Categories
EKONOMI SAINS & INOVASI SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

Wanita perlu mendepani Revolusi Industri 4.0

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM 16 JUN: Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) yang membabitkan teknologi automasi dan penemuan pelbagai teknologi baharu, bakal merancakkan kemajuan landskap dunia moden.

Pendekatan itu perlu difahami sebagai sebahagian maklum balas lebih luas Malaysia terhadap kemunculan Industrial Internet of Things (IoT), termasuk dalam industri pembuatan, yang dikatakan menjadi salah satu termaju dalam IoT.

Di sini, konsep Industri 4.0 dan industri pembuatan berkomputer penuh yang tidak membabitkan manusia sudah bermula dan dijangka akan mengubah kehidupan dengan ketara.

Di Selangor, walaupun Kerajaan Persekutuan (sebelum ini dipegang Barisan Nasional) tidak mempunyai rancangan jelas untuk wanita dalam industri itu, namun Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengakui kepentingan merangka strategi.

Ia bagi wanita menghadapi Fasa Revolusi Perindustrian itu seterusnya. Perubahan itu akan menyebabkan kesan yang besar terhadap pasaran kerja, menjadikan banyak pekerjaan sedia ada tidak lagi relevan ketika pekerjaan baru sedang terhasil.

Ini akan berlaku disamping usaha Kerajaan Negeri untuk memajukan industri berasaskan pengetahuan dan berteknologi tinggi seperti yang digariskan dalam Belanjawan Negeri 2017.

Cabaran wanita hadapi

Di era globalisasi dan Industri 4.0 ini memperlihatkan peranan wanita semakin penting dan tidak ketinggalan dalam konteks arus pembangunan negara.

Namun, Forum Ekonomi Dunia menganggarkan kehilangan kira-kira 5.1 juta pekerjaan antara 2015 hingga 2020. Ia membabitkan 2.45 juta daripadanya ditanggung oleh wanita.

Bagi menghadapi cabaran ini, sudah tentu ia akan memberi kesan berkembar kepada pasaran buruh, merombak dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Pekerjaan rutin dalam pentadbiran dan industri pembuatan serta perkhidmatan terutamanya kerja yang boleh didigitalkan akan melanda.

Semestinya sebahagian besar pekerjaan baru yang diwujudkan akan berada dalam bidang teknikal dan memerlukan kemahiran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Pertumbuhan pekerjaan yang tinggi dalam bidang STEM kini mempunyai salah satu kadarpenyertaan wanita paling rendah dan menghadapi kesulitan dalam merekrut wanita.

Bagaimana wanita dan kanak-kanak perempuan mempunyai kepakaran dalam bidang ini juga sudah tentu mencabar.

Bagaimanapun, di Malaysia wanita kini membentuk 50-60 peratus daripada industri pengkomputeran di negara ini.

Manakala, menurut laporan graduan STEM wanita di Asia Pasifik memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

Ini bermakna hanya sedikit isu dengan kelayakan mereka merebut peluang pekerjaan yang ada.

Wanita perlu relevan dengan keperluan semasa

Menteri di Pejabat Perdana Menteri Singapura, Josephine Teo Li Min pernah memaklumkan Industri 4.0 ini berkemungkinan besar menyaksikan lebih ramai wanita diambil bekerja memandangkan persaingan dalam pasaran tenaga kerja pada masa depan lebih kepada keperluan terhadap minda berbanding kekuatan fizikal.

Katanya, ini berdasarkan situasi semasa yang menunjukkan kebanyakan kerja-kerja manual yang memerlukan tenaga fizikal perlahan-lahan beralih kepada automasi, seiring perkembangan teknologi.

“Jika kita bersaing dari segi minda dan bukan tenaga fizikal, wanita tidak mempunyai kekurangan. Sekalipun kemajuan kecerdasan buatan dan robotik akan mempercepatkan proses automasi di tempat kerja, namun situasi itu tidak begitu menjejaskan peluang pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, usahawan terkenal yang merupakan Pengasas ChristyNg.com, Christy Ng berkata, wanita perlu merebut peluang dan menjadikan kegagalan sebagai pemangkin kejayaan, selain mempunyai pasukan pengurusan yang mahir selok-belok perniagaan.

Katanya, secara peribadi beliau berpendapat bekerja dalam pasukan yang mempunyai gandingan antara lelaki dan wanita boleh membuatkan perniagaan pergi lebih jauh.

“Keperluan ini menjadikan syarikat lebih utuh, berikutan masing-masing mempunyai kekuatan dalam mewujudkan persaingan kerana semua berusaha melepasi sasaran petunjuk prestasi utama (KPI).

