Categories
NASIONAL

ABIM saran debat terbuka bincang manifesto BN-PAKATAN

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 APR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyarankan debat terbuka membabitkan wakil Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PAKATAN) diadakan bagi membincangkan hala tuju manifesto dibentangkan sempena Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14).

Presiden ABIM, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, debat itu penting ke arah membudayakan amalan politik sihat sehingga akar umbi dan membuka ruang kepada rakyat menilai seterusnya membuat perbandingan antara manifesto diketengahkan BN-PAKATAN.

“ABIM menilai kedua manifesto dikemukakan mempunyai kelainan dan perbezaan yang memerlukan penjelasan tuntas daripada wakil BN juga PAKATAN.

“Medium ini juga membolehkan rakyat berinteraksi secara terbuka dan menyuarakan keprihatinan mereka berkenaan manifesto dikemukakan.

“Selain itu, pentas ini juga membolehkan rakyat menilai sejauh mana manifesto pilihan raya dikemukakan kedua pihak terlaksana sejak 2013, baik di peringkat Persekutuan mahupun negeri,” katanya.

Mohamad Raimi berkata, wacana itu juga akan memudahkan calon dari parti masing-masing menjelaskan manifesto dengan lebih berkesan dan praktikal kepada kelompok pengundi disasarkan, di kawasan ditandingi.

Katanya, ABIM mahu masyarakat menganjak ke budaya politik lebih matang tanpa dibayangi amalan kempen berasaskan sentimen, kebencian, fitnah dan adu domba semata-mata.

“Manifesto adalah indikasi perancangan kedua pihak untuk tempoh lima tahun akan datang selepas PRU14 yang pastinya akan menyentuh kepentingan rakyat kerana mereka perlu diberikan akses untuk membolehkan penilaian secara rasional dan matang dibuat.

“Tambahan kita sudah menganjak ke zaman keterbukaan yang semakin bercambah seiring kesedaran rakyat dan percambahan saluran sosial media.

“Atas dasar itu, ABIM menyambut baik keterbukaan sebarang organisasi dan pengamal media untuk memberi ruang kepada debat sebegini berlangsung,” katanya.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Industri fesyen jangan abai sensitiviti wanita muslim

Sejarah membuktikan wanita adalah antara entiti utama yang menggerakkan evolusi dakwah di Malaysia.

Keberanian dan kepayahan dalam mengubah norma masyarakat, dalam aspek pemakaian tudung oleh penganut Islam telah dipelopori oleh HELWA ABIM pada era 70-an. Perjuangan ini tidak wajar dilupakan dan sejarah perjuangan ini perlu dihargai oleh wanita di Malaysia khususnya kerana pemakaian tudung yang dimulakan adalah dengan penuh kesedaran memaknai hikmah al-Quran dan kepatuhan kepada perintah Tuhan.

Namun, isu yang berbangkit hari ini merupakan insiden gelap yang terlihat jelas kontra di mana pudarnya maruah, identiti serta jati diri mengikut arus zaman dan lebih malang lagi menurut kehendak kapitalis yang tidak mengenal erti nilai dan budaya. HELWA memandang serius berkenaan fenomena kehilangan adab yang berlaku secara berleluasa hari ini.

Dalam keghairahan masyarakat terlibat secara aktif dalam dakwah, perniagaan, dan karier muslimah — perlu wujud garisan jelas yang difahami dan dipandu oleh ketetapan syariah. Dua premis utama yang harus dimaknai dengan jelas dalam falsafah hijab; pertamanya adalah ‘an yu’rafna’ supaya wanita muslimah itu dikenali dan yang keduanya ‘an yu’zayna’ supaya wanita muslimah tidak diganggu.

Menghayati ibrah dari ayat 59, surah al-Ahzab ini, HELWA menyarankan kepada Muslimah di Malaysia yang mengenakan hijab harus memilih untuk memenuhi tuntutan syarak dan menghayati falsafah berhijab ini dengan penuh kesedaran. Kesedaran ini diangkat sebagai agenda dakwah yang mengambil pendekatan ‘awsatuha’ (bersederhana) serta tidak ekstrem.

