Categories
NASIONAL SELANGOR

Adun PR: Pengiktirafan Ketua Pembangkang suburkan demokrasi

Grafik-Selangor-PakatanSHAH ALAM 10 Okt :  Adun Pakatan Rakyat (PR) Selangor mengalu-alukan pengiktirafan kepada peranan Ketua Pembangkang Selangor menerusi enakman khas yang akan dibentangkan nanti.

Keputusan pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu disifatkan perubahan yang amat positif untuk perkembangan politik dan sistem demokrasi di Selangor.

?Di negara-negara maju, Ketua Pembangkang sangat dihargai peranan mereka, justeru, Selangor mahu mendahului langkah itu dengan memberikan pengiktirafan ini supaya kita dapat mendidik masyarakat lebih memahami demokrasi sebenar,? kata Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafei.

Manakala Adun Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong, turut memuji dan berkata pemerintah sewajarnya menunjukkan kesaksamaan dan kesamarataan kepada semua wakil rakyat yang dipilih secara sah.

Beliau berharap supaya Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Umno-BN meneladani kematangan ini dan berhenti meminggirkan wakil rakyat pembangkang.

?Saya menyambut baik usaha Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid yang mengiktiraf setiap wakil rakyat, baik daripada Pakatan, mahupun Umno-BN dalam pentadbiran negeri. Ia patut dicontohi negeri-negeri lain,? katanya.

Sementara itu, Adun Paya Jaras, Khairuddin Othman berharap dengan inisiatif ini, Ketua Pembangkang dapat melaksa-nakan amanahnya dengan berkesan.
?Saya berharap Ketua Pembangkang lebih proaktif mencetus idea untuk membangunkan Selangor secara bersama. Kita perlukan pembangkang untuk mengimbangi peranan pemerintah dalam Dewan Negeri Selangor (DNS),? tegas beliau.

Selain itu, bagi Adun Sekinchan, Ng Suee Lim, langkah ini menjadikan Selangor sebagai ?role model? dalam memperkasakan DNS dan menjadikan sistem demokrasi lebih sihat.

?Nampaknya, syor saya dalam pembukaan DUN baru-baru ini akhirnya terlaksana. Sebagai Adun, saya menyambut baik langkah Kerajaan Negeri yang mampu membuat pembaharuan ini. Ia sejajar dengan peranan DNS yang dikagumi dan disegani,? tegas beliau.

Categories
SELANGOR

Agensi Kerajaan Diminta Pantau Banjir Kilat Dan Tanah Runtuh

SHAH ALAM, 6 NOV : Pihak berkuasa diminta terus menjalankan pemantauan dalam musim hujan ini supaya kejadian tidak diingini seperti banjir kilat atau tanah runtuh di Selangor dapat dibendung.

Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafiei berkata, kejadian banjir di kawasannya pada 27 Oktober lalu dan beberapa hari selepas itu begitu membimbangkan.

Menurutnya, diharapkan agensi terlibat iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Jabatan Parit dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bertindak segera bagi menanganinya.

“Kita meminta semua pihak berkuasa terus memantau keadaan ini dalam musim hujan supaya banjir dapat dielakkan daripada berlaku.

“Bagi mencegahnya, diharap MBSA, MPK, JPS dan JKR menyegerakan perancangan membina kolam tadahan sementara di DUN Sri Muda sepertimana dicadangkan supaya air boleh dialirkan ke kolam ini sebelum masuk ke laluan biasa,” katanya kepada TVSelangor di sini hari ini.

Shuhaimi berkata, dalam kejadian banjir pada 27 Oktober lalu sebanyak 20 keluarga dipindahkan ke pusat penempatan Rumah Kebajikan Sri Munirah di DUN Sri Muda.

Bagaimanapun, katanya, tiada pemindahan mangsa dilakukan ketika banjir seterusnya pada 31 Oktober dan 1 hingga 2 November lalu.

“Kita membekalkan makanan untuk makanan pagi hingga malam kepada semua mangsa dan hampir 530 keluarga menerima bantuan itu.

“Saya merakamkan terima kasih kepada semua pihak terlibat dalam menghulurkan bantuan seperti MBSA, MPK, JKR, JPS, Pejabat Ahli Parlimen Kota Raja, Majlis Perwakilan Penduduk dan Ketua Kampung yang terlibat dalam membantu mangsa serta kerja berkaitan,” ujarnya.

Shuhaimi berkata, antara kawasan dalam DUN Sri Muda terlibat banjir adalah Kampung Johan Setia, Kampung Teluk Gong, Kampung Sri Nadi, Kampung Sri Gambut, Kampung Baru Satu dan Dua, Kota Kemuning, Kampung Bukit Rimau, Kampung Bukit Naga, Kampung Jalan Kebun dan Kampung Harun Estate.

Katanya, Kerajaan Negeri diminta segera menghulurkan bantuan dalam kes itu menerusi Geran Selangorku  bukan sahaja bagi DUN Sri Muda tetapi kawasan Klang keseluruhannya.

“Semua pihak perlu bekerjsama dalam menangani masalah banjir itu kerana hasil tinjauan dilakukan mendapati antara punca kejadian adalah daripada sikap orang ramai serta pihak tertentu seperti pemaju.

“Terdapat projek pembinaan jambatan dan saliran serta parit yang dikorek tidak sempurna. Orang ramai juga membuang bahan buangan ditempat tidak sepatutnya,” katanya lagi.