Categories
EXCO SELANGOR

Kontraktor kecil dilatih jadi lebih profesional, berdaya maju

SHAH ALAM, 18 JUN: Kerajaan Selangor sedia melatih kontraktor kecil di negeri ini bagi membolehkan golongan berkenaan lebih profesional dan berdaya maju.

EXCO infrastruktur dan kemudahan awam berkata langkah itu bagi memastikan mereka mampu bersaing sehingga ke peringkat lebih tinggi.

“Latihan perlu diberi kerana ada kontraktor tertentu tidak mempunyai peralatan yang betul ketika mengendalikan projek tertentu.

“Malah ada diantara mereka yang masih berada di takuk lama serta tidak ada peningkatan kualiti, oleh itu Kerajaan Negeri mahu supaya golongan ini dilatih supaya mempunyai daya saing bukan saja dalam negeri tetapi juga di peringkat global,” kata Ir Izham Hashim.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Cabut Undi Online Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Daerah Petaling, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabaran Pengairan dan Saliran JPS Selangor, Datuk Ir Gapar Asan dan Pegawai Daerah Petaling, Johary Anuar.

Majlis cabut undi tender secara dalam talian itu kali pertama dilaksanakan JPS di negeri ini dan menerima pendaftaran 1,467 kontraktor.

Ia melibatkan 228 tender projek dengan jumlah peruntukan sebanyak RM9.5 juta.

Pendaftaran dibuka pada 5 Jun dan ditutup pada 10 Jun lalu, sementara tarikh cabut undi dijalankan hari ini dan paparan keputusan undi pada hari esok.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB seru tingkat usaha perangi penyalahgunaan dadah

mb khalid ibrahim etika golf 01

SUBANG JAYA 28 OKT – Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyeru semua pihak termasuk agensi kerajaan dan swasta supaya berusaha keras bagi membanteras penyalahgunaan dadah di negara ini.

Abdul Khalid berkata, kerjasama semua agensi yang terbabit dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia bebas dadah, menjelang 2015.

“Masa terlalu singkat dan saya akan meminta Exco kerajaan negeri bersama Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Selangor, Dr Abdul Rani Osman untuk bekerja keras bagi memberi sokongan kepada usaha pelaksanaan membanteras dadah dan menjadikan Malaysia bebas daripada gejala itu.

“Sewajarnya kita berganding bahu dan memberi sokongan, khususnya kepada usaha mencegah, memerangi dan membanteras dadah di Selangor dan Malaysia,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian ketika memberi ucapan di majlis makan malam sempena Perhimpunan Agung Tahunan PEMADAM Ke-38 di Hotel Summit, USJ, di sini, malam tadi.

Turut hadir Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim; Yang DiPertua PEMADAM Kebangsaan, Datuk Mohd Johari Baharum; Ahli Exco kerajaan negeri, Rodziah Ismail dan Dr Abdul Rani serta lebih 5,000 ahli PEMADAM seluruh negara.

Pada masa sama, Abdul Khalid menyatakan rasa yakin terhadap PEMADAM Selangor yang sentiasa berusaha memastikan penyalahgunaan dadah dapat dikawal dan dibanteras.

Katanya, statistik penyalahgunaan dadah di Malaysia menunjukkan masalah berkenaan meningkat dan membawa petanda yang tidak sihat.

“Berdasarkan statistik, sekitar 1.27 peratus daripada 5.4 juta pelajar di negara ini terbabit dengan masalah disiplin, termasuk gejala dadah, daripada Januari hingga Jun 2011.

“Manakala, seramai 4,474 kanak-kanak berumur seawal tujuh tahun ditahan dalam pelbagai kes jenayah termasuk 1,847 orang adalah murid sekolah.

“Laporan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mendapati seramai 137 pelajar Instituti Pengajian Tinggi (IPT) terbabit dalam penyalahgunaan dadah, khususnya di Selngor, bermula Januari hingga April lalu,” katanya.

-NFN-