“Yang penting pastikan diri sentiasa relevan dengan keperluan semasa dan manfaatkan sepenuhnya teknologi digital yang semakin berkembang hari ini,” katanya.

Beliau menyarankan, usahawan wanita turut disaran agar segera mengambil peluang dalam menguasai teknologi digital untuk memajukan perniagaan.

“Dengan menguasai e-dagang, mereka dilihat tidak lagi ketinggalan, malahan mampu bersaing secara sihat dengan pemain-pemain industri yang lain,” katanya.

Bagaimana Selangor tangani

Institut Wanita Berdaya (IWB) kini sedang merangka dan strategi bagi membolehkan wanita dapat dimajukan dalam bidang ini menerusi Dasar Wanita Selangor dan Pelan Tindakan 2017-2020.

Penasihatnya, Zuraida Kamaruddin berkata, ia termasuk bagaimana bilangan wanita dalam pengajian komputer boleh diterjemahkan dalam bidang yang sama.

“Pada masa sama, kerajaan juga perlu memikirkan kaedah untuk memastikan wanita dan kanak-kanak perempuan menceburi bidang STEM dengan mengintegrasikan pelajar perempuan ke mata pelajaran STEM.

“Juga melengkapkan mereka dengan set kemahiran yang lebih luas supaya dapat memajukan pemikiran kritikal, kebolehan menyelesaikan masalah kompleks dan kreatif,” katanya.

Zuraida berkata langkah pertama yang boleh dilakukan adalah mengadakan rundingan di seluruh negeri dengan semua pihak berkepentingan.

Katanya, langkah itu perlu dilengkapkan dengan kajian yang menyeluruh.

“Ia bertujuan mengetahui bagaimana Kerajaan Negeri boleh memberi sokongan kepada mereka yang terbabit sama ada sebagai pekerja, bos, pengamal, pembuat keputusan atau konsumer,” katanya.

Dasar Wanita Selangor dan Pelan Tindakan 2017-2020 itu juga mahu menggalakkan pelajar muda mewujudkan program mentor mentee.

Manakala, yang sedia ada dalam bidang STEM, perlu mempunyai peluang mencukupi untuk terus membina dan memperolehi kemahiran baru serta menerima galakan supaya terus berada dalam bidang itu.

 

 

Categories
NASIONAL SAINS & INOVASI

‘Todak’ inovasi UIAM mampu buat perisikan, rondaan maritim

NASIONAL 17 APR: Todak biasanya dikaitkan dengan sejenis ikan yang mempunyai muncung panjang dan tajam tetapi lain pula “Todak” dihasilkan sekumpulan pelajar dan pensyarah dari Kulliyah Kejuruteraan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang boleh menjalankan rondaan di perairan.

Dikenali sebagai aset ketenteraan pertama dicipta oleh UIAM, Todak yang melambangkan ketangkasan dan dinamik – direka khusus memenuhi keperluan perisikan, pemantauan dan peninjauan (ISR) untuk tentera laut dan agensi maritim.

Menurut salah seorang pensyarah yang terlibat dalam projek itu, Prof Madya Dr Yasir Mohd Mustafah, 36, protaip kapal tanpa kawalan manusia atau unmanned surface vessel (USV) dicipta oleh empat pensdyarah termasuk beliau dan 11 pelajar dari Jabatan Kejuruteraan Mekatronik.

“Selain tugas peninjauan, Todak direka untuk melakukan tugas lain seperti pemetaan laut dan menyelamatkan anak kapal yang lemas,” kata beliau kepada Bernama di luar Persidangan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NatSec Asia) 2018 di sini, hari ini.

Ketika ditanya bagaimana kapal itu berfungsi, Yasir menjelaskan bahawa Todak dikawal oleh manusia menggunakan stesen daratan mobil, baik di daratan mahupun di atas kapal, dan boleh dikerahkan sehingga 2 km dari stesen.

“Mereka yang mengendalikan stesen daratan mobil boleh memantau keadaan secara ‘live’ menerusi video definisi tinggi yang dirakamkan oleh kamera peluru infra-red yang dipasang di atas kapal.

“Jika terdapat penceroboh cuba menyerang perairan, Todak boleh digunakan untuk menangani mereka dan menghasilkan bunyi siren sementara mereka yang mengendalikan peranti boleh mengeluarkan amaran dari daratan,” kata beliau dan menambah ciri-ciri lain termasuk lampu sorot (spotlight) dan laser designation.

Mengenai spesifikasi teknikal, beliau berkata kapal itu yang berharga RM50,000 seunit berukuran 1.75 m panjang dan 0.85 m lebar dan menggunakan kuasa enjin penebat elektrik dengan kelajuan maksimum 5 km satu jam.

