Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Majikan wajib benarkan pekerja kematian suami kerja dari rumah

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Bagi memastikan wanita Malaysia terus diperkasa, kerajaan semalam mengumumkan enam inisiatif antaranya wanita yang kematian suami dibenarkan Bekerja Dari Rumah (BDR) dalam tempoh bersesuaian.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata memahami kesedihan dan bebanan yang ditanggung oleh wanita yang kematian suami, ketua jabatan dan pengurusan tertinggi semua organisasi adalah diwajibkan untuk membenarkan wanita untuk BDR bagi membolehkan urusan keluarga serta peninggalan suami diselesaikan.

Selain itu, beliau berkata cadangan mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita bagi semua syarikat senaraian awam bermodal besar dijangka berkuat kuasa 1 Sept ini manakala bagi syarikat tersenarai lain pelaksanaannya dijangka pada 1 Jun tahun depan.

“Bagi menghargai dan mengiktiraf peranan serta sumbangan wanita, sambutan Hari Wanita wajib dilaksanakan pada 8 Mac setiap tahun di semua peringkat sama ada Persekutuan atau negeri,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Wanita 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini malam tadi.

Selain itu, Ismail Sabri berkata kerajaan turut menubuhkan Majlis Wanita Negara, mewujudkan Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual dan memantapkan Institusi Hakam di bawah Mahkamah Syariah bagi membantu wanita yang perlu menghadapi proses perceraian panjang.

“Hakam merupakan satu kaedah yang diperkenal Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia bagi mengatasi masalah kes-kes perbicaraan berkaitan perceraian yang mengambil masa sehingga memudaratkan pasangan yang ingin bercerai,” katanya.

Perdana menteri berkata kerajaan melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia turut memperkenalkan Akta Pembiayaan Kewangan iaitu pihak bank boleh membekukan akaun bank suami atas arahan mahkamah.

Beliau berkata pihak bank dibenarkan membuat bayaran daripada akaun suami yang telah dibekukan tersebut kepada isteri sekiranya isteri ada membuat tuntutan yang melibatkan wang Ringgit di mahkamah dan kaedah ini dikenali sebagai Hiwalah.

Perdana menteri turut menyatakan rasa bangga dengan pencapaian wanita Malaysia yang semakin hari semakin ramai mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang, sama ada di dalam atau di luar negara.

Ismail Sabri berkata berdasarkan Skor Malaysia dalam Indeks Jurang Gender Global 2021 menunjukkan, Malaysia berjaya merapatkan jurang dalam sub-indeks pendidikan dan kesihatan bagaimanapun keterlibatan dalam bidang ekonomi dan politik masih rendah.

Beliau berkata dalam bidang ekonomi dan pekerjaan, kadar penyertaan wanita masih rendah iaitu 55.6 peratus berbanding lelaki iaitu 80.8 peratus.

Selain itu, daripada setiap RM100 gaji dan upah yang diterima lelaki, wanita hanya menerima RM94.07 dan jurang itu semakin meningkat terutama dalam kalangan wanita B40, kesan daripada pandemik Covid-19.

Beliau berkata kadar pengangguran dalam kalangan wanita di Malaysia juga turut meningkat iaitu 307,000 orang pada suku pertama tahun 2021, berbanding 215,700 orang bagi tempoh sama tahun 2020.

“Menyedari hakikat itu, kerajaan akan terus cakna perihal kesejahteraan kaum wanita kerana saya yakin jika diberi peluang dan ruang, wanita mampu menjadi daya penggerak utama produktiviti dan ekonomi negara setanding dengan lelaki,” katanya.

Pada majlis itu, perdana menteri turut menyampaikan Anugerah Ikon Wanita kepada lapan penerima melibatkan kategori Ekonomi, Pendidikan, Kesihatan, Kepimpinan, Keselamatan, Perundangan, Wanita Bangkit dan Anugerah Khas Tun Fatimah.

