menjadi inspirasi kepada semua pihak.

“Rakyat perlu lebih peka dan memahami kepentingan institusi beraja. Usaha dan penerangan berterusan di semua peringkat perlu dijalankan bagi memastikan institusi Raja Berperlembagaan di Malaysia terus dihormati oleh semua pihak,” katanya.

Ruangan sisi

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan beramah mesra bersama penduduk Orang Asli ketika baginda melawat perkampungan Sungai Ruil hari ini. Foto BERNAMA

Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada hari ini (8 Jun), baginda menzahirkan harapan agar rakyat Malaysia berbilang bangsa, agama dan budaya akan terus mengekalkan kemakmuran dan perpaduan yang telah dikecapi bersama selama ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Al-Sultan Abdullah turut mendoakan agar seluruh rakyat Malaysia terbuka hati untuk bersatu memikul peranan membantu kerajaan menjayakan usaha-usaha pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat dan negara yang dicintai bersama.

Beliau berkata, Seri Paduka turut menyeru rakyat terus bersabar dan berdisplin dengan tatacara serta amalan kebiasaan baharu dan mematuhi semua perintah yang dikeluarkan oleh kerajaaan dalam usaha membanteras dan memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19.

“Dirgahayu Tuanku, Daulat Tuanku.”

– BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Derita keluarga jadi mangsa keganasan rumah tangga

Oleh Fatin Nabihah Marzuki & Amiril Muttaqien Meketar

KUALA LUMPUR, 2 JUN: Didera, dihina, dan diganggu secara seksual.

Begitulah penderitaan dialami oleh Hidayah (bukan nama sebenar) yang menjadi mangsa kezaliman bapa kandung sendiri.

Hidayah, 24, bersama anaknya ‘terperangkap’ di rumah ibu bapa di Seremban, Negeri Sembilan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada Mac lepas, manakala suaminya bekerja di Labuan.

Ibarat kata pepatah, harapkan pegar, pegar makan padi, begitulah azab kehidupan Hidayah, anak sulung yang menumpang di rumah ibu bapanya dan terus menjadi mangsa gangguan seksual dan penderaan bapa sendiri sejak usia tujuh tahun.

Hidayah yang kini hamil empat bulan anak kedua, mendakwa ibunya dan lima adiknya turut menjadi mangsa penderaaan bapa yang juga seorang penganggur, kaki judi dan penagih dadah. Lebih menjelekkan apabila, anak lelaki Hidayah yang baru berusia 16 bulan turut diganggu datuknya.

“Anda mungkin tidak percaya, bapa bagi tahu dia boleh menawarkan khidmat seks kepada cucunya itu,” luahnya kepada Bernama sambil menambah, tidak cukup dengan sikap keji bapanya itu, mereka sekeluarga sering berdepan dengan cacian serta tempikan bapanya sepanjang hari.

“Ada saja yang tak kena di matanya…ayah selalu maki kami,” katanya.

Menurut Hidayah, beliau didera bapanya sejak kecil dan mendakwa beliau dipukul hampir keseluruhan anggota badannya seperti di bahagian kepala, tangan, perut, dahi dan bibir sehingga meninggalkan kesan luka dan lebam.

“Ayah menggunakan objek seperti kayu, besi malah kerusi untuk memukul saya,” katanya menambah walaupun beliau boleh meninggalkan rumah dan hidup bersama suami, namun perasaan takut yang menyelubungi Hidayah menjadi batu penghalang buatnya untuk menyelamatkan diri daripada ‘cengkaman’ bapanya dan seterusnya keluar dari rumah keluarganya.

Keganasan intim

Episod hitam yang dialami Hidayah dan sikap zalim bapanya itu merupakan antara corak kes keganasan rumah tangga melibatkan si pendera mungkin terdiri daripada suami, anggota keluarga terdekat atau penjaga.

Pendera menggunakan kekerasan dan merancang pelbagai taktik untuk mengancam, memaki, bertindak ganas termasuk melakukan keganasan seksual, dan dalam kebanyakan kes, mangsa adalah wanita.

Keganasan intim (keganasan yang dilakukan anggota keluarga) atau intimate terrorism melibatkan si pendera mengawal pasangan mereka (isteri) atau anak dengan pelbagai cara.

Pengarah Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Fauziah Mohd Saad berkata bagi kes keganasan intim ini, si pelaku menggunakan kekerasan fizikal serta merancang pelbagai taktik untuk mengawal mangsa sama ada dari segi penderaan fizikal, verbal, emosi, ekonomi dan penderaan seksual.

“Terlalu obsesi dengan pasangan sehingga cemburu tidak menentu, (faktor) genetik dan pengaruh persekitaran juga boleh jadi punca (penderaan) melibatkan penganiayaan fizikal seperti menampar, mencengkam, mencubit, menggigit dan penganiayaan seksual iaitu memaksa pasangan melakukan hubungan seksual,” katanya.