Beliau berkata projek itu yang dimulakan pada 2015 adalah hasil kerjasama antara UIAM, DEFTECH (DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“Kami berterima kasih kerana menerima dana RM200,000 daripada MOSTI untuk menjalankan projek ini dan melalui STRIDE (Institut Penyelidikan Sains & Teknologi Pertahanan), iaitu agensi di bawah MOSTI, kami berpeluang mengemukakan idea itu kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Teluk Sepanggar, Disember lepas.

“TLDM memberikan maklum balas positif apabila membuat penilaian mengenai kapal itu dan saya berharap mereka akan membeli dan menggunakan Todak pada masa akan datang,” kata beliau.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL SAINS & INOVASI

Polis bercermin mata hitam mampu kesan penjenayah sekelip mata

DIOLAH OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 11 FEB: Cermin mata hitam dilengkapi teknologi pengecaman wajah mula digunakan Polis China untuk mengenal pasti suspek penjenayah sebagai ‘senjata’ terbaharu kerajaan negara itu dalam membendung aktiviti jenayah.

Cermin mata hitam disambungkan ke peranti pegang tangan menggunakan perisian pengenalan muka untuk membandingkan wajah dikenalpasti dari pangkalan data yang dimuatkan dengan foto 10,000 suspek. Dan ia berbuat demikian hanya dalam sepersepuluh detik.

Ketika ini, China memiliki kira-kira 170 juta kamera litar tertutup yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan, berkebolehan mengecam wajah individu dengan 400 juta kamera baharu bakal dipasang dalam tempoh tiga tahun lagi.

Agensi Berita Antarabangsa BBC NEWS melaporkan, cermin mata pintar itu dihubungkan dengan pangkalan data dalaman polis mengenai suspek bermakna anggota polis dengan pantas boleh mengimbas pergerakan orang ramai sementara mengesan suspek.

Bagaimanapun para pengkritik bimbang penggunaan teknologi terbaharu itu akan memberikan lebih kuasa kepada kerajaan.

Menurut akhbar China, setakat ini cermin mata berkenaan sudah membantu polis menangkap tujuh orang suspek penjenayah.

Polis China ketika ini menggunakan alat baharu itu di stesen kereta api di bandar Zhengzhou, dengan tujuh suspek yang ditahan terbabit dengan jenayah langgar lari dan pemerdagangan manusia.

Menerusi teknologi tersebut, pihak berkuasa turut mengenal pasti 26 individu yang menggunakan kad pengenalan palsu.

Malah, teknologi itu membolehkan pegawai polis merakam gambar individu mencurigakan sebelum membandingkannya dengan gambar disimpan dalam pangkalan data dalaman polis.

Jika ciri suspek sepadan dalam pangkalan data polis, maklumat tentang nama dan alamat individu itu akan diserahkan kepada petugas berhampiran.

Namun wujud kebimbangan bahawa kerajaan akan menggunakan teknologi itu bagi mengesan pesalah politik atau etnik minoriti tertentu.

Categories
SAINS & INOVASI SELANGOR

Smart Selangor: Rakyat sedia terima perubahan

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG, 10 FEB: Kerajaan Negeri yakin rakyat Selangor bersedia menerima inovasi baru yang bakal dilaksanakan menerusi agenda Smart Selangor.

Timbalan Pengarah Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Fahmi Ngah berkata, bidang telekomunikasi jauh berkembang pesat dengan arus informasi dan teknologi tinggi membolehkan negeri itu menuju gagasan Smart State 2025.

Katanya, rakyat juga lebih gembira dengan aplikasi yang bakal dibangunkan, sekali gus membawa mereka jauh ke hadapan.

“Contohnya, jika ada aplikasi yang memaklumkan waktu ketibaan bas Smart Selangor, sudah tentu rakyat juga mahu waktu ketibaan lori pungutan sampah ke kawasan perumahan mereka. Jadi, rakyat tidak perlu risau jika terlepas.

“Sudah tentu pembangunan inovasi baru ini mendapat permintaan rakyat dan kita berada di landasan betul dalam merealisasikan kemudahan berkenaan,” katanya kepada SelangorKini selepas Sesi Forum Selangor Synergies 2 : Emerging Technologies in Selangor, di Hotel Saujana, di sini.

Terdahulu, SSDU berhasrat melaksana lapan projek infrastruktur, pada tahun ini.

Ia termasuk sistem pembayaran parkir untuk semua Pihak Berkuasa Tempatan yang mengenakan bayaran ruang parkir menerusi sistem ‘Smart Parking’.