Anugerah Khas Tun Fatimah diberikan kepada Pengasas dan Presiden Persatuan Usahawan Wanita Antarabangsa Malaysia (IWEM) Norazizah Borhan dan anugerah diberikan kepada wanita yang mempamerkan sumbangan luar biasa termasuk menerima pelbagai pengiktirafan di dalam dan luar negara.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Perunding: Jejas masa peribadi antara sisi negatif kerja dari rumah

KUALA LUMPUR, 13 JUN: Seorang perunding sumber manusia serantau mendedahkan sisi negatif daripada bekerja dari rumah (BDR) mula kelihatan dengan rasa tidak puas hati yang semakin meningkat, penyalahgunaan maya dan keseimbangan kerja-kehidupan yang mula terjejas.

Antara aduan yang diterima termasuklah terpaksa mengorbankan masa peribadi, majikan yang mendesak, kurangnya keseimbangan kerja-kehidupan, menyelesaikan konflik majikan-pekerja pada mesyuarat kumpulan dan keengganan pekerja untuk menyuarakan kebimbangan akan kehilangan pekerjaan mereka, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan GKK Consultants Sdn Bhd, Gajendra Balasingham.

“Ramai pekerja yang memilih untuk bersabar dengan sikap majikan yang mendesak dan tidak sensitif dan ketika negara masih lagi meneruskan sekatan pergerakan penuh bagi membendung pandemik Covid-19, ramai orang yang mula mempersoalkan sejauh mana produktifnya BDR,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau, bagaimanapun menasihatkan pekerja agar bersabar dengan situasi sekarang sehingga keadaan kembali normal dan mereka dapat membuat pilihan yang lebih baik.

Namun, katanya, tidak dinafikan banyak sisi positif yang diperoleh kedua-dua majikan dan pekerja daripada norma baharu kerja ini, terutamanya dari segi penjimatan bagi kedua-dua pihak, yang mana majikan boleh menjimatkan sewa pejabat, bil utliti dan perbelanjaan perjalanan dan keraian manakala pekerja boleh berjimat kos pengangkutan, masa yang dihabiskan dalam perjalanan pergi dan balik dari tempat kerja dan bagi sebahagian malahan berjimat perbelanjaan penjagaan anak kerana mereka berada di rumah sepanjang masa.

Gajen, yang menawarkan khidmat perundingannya di sembilan negara Asia dan telah menganjur serta menghadiri beratus-ratus mesyuarat maya, menggariskan beberapa petua berguna bagi majikan dan pekerja termasuk menyarankan mesyuarat maya dihadkan dalam tempoh masa yang kondusif, sebaiknya tidak melebihi daripada 30 minit.

Beliau berkata kedua-dua pihak harus mempunyai pengurusan masa yang teratur, majikan perlu menghormati ruang privasi antara satu sama lain dan menentukan batas-batas antara masa kerja dan elak daripada mengganggu kehidupan peribadi pekerja, manakala pekerja pula perlu berdisiplin mematuhi masa kerja dan bekerja bersungguh-sungguh menyelesaikan tugasan mereka.

Dalam situasi konflik pula, beliau menasihatkan sebarang masalah dibawa berbincang dan diselesaikan antara majikan danpekerja dan bukannya semasa mesyuarat kumpulan.

“Nasihat kami kepada pekerja untuk mendepani masa depan dengan penuh keyakinan, adalah terus meningkatkan dan menambah baik kemahiran dalam pelbagai bidang teknologi maklumat dan bergerak seiring dengan keperluan perubahan dunia,” kata Gajen.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada lagi arahan kerja dari rumah mulai 1 April

SHAH ALAM, 30 MAC: Tiada lagi arahan 30 peratus bekerja dari rumah dan sektor swasta dibenarkan mengoptimumkan pekerjanya 100 peratus.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pembatalan syarat ini memberi peluang kepada syarikat untuk beroperasi pada tahap yang maksimum.

“Kapasiti kehadiran pekerja bagi perkhidmatan awam adalah berdasarkan kepada Pekeliling/Arahan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Sektor swasta pula adalah dibenarkan 100 peratus bagi pengurusan/penyelia dan operasi/sokongan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau menjelaskan pelaksanaan arahan tersebut sukar dikeluarkan kepada syarikat perkilangan kerana operasi tidak dapat dilakukan secara jarak jauh.