Sementara itu, pakar psikoterapi dan kaunseling (Kemurungan dan Kebimbangan), Access Counselling Services, Dr Meriam Omar Din berkata pelaku mungkin mempunyai sejarah silam didera sewaktu kecil sehingga mengakibatkan dia mendera mangsanya.

“Penderaan bukan satu tingkah laku semula jadi kerana kebanyakannya dipelajari sama ada dari contoh suri teladan yang berlaku dalam keluarga sendiri atau pengalaman didera terutama sekali semasa kecil.

“Stres atau tekanan hidup menjadi faktor penyebab (keganasan rumah tangga) sahaja, kerana sifat ganas dan tabiat mendera itu sudah tertanam di dalam dirinya,” jelas Meriam.

Elak provokasi

Meriam berkata, orang yang mendera lazimnya seorang yang panas baran, maka adalah penting pasangan atau anggota keluarga mengelak daripada membuat sebarang provokasi dan menyakiti antara satu sama lain.

“Jangan marah, jangan berleter, berbincang secara elok dengan mereka…ini penting memandangkan ia boleh merangsang titik kemarahan dalam diri si pelaku untuk melakukan penderaan,”.

“Selain itu, elakkan bergaduh di hadapan anak-anak kerana itu boleh memberi kesan apabila anak membesar kelak. Misalnya, jika bapanya kaki pukul, mungkin anaknya akan membesar menjadi kaki pukul juga,” katanya.

Sambil menasihati individu yang cenderung memiliki sikap agresif atau yang melakukan penganiayaan serta kekerasan terhadap orang lain agar segera mendapatkan rawatan, Meriam berkata mereka boleh berjumpa kaunselor atau pakar psikiatrik.

Mengulas lanjut, katanya ujian psikometrik terhadap individu berkenaan akan dijalankan bagi melihat sejauh mana tahap kesihatan mental yang dihadapi mereka.

“Jika kesihatan mental mereka berada pada tahap teruk, mungkin boleh dirujuk kepada pakar psikiatri untuk mendapatkan rawatan bagi mengawal sikap agresif dan membuat modifikasi tingkah laku,” katanya.

Jiran tetangga perlu cakna

Beliau juga menasihatkann jiran tetangga agar melaporkan dengan segera kepada pihak berkuasa sekiranya mendapati sesuatu yang mencurigakan atau mengetahui berlakunya keganasan rumah tangga di sekeliling mereka.

“Jika terdapat tingkah laku, bunyi atau sebagainya yang mencurigakan…dan kita rasa ada berlaku penderaan atau pencabulan (di rumah berkenaan) contohnya bunyi kuat seperti bergaduh, bunyi macam kena pukul, menjerit, meraung dan sebagainya, maka segera laporkan,” katanya.

Mengulas mengenai sikap mangsa yang berat hati membuat laporan berkenaan penderaan terhadapnya, beliau berkata ia menjadi lebih sukar jika melibatkan pasangan.

“(Pendera dan mangsa) tahu titik kelemahan (pasangan) masing-masing dan (mangsa) enggan untuk lapor kerana tahu itu suami beliau…(walaupun) setelah dipukul dengan teruk, suami pula memujuk dengan kata-kata manis,” jelas beliau.

Katanya, sekiranya, mangsa tidak menyelamatkan diri, kesan psikologi kepada mangsa akan berlaku sehingga boleh menyebabkan mangsa tidak yakin pada diri sendiri.

“Selain itu, mangsa berkemungkinan menjadi pendera apabila meningkat dewasa sekiranya mempunyai kuasa terhadap orang lain,” tambah beliau.

-BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Rokok: Antara nikmat dan sengsara, mana pilihan?

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 1 JUN: “Bagi saya rokok ini nikmat. Macam peneman, rakan akrab kita (perokok) ketika susah dan senang. Sesetengah orang apabila ada masalah bercerita dengan rakan, saya pula berkongsi suka duka dengan rokok.

“Nikmat rokok? Tak tahu nak gambarkan. Tapi segala masalah hilang, hati pun tenang bila merokok. Bayangkan, saya boleh menghabiskan tiga batang dalam masa sejam. Sehari saya boleh habiskan dua kotak rokok.

“Satu kotak ada 20 batang rokok, agak-agak dalam 30 batanglah sehari saya merokok. Belanja ratusan ringgit sebulan untuk rokok bukanlah masalah buat saya, asalkan nikmat,” demikian kata perokok tegar Mohd Khairul Nizam Aharudin, 36.

Bernama menghubungi beliau baru-baru ini untuk bekongsi kisah kehidupannya dengan rokok sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia yang diraikan pada 31 Mei setiap tahun.

Tema tahun ini ialah belia iaitu memperkasa golongan muda yang menjadi sasaran industri dan memerangi ketagihan tembakau.

Mula merokok kerana ingin cuba

Mohd Khairul Nizam mula merokok ketika berusia 17 tahun kerana terpengaruh dengan bapanya dan rakan sekolah yang merupakan perokok tegar.

Menurut pekerja swasta di Pulau Pinang ini, beliau tidak menyangka, bermula dengan perasaan ingin tahu dan ingin cuba, akhirnya menyebabkan beliau mengalami ketagihan rokok.

