Categories
NASIONAL

Anwar : PR akan teruskan bantahan besar-besar pindaan PCA

anwar pc -2013

KUALA LUMPUR 3 OKTOBER :  Pakatan Rakyat (PR) akan terus membantah pelaksanaan Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaah dan Pemerluasan) 2013 atau Prevention of Crime Act (PCA) walaupun diluluskan kerajaan Umno-BN.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PR akan mempergiatkan penerangan kepada rakyat pindaan PCA melalui penganjuran kempen, forum dan dialog ke seluruh negara kesan pelaksanaannya kelak.

“Kita akan terus membantah baik dalam Parlimen mahupun di luar untuk memberi penerangan kepada rakyat betapa terdesaknya kerajaan tentang pelaksanaan akta ini.

“PR berpendirian undang-undang ini rakus dan akan disalahgunakan,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Tegas Anwar, langkah kerajaan meluluskan PCA terbukti satu tindakan yang angkuh serta mengenepikan prinsip-prinsip keadilan sejagat.

Katanya lagi, pindaan PCA ternyata melanggar Perlembagaan Persekutuan dan mencabuli hak asasi manusia.

Anwar turut menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak mempunyai pendirian tetap dan lemah menghadapi tekanan sehingga terpaksa bersetuju dengan undang-undang baru ini.

“Ini pembohongan terang-terangan yang kedua terhadap janji Perdana Menteri pada 16 September 2011 apabila Datuk Seri Najib Razak mengatakan untuk memendekkan tempoh tahanan pencegahan dan memperluaskan peranan mahkamah.

“Termasuk pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (EO) yang sekaligus menamatkan penahanan tanpa bicara,” jelasnya pada sidang media di lobi Parlimen.

Katanya lagi, kerajaan sebelum ini meluluskan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA dan kini pindaan PCA 2013.

Jelasnya, undang-undang sekalipun bertujuan baik untuk mencegah jenayah tidak boleh dipertahankan apabila ia mengenepikan prinsip-prinsip keadilan dan mencabul hak-hak asasi yang diperakui dunia.

“Pindaan PCA kini memperuntukkan Seksyen 19A yang membolehkan penahanan tanpa bicara. Malah Seksyen 15A dilihat menafikan semakan kehakiman di mana-mana mahkamah.

“Hakikatnya masalah jenayah di Malaysia memang serius, Pakatan Rakyat tiada berkompromi dalam soal pembanterasan jenayah, namun ia perlu ditangani dengan berkesan secara profesional oleh pasukan polis.

“Langkah-langkah paling berkesan ialah melaksanakan 125 syor-syor yang dirumuskan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM 2005,” katanya.

-MEM-

Categories
NASIONAL

PCA & ISA ulangi tahanan tanpa bicara, PM tak tepati janji

azmin-ali-3KUALA LUMPUR 2 OKT : Pindaan terhadap Akta Pencegahan Jenayah (PCA) yang bakal menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bercanggah dengan ketetapan tidak mengembalikan kuasa tahanan tanpa bicara.

Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali, berkata Peguam Negara sebelum ini pernah menegaskan usaha mengembalikan Rang Undang-undang (RUU) itu perlu dibincang terlebih dahulu.

Bagaimanapun, katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) gagal berbuat demikian sebaliknya meneruskan bacaan kali kedua pindaan RUU itu pada sidang Dewan Rakyat semalam.

“Saya bangkitkan perkara ini kerana ada percanggahan dengan ketetapan yang dibuat Peguam Negara pada Ogos tahun ini dalam bengkel bersama KDN di Hotel Sunway.

“Peguam Negara dengan jelas menolak sebarang usaha untuk mengembalikan semula tahanan tanpa bicara dan menegaskan supaya ia dibincang terlebih dahulu.

“Ini tidak berlaku. Apakah KDN ada masalah dgn Majlis Peguam? Adakah RUU ini diteliti oleh Peguam Negara?” katanya pada sidang media di lobi Parlimen petang semalam.

Beliau berkata, Artikel 4A akta menyebut ia berkuasa mengembalikan semula tahanan tanpa bicara selama dua tahun tetapi ia bercanggah dengan kenyataan Kerajaan Pusat sebelum ini.

