Categories
NASIONAL

ABIM kecam Israel lulus undang-undang, buruk keadaan di Palestin

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 25 JUL: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam tindakan Israel meluluskan Rang Undang-Undang Tanah Israel (Jewish Nations State Bills) yang disifatkan akan memburukkan pergolakan di Palestin.

Presidennya, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, ABIM melihat rang undang-undang diluluskan menerusi badan perundangan negara itu, Knesset, pada minggu lalu, akan digunakan untuk menjustifikasikan segala tindakan rejim haram berkenaan.

“Ini memandangkan ia antara lain mengistiyharkan Baitul Muqaddis sebagai ibu negara baharu Israel di sebalik pelbagai bantahan daripada masyarakat antarabangsa.

“ABIM juga menilai rang undang-undang itu mengatakan Israel secara eksklusif adalah sebuah negara Yahudi, jelas sekali bertentangan dengan norma kemanusiaan sejagat yang meraikan kepelbagaian secara harmoni,” katanya dalam kenyataan.

Atas dasar itu, beliau berkata, ABIM menilai dasar terbaharu bakal diamalkan Israel adalah sebagai jenayah untuk kemanusiaan.

“Maka ABIM menggesa rakyat Malaysia berbilang bangsa untuk menyuarakan bantahan bersama masyarakat antarabangsa,” katanya.

Categories
NASIONAL

ABIM gesa ahli Dewan Rakyat lebih matang

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 19 JULAI: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyeru semua ahli parlimen mempamerkan sikap kepimpinan, teladan baik, berakauntabiliti dan profesional sepanjang tempoh persidangan Parlimen ke-14 berlangsung.

Presidennya, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, ABIM memandang berat sikap dan mutu perbahasan dipamerkan sesetengah ahli Dewan Rakyat, pada sidang Parlimen ke-14 yang berlangsung sejak semalam.

Katanya, permulaan sidang Parlimen ke-14 sangat penting untuk rakyat menilai prestasi pemimpin dan wakil rakyat yang dipilih.

“Memandangkan institusi Parlimen merupakan badan perundangan tertinggi di negara ini, ABIM menuntut seluruh wakil rakyat yang dipilih bertanggungjawab mengemukakan perbahasan berkualiti, rasional dan matang sesuai semangat demokrasi serta perubahan yang ingin dicetuskan.

“Mereka seharusnya membuat persiapan awal dan rapi bagi memastikan setiap sesi dapat dilalui dengan sesi soal jawab serta perbahasan yang mempunyai inti pati signifikan juga bermaklumat,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Raimi berkata, ABIM berharap setiap anggota Dewan Rakyat atau Dewan Negara menumpukan perhatian untuk memenuhi agenda serta dasar mengangkat isu rakyat yang menyantuni kebajikan mereka seiring dengan pembangunan negara.

Katanya, hujah juga seharusnya disampaikan dengan menggunakan laras Bahasa Kebangsaan yang betul supaya sejajar dengan imej institusi Parlimen, yang mempunyai kedudukan tersendiri.

“Parlimen tidak sepatutnya dijadikan tempat untuk membicarakaan isu remeh sehingga mengenepikan hak rakyat.

“Permulaan sidang Parlimen kali ini menandakan rakyat sudah mula memerhati dan menilai kualiti serta kewibawaan setiap seorang wakil yang mereka pilih ketika Pilihan Raya Umum ke-14 lalu,” katanya.