Malah, ketagihan rokok yang melampau ini membuatkan anak sulung daripada lima beradik ini sanggup berbelanja besar membeli pelbagai jenis rokok berjenama di samping rokok murah untuk melepaskan giannya.

Perihal bahaya kesihatan, beliau bukannya tidak tahu bahkan sudah berbuih mulut rakan menasihatinya, namun semuanya itu tidak diendahkan.

Bagaimanapun, semuanya berubah pada awal Mac lepas beberapa hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Bapa kepada dua orang anak ini mengambil keputusan nekad untuk berhenti merokok secara cold turkey iaitu sejenis kaedah berhenti merokok secara drastik tanpa bantuan ubatan mahupun sokongan profesional.

Norma baharu

“Batuk bagi perokok memang biasalah tetapi kali ini saya mengalami batuk berpanjangan seolah-olah tidak akan berhenti dan sukar bernafas. Ketika itu, saya dah mula risau jika dapat COPD (penyakit sekatan pulmonari kronik) dan risiko dijangkiti Covid-19.

“Lagi pun saya ada darah tinggi. Mereka yang ada NCD (penyakit tidak berjangkit ) sekiranya dijangkiti Covid-19, risiko komplikasi kesihatannya lebih dahsyat.

“Syukur bila dapat keputusan rupanya ia hanya asma. Sejak hari itu, 9 Mac, saya nekad berhenti merokok. Agak sukar tetapi saya kuatkan semangat apabila melihat isteri dan anak-anak kerana saya tidak mahu mereka tanggung derita sekiranya saya berpenyakit,” katanya.

Menurut Mohd Khairul Nizam, perokok lain juga boleh berhenti kerana jika beliau yang perokok tegar boleh melakukannya, sudah tentu perokok biasa mampu melakukannya cuma mereka perlu ada keazaman tinggi.

Beliau tidak menafikan pada peringkat awal, memang sukar menghilangkan ketagihan yang sudah lama berakar umbi itu dan cabaran hebat ialah gejala nicotine withdrawal syndrome setelah berhenti merokok seperti resah, mudah marah, sakit kepala, loya. Namun ia dialami seminggu sahaja.

“Dari suka bau rokok, sekarang tidak boleh bau, busuk sangat. Saya rasa macam mendapat kehidupan baru, paru-paru baru kerana rasa lebih sihat. Untuk pastikan konsisten, saya sentiasa mengemaskini perkembangan di Facebook.

“Ada yang pertikai tetapi akhirnya turut serta ikut saya berhenti merokok. Ketika ini, ramai memperkatakan norma baharu, bagi saya inilah norma baharu kami sekeluarga, kehidupan lebih sihat dan bermakna,” katanya.

Risiko tinggi

Mengulas mengenai pengalaman Mohd Khairul Nizam, Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata pandemik wabak Covid-19 yang melanda negara merupakan masa terbaik golongan perokok menghentikan tabiat tidak sihat ini.

Ketagihan merokok yang menjejaskan fungsi paru-paru meletakkan perokok dalam kategori berisiko tinggi berdepan komplikasi lebih teruk sekiranya dijangkiti Covid-19 kerana penyakit maut itu boleh menyerang paru-paru.

Menurut Dr Sharifa Ezat, apabila seseorang itu merokok, paru-paru mudah rosak, menjadi hitam disebabkan bahan kimia rokok itu sudah sebati dalam paru-paru, darah serta dalam badan.

Malah, paru-paru perokok juga kurang kemampuan melawan penyakit dan sekiranya kuman, virus, kulat ada dalam paru-paru ia akan menjadi lebih parah dan sukar dirawati.

Terdapat kajian menunjukkan perokok mempunyai risiko lebih tinggi dari bukan perokok untuk dijangkiti Covid-19 dengan hasil jangkitan lebih teruk.

Menurut beliau, ini kerana perokok selalunya mempunyai kecederaan atau kerosakan paru-paru akibat merokok, terutama jika perokok tegar (merokok dengan bilangan rokok yang tinggi seperti 1 kotak sehari) dan kronik (merokok bertahun-tahun).

“Jika mereka terjangkit Covid-19, keadaan adalah lebih teruk dan sukar dirawat. Perokok juga selalu ada masalah kesihatan lain iaitu kencing manis, sakit jantung, kanser dan darah tinggi.

“Kaitan penyakit lain ini adalah sangat tinggi dengan peningkatan risiko kematian pesakit Covid-19. Terutama juga jika perokok adalah golongan yang sudah berumur atau warga emas,” katanya yang juga Timbalan Dekan Fakulti Perubatan, UKM, menerusi e-mel.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini dipetik sebagai berkata, perokok dan mereka yang mempunyai masalah obesiti berdepan risiko komplikasi tinggi sekiranya dijangkiti Covid-19.

Berdasarkan hasil siasatan Jawatankuasa Khas Audit Kematian Covid-19 yang ditubuhkan sejak akhir Mac lalu, kumpulan ini bukan sahaja akan mendapat radang paru-paru, tetapi kepekatan darah juga akan meningkat.

