Categories
NASIONAL SELANGOR

Majlis Peguam : Zahid Hamidi tidak hormati undang-undang

ZAHID HAMIDI
SHAH ALAM 9 OKT : Majlis Peguam mengecam Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana beliau menunjukkan sikapnya tidak menghormati undang-undang dan hak asasi manusia.

Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong, berkata tindakan Zahid itu sebagai mengaibkan negara dan kerajaan ekoran pendedahan rakaman ucapan Menteri Dalam Negeri itu di Melaka oleh media baru-baru ini.

Sebelum ini, Ahmad Zahid semasa dalam satu Majlis Taklimat Keselamatan Bersama Pemimpin Masyarakat di Melaka bercakap mengenai beberapa isu sensitif antaranya melibatkan isu penjenayah masyarakat India serta mempertahankan kumpulan haram Melayu yang dikaitkan dengan aktiviti jenayah.

Majlis Peguam menegaskan tiga pengakuannya dalam ucapan tersebut adalah satu kesalahan serta tidak menghormati lunas undang-undang negara.

Ia berkaitan mengenai arahan menembak tanpa beri amaran, mengakui pindaan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) dibuat mengikut arahannya dan juga tahanan tanpa bicara selama dua tahun.

“Kenyataan beliau memalukan dan menyebabkan negara dan kerajaan diaibkan,” kata Leong dalam satu kenyataan.

Menurut Leong, tindakan Ahmad Zahid tersebut adalah suatu kesalahan berat dan boleh didakwa mengikut Akta Hasutan.

“Menteri Dalam Negeri nampaknya melampaui batas dan kemungkinan telah melakukan kesalahan dibawah Akta Hasutan,” ujarnya lagi.

Categories
NASIONAL

PCA & ISA ulangi tahanan tanpa bicara, PM tak tepati janji

azmin-ali-3KUALA LUMPUR 2 OKT : Pindaan terhadap Akta Pencegahan Jenayah (PCA) yang bakal menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bercanggah dengan ketetapan tidak mengembalikan kuasa tahanan tanpa bicara.

Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali, berkata Peguam Negara sebelum ini pernah menegaskan usaha mengembalikan Rang Undang-undang (RUU) itu perlu dibincang terlebih dahulu.

Bagaimanapun, katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) gagal berbuat demikian sebaliknya meneruskan bacaan kali kedua pindaan RUU itu pada sidang Dewan Rakyat semalam.

“Saya bangkitkan perkara ini kerana ada percanggahan dengan ketetapan yang dibuat Peguam Negara pada Ogos tahun ini dalam bengkel bersama KDN di Hotel Sunway.

“Peguam Negara dengan jelas menolak sebarang usaha untuk mengembalikan semula tahanan tanpa bicara dan menegaskan supaya ia dibincang terlebih dahulu.

“Ini tidak berlaku. Apakah KDN ada masalah dgn Majlis Peguam? Adakah RUU ini diteliti oleh Peguam Negara?” katanya pada sidang media di lobi Parlimen petang semalam.

Beliau berkata, Artikel 4A akta menyebut ia berkuasa mengembalikan semula tahanan tanpa bicara selama dua tahun tetapi ia bercanggah dengan kenyataan Kerajaan Pusat sebelum ini.

Katanya, ia juga bercanggah dengan janji Perdana Menteri pada 16 September 2011 yang bercadang untuk menghapuskan ISA dan Ordinan Darurat (EO).

“Datuk Seri Najib Razak berjanji untuk tidak lagi benarkan tahanan tanpa bicara tetapi RUU itu dengan bercanggah dengan janji beliau,” katanya.

Beliau turut kesal dengan tindakan Kerajaan Pusat yang enggan memberikan ruang dalam perbahasan RUU itu dan akan mendesak supaya ia dirujuk kepada jawatankuasa pilihan terlebih dahulu.

Katanya, tindakan itu boleh dilakukan mengikut peraturan 54 di mana sesuatu RUU itu boleh diserahkan kepada jawatankuasa pilihan sebelum pembacaan kali kedua.