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL

ABIM gesa ahli parlimen lebih matang

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat sikap serta mutu perbahasan yang dipamerkan sesetengah ahli Dewan Rakyat ketika sidang Parlimen ke-14 berlangsung pada hari ini. Insiden tersebut amat memprihatinkan kerana permulaan sidang Parlimen ke-14 sangat penting untuk rakyat menilai prestasi pemimpin dan wakil rakyat yang dipilih.
Atas dasar tersebut; ABIM menyeru agar semua Ahli Parlimen mempamerkan sikap kepimpinan dan teladan yang baik, berakauntabiliti dan profesional sepanjang tempoh persidangan berlangsung, sesuai semangat reformasi institusi yang dibawa dan digerakkan selama ini.
Memandangkan institusi Parlimen merupakan badan perundangan tertinggi di negara ini; ABIM juga menuntut agar seluruh wakil rakyat yang dipilih bertanggungjawab untuk mengemukakan perbahasan yang berkualiti, secara rasional dan matang sesuai semangat demokrasi dan perubahan yang ingin dicetuskan. Mereka seharusnya membuat persiapan awal dan rapi bagi memastikan setiap sesi dapat dilalui dengan sesi soal jawab serta perbahasan yang mempunyai inti pati yang signifikan dan bermaklumat.
Di samping itu, ABIM juga ingin menekankan betapa pentingnya untuk Yang di-Pertua Dewan Rakyat serta pegawai-pegawai berkenaan memainkan peranan yang berkesan dan penuh wibawa, bagi mengawasi perjalanan mesyuarat supaya berjalan dengan lancar, memastikan perbahasan mematuhi Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, serta membuat keputusan tegas dan memberi tafsiran secara jelas mengenai Peraturan-peraturan Mesyuarat sekiranya berlaku perkara-perkara berbangkit.
ABIM mengharapkan agar setiap anggota Dewan Rakyat mahupun  Dewan Negara untuk menumpukan perhatian untuk memenuhi agenda serta dasar untuk mengangkat isu rakyat yang menyantuni kebajikan mereka seiring dengan pembangunan negara. Hujah-hujah juga seharusnya disampaikan dengan menggunakan laras bahasa kebangsaan yang betul supaya sejajar dengan imej institusi Parlimen yang punya kedudukan tersendiri.
ABIM menegaskan Parlimen tidak sepatutnya dijadikan tempat untuk membicarakaan isu-isu remeh, sehingga mengenepikan hak rakyat yang agenda lebih besar dan bermakna dilaksanakan untuk mereka. Permulaan sidang Parlimen kali ini menandakan Rakyat sudah mulai memerhati serta menilai kualiti serta kewibawaan setiap seorang wakil yang mereka pilih ketika pru-14 yang lalu.
Mohamad Raimi Ab Rahim
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Categories
KENYATAAN MEDIA

Bangunkan sistem sokongan bantu ibu bapa berkerjaya

Semalam (4 Julai 2018) negara kita telah digemparkan dengan tragedi kematian Allahyarham Adam Rayqal semasa beliau berada dalam jagaan pengasuhnya.

Untuk sementara ini, HELWA (Bahagian Hal Ehwal Wanita) ABIM Wilayah Persekutuan menggesa masyarakat seharusnya memberikan ruang privasi untuk kedua ibu bapa beliau di samping menghormati ruang pihak berkuasa untuk melakukan siasatan lanjut.

HELWA ABIM Wilayah Persekutuan ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga dan mendoakan Ibu ayahnya diberi kekuatan dan kecekalan hati.

HELWA ABIM Wilayah Persekutuan menggesa agar Isu penjagaan kanak-kanak di Malaysia diberi perhatian yang serius selain memperkemas kerjasama antara pihak berkuasa, pusat penjagaan kanak-kanak dan ibu bapa.

Ini memandangkan kejadian membabitkan keselamatan anak-anak di bawah asuhan bukanlah kali pertama diperkatakan. Namun kejadian-kejadian seperti itu tidak bermakna kita perlu menafikan wujudnya khidmat asuhan serta pusat penjagaan kanak-kanak yang beroperasi dengan baik dan teratur, untuk memenuhi keperluan suasana yang agak mendesak.

Statistik menunjukkan Penyertaan wanita di Malaysia dalam sektor pekerjaan meningkat kepada 54.3 peratus. Pada tahun 2017, lebih 700,000 wanita bekerja dalam pelbagai sektor sekali gus menyumbang 0.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Peningkatan ini jelas menunjukkan wanita ingin bersama memacu pembangunan negara tanpa mengesampingkan peranan mereka sebagai isteri dan ibu dalam keluarga.

Justeru, HELWA ABIM Wilayah merasakan sudah sampai masanya masyarakat sama-sama membina sebuah model sistem sokongan untuk dilaksanakan, bermula secara berkelompok yang berskala kecil di dalam wilayah pengaruh masing-masing.