Katanya, ia juga bercanggah dengan janji Perdana Menteri pada 16 September 2011 yang bercadang untuk menghapuskan ISA dan Ordinan Darurat (EO).

“Datuk Seri Najib Razak berjanji untuk tidak lagi benarkan tahanan tanpa bicara tetapi RUU itu dengan bercanggah dengan janji beliau,” katanya.

Beliau turut kesal dengan tindakan Kerajaan Pusat yang enggan memberikan ruang dalam perbahasan RUU itu dan akan mendesak supaya ia dirujuk kepada jawatankuasa pilihan terlebih dahulu.

Katanya, tindakan itu boleh dilakukan mengikut peraturan 54 di mana sesuatu RUU itu boleh diserahkan kepada jawatankuasa pilihan sebelum pembacaan kali kedua.

“Saya akan terus mendesak supaya perkara ini dilakukan untuk memberi ruang perbahasan yang menyeluruh bagi mendapatkan maklumat dalam menggubal RUU yang penting ini.

“PKR komited untuk bersama PDRM menangani jenayah tetapi kita mahu perbahasan ini dibuat secara menyeluruh dan dapat dibuat dgn baik,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Peguam: Tahanan 72 hari bersifat dera tahanan

edmund bon datftar pemilih 02

SHAH ALAM, 21 OGOS – Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Pindaan 1983) yang membenarkan polis menahan suspek untuk tempoh 72 hari untuk membantu siasatan disifatkan ‘lapuk’, ujar Penggerak Pusat Rakyat Loyar Buruk, Edmun Bon.

Menurutnya, di dalam Ordinan Darurat (EO) sebelum ini menyatakan kemungkinan seseorang itu ditahan bagi membantu tahanan tidak melebihi 60 hari.

Justeru, beliau mencadangkan akta ini perlu ditukar kepada akta baru sebelum dilaksanakan.

“Kami berpendapat, ini akta undang-undang lapuk dan perlu dipinda sebelum digunakan.

“Tahanan reman oleh Majistret Mahkamah secara automatik polis dan pendakwaraya perlu mengeluarkan satu surat untuk
menunjukkan bahawa orang yang ditahan perlu disiasat lebih lanjut melalui inkuiri.

“Majistret pula tidak ada budi bicara untuk menolak permohohan itu. Jadi permohonan itu tidak ada jaminan yang mencukupi untuk menjaga dan melindungi hak asasi mereka yang ditangkap,” katanya kepada Tv Selangor.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyatakan apa saja kesalahan bawah Akta Pencegahan Jenayah dianggap serius, dan pihak terlibat harus dikenakan hukuman berat manakala pihak polis perlu mendapatkan permohonan daripada mahkamah.

Edmun turut melahirkan kebimbangan kejadian kematian dalam tahanan berulang kembali sekiranya amalan tidak profesional
dilakukan ekoran seseorang ditahan terlalu lama bagi membantu siasatan.

Sehingga kini, polis menahan 200 suspek di seluruh negara bawah akta tersebut sebagai langkah tegas terbaru bagi membendung jenayah.

 

MZA

Categories
SELANGOR

Peralatan keselamatan tak berfungsi, menteri pentingkan Ordinan Darurat

nurul izzah ipad 01

SHAH ALAM 15 OGOS: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi lebih mementingkan usaha mengembalikan undang-undang drakonian, Ordinan Darurat (EO) berbanding menangani masalah jenayah berat yang kian berleluasa.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, berkata ia menjadikan kerajaan dan polis tiada keupayaan melawan kepenjenayahan yang sebenarnya boleh dikenal pasti melalui rekod.

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya tidak menggunakan alasan pemansuhan EO sebagai peningkatan kepada statistik jenayah berat.

“Alasan itu tidak releven, sebenarnya kerajaan gagal mengawal selia peralatan dalam mencegah jenayah,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Beliau mengulas isu jenayah terbaru membabitkan seorang penasihat undang-undang, 28, yang terselamat dari cubaan menculik di persimpangan Jalan Maarof berhampiran dengan Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq di Bangsar Baru.

Mangsa turut meminta polis memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV), tetapi ia tidak berfungsi.

Nurul Izzah berkata, perkara asas yang perlu bagi memerangi jenayah antaranya peralatan mencukupi dan berfungi dengan baik, selain pengagihan tenaga kerja polis.