Rokok elektronik

“Virus itu juga boleh merosakkan dinding saluran darah yang halus. Jadi jika saluran ini rosak dinding akan berlaku thrombosis, iaitu pembekuan darah dalam pembuluh atau jantung. Bagi pesakit obesiti pula, pengaliran darah lebih perlahan,” kata Dr Noor Hisham.

Beliau turut dipetik sebagai berkata, sekiranya ketiga-tiga ini berlaku, boleh menyebabkan darah beku dan akan berlaku komplikasi.

“Kalau darah beku berlaku di jantung, pesakit akan mendapat penyakit jantung, kalau di otak akan diserang angin ahmar,” katanya dalam laporan berita berkenaan.

Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini juga pernah mengeluarkan kenyataan bahawa golongan perokok lebih mudah terdedah dan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 apabila jari atau rokok yang tercemar dengan virus maut itu menyentuh bibir dan meningkatkan kemungkinan virus pindah dari tangan ke muilut.

Laporan MailOnline pada 31 Mei menyebut risiko tinggi perokok jika dijangkiti Covid-19 menyebabkan 300,000 orang di Britain mengambil keputusan berhenti merokok.

Bagaimana pula dengan rokok elektronik (e-rokok) atau ‘vape’? Apakah pengambilnya terselamat atau turut berhadapan risiko serupa?

Menurut Dr Sharifa Ezat, mereka ini juga tidak terkecuali untuk berhadapan risiko dahsyat sekiranya dijangkiti Covid-19 meskipun belum ada banyak kajian yang mengaitkan Covid-19 dengan perokok jenis e-rokok dan vape (tanpa nikotin).

“Tetapi, menurut kajian dan kenyataan yang sedia ada, sungguhpun perokok e-rokok kurang risiko berbanding rokok tembakau tradisional, perokok e-rokok juga akan mengalami kecederaan paru-paru akibat bahan dalam cecair e-jus iaitu Propylene Glycol, Gliserin, Acetyldehid atau Diacetyl, dan ini meningkatkan juga risiko keparahan penyakit Covid-19.

“Propylene Glycol, Gliserin ini adalah bahan dalam e-jus yang digunakan untuk memberi bau wangi yang enak kepada perisa e-rokok. Bahan ini menerima kebenaran digunakan untuk bahan memasak dan bukannya disedut ke dalam paru-paru.

“Juga selalunya, penghisap e-rokok dan ‘vape’ mempunyai sejarah merokok rokok tembakau dahulu. Maka, mereka mungkin sudah mempunyai kerosakan paru-paru sedia ada,” katanya.

Hari tanpa tembakau

Ketika diminta mengulas Hari Tanpa Tembakau Sedunia yang diraikan ketika wabak Covid-19 masih melanda negara, beliau berkata keadaan ini sepatutnya menyedarkan perokok bukan sahaja untuk kesihatan diri tetapi juga keluarga.

“Sepanjang PKP Bersyarat (PKPB), pergerakan kita agak terbatas, disarankan duduk di rumah sekiranya tiada keperluan penting keluar. Jadi, bagi perokok lingkungan mereka merokok agak terbatas.

“Apabila mereka tetap ingin merokok di dalam rumah, asap rokok berlegar dan mendedahkan ahli keluarga kepada risiko perokok pasif

“Perokok pasif terutama yang sentiasa dekat dengan perokok juga terdedah kepada risiko yang sama seperti perokok itu sendiri.

“Risiko kanser meningkat sebanyak 20 hingga 30 peratus, penyakit jantung meningkat 25 hingga 40 peratus ke atas perokok pasif yang tinggal bersama, berbanding jika mereka tidak tinggal sebumbung dengan perokok aktif,” katanya.

Sementara itu, Pakar Paru-Paru Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Helmy Haja Mydin menyentuh mengenai bahaya asap rokok ketiga.

Ramai beranggapan jika tidak merokok di dalam rumah, maka seseorang itu bebas daripada asap rokok.

Hakikatnya, asap rokok tidak semestinya boleh dilihat kerana ia sebenarnya wujud dalam bentuk partikel halus atau debu yang melekat di badan, rambut, pakaian, dinding, lantai, langsir dan hampir semua objek di dalam rumah – ini dinamakan asap rokok ketiga.

“Kanak-kanak dan orang dewasa yang tidak merokok berdepan risiko masalah kesihatan berkait dengan tembakau apabila mereka menyedut , menelan atau menyentuh bahan mengandungi asap rokok ketiga,” katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Pakar perubatan persoal sukatan suhu tidak tepat, langgar SOP

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 27 MEI: Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas dan kini PKP Bersyarat (PKPB), boleh dikatakan ramai yang sudah mengamalkan normal baharu dalam urusan kehidupan seharian.

Daripada budaya kerja, bidang pembelajaran kepada perniagaan, pergantungan kepada teknologi digital semakin ketara. Begitu juga amalan tatacara operasi piawai (SOP) yang disarankan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk penjarakan sosial.