SSDU turut mencucba sistem ‘Digital Wallet’ yang menyimpan duit serta dokumen penting seperti kad pengenalan, lesen memandu dan baucar secara digital bagi memudahkan transaksi berlaku tanpa tunai.

SSDU ditubuhkan pada April 2016, merupakan unit khas diberi mandat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk menggerakkan Smart Selangor dengan lebih efektif.

Pada awal Disember 2016, Smart Selangor Blueprint 1.0 dilancarkan dengan menumpukan empat teras utama iaitu Inovasi, Perhubungan, Perpaduan Sosial dan Kehidupan Mampan.

Categories
GLOBAL SAINS & INOVASI

Anggota badan manusia ganti robotik menjelang 2070

INOVASI: LONDON 6 FEB: Pakar robotik, Chris Middleton menjangkakan anggota badan manusia boleh digantikan dengan bahagian robotik menjelang 2070.

Berita AGENSI melaporkan menurut Middleton, manusia kini semakin hampir dengan masa depan bagi mengganti atau menaik taraf anggota badan supaya memiliki kuasa luar biasa.

“Biohacker kini telah menaik taraf anggota badan dengan implan seperti cip yang membolehkan mereka membuka pintu hanya dengan gelombang tangan.

“Dalam tempoh 50 atau 100 tahun lagi, kemungkinan seluruh tubuh manusia boleh digantikan, diubah suai atau dinaik taraf,” katanya kepada Daily Star.

Middleton yang sering memberi syarahan mengenai kesan Kecerdasan Buatan (AI) di universiti-universiti berkata, walaupun kepercayaan bahawa robotik dan AI akan memainkan peranan besar pada masa hadapan, pendapatnya itu hanya ramalan berdasarkan situasi terkini.

Beberapa siri televisyen terbaharu banyak mendedahkan mengenai idea ‘cyborg’ dan semi manusia seperti Black Mirror dan Westworld.

Salah seorang biohacker pertama ialah Kevin Warwick, seorang jurutera dan Naib Canselor di Universiti Conventry yang menanam implan pada lengan bagi membolehkannya mengawal peranti itu dengan gerakan mudah seperti mengetuk jari.

SUMBER: AGENSI

Categories
GLOBAL SAINS & INOVASI

Misi China tempatkan manusia di bulan

GLOBAL 28 JAN: Empat pelajar China menghabiskan masa selama 200 hari tanpa henti di dalam sebuah kabin ‘makmal’ di Beijing ketika China membuat persiapan melaksanakan misi jangka panjang menempatkan manusia di bulan.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan kesemua pelajar berhimpit-himpit tinggal di sebuah kabin seluas 160 meter persegi dipanggil “Yuegong-1” atau Istana Bulan di kampus Universiti Beihang bagi menguji tahap kemampuan manusia untuk tinggal dalam ruang terhad.

Menurut pegawai agensi berita Xinhua, sukarelawan itu tinggal dalam kabin makmal tertutup’ bagi simulasi misi angkasa lepas jangka panjang tanpa sebarang hubungan dengan dunia luar.

Ketua Pereka Modul makmal itu, Liu Hong berkata, pengalaman sukarelawan itu diuji sehingga kemuncaknya terutamanya dalam tiga keadaan ketika makmal berkenaan terputus bekalan elektrik.

A model of China’s lunar rover for unmanned explorations. Photo: China News Service

“Pengalaman itu turut menguji sistem dan status psikologi sukarelawan, mereka berjaya melepasinya,” kata Liu.

Kemudahan itu menguruskan najis manusia melalui proses bio penapaian dan sukarelawan mencuba menanam sayuran dengan bantuan produk sampingan makanan dan sisa.

Pada awalnya dua lelaki dan dua wanita memasuki kabin itu bagi tempoh ujian selama 60 hari sebelum digantikan dengan empat sukarelawan lain yang tinggal bagi tempoh 200 hari.

Menurut Xinhua, sukarelawan asal program itu kini kembali bagi meneruskan misi tambahan selama 105 hari.

Istana bulan mempunyai dua modul penanaman pokok dan ruang kabin sebenar berkeluasan 42 meter persegi yang mengandungi empat bilik tidur, bilik umum, bilik mandi, bilik rawatan sisa dan ruang untuk membiakkan haiwan.

SUMBER: AFP/XINHUA

 

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA GLOBAL SAINS & INOVASI

Menara pembersih udara terbesar dunia 100 meter di China

GLOBAL 21 JAN: China membangunkan menara pembersih udara terbesar dunia hampir 100 meter dalam usaha untuk menangani pencemaran udara di negara itu.

