Categories
RENCANA WAWANCARA

Yakini kerajaan mampu tangani koronavirus

KUALA LUMPUR, 27 JAN: Kedudukan Malaysia di tangga ke-18 Indeks Keselamatan Kesihatan Global (GHS) 2019 daripada 195 negara menunjukkan Malaysia mempunyai kemampuan yang baik dalam mencegah, mengesan dan bertindak terhadap penularan penyakit berjangkit.

Indeks GHS ini merupakan satu pengiktirafan antarabangsa akan keupayaan negara dalam menangani sebarang penularan penyakit, termasuk kluster koronavirus 2019.

Sehubungan itu, masyarakat perlu meletakkan keyakinan terhadap keupayaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khususnya dan kerajaan amnya yang sedang bertungkus-lumus memberi perlindungan terbaik kepada rakyat daripada ancaman koronavirus.

Sebenarnya, penularan kluster penyakit berbahaya di Malaysia bukan sesuatu yang baharu. Negara pernah mengharungi ancaman seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada tahun 2003, virus Nipah (1998-1999) dan Infuenza A (2009 dan baru-baru ini) yang membolehkan KKM menimba pengalaman luas dan meningkatkan kepakarannya dalam menangani penularan penyakit berkenaan.

Kakitangan Kementerian Kesihatan memantau saringan suhu badan yang berfungsi 24 jam di Terminal Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang pada 24 Januari 2020. Foto BERNAMA

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar memberitahu Bernama berdasarkan pengalamannya di bahagian kawalan penyakit, jelas langkah-langkah yang diambil KKM ketika ini untuk menangani penularan koronavirus mencerminkan kematangan kerajaan dalam menangani isu itu.

“Ini kerana kita bukan kali pertama berhadapan dengan isu seperti ini, sebab itu kita sudah ada sistem dan prosedur saringan, pengesanan kontak, kuarantin, pengawasan dan apabila ada pesakit dalam siasatan (PUI) kita akan hantar ke Hospital Sungai Buloh,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Untuk rekod, katanya, Hospital Sungai Buloh merupakan pusat rujukan dan rawatan penyakit berjangkit terbaik di Malaysia dan antara yang terbaik di Asia dengan mempunyai kelengkapan mencukupi dan kepakaran diiktiraf.

Berikutan itu, Dr Zainal Ariffin berkata rakyat tidak seharusnya meragui kebolehan yang ada pada kakitangan perubatan KKM kerana mereka sentiasa menjalani simulasi dan cukup terlatih untuk berhadapan dengan isu seperti jangkitan koronavirus itu.

“Rakyat juga tidak seharusnya meragui langkah yang diambil oleh kerajaan kerana setiap keputusan yang dilakukan adalah berdasarkan nasihat daripada panel penilaian profesional dalam bidang perubatan.

“Apa yang berlaku kini, terlalu ramai yang menjadi ‘pakar’ tanpa ilmu yang sebenar dan media sosial seperti Facebook dijadikan sebagai teater politik untuk menangguk di air keruh menyebabkan timbul situasi panik dalam kalangan rakyat.

“Nasihat saya ikuti berita yang sahih dikeluarkan oleh KKM, semak jurnal perubatan untuk mendapatkan fakta, jangan dengar khabar angin kerana ia menyebabkan kegelisahan,” katanya.

Sementara itu, menurut indeks GHS yang dikeluarkan pada Oktober lepas, Malaysia dilihat lebih bersedia berbanding negara jiran Singapura dan Indonesia yang masing-masing berada pada kedudukan ke-24 dan ke-30 daripada kesemua 195 negara yang dinilai.

Negara-negara berkenaan disenarai dalam tiga kategori – paling bersedia, lebih bersedia dan kurang bersedia dan Malaysia ditempatkan dalam kategori kedua.

Negara yang berada di kedudukan teratas ialah Amerika Syarikat, dengan skor 83.5, diikuti oleh Britain (77.9) dan Belanda (75.6) dengan negara jiran di utara, Thailand menduduki tangga ke-6 (73.2) dan Korea Selatan di tangga ke-9 (70.2) .

GHS menilai persediaan dalam menghadapi risiko yang memberi kesan besar dan bencana biologi global.

-BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Kementerian Kesihatan tumpu pelihara kesejahteraan rakyat

PUTRAJAYA, 27 JAN: Kementerian Kesihatan (KKM) komited memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia terpelihara pada 2020 dengan memfokuskan kepada program imunisasi pneumokokal dan larangan merokok di premis makanan awam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata program imunisasi pneumokokal di bawah Program Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan akan dimulakan pada 2020, dengan sasaran terhadap kanak-kanak yang lahir pada 1 Januari tahun ini dan seterusnya.

Di bawah program itu, tiga dos suntikan vaksin penumococcal conjugate akan diberikan bagi setiap kanak-kanak.

“Persediaan sedang giat dilakukan KKM termasuk perolehan vaksin, persediaan logistik, penyediaan bahan pendidikan kesihatan dan latihan anggota kesihatan,” katanya pada majlis amanat tahun baharu kementeriannya baru-baru ini.

Mengenai larangan merokok di tempat awam pula, Dr Dzulkefly berkata KKM mengambil pendirian tegas menguatkuasakan zon larangan merokok di tempat awam khasnya bagi membendung gejala asap rokok yang boleh memudaratkan kanak-kanak, wanita hamil dan warga emas.

Menurut statistik, katanya tujuh daripada 10 orang dewasa yang pergi ke restoran terdedah dengan asap rokok yang mana boleh mengakibatkan lebih 890,000 kematian pramatang dalam setahun.

Pada 1 Januari tahun ini, KKM melaksanakan penguatkuasaan penuh larangan merokok di tempat makan dengan kompaun maksimum sehingga RM350. KKM mewartakan semua tempat makan sebagai tempat larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018, Akta Makanan 1983.

Pada 2020, kata Dr Dzulkefly, KKM akan terus maju dalam mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan kesihatan dengan penglibatan yang lebih serius bersama pihak GP swasta dan klinik swasta.

Beliau berkata polisi ‘National Health Fund’ atau Dana Nasional Kesihatan perlu digerak serta digembeling secara progresif dalam mengupaya kredibiliti dan prestasi KKM secara inklusif.

-BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Tuah tikus logam: Bijak rebut peluang, penuhi azam 2020

Rebut apa sahaja peluang yang ada pada 2020 — kunci bagi kejayaan rakyat Selangor tahun ini, begitu nasihat pakar metafizik Cina Datuk Joey Yap yang merujuk feng shui untuk Tahun Tikus Logam.

Tahun Baharu Cina, yang berasaskan zodiak 12 haiwan termasuk tikus, bermula 25 Januari ini. Babi dan lembu masing-masing mewakili simbol 2019 dan tahun depan.

Ramalan berdasarkan falsafah Cina purba itu pasti membawa makna tertentu dalam kalangan penganut kepercayaan berkenaan dan juga mereka yang meminati ramalan zodiak.

Meramalkan cabaran dan peluang tahun tikus kepada Selangor Journal, Yap berkata warga negeri ini bakal berdepan perubahan mendadak dan mereka perlu berhati-hati serta tidak hilang fokus.

“Sebahagian kita akan berdepan cabaran seperti tahun lepas. Namun, bagi mereka yang berjaya maju dalam suasana mencabar, tahun ini pasti lebih mengujakan,” katanya, yang menghasilkan lebih 180 buku berkaitan metafizik Cina.

“Daripada hanya menunggu untung nasib, lebih baik setiap orang mengembang kebolehan sedia ada dan menambah kemahiran baharu pada tahun ini. Mereka yang mudah menyesuaikan diri dan suka inovasi mempunyai kelebihan.”