Adalah tanggungjawab kita bersama untuk memastikan perkembangan dakwah di Malaysia tidak terbantut, dalam masa yang sama wanita Muslim di Malaysia harus terus meningkatkan ilmu spiritual selain ilmu fardhu ‘ain dan kifayah yang telah kita sama hadami. HELWA menyedari penglibatan wanita di Malaysia dalam perniagaan melibatkan rekaan fesyen amat memberangsangkan. Pasti sahaja segala ruang pemasaran akan dimanfaatkan.

Menurut Leina Lewis, profesor dari London College of Fashion dalam bukunya dilancarkan pada 2015, ‘Muslim Fashion: Contemporary Style Cultures’, menyatakan bahawa pereka fesyen arus perdana telah melihat kesediaan pereka fesyen Muslim beraliran sederhana yang sudi mengikut cara mereka memerangi stigma menunjukkan bahawa generasi kini sudah berani keluar dari normalisasi dan budaya yang dianggap tradisional.

Kaji selidik yang dijalankan J. Walter Thompson pula menunjukkan wanita muda beragama Islam di Asia Tenggara telah menjadi tumpuan para pemasar sebagai kumpulan berpengaruh dalam gaya, fesyen, dan pelancongan. Tambahan pula, mereka mempunyai kemampuan yang baik terhadap teknologi dan keusahawanan sambil tetap patuh pada aspek keagamaan yang mereka yakini. Justeru, dalam menghadapi ledakan modenisasi dalam industri fesyen ini, HELWA menggesa agar masyarakat kembali kepada asas kuasa pengguna dalam memilih produk.

Sekiranya mereka terus sombong dan tidak menghiraukan pandangan serta sensitiviti masyarakat Muslim di Malaysia, maka inisiatif boikot adalah jalan terbaik jikalau pihak terlibat tidak mengambil tanggungjawab sosial ini. Ini akan memberi mesej jelas kepada semua bahawa kepentingan untuk menjaga maruah dan akal budi wanita Muslim harus menjadi keutamaan. Pesan kami kepada figura masyarakat dan pemimpin, peliharalah diri dan keluarga serta jangan melampaui batasan. . .

Nor Azura Kamarudin Sohami
Naib Presiden (Helwa) ABIM

Categories
NASIONAL

ABIM gesa kerajaan lindungi pemberi maklumat

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 9 FEB: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa langkah proaktif kerajaan bagi mendaulatkan undang-undang dengan melindungi pemberi maklumat seperti termaktub di bawah Akta Perlindungtan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).

Presiden ABIM, Mohd Raimi Ab Rahim berkata, langkah terbabit perlu demi menghilang kegusaran rakyat untuk mendedahkan maklumat tertentu yang difikirkan mengandungi unsur rasuah serta penyalahgunaan dan penyelewengan dana awam oleh pihak tertentu.

“ABIM mengungkap kembali kenyataan kerajaan pada Jun 2010 ketika Parlimen meluluskan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) yang menegaskan tujuannya antara lain untuk memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa dengan menggalakkan serta memudah cara pendedahan salah laku dalam sektor awam juga swasta serta melindungi mereka yang membuat pendedahan.

“Maka, ABIM menggesa pelindungan yang dinyatakan dalam Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) tidak dibatasi oleh mana-mana undang-undang bertulis lain yang secara tidak langsung boleh menjenayahkan sesiapa sahaja ingin membuat pendedahan,” katanya.

Mohd Raimi berkata demikian sambil menjelaskan, ABIM memandang berat sabitan dan hukuman penjara 30 bulan dikenakan ke atas Naib Presiden KEADILAN yang juga Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan bekas kerani, Johari Mohamad, atas kesalahan mendedahkan maklumat perbankan berhubung skandal National Feedlot Corporation (NFC).