Menurut Mail Online memetik South China Morning Post, menara itu dikatakan mampu meningkatkan kualiti udara dalam kawasan seluas 10 kilometer persegi.

Laporan daripada Institut Alam Sekitar Bumi di Akademi Sains China mendakwa sistem pembersih udara itu boleh mengurangkan 15 peratus partikel halus dalam asap yang memberi kesan buruk kepada kesihatan.

Satu lagi laporan daripada Xi’an Evening Post menyebut menara itu telah siap sepenuh­nya pada Mei 2016 dan kini menjalani ujian untuk melihat sama ada ia betul-betul meningkatkan kualiti udara di kawasan sekitarnya.

Menara tersebut dan bahagian mesinnya meme­nuhi kawasan seluas 2,580 meter persegi di Xi’an, ibu kota wilayah Shaanxi di barat laut negara itu.

Selain itu, menara berkenaan juga merupakan sistem pembersihan udara berskala besar yang dibantu dengan tenaga solar.

What has been called the world’s largest air purifier by its operators is now up and running in the Chinese city of Xian in Shaanxi province. – INHABITAT

Di tapak menara terbabit, terdapat beberapa rumah hijau yang berfungsi untuk menarik udara tercemar ke dalam menara itu dan membersihkannya sebelum melepaskannya kembali ke alam sekitar.

Menara tersebut mampu mengasingkan partikel halus termasuk nitrogen oksida, nitrogen dioksida serta sulfur dioksida.

Menurut ketua penyelidik program tersebut, Cao Junji, menara berkenaan mampu membersihkan le­bih 10 juta meter padu udara setiap hari.

SUMBER: MAIL ONLINE/ South China Morning Post

Categories
SAINS & INOVASI

Menunggu kemunculan meteor Geminid!

Meteor Geminid kembali lagi menjelang Subuh, 14 Disember 2017. Prospek kali ini amat baik kerana tiada cahaya bulan yang akan mengganggu. Ia berlawanan dengan apa yang berlaku tahun lepas, di mana cahaya bulan purnama telah menenggelamkan sebahagian besar meteor-meteor ini.

 


Bilakah ia akan berlaku?

 

Meteor Geminid akan memuncak pada awal Subuh 14 Disember 2017 waktu Malaysia. Ia berdasarkan laporan rasmi daripada International Meteor Organisation (IMO) yang menyatakan kemuncak meteor ini akan berlaku pada 14 Disember jam 06:30 UT.

Berdasarkan maklumat tersebut, puncak juraian ini berlaku jam 2:30 PM waktu Malaysia. Disebabkan ketika itu siang di sini, maka waktu ‘paling hampir’ bagi kita di sini ialah menjelang Subuh 14 Disember 2017.

Jika kita khuatir awal pagi 14hb itu nanti hujan atau berawan, jangan risau. Meteor Geminids ini selalunya sudah boleh dilihat dengan beberapa hari sebelum tarikh puncaknya. 

Maknanya, kita sudah boleh lihat bilangan meteor yang agak banyak bermula waktu tengah malam ke Subuh 12hb dan 13hb.Selalunya, selepas daripada tarikh puncak 14hb, bilangannya akan jatuh mendadak selepas itu.


Bilangan meteor yang akan kelihatan.

 

Secara amnya, bilangan Zenithal Hourly Rate atau ZHR rasmi untuk Geminid ialah 120 meteor setiap jam.

Tetapi kena ingat, ini merujuk kepada bilangan yang dapat dilihat dari kawasan yang gelap, cuaca baik tiada berawan dan titik muncul meteor (atau dikenali sebagai radiant) ialah tegak di atas kepala.

Jika dari langit Malaysia, titik radiant Geminid hanya akan mencecah ketinggian maksimum 60 darjah. Maka, bilangan 120 mustahiluntuk dicapai.

Namun begitu, kita masih berpeluang melihat kemunculan meteor yang lebih banyak dari biasa, mungkin pada kadar 50-60 meteor setiap jam.

Jadi, jangan lepaskan peluang.


Waktu mencerap dan kawasan langit.

Buruj Gemini (di mana terletaknya titik muncul meteor-meteor Geminid) akan terbit sekitar jam 10 malam (11 malam di Sabah) pada 13 Disember 2017.

Menurut sebuah artikel di IMO, meteor-meteor yang muncul ketika ini sudah mula boleh dilihat walaupun bilangan masih sedikit. Disebabkan sudut geometri pergerakkannya yang masih landai, ia akan kelihatan lebih panjang dan bergerak agak perlahan. Meteor jenis ini dipanggil sebagai Earthgrazers.