Pengasas Akademi Kepakaran Metafizik Cina dan ketua perunding Joey Yap Consulting Group yakin sesiapa yang mampu membuat penyesuaian dan inovasi bakal memiliki kelebihan.

Beliau juga percaya Tahun Tikus adalah masa terbaik untuk Kerajaan Negeri menyediakan pelan alternatif berkaitan ekonomi dan pentadbiran dalam semua sektor bagi mengekalkan kemampanan.

“Ini masa terbaik untuk pentadbiran negeri membuat pelaksanaan dan keputusan dengan penuh kewaspadaan kerana ekonomi ‘kelihatan’ baik. Namun, ia mungkin baik di permukaan sahaja kerana kita percaya ada kekurangan dari unsur logam, yang melambangkan kekayaan,” katanya.

Beliau beranggapan strategi paling ampuh bagi mendepani persekitaran itu adalah dengan memanfaatkan setiap peluang yang datang.

Tambahnya, 12 haiwan dalam zodiak Cina boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan sifat individu: penuh semangat dan bercita-cita, pemberi dan berkembang maju.

Simbol harimau, babi, kuda dan monyet dikategori dalam kumpulan yang penuh semangat dan bercita-cita. Mereka dianggap boleh berkembang maju jika mereka belajar mengatasi cabaran dan menyesuaikan diri dengan perubahan sekeliling.

“Hanya dengan itu tahun (tikus) ini membawa perubahan dalam banyak aspek kehidupan mereka,” kata Yap lagi.

Naga, tikus, anjing dan ular pula dalam kumpulan pemberi. Tahun 2020 dianggap menarik untuk mencapai persahabatan baharu, jaringan baharu dan permulaan baharu. Tahun ini juga diyakini masa terbaik untuk mereka mampu melangkah jauh dan menjadi pemimpin yang baik.

Mereka yang dilahirkan pada zodiak kambing, ayam, lembu dan arnab pula diyakini dapat berkembang maju pada tahun ini. Bagi lembu dan ayam jantan pula, mereka mampu mengubah situasi negatif menjadi hasil positif.

Categories
RENCANA WAWANCARA

Usia cecah satu abad bukan penghalang urus diri sendiri

KUALA TERENGGANU, 23 JAN: Berusia hampir satu abad, warga emas ini bukan sahaja mampu menguruskan dirinya sendiri malah masih kuat melakukan pelbagai aktiviti seperti menjahit dan memasak.

Bukan itu sahaja, Lim Seng, 99, atau mesra disapa Po Po (bahasa Mandarin bermaksud nenek) Lim turut ligat bermain Mahjong yang sememangnya memerlukan ketajaman akal fikiran dan daya ingatan yang kuat.

Lim berkata, beliau juga sentiasa mengamalkan pemakanan yang sihat dengan makan banyak sayur untuk sentiasa awet muda dan mengurangkan pengambilan makanan yang berminyak.

“Dahulu saya buka kedai makan dan memang setiap hari kena kerja kuat jadi badan banyak bergerak dan mengeluarkan peluh. Mungkin sebab itu boleh sihat sampai sekarang, katanya ketika ditemui Bernama di kedai makan miliknya yang kini diuruskan anaknya Poh Tik Heng, 70, dan menantu Fu Sek Sue, 63, di Kampung Cina, di sini.

Kini meskipun mengalami masalah penglihatan pada mata kanannya Lim masih mampu berjalan di sekitar Kampung Cina dan bertemu rakan-rakan.

Lim, yang mudah tersenyum dan ketawa itu, turut dikenali dengan sikapnya yang menjaga penampilan setiap hari, walaupun hanya berada di rumah.

Lim Seng, 99, sedang melihat pokok bunganya bagi persiapan awal menjelang Tahun Baharu Cina ketika ditemui Bernama di kediamannya di sebuah rumah kedai di Kampung Cina. Foto BERNAMA

Beliau akan memastikan pakaian yang dipakainya sentiasa kemas, sering mengenakan bedak di muka, memakai minyak wangi dan rambutnya akan disisir serta disanggul rapi.

“Saya tinggal di tingkat atas (tingkat atas kedai makannya), setiap kali hendak turun atau keluar akan ambil masa paling kurang setengah jam untuk bersiap. Sehingga anak saya pun ‘pening’ dengan saya. Mereka cakap saya ‘jangok’ (melawa),” katanya sambil ketawa.

Katanya, meskipun sudah berusia namun ia bukan alasan untuk dirinya mengabaikan penjagaan diri dan penampilan, apatah lagi beliau sememangnya suka berhias sejak muda lagi.

Lim, yang berhijrah ke Terengganu dan tinggal di Kampung Cina sejak 70 tahun lepas setelah mengikut mendiang suami Poh Chew Say yang bekerja membawa kapal laut, turut berkongsi rasa terujanya menantikan kedatangan Tahun Baharu Cina ini.

Walaupun kebanyakan persiapan Tahun Baharu Cina dibuat oleh anak dan cucunya, namun setiap tahun Lim akan menyediakan menu Ayam Kam Heong untuk dinikmati keluarganya pada acara tradisi makan besar nanti.

“Selalunya apabila berkumpul saya selalu beri nasihat kepada ahli keluarga supaya sentiasa hidup dengan baik jangan bergaduh serta tidak sesekali mengeluarkan kata-kata yang tidak elok kepada sesiapa sahaja,” katanya yang mempunyai tiga orang anak, 11 cucu dan enam cicit.

Lim turut mengimbau kenangannya meraikan Tahun Baharu Cina pada masa dahulu yang mana kemeriahannya lebih dirasai berbanding kini.

“Dahulu dua tiga hari sebelum raya akan nampak ramai gadis pakai baju (Cheongsam) cantik-cantik, bersolek dan berkasut tumit tinggi. Tapi orang sekarang lebih gemar memakai pakaian moden yang ringkas dan tidak lagi bersolek.

“Taraf hidup masyarakat pun semakin berubah. Dahulu hendak makan ayam hanya setahun sekali bila raya (Tahun Baharu Cina) sahaja, sekarang hari-hari pun boleh makan ayam,” katanya.

Ditanya mengenai harapan sempena Tahun Baharu Cina ini, Lim berharap beliau terus dikurniakan kesihatan yang baik dan sentiasa bergembira di samping keluarga.

-BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

‘Tuah’ Yee Sang pada Tahun Baharu Cina

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Sambutan Tahun Baharu Cina dilihat seolah-olah tidak lengkap tanpa hidangan Yee Sang yang menjadi penyeri buat setiap acara makan besar.

Dengan campuran hirisan sayur-sayuran seperti lobak merah dan putih, halia, kepingan ikan mentah serta kekacang yang ditumbuk, ditambah sos plum dan jus limau, menjadikannya begitu menyelerakan bagi sesiapa sahaja yang bertuah dapat menikmatinya.

Yee Sang, antara hidangan tradisi dan popular Tahun Baharu mempunyai maksud tersendiri berdasarkan bahan yang digunakan, sejarah dan sebutan nama makanan itu.

Menurut kepercayaan masyarakat Cina, terdapat beberapa jenis makanan tradisional termasuk Yee Sang yang dilihat sebagai simbol kepada kemewahan, kekayaan, kebahagian dan kemakmuran.

Dalam bahasa Cina, Yee bermaksud ‘ikan’ yang juga mempunyai persamaan sebutan dengan perkataan ‘senang’ dan Sang bermaksud ‘mentah’ yang sering disamakan dengan ‘kelahiran semula’.