Katanya, ABIM mengamati keputusan Mahkamah Sesyen itu adalah terhad hanya dalam ruang lingkup untuk mengaplikasikan undang-undang sedia ada khususnya peruntukan dalam Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (Akta 372) (Bafia) dan ia harus dihormati.

“Justeru, langkah lebih proaktif di peringkat kerajaan sebagai badan eksekutif serta institusi Parlimen sebagai organ legislatif perlu untuk mengangkat dan mendaulatkan undang-undang sedia ada dalam melindungi pemberi maklumat atau ‘whistleblower’ termasuk Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).

“ABIM merujuk kepada Seksyen 6 (1) akta sama yang menyatakan: “Seseorang boleh membuat pendedahan kelakuan tidak kepercayaannya yang munasabah bahawa mana-mana orang telah membabitkan diri, sedang membabitkan diri atau bersedia untuk membabitkan diri dalam kelakuan tidak wajar: Dengan syarat bahawa pendedahan sedemikian tidak dilarang secara khusus oleh mana-mana undang-undang bertulis,” katanya.

Selain itu, Mohd Raimi berkata, ABIM juga menggesa untuk diwujudkan peruntukan ‘pembelaan’ kepada kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) untuk memberi hak kepada pemberi maklumat membela diri atas alasan munasabah seperti kepentingan awam apabila didakwa atas kesalahan mendedahkan sesuatu kesalahan.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Pinda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010

OLEH MOHAMAD RAIMI AB RAHIM

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat sabitan dan hukuman penjara 30 bulan yang dikenakan ke atas Ahli Parlimen Y.B. Rafizi Ramli dan Johari Mohamad atas kesalahan mendedahkan maklumat perbankan berhubung skandal National Feedlot Corporation (NFC).

Keputusan ini pasti akan menggusarkan rakyat awam untuk mendedahkan maklumat-maklumat tertentu yang difikirkan mengandungi unsur-unsur rasuah serta penyalahgunaan dan penyelewengan dana awam oleh pihak tertentu.

ABIM mengamati keputusan Mahkamah Sesyen adalah terhad hanya dalam ruang lingkup untuk mengaplikasikan undang-undang sedia ada khususnya peruntukan dalam Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 [Akta 372] atau lebih dikenali sebagai BAFIA, dan ia harus dihormati.

Justeru, langkah yang lebih proaktif di peringkat Kerajaan sebagai badan eksekutif serta institusi Parlimen sebagai organ legislatif perlu untuk mengangkat dan mendaulatkan undang-undang sedia dalam melindungi pemberi maklumat atau whistleblower termasuk Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711]

ABIM mengungkap kembali kenyataan pihak kerajaan pada Jun 2010, ketika Parlimen meluluskan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711] yang menegaskan tujuan akta ini antara lain untuk memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa dengan menggalakkan serta memudahcara pendedahan salah laku dalam sektor awam dan swasta dan melindungi mereka yang membuat pendedahan.

Maka, ABIM menggesa pelindungan yang dinyatakan dalam Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711] tidak dibatasi oleh mana-mana undang-undang bertulis lain yang secara tidak langsung boleh menjenayahkan sesiapa sahaja yang ingin membuat pendedahan.

ABIM merujuk kepada Seksyen 6 (1) Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711] yang menyatakan: “Seseorang boleh membuat pendedahan kelakuan tidak kepercayaannya yang munasabah bahawa mana-mana orang telah melibatkan diri, sedang melibatkan diri atau bersedia untuk melibatkan diri dalam kelakuan tidak wajar: Dengan syarat bahawa pendedahan sedemikian tidak dilarang secara khusus oleh mana-mana undang-undang bertulis.”

Selain itu, ABIM juga menggesa untuk diwujudkan peruntukan ‘pembelaan’ kepada kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) untuk memberi hak kepada pemberi maklumat membela diri atas alasan munasabah seperti kepentingan awam apabila didakwa atas kesalahan mendedahkan sesuatu kesalahan.