Meteor Geminid yang muncul sebelum tengah malam, akan kelihatan lebih panjang dan bergerak lebih perlahan berbanding biasa. Jumlahnya pula sedikit sahaja.

Apabila selepas tengah malam, masuk tarikh 14hb, kedudukan buruj Gemini semakin tinggi di langit, dan bilangan meteor akan semakin bertambah banyak. Pada waktu ini, ia akan muncul laju dan pendek pergerakkannya.

Sekitar jam 3 pagi (4 pagi di Sabah), titik radiant Geminid ini akan berada pada kedudukan paling tinggi di sebelah langit utara.

Sekitar jam 3 pagi, bilangan meteor Geminid semakin banyak, dan ia kelihatan muncul dengan pantas dan pendek laluannya.

Bilangannya akan terus bertambah menjelang Subuh. Sebaik sahaja Subuh bermula,  ia akan kelihatan semakin berkurang disebabkan langit yang makin cerah menjelang terbitnya matahari.

Meteor Geminid ini akan kelihatan muncul dari arah buruj Gemini, tetapi kita jangan fokus kepada kawasan buruj ini sahaja. Ia sebenarnya akan muncul di mana-mana.

Anda hanya perlu tumpukan pemerhatian di kawasan langit yang paling gelap dan jauh daripada silau atau gangguan cahaya. Kawasan pantai mengadap laut lebih baik kerana kurang lampu di sana.

Cuba cerap dari kawasan yang luas pemandangannya, iaitu tidak ada banyak halangan fizikal lain seperti bangunan, pokok atau bukit.

Jika anda mencerap dari kawasan bandar, jangan terlalu berharap dapat lihat meteor yang banyak. Gangguan cahaya yang teruk dari kawasan ini akan menyukarkan kita melihatnya. Mungkin akan nampak sebutir dua yang terang sahaja tetapi kita akan terlepas pandang meteor-meteor yang kecil dan kelam.

Rujuk artikel FalakOnline ini mengenai cara untuk mencerap dan merakam meteor-meteor di langit.


Asal usul meteor Geminid

Meteor Geminid ialah habuk dan debu peninggalan daripada sebuah asteroid bernama 3200 Phaethon. Dipercayai pada suatu ketika dahulu, asteroid ini mengalami suatu perlanggaran yang kuat dan menyebabkan sebahagian daripada permukaannya hancur dan menjadi serpihan debu dan habuk yang bergerak di sepanjang laluan orbitnya.

Setiap kali bulan Disember, orbit Bumi akan membawa kita masuk ke dalam kawasan yang penuh dengan habuk dan debu daripada asteroid 3200 Phaethon ini lalu menghasilkan juraian meteor Geminid.

Dataset laluan habuk dan debu asteroid 3200 Phaethon yang menunjukkan ia melintasi kawasan orbit Bumi dan menghasilkan meteor Geminid.

Tahun ini, asteroid ini akan melintasi hampir dengan Bumi pada jarak hanya 10.3 juta km pada 16 Disember 2017, jam 7 PM waktu Malaysia. Ia akan bersinar pada magnitud 11, dan boleh dilihat dengan teleskop yang sederhana besar. Ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Maklumat lanjut mengenai lintasan ini boleh didapati di sini.

Nama Geminid ini pun merujuk kepada buruj Gemini di mana meteor-meteor ini kelihatan mula muncul.

Kajian menunjukkan akibat kesan graviti planet Musytari, laluan habuk dan debu ini bergerak semakin hampir ke kawasan orbit Bumi saban tahun. Ini mungkin antara sebab meteor Geminid ini merupakan antara juraian meteor yang paling aktif dengan bilangan kemunculan yang banyak.

Selamat mencerap semua!

Categories
GLOBAL SAINS & INOVASI

Kereta tanpa pemandu menjelang 2021 di UK

LONDON 19 NOV: Menteri Kewangan British, Philip Hammond mengumumkan peruntukan AS$99 juta (RM411 juta) untuk teknologi Kepintaran Buatan dan merancang untuk membenarkan kereta tanpa pemandu di jalan raya United Kingdom (UK) menjelang 2021, katanya dalam pembentangan belanjawan Rabu lalu.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan Hammond akan mengumumkan perubahan peraturan itu bagi membenarkan industri kereta tanpa pemandu Britain, yang dianggarkan kerajaan bernilai STG28 bilion (RM153 bilion) menjelang 2035.

Menurut kandungan belanjawan yang dikeluarkan pejabatnya hari ini, undang-undang itu membolehkan kereta berkenaan berada di jalan raya dalam masa kurang daripada tiga tahun.

