Categories
AGAMA

Walau bertatu Richard Ngumbang cekal ke masjid

Oleh Naeem Raffi
Gambar Asri Sapfie

 

SEJAK belasan tahun Richard Ngumbang Anak Pillip, seorang pemuda Iban dari Kampung Tutus Batang Igan, Sibu, Sarawak, sudah mencacah tubuh termasuk tangannya dengan tatu.

Ini kerana bertatu adalah tradisi suku Iban iaitu masyarakat Dayak terbesar di Sarawak.

IMG_3313aIa sebenarnya melambangkan identiti dan status yang mengkelaskan kedudukan kumpulan masyarakat atau sesuatu kaum.

Namun, Islam menegah umatnya bertatu dan mengkelaskan budaya seumpama itu. Ia berdasarkan hadis sahih:

“Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan minta disambungkan rambutnya, perempuan yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu.” (Riwayat al-Bukhari)

Malah, Majlis Fatwa Kebangsaan menerusi muzakarahnya pada 2009 secara jelas memutuskan, hukum pembuat tatu dan orang yang meminta dibuat tatu dari kalangan umat Islam adalah haram.

Hal itu sedikit sebanyak ia merisaukan Richard Ngumbang yang baru memeluk Islam Februari lalu.

Namun, beliau tetap cekal beribadah.

Malah, kerap solat berjemaah di masjid sekalipun berdepan kemungkinan ibadahnya dipertikai segelintir umat Islam yang tidak mahir hukum hakam lantaran tatunya.

“Saya harap keadaan saya (bertatu) ini tidak dipersoal umat Islam khususnya ketika berjemaah di masjid. Jika ada pertanyaan mengenai tatu ini, saya bersedia menjelaskannya,” katanya.

IMG_3317a (1)Richard Ngumbang melafaz kalimah memeluk Islam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dalam upacara ringkas seusai solat Jumaat, Februari lalu.

Proses pengIslaman itu diketuai Pegawai Pemudahcara dan Perhubungan dari Islamic Outreach ABIM (IOA), Khalid Abdul Samad.

Dalam soal tatu, Khalid berkata mualaf bertatu sebelum memeluk Islam bukan suatu kesalahan di sisi Islam dan tidak wajar dihukum kerana mereka belum Islam ketika melakukan ‘dosa’ itu.

“Contoh, Saidina Umar pernah menanam anak perempuannya hidup-hidup sebelum pengIslamannya. Selepas memeluk Islam, kesalahan itu tidak dihukum. Sama seperti isu mualaf bertatu ini,” katanya.

Mengikut Khalid, orang Islam sekalipun bukan mualaf yang bertatu tetapi menyesal dan bertaubat dari perbuatan itu tetapi tidak berupaya menghilangkannya dengan cara selamat, tetap boleh melakukan ibadat.

Ternyata, Islam itu agama yang mudah. Tidak memberatkan umatnya bersesuaian dengan fitrah manusia baik dalam hal aqidah, syariat, ibadah, muamalah, kehidupan mahupun hukuman.

Dalam erti kata lain, Islam bukan agama yang menyulitkan umatnya sepertimana firman Allah s.w.t

“.. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu..” (surah al-Baqarah ayat 185)

tgk masuk islam a (1)Dan, inilah antara faktor yang menambat hati Richard Ngumbang kepada Islam.

Kesederhanaan dalam semua aspek dan gaya hidup membuatkan beliau tertarik untuk memeluk Islam.

“Tidak kira mereka senang atau dalam musibah, semuanya dirujuk kepada Allah dengan berdoa selepas solat.

“Bila saya tanya, jawapan mereka: Allah sentiasa ada untuk kita dalam apa jua keadaan dan doa adalah usaha terakhir selepas kami berusaha,” katanya.

Pesanan itu teguh di hati Richard Ngumbang atau nama Islamnya, Amizan seiring langkahnya ke masjid walau tatu masih di tubuh.

 

Categories
NASIONAL

ABIM sedia berdebat dengan Kassim Ahmad demi kebenaran

Oleh: Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 19 FEB: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bersedia menyahut cabaran debat yang dikemukakan pemikir kontroversi Kassim Ahmad dengan keadaan beliau bersedia mengubah serta berhenti mengeluarkan pandangan tidak berasas mengenai Rasullulah S.A.W , ulama’, dan tradisi keilmuan Islam.