Sebelum ini kerajaan melaksanakan dasar bekerja dari rumah untuk negeri dan kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan kehadiran 30 peratus kakitangan.

Bagaimanapun jumlah kehadiran ke pejabat di negeri dan kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) adalah pada tahap maksimum, tertakluk arahan ketua jabatan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kakitangan awam, industri semua negeri boleh bekerja dari rumah

SHAH ALAM, 10 NOV: Kerajaan membenarkan kakitangan awam dan sektor industri semua negeri bekerja dari rumah susulan penutupan sekolah hingga hujung tahun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bagi sektor awam ia tertakluk seperti pekeliling sebelum ini yang membenarkan kehadiran 30 peratus kakitangan selain ditentukan ketua jabatan masing-masing.

“Pihak JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) akan mengeluarkan surat pekeliling berkaitan hal ini kepada semua negeri manakala Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) akan mengumumkan untuk sektor industri,” katanya pada sidang media hari ini.

Bagaimanapun, menurutnya, arahan itu tidak melibatkan sektor peruncitan, restoran, perladangan, pertanian, perikanan dan lain-lain.

Pada 21 Oktober lalu, kerajaan membenarkan maksimum 10 peratus kakitangan sesebuah syarikat berada di pejabat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Categories
AGENDA NASIONAL

10 peratus pekerja tertentu di pejabat, 10 pagi hingga 2 petang – Miti

SHAH ALAM, 21 OKT: Maksimum 10 peratus kakitangan dalam sesebuah syarikat dibenar berada di pejabat sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai esok.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) berkata maksimum mereka berbuat demikian selama empat jam, 10 pagi sehingga 2 petang untuk tiga hari seminggu.

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata bidang tugas tersebut ialah perakaunan, kewangan, pentadbiran, perundangan, perancangan dan teknologi komunikasi maklumat.

Beliau berkata majikan hanya perlu mengeluarkan surat pelepasan perjalanan untuk kakitangan dan menetapkan garis panduan bersesuaian dengan keperluan syarikat.

“Berdasarkan sistem pangkalan data Miti Covid-19 Intelligent Management System (CIMS), jumlah pekerja berdaftar dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan di Sabah, Labuan, Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya seramai 3.1 juta.

“Daripada jumlah pekerja di atas, seramai 776,135 pekerja atau 25 peratus adalah pekerja dalam bidang pengurusan dan penyeliaan. Kumpulan ini diwajibkan menjalani bekerja dari rumah bermula 22 Oktober selaras keputusan Majlis Keselamatan Negera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sidang Khas MKN semalam membincangkan situasi terkini pandemik Covid-19 bagi membendung penularan wabak itu.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendesak kerajaan supaya memperketatkan tatacara operasi piawai (SOP) dalam tempoh PKP termasuk mengehad pergerakan orang ramai di lokasi PKPB.

Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dikenakan PKPB sehingga 27 Oktober antara wilayah yang menggerakkan sektor ekonomi dan perindustrian di negara ini.

 

Categories
AGENDA EKONOMI

Teknologi, pendigitalan bantu syarikat tangani normal baharu

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Peneraju perniagaan di Malaysia terpaksa memanfaatkan kelebihan teknologi dan pendigitalan untuk pulih dan berkembang dalam normal baharu, menurut Ernst & Young PLT (EY).

Kajian impak perniagaan Covid-19 oleh EY, yang dijalankan pada 27 April hingga 19 Mei, mendapati bahawa perniagaan mempercepatkan penggunaan teknologi sebagai respons kepada sekatan semasa Covid-19.

Sejumlah 37 peratus Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta 32 peratus syarikat besar dan tersenarai mengambil langkah mengembangkan atau menaik taraf keupayaan teknologi mereka, kata EY berdasarkan kajian dalam talian meliputi hampir 700 firma besar termasuk PKS.

“Hampir 30 peratus syarikat juga melabur dalam perisian dan perkakasan ‘Kerja Dari Rumah’ bagi membolehkan pekerja mereka terus menyumbangkan produktiviti,” kata EY dalam kenyataan hari ini.