Model sistem sokongan tersebut sangat penting bagi meringankan beban khususnya dalam kalangan keluarga muda, di mana kedua ibu bapa mempunyai komitmen karier yang perlu dipenuhi.

Model sistem sokongan ini boleh dikenalpasti bukan sahaja dalam kalangan keluarga terdekat, bahkan membabitkan jiran, rakan karib, mahukan rakan persatuan serta pertubuhan komuniti.

Pembinaan model sokongan boleh dimulakan daripada kumpulan kecil dalam ruang pengaruh kita. Bertitik daripada situ sesi-sesi pertemuan berkala seperti usrah serta ziarah perlu diadakan secara konsisten untuk membina kepercayaan.

Kepercayaan tersebut akan membentuk ‘extended family’ yang tidak mempunyai pertalian darah namun, masih dari kalangan mereka yang dikenali dan dipercayai.

Daripada model sokongan tersebut, HELWA ABIM Wilayah Persekutuan juga berpandangan masyarakat atau sesebuah badan komuniti boleh membangunkan pusat asuhan kanak-kanak untuk dimanfaatkan oleh ibu bapa yang memerlukan.

Yang paling penting, sekiranya pusat ini diwujudkan pemantauan dan sokongan kerajaan amat diperlukan untuk menyediakan ruang pelatihan dan dokumentasi perundangan dalam bentuk lesen.

Mengambil maklum peranan LPPKN dalam merangka modul seperti PEKA khusus sebagai latihan dan kesedaran keselamatan kanak-kanak yang diajarkan di tadika-tadika dan pusat asuhan kanak-kanak, HELWA ABIM Wilayah Persekutuan menyambut baik usaha yang dilakukan pihak berwajib dan diharapkan penambahbaikan sentiasa dilakukan agar kejadian seumpama ini tidak berulang lagi.

HELWA ABIM Wilayah Persekutuan juga menyeru agar orang awam menggunakan media sosial sebaiknya dengan menjaga batas dan sensitiviti dengan meletakkan rasa empati yang tinggi kepada keluarga yang terlibat.
Proses pendidikan masyarakat perlu berterusan dan seiring untuk membina negara maju dan sejahtera.

Raja Nurul Balqis bt Raja Md Arif
Ketua Helwa, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Wilayah Persekutuan
Abim Wilayah Persekutuan

Categories
SELANGOR

ABIM rakam tahniah Amirudin Dato’ MB Selangor baharu

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 19 JUN: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Amirudin Shari di atas pelantikan beliau sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor yang baharu.

Pelantikan itu bagi menggantikan mantan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang kini dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Setiausaha Agung ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pihaknya berharap semoga pelantikan Dato’ Menteri Besar yang baharu itu akan terus memacu perkembangan ekonomi negeri dengan lebih pesat.

Katanya, ABIM turut berharap supaya Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Amirudin akan meneruskan segala dasar dan program kebajikan yang berorientasikan rakyat.

“Dengan pelantikan Amirudin selaku Dato’ Menteri Besar Selangor yang baharu, kami mengharapkan Kerajaan Negeri dapat meneruskan keterbukaan serta bersikap inklusif dengan pelbagai pihak untuk menyumbang ke arah tatakelola negeri yang lebih baik,” katanya

Justeru, katanya, ABIM atas kapasiti sebagai pertubuhan belia bersedia menawarkan untuk terus menjalinkan kerjasama dalam bidang pembangunan belia dan generasi muda yang sudah dilaksanakan dengan baik oleh Amirudin sepanjang sesi lalu.

“Walaupun dalam usia Amirudin yang dianggap muda dalam kalangan masyarakat, ABIM menaruh keyakinan dengan kemampuan kepimpinan orang muda untuk mencorak landskap politik baru pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Saya berharap dengan pelantikan Dato’ Menteri Besar Selangor yang baharu ini dapat memenuhi aspirasi anak muda dan agenda reformai rakyat,” katanya.