Naib Presiden ABIM, Hasri Harun, berkata ABIM tidak menolak kepentingan untuk membugar budaya ilmu menerusi siri wacana dan forum namun ia harus dilaksanakan dengan tujuan menambahkan kefahaman masyarakat tentang Islam dan bukan untuk menyuburkan salah faham mencari publisiti.

logo_abim_angkatan_belia_islam_malaysiaIa merujuk kepada cabaran debat yang dikemukakan oleh Kassim Ahmad kepada sesiapa yang tidak bersetuju dengan pandangan yang dilontarkannya termasuk yang terbaru menerusi “Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian” di Putrajaya baru-baru ini.

Kata Hasri, sebagaimana dilaporkan media, Kassim Ahmad mengulangi malah konsisten dengan kenyataan-kenyataan secara terang-terangan bercanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah.

“ABIM mengadakan muzakarah atau dialog bersama Kassim Ahmad pernah dianjurkan oleh ABIM di Universiti Islam Antarabangsa, Petaling Jaya pada 28 Jun 1986.

“Menerusi dialog tersebut, anggota panel ABIM yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden ABIM (pada ketika itu) Dr Abdul Halim El-Muhammady, telah satu persatu dakwaan kontroversi yang dilontarkan oleh beliau telah berjaya dijawab,” kata Hasri dalam satu kenyataan media.

Hasri berkata sepanjang dialog tersebut, beliau (Kassim Ahmad) gagal menjawab serta mengemukakan hujah di atas setiap persoalan dikemukakan.

Katanya, sikap angkuh sebegitu mencerminkan kerendahan nilai diri sendiri memandangkan tiada perkara yang memalukan nilai intelektual seseorang yang dijulang tinggi dalam masyarakat, apabila seorang sarjana itu tidak meraikan pandangan pihak lain dalam siri dialog.

“Justeru, perdebatan dengan individu sebegini sememangnya tidak akan memberi apa-apa makna atau mencapai sebarang tujuan yang positif dalam mencari kebenaran,” katanya.

buku ABIM

Katanya, buku tersebut membentangkan hujah dari segi metadologi, sumber autoriti, dan sejarah pengumpulan Hadis serta beberapa sudut lain bagi menolak buku beliau “Hadis: Satu Penilaian Semula”.

Selain itu, bahagian dalam buku tersebut juga mengandungi catatan-catatan dari dialog yang dianjurkan pada tahun 1986.

“Sudah tiba masanya kerajaan khususnya Jabatan Agama memainkan peranan mengambil indakan sepertimana yang dilakukan ke atas ajaran sesat lain dalam negara kerana pemikiran beliau secara jelas berlawanan dengan prinsip ajaran Islam.

“Selagi perkara ini tidak disiasat pihak berkuasa agama, pandangan diutarakan termasuk menyatakan rambut itu bukan aurat serta mempertikai syahadah kenabian memperlihat seolah-olah mendapat “endorsement” dari pihak kerajaan,” katanya.

Hasri berkata, jika terbukti dan diputuskan idea dan pemikiran Kassim Ahmad bercanggah dengan Islam maka beliau perlu berhenti menyebarkan pandangan beliau dan bertaubat.

“Penulisan dan pandangan sebegini tanpa diringi dengan nota jelas menyebabkan pembaca awam yang baru ingin mempelajari Islam terbabas dari ajaran Islam sebenar,” katanya.

EZY

 

Categories
NASIONAL

ABIM: Kerajaan Pusat patut tangguh PBS, buat kajian sebelum laksana

Oleh: Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 18 FEB: Kerajaan Pusat digesa menangguhkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)  serta merta bagi membolehkan kajian, perancangan dan persiapan infrastruktur dibuat sebaik mungkin.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Amidi Abdul Manan, berkata Abim kesal kerana pemimpin Kerajaan Pusat tidak mengambil iktibar kegagalan pelaksanaan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dibuat tergopoh gapah tanpa kajian mencukupi.

logoABIMKatanya, masyarakat yang terbiasa dengan sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan perlu diberikan penerangan yang mencukupi dari segala sudut.

“Abim berpandangan bahawa PBS adalah satu lonjakan besar (giant leap) dalam sistem pendidikan negara,” kata Amidi dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata perubahan demi perubahan yang begitu drastik bermula dari Oktober 2013 sehingga hari ini menunjukkan wujud masalah yang serius dalam perancangan dan pelaksanaan PBS ini.

Permasalahan SPPBS yang dijangka hanya dapat diselesaikan pada April ini, adalah satu di antara berpuluh permasalahan yang perlu diselesaikan.

“Ia menunjukkan satu kecuaian yang besar yang menggendalakan seluruh mekanisme PBS ini,” katanya.

Katanya, kajian yang menyeluruh serta model pelaksanaan diuji sepenuhnya bagi menjangka segala keperluan serta faktor perencat kepada PBS ini.
Penerangan yang jelas dan menyeluruh kepada semua lapisan rakyat khususnya melibatkan pihak PIBG harus dilakukan demi mengelakkan kekeliruan dan percanggahan maklumat di setiap peringkat pelaksanaan.