# Mohamad Raimi Ab Rahim adalah Presiden ABIM

Categories
NASIONAL

ABIM gesa program DLP dimansuhkan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 4 JAN: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa Kerajaan Persekutuan memansuhkan program Dwibahasa atau Dual-Languange Program (DLP).

Presidennya, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, DLP akan menjadi satu lagi simbol kegagalan selepas Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) selain menganiaya pendidik, ibu bapa dan murid.

“Program ini akan dilihat melahirkan kasta dalam pendidikan apabila murid dibentuk dalam satu acuan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, senario itu adalah menifestasi kepincangan dalam program DLP sehingga melahirkan keresahan ibu bapa.

“Kami mahu Kementerian Pendirikan fokus kepada usaha kukuh Bahasa Inggeris menerusi pemantapan dan kemas kni pembelajaran Bahasa Inggeris.

“Bukan pengajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam Bahasa Inggeris,” katanya.

Sebelum ini, sekumpulan ibu bapa di sebuah sekolah di Petaling Jaya memfailkan tindakan undang-undang mengakibatkan program DLP ditangguhkan.

Categories
KENYATAAN MEDIA

ABIM gesa mansuh program DLP 2019

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada berita penangguhan Program Dwibahasa atau Dual-Languange Program (DLP) di SJK (T) Vivekananda ekoran dari tindakan Mahkamah yang diambil oleh ibu bapa murid kerana program tersebut dilihat akan menghapuskan pengajaran dalam bahasa Tamil.

Senario yang berlaku ini adalah satu manifestasi kepada kepincangan yang berlaku dalam program DLP sehingga melahirkan keresahan ibu bapa terhadap pendidikan bahasa ibunda.

Justeru ABIM menggesa agar pihak Kementerian Pendidikan kembali fokus kepada usaha mengukuhkan Bahasa Inggeris menerusi pemantapan dan pengemaskinian pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah dan bukan menerusi pengajaran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam Bahasa Inggeris.

Pengukuhan kurikulum Bahasa Inggeris boleh dilaksanakan berdasarkan ‘Common European Framework of Reference for Languages’ (CEFR) yang mana dikatakan sesuai untuk penutur Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, bahkan program-program berasaskan Highly Immersive Program yang lebih praktikal sifatnya boleh dilaksanakan.

Di samping itu pengetahuan pedagogi kandungan atau _‘pedagogical content knowledge’ (PCK)_ disiplin bidang Bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan dalam kalangan guru-guru bahasa Inggeris.

Pelaksanaan DLP tidak hanya akan menyambung kegagalan PPSMI yang terbukti secara kajian akademiknya, bahkan juga merupakan satu penganiayaan terhadap pelajar-pelajar, ibu bapa serta warga pendidik secara keseluruhannya.

Program ini juga akan melahirkan kasta dalam pendidikan apabila para murid tidak dibentuk dalam satu acuan pendidikan kebangsaan yang sama.

Maka, ABIM menggesa agar pihak kerajaan untuk memansuhkan program DLP berkuatkuasa tahun hadapan dan kembali semula kepada landasan dasar bahasa kebangsaan dalam pendidikan kebangsaan yang semakin terpesong melalui DLP.

Mohamad Raimi Ab Rahim
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia ABIM

Categories
NASIONAL

60 anak-anak asnaf terima bantuan kelengkapan persekolahan

OLEH SABIRAH AZIZ

SUBANG JAYA, 20 DIS: Seramai 60 anak-anak asnaf dan muallaf hari ini menerima bantuan kelengkapan persekolahan bagi sesi 2018 dalam program Penyampaian Sumbangan Projek Baju Sekolah 2017 di Pasaraya Mydin USJ, di sini.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, bantuan itu merupakan aktiviti tahunan bertujuan membantu persiapan persekolahan pelajar kurang berkemampuan.