Menteri yang berdepan tekanan untuk membentangkan belanjawan yang lebih menarik susulan pertikaian Brexit dengan rakan Kabinet, juga akan mengumumkan dana STG400 juta (RM2.1 bilion) bagi syarikat-syarikat yang dapat menyediakan lebih banyak pemasangan kemudahan pengecas kenderaan terbabit di seluruh negara.

Bagaimanapun, menteri konservatif itu berkemungkinan akan lebih dinilai menerusi dasar perbelanjaan sosialnya, terutamanya dasar perumahan berikutan bencana Menara Grenfell yang membunuh 71 orang.

=EZY=

 

Categories
GLOBAL RENCANA SAINS & INOVASI

Negara terapung lautan inovatif dunia baharu masa depan

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 15 NOV: Institut Seasteading sebuah badan pemikir tidak berasaskan keuntungan memberikan cadangan kepada masyarakat dunia untuk pembinaan negara terapung atau ‘floating startup societies ‘dengan model tadbir urus inovatif bebas daripada kekangan ahli politik.

Model pembinaan negara terapung di lautan itu mengambil kira ekoran perubahan iklim dunia sehingga berlakunya peningkatan aras air laut sehingga mengancam banyak bandar raya dunia berhampiran pantai.

Pasukan dikenali Seasteaders adalah pasukan global terdiri ahli biologi marin, jurutera lautan, petani akuakultur, peguam maritim, penyelidik perubatan, kakitangan keselamatan, pelabur, ahli alam sekitar dan pereka.

Matlamat Seasteaders adalah memaksimumkan kebebasan keusahawanan bagi mewujudkan pekerjaan baharu untuk mengalu-alukan sesiapa sahaja ke ‘Dunia Baru Seterusnya’.

 

Siapa pengasasnya?

Institut Seasteading ditubuhkan pada 2008 oleh aktivis, jurutera perisian dan ahli ekonomi ekonomi politik Patri Friedman, cucu ahli ekonomi pemenang Hadiah Nobel Milton Friedman bersama pengusaha teknologi, pelabur dan Philanthropist, Peter Thiel.

Visi Institut Seasteading adalah meta-politik apabila tidak mempromosikan sebarang ideologi atau dasar tertentu sebaliknya menyediakan platform untuk orang lain mencuba cara hidup bersama yang mereka percaya menjadikan mereka lebih bahagia.

 

Bagaimanakah Seasteads mendapat akses air, kuasa, Internet, makanan?

Terdapat banyak teknologi sedia ada untuk membuat air minuman daripada air laut berpunca daripada sumber tenaga seperti elektrik atau haba.

Seasteads awal akan mendapat akses internet, akses grid elektrik dan makanan melalui negara tuan rumahnya. Tenaga boleh dihasilkan dalam pelbagai cara bergantung pada lokasi.

Gabungan generasi tenaga biofuel, angin, suria, gelombang dan marin semasa ditambah dengan penyimpanan berdaya maju dan kos efektif pada skala lebih kecil.

Seasteads boleh menghasilkan hasil segar di ladang menegak dan meningkatkan makanan laut menggunakan akuakultur. Makanan dan tenaga yang berlebihan boleh didagangkan dengan negara tuan rumah atau dieksport.

 

Bagaimana berhadapan gelombang, ribut, tsunami, gunung berapi, meteorit?

Lokasi adalah salah satu keputusan pertama dan paling penting untuk Seasteading. Ramai bahaya alam berpotensi boleh diminimumkan dengan memilih lokasi dengan teliti.

Sebagai contoh, Polenesia Perancis masih jauh dari gempa bumi dan zon gunung berapi yang aktif, dengan topologi menguntungkan, tsunami tidak mempunyai kesan di sana.

Ia juga mempunyai aktiviti ribut yang sangat rendah. Bermula di lagun semula jadi akan melindungi dari tindakan gelombang yang paling kuat.

Seasteads perlu membangunkan teknologi untuk mengurangkan kesan langsung gelombang lautan dan pada masa sama sebaik-baiknya boleh menuai tenaga mereka untuk kegunaan produktif.

A proposed design for a floating city The Seasteading Institute and Simon Nummy

 

Bagaimana projek mega dan futuristik ini boleh direalisasikan ?

Difahamkan, pembiayaan bandar terapung pertama itu dibuat menerusi penawaran syiling iaitu konsep baharu untuk pengumpulan dana daripada penghasilan dan penjualan mata wang digital seperti projek pembangunan Lembah Silikon sebelum ini.

Untuk itu, Seasteading Institute dikatakan berharap dapat mengumpul dana sehingga AS$60 juta (RM251.30 juta) dalam tempoh tiga tahun lagi bagi merealisasikan projek itu.