“Kenyataan Zahid bahawa kira-kira 260,000 penjenayah berat berleluasa adalah kenyataan atas angin dalam usaha memusatkan kuasa di tangan menteri ketika kerajaan gagal menyediakan khidmat terbaik buat rakyat.

“Malaysia ada undang-undang yang cukup untuk mencegah jenayah tetapi kekurangan dari segi penguatkuasaan dan penyediaan peralatan yang berfungsi secara baik dari CCTV, kereta peronda dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan tidak komited menyelesaikan masalah yang berkait dengan pengawasan, pemantauan dan pencegahan jenayah walaupun berikrar menyediakan peralatan mencukupi kepada polis.

“Kerajaan perlu menambah bilangan anggota polis memandangkan penduduk Malaysia hampir dengan piawaian antarabangsa iaitu kira-kira 1:275. Jadi memerlukan kelengkapan peralatan yang lengkap,” katanya.

– FZL

Categories
NASIONAL SELANGOR

Ordinan Darurat tidak selesaikan masalah pemilikan senjata api haram

Senjata-api

SHAH ALAM 14 OGOS: Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu mematahkan rangkaian bekalan senjata api haram ke negara ini bagi mengelakkan jenayah berat berterusan, kata Tuan Ibrahim Tuan Man .

“Masalah sekarang ialah tidak diketahui berapa orang yang memiliki senjata api haram di dalam negara.

“Gunalah segala perisikan yang ada dan bantuan Cawangan Khas (Special Branch) untuk mengesan kebocoran senjata api ke tangan orang yang tidak berlesen,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Ketua Penerangan PAS itu berkata, KDN juga harus mengatur semula keutamaan tugasan polis dengan memfokus kepada usaha membanteras jenayah dan rondaan di jalanan.

Menegaskan sekurang-kurangnya 60 peratus anggota polis perlu ditugaskan dalam membanteras jenayah, beliau yakin penahanan suspek tanpa bicara tidak menyelesaikan masalah pemilikan senjata api secara haram.

Katanya, KDN juga perlu memikirkan cara membanteras jenayah, bukan mengambil peluang kes jenayah tembakan sebagai alasan menghidupkan kembali Ordinan Darurat (EO).

“Jumlah penjenayah EO yang dibebaskan pada 2011 meningkat kepada 260,000 orang mengikut perkiraan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Jika betul, apakah gunanya EO dalam membanteras jenayah tembakan.

“Apakah kerajaan bercadang hendak menahan 260,000 orang tanpa bicara sebagai langkah penyelesaian kepada jenayah tembakan yang makin berleluasa,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Umno guna kes bunuh-tembak untuk kembalikan Ordinan Darurat

surendran speech mic 02

SHAH ALAM 6 OGOS: Terdesak untuk mengembalikan Ordinan Darurat (EO) mendorong Umno BN menggunakan muslihat jahat sekalipun rakyat terdedah kepada bahaya, kata Naib Presiden PKR, N Surendran.

Merujuk lambakan kes bunuh menggunakan senjata api di lokasi awam, beliau menyifatkan tindakan Umno BN yang menangguk di air keruh itu sebagai tidak bertanggungjawab dan berkepentingan politik semata-mata.

“Kita ada isu besar dan serius melibatkan keselamatan dan nyawa rakyat yang merunsingkan, sebaliknya Umno BN mengambil peluang untuk mengembalikan undang-undang penahanan tanpa bicara.

“Umno BN tidak peduli terhadap keselamatan rakyat sehingga sanggup mengambil kesempatan dalam isu ini untuk mengembalikan semula EO supaya dapat digunakan terhadap pembangkang,” katanya.

Kes tembak-bunuh kerap berlaku kebelakangan ini, sama ada melibatkan individu profil tinggi mahupun orang awam hingga menyebabkan segenap lapisan rakyat bimbang akan keselamatan mereka.

Antara kes yang mendapat perhatian ialah cubaan bunuh Pengerusi MyWatch, R Sri Sanjeevan, diikuti pembunuhan pengasas Arab-Malaysian Bank, Hussain Ahmad Najadi 75, pada 29 Julai lalu.