Hendak masuk ke mana-mana pejabat dan pusat membeli-belah juga tidak semudah dahulu. Setiap daripada kita pada masa ini wajib melepasi pemeriksaan suhu badan sekiranya ingin melangkah masuk ke dalam bangunan.

Benarlah, pandemik Covid-19 merubah banyak perkara dalam rutin kehidupan kita.

Hanya yang bacaan suhu badan memenuhi SOP akan mendapat lampu hijau untuk masuk daripada pengawal keselamatan yang ditugaskan untuk membuat pemeriksaan. Langkah ini amat penting untuk memastikan tiada penularan wabak Covid-19.

Namun begitu, adakah pengambilan suhu itu benar-benar mengikut SOP yang ditetapkan? Persoalan paling penting, adakah anda yakin bahawa bacaan suhu itu adalah tepat mahupun sebaliknya?

Suhu rendah

Ini yang dipersoalkan oleh Pakar Paru-Paru Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Helmy Haja Mydin dalam satu ciapan di Twitternya baru-baru ini, selepas mengunjungi sebuah restoran di sekitar kawasan Petaling Jaya.

Pembantu perubatan memeriksa suhu badan pesakit sebelum menerima rawatan di Klinik Ajwa Seksyen 7, Shah Alam pada 27 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau yang ketika itu sedang menunggu giliran untuk diperiksa suhu badan oleh pekerja restoran berkenaan terkejut sebaik melihat segala rekod suhu badan pelanggan sebelum ini yang dicatatkan mereka di sebuah buku.

Agak luar biasa menurut Dr Helmy kerana kesemua suhu badan pelanggan yang datang ke restoran itu adalah di bawah suhu 36.0 darjah selsius iaitu 33.0, 32.0, 31.5, 33.5, dan paling rendah adalah 29 darjah selsius, sesuatu yang langsung tidak masuk akal!

Ini kerana suhu badan manusia normal adalah antara 36.0 darjah selsius sehingga 37.5 darjah selsius dan sekiranya melebihi suhu berkenaan seseorang itu dikira demam dan tidak boleh dibenarkan masuk ke dalam sesebuah premis.

Seperti diketahui, gejala utama Covid-19 adalah demam dan saringan paling mudah untuk memastikan pelanggan sesebuah restoran, pekerja ke pejabat atau sesiapa sahaja untuk melangkah ke dalam bangunan merupakan seorang yang sihat adalah melalui bacaan suhu badan menggunakan termometer.

Itu yang telah ditetapkan dan wajib dipatuhi sektor ekonomi kerana kegagalan mematuhi SOP akan membuatkan mereka berhadapan tindakan undang-undang di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Tak guna buat saringan suhu badan sekiranya peralatan yang digunakan tak jitu. Use the right equipment and check your thermometers – we don’t want false assurances!” kata beliau dalam ciapannya di akaun @dochelmy.

Bernama yang menghubungi beliau baru-baru ini untuk bertanya lebih lanjut mengenai ciapannya itu dimaklumkan bahawa, keadaan tersebut jelas membuktikan pelanggan yang dibenarkan masuk ke dalam restoran berkenaan tidak disaring sebetulnya dan sudah tentu ia membimbangkan.

Ini kerana kemungkinan besar ada antara mereka mempunyai suhu badan lebih daripada 37.5, mempunyai gejala Covid-19 seperti demam tetapi dibenarkan masuk apabila bacaan suhu rendah kerana tidak disaring sebetulnya oleh pihak premis.

Hal ini menjadi kerisauan Dr Helmy kerana berkemungkinan pelanggan tidak disaring sebetulnya ini merupakan pesakit Covid-19 tanpa mereka sedari yang akhirnya menjangkiti orang lain.

Kena tahu cara guna

“Kalau tengok catatan buku tersebut ada yang mempunyai suhu serendah 29 darjah selsius dan ia sangat tidak logik kerana itu sudah suhu tahap mayat. Suhu badan manusia walau di mana saja kita berada termasuklah di negara sejuk, akan tetap sama antara 36.0 darjah selsius sehingga 37.5 darjah selsius.

Penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam melakukan ujian saringan suhu badan kepada pengunjung Pasar Seksyen 6, Shah Alam pada 1 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Sekiranya ada yang mempunyai suhu bawah 36.0 darjah selsius adalah disebabkan mereka sakit seperti penyakit hypothermia tetapi tidaklah sampai serendah 29 darjah selsius.

“Perkara ini perlu diambil perhatian jitu kerana normal baharu yang menetapkan setiap individu diperiksa dahulu suhu badan sebelum masuk tidak akan berguna sekiranya tidak disaring sebetulnya.

“Bayangkan, pemilik restoran sudah bersedia lengkap mematuhi SOP ditetapkan tetapi disebabkan kesilapan bacaan suhu badan, kita bimbang ada kes demam berkait dengan Covid-19 terlepas masuk,” katanya kepada Bernama menerusi WhatsApp.