Dalam pada itu, Polinesia Perancis iaitu sebuah negara kepulauan kecil di Lautan Pasifik dikatakan sedang membangunkan sebuah zon ekonomi khas bagi membolehkan sistem undang-undang perdagangan dilaksanakan di bawah pentadbiran negara terapung itu sendiri.

Ketika ini, negara kepulauan kecil terbentuk hasil gabungan 118 pulau di selatan Pasifik serta memiliki populasi penduduk sekitar 200,000 orang itu juga telah ‘mengurniakan’ kawasan pesisir pantai berukuran lebih 40 hektar kepada Seasteading Institute untuk merea­lisasikan pembinaan projek negara terapung berkenaan.

Pada 13 Januari 2017, kerajaan Perancis Polinesia menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Institut Seasteading untuk bekerjasama mewujudkan rangka kerja perundangan untuk membolehkan pembangunan Projek Pulau Terapung.

Perundangan ini akan memberi Projek Pulau Terapung sebagai “kerangka peraturan khas” sendiri yang mewujudkan “zon ekonomi khas yang inovatif.”

Institut Seasteading mengumumkan pembentukan sebuah syarikat baru, Blue Frontiers, untuk membina Projek Pulau Terapung itu.

Sekiranya semuanya berjalan merancang, mereka menjangkakan kerja bermula pada pembangunan projek perintis seawal tahun 2018 dan seterusnya, lebih banyak lagi.

“Saya mahu melihat bandar-bandar terapung pada tahun 2050, beribu-ribu mereka diharapkan,” kata Presiden Seasteading Institute, Joe Quirk.

 

Categories
SAINS & INOVASI SELANGOR

Komited memberdaya STEM realisasi Smart Selangor

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 NOV: Kerajaan Negeri komited memberdaya pendidikan Sains, Teknologi, Engineering – kejuruteraan dan Matematik menerusi inisiatif STEM Selangor.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia bertujuan menyokong usaha membangunkan Smart Selangor sebagai ‘regional smart state’.

Katanya, antara program di bawah STEM Selangor adalah Pertandingan Robotik, STEM Kickstart, Sains Magika dan Selangor Maker’s Fair.

“Misalnya, untuk Pertandingan Robotik yang mula kelolaan Creative Minds, kita sudah menarik penyertaan ribuan pelajar sejak 2015.

“Untuk tahun ini, sejak Jun hingga awal November, sebanyak 80 sekolah terlibat dengan penyertaan 2,400 murid daripada seluruh Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup STEM Selangor 2017, di Shah Alam Convention Centre, di sini, hari ini.

STEM adalah singkatan kepada pengajaran interdisiplin bersepadu dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.

Ia melibatkan pendekatan interdisiplin keempat bidang berkenaan dengan menerapkan konsep akademik menyeluruh dan digabungkan dengan aktiviti pembelajaran dan kemahiran komunikasi.

=EZY=

Categories
SAINS & INOVASI SELANGOR

Pembelajaran STEM perlu menarik dan mudah

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 NOV: Usaha drastik perlu dilakukan bagi menarik minat pelajar menceburi bidang Sains, Teknologi, Engineering-kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, teknik pembelajaran dan pengajaran STEM di sekolah harus dikaji agar subjek berkenaan tidak dianggap sesuatu yang ‘susah’ dan membebankan.

Katanya, STEM mampu dilihat sebagai bidang menarik diceburi sekiranya ia diperkenal dan diajar menerusi teknik betul dan berkesan.

“Melalui falsafah STEM yang menyatukan pendidikan, inovasi penyelidikan dan keusahawanan, ia diharap dapat menjadi modul sandaran kepada usaha memperkasa kualiti pendidikan bukan sahaja di Selangor tetapi seluruh negara.

“Dengan kerjasama institusi pendidikan, industri dan masyarakat, ia mampu digerakkan agar semua pihak beroleh manfaat pendidikan STEM dalam menghadapi cabaran industri 4.0,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup STEM Selangor Exhibition 2017, di Shah Alam Convention Centre, di sini, hari ini.

Nik Nazmi berkata, hanya kira-kira 25 hingga 30 peratus pelajar melanjutkan pengajian dalam bidang sains.

“Inilah yang berlaku di Universiti Selangor (UNISEL) dan universiti lain yang mengalami sedikit cabaran dalam memenuhi kuota pengambilan pelajar dalam bidang berkaitan sains.

“Oleh itu, usaha pendekatan pembelajaran STEM diharap dapat membantu menarik minat pelajar untuk berkecimpung dalam sains,” katanya.

=EZY=