Categories
AGENDA NASIONAL

Simpan wang bekal kecemasan, nasihat Ali XPDC untuk artis muda

PELABUHAN KLANG, 15 SEPT: Artis muda diingatkan supaya konsisten menyimpan wang lebihan pendapatan kerjaya seni mereka bagi kegunaan kecemasan dan masa depan.

Vokalis kumpulan XPDC, Ali berkata pendapatan diperoleh melalui aktiviti nyanyian mahupun lakonan tidak seharusnya diboroskan semata-mata mahu mengejar gaya hidup mewah.

Menurut pemilik nama lengkap Mohd Ali Ismail, 53, rakan artis perlu sedar akan lumrah kehidupan sebagai anak seni yang ada pasang surut dan tidak selamanya berada di puncak.

“Saya sendiri pernah mengalami zaman kegemilangan suatu ketika dahulu namun segalanya sudah berlalu. Memang begitu karier anak seni, ada ketika kita di atas dan sampai satu masa kita di bawah.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor menyampaikan sumbangan kepada penyanyi XPDC Mohd Ali Ismail dalam program lawatan dan sumbangan CSR MBI di Kampung Rantau Panjang, Klang pada 15 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Jadi, rakan artis terutama yang baru bertapak dalam industri kena ingat bahawa dunia ini banyak ujian dan cabaran. Sebab itu pentingnya mereka memiliki simpanan, mudah-mudahan Allah pelihara,” katanya.

Beliau ditemui selepas menerima bantuan kewangan berjumlah RM1,000 dan bakul makanan sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) di kediamannya di Kampung Rantau Panjang di sini hari ini.

Sementara itu, Ali mengakui ramai selebriti terutama veteran dihimpit kesusahan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan tiada tawaran lakonan dan nyanyian.

Begitupun, bapa kepada lima cahaya mata menasihati mereka supaya mengikis perasaan malu untuk tampil memohon bantuan daripada mana-mana pihak.

“Kami mewujudkan kumpulan WhatsApp yang menghimpunkan rakan-rakan artis dan ada dalam kalangan mereka mengadu nasib serta masalah sepanjang PKP. Sebagai rakan kami saling nasihat-menasihati antara satu sama lain.

“Kadangkala mereka buat persembahan nyanyian secara langsung di media sosial dengan menyertakan nombor akaun. Bagi penonton yang faham, mereka akan bantu dan begitulah sebaliknya,” kata pelantun lagu Bunga Angkasa.

2 September lalu, Ali dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat serangan jantung dan menjalani rawatan selama tujuh hari.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MBI sumbang wang tunai, bantuan makanan kepada vokalis XPDC

PELABUHAN KLANG, 15 SEPT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI tampil menghulurkan sumbangan kepada vokalis kumpulan rock terkenal XPDC yang mengalami masalah jantung tersumbat dan semput.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berkata bantuan kewangan berjumlah RM1,000 dan bakul makanan itu bagi meringankan kesempitan dihadapi Ali atau nama sebenarnya Mohd Ali Ismail, 53.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor

“Baru-baru ini kita dimaklumkan penyanyi ini dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat serangan jantung. Memandangkan dia seorang selebriti, berita tersebut tular begitu pantas dan cuba menghubunginya untuk serahan bantuan.

“Difahamkan, Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut membantu membiayai kos rawatan di hospital selain mendaftarkannya sebagai asnaf,” kata Ahmad Azri Zainal Nor ketika ditemui di kediaman penyanyi terbabit di Kampung Rantau Panjang dekat sini hari ini.

Azri berkata pihaknya juga bersedia untuk memberi sumbangan kepada sebuah pusat tahfiz yang mengangkat vokalis terbabit sebagai duta.

“Kita faham keperluan pusat tahfiz dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana ketiadaan pelajar dan mereka masih memerlukan bayaran untuk penyelenggaraan.

“Jadi, kemungkinan ada sumbangan kepada pusat tahfiz berkenaan yang terletak berhampiran kediaman selebriti ini, apatah lagi ia berdaftar dengan Majlis Agama Islam Selangor (Mais),” katanya lagi.

Penyanyi kumpulan XPDC, Mohd Ali Ismail

Bekas vakolis Terra Rossa itu juga mengakui bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan MBI termasuk LZS dan individu yang tidak putus-putus memberi bantuan.

Bapa kepada lima cahaya mata turut memaklumkan beliau masih lemah meskipun dibenar keluar hospital pada 9 September lalu dan dinasihatkan untuk makan ubat mengikut jadual.

“Alhamdulillah, keadaan semakin baik berbanding sewaktu awal-awal dimasukkan ke hospital 2 September lalu, cuma belum stabil sepenuhnya dan doktor menyarankan supaya disiplin makan ubat tiga kali sehari,” katanya yang akan menjalani rawatan susulan tiga minggu lagi.

Ali dilaporkan mengalami masalah pernafasan selepas beliau terlibat dalam insiden disambar api pada 26 Mac tahun lalu.

Rentetan kemalangan terbabit, Ali mengalami kecederaan serius apabila muka dan tangannya melecur sehingga 30 peratus.

Categories
AGENSI SELANGOR

Alami masalah jantung, MBI bantu Ali XPDC

KUALA SELANGOR, 10 SEPT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan membantu Ali XPDC yang mengalami masalah jantung dalam masa terdekat.

Ketua tanggungjawab sosial korporat Ahmad Azri Zainal Nor berkata usaha terbabit sebagai langkah meringankan beban vokalis kumpulan rock terkenal itu yang terkesan pandemik Covid-19.

“Sekarang Ali juga sudah dikategorikan sebagai asnaf. Kita akan jumpa dan cuba bantu Ali selain beberapa selebriti veteran yang bermasalah.

“Mengikut perancangan bintang legenda Datuk Jeffrydin juga akan dibantu tetapi kini beliau terkandas di rumah anaknya di Johor. Kita tunggu masa sesuai,” katanya selepas melawat bekas jaguh olahraga para kebangsaan Mohd Raduan Emeari hari ini.

Lawatan disertai Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Juwairiya Zulkifli turut menyerahkan bantuan wang tunai serta bakul makanan.

Sebelum ini MBI menghulurkan sumbangan kepada bekas pemain bola sepak Selangor Azhar Sharif; pemain gitar kumpulan Search, Kid dan pelawak Hamid Gurkha.

Ali, 53, atau nama sebenarnya Mohd Ali Ismail kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya kerana mengalami masalah semput dan lemah jantung sejak 2 September lalu.

Beliau yang mempunyai lima anak berdepan masalah kewangan lebih setahun selepas tidak bekerja dan kini menerima bantuan sebanyak RM600 dari Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Categories
NASIONAL SELANGOR

50,000 Hadir Sambutan Hari Belia

SHAH ALAM 12 OGOS : Program Sambutan Hari Belia Antarabangsa peringkat Selangor berjaya mendapat sambutan hebat dengan hampir 50,000 orang menghadiri majlis diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini bermula dari pagi hingga lewat malam semalam.

Program tersebut dimulakan dengan pertandingan memasak bubur lambuk dan pertandingan catur Piala Menteri Besar serta yang lain dengan penampilan selebrtiti popular tanahair seperti Diana Amir, Yatt Hamzah, Ali XPDC, Abby Abadi, Faizal Tahir, Man Raja Lawak serta Penceramah Sejuta Umat, Ustaz Azhar Idrus.

Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pihaknya berpuashati dengan sambutan diberikan kepada program itu yang mana ianya memberi gambaran ianya bertepatan dengan kehendak golongan muda di negeri Selangor.

“Saya berpuashati dengan usaha semua pihak terutamanya Penggerak Belia Tempatan (BT) di seluruh Selangor bagi menjayakan program ini. Program memasak bubur lambuk juga berjaya dengan lebih daripada sasaran yang kita tetapkan iaitu dari 100 meningkat kepada 121 penyertaan.

“Kehadiran malam ini (Program sesi soal jawab bersama Ustaz Azhar Idrus) cukup baik dengan kemunculan beberapa artis yang tampil berubah dan ini memberi kekuatan kepada golongan belia bagi mencontohinya,” katanya kepada media selepas program tersebut berakhir semalam.

Program Sesi Soal Jawab Agama Bersama Ustaz Azhar Idrus turut disertai Man Raja Lawak, Faizal Tahir dan Abby Abadi mendapat sambutan yang mana ia berlangsung penuh lawak jenaka dan santai.

Dr Ahmad Yunus berkata, Kerajaan Negeri sesungguhnya mahu golongan anak muda atau belia turut serta dalam pembangunan negeri ini kerana anak muda mempunyai kekuatan dan pemikiran yang bernas.

Beliau berkata, menerusi program dijalankan itu menyaksikan gabungan Kerajaan Negeri dan anak muda berjaya menghasilkan satu kesan yang memberangsangkan.

Ustaz Azhar Idrus pula berkata, anak muda memang meminati hiburan dan sebagainya tetapi mereka ingin terlibat sama dalam program yang membawa kebaikan kepada diri mereka.

“Contohnya apa yang dibuat Kerajaan Negeri ini ada solat terawih, ada masak bubur lambuk dan yang lain, anak muda yang datang. Kalau program begini dibuat di kampung-kampung, orang tua saja yang datang. Kita boleh tengok sambutannya macam mana dengan berpuluh ribu yang hadir. Sewajarnya program ini kita teruskan. Kerajaan patut memberi keutamaan dan rakyat pula sokong,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tokoh, Selebriti Memeriahkan Sambutan Hari Belia Selangor

SHAH ALAM, 8 OGOS: Ustaz Azhar Idros, Faizal Tahir, Ali XPDC dan Diana Amir antara selebriti yang akan hadir pada sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Selangor di Dataran Kemerdekaaan Shah Alam pada Sabtu ini.

Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, sambutan ini diadakan bersempena sambutan Hari Belia peringkat Antarabangsa yang akan disambut pada 12 Ogos ini.

“Beberapa pengisian sudah dirancang bermula jam 9 pagi sehingga lewat malam dan beberapa selebriti terkenal akan hadir memeriahkan sambutan pada kali ini,” katanya ketika sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Menurutnya, antara program menarik pada sambutan kali ini adalah pertandingan memasak bubur lambuk, pertandingan catur piala Menteri Besar dan sesi motivasi ‘Ramadanku’ bersama Selebreti TV9 Ustaz Zamri dan Yatt Hamzah.

Katanya, pengunjung juga turut dapat berbuka puasa bersama Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan solat maghrib dan isyak serta terawih bersama-sama di sana.

Di sebelah malamnya, Abdul Khalid akan melancarkan Belia Ehsan Selangor diikuti persembahan istimewa Faizal Tahir dan diakhiri dengan sembang santai bersama Ustaz Azhar Idros bersama selebriti jemputan.

Dengan bertemakan ‘Anak Muda Pemacu Pembangunan Negeri Selangor’, sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Selangor diharap dapat menarik orang ramai untuk sama-sama hadir memeriahkan program sehari ini.