Tambah beliau, latihan dan kursus berkaitan pentaksiran seperti pembinaan instrumen yang sesuai dan berkesan diberikan kepada para guru serta latihan dalam membina kaedah pengajaran dan pengujian bagi mentafsir dokumen diperlukan.

sekolah tamil 1Beliau berkata, Abim juga menyarankan agar sebarang penambahbaikan dan perubahan dalam sistem pendidikan sama ada dasar, pengurusan mahu pun prasarana hendaklah menerusi satu kajian yang utuh.

“Sebarang perubahan bersifat populis perlu dihindari atas keghairahan mahu meninggalkan legasi yang boleh merencatkan pengukuhan sistem pendidikan,” katanya.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

ABIM sifatkan kenaikan tol bebankan rakyat pendapatan rendah

Oleh Amidi Abd Manan

CADANGAN untuk menaikkan kadar tol seperti yang diuar-uarkan oleh pemegang konsesi lebuh raya amat dikesali. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) membantah sebarang cadangan untuk menaikkan kadar tol kerana ia membebankan rakyat terbanyak.

logoABIMAlasan untuk menaikkan kadar tol kerana perjanjian konsesi jelas mengenepikan kepentingan rakyat.

ABIM menilai akibat daripada kenaikan kadar tol ini, rakyat yang telah sedia terbeban dengan pelbagai kenaikan harga barang dan perkhidmatan kebelakangan ini akan terus dalam keadaan tertekan.

Kenaikan kadar tol akan turut menyumbang kepada kenaikan tambang pengangkutan awam yang kebanyakannya digunakan oleh rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Kenyataan angkuh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, yang menyarankan agar sesiapa yang tidak setuju dengan kenaikan kadar tol memilih laluan lain yang tidak bertol, adalah amat dikesali.

plaza tolABIM menilai kenyataan sebegini jelas sebagai satu penghinaan terhadap rakyat terbanyak. Beliau sewajarnya memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas keceluparan yang begitu biadab.

ABIM menyeru agar rakyat membantah kenaikan kadar tol demi kehidupan yang lebih baik.

Dalam hal ini, ABIM akan mengerakkan kempen bagi mengangkat suara rakyat terbanyak yang semakin risau dengan pelbagai kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang dilihat menjerut leher golongan marhaen.
 * Amidi Abd Manan adalah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Categories
SELANGOR

ABIM: GST susahkan orang muda, penyebab inflasi

abim-komen-gst

SHAH ALAM 29 OKT : Pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada kadar enam peratus akan lebih membebankan golongan muda kerana 82.5 peratus daripada mereka mempunyai pendapatan RM3,000 ke bawah.

Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata kesan itu semakin dirasai golongan muda apabila kadar inflasi meningkat ekoran kenaikan harga barangan dan perkhidmatan ketika pendapatan tidak banyak berubah.

Katanya, GST akan menyebabkan golongan muda semakin tertekan apabila banyak barang yang dikenakan cukai apabila dilaksanakan.
“Apabila pelaksanaan GST tidak disusuli dengan pelbagai mekanisme yang perlu disusuli pihak kerajaan untuk mengenalpasti cukai bertindih yang perlu dihapuskan, maka akan membebani golongan muda,” katanya ketika dihubungi TV Selangor, di sini, hari ini.

Faisal berkata, ABIM akan menggerakkan kesedaran awam berkenaan kesan pelaksanaan GST dengan mengadakan sesi dialog pelbagai pihak termasuk bersama pihak kerajaan, pembangkang, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai.

“Kita akan meneliti isu ini dengan lebih mendalam dan melihat keperluan jika GST memberikan kesan kepada rakyat, maka ABIM akan menggerakkan mobilisasi yang lebih besar,” katanya. Katanya, kerajaan pusat digesa menangani masalah ketirisan dan keborosan dalam perbelanjaan supaya sumber pendapatan negara daripada cukai diperolehi tidak terbazir dan dapat disalurkan kepada program kebajikan rakyat.

Tambahnya, pendapatan rakyat perlu ditingkatkan sebelum GST dilaksanakan kerana permulaan kadar GST enam peratus adalah tinggi dan kerajaan harus memastikan mekanisme pelaksanaannya membawa kebaikan kepada negara tanpa perlu meningkatkan jumlah caj dari semasa ke semasa.
“Hal ini kerana tarif cukainya tetap meningkat dengan pelaksanaan GST. Sebagai contoh, GST diperkenalkan kepada negara Singapura pada 1 April 1994 dengan kadar tiga peratus. Namun, menjelang 1 Januari 2003, kadar tarif meningkat kepada empat peratus dan kemudiannya lima peratus, pada 2004 dan terkini tujuh peratus, sejak 1 Julai 2007.