Menurut Dr Helmy, ada beberapa faktor yang menyebabkan pembacaan suhu itu tidak tepat antaranya disebabkan kesilapan pengendalian alat berkenaan kerana tidak memahami sebetulnya tatacara penggunaan, kualiti mahupun aspek menyelaraskan fungsi tentukur termometer tidak diambil perhatian.

Walhal, amat penting sebenarnya alat tersebut diselaraskan fungsinya (menentukur) sebelum digunakan buat pertama kali dan juga sekiranya ia terjatuh mahupun apabila diguna berulang kali bagi memastikan bacaan yang akan diambil nanti adalah tepat.

Selain perlu juga memahami termometer mempunyai pelbagai jenis dan setiap alat pengimbas suhu ini adalah berbeza cara penggendaliannya.

Paling popular digunakan ketika ini oleh kebanyakan syarikat, restoran adalah termometer temporal artery atau juga dipanggil termometer dahi yang menggunakan sinaran inframerah untuk menentukan suhu pada dahi kerana agak mudah mengendalikannya serta tidak berlakunya sentuhan.

“Sebenarnya, pemeriksaan suhu paling tepat adalah menggunakan termometer merkuri di mana perlu meletakkannya di bawah lidah selama beberapa minit. Ia susah sikit berbanding dengan yang dipakai pada dahi,” jelas Dr Helmy.

Berbeza

Sementara itu, menurut Pakar Perubatan Kecemasan KKM, Dr Ahmad Zakimi Abdullah, kepentingan untuk mengetahui fungsi setiap termometer ini penting bukan sahaja untuk memastikan bacaan suhu yang diambil tepat bahkan juga disebabkan cara bacaan suhu alat pengimbas itu adalah berbeza antara satu sama lain.

Berkongsi maklumat berkenaan di laman sosial, Facebook miliknya selepas berhadapan insiden hampir serupa dengan Dr Helmy, beliau terkejut apabila ada penjaga pintu di satu premis yang dikunjunginya tidak tahu suhu yang betul untuk dibenarkan masuk.

Petugas keselamatan memeriksa suhu penghantar makanan di pusat membeli-belah Central i-City, Shah Alam pada 26 Mac 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Tak semua orang tahu kan. Oleh itu, kita perlu memberi sedikit penerangan tentang tatacara penggunaan termometer untuk saringan awal.

“Suhu badan normal adalah sekitar 36 darjah selsius hingga 37.4 darjah selsius. Maka suhu 37.5 darjah selsius atau lebih sudah dikira anda demam. Ini hanya untuk bacaan ‘thermoscan infrared’.

“Bacaan suhu dengan termometer jenis lain dikira demam adalah berbeza; ketiak >37.2 darjah selsius, mulut >37.8 darjah selsius dan rektum (punggung) atau telinga >38 darjah selsius.

Menurut beliau, cara mengambil suhu tujuan saringan pintu masuk, mestilah dengan menggunakan termometer jenis infrared gun demi mengekalkan penjarakan 1 meter.

“Jarak menggunakan termo gun ini taklah terlalu jauh kerana ia akan memberi ralat dan tidak tepat pada bacaan. Perlu lihat tatacara penggunaan termo gun mengikut pengeluar.

“Penyaring perlu memakai PPE sekurang-kurangnya topeng muka. Penjarakan 1 meter adalah diwajibkan. Bateri termometer ini kena sentiasa diperiksa secara berkala juga,” katanya dalam status tersebut.

Golongan berisiko

Sememangnya, hal ini tidak boleh dipandang ringan. Apatah lagi, media sebelum ini ada melaporkan terdapat ramai individu membawa golongan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 seperti kanak-kanak dan warga emas ke tempat awam sejak PKPB dilaksanakan pada 4 Mei lepas.

Justeru, bayangkanlah apabila golongan berisiko tinggi ini berada di tempat awam yang tidak disaring betul suhu bacaannya dan berkemungkinan besar terdedah kepada jangkitan Covid-19 tanpa disedari. Bukankah ini membahayakan mereka?

Kerana itulah, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berpandangan adalah sebaiknya setiap daripada kita mengelak untuk berada di tempat awam sekiranya tidak ada keperluan penting biarpun sesuatu aktiviti itu dibenarkan mahupun premis itu lengkap dengan SOP ditetapkan.

Jangan mudah selesa dengan angka semasa Covid-19 yang ketika ini berlegar sekitar dua digit. Kecuaian dan kelekaannya memungkinkan Malaysia berdepan peningkatan penularan Covid-19 secara mendadak pada pertengahan Jun berdasarkan pemodelan dan ramalan Covid-19 oleh Institut Kesihatan Negara (NIH) .

“Janganlah kita sesekali sia-siakan pencapaian agak cemerlang yang gigih lagi tekun kerajaan dalam memerangi pandemik Covid-19 sehingga dikitiraf di peringkat dunia!