Rakan Kongsi Pengurusan EY Malaysia, Datuk Abdul Rauf Rashid berkata Covid-19 menjadi penentu dalam mendorong perniagaan melaksanakan transformasi digital.

“Sebelum ini, banyak inisiatif dan program yang memujuk syarikat untuk beralih ke arah pendigitalan mendapat sambutan dingin terutama daripada PKS, Covid-19 memaksa mereka berubah,” katanya.

Menurut EY, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendedahkan bahawa perniagaan di Malaysia tidak mempunyai persediaan mencukupi untuk beralih kepada persekitaran kerja lebih didayakan digital.

“Semasa PKP, kebanyakan syarikat (83 peratus syarikat besar dan tersenarai; 84 peratus PKS) mengalami masalah dengan sambungan dalam talian termasuk komunikasi dengan pembekal dan pelanggan mereka, di samping isu dengan infrastruktur,” katanya.

Syarikat ini perlu meningkatkan lagi transformasi digital mereka dan mengguna pakai proses serta sistem teknologi dalam persediaan untuk persekitaran lebih digital dalam normal baharu ini.

-BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Bekerja dari rumah sepanjang PKP perlu disiplin tinggi

Oleh Ali Imran Mohd Noordin

KUALA LUMPUR, 9 APRIL: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan di seluruh negara sudah masuk ke fasa kedua dan pihak yang menerima kesan besar daripada perintah ini adalah golongan pekerja.

Pelaksanaan PKP bukanlah bermaksud mereka mendapat cuti percuma. Kerja tetap harus dibuat tetapi prlaksanaannya adalah secara bekerja dari rumah (BDR) dan ia adalah tidak mudah.

Ada beberapa perkara yang perlu difahami dan diselesaikan sebelum seseorang itu boleh bekerja dengan cekap di luar pejabat.

Bekerja dari rumah bererti perlu bijak menguruskan tuntutan kerja di pejabat dan di rumah pada waktu yang sama. Ramai pekerja memakai ‘topi’ yang pelbagai dalam satu masa sebagai pekerja, ibu, anak, dan suami.

BDR PENJAWAT AWAM

Bagi pegawai kerajaan, arahan bekerja dari rumah yang diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman dalam surat bertarikh 17 Mac 2020 menetapkan, setiap pegawai kerajaan yang bekerja dari rumah mestilah mematuhi tiga syarat.

Syarat pertama adalah sentiasa berada di dalam rumah dalam tempoh waktu bekerja yang ditetapkan kerajaan; kedua adalah sentiasa bersedia sekiranya diarah ketua jabatan untuk hadir ke pejabat atau mana-mana lokasi lain dan ketiga memastikan sentiasa boleh dihubungi dalam tempoh waktu bekerja.

Surat tersebut turut menyatakan tindakan tatatertib boleh diambil terhadap pegawai yang gagal mematuhi tiga perkara di atas melainkan mendapat kebenaran daripada ketua jabatan masing-masing.

Pegawai kerajaan juga tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan peraturan lain yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

BDR boleh dikatakan satu perkara baharu terutamanya bagi sektor awam. Apakah cara yang boleh dilakukan supaya kaedah kerja ini boleh dilaksanakan dengan jayanya?

Bernama menemu bual beberapa orang individu yang sudah biasa dengan amalan BDR ini dan berkongsi pengalaman mereka yang boleh dijadikan panduan.

KEKALKAN IMBANGAN

Pengarah Sumber Manusia Shell Malaysia, Shazmi Ali berkongsi beberapa panduan bagaimana beliau bekerja dari rumah menerusi video yang dihasilkan sendiri. Video itu setakat ini meraih hampir 10,000 tatapan.

“Apa yang sesuai untuk saya dan yang sesuai dengan anda, mungkin berbeza, tetapi bagi saya, langkah nombor satu, jangan tukar rutin anda. Lakukan apa yang anda biasa lakukan sebelum ke tempat kerja, “ katanya kepada Bernama, sambil merujuk kepada rutin pagi seperti mandi dan minum secawan kopi.

Bagi Shazmi, terpulanglah kepada pilihan individu hendak pakai apa ketika bekerja dari rumah. Cuma yang penting, beliau mencadangkan supaya tukarlah pakaian tidur dan pakai yang selesa untuk sepanjang hari.