=EZY=

Categories
KENYATAAN MEDIA

Peguam Negara: ABIM sambut baik titah Agong

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menjunjung titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) yang memperkenankan cadangan kerajaan untuk melantik Tommy Thomas sebagai Peguam Negara Malaysia yang baharu menggantikan Tan Sri Apandi Ali.

Merujuk kepada kenyataan media istana negara bertarikh 4 Jun 2018, ABIM mengharapkan keputusan ini dapat meredakan spekulasi terhadap jawatan tersebut.

ABIM menyambut baik pendekatan secara berhikmah yang diamalkan melalui rundingan dan perbincangan yang dibuat untuk mengelakkan polemik terbabit daripada membara dan mencetuskan krisis perlembagaan antara YDPA dan badan eksekutif, yang sekiranya berlaku, hanya akan merugikan rakyat.

Dari sisi positif ABIM menilai polemik tersebut secara keseluruhannya menunjukkan tahap keprihatinan, kecelikan dan partisipasi rakyat dalam proses politik amat tinggi pasca PRU.

Walaupun keadaan tersebut adalah indikasi positif terhadap tahap kesedaran demokrasi serta kewarganegaraan dalam kalangan rakyat, namun indikasi ini perlu dicermati dan diuruskan dengan penuh kewaspadaan.

Dalam hal ini ABIM merujuk kepada titah YDPA yang menafikan sebarang spekulasi negatif yang cuba disemarakkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Penyelesaian polemik ini adalah indikasi positif terhadap reformasi institusi yang sedang digerakkan pasca pru 14.

ABIM menegaskan bahawa reformasi dalam institusi perundangan sangat penting kerana ia adalah simbol kepada keluhuran perlembagaan serta kedaulatan undang-undang.

Antaranya ialah menempatkan jawatan Peguam Negara setaraf dengan peranan seorang menteri yang bertanggungjawab untuk dinilai di parlimen.

Susulan daripada titah YDPA berhubung isu ini, ia secara langsung, akan mengukuhkan kedaulatan institusi Raja Berperlembagaan yang menaungi aspirasi dan harapan rakyat.

ABIM juga mengharapkan susulan daripada terungkainya polemik ini, ia dapat dijadikan pedoman untuk mengemudi gelombang perubahan secara berhikmah.

 

MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ
Setiausaha Agung, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Categories
AGAMA NASIONAL

ABIM laksana kempen seorang sekampit beras santuni asnaf

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 2 JUN: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyeru orang ramai menghulurkan sumbangan melalui Kempen Seorang Sekampit Beras 2018 (KSSB 2018) bagi membantu golongan yang memerlukan.

ABIM dalam kenyataannya berkata, penganjuran kali ke 12 itu, pihaknya mensasarkan sekurang-kurangnya 4,000 penerima dapat dibantu dari seluruh negara menjelang akhir Ramadan.

“Setakat ini kita telah mengagihkan sumbangan kepada 1,000 orang dalam bentuk beras, minyak masak, gula, tepung dan susu serta bahan keperluan asas yang lain.

“Bantuan ini kita utamakan kepada golongan miskin bandar iaitu keluarga berpendapatan rendah, warga emas, ibu tunggal, dan OKU,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat, ABIM mengalu-alukan sumbangan daripada masyarakat untuk disampaikan kepada mereka yang memerlukan.

Segala bentuk sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (Bank Islam:- 1402 3010 0305 52) ataupun ke laman web www.billplz.com/kssb.

Selain itu, jika terdapat sumbangan dalam bentuk beras dan barangan keperluan orang ramai boleh menghantar teru ke Sekretariat ABIM Pusat, No.6 Jalan TC2A/2, Taman Cemerlang, 53100 Kuala Lumpur.

Dalam perkemabgan lain, baru-baru ini seramai 300 orang daripada kalangan asnaf menerima bantuan itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Pertubuhan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) dan Masjid al-Khadijah, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Antara institusi perbankan yang memberikan sumbangan adalah Agrobank; HSBC Bank serta CIMB Bank.

Categories
AGAMA NASIONAL

JAKIM tetap relevan, segarkan peranan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 31 MEI: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berharap peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) disegarkan bersesuaian dengan fungsinya sebagai agensi penggubalan undang-undang syarak dan hal ehwal Islam.