“Berdasarkan pengalaman negara yang sudah melaksanakan GST, kadarnya terus meningkat, namun persoalannya bagaimana kerajaan dapat mengekalkan pada kadar munasabah untuk GST bagi 20 tahun akan datang,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

10 NGO Islam Gesa Rakyat Tolak Politik Lucah, Samseng Dan Rasuah

politik lucah 01

SHAH ALAM, 12 APRIL : 10 Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam utama negara ini menggesa rakyat menolak sama sekali amalan politik lucah yang cuba dijadikan sebagai alat untuk mencari populariti politik dalam jangka pendek.

Dalam kenyataan media bersama itu NGO-NGO Islam memandang berat perbuatan mencipta video lucah, mempertontonkan bahan-bahan tersebut serta melakukan pertuduhan zina ke atas seseorang sewenang-wenangnya di khalayak ramai.

“Umat Islam perlu mengelakkan implikasi ini dengan menolak amalan politik keji ini serta tidak bersubahat mengembangkan mana-mana dakyah berkaitan dalam mana-mana saluran media,” kata kenyataan media bersama itu.

NGO-NGO Islam itu juga menyatakan pendirian agar umat Islam di negara ini rakyat menolak budaya politik fitnah dalam amalan demokrasi di negara ini.

“Walaupun demokrasi membuka ruang seluas-luasnya untuk semua warga mengekspresikan pandangan serta kritikan, demokrasi tidak seharusnya dicemari dengan amalan fitnah yang keji serta akan hanya mencemarkan kehormatan dan kesucian akal fikiran manusiawi.

“Seharusnya rakyat ditampilkan dengan pilihan politik secara sihat berupa manifesto serta hujah-hujah politik yang rasional serta memenuhi tuntutan asasi rakyat,” kata mereka.

Mereka juga menyeru umat Islam untuk menolak sekeras-kerasnya amalan rasuah serta peras ugut daripada dikenakan ke atas rakyat.

“Kami khuatir amalan rasuah dan peras ugut ini akan terus membelenggu umat Islam dalam ikatan kemiskinan sekiranya ia terus berleluasa.

“Amalan-amalan tersebut adalah bentuk penjajahan baru yang menafikan hak para pengundi untuk mendapatkan apa yang terbaik ke atas diri mereka,” kata mereka.

NGO-NGO tersebut terdiri daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Kumpulan PRIHATIN, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Persatuan Hafiz Malaysia (PAHAM) dan Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM).

Turut sama Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Persatuan Ulama? Malaysia (PUM), Sekretariat Himpunan Ulama? Rantau Asia (SHURA), Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) dan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH).

Categories
SELANGOR

756 Ekor Lembu Diagih Seluruh Selangor

 

SHAH ALAM 23 OKT : Kerajaan Negeri memperuntukkan kira-kira 756 ekor lembu untuk diagihkan di seluruh negeri sempena Hari Raya Aidil Adha tahun ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, daripada jumlah itu sebanyak 389 ekor lembu disediakan untuk seluruh masjid-masjid di Selangor.

“Kerajaan negeri turut menyumbangkan lembu-lembu korban kepada badan-badan bukan kerajaan seperti PERKIM, ABIM, Hidayah Center, Brigade Amal Selangor, PANTAS, Anak Syarikat Negeri, PPR Lembaga Perumahan, JAIS dan penduduk Asal yang beragama Islam,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Sumbangan Lembu Korban Sempena Sambutan Hari Raya Aidil Adha Peringkat Negeri Selangor yang diadakan di Pekarangan Bangunan Sultan Idris Shah (JAIS) di sini.

Menurut Abdul Khalid, lembu-lembu itu disumbangkan oleh anak-anak syarikat kerajaan negeri daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Turut menyumbang juga adalah Worldwide Holding Bhd (WHB), Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Perbadanan Menteri Besar (MBI).

Abdul Khalid berkata, kerajaan berharap disebalik penyerahan lembu-lembu korban itu dapat menimbulkan kesedaran kepada umat Islam agar lebih mengimarahkan sambutan Hari Raya Aidiladha dengan memperbanyak ibadah korban.

“Umat Islam perlu mengorbankan gaya hidup yang mengutamakan kemewahan dan kesenangan duniawi semata-mata.

“Sebaliknya mengamalkan kehidupan yang sederhana dan berusaha mengelakkan pembaziran dan sikap boros,” kata Abdul Khalid.