Mempunyai ruang kerja yang khusus juga faktor penting untuk BDR yang cekap. Kecil atau besar ruang kerja bukanlah menjadi isu, selagi cukup untuk letak komputer riba, dokumen atau perkakas lain yang diperlukan supaya kerja boleh disiapkan.

Shazmi turut mencadangkan supaya sesekali berehat seketika di samping meluangkan masa untuk keluarga. Bangun dari tempat duduk dan buat regangan, boleh juga bermain dengan anak-anak untuk mengimbangkan kerja dengan kehidupan anda.

“Dalam keadaan yang serba mencabar sekarang, bukan mudah bekerja dari rumah. Kita fikir senang tetapi tidak ….keadaan mungkin menjadi sukar. Saya ada anak kecil. Saya perlu sesuaikan keadaan dan ini adalah langkah nombor dua.

“Perlu jelaskan kepada isteri anda, anak-anak anda atau ibu bapa anda yang anda akan bekerja dari rumah, anda perlu membuat panggilan telefon, saya ada di rumah bukan bercuti, Mereka akan faham.

“Pagi ni saya ada mesyuarat dalam talian dan anak-anak saya ada dengan saya. Bukan saya nak mereka di samping saya dan mereka pun buat bising, sesekali jerit, semua orang boleh dengar. Oklah macam tu kan? Nama pun bekerja dari rumah, “ kata Shazmi.

SASAR KPI BUKAN JUMLAH JAM

Bagi seorang digital nomad Faiz Najmi, beliau menjadikan sasaran (KPI) kerja harian sebagai kayu ukur nilai kerja harian yang dilakukan. Menurut beliau dengan cara ini seseorang boleh bekerja dengan lebih fleksibel namun tetap berkesan menyiapkan tugasan.

“Instead of buat jadual yang impossible, saya buat KPI seperti tiga muka surat tesis setiap hari. Kalau nak tidur, tidur sahaja asalkan kerja siap. Kalau terasa nak tangguhkan kerja, duduk depan laptop atau kira sampai 20 dan mulakan kerja,” kata beliau.

Beliau turut menekankan soal penjagaan kesihatan fizikal dan mental. Pengambilan makanan, amalan senaman serta mengawal tekanan emosi adalah perkara yang perlu dititikberatkan.

“Satu kali suap kunyah 50 kali pun tak apa…buatlah senaman naik turun tangga, yoga, tekan tubi dan sit up. Media sosial juga akan membuat kita resah gelisah dengan isu Covid-19 jadi hadkan penggunaan kepada setengah jam di waktu pagi dan setengah jam di waktu petang,” pesan beliau yang juga pernah bertugas sebagai doktor.

Istilah digital nomad merujuk kepada seseorang yang melakukan kerja tanpa batasan masa atau geografi. Faiz yang juga merupakan seorang pengembara memilih jenis kerja yang membolehkan beliau bekerja dari pelbagai lokasi di seluruh dunia.

JANGAN ROSAKKAN KEPERCAYAAN

Sementara itu, bagi Muhammad Aizat Abdul Razak, 35, pengalaman bekerja dari rumah sejak setahun lalu mengajar beliau pentingnya kriteria saling percaya antara ketua dan pasukan sebagai kunci menjayakan BDR.

“Kurangkan andaian, berikan kepercayaan. Itulah kuncinya. Ketua atau pengurus yang kali pertama melalui BDR usah takut memberi kepercayaan kepada team kita. Buatlah panduan asas. Istighfar banyak-banyak kalau asyik fikir team buat kerja atau tidak. Untuk team pula usah ambil kesempatan dan usah pecahkan rasa kepercayaan yang diberi,” kata beliau yang menguruskan pengiklanan klien melalui laman Facebook.

Kaedah yang digunakan pasukannya adalah mengadakan senarai kerja setiap pagi mengikut waktu pejabat. Lebih baik lagi jika dapat diadakan mesyuarat dalam talian agar setiap orang dapat memaklumkan rancangan pekerjaan harian.