Presidennya, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, sehubungan itu ABIM menyambut baik kenyataan kerajaan bagi penubuhan kumpulan perbincangan terdiri daripada ulamak dan ilmuwan untuk menilai semula peranan jabatan berkenaan.

“Berdasarkan peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama persekutuan, maka ABIM menegaskan peranan JAKIM tetap relevan serta penting terutama sekali ke arah membentuk kefahaman Islam lebih menyeluruh sesuai dengan persoalan pemikiran, fiqh serta syariah, sosioekonomi dan politik, pada masa akan datang.

“Tanpa menafikan sumbangan serta peranan JAKIM cukup besar sebelum ini, maka ABIM merasakan badan itu perlu lebih ke hadapan serta inklusif untuk mengangkat tema Al-Islam Rahmatun Lil Alamin dengan pelbagai pihak termasuk masyarakat bukan Islam serta isu sensitif,” katanya.

Beliau berkata, JAKIM juga perlu proaktif mengetengahkan perbincangan serta wacana pemikiran Islam kontemporari untuk membentuk kefahaman lebih holistik dalam kalangan rakyat terhadap Islam, pada masa depan.

Katanya, ABIM serta pertubuhan Islam dan agamawan termasuk masyarakat sentiasa bersedia untuk berpartisipasi dalam proses perbincangan yang bakal diadakan kelak.

“Partisipasi ini adalah komitmen ABIM ke arah menggerakkan gelombang baharu dakwah untuk mengenjak tahap keberagamaan umat dengan bingkai Maqasid Syariah yang mengutamakan kemaslahatan rakyat dan menghindari sebarang kemudaratan,” katanya.

Categories
NASIONAL

ABIM santuni pesakit Orang Asal

OLEH SHEEDA FATHIL

GOMBAK, 30 MEI: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan 10 sukarelawan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menyantuni 12 pesakit Orang Asal di Hospital Orang Asli, di sini, semalam.

Setiausaha Agung ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, program ‘Hospital Visit’ di Hospital Orang Asli itu merupakan tahun ketiga ABIM laksanakan.

“Kita memang tidak pernah terlepas daripada menghulurkan bantuan kepada masyarakat Orang Asal di sini dan ia bertujuan menyantuni pesakit supaya mereka terasa lebih dihargai.

“Antara sebab hospital ini dipilih kerana ia unik dan kebarangkalian untuk mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) datang buat sumbangan sedikit berkurangan,” katanya.

Muhammad Faisal berkata, antara barangan disumbangkan adalah bubur lambuk, buah-buahan, makanan kering dan minuman hasil sumbangan daripada masyarakat awam sekitar Selangor.

“Penglibatan sukarelawan juga amat menggalakkan dan semoga inisiatif sebegini diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, salah seorang sukarelawan, Hafzan Azmir, 22, berkata, penglibatan golongan remaja terutamanya dalam program sebegini dapat memupuk jiwa untuk sentiasa bersyukur dan positif.

“Ini merupakan penglibatan kali pertama saya dalam program santuni masyarakat Orang Asal berbanding sebelum ini selalu fokus kepada kebajikan di rumah orang tua.

“Pengalaman ini amat berharga dan saya harap lebih ramai remaja terutamanya melibatkan diri dengan aktiviti sukarelawan kerana ia mampu memberi impak positif pada masa akan datang,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

ABIM agih beras sempena Ramadan

OLEH HAZIQ ISMAIL

KUALA LUMPUR, 23 MEI: Kira-kira 400 keluarga asnaf terpilih menerima bantuan menerusi Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB) anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), di Masjid Al-Bukhary, di sini, semalam.

Presiden ABIM, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, program kolaborasi bersama Association of Islamic Banking Institutions Malaysia (AIBIM) itu bertujuan mengurangkan beban asnaf sempena Ramadan.

Katanya, terdapat 2,000 keluarga akan menerima bantuan terbabit, di sekitar Lembah Klang.

“Sebanyak 1,000 keluarga akan menerima bantuan ini, iaitu 400 keluarga hari ini (semalam), 300 di Pantai Dalam dan 300 lagi di Semarak.