“Program ini mendapat kerjasama daripada pihak Pengurusan Zakat, Affin Islamic Bank dan individu yang menyalurkan dana berjumlah RM12,000 dengan setiap anak-anak mendapat peruntukan RM200 bagi membeli persiapan persekolahan.

“Ini adalah tahun kelima program ini diadakan di mana kebanyakan anak-anak ini dipilih daripada keluarga asnaf melalui Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB) yang dilaksanakan pada bulan Ramadan lalu,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, program yang bermula sejak 2012 itu turut mendapat kerjasama daripada sukarelawan ABIM yang terdiri dariapada golongan muda.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menjayakan program ini dan diharapkan ia dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Eksekutif Kanan Pengurusan Zakat, Jabatan Penyeliaan Shariah Affin Islamic Bank, Helmi Afizal Zainal berkata, ia adalah kerjasama kedua dijalankan pihaknya bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu.

“Ini adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang kami lakukan bagi membantu golongan yang memerlukan,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Kerajaan Persekutuan digesa dedah butiran TPPA

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 21 NOV: Kerajaan Persekutuan digesa mendedahkan butiran baru Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kepada umum dan membuka ruang perbahasan terbuka berhubung perkara itu.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) , Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, perkembangan itu meliputi proses rundingan isi kandungan perjanjian itu yang cuba dijenamakan semula sebagai Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership (CPTPP).

Katanya, ia susulan daripada penarikan diri Amerika Syarikat daripada perjanjian itu.

“Dalam semakan kehakiman difailkan, pada 4 November 2015 lalu, ABIM dengan tegasnya berpandangan perlaksanaan TPPA menggugat secara langsung asas kedaulatan negara.

“Perlaksanaan mekanisme Investor-State Dispute Settlement (ISDS) langsung menggugat kedaulatan undang-undang negara mencemarkan keluhuran Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.

Raimi berkata, usaha merealisasikan CPTPP menggantikan TPPA, turut dibantah pakar ekonomi terkemuka antarabangsa seperti KS Jomo, yang menyuarakan kebimbangan kesan CPTPP terhadap rakyat.

Katanya kesan itu adalah kenaikan harga keperluan penting seperti bahan perubatan, dan aliran perdagangan antarabangsa tidak memihak kepada rakyat.

“Merujuk implikasi berkenaan, ABIM mendesak Kerajaan mendedahkan setiap butiran rundingan CPTPP kepada masyarakat umum.

“ABIM menggesa dialog dan perbincangan terbuka serta inklusif diadakan membabitkan setiap stakeholder mewakili setiap segmen rakyat serta lapangan ekonomi,” katanya.

Dalam pada itu, Raimi berkata, ABIM menggesa hasil proses dialog serta perbincangan dikemukakan stakeholder diangkat  rujukan utama sebelum keputusan perlaksanaan CPTPP dibuat.

“Keputusan tergesa-gesa melaksanakan ketetapan CPTPP tanpa analisis kritis dan terbuka meninggalkan kesan buruk kehidupan rakyat pada ketika terpaksa mendepani kesenjangan ekonomi semakin melebar,” katanya.

=EZY=

 

Categories
KENYATAAN MEDIA

Larangan tudung untuk pekerja hotel amalan lapuk

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Hotel Malaysia (MAH) berkaitan dengan larangan berkait pemakaian tudung untuk wanita Islam yang ingin bekerja di front line desk hotel-hotel di Malaysia. ABIM menilai kenyataan tersebut secara jelas menafikan hak kebebasan mengamalkan agama dan terang-terangan bertentangan dengan peruntukan Perkara 5 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang serius sebarang isu diskriminasi wanita di tempat kerja. Tambahan pula ia cuba dijustifikasikan atas standard dan polisi antarabangsa. Persoalan yang berikut timbul daripada polemik ini:-

1. Bagaimanakah sesebuah hotel boleh beroperasi dengan menggunakan SOP yang jelas bercanggah dengan peruntukan yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan?