Aizat berkata komunikasi memainkan peranan penting untuk menjayakan BDR. Pasukan beliau meletakkan panduan ‘mesti respons mesej dalam tempoh 30 minit’ dan bagi sesiapa yang perlu meninggalkan kerja untuk urusan peribadi perlu memaklumkan kepada ketua.

Selepas waktu bekerja tamat, setiap ahli pasukan berkongsi senarai tugasan yang berjaya dilakukan. Rutin ini berlaku secara harian.

PENGALAMAN BAHARU

Bagi penulis sendiri walaupun sudah biasa bekerja dari luar pejabat, pengalaman bekerja dari rumah dalam tempoh PKP mengajar beberapa perkara baharu dalam membina budaya kerja yang stabil.

Dua perkara penting bagi penulis adalah jadual harian yang ‘adil’ bagi diri sendiri serta ruang kerja yang teratur dan lengkap.

Jadual penulis tidak banyak diubah berbanding jadual harian sewaktu bekerja di pejabat. Bangun tidur, mandi dan masuk ke ‘pejabat’ tetap berjalan seperti biasa walaupun ‘pejabat’ hanyalah beberapa langkah dari bilik tidur sahaja!

Tidak dinafikan ‘keseronokan’ bekerja tidaklah seperti yang biasa kerana sebagai wartawan berjalan ke sana ke sini bertemu pelbagai orang adalah lumrah setiap hari. Ia diganti dengan panggilan telefon dan menghantar emel kepada pihak yang ingin ditemu bual sambil memantau trend di media sosial.

Penulis turut meluangkan masa yang cukup untuk memasak dan keluar membeli barang keperluan. Waktu memasak paling ditunggu setiap hari kerana ia memberi ruang untuk tidak memikirkan tentang hal kerja buat sementara waktu.

TAMBAHKAN ILMU

Bagi pengurus atau pekerja yang baru mahu membiasakan diri dengan budaya kerja dari luar pejabat, ada baiknya jika mereka mengambil sedikit masa untuk menambah ilmu berkaitan perkara ini.

Laman sosial kerjaya LinkedIn menerusi blog mereka ada berkongsi pautan video pendek meliputi topik seperti memaksimumkan produktiviti dan tahap kecekapan kerja, pengurusan stres, pengurusan pasukan secara jarak jauh dan laman sesawang yang menyediakan kemudahan mesyuarat secara maya.

Semua maklumat ini boleh didapati di pautan https://learning.linkedin.com/blog/productivity-tips/new-to-working-remotely–these-resources-can-help.

Bahan bacaan lain seperti dari majalah Time juga menarik dengan penekanan kepada sistem ‘buddy’ https://time.com/5801725/work-from-home-remote-tips/.

Arikel dari laman sesawang Entrepreneur.com pula berkongsi cara bekerja yang lebih santai seperti amalan walking meeting dan menikmati waktu kerja https://www.entrepreneur.com/article/347479.

Pendek kata, ada banyak cara untuk menjayakan usaha BDR. Pilihlah cara yang paling sesuai untuk diri sendiri dan organisasi anda. Apa yang penting kualiti kerja tetap dapat dicapai.

Siapa tahu selepas ini semakin banyak syarikat dan bos yang lebih terbuka memberi pelepasan bekerja dari rumah kepada warga kerja mereka.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Petugas PBB di New York kerja dari rumah

NEW YORK, 14 MAC: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres memutuskan supaya semua petugas di ibu pejabat PBB di New York bekerja dari rumah atau secara “e-commuting”, mulai 16 Mac hingga 12 April.

Ia bertujuan untuk mencegah serta membendung penularan Covid-19, lapor agensi berita Sputnik memetik kenyataan jurucakap pejabat PBB pada Jumaat.

“Setelah berbincang dengan pihak pengurusan kanan, termasuk Pengarah Perubatan, Setiausaha Agung mengambil keputusan untuk meningkatkan langkah pencegahan di ibu pejabat PBB bagi mengurangkan penyebaran virus Covid-19.

“Semua petugas diminta bekerja dari rumah atau “e-commuting” kecuali keadaan benar-benar memerlukan berada di pejabat,” katanya.

-BERNAMA