“Kami memilih 5,500 keluarga dari seluruh negara untuk mendapat bantuan sama,” katanya.

Sementara itu, penerima yang mendapat sumbangan itu mengucapkan terima kasih kepada ABIM dan AIBIM kerana memberi bantuan makanan kepada mereka.

Penerima, Zainal Abiddin, 49, bersyukur kerana bantuan itu sedikit sebanyak meringankan beban yang dihadapinya ketika Ramadan.

“Terima kasih kerana tidak lupa memberi sumbangan kepada kami dan dengan bantuan ini saya dapat menjimatkan perbelanjaan, pada bulan Ramadan ini,” katanya.

Manakala bagi penerima, Suriana Muhd Lahuri, 53, bantuan itu dapat menambah juadah untuk berbuka puasa dengan anaknya.

“Saya ibu tunggal menjaga tiga orang anak. Ini rezeki anak saya yang baru habis belajar,” katanya.

Categories
NASIONAL

Anwar bebas, ABIM ucap tahniah

SHAH ALAM, 16 MEI: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyambut baik pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menyifatkannya sebagai coretan sejarah amat bermakna buat seluruh rakyat Malaysia.

Presidennya, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, pembebasan itu satu permulaan kepada langkah reformasi lebih besar yang akan membawa manfaat besar kepada negara.

“ABIM merafak sembah menjunjung setinggi penghargaan kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Muhammad V atas perkenan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari tahanan.

“Perkenan itu menggambarkan YDPA amat memahami aspirasi dan kehendak rakyat Malaysia yang sekian lama berjuang demi hak asasi serta kebebasan,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, ABIM turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengusahakan pembebasan bekas ketua pembangkang itu.

“Semoga dengan pembebasan ini dapat membantu kepimpinan Perdana Menteri untuk membawa Malaysia ke arah lebih cemerlang dan kembali disegani,” katanya.

 

Categories
KENYATAAN MEDIA

Pilihan Raya Umum ke-14: Tahniah buat rakyat Malaysia!

OLEH MOHAMAD RAIMI AB RAHIM

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ingin merakamkan ucapan tahniah kepada kepada rakyat Malaysia di atas perubahan yang direalisasikan sempena dengan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang telah berlangsung pada 9 Mei 2018.

Kejayaan ini sangat bermakna kerana ia adalah kemenangan rakyat. Mereka telah menyuarakan kehendak yang mendambakan perubahan semenjak sekian lama. Semoga perubahan ini membuka lembaran baru kepada sejarah negara ini demi kemakmuran rakyat dan masa hadapan yang cerah baut generasi akan datang.

Sesungguhnya pilihanraya ini membuktikan betapa keramatnya suara generasi muda yang merangkumi enam juta pengundi ke arah mencorakkan perubahan yang sesuai dengan keperluan zaman mendatang. Tahniah kepada anak muda kerana telah menjadi ejen perubah – changemakers buat negara Malaysia yang tercinta ini.

Sesungguhnya kemenangan adalah satu taklifan (amanah) yang perlu disempurnakan. Kemenangan hadir dengan harapan yang memerlukan pelaksanaan. Adalah menjadi harapan jutaan rakyat Malaysia agar nilai-nilai keadilan dapat diterjemahkan dalam perubahan yang bakal dilaksanakan.

ABIM mengharapkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dapat memenuhi segala janji yang diketengahkan sepanjang kempen pilihanraya ini. Dengan pembentukan kerajaan PH ini diharapkan dapat membuka lembaran baru kepada politik tanah air yang menjunjung tinggi nilai, akhlak dan ketelusan pimpinan negara selari dengan prinsip demokrasi dan Perlembagaan Persekutuan.

Tahniah untuk rakyat Malaysia di atas keberanian membuat pilihan di sebalik pelbagai mehnah dan ranjau yang cuba direntang selama ini.

Semoga rakyat sama-sama bersedia berganding tangan untuk mengisi seribu satu harapan baru ini dengan semangat kecintaan kepada tanah tumpah air tercinta ini.

Tahniah Rakyat Malaysia!

#Mohamad Raimi Ab Rahim adalah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)