“Saya akan terus mendesak supaya perkara ini dilakukan untuk memberi ruang perbahasan yang menyeluruh bagi mendapatkan maklumat dalam menggubal RUU yang penting ini.

“PKR komited untuk bersama PDRM menangani jenayah tetapi kita mahu perbahasan ini dibuat secara menyeluruh dan dapat dibuat dgn baik,” katanya.

Categories
NASIONAL

PCA menyerupai ISA 2.0, bantahan ke Parlimen

bantah ISA

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Aktivis hak asasi manusia hari ini mengadakan bantahan di perkarangan Parlimen terhadap pindaan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) yang memperuntuk penahanan individu tanpa bicara.

Sambil membawa plakad “tarik balik PCA”, “tarik balik akta zalim”, kumpulan berkenaan turut menggelarkan akta berkenaan sebagai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 2.0.

“Kita tidak perlukan akta seperti ini untuk membanteras jenayah, cukup dengan menyediakan fasiliti kepada anggota polis untuk menentang jenayah berat.

“Kita raikan pemansuhan ISA, namun kurang dari tempoh setahun akta seumpamanya diperkenalkan kembali,” kata Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk S Ambiga dipetik The Malaysian Insider.

Selepas sejam, wakil Ahli Parlimen Pakatan Rakyat kemudian membawa wakil kumpulan aktivis itu ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Ops cantas bukti Malaysia tidak perlukan Akta Darurat

azmizam luar pc 01

SHAH ALAM, 20 OGOS : Hasil operasi perintis Ops Cantas Khas yang dilancarkan PDRM baru-baru ini membuktikan polis mempunyai kepakaran dan kemampuan untuk memerangi jenayah secara agresif tanpa perlu Akta Darurat (EO).

Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (AMK) Selangor, Azmizam Zaman Huri berkata rakyat sebenarnya sedar potensi sebenar PDRM jika badan itu ada kemahuan.

“Undang-undang dan akta sedia ada sudah cukup untuk tangani masalah jenayah. Apa yang perlu hanya ketegasan dan sentiasa menjalankan kerja mencegah jenayah,” tegas Azmizam.

Pihak berkuasa juga dinasihatkan agar tidak menjalankan operasi perang jenayah secara bermusim.

Pandangan AMK Selangor selaras dengan pendirian Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi yang berkata tahanan tanpa bicara seperti EO adalah jalan pintas bagi polis yang mahu mengelakkan kerumitan pembuktian yang dituntut Akta Pencegahan Jenayah (PCA).

PCA menuntut polis mengemukakan tertuduh ke hadapan majistret untuk didakwa dalam masa 24 jam. Manakala Akta Darurat membolehkan polis menahan seseorang sehingga 60 hari tanpa perbicaraan.

Kesemua yang ditahan dibawah Ops Cantas Khas disiasat dibawah PCA.

“Bayangkan baru 4 hari Ops Cantas dilaksanakan, Polis Kontinjen Selangor berjaya berkas 211 penjenayah. Saya kira kalau ia dilakukan berpanjangan bukan sahaja mampu mengekang malah mampu mengatasi kegiatan jenayah ini dari terus menjadi-jadi,” tambahnya.

Kementerian Dalam Negeri sebelum ini mengundang kritikan dari pelbagai pihak ekoran kejadian jenayah berat dan pembunuhan yang berleluasa. Kerajaan Persekutuan beralasan EO yang dimansuhkan perlu diganti bagi mengekang penjenayah bermaharajalela.

“Tidak perlu mengembalikan Akta Darurat. Dikhuatiri ia akan disalahguna dengan menahan aktivis politik yang tidak sebulu dengan kerajaan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri,” tegas Azmizam.

Sebelum EO dimansuhkan, Tan Sri Abdul Khalid Abu Bakar ketika menjadi Timbalan KPN berkata individu-individu yang terlibat dalam kegiatan subversif terhadap pemerintah boleh ditahan dibawah akta itu.

Kenyataan itu menyusuli penangkapan enam individu termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput Dr S Jeyakumar Devaraj kerana menyokong himpunan aman Gabungan Pilihanraya Bersih & Adil (Bersih) 2.0 pada 3 Julai 2011.

– HM