“(Apa yang kita lalui hari ini adalah) “norma baharu yang bersifat sementara sahaja” sehingga pandemik ini dapat diperangi dengan jayanya tidak lama lagi,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Suami isteri sibuk kekang Covid-19, dua bulan terpisah dengan anak

TEPAT jam 2 petang tanggal 6 Mei lalu, Nazirul Mubin Ramlan dan Nurhidayatussa’adah Adnan bergegas ke kereta mereka selepas menamatkan syif tugas menjaga pesakit Covid-19 di wad pengasingan di Hospital Sungai Buloh.

Nazirul menghidupkan enjin lalu memulakan pemanduan. Perjalanan dirasakan cukup jauh walhal jarak sebenar cuma 15 kilometer. Raut wajah mereka tersimpan riak gelisah.

Sempat pasangan suami-isteri itu, kedua-duanya berusia 27 tahun, singgah ke kedai membeli kek dan alat permainan sebelum meneruskan perjalanan. Mereka tiba sebelum waktu berbuka puasa.

Sebaik membuka pintu rumah di Ara Damansara, mereka terus menerpa kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun lantas memeluknya. Erat. Begitu rindunya mereka akan Aleesya Safiyya, satu-satunya anak tunggal.

“Dua bulan tidak jumpa kerana terpaksa hantar ke rumah ibu kerana tiada siapa hendak menjaganya. Kami perlu keluar bertugas.

“Seronok dapat jumpa semula anak dan melepaskan kerinduan. Lihat dia senyum hilang segala penat lelah bertugas lawan Covid-19,” kata Nazirul kepada SelangorKini.

Khuatir jangkiti keluarga

Nazirul dan Nurhidayatussa’adah menyambut hari jadi
ketiga anak mereka, Aleesya pada 6 Mei lalu selepas hampir dua
bulan terpisah

Selepas berbuka puasa, mereka menyambut hari jadi Aleesya Safiyya yang kebetulan jatuh pada hari pertama mereka kembali disatukan itu. Hati mereka juga berbunga-bunga melihatkan Aleesya begitu
seronok dengan pemberian hadiah.

Begitulah pengorbanan Nazirul, penolong pegawai perubatan, dan isterinya, seorang jururawat. Dua bulan tidak bersua si comel kesayangan. Hanya paparan visual pada skrin telefon dan panggilan video buat melepas rindu.

Ketika meluangkan masa bersama di kuarters hospital, pasangan itu tidak penah berhenti meluahkan rasa rindu terhadap kesayangan mereka namun ada halangan walaupun jarak mereka tidak jauh. Bimbang wabak itu menular pula kepada orang lain.

“Bukan tidak boleh ke rumah ibu bapa saya untuk jenguk Aleesya tetapi bimbang berjangkit kepada keluarga kerana kami kontak rapat dengan pesakit,” kata Nazirul, berasal dari Klang.

Nazirul yang bertugas di Klinik Pakar Neurologi di Hospital Sungai Buloh dipinjamkan untuk membantu menangani kes Covid-19 pada sekitar penghujung Mac dengan berkhidmat di wad menempatkan pesakit gejala ringan di asrama Hospital Sungai Buloh.

Kurang 500 meter daripada situ adalah lokasi Nurhidayatussa’adah ditempatkan di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) yang turut dijadikan wad sedemikian dan mula bertugas di situ sejak awal Mac.

Kerenah warga asing

Sebagai barisan hadapan bagi memutuskan rantaian virus, Nazirul menghadapi banyak cabaran terutama ketika berdepan kerenah warga asing yang ada kalanya mencabar kesabaran mereka.

Suatu pagi, Nazirul dan empat rakan ditugaskan menjalankan ujian swab dan memeriksa pesakit. Mereka diingatkan untuk ke bilik ujian jam 8 pagi, sebaliknya ramai tidak nampak kelibat.

Setelah hampir sejam menunggu, mereka naik ke setiap bilik bagi melihat keadaan pesakit. Hati kecilnya geram melihat ada antara mereka masih berbaring di katil, seolah-olah tiada apa-apa berlaku. Namun, rasa marah dipendam. Paling penting tugas dilaksanakan terlebih dahulu.

“Kerenah pesakit dalam kalangan kluster warga asing agak memeningkan, ada yang tidak faham arahan kerana masalah komunikasi,” katanya.

Keperluan memakai sut peralatan perlindungan peribadi (PPE) juga cabaran. Baju berlapis yang dipakai lencun menggambarkan bahang dan penatnya mereka terutama pada Ramadan.

Tersenyum puas

Istilah penat tidak asing bagi dirinya serta ahli sepasukan lantaran keperluan bekerja tanpa mengira waktu dan tempat. Tetapi melihat kepada segala pengorbanannya, dia boleh tersenyum puas. Rasa
berbaloi.

Nazirul kembali ke unit lamanya pada 14 Mei lalu manakala isterinya masih dikekalkan, tetapi pengalamannya sebagai barisan hadapan kekal menjadi memori untuk dikenang.