Terbaru, seorang penoreh getah, Amirul Tajo Nasir 40, maut ditembak ditembak di kampung Telosan, Pasir Puteh, Kelantan awal pagi semalam.

Di tengah-tengah situasi itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi membangkitkan cadangan untuk menggubal undang-undang baru dengan antara alasannya untuk mencegah kes bunuh menggunakan senjata api

Beliau dilapor, berkata kira-kira 90 peratus jenayah seumpama itu dilakukan bekas tahanan EO yang sebelum ini dimansuh bagi meraih sokongan rakyat menjelang pilihan raya umum ke-13.

Surendran berkata, Pakatan Rakyat konsisten berpendapat kes jenayah di negara ini perlu ditangani melalui peruntukan undang-undang sedia ada, bukan melalui penahanan tanpa bicara.

“Alasan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bahawa kejadian jenayah sukar ditangani tanpa EO hanya alasan remeh dan tidak masuk akal sama sekali.

“Sedangkan negara lain seperti United Kingdom (UK) mampu menangani jenayah walaupun tanpa undang-undang darurat seperti di Malaysia,” katanya.

-FZL

Categories
NASIONAL SELANGOR

Anwar : Saya Akan Serah Bukti Pendatang Asing Sabah – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 02082013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyerahkan bukti kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung pendatang asing di Sabah.

2. PKR memandang berat tuntutan sesetengah pihak yang ingin mengembalikan hak kerajaan untuk menahan suspek dibawah Ordinan Darurat (EO) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

3. Undang-undang Islam boleh dilaksanakan bagi mengantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (EO) yang dihapuskan.

Categories
NASIONAL

PKR : Polis Cegah Jenayah, Bukan Jaga Politik

nik nazmi

SHAH ALAM 2 OGOS : Malaysia tidak memerlukan undang-undang ?penahanan untuk pencegahan? seperti Ordinan Darurat (EO) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam usaha memerangi jenayah kerana ian terdedah kepada penyalahgunaan akta oleh kerajaan.

PKR turut mempertikaikan kononnya sebahagian besar aktiviti jenayah melibatkan keganasan yang menular akhir-akhir ini dilakukan oleh tahanan yang dibebaskan selepas pemansuhan EO.

Menurut Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, hujah yang dibangkitkan pihak-pihak yang ingin mengembalikan akta-akta tersebut tidak disertakan bukti kukuh dan jelas yang mengaitkan pemansuhan EO dan ISA kepada peningkatan kadar jenayah yang makin meningkat.

“Tanpa bukti kukuh, hujah pihak-pihak yang ingin memperkenalkan balik EO dan ISA itu adalah hanya pandangan semata-mata.

“Kami juga ingin mempersoalkan, mengapa anasir-anasir jenayah ini tidak boleh ditahan dan didakwa mengikut ketetapan undang-undang yang sedia ada?

“Mengapa pihak berkuasa berpendapat bahawa hanya penahanan tanpa perbicaraan – yang biasanya hanya digunakan pada zaman darurat – boleh menangani jenayah ganas dan apakah yang menghalang pihak berkuasa daripada bertindak terhadap jenayah dan penjenayah mengikut ketetapan undang-undang yang sedia ada?,” soal Nik Nazmi dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Adun Seri Setia berkata, seharusnya kerajaan memperbanyakkan lagi senarai anggota polis yang mana sumber dan masa mereka didedikasikan terhadap pencegahan jenayah dan bukannya terhadap dakwaan selektif berunsurkan politik.

“Malaysia tidak lagi memerlukan undang-undang yang menzalimi dan memecah belahkan masyarakat kerana undang-undang sedemikian pernah dan boleh disalahgunakan oleh kerajaan untuk tujuan politik.

“Adalah amat penting untuk rakyat Malaysia menyedari bahawa kadar jenayah kini yang semakin menular, tidak boleh dijadikan suatu alasan untuk mengugat hak asasi rakyat dan adalah amat perlu bagi semua rakyat Malaysia untuk bersatu-padu mendesak kerajaan untuk menjaga keselamatan dan membela kebebasan rakyat,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memperkenalkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) selepas memansuhkan EO dan ISA kononnya sebagai sebahagian daripada usaha transformasinya selain pernah mengumumkan hasrat memansuhkan Akta Hasutan; namun pendakwaan di bawah akta tersebut terus meningkat.