Categories
NASIONAL SELANGOR

Rakyat Jangan Panik, Polis Dan ATM Siap Sedia Laksana Peralihan Kuasa

Rakyat Jangan Panik, Polis Dan ATM Siap Sedia Laksana Peralihan  01

KUALA LUMPUR, 16 APRIL : Rakyat dinasihatkan supaya tidak panik dengan pelbagai dakwaan akan berlaku huru-hara jika peralihan kuasa berlaku selepas Pilihan Raya Umum Ke-13(PRU-13).

Ini kerana pasukan keselamatan bertanggungjawab sepenuhnya memastikan peralihan kuasa secara aman berlaku jika PRU-13 kali ini dimenangi Pakatan Rakyat.

Mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, apabila keputusan pilihan raya diumumkan polis perlu menjaga kemananan dalam tempoh itu.

Disamping itu, beliau berkata pemimpin di pihak kerajaan tidak sewajarnya mengeluarkan sebarang komen yang menakut-nakutkan rakyat dengan pelbagai dakwaan akan berlaku huru-hara supaya rakyat akan merasa tenteram.

“Perdana Menteri, Najib Razak sendiri memberikan jaminan akan berlaku peralihan kuasa secara aman. Kita menasihatkan bahawa perlunya wujud peralihan secara aman,” kata Musa.

Beliau berkata demikian semasa Forum Untuk Keamanan dan Peralihan Kuasa Secara Aman Pasca PRU-13 yang berlangsung di sebuah hotel ibu negara di sini.

Katanya, polis perlu memastikan dan mempunyai keupayaan perisikan yang mantap jika ada mana-mana kumpulan yang mahu mencetuskan sebarang kekacauan dengan mengambil tindakan lebih awal.

Sementara itu, Mantan Timbalan Panglima Angkatan Tentera Darat (ATM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Abd Ghafir Abd Hamid berkeyakinan bahawa pihak keselamatan sudah mempersiapkan sebarang kemungkinan untuk berhadapan dengan sebarang kekacauan.

“Pasukan Keselamatan boleh mengawal keadaan, Polis dan ATM adalah taat kepada Raja-Raja Melayu dan kedua-dua cabang itu akan terus taat jika Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri,” kata beliau yang berpengalaman berkhidmat dalam ATM selama 36 tahun.

Tambah beliau, anggota ATM kini lebih bebas untuk membuat keputusan memilih dalam PRU-13 ini dengan pasukan keselamatan tidak lagi menjadi deposit tetap kepada pihak Umno-BN dalam pengundian awal.

“Orang-orang kampung pun sudah berubah jadi tiada sebab untuk pihak ATM dan Polis juga membuat perubahan,” kata Abdul Ghafir.

Tambah Abdul Ghafir rakyat tidak perlu gusar dengan momokan bahawa dakwaan parti DAP adalah agen kepada pihak Singapura.

“Ia kerana statistik menunjukkan sejak DAP memerintah Pulau Pinang tidak ada yang wujud elemen campurtangan Singapura,” katanya.

Jelasnya, apa yang berlaku di Johor ialah banyak tanah-tanah yang menjadi milik pihak di Singapura dengan pelbagai projek ekonomi tatakala negeri itu berada di bawah pentadbiran Umno-BN.

Forum itu dimoderatorkan oleh Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Mazlee Malik.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Forum Lahad Datu : PR Jawab Siapa Dalang

khalid samad white pc 011

SHAH ALAM, 28 MAC : Empat bekas Pegawai Tinggi Pasukan Keselamatan akan memberi gambaran jelas berhubung insiden Lahad Datu yang dijadikan Umno-BN untuk menfitnah pemimpin Pakatan Rakyat.

Ahad ini, bertempat di Stadium Malawati, forum bertajuk ‘Lahad Datu : Rakyat Berhak Tahu’ menampilkan tiga bekas pegawai tinggi tentera, Lt. Jen. (B) Datuk Abd Ghafir Abd Hamid dari Angkatan Tentera Malaysia, Brig. Jen. (B) Datuk Abd Hadi Abd Khatab (TUDM) dan Laksamana Pertama (B) Imran Abd Hamid (TLDM).

Selain bekas pegawai tentera, seorang lagi panel ialah ACP (B) Mohd Yousoff Babjee yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Cawangan Khas (SB) PDRM Sabah.

Majlis dimulakan dengan solat hajat dan forum akan bermula tepat jam 9 malam.

Menurut Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dalam satu sidang media yang diadakan di Pejabat Ahli Parlimen Shah Alam pagi tadi, beliau akan bertindak sebagai moderator dalam forum itu nanti.

“Panelis ini juga akan menerangkan kesan dari penglibatan keterlaluan ahli politik dalam isu Lahad Datu dalam forum itu nanti.

“PR hargai pengorbanan pasukan keselamatan yang mengadaikan nyawa mereka demi tanah air, tetapi rakyat harus tahu isu sebenar,” kata Johari.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dalam sidang media sama memberitahu sebelum forum dijalankan, majlis tersebut akan dimulakan dengan sembahyang maghrib berjemaah dan sembahyang hajat.

“Munajat kita selama ini mula memberi kesan kepada Umno-BN, sebab itu mereka semakin tertekan sehingga tidak nampak tarikh sesuai untuk membubarkan parlimen,” kata Khalid.

Forum yang diadakan pada sebelah malam itu nanti boleh diikuti secara langsung melalui TV Selangor di http://bm.selangorku.com/TV Selangor.

Selain TV Selangor, media lain yang juga akan mengadakan siaran langsung, Ehsan TV, Impian TV, Ubah TV, Radia Suara Rakyat FM dan Radio Bangsar Utama.