2. Sejelas manakah Indeks Syariah yang diwar-warkan menjadi rujukan dan turut meliputi industri perhotelan di negara ini taktala wujud SOP untuk sesebuah hotel menghalang pekerja atau pelatih mengenakan tudung di kaunter khidmat pelanggan (frontdesk)?

3. Apakah ruang yang diberikan untuk para pekerja atau pelatih wanita Muslim untuk menyuarakan hak mereka secara rasmi? Apakah wujud penafian mahupun larangan untuk mereka menyuarakan aduan melalui saluran rasmi hatta melalui kesatuan mahupun NGO pekerja?

4. Apakah konsep Hotel Patuh Syariah yang cuba diterapkan sebagai contoh Kumpulan Hotel De Palma mulai tahun 2008, tidak menepati standard serta piawaian antarabangsa mulai tahun mahupun menjejaskan kualiti industri perhotelan dan pelancongan negara?

Dengan itu ABIM menggesa agar pihak-pihak berkuasa berkenaan seperti Kementerian Wanita dan Kebajikan Masyarakat serta Kementerian Pelancongan dan Kementerian Sumber Manusia mengeluarkan kenyataan rasminya berhubung dengan isu ini.

Masyarakat memerlukan rujukan mahupun makluman dasar rasmi berhubung isu ini memandangkan ia menyentuh sensitiviti beragama dan hak asasi manusia dalam industri yang cuba mengangkat imej negara di mata dunia.

Amalan bertudung bukanlah suatu amalan yang asing hatta di peringkat antarabangsa yang meraikan sumbangan para tokoh serta professional wanita Muslim dalam pelbagai lapangan. Jangan sampai polemik ini menjejaskan nama baik negara serta industri pelancongan yang integral dengan perkembangan sejagat.

Atas dasar ini, ABIM juga menyeru agar kesemua pendokong hak asasi manusia dan wanita untuk sama-sama memperjuang isu ini secara serius di peringkat nasional sehingga antarabangsa.

Larangan pemakaian tudung adalah isu lapuk yang perlu ditentang bukan sahaja dalam kalangan industri perhotelan, hatta dalam setiap lapangan pekerjaan serta industri sekalipun.

Nor Azura Kamarudin Sohami
Naib Presiden (HELWA)
Angkatan Belia Islam Malaysia

Categories
NASIONAL

Presiden ABIM antara panelis sidang antarabangsa di Turki

 

SHAH ALAM, 27 OKT: Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab Rahim tampil sebagai panelis dalam International City and Civil Society Organizations Summit di Turki, pada 21 Oktober lalu.

Berlangsung pada 20 hingga 22 Oktober lalu, Raimi membentangkan kertas kerja bertajuk “The Institutional Capacity of Islamic NGOs: ABIM & the Malaysian Experience”.

Prof. Dr. Ismail Adak (Turki) selaku moderator, Raimi bersama ahli panel lain Prof Dr Rafaat H. Rasheed Mikati, Rasheduzzaman dan Ibrahim Mohamed Haji Bulushi mengupas topik “Institutional Capacity Building for Civil Society Organizations (CSO)”.

ABIM berharap acara itu memberi manfaat luas dalam memperkukuhkan lagi rangkaian serta ukhwah dengan pelbagai pertubuhan masyarakat sivil dari seluruh dunia.

 

Categories
NASIONAL

ABIM tuntut Bahasa Melayu terus didaulat

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 6 JULAI: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyambut baik keputusan kerajaan menarik balik kelonggaran syarat lulus mata pelajaran Bahasa Melayu untuk pegawai perubatan lantikan kontrak.

Setiausaha Agungnya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, keputusan merujuk kenyataan dikeluarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah bertepatan dengan tuntutan termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, ABIM juga menuntut supaya usaha mendaulat Bahasa Melayu oleh kerajaan, tidak hanya terhad untuk sektor perkhidmatan dan perjawatan semata-mata.