“Jadi, kami percaya seseorang akan diberkati dengan kesejahteraan dan dipanjangkan umur dengan memakan Yee Sang, selain dilimpahi kebaikan dan dikurniakan tuah tidak kira bidang yang diceburi,” Timbalan Pengarah Pemasaran Sunway Velocity Mall, Darren Chear berkongsi kisah Yee Sang kepada Bernama baru-baru ini.

Sejarah Yee Sang

Yee Sang dipercayai mula dihidangkan kira-kira 1,500 tahun yang lalu di kawasan pantai selatan China terutamanya di wilayah Chaozhou dan Shantou semasa pemerintahan Dinasti Song.

Yusheng, yee sang atau yuu sahng dianggap melambangkan kemewahan, kemakmuran dan kesuburan. Foto Wikipedia

“Ia juga turut dikaitkan dengan sebuah legenda atau mitos iaitu Dewi Nu Wa yang kononnya mencipta manusia pada hari ketujuh selepas tahun baharu dan hidangan Yee Sang disediakan oleh kaum nelayan dan pelaut China Selatan ketika itu bagi memperingati kisah itu,” jelas Chear.

Menurut Chear, idea menghasilkan hidangan ini muncul ketika zaman Dinasti Song kerana terdapat lebihan makanan seperti keropok, lobak merah, lobak putih, limau bali, halia dan sebagainya selepas merayakan Tahun Baru Cina.

“Disebabkan tidak mahu membazir, mereka mencampurkan saki baki makanan itu dan ditambah dengan perasa seperti sos plum, lada hitam dan putih serta minyak untuk membangkitkan rasa.

“Simbolik menggaul Yee Sang kebiasaannya dilakukan pada hari ketujuh kerana bagi memperingati ‘Ren Ri’ iaitu ‘Hari Manusia’ berkaitan dengan mitos Dewi Nu Wa itu, yang turut membawa maksud ‘kelahiran semula’,” tambahnya.

Jeritan ‘Lou Hei’

Chear memberitahu Bernama, walaupun Yee Sang berasal dari Tanah Besar China, namun masyarakat di sana tidak pernah mendengar apatah lagi mempraktikkan budaya memakan dan menggaul hidangan itu ketika Tahun Baru Cina.

Beliau berkata, ramai yang tidak tahu sebenarnya Yee Sang dipopularkan oleh seorang ahli perniagaan dari Seremban, Negeri Sembilan iaitu Loke Ching Kee pada tahun 1940-an dan mereka melakukan acara melambung Yee Sang sambil melaungkan ‘Lou Hei’ yang bermaksud ‘gaul naik’.

Ia juga bermaksud mengucapkan kata-kata yang baik seperti ‘semoga bertambah rezeki’, ‘semoga panjang umu’, ‘semoga keluarga bahagia’. Ia umpama doa yang merupakan simbolik kepada permohonan dan pengharapan agar tuah dan rezeki akan bertambah pada tahun yang mendatang.

Pada kebiasaannya, menu Yee Sang disajikan sebagai hidangan pembuka selera sebagai simbol penyatuan dan lambang kemurahan rezeki.

Upacara ‘Lou Hei’ akan dilakukan sebelum makan dengan semua orang berkumpul mengelilingi meja dan akan menggaul serta melambung isi Yee Sang yang terdiri daripada sayur-sayuran, ikan mentah dan sos.

“Kami percaya bahawa semakin tinggi Yee Sang itu diangkat dan digaul, maka lebih banyak kemakmuran yang bakal dinikmati sepanjang tahun, “ jelas Chear.

Selain kemakmuran yang ingin dicapai, masyarakat Cina turut percaya bahawa perkataan ‘Lou Hei’ dilaungkan dengan harapan ia dapat memberi kesihatan lebih baik kepada seseorang.

Cara penyediaan Yee Sang

Walaupun Yee Sang dikatakan bermula di tanah besar China, Yee Sang versi Malaysia sangat berbeza dengan versi China kuno daripada segi bahan, cara menghias dan cara memakannya.

Menurut Chef Eksekutif Hotel Kosmo Kuala Lumpur Lee Foei Wong, persamaannya dengan Yee Sang moden adalah dari segi ikan mentahnya sahaja, manakala bahan-bahan lain, cara menghias malah cara memakannya termasuk melambung Yee Sang, tidak dipraktikkan sama sekali oleh mereka.

“Inti Yee Sang biasanya terdiri daripada bahan-bahan seperti ikan mentah (salmon), hirisan sayur-sayuran seperti lobak merah, lobak putih, bijan, kekacang yang ditumbuk, halia, buah abung, jus limau, serbuk lima rempah dan keropok rangup.

“Kesemua inti tersebut akan disusun secara rapi di atas sebuah pinggan bulat,” katanya.

Sebelum proses menggaul Yee Sang dimulakan, sos plum yang mempunyai rasa masam dan manis akan dituang dan disusuli dengan tindakan memerah jus limau pada ikan mentah bertujuan untuk mengelakkan kemasukan bakteria selain menyedapkan rasa ikan itu.

“Selepas sos dituang, tibalah detik yang dinanti-nantikan oleh semua iaitu proses menggaul Yee Sang, yang mempunyai cara yang tersendiri kerana semua intinya akan digaulkan bersama secara agresif menggunakan penyepit oleh mereka yang berkumpul di sekeliling meja bulat,” katanya.

Lee, yang mempunyai pengalaman menyediakan masakan Cina selama 19 tahun berkata Yee Sang boleh disediakan dalam pelbagai bentuk tidak hanya terhad kepada sayur-sayuran dan ikan salmon mentah sahaja.

“Kami menyediakan hidangan Yee Sang berdasarkan permintaan, ada Yee Sang versi vegetarian dan tidak kurang juga ada Yee Sang yang seakan-akan rojak buah.

“Walaupun terdapat pelbagai jenis pilihan Yee Sang, simbolik kemakmuran dan kesejahteraan bagi menggaul dan memakan Yee Sang masih lagi sama pada sambutan Tahun Baharu Cina setiap tahun,” katanya.

-BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

KKM komited tingkat perkhidmatan, perbelanjaan sektor kesihatan

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Meningkatkan perbelanjaan negara dalam sektor kesihatan dan menambah baik perkhidmatan kesihatan oleh sektor awam dan swasta antara cabaran terbesar dan agenda utama Kementerian Kesihatan (KKM), kata Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Sejak mula mengemudi kementerian itu pada Mei 2018, beliau melihat walaupun negara kini berada pada pendapatan pertengahan atas, malangnya, sejak hampir dua dekad lalu perbelanjaan negara dalam sektor kesihatan dianggap sebagai kurang pembiayaan.

Dr Dzulkefly berkata maka tidak hairanlah apabila dapatan Audit Negara menunjukkan bahawa jabatan kecemasan dan trauma hospital kerajaan kurang pembiayaan, kurang kakitangan dan terlebih kerja, sekali gus mengakibatkan kesesakan dan masa menunggu lama bagi pesakit.

Menyedari hakikat itu, beliau berkata antara perkara dilakukannya adalah mendapatkan komitmen perdana menteri dan menteri kewangan supaya peruntukan disediakan lebih munasabah untuk melakukan catch up atau mempercepatkan pembangunan kesihatan yang sudah agak ketinggalan.

Perkara itu membuahkan hasil apabila peruntukan Belanjawan 2020 bagi kementerian itu ditingkatkan kepada RM30.7 bilion berbanding RM28.68 bilion pada Belanjawan 2019, katanya ketika menjadi tetamu ‘Bicara Naratif: Pencapaian Kementerian Kesihatan Malaysia 2019’ yang disiar secara langsung di saluran TV1 RTM, malam tadi.