Beliau berasa puas kerana dapat berbakti kepada negara. Dapat menimba pengalaman tak ternilai harganya, bahkan meningkatkan kemahiran serta kecekapannya.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Tempahan baju raya, songkok merudum

OLEH SHEEDA FATHIL dan SHIQIN SHUKOR

Sambutan Aidilfitri  selama ini menjadi lubuk rezeki buat golongan penjahit tetapi kali ini lain ceritanya. Jumlah tempahan jatuh mendadak, tidak kurang juga pelanggan yang membatalkan hasrat memiliki baju raya.

Malah, ada antara penjahit membuat kerja sambilan lain demi menampung kehidupan. Misalnya, Zuriati Ishak, 46, yang terpaksa menjual lauk-pauk untuk menampung pendapatan yang hilang.

Beliau yang dulu berpendapatan tetap sebelum menjahit sepenuh masa sejak dua tahun lalu mendapati jumlah tempahan merosot 50 peratus, itupun terhad kepada jiran dan saudara-mara sahaja.

“Saya kena buat rancangan sandaran, saya tak boleh reda sahaja. Jadi, saya juga ada jual lauk masak lemak tempoyak pucuk paku. Alhamdulillah, dapat sambutan,” kata ibu kepada lima anak.

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu hingga tiga berlangsung, Zuriati yang beroperasi dari rumah di Meru, Klang, juga berdepan kesukaran memperoleh bahan jahitan. Beliau bimbang tersilap beli jika mendapatkannya melalui dalam talian.

Tempahan juga terpaksa dihadkan setelah PKP berkuat kuasa kerana beliau bimbang risiko jangkitan mengenangkan rumahnya dulu diserbu pelanggan menjelang hari raya tahun lalu.

Pakaian wanita laku

Namun, lain padang lain belalang. Penjahit pakaian wanita Nor Azizah Mohd Nor pula melalui pengalaman berbeza. Kadar tempahan meningkat sekali ganda pada tahun ini. Sebelum ini, hanya 100 pasang untuk Aidilfitri, kini jumlahnya melonjak kepada 200 pasang.

“Saya juga tak sangka tempahan melonjak sebab saya berhenti ambil tempahan dua bulan sebelum PKP diumumkan,” kata gadis kelahiran Terengganu yang membuka kedai di Setia Alam sejak 2016.

Nor Azizah juga menyediakan langkah pencegahan termasuk tidak membenarkan pelanggan memasuki kedai dan hanya mengambil bungkusan di luar premis.

“Saya tiada masalah untuk mendapatkan bahan-bahan asas kerana saya beli kebanyakan bahan dari atas talian. Bahan-bahan dalam talian lebih murah berbanding beli di kedai,” katanya lagi.

Beliau mendapati rekaan pakaian tahun ini agak sederhana dan tidak terlalu bergaya, mungkin kerana perayaan kali ini lebih kepada sesama keluarga susulan wabak Covid-19.

Tutup kedai

Noor Marziana Mohamed Tamin, 49, yang berpengalaman lebih 13 tahun dalam bidang jahitan turut mengakui jumlah tempahan jatuh, hanya bergantung kepada permintaan sebelum pelaksanaan PKP.

“Apabila masuk minggu pertama PKP, saya sudah tidak menerima tempahan, malah ada juga antara mereka membatalkan tempahan dan minta kembalikan kain yang dihantar,” luahnya.

Ibu tunggal kepada tiga anak juga sukar mendapatkan bahan jahitan kerana banyak kedai masih tutup. Beliau tiada pilihan selain memesannya secara dalam talian.

“Memang agak sukar kerana terpaksa menunggu hampir seminggu untuk barang itu sampai. Proses menjahit baju pelanggan sedikit terganggu dan gagal disiapkan mengikut waktu,” katanya.

Namun, beliau yang terlibat dalam program Teraju Ekonomi Asnaf kendalian Majlis Agama Islam Selangor berusaha mencari pendapatan lain dengan menjahit seragam syarikat korporat dan agensi kerajaan.

Jualan songkok jatuh

Peniaga songkok, Rohaya Daud, 55, pula memang menjangka jualan merudum tahun ini berikutan pelaksanaan PKP.

Mujur, beliau mengurangkan modal yang sebelum ini mencecah RM30,000 kepada hanya RM4,000 untuk sambutan Aidilfitri,.

“Pada tahun ini, memang jualan menyedihkan. Kalau dulu boleh kumpul RM7,000 hingga RM8,000 sehari, kini jualan sejak PKP mula baru cecah RM3,000.

Stok yang tidak terjual disimpan dan dijual untuk bulan seterusnya berikutan ia tidak mudah rosak. Apatah lagi, permintaan songkok tinggi dalam kalangan anak muda berbanding golongan dewasa dan warga emas.

Selain perayaan, mereka kerap memakai songkok untuk majlis pernikahan, sekolah mahupun majlis tertentu.

“Yang berumur biasanya pakai balik sahaja songkok mereka kecualilah mereka nak kahwin kali kedua,” katanya dengan nada gurau.

Rohaya menjual songkok Johor yang berbaldu empat atau lima inci, selain songkok lipat, bersaiz bayi, ketayap dan tarbus.