“Paling utama, usaha mendaulatkan Bahasa Melayu perlu dimaknai dengan memastikan ia tidak dipinggirkan fungsinya dalam sistem pendidikan kebangsaan dan ini termasuk memastikannya terus berfungsi sebagai bahasa penghantar utama untuk mata pelajaran di sekolah aliran kebangsaan.

“Tuntutan ini ABIM usulkan dengan merujuk Perkara 152 (6) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukan “maksud rasmi” adalah apa-apa maksud Kerajaan sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri dan termasuk apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa.

“Justeru, menjadi tanggungjawab utama kerajaan secara khususnya menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk sentiasa mengangkat, memartabat serta memelihara Bahasa Melayu,” katanya.

muhammad_faisal_abd_aziz_abimMengulas lanjut, Muhammad Faizal berkata, tanggungjawab dinyatakan termasuk mengembalikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik di semua sekolah aliran kebangsaan.

Katanya, ABIM berpandangan sebarang usaha menggantikan Bahasa Melayu dengan bahasa asing sebagai medium pembelajaran sekolah kebangsaan adalah pengkhianatan terhadap Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

“Jika kerajaan mahu memperkenalkan dasar Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi mata pelajaran tertentu seperti Dual Language Programe (DLP), ia harus dilaksanakan hanya sebagai subjek tambahan atau elektif sebagai pilihan tambahan tanpa perlu mengorbankan pembelajaran mata pelajaran utama dibuat menerusi medium Bahasa Melayu.

“Keluhuran Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati semua pihak dengan memahami secara komprehensif kerana ia berasaskan falsafah dan tujuan serta maksud supaya masyarakat dididik juga digerakkan berasaskan nilai termaktub di dalamnya,” katanya.

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

ABIM tolak longgar syarat lulus bahasa Melayu SPM

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 JULAI: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menolak cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memberi syarat kelayakan lulus Bahasa Melayu (BM) peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi menjalani latihan siswazah selama dua tahun dengan kementerian itu.

Setiausaha Agung ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, cadangan kelonggaran itu akan membuka ruang untuk segolongan dalam masyarakat membelakangkan bahasa Melayu dan peruntukan lain dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, KKM perlu memahami bahawa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan mempunyai falsafah dan tujuan keutamaan tersendiri yang harus disanjungi dan dihormati untuk masyarakat dididik dan digerakkan berasaskan nilai yang termaktub di dalamnya.

muhammad_faisal_abd_aziz_abim“Perkara 152 (6) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa ‘maksud rasmi’ adalah apa-apa maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri dan termasuk apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa.

“Adalah menjadi tanggungjawab utama kerajaan melalui kementerian untuk sentiasa mengangkat, memartabat serta memelihara bahasa Melayu.

“Ia termasuk dengan melaksanakan syarat tertentu seperti syarat lulus bahasa Melayu mengikut ‘standard’ tertentu untuk penyerapan sebagai kakitangan di mana-mana jabatan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian merujuk kenyataan terbaharu yang dikeluarkan KKM untuk memberi kelonggaran kepada syarat kelayakan lulus bahasa Melayu peringkat SPM bagi menjalani latihan siswazah selama dua tahun dengan kementerian itu.

Faisal menegaskan, kelonggaran itu tidak berasas kerana tidak didokong dengan alasan munasabah selain bercanggah dengan semangat dan peruntukan yang termaktub dalam Perlembangaan Persekutuan.

“Bagaimanapun, ABIM menyarankan supaya pihak terbabit menyediakan mekanisme khusus yang memudahkan pengambilan peperiksaan subjek BM.

“Ia termasuk penyeragaman waktu peperiksaan, keizinan mengambil subjek BM sebagai subjek tunggal SPM (untuk calon bukan dari aliran peperiksaan SPM) termasuk dalam urusan kemudahan pembelajaran subjek itu bagi calon yang terbabit,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, tidak seharusnya wujud sebarang keraguan terhadap kemampuan bahasa Melayu dalam membentuk nilai tambah kepada rakyat Malaysia untuk berdaya saing dalam sektor kritikal.