“Saya tidak memandang hanya kepada pihak kerajaan atau awam, kita adalah KKM, kita bukan hanya custodian of health ataupun penyelia kesihatan awam, kita juga adalah ‘custodian of health’ untuk seluruhnya. Dengan lain kata awam dan swasta,” katanya.

Jelasnya, beliau melihat peranan besar dimainkan pihak swasta dalam membantu mempertingkat perkhidmatan penyampaian kesihatan, mengambil contoh penglibatan Klinik Perubatan Am swasta dalam Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40).

“Saya memandang swasta sebagai partner saya, bukan sebagai pesaing saya. Saya mahu pihak swasta juga pertingkatkan penyampaian berasaskan nilai bukan saja aspek penyembuhan tapi juga pencegahan,” katanya.

Berhubung larangan merokok secara penguatkuasaan pendidikan bermula 1 Januari 2019, dan penguatkuasaan penuh pada 1 Januari lalu, Dr Dzulkefly berkata beliau tidak mahu dilihat sebagai musuh perokok dan sebenarnya tidak senang dan khuatir dengan persepsi itu.

“Saya adalah menteri kesihatan yang cuba untuk mengawal selia, perokok boleh merokok tapi di tempat yang sesuai,” katanya.

Katanya banyak rakyat negara kini berdepan dengan apa yang diistilahkan sebagai ‘kematian pramatang’ atau premature death, dan ia antara lain disumbang faktor penyakit tidak berjangkit (NCD) iaitu kencing manis, darah tinggi, tinggi lemak, tinggi kolestrol, ditambah cara hidup moden yang kurang bersenam, merokok, minum arak dan kegemukan atau obesiti .

“Saya mengambil langkah ini sebab salah satu faktor risiko yang menyebabkan lagi komplikasi kepada diabetes dan hipertensi adalah rokok, itu menyebabkan mati pramatang, sebab itu saya mengambil (langkah) ini dengan niat untuk penjagaan nyawa,” katanya.

Menyentuh soal kesesakan di hospital kerajaan yang sekian lama diperkatakan, Dr Dzulkefly berkata kementerian sangat serius dalam menangani hal itu dan mengakui ia antara lain turut disumbang faktor projek “sakit” kemudahan perubatan yang gagal menepati tempoh siap ditetapkan.

Katanya beliau bersikap amat tegas terhadap kontraktor projek pembinaan yang dilihat bersikap sambil lewa, misalnya apabila beliau menamatkan khidmat kontraktor pembinaan Hospital Petra Jaya, Sarawak, ekoran kegagalan menyiapkan kemudahan itu yang sepatutnya siap pada November 2016.

“Ia memberi isyarat saya tidak ‘tolerate’ (tolak ansur) dalam (soal) sediakan fasiliti untuk rakyat,” katanya.

Pada ketika negara berhadapan dengan cabaran NCD seperti diabetes dan hipertensi, penyakit berjangkit pula kembali ‘menjenguk’ setelah sekian lama, seperti difteria, polio dan mutakhir ini, influenza, kata Dr Dzulkefly.

Beliau berkata berkait perkara itu, kebimbangan pastinya turut terarah pada golongan antivaksin, dengan cabaran antara lain untuk mencapai sasaran tahap 95 peratus imuniti kelompok

“Penyakit-penyakit ini boleh dicegah dengan suntikan vaksin, ia mampu disekat, dihalang dan ditangani dengan imunisasi, kenapa kita mesti menolak ini,” katanya yang turut menyatakan pernah berpengalaman sebagai tenaga pengajar farmakologi dan toksikologi sebelum ini.

Tidak mahu menyalahkan golongan antivaksin secara keseluruhannya, beliau turut merayu pada golongan itu agar berlaku adil kepada anak-anak mereka dengan memberikan mereka suntikan vaksin dan tidak menggembar-gemburkan perkara yang akan menakutkan rakyat.

-BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Agensi sempadan selaras operasi, keselamatan negara

PUTRAJAYA, 26 DIS: Sebuah agensi sempadan akan diwujudkan bagi mengawal, memperkukuh serta mempertingkatkan piawaian pengoperasian dan keselamatan di sepanjang sempadan negara.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata cadangan berkenaan penubuhan badan tunggal untuk mengawal pintu masuk negara itu diterima kerajaan yang menyarankan penubuhannya dilakukan secepat mungkin.

“Kalau boleh dalam tempoh dua tahun akan datang perkara berkaitan penubuhan agensi sempadan dapat diselesaikan dan penubuhannya dimuktamadkan.

“Perkara ini sudah dibincangkan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan saya akan minta untuk menyegerakan penubuhannya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Muhyiddin berkata ketika ini pengurusan sempadan negara dikendalikan kira-kira 28 badan, pertubuhan, persatuan dan syarikat yang dilihat menjadi antara faktor kesesakan dan kelewatan dalam pengurusan hal ehwal sempadan negara.

Katanya cadangan penubuhan badan tunggal itu akan melalui proses kajian dalam tempoh enam hingga 12 bulan oleh perunding yang akan dilantik Mac depan dengan mengambil kira semua keperluan meliputi kewangan, sumber manusia, logistik dan akta berkaitan.

Berdasarkan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Kajian Cadangan Penubuhan Badan Tunggal Menjaga Sempadan Negara dan Pintu-Pintu Masuk Termasuk Pelabuhan pada 3 Julai lalu, KDN yang dipertanggungjawab sebagai urus setia perlu melaksanakan kajian meliputi tiga domain utama iaitu darat, udara dan laut dengan fokus awal kepada domain darat.

Sehubungan itu, KDN sedia mempelajari pengalaman Amerika Syarikat dalam soal penubuhan agensi tunggal untuk mengawal pintu masuk negara sepertimana yang turut dilaksanakan di beberapa negara lain seperti Singapura dan Australia.

Muhyiddin berkata jika ditubuhkan, badan tunggal berkenaan berperanan untuk meningkatkan penyelarasan proses pemeriksaan secara efisyen melalui ‘single clearance mechanisme’ dalam mempertingkatkan aspek keselamatan disamping memudah cara perdagangan atau trade facilitation.

Kesungguhan kerajaan dalam memperkukuhkan keselamatan kawalan sempadan negara turut dibuktikan apabila hal itu diangkat menjadi satu daripada teras khusus dalam Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Oktober lepas.

Tumpuan KDN pada 2019 juga terarah kepada mengurus serta menangani isu kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor Baharu, Johor yang masih berlarutan.

Bagi tujuan itu, Muhyiddin berkata satu Jawatankuasa Penyelarasan Keputusan Bagi Menangani Kesesakan Tambak Johor telah ditubuhkan kerajaan dengan beliau sendiri bertindak selaku pengerusi.

Jawatankuasa tersebut telah mengemukakan 23 inisiatif bagi mengatasi masalah kesesakan yang akan dilaksanakan dalam tiga fasa iaitu jangka masa pendek, sederhana dan panjang, antaranya mengubah suai dan menaik taraf bangunan CIQ, menambah peralatan untuk sistem kawalan pintu masuk seperti Malaysian Automated Clearance System (MACS) dan M-Bike serta memobilasi pegawai bertugas di kaunter tidak sesak ke kaunter yang lebih sesak dan pembukaan laluan kontra di laluan kereta ketibaan.

Komitmen dalam menangani isu permasalahan rakyat itu diserlahkan apabila kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM85 juta bagi tujuan tersebut seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, 11 Oktober lalu.

Dalam perkembangan sama, kerajaan turut melanjutkan pelaksanaan operasi 24 jam bagi kenderaan berat dan kargo di CIQ Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Dannok, Songkhala selama sembilan bulan lagi sehingga 17 Jun tahun hadapan.

Pelanjutan operasi 24 jam yang awalnya dijalankan dalam tempoh percubaan selama tiga bulan bermula 18 Jun hingga 17 September yang mencipta sejarah bagi dua negara berjiran itu dijangka akan meningkatkan pelaburan asing, memantapkan usaha perindustrian dan merancakkan proses pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara.

Kompleks CIQ Bukit Kayu Hitam yang dibina dengan kos RM385 juta dan beroperasi sepenuhnya pada Ogos lalu dilengkapi pagar keselamatan jenis ‘anti-climb’ di keseluruhan kawasan dan diawasi kira-kira 300 unit kamera litar tertutup berdefinisi tinggi, manakala mesin pengimbas kargo turut dipasang di laluan kenderaan berat bagi memastikan pemeriksaan lebih rapi dijalankan ke atas semua barangan yang memasuki negara ini.

Muhyiddin berkata KDN juga tidak menolak kemungkinan menggunakan dron di kawasan perairan Sabah dan kawasan sempadan, bagi menangani isu-isu keselamatan.

Beliau berkata kewujudan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) banyak membantu mengawal sempadan daripada dicerobohi tetapi jarak sempadan di perairan Sabah dengan negara jiran yang terlalu panjang memerlukan satu tindakan yang lebih efisyen dilakukan di masa hadapan.

Penggunaan dron bukan sesuatu perkara asing kerana teknologi tersebut telah digunakan oleh pihak berkuasa Thailand dalam mengawasi sempadan negara itu.

Muhyiddin berkata cadangan penggunaan dron untuk mengawal sempadan masih di peringkat perbincangan dan berharap ada peruntukan disediakan kerajaan bagi membolehkan KDN melakukan ujian rintis di kawasan-kawasan yang penting dan kritikal di sempadan negara.

-BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Ambil langkah tidak popular demi keselamatan rakyat

Oleh Norshazlina Nor Azman & Muhammad Saufee Rosman

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Penambahbaikan terhadap perkhidmatan dan penyediaan sistem pengangkutan awam, serta tidak ketinggalan tumpuan kepada aspek keselamatan di jalan raya sentiasa menjadi antara nadi dan tonggak Kementerian Pengangkutan dalam merencanakan agenda mensejahterakan rakyat.

Meskipun adakalanya usaha penambahbaikan dan perubahan yang diperkenalkan sejak peralihan kuasa kerajaan dilihat sebagai bukan pendekatan popular, namun kementerian itu enggan menoleh ke belakang dan bertekad mahu terus memampankan aspek keselamatan serta pengangkutan negara.

Memberi contoh kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS), Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kerajaan tetap dengan pendirian untuk mewajibkan penggunaannya di dalam kereta persendirian bermula Januari depan meskipun mendapat pelbagai tentangan dan reaksi negatif yang tidak bersetuju akan undang-undang tersebut.

Tegasnya, kerajaan tidak pernah berniat untuk menyusahkan atau membebankan ibu bapa, namun pengenalan langkah itu amat diperlukan bagi memberi kesedaran kepentingan melindungi nyawa anak-anak memandangkan terdapat banyak kemalangan yang menyaksikan mereka maut akibat kegagalan menggunakan CRS.

“Sebagai menteri yang menjaga hal ehwal pengangkutan dan keselamatan jalan raya, saya perlu ambil tindakan ini walaupun dikritik mengambil tindakan tidak popular dan sebagainya, tetapi untuk jangka masa panjang, saya yakin ini adalah langkah terbaik untuk keselamatan rakyat.

“Kami tahu banyak suara yang membantah dan mengadu kerana ia akan menambah beban, kos CRS mahal, menyusahkan dan sebagainya… kami tahu maklum balas itu akan berlaku kerana jika dilihat balik apa sahaja langkah keselamatan yang diperkenalkan sebelum ini mengambil masa untuk rakyat menerima dan menyesuaikan diri,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual khas baru-baru ini.

Loke berkata umpama pemakaian tali pinggang keledar dan juga topi keledar yang diwajibkan pada tahun 70-an, yang mana mulanya orang ramai membantah penguatkuasaannya tetapi kini kedua-dua peraturan itu menjadi norma dan tidak dipertikaikan kepentingannya.

“Pada zaman itu kereta tidak mempunyai tali pinggang keledar dan apabila diperkenalkan sudah tentu orang membantah… begitu juga topi keledar yang mana pemakaiannya di Malaysia kini sudah mencapai tahap pematuhan yang amat tinggi berbanding negara-negara di rantau ini… jadi kita faham apa sahaja langkah yang diperkenalkan pastinya pada permulaan akan ada bantahan,” katanya.

Beliau berkata meskipun penggunaan CRS itu diwajibkan bermula 1 Jan depan namun tiada saman atau tindakan keras akan dikenakan untuk enam bulan pertama bagi mendidik dan membiasakan rakyat dengan peraturan tersebut.

“Seringkali saya ulang bahawa tujuan saya bukan untuk dapatkan duit saman daripada rakyat, bukan untuk susahkan orang tetapi fokus utama adalah kita mahu rakyat tahu CRS adalah keperluan untuk keselamatan, maka sebab itu pendekatan ‘soft landing’ diambil untuk fasa pertama iaitu fasa pendidikan atau advokasi sebelum fasa penguatkuasaan dijalankan,” katanya.

Berhubung isu harga CRS yang dikatakan agak mahal hinggakan menjadi kerisauan orang ramai, Loke berkata beliau percaya ia akan mengalami penurunan harga apabila berlakunya peningkatan permintaan dan penawaran yang tinggi dalam pasaran selepas undang-undang itu digazetkan.

Bagaimanapun, katanya kerajaan tidak akan bersikap lepas tangan dan akan terus memantau harga CRS di pasaran, selain kementerian itu telah berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk tidak mengenakan duti eksesais terhadap CRS supaya harga produk berkenaan dapat dikurangkan.

Dalam bergerak ke hadapan pastinya keselamatan jalan raya bukan satu-satunya perkara yang menjadi fokus utama, malah kementerian itu memasang harapan untuk terus menyediakan dan menambahbaik mobiliti yang lebih efisien kepada rakyat secara berterusan, dari darat hinggalah ke udara, sejajar dengan Dasar Pengangkutan Negara (DPN) 2019-2030.

“Kita adalah the ‘movement of goods and people,’ bukan sahaja menyediakan pengangkutan untuk rakyat tetapi dalam masa sama kita kena lihat sejauh mana keberkesanan pengangkutan barangan kerana ia melibatkan sektor logistik daripada pelabuhan, lapangan terbang dan pengangkutan darat.

“Semua itu merupakan ekosistem yang besar, maka kita harap dapat menyediakan satu persekitaran yang memudah carakan pergerakan barangan… kalau kita dapat melaksanakan itu dengan lebih efisien maka kos pengangkutan untuk barangan akan jadi lebih rendah dan akan diterjemahkan kepada penurunan kos barangan yang berhubung kait dengan kos sara hidup,” katanya.

Dalam menggalakkan masyarakat menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam pula, pas perjalanan My100 yang memberikan akses tanpa had untuk semua perkhidmatan di Lembah Klang yang disediakan oleh Rapid KL daripada monorel, LRT, MRT, Bas Rapid Transit (BRT) Laluan Sunway, bas perantara MRT dan semua bas ganti-ganti Rapid KL, telah diperkenalkan awal tahun ini.

Loke berkata pas eksklusif bulanan untuk warga tempatan itu merupakan inisiatif kerajaan yang dapat meringankan kos sara hidup dan sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur.

“Kita mahu rakyat hidup lebih selesa, mudah dan ada masa lebih dengan keluarga…. dalam masa sama kita akan terus memberi penekanan terhadap penyediaan infra dan pelbagai projek pembangunan pengangkutan terutamanya di bandar-bandar besar selain di Lembah Klang supaya prasarana itu dapat terus dibangunkan secara berfasa,” katanya.

Ketika ditanya mengenai hala tuju untuk tahun 2020 yang bakal menghampiri dalam hanya beberapa hari sahaja lagi, Loke berkata, “Banyak rancangan dan inisiatif yang hendak kita laksanakan… kita mahu terus tambahbaik sistem penyampaian perkhidmatan awam khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang berurusan dengan rakyat setiap hari.”

Katanya, transformasi perlu dilakukan bagi mendigitalkan perkhidmatan awam yang berkaitan supaya servis mereka dapat ditawarkan melalui ‘online’ agar dapat mengurangkan masalah pengguna yang terpaksa menunggu lama akibat ramai orang berurusan di kaunter, selain dapat mengurangkan penggunaan kertas yang dilakukan secara manual.

Beliau bagaimanapun mengakui bahawa dirinya masih belum berpuas hati dengan segala perubahan dan penambahbaikan yang diperkenalkan serta mahu melihat lebih banyak lagi perubahan positif dilaksanakan sekali gus memperbaiki kelemahan dan kelompangan yang masih wujud dalam sektor tersebut.

“Kita tidak boleh berpuas hati lagi kerana proses menambah baik dalam menyediakan persekitaran dan perkhidmatan yang baik untuk rakyat itu adalah berterusan… kita tahu ada kelemahan-kelemahan yang punya ruang untuk diperbaiki dan kita mahu rakyat sendiri merasai dan berpuas hati dengan semua penambahbaikan termasuklah sistem pengangkutan yang efisien dan murah,” katanya.

-BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Gaji lumayan taktik sindiket penyeludupan orang

Oleh Noraizura Ahmad

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Janji manis untuk mendapat kerja dengan gaji lumayan tapi realitinya dikurung dan dijadikan buruh paksa atau pelacur.

Taktik itu bukan baharu bagi sindiket pemerdagangan orang dan penyeludupan migran untuk mencari mangsa, terutama dalam kalangan warga asing yang hidup susah di negara mereka.

Golongan yang terdesak untuk mengubah kehidupan adalah paling senang untuk dimanipulasi dan menjadi mangsa.

Apa yang dilakukan ialah menjanjikan pelbagai peluang pekerjaan dengan gaji lumayan bagi mengubah hidup mereka dan keluarga di negara asal.

Berdasarkan statistik Jabatan Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, rakyat Vietnam paling ramai diselamatkan tahun ini iaitu 384 orang, diikuti Indonesia (234 orang), Thailand (227), Bangladesh (71), China (60), dan negara-negara lain (123).

Apa yang mengejutkan ialah rakyat Malaysia sendiri turut menjadi mangsa sindiket pemerdagangan orang itu apabila seramai 54 orang diselamatkan tahun ini.

Ketua Penolong Pengarah D3, ATIPSOM Bukit Aman, SAC Fadil Marsus berkata bagi migran, ada yang diseludup masuk ke negara ini dan ada juga yang direkrut di negara asal dan dibawa masuk menggunakan pas lawatan sosial.

Kebanyakan mereka yang menjadi mangsa pemerdagangan orang dan penyeludupan migran itu berumur dalam lingkungan 16 tahun hingga 30-an.

“Golongan ini dianggap ‘mudah termakan janji’, mereka selalu menjadi sasaran sindiket kerana desakan hidup ingin mendapatkan pekerjaan di Malaysia.

“Ada yang datang secara sah dan sukarela, namun sebelum mereka memasuki negara ini, sindiket akan mendekati mereka dan menjanjikan peluang pekerjaan dengan gaji lumayan,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif baru-baru ini.

Fadil berkata modus operandi yang sering digunakan sindiket penyeludupan migran ialah dengan cara merekrut warga asing dari negara asal kemudian sindiket tempatan akan menyeludup masuk warga asing itu dengan mengenakan sejumlah bayaran.

“Ada mangsa yang dibawa masuk menggunakan pas lawatan sosial, kemudiannya ditawarkan pekerjaan tetapi berakhir dengan eksploitasi iaitu mangsa menjadi buruh paksa, gaji mereka diambil untuk membayar kos perjalanan ke Malaysia,” katanya.

Lebih malang lagi, katanya, ada kes yang melibatkan mangsa sindiket dikurung beramai-ramai sebelum dipaksa melakukan pekerjaan tanpa rela.

“Warga asing lelaki selalunya dikerah menjadi buruh paksa, manakala wanita dipaksa menjadi hamba seks. Gaji yang mereka perolehi pula akan disimpan selain tidak dibenar menghubungi keluarga di negara asal,” katanya sambil menambah itu antara jenis eksploitasi terhadap migran.

Sejak Januari hingga 30 Nov lepas, unit ATIPSOM menyiasat 264 kes melibatkan pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran berbanding 281 kes pada tahun lepas.

“Sejumlah 194 kes pada tahun ini melibatkan eksploitasi seksual, 67 kes buruh paksa dan tiga kes melibatkan penjualan bayi.

Kami juga menahan 353 orang terdiri daripada majikan dan anggota sindiket serta menyelamatkan 1,153 mangsa terdiri daripada 1,123 wanita dan 30 lelaki,” jelasnya.

Fadil berkata penyeludupan migran dan eksploitasi tidak kira warga tempatan atau asing adalah satu kesalahan di negara ini dan sindiket atau majikan yang didapati bersalah akan berhadapan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda.

-BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Tak lapuk dek zaman, pelihara khat dan kaligrafi Cina

Oleh Nur Fadhilah Hamzah

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Bak kata pepatah Melayu ‘tak kenal maka tak cinta’, itulah yang boleh dikatakan polemik berkaitan tulisan khat atau seni kaligrafi apabila ia dicadang diperkenalkan dalam kurikulum sekolah.

Bagi pengamal kaligrafi, kedua-dua tulisan khat dan seni kaligrafi merupakan keindahan warisan dan tradisi unik bersama identiti masyarakat masing-masing yang harus dihargai dan dikekalkan.

Yap Poh Yen, 25, yang mendalami kaligrafi Cina sejak berumur 8 tahun dan berguru dengan Kerk Won Hoo, pakar lukisan dan kaligrafi Cina tersohor di Malaysia, berpendapat golongan muda haruslah didedahkan dengan seni penulisan ini agar tidak hilang ditelan zaman.

“Kita harus memelihara dan menyebarkan budaya ini kepada anak muda supaya mereka dapat meneruskan seni kaligrafi ini agar ia tidak hilang ditelan arus semasa,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Gadis yang berasal dari Klang, Selangor itu berkata seni khat dan kaligrafi itu sendiri boleh mencetus kreativiti si penulis.

Beliau berkata seni kaligrafi Cina memaparkan lukisan 12 haiwan zodiak dalam kalendar lunar Cina, alam semula jadi dan lakaran kata-kata hikmah yang membawa pengajaran dalam hidup bagi mereka yang membacanya.

“Sebagai contoh semasa Tahun Baharu Cina, kata-kata dalam kaligrafi itu membawa aura positif, nasib yang baik dan memberkati ahli keluarga dengan harapan perniagaan mereka akan baik sepanjang tahun,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Seni Khat Kebangsaan Dr Abdul Rahman Hamzah pula berkata persamaan antara tulisan khat dan kaligrafi Cina adalah kedua-duanya menyampaikan mesej positif untuk tatapan umum selain menampilkan nukilan kreatif.

“Khat mengabadikan ayat al-Quran serta kata-kata hikmah. Jadi, ini berlaku di mana-mana tamadun sama seperti tulisan kaligrafi masyarakat Cina,” katanya yang juga Pensyarah Kanan Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor.

Abdul Rahman yang sudah berkecimpung dalam arena penulisan khat lebih 30 tahun juga mengakui kedua-dua seni ini melatih penulisnya untuk bersabar semasa berkarya di samping mengawal emosi bagi menghasilkan lakaran tulisan yang cantik.

“Ia melatih diri kita untuk bertenang dan bersabar kerana aktiviti melukis dan menulis kaligrafi dengan cantik ini ibarat satu meditasi,” katanya.

Beliau yang memperoleh dilpoma seni khat daripada Madrasah Tahsin Al-Khutut, Kaherah, Mesir berpendapat timbul satu kepuasan dalam diri apabila ‘bermain’ dengan berus, dakwat dan warna ke atas kanvas lukisan semasa menghasilkan sesuatu seni tulisan khat.

Abdul Rahman menambah, di sebalik persamaan, perbezaan ketara dalam kedua-dua seni ini pula adalah dari segi peralatan dan gaya tulisan.

“Alat yang digunakan tidak sama kerana tulisan Cina menggunakan berus yang lembut, jadi apabila direndam dalam dakwat berusnya dibiarkan kembang dan akan dihaluskan mengikut pergerakan berus yang berada di hujung pen.

“Khat pula menggunakan pen dengan lebar mata yang tetap jadi ukuran mata pen itu 5 milimeter misalnya, jadi sepanjang tulisan itu, itulah lebarnya.

“Khat ini cara mengindahkannya tidak sama dengan tulisan Cina. Kalau tulisan Cina, dari atas ke bawah manakala tulisan khat dari kanan ke kiri,” tambahnya.

-BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Telefon bimbit selamat digunakan ketika ribut petir

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Tahukah anda bahawa penggunaan telefon bimbit ketika ribut petir sebenarnya selamat jika dibandingkan dengan penggunaan telefon yang disambung dengan kabel telefon dalam sesebuah bangunan.

Ini kerana telefon yang disambung dengan kabel telefon mampu bertindak sebagai konduktor cas elektrik serta memungkinkannya disambar petir, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, (MetMalaysia) Jailan Simon.

“Namun begitu kebarangkalian telefon bimbit disambar kilat juga boleh berlaku sekiranya telefon bimbit sedang dicas dengan wajar pengecas (ada plak) dan digunakan semasa kejadian ribut petir,” katanya kepada Bernama dalam temuramah, baru-baru ini.

Musim monsun yang sedang melanda negara kini menjadi kerisauan kepada penggunaan telefon bimbit semasa ribut petir yang dikatakan boleh membawa maut.

Berdasarkan kajian MetMalaysia, terdapat kira-kira 16 juta ribut petir berlaku setiap tahun di seluruh dunia dan situasi di Malaysia, bagi tempoh 10 tahun iaitu antara 2008 hingga Ogos 2019, sebanyak 132 kes kematian direkodkan akibat terkena panahan kilat.

Daripada jumlah itu, pantai barat Malaysia merekodkan kematian tertinggi dengan 89 mangsa, diikuti Pantai Timur 22 mangsa dan Sabah dan Sarawak sebanyak 21 mangsa.

BAGAIMANA KILAT TERJADI

Jailan berkata kilat merupakan fenomena semulajadi berlaku terutama di kawasan tropika seperti Malaysia namun ia lebih kerap berlaku semasa tempoh peralihan monsun iaitu April-Mei dan Oktober-November.

Fenomena alam tersebut terjadi apabila proses nyahcas elektrik di ruang atmosfera berlaku dan ketika ini, jumlah tenaga yang amat besar dibebaskan serta suhunya mampu mencapai suhu 30,000 darjah Celsius, cukup panas untuk mencairkan pasir silika, katanya.

“Kilat turut memanaskan udara sekitarnya yang mencecah kira-kira suhu 10,000 darjah Celsius secara serta-merta, iaitu hampir dua kali ganda suhu permukaan matahari. Haba tersebut menghasilkan gelombang kejutan yang mengeluarkan bunyi, dikenali sebagai guruh.

“Proses kejadian kilat berlaku dengan sangat pantas menyebabkan pembentukan libasan kilat yang tidak dapat dikesan oleh mata kasar.

“Kilat lazimnya terjadi di daratan pada waktu petang dan senja manakala pada waktu malam ia kerap terjadi di lautan,” jelas beliau lagi.

 

MITOS KILAT TIDAK SAMBAR DI TEMPAT YANG SAMA

 

Umum mempercayai bahawa kilat tidak akan menyambar tempat yang sama lebih daripada sekali.

Bagaimanapun, Jailan berkata hakikatnya kilat boleh menyambar di mana-mana lokasi lebih daripada sekali.

Keadaan ini boleh berlaku secara kebetulan memandangkan terdapat berjuta ribut petir berlaku setiap tahun, tambahnya.

“Selain itu, antara ciri-ciri suatu kawasan yang cenderung disambar kilat adalah disebabkan faktor ketinggian (objek yang tinggi lebih cenderung dipanah) serta aktiviti yang dijalankan ketika ribut petir berlaku,” katanya.

Jailan menjelaskan mangsa yang disambar kilat boleh mengakibatkan kecederaan parah sehingga membawa maut serta mengalami kelecuran tahap ketiga yang melampaui lapisan bawah kulit termasuk lemak, otot, tulang dan saraf.

“Kilat yang menyambar seseorang mampu menjana voltan elektrik yang amat tinggi sehingga mencecah 120,000 volt, lebih daripada mencukupi untuk menyebabkan kejadian jantung manusia terhenti (cardiac arrest).

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihati agar sentiasa merujuk ramalan dan amaran cuaca sebelum menjalankan aktiviti luar terutamanya sewaktu tempoh peralihan monsun dengan ribut petir sering berlaku pada waktu petang dan senja,” katanya.

MANFAAT KILAT TERHADAP ALAM SEKITAR

Meskipun berbahaya kepada manusia, Jailan berkata, kilat bermanfaat kepada persekitaran dan fenomena semulajadi ini penting untuk bumi mencapai keseimbangan elektrik kerana bumi akan menerima cas elektrik setiap kali berlaku ribut petir.

Permukaan bumi dan atmosfera boleh mengalirkan elektrik dengan baik melalui nyahcas negatif di permukaan bumi dengan cas positif di atmosfera. Justeru, elektron dari permukaan bumi sentiasa mengalir ke atmosfera, katanya.

“Sekiranya kilat dari ribut petir tidak berlaku, ketidakseimbangan cas elektrik antara bumi dengan atmosfera bumi boleh terjadi.

“Selain itu, kilat juga menghasilkan sejenis bahan kimia yang membantu pembentukan lapisan ozon. Seperti mana diketahui, lapisan ozon sangat penting untuk melindungi bumi daripada sinaran ultraungu yang kuat akibat dari sinaran matahari,” katanya.

Selain risiko terhadap manusia, panahan kilat turut mampu mencetuskan kebakaran hutan secara semulajadi pada skala yang besar terutamanya semasa musim kering, ujarnya lagi.

CARA-CARA ELAK DISAMBAR PETIR

Pensyarah Pusat Elektromagnet dan Penyelidikan Perlindungan Kilat (CELP) Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia Profesor Ir Dr Mohd Zainal Abidin Ab Kadir berkata antara langkah keselamatan yang boleh diambil ketika ribut petir ialah dengan menjauhi wayar telefon, komputer, peralatan serta objek yang boleh mengalirkan arus elektrik seperti paip tembaga dan paip yang diperbuat dari besi.

“Ketika seseorang berada di kawasan terbuka, segera masuk ke dalam bangunan atau kereta yang berhampiran dan elak daripada berteduh di bawah pokok.

“Jika dalam keadaan terdesak dan tiada tempat berlindung, langkah terakhir bagi mengurangkan risiko dipanah petir adalah duduk dalam keadaan mencangkung ke tanah dengan meletakkan tangan di lutut serta kepala diletakkan di celah kedua-dua lutut,” jelasnya.

Beliau yang juga profesor lantikan strategik Institut Kejuruteraan Teknologi Tenaga Nasional, Universiti Tenaga Nasional berkata posisi sedemikian mampu membantu menjadikan badan seseorang sekecil mungkin dan meminimumkan sentuhan dengan tanah.

BANTU MANGSA DISAMBAR PETIR

Mohd Zainal berkata sekiranya berdepan dengan mangsa yang disambar petir, usah bimbang untuk menghulurkan bantuan kerana mangsa tidak menyimpan cas elektrik di badannya.

“Hubungi talian kecemasan dan laporkan kepada pihak berkuasa dan hospital. Kebiasaannya jantung mangsa akan terhenti secara tiba-tiba dan ketika ini, rawatan kecemasan penting bagi menyelamatkan mangsa.

“Berikan rawatan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sekiranya tahu dan tutup kulit yang melecur dengan kain bersih, pastikan tidak membalut kulit melecur tersebut,” katanya.

Sekiranya mangsa sedar tetapi mengalami gejala kejutan, baringkan mangsa dalam keadaan kepala lebih rendah daripada tubuh dan kaki, tambahnya.

Yang pasti, seseorang seharusnya terlebih dahulu memastikan keselamatan diri sendiri dan tiada risiko disambar petir sebelum menyelamatkan mangsa, katanya.

-BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Integriti belia cabaran 2030

Oleh Muhammad Ammar Shafiq Hamzah

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Ungkapan ‘duit kopi’ seolah-olah satu perkara biasa dan agak sebati dengan kehidupan seharian sebilangan masyarakat tanpa mengira umur dan latar belakang.

Kebiasaan itu jika diamalkan bukan sahaja boleh memudaratkan malah boleh membawa keruntuhan kepada negara kerana ia melibatkan integriti sistem pentadbiran sesebuah negara dan keadaan lebih buruk apabila gejala ‘duit kopi’ atau lebih tepat lagi rasuah itu menular dalam kalangan generasi muda atau milenial.

Oleh itu, telah tiba masanya untuk meletakkan titik noktah pada gejala rasuah yang sememangnya menjadi cabaran besar buat kerajaan Pakatan Harapan (PH) tatkala Malaysia dalam landasan menuju negara maju menjelang 2030.

Dalam membanteras ‘musuh nombor satu negara’ itu, tumpuan harus diberi pada generasi muda atau golongan milenial memandangkan lebih separuh daripada jumlah individu yang ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak lebih lima tahun lepas terdiri daripada golongan berumur 40 tahun dan ke bawah.

Berdasarkan statistik SPRM dari tahun 2014 sehingga Jun lepas, seramai 4,860 orang telah ditangkap kerana rasuah dan 2,594 atau 53.4 peratus daripada jumlah itu merupakan golongan muda.

“(Ini menunjukkan) bukan generasi tua sahaja yang gagal (terlibat rasuah) dan kurang integriti tetapi golongan muda yang bakal mengambil alih tampuk pemerintahan negara juga kini sudah melakukan rasuah. Apa bakal terjadi kepada negara pada masa hadapan nanti,” kata aktivis antirasuah Datuk Seri Akhbar Satar kepada Bernama baru-baru ini.

Perkembangan itu juga menurutnya menimbulkan persoalan sama ada strategi dan pendekatan yang diambil bagi menangani isu rasuah sebelum ini adalah betul-betul berkesan.

Sehubungan itu, Akhbar mencadangkan supaya satu kajian dijalankan bagi memahami ‘root cause’ kepada masalah integriti itu dan melihat sama ada ia berpunca daripada faktor tertentu seperti cara individu dibesarkan, pendidikan atau ekonomi.

Hasil penemuan daripada kajian itu boleh digunakan untuk merangka satu modul antirasuah yang baharu.

“Melalui kajian itu, kita boleh buat modul membanteras rasuah dengan acuan kita sendiri. Ini penting kerana kita tak boleh ikut (atau ambil) modul sedia ada dari negara luar kerana mereka mempunyai nilai kehidupan, budaya, malah etnik yang tersendiri,” ujarnya.

Sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan pada Mei 2018, kerajaan PH telah mengambil langkah memerangi rasuah secara total kerana menyedari natijahnya yang boleh merencatkan pengembangan dan pengagihan ekonomi negara seperti ditekankan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

Usaha itu dibuktikan dengan pengenalan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 pada Januari tahun ini yang memfokuskan enam sektor utama merangkumi politik, perolehan awam, penguatkuasaan undang-undang, pentadbiran sektor awam, perundangan dan kehakiman serta tadbir urus korporat.

Ketegasan kerajaan PH juga memperlihatkan kesan positif apabila Malaysia naik satu anak tangga ke kedudukan 61 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2018, berbanding tempat ke-62 pada tahun lepas.

Namun, semua usaha itu bakal menjadi sia-sia sekiranya tumpuan tidak diberikan kepada generasi akan datang kerana pembelajaran dan kesedaran ‘katakan tidak pada rasuah’ itu harus bermula awal iaitu di peringkat sekolah lagi, kata Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M) Dr Muhammad Mohan.

Sambil menyifatkan inisiatif Kementerian Pendidikan untuk memasukkan pendidikan antirasuah dalam mata pelajaran adalah satu perkara yang baik, beliau juga mencadangkan penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan masyarakat sivil antirasuah lain untuk terlibat sama dalam mendidik generasi muda.

Kerjasama itu, katanya boleh dimulakan dengan penganjuran program seperti ceramah integriti bagi menerapkan pendidikan nilai-nilai yang baik kepada pelajar sekolah.

“Program itu ialah bengkel sehari, kita akan draf program (termasuk) yang ringkas seperti pertandingan mencipta poster, menulis esei yang berkaitan dengan rasuah…dan (juga aktiviti) mewarna untuk budak kecil.

“Ceramah integriti seperti ini, kita (akan) terlibat secara terus dengan mereka (pelajar), kita akan terapkan nilai-nilai baik (kepada mereka). Pelajar ini bila jumpa dengan orang luar mereka akan lebih teruja berbeza dengan cikgu mereka sendiri (ketika mengajar),” katanya.

Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye juga senada bersetuju pentingnya pendidikan antirasuah dimulakan di sekolah, tetapi beliau merasakan lebih mustahak lagi usaha untuk menanamkan sikap atau mentaliti ‘takut’ untuk melakukan rasuah dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, budaya takut melakukan rasuah itu boleh diterapkan dengan meminda akta supaya perasuah dikenakan hukuman lebih berat atau penalti yang lebih tinggi.

“Yang penting adalah aspek kesedaran dan pendidikan (menentang rasuah) tetapi pada waktu yang sama kita mahu meletakkan perasaan takut untuk melakukan rasuah. Kita perlu tanamkan perasaan takut terhadap mereka supaya tidak melakukan rasuah, sekiranya mereka terlibat, mungkin mereka perlu menerima (akibat) yang buruk,” katanya